Ayat 40: Sekarang kita belajar jenis golongan Yahudi yang pertama. Ayat 40 – 46 adalah Seruan Tauhid dan syariat Nabi terakhir kepada Bani Israil, yang juga dipanggil: golongan Ahli Kitab. Ini adalah peluang terakhir kepada mereka untuk selamat daripada menjadi bangsa yang dilaknat.
يٰبني إِسرٰءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَوفوا بِعَهدي أوفِ بِعَهدِكُم وَإِيّٰيَ فَارهَبونِ
O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and fulfill My covenant [upon you] that I will fulfill your covenant [from Me], and be afraid of [only] Me.
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
يٰبَنِي إِسْرٰءيلَ
Wahai Bani Israil;
Sekarang Allah ﷻ hendak memberikan contoh kepada kita tentang mereka yang tidak mengikut hidayah agama iaitu Bani Israil. Mereka ini telah mendapat agama sebelum kita. Tetapi mereka telah meninggalkan agama mereka yang sebenar dan reka agama . Maka kita kena jadikan mereka sebagai pengajaran buat kita.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ sedang bercakap dengan Bani Israil yang sedang bersama dengan Nabi Muhammad. Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Pertamanya, Allah ﷻ mengingatkan mereka tentang nikmat yang mereka telah perolehi.
Allah ﷻ menyeru mereka dengan bahasa manja, sebab ingin memujuk mereka kembali ke pangkal jalan. Allah ﷻ kaitkan mereka dengan keturunan mereka dalam nisbah agama (kaitkan dengan agama mereka). Ini kerana hendak melembutkan hati mereka. Macam kalau kita hendak memujuk anak cucu Tok Kenali yang amalkan ajaran jauh dari agama, maka kita panggil mereka: “wahai anak cucu Tok Kenali…”
Ini adalah Yahudi jenis yang pertama. Ayat ini adalah titah yang khusus kepada Bani Israil. Dan terdapat dua jenis Bani Israil: yang awam dan yang ada ilmu (pendeta). Kalau disebut dalam Al-Qur’an ‘Ahlul Kitab’, ia merangkumi semua orang, sama ada yang berilmu atau yang jahil. Tetapi, kalau dalam ayat itu menyebut ‘mereka yang diberikan kitab’, ini khusus merujuk kepada ulama’ dari kalangan Yahudi.
Ayat ini berbentuk pujukan kepada Ahli Kitab untuk kembali kepada syariat. Dalam bahasa Yahudi, ‘isra’ bermaksud hamba dan ‘il’ bermaksud Allah. Maka, perkataan ‘Israil’, maksudnya ‘Hamba Allah’. Ini seperti yang diberitahu oleh Ibn Abbas رضي الله عنه. Dan Israil ini juga adalah gelaran (laqab) bagi Nabi Yaakob عليه السلام. Dari anaknya yang 12 orang itulah yang menjadi Bani Israil (Anak-anak Israil) kepada 12 puak.
اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ
Ingatlah nikmat-nikmatKu;
Allah ﷻ hendak mengingatkan mereka semula dengan segala nikmat rohani dan nikmat jasmani yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Ada ramai dari kalangan mereka yang Allah ﷻ jadikan Nabi (nikmat rohani) dan ramai juga yang telah menjadi pemimpin yang kaya raya (nikmat jasmani). Maka Allah ﷻ hendak kenangkan nikmat-nikmat itu kepada mereka.
Allah ﷻ mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad ﷺ tentang nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepada mereka. Banyak juga yang disebut dalam Al-Qur’an sebagai contoh: mereka diselamatkan dari cengkaman Firaun; mereka diberi makan manna dan salwa; dan macam-macam lagi. Ini nanti akan disebut dalam ayat-ayat selepas ini.
Begitulah cara berdakwah yang diajar Allah ﷻ dalam ayat-ayat ini. Mulakan dengan mengingatkan manusia tentang nikmat-nikmat yang mereka telah dapat. Kena ingatkan mereka untuk kenang jasa – maka kenanglah jasa Allah ﷻ dalam beri nikmat kepada mereka, maka kenalah taat kepada Allah ﷻ.
الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ
yang Aku telah berikan nikmat itu kepada kamu;
Dalam Surah Al-Fatihah, kita telah meminta supaya diberikan ‘nikmat’. Jadi Allah ﷻ hendak berkata dalam ayat ini bahawa Bani Israil ini sudah mendapat nikmat itu dahulu. Namun apakah mereka telah buat dengan nikmat yang mereka ada itu? Adakah mereka mengikut perintah Allah ﷻ selepas itu?
Kita pun sedang mendapat nikmat dari Allah ﷻ. Sebagaimana Bani Israil telah mendapat agama dan Kitab Taurat, kita umat Nabi Muhammad ﷺ juga telah mendapat Al-Qur’an. Tetapi kalau kita bertindak terhadap Al-Qur’an itu sama macam mereka bertindak kepada Taurat, kita pun boleh jadi seperti mereka juga nanti. Maka, kenalah kita beringat dan berjaga-jaga dengan nikmat (dunia dan akhirat) yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita ini.
وَأَوْفُوا بِعَهْدِي
dan penuhilah janji kamu denganKu,
Digunakan kalimah ahdu dalam ayat ini kerana memang ada dalam Kitab Taurat maka digunakan lafaz yang sama. Allah ﷻ menggunakan bahasa yang mereka sudah biasa.
Dan tunaikanlah janji untuk taat kepada hukum Allah ﷻ. Lebih-lebih lagi, janji untuk mentauhidkan Allah ﷻ. Mereka sebenarnya harus menggunakan semula hukum dari kitab Taurat yang asli. Kalau dirujuk balik kitab itu, memang ajaran yang ada adalah ajaran Tauhid.
Antara lagi janji yang mereka kena penuhi adalah janji untuk mengikut Nabi Akhir Zaman. Mereka sudah lama tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Mereka memang menunggu-nunggu kedatangan Nabi itu. Kerana itu keturunan mereka dahulu berhijrah ke Yathrib kerana hendak menunggu Nabi Akhir Zaman itu kerana mereka tahu dari kitab mereka yang baginda akan datang ke situ. Maka bila Nabi sudah datang, hendaklah mereka taat dan mengikut baginda.
أُوفِ بِعَهