Tafsir Surah Baqarah Ayat 49 – 50 (Bani Israil diselamatkan daripada Firaun)

Baqarah Ayat 49: Bermula ayat seterusnya ini, Allah ﷻ akan menceritakan sejarah Bani Israil dan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Sebelum ini Allah ﷻ suruh ingat nikmat yang telah diberikan kepada mereka tapi tidak disebut apakah nikmat-nikmat itu. Sekarang akan disebut satu persatu namun bukanlah dalam susunan kejadian ia terjadi kerana Al-Qur’an bukanlah sebuah buku sejarah yang menceritakan satu persatu kejadian dengan tertib kejadiannya (tidak mengikut kronologi).

Yang penting dalam Al-Qur’an adalah pengajaran yang perlu diambil. Memanglah kita kalau hendak tahu akan satu-satu cerita, kita mahukan susunan kejadian tersebut tetapi logik Al-Qur’an bukan mengikut logik akal kita. Al-Qur’an menyusun kisah tentang Bani Israil ini mengikut kepentingan perkara yang hendak disampaikan.

Ayat 49 – 79 adalah senarai kurniaan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israil dan penderhakaan mereka. Inilah punca Bani Israil hilang kelayakan sebagai khalifah. Allah ﷻ pindahkan kemuliaan itu kepada Bani Ismail.

Allah ﷻ mengingatkan nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada Bani Israil, moga-moga mereka insaf dan mahu mengikut agama islam. Ada 8 jenis nikmat yang disebutkan. Terdapat 2 bentuk hukuman yang pernah Allah ﷻ kenakan kepada tok nenek mereka supaya mereka mahu berfikir supaya mereka beringat dan berjaga-jaga. Itulah cara Allah ﷻ untuk menyedarkan hamba-Nya.

Ayat-ayat ini khitab (ditujukan) kepada Bani Israil. Sebelum ini ayat-ayat telah diberikan secara umum kepada manusia. Namun sekarang diberikan kepada Bani Israil secara khusus kerana mereka merupakan golongan yang mempunyai kitab. Terdapat ramai yang mempunyai kitab wahyu akan tetapi yang paling masyhur adalah Bani Israil. Mereka telah mendapat Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Memang mereka ada banyak kitab berbanding dengan golongan lain. Umat yang lain pun ada juga kitab tetapi kitab-kitab mereka tidak masyhur.

Bani Israil ini telah mendapat kitab dan ajaran wahyu tetapi masalahnya mereka sendiri tidak mengikut ajaran kitab mereka sendiri. Boleh dikatakan majoriti daripada mereka tidak mengikut kitab. Maka Allah ﷻ ingin mengingatkan kita supaya jangan jadi seperti mereka; iaitu ada kitab tetapi tidak ikut.

Masyhur sahaja umat Islam mempunyai kitab Al-Qur’an namun umat Islam tidak menggunakannya secara yang sepatutnya pun. Memang ramai dalam masyarakat kita begitu juga. Apabila membaca kisah-kisah tentang Bani Israil ini, maka jangan lupa kaitkan dengan diri sendiri dan masyarakat kita. Ini kerana tidak banyak perbezaan di antara Yahudi dan orang kita sebenarnya.

Tidak diajarkan ilmu tauhid dalam ayat-ayat ini kerana umumnya Yahudi pada waktu itu masih lagi mentauhidkan Allah ﷻ. Akan tetapi oleh kerana mereka menolak Nabi Muhammad ﷺ, maka, mereka dikira sebagai kafir juga. Oleh itu kalau ada manusia yang ingkar hadith, mereka juga sudah kafir. Ada orang Islam yang kononnya pakar menggunakan Al-Qur’an sahaja (golongan Quranist), tetapi sebenarnya mereka tidak belajar Al-Qur’an itu dengan betul, kalau tidak, mereka pasti tidak akan menolak hadith.

Masalah mereka adalah mereka membaca Al-Qur’an sendiri dan membuat pemahaman sendiri sahaja. Mereka sangka mereka pandai, tetapi mereka sebenarnya amat jahil. Kalau Nabi ﷺ tidak sampaikan Al-Qur’an kepada kita, bagaimana kita boleh terima Al-Qur’an? Lalu bagaimana kita boleh menolak Nabi ﷺ dan menolak Hadith? Sekiranya benar-benar belajar Al-Qur’an dengan betul, kita pasti akan menerima hadith juga.

Golongan Yahudi Madinah itu kebanyakannya masih lagi ada kefahaman Tauhid. Tidak seperti dengan Musyrikin Mekah yang memang telah punah Tauhid mereka.

Orang yang pertama mendengar ayat-ayat Al-Qur’an tentang orang Yahudi adalah orang-orang Arab Madinah, iaitu mereka yang duduk belajar dengan Nabi ﷺ. Melalui sahabat Nabi ﷺ itulah yang akan menyampaikan ayat-ayat itu kepada golongan Yahudi. Dari situ, orang yang dahulunya jahil itulah yang kemudiannya akan menyampaikan agama yang benar kepada golongan Yahudi yang sebelum itu terkenal dengan kehebatan ilmu agama mereka.

Daripada ayat-ayat itu, maka terbongkarlah rahsia-rahsia mereka. Bayangkan perasaan mereka ketika itu, satu demi satu rahsia mereka terbongkar, tetapi mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia adalah kebenaran. Perkara yang mereka sorokkan Allah ﷻ telah keluarkan satu persatu. Ini termasuklah sejarah tok nenek mereka. Begitu juga perangai mereka zaman itu pun ada disebut sekali. Semua Yahudi di Madinah kehairanan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ boleh tahu hal mereka satu persatu?

Untuk kita yang mempelajari tafsir ini, dan kemudian sudah mengetahui sifat-sifat mereka itu, hendaklah kita melindungi diri kita daripada mempunyai sifat-sifat tersebut. Itulah yang pertama sekali kita kena lakukan. Bukanlah kita membaca ayat-ayat ini untuk kita mengutuk mereka tetapi Allah ﷻ hendak kita faham setiap kesalahan mereka dan jangan mengulanginya.

Ini kerana yang Allah ﷻ murka adalah dengan sifat mereka, bukannya kaum Yahudi itu. Allah ﷻ tidak memandang kaum kerana bagi Allah ﷻ, semua kaum sama sahaja. Tidak ada kaum yang lebih istimewa berbanding dengan kaum lain.

Ringkasnya jasa-jasa Allah ﷻ kepada Yahudi dalam ayat-ayat ini:

Ayat 49: jasa pertama (mereka diselamatkan daripada Firaun)
Ayat 50: jasa kedua (laut dibelah dan Firaun dimatikan bersama tenteranya)
Ayat 51-52: jasa ketiga (mereka diampunkan walaupun telah menyembah patung sapi)
Ayat 53: jasa keempat (mereka diberikan dengan Kitab Taurat)
Ayat 54: jasa kelima (mereka diampunkan setelah berbuat syirik)
Ayat 55-56: jasa keenam (mereka dihidupkan kembali setelah dimatikan kerana minta untuk melihat Allah ﷻ)
Ayat 57: jasa ketujuh (mereka dinaungi dengan awan dan diberi makan Manna dan Salwa)
Ayat 60: jasa kelapan (mereka diberi minum daripada air dalam batu)

Maka, ada lapan jasa yang Allah ﷻ sebut dalam bahagian ini dan jasa ini ada diulang-ulang dalam surah-surah lain. Sementara dalam surah-surah lain pula, ada disebut jasa-jasa lain.

Manakala bahagian hukuman pula:

Ayat 58-59: hukuman pertama
Ayat 61: hukuman kedua

Mari kita baca jasa yang pertama:

وَإِذ نَجَّينَـٰڪُم مِّن ءَالِ فِرعَونَ يَسُومُونَكُم سُوٓءَ ٱلعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبنَآءَكُم وَيَستَحيُونَ نِسَآءَكُم وَفِى ذٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظِيمٌ

Sahih International

And [recall] when We saved your forefathers from the people of Pharaoh, who afflicted you with the worst torment, slaughtering your [newborn] sons and keeping your females alive. And in that was a great trial from your Lord.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

 

وَإِذ نَجَّينَـٰڪُم

Dan ingatlah ketika Kami selamatkan kalian;

Kalimah إِذْ boleh jadi dalam bentuk ‘dzarf zaman’ (masa) atau ‘dzarf makan’ (tempat). Di dalam ayat ini ia menggunakan maksud dzarf zaman. Kedudukannya selalu di pertengahan ayat dan bukannya seperti di awal ayat seperti di dalam ayat ini. Apabila ia di dalam kedudukan sebegini maka ia membawa maksud yang lebih mendalam lagi. Ulama mengatakan kalimah ini mempunyai taqdir iaitu makna yang tidak dinyatakan di sini iaitu أذكر yang bermaksud ‘ingatlah’ atau ‘berilah peringatan’.

Kalimah نَجَّيْنٰكُمْ daripada kata dasar: ن ج و yang bermaksud diselamatkan, menyelamatkan, membawa, membebaskan, bebas, membisikkan rahsia. Ia kemudian menjadi النَّجَاة yang bermaksud mengangkat ke tempat yang tinggi. Ini kerana siapa yang berada di tempat yang tinggi tidak mudah dijangkau oleh musuh. Maknanya mereka telah diselamatkan. Perkataan نَجَّيْنٰكُمْ yang digunakan dalam wazan begini bermaksud ‘berkali-kali Allah ‎ﷻ telah selamatkan kalian’. Bukan hanya sekali sahaja. Ini adalah kerana keluarga Firaun mempunyai peluang untuk menghapuskan bangsa Israil banyak kali tetapi Allah ﷻ telah menyelamatkan mereka setiap kali.

Di sini digunakan kalimah نَجَّيْنٰكُمْ sedangkan di tempat lain seperti di dalam A’raf: 171 digunakan أَنجَينٰكُم kalimah pula. Kalau terjemahannya sama sahaja iaitu ‘Kami telah selamatkan kamu’.

وَإِذ أَنجَينٰكُم مِّن ءآلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ
Dan (Tuhan berfirman): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya;

Akan tetapi tentunya ada perbezaan kerana kalimah نَجَّيْنٰكُمْ tidak sama ejaannya dengan kalimah أَنجَينٰكُم, bukan? Kita telah sebutkan kalimah نَجَّيْنٰكُمْ di dalam bentuk yang memberi makna banyak kali mereka diselamatkan. Selain daripada itu, kalimah نَجَّيْنٰكُمْ bermaksud mereka diselamatkan ‘ketika’ mereka sedang menerima azab itu. Sedangkan apabila digunakan kalimah أَنجَينٰكُم ia merujuk kepada dijauhkan segala seksa tersebut secara keseluruhan. Ini kerana apabila Firaun dan kerajaan telah dihapuskan, mereka telah terus selamat tidak perlu risau lagi tentang Firaun dan penindasan terhadap mereka.

Ketika mereka sampai ke puncak kemegahan yang menimbulkan kesombongan, merasa diri istimewa daripada bangsa yang lain, maka diingatkanlah betapa mereka dahulu pernah hidup dalam tindasan dan seksaan di negeri Mesir. Mereka waktu itu menjadi lebih hina daripada hamba abdi.

 

مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ

daripada keluarga Firaun;

Ini adalah jasa pertama iaitu ketika Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka daripada golongan Firaun. Golongan firaun telah melakukan azab yang sangat dahsyat ke atas Bani Israil. Mereka membunuh anak-anak lelaki Bani Israil dan membiarkan wanita-wanita mereka hidup untuk menjadi hamba abdi. Akhirnya Allah ﷻ menyelamatkan Bani Israil daripada kezaliman itu. Kerajaan Firaun memerintah dan menindas bangsa Israil selama 400 tahun.

Kisah mereka di negeri Mesir itu bermula sejak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi Raja Muda Kerajaan Mesir dan ayahandanya Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang dari dusun (orang kampung) atas undangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dua belas orang saudara laki-laki keturunan Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah berhijrah dan menetap di Mesir dan waktu itu mereka hidup dengan baik dan sederhana. Akan tetapi sesudah Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ wafat, penduduk Mesir asli membenci mereka, kerana mereka kian lama kian berkembang. Kedudukan mereka di negeri Mesir dipandang sebagai suatu pengaruh yang membahayakan. Walaupun mereka tidak diusir namun akhirnya mereka telah dijatuhkan dan menjadi kelas hamba abdi kepada bangsa Qibti. Keturunan Firaun ini adalah keturunan Qibti ataupun dalam bahasa Inggeris sekarang dikenali sebagai Coptic Christian. Ini kerana keturunan mereka itu kemudiannya telah masuk agama Kristian.

‘Firaun’ bukanlah nama seorang individu tetapi ia adalah sebuah gelaran pangkat seperti Kaisar, Raja atau Presiden. Selepas mati satu Firaun, akan diganti oleh Firaun yang lain. Firaun adalah daripada keturunan bangsa Qibti. Cara pemerintahan Firaun adalah dengan menggunakan dinasti kekeluargaan. Sebab itu Allah ‎ﷻ menggunakan kalimat ‘keluarga Firaun’. Maknanya, ini bukan Firaun seorang sahaja yang memerintah mereka dan menindas mereka tetapi berlanjutan daripada satu keturunan ke keturunan seterusnya. Gelaran Firaun juga digunakan untuk menunjukkan kepada penguasa Mesir yang angkuh dan kejam. Sebab itulah Raja ketika zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak digelar Firaun akan tetapi ‘Malik’. Lihat Yusuf: 50

وَقالَ المَلِكُ ائتوني بِهِ ۖ فَلَمّا جاءَهُ الرَّسولُ قالَ ارجِع إِلىٰ رَبِّكَ فَاسأَلهُ ما بالُ النِّسوَةِ اللّاتي قَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ ۚ إِنَّ رَبّي بِكَيدِهِنَّ عَليمٌ
Raja berkata: “Bawalah dia kepadaku”. Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: “Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya. Sesungguhnya Tuhanku, Maha Mengetahui tipu daya mereka”.

Ini bermakna ia bukanlah rejim atau dinasti yang sama. Lama setelah kerajaan itu memerintah, ia telah diambil alih oleh kerajaan kuku besi Firaun. Semua pangkat tinggi diberikan kepada anak beranak daripada keluarganya sahaja. Oleh itu, kalau kerajaan mana-mana negara sekarang menggunakan dinasti keluarga, maka ia adalah sama dengan cara Firaun memerintah.

Salah seorang Penguasa Dinasti ini yang paling popular adalah Ramsis II dan yang dikenal dengan Ramses al-Akbar (terbesar). Menurut kamus al-Munjid dia telah menaiki takhta sekitar 1311 SM. Pada ketika zaman pemerintahannyalah terjadinya penindasan terhadap Bani Israil, sehingga mereka diperhambakan secara paksa.

 

يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ

Mereka telah mengenakan kamu ke dalam azab yang teruk;

Sudahlah keluarga Firaun itu menjadikan mereka sebagai hamba abdi, malah mereka telah diperlakukan dengan lebih teruk lagi. Berbagai-bagai penindasan telah dikenakan kepada Bani Israil zaman berzaman. Bermakna keluarga Firaun menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang hina. Kalimah الْعَذَابِ sendiri sudah bermaksud perkara yang buruk; akan tetapi apabila ditambah dengan kalimah سُوءَ, ia menambahkan lagi kedahsyatan azab itu.

 

يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ

Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu;

Memang mereka telah melakukan kezaliman yang amat teruk sekali. Firaun telah mengarahkan penyembelihan anak-anak lelaki mereka. Hal ini disebabkan kerana mimpi Firaun tentang kerajaannya tumbang dan ramalan tukang tenung bahawa akan ada seorang anak lelaki daripada keturunan Bani Israil yang akan menjadi penyebab lenyapnya kerajaan Firaun itu. Maka Firaun arahkan semua anak-anak lelaki Bani Israil disembelih. Cuma kisah mimpi ini tidaklah ada dalil yang sahih daripada ayat Al-Qur’an ataupun hadith. Ia hanya banyak disebut di dalam kitab-kitab tafsir. Oleh kerana kita tidak ada sebab lain untuk menjelaskan kenapa Firaun bertindak hendak membunuh anak-anak lelaki Bani Israil, maka kita terima jugalah kisah ini.

Perkataan يُذَبِّحُونَ yang Allah ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam bentuk ‘present tense’. Kenapa begitu pula sedangkan perkara itu berlaku pada zaman yang lampau? Untuk ‘present tense’, selalunya digunakan untuk perkara yang sedang berlaku. Maka, kena faham penggunaan bahasa di dalam Al-Qur’an. Dari segi balaghah ia bermaksud ia pernah terjadi dahulu dan masih lagi terjadi dalam zaman ini. Bukanlah kejadian sebegini terjadi pada zaman Firaun sahaja. Kalau dalam bentuk ‘past tense’, maka ia bermaksud Firaun sahaja yang buat. Namun apabila digunakan dalam bentuk ‘present tense’, maka ia bermaksud ‘present and continuous tense’ (sentiasa berlaku).

Kalimah يُذَبِّحُونَ juga di dalam bentuk hyperbola (bersangatan) kerana ada syaddah ( ّ) pada huruf ba’. Ini membawa erti yang ia dilakukan berkali-kali. Ini kerana bukan seorang sahaja disembelih akan tetapi beribu entah berjuta kanak-kanak Bani Israil yang telah disembelih.

Maka ini mengajar kita yang masih ada lagi orang yang bersifat seperti Firaun yang akan melakukan perkara yang sama kerana akan ada sahaja sentiasa orang yang bersifat seperti Firaun dalam dunia ini zaman berzaman. Mungkin tidak seteruk Firaun yang di dalam Al-Qur’an ini tetapi ada ciri-cirinya.

Kenapa anak-anak lelaki dibunuh sedangkan mereka bukan boleh lagi menjatuhkan kerajaan Firaun? Ini kerana kalau tunggu mereka besar, sudah susah pula untuk berperang dengan mereka. Oleh itu keputusan diambil untuk dibunuh mereka yang kecil lagi kerana bayi senang dibunuh. Maka apabila ada sahaja ibu didapati mengandung, tentera Firaun akan pantau. Sekiranya keluar sahaja anak lelaki, bayi itu akan dibunuh. Sebab itulah nanti kita akan belajar kisah ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyorok Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dilempar ke sungai untuk menyelamatkannya.

Bagaimana pula abang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh hidup pula? Ini kerana bukan setiap tahun anak-anak lelaki dibunuh. Mereka terfikir kalau dibunuh semua anak lelaki, nanti tiada pula hamba mereka daripada golongan lelaki. Maka mereka bunuh anak lelaki berselang tahun (tahun ini semua bunuh, tahun depan semua tidak dibunuh). Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lahir pada tahun tidak dibunuh kanak-kanak lelaki.

Sekarang kita lihat Negara Israel juga menggunakan konsep yang sama pula. Mereka bersungguh-sunggh membunuh anak-anak Palestin (tidak kira lelaki wanita). Ahli agama mereka membenarkannya dengan alasan kalau tidak dibunuh pun, anak-anak itu membesar dan akan menyerang mereka pula.

 

وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ

dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu;

Maknanya, mereka membiarkan anak-anak perempuan Bani Israil hidup. Sekali baca nampak seakan-akan baik pula kerana dibiarkan hidup. Kalimah يَسْتَحْيُونَ daripada kata dasar ح ي ي yang bermaksud hidup, menjadi malu, berjaga malam, membajai tanah, mengekalkan seseorang terus hidup, menyelamatkan nyawa seseorang, menjaga maruah. Namun begitu, ia bukanlah tindakan rahmah akan tetapi hanya untuk menghina Bani Israil itu. Bukanlah kerana baik hatinya mereka itu, tidak sama sekali! Muka gunakan dengan paksaan anak-anak perempuan itu untuk kepentingan mereka. Mereka akan mengambil perempuan-perempuan Bani Israil itu sebagai hak mereka (dirogol) supaya yang lahir nanti selepas itu adalah bangsa daripada keturunan Qibti belaka. Tujuannya adalah agar terhapuslah keturunan Bani Israil. Anak-anak perempuan itu tidak menjadi cabaran bagi mereka dan apabila dibiarkan hidup, mereka boleh gunakan sebagai hamba sahaya di rumah-rumah mereka.

Ini adalah satu penghinaan yang paling teruk yang boleh dikenakan kepada satu-satu bangsa. Zaman sekarang ini pun masih lagi dilakukan oleh bangsa-bangsa tertentu yang hendak menghina satu bangsa lain. Ia dipanggil “ethnic cleansing” (pembersihan etnik). Sebenarnya ini adalah lebih teruk daripada dibunuh anak lelaki. Ini kerana jikalau anak lelaki dibunuh, sedihnya sekejap sahaja kerana anak itu sudah tiada. Akan tetapi apabila anak perempuan dibiarkan hidup dan ibubapa mereka melihat anak-anak mereka terus diperhambakan dan digunakan dengan kejam, maka kesedihan itu lebih lama dan berlarutan.

Perkataan yang Allah ‎ﷻ gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Bermaksud ia boleh lagi terjadi dalam zaman ini.

 

وَفِى ذٰلِكُم بَلَآءٌ مِّن رَّبِّكُم عَظِيمٌ

Dan pada yang demikian untuk kamu adalah ujian besar daripada Tuhan kamu yang Maha Agung;

Kalimah بَلَآءٌ ini adalah antara kalimah di dalam bahasa Arab yang mempunyai dua makna yang berlawanan. Ia daripada kata dasar: ب ل و yang bermaksud cubaan, ujian sama ada baik atau jahat; menjadi tua dan usang, haus dan lusuh, layu, reput; tidak mengambil berat, tidak mempedulikan, tidak mengendahkan, atau memberi perhatian; menganugerahkan nikmat, faedah atau berkat; bersumpah, perjanjian; memaklumkan; berkenalan; mendedahkan; menjelma; membuatkan jelas; bersaing; berusaha atau bersegera. Jelaslah ia ada dua makna yang satu positif (nikmat) dan satu lagi negatif (ujian, bala).

Sekiranya kita mengambil maksud ia sebagai nikmat, maknanya Allah ﷻ sedang berkata-kata kepada Bani Israil zaman Nabi Muhammad ﷺ mengingatkan mereka tentang nikmat yang telah pernah diberikan kepada mereka. Apa yang telah terjadi itu adalah suatu nikmat yang sangat besar – iaitu penyelamatan anak-anak lelaki daripada dibunuh dan perempuan-perempuan mereka daripada dijadikan hamba abdi. Walaupun nikmat itu diberikan kepada tok nenek mereka, akan tetapi mereka juga menerima nikmat itu kerana kalau tok nenek mereka terus dibunuh, mereka pun tidak hidup juga, bukan? Ini adalah terjemahan pertama bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم. Dulunya mereka hina dina, tetapi telah diutus Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka yang menyelamatkan mereka. Akhirnya mereka telah menjadi kaum yang kuat.

Maka dari sini kita boleh belajar bahawa keselamatan daripada dizalimi juga adalah nikmat. Kadang kita tidak perasan nikmat ini, kerana kita sangka nikmat itu adalah apabila kita memperoleh sesuatu. Sekarang kita belajar bahawa selamat daripada bahaya merupakan sebuah nikmat juga. Dalam hal ini Yahudi menghargai kisah itu dan mereka mengingatinya dengan berpuasa hari Hari Asyura kerana hari itulah Bani Israil diselamatkan dan Firaun ditenggelamkan. Ini disebut di dalam hadith sahih riwayat Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم لَمَّا قَدِمَ الْمَدِينَةَ وَجَدَهُمْ يَصُومُونَ يَوْمًا، يَعْنِي عَاشُورَاءَ، فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ، وَهْوَ يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى، وَأَغْرَقَ آلَ فِرْعَوْنَ، فَصَامَ مُوسَى شُكْرًا لِلَّهِ‏.‏ فَقَالَ ‏ “‏ أَنَا أَوْلَى بِمُوسَى مِنْهُمْ ‏”‏‏.‏ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ‏.‏
Rasulullah ﷺ tiba ke Madinah dan baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Kata mereka: Ini adalah hari yang mulia yang mana Allah selamatkan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kaumnya pada hari ini. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Lalu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpuasa pada hari ini sebagai tanda kesyukuran. Kata Rasulullah ﷺ: Aku lebih utama ke atas Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbanding mereka. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari tersebut.
(Riwayat Al-Bukhari (3397), Muslim (3/149-150))

Terjemahan kedua bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم, merujuk kepada kejadian anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dijadikan hamba abdi, itu adalah ‘bala bencana’ daripada Allah ‎ﷻ. Maknanya ada dua jenis maksud yang boleh diambil dan kedua-duanya boleh digunakan. Ini kerana ia adalah juga ‘nikmat’ dan ‘bala’. Sekian kita lihat satu kalimah yang mempunyai dua makna yang berlawanan.

Sebenarnya, semua ujian yang ada adalah daripada Allah ‎ﷻ belaka. Allah ﷻ hendak menguji kita dalam kehidupan dunia kita ini. Kita pun ada juga mendapat ujian dari masa ke semasa. Kita juga mungkin boleh terkena dengan ujian yang telah dikenakan kepada Bani Israil ini. Ini kerana akan sentiasa ada jenis seperti Firaun dalam setiap zaman. Semoga Allah ﷻ selamatkan kita.


 

Baqarah Ayat 50: Ini adalah jasa yang kedua yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada Bani Israil. Ini ketika Laut Qulzum (atau dikenali juga dengan nama Laut Merah) dibelah untuk mereka jadikan laluan untuk lari daripada Firaun dan telah ditenggelamkan pengikut Firaun dan Firaun sendiri ke dalam laut. Kejadian ini tidaklah berlaku dalam waktu yang singkat sahaja akan tetapi setelah bertahun-tahun Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berusaha. Baginda berdua telah cuba berdakwah kepada Firaun dan bangsa Qibti, namun setelah sekian lama mereka berdegil, maka arahan daripada Allah ﷻ telah diberikan untuk lari meninggalkan Mesir.

Allah ﷻ ingatkan kepada Bani Israil yang mereka waktu itu boleh lihat sendiri golongan Firaun itu ditenggelamkan dalam air. Mereka boleh nampak sendiri bagaimana air yang dibelah itu dicantumkan dan semua pengikut Firaun termasuk Firaun sendiri mati kesemuanya.

وَإِذ فَرَقنَا بِكُمُ ٱلبَحرَ فَأَنجَينَـٰڪُم وَأَغرَقنَآ ءَالَ فِرعَونَ وَأَنتُم تَنظُرُونَ

Sahih International

And [recall] when We parted the sea for you and saved you and drowned the people of Pharaoh while you were looking on.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

 

وَإِذ فَرَقنَا بِكُمُ ٱلبَحرَ

Dan ingatlah ketika Kami belahkan laut untuk kamu;

Setelah arahan untuk meninggalkan Mesir, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membawa umat mereka secara senyap di malam hari. Akan tetapi perjalanan mereka telah dihalang oleh Laut Qulzum. Waktu itu mereka sedang dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya yang ramai. Di situ Allah ﷻ telah belahkan laut itu supaya Bani Israil dapat berjalan dan menyeberangi ke seberang dan selamat di sebelah sana. Kisah ini ada disebut dengan lebih lanjut lagi di dalam ayat yang lain seperti Syuara’: 63

فَأَوحَينا إِلىٰ موسىٰ أَنِ اضرِب بِّعَصاكَ البَحرَ ۖ فَانفَلَقَ فَكانَ كُلُّ فِرقٍ كَالطَّودِ العَظيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar.

Tentang kejadian merentas laut itu adalah mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebenarnya. Namun begitu, ada juga pihak-pihak yang tidak boleh menerima kejadian ini kerana mungkin di luar fikiran mereka ia boleh terjadi. Maka mereka cuba katakan yang ini sebenarnya adalah perjalanan melalui laut itu ketika air surut. Mereka kata Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pandai mengira waktu bilakah masa air surut supaya mereka boleh melintas laut itu. Namun seandainya itu yang terjadi, kenapakah perlu untuk Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengetuk laut itu dengan menggunakan tongkatnya pula?

Perkataan ‘بِكُمُ’ dalam ayat ini menunjukkan laut itu dibelah hanya untuk mereka sahaja. Selepas itu tidak ada laut yang dibelah lagi sehinggalah sekarang. Ia tidak akan berlaku lagi sampai bila-bila.

Seperti yang kita tahu daripada kisah sejarah para Nabi yang kita biasa dengar, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengetuk laut itu dengan tongkat, tetapi Allah ‎ﷻ berkata dalam ayat ini bahawa Dia yang belahkan. Maknanya, Allah ﷻ yang sebenarnya membelah laut itu, bukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk mengeluarkan mukjizat.

Begitu juga, Tok wali yang juga tidak ada kuasa untuk mengeluarkan keramat. Keramat itu seperti mukjizat juga, tidak boleh berulang-ulang dilakukan mengikut niat pembuatnya. Hanya sekali sahaja dapat dilakukan dengan izin Allah ﷻ. Seperti juga Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membelah laut itu, sekali sahaja dilakukannya. Tidak ada cerita yang mengatakan, sekiranya baginda hendak menyeberang laut lagi, maka baginda membelah lagi laut ataupun sungai.

Oleh itu, keramat pun jika terjadi, hanya sekali sahaja boleh dilakukan. Jikalau terdapat keramat yang berlaku berulang kali, bermakna itu bukanlah keramat, tetapi adalah sihir. Sihir sahaja yang terjadi mengikut kehendak seseorang itu dan boleh terjadi dengan banyak kali.

Banyak orang yang boleh berbuat sihir. Mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu berulang kali, itu adalah sihir dan sihir adalah perbuatan kufur kepada Allah ﷻ. Mereka yang boleh membuat sihir itu adalah kerana mereka beramal dengan sesuatu amalan yang salah dan tersimpang jauh daripada ajaran Islam. Tidak perlu hairan kerana sememangnya ramai sekali mereka yang mengamalkan wirid-wirid pelik dan “ilmu rahsia”.

Dalam pengajian sesat mereka itu, ilmu itu hanya boleh diberikan kepada orang tertentu sahaja. Kononnya kalau belum sampai tempoh atau tahap tertentu, mereka tidak belum layak lagi. Pemahaman dan amalan sebegini amatlah berbahaya sekali kerana jikalau mengamalkan sesuatu wirid tertentu, pasti ada amalan tawasul di permulaannya.

 

فَأَنجَينَـٰڪُم

Maka Kami selamatkan kamu;

Allah ‎ﷻ menyelamatkan mereka daripada ditenggelami laut dan daripada keluarga Firaun. Inilah nikmat yang amat besar yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka dan disebut zaman berzaman tentang kisah ini.

 

وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ

Dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun;

Keluarga Firaun telah ditenggelamkan bersama dengan Firaun sekali. Keluarga atau pengikutnya juga telah ditenggelamkan kerana mereka inilah pengikut dan rejim kepada Firaun. Merekalah yang menjalankan kekejaman atas arahan Firaun. Jangan pula ada yang sangka hanya tenteranya sahaja yang tenggelam kerana kalimat yang digunakan nampak seperti tenteranya sahaja. Kalau tenteranya ditenggelamkan, maka tentulah sekali dengan Firaun. Ini disebut di dalam Isra’: 103

فَأَرَادَ أَن يَستَفِزَّهُم مِّنَ ٱلأَرضِ فَأَغرَقنَـٰهُ وَمَن مَّعَهُ ۥ جَمِيعًا
Kemudian (Fir’aun) hendak mengusir mereka (Musa dan pengikut-pengikutnya) dari bumi (Mesir) itu, maka Kami tenggelamkan dia (Fir’aun) serta orang-orang yang bersama-sama dia seluruhnya,

Mungkin nama Firaun tidak disebut di ayat 50 ini kerana ada juga disebut jenazahnya diselamatkan (tidak terus tenggelam dalam laut seperti tenteranya). Ketika Firaun mengejar umat Bani Israil dan Allah ﷻ telah belahkan laut itu, mereka tetap juga mengejar. Setelah umat Bani Israil selamat tiba di seberang, Allah ﷻ mengarahkan supaya air laut setinggi gunung yang besar itu menghempas dan menenggelamkan Firaun dan semua bala tenteranya.

Dalam surah yang lain ada disebut, semasa dia lemas itu, barulah Firaun mahu beriman. Dia telah mengucap sebenarnya tetapi tidak diterima syahadahnya pada waktu itu. Ini adalah kerana iman waktu itu sudah terlambat. Kalau baru mahu beriman semasa menghadapi suasana yang menyebabkan kita mati, maka tidak diterima iman orang itu.

Contohnya, kalau kita kemalangan, dan waktu itu baru mahu beriman, ia tidak akan diterima. Kalau dia telah pernah melakukan syirik kepada Allah ﷻ, maka taubatnya pada waktu itu tidak diterima. Ini adalah kerana nyawanya sudah berada di kerongkong. Kalau dosanya jenis yang bukan syirik, in sha Allah ﷻ masih lagi diterima.

Seluruh keluarga Firaun telah mati dalam laut. Tidak ada lagi yang meneruskan pemerintahannya selepas itu.

 

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

Sedangkan kamu waktu itu, sedang melihat;

Golongan Bani Israil yang ada pada waktu itu memang nampak sendiri dengan mata mereka bahawa memang betul Firaun mati lemas dalam Laut Merah. Mereka sendiri nampak bagaimana laut boleh terbelah dan mereka diberikan laluan kering di tengah-tengah laut itu. Mereka kemudian nampak laut itu menghempap Firaun dan pengikutnya. Kalimah تَنْظُرُ tidak sama dengan kalimah يرى. Kalau تَنْظُرُ bermaksud merenung lama sedangkan kalau يرى itu lihat sekejap sahaja.

Apa yang patut kamu lakukan terhadap Tuhan lantaran pertolongan itu? Daripada bergelar bangsa hamba, kamu telah dimerdekakan? Bukankah sudah patut kamu bersyukur selalu bila mengingat hal itu? Tidak patut kamu menyombong di bumi, dan tidak patut kamu bersikap angkuh menerima kedatangan Utusan Tuhan (Nabi Muhammad ﷺ), sedangkan apa yang dibawanya adalah menyempurnakan agama yang diajarkan kepada kamu jua.

Ini adalah nikmat kerana kaum lain yang tidak nampak azab dikenakan terhadap musuh mereka. Sepertimana kaum Luth, mereka telah diarahkan untuk meninggalkan kaum mereka dan mereka tidak dibenarkan untuk menoleh ke belakang melihat apa yang terjadi.

Seandainya boleh nampak azab yang dikenakan kepada penentang, itu adalah lebih seronok sebenarnya kerana boleh lihat sendiri. Nabi Muhammad ﷺ telah diberikan kelebihan yang lebih lagi kerana baginda dapat membalas dengan tangan baginda sendiri bagi mengalahkan musuh baginda di dalam peperangan demi peperangan.

Sebaliknya, walaupun Bani Israil itu telah dapat melihat Firaun dan tenteranya ditenggelamkan, namun mereka tidak berani lagi selagi mereka tidak melihat jasad Firaun. Takut-takut nanti timbul pula di tempat lain. Begitulah takutnya mereka dengan Firaun.

Maka, mereka telah mencari jasad Firaun sampai mereka jumpa. Ini adalah kerana telah ada kepercayaan dalam kalangan mereka bahawa Firaun tidak boleh mati. Ini kerana ada juga yang percaya bahawa Firaun adalah tuhan dan mereka hendak memastikan bahawa Firaun benar-benar telah mati. Ini sama seperti kita tahu ada ular dalam rumah kita, selagi tidak jumpa ular itu, selagi itu kita akan berasa takut, bukan? Maka ada disebut yang Allah ‎ﷻ telah memuntahkan kembali jasad Firaun dari laut supaya mereka nampak yang memang Firaun benar-benar telah mati. Dikatakan jasad mumia Firaun itulah yang kita dapat lihat sampai sekarang. Ini kita boleh lihat Yunus: 92

فَاليَومَ نُنَجّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكونَ لِمَن خَلفَكَ ءآيَةً
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar).

Jelas sekali, Allah ﷻ sedang mengingatkan Bani Israil tentang jasa Allah ﷻ kepada mereka. Begitu juga Allah ﷻ katakan kepada kita, mengingatkan yang dulu kita pernah juga mengamalkan syirik kerana kita tidak tahu bahawa perbuatan syirik itu salah.

Atau dahulu kita miskin, dan Allah ﷻ telah berikan kekayaan. Allah ﷻ ingin mengingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada kita. Tentu banyak nikmat yang telah Allah ﷻ berikan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Ogos 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment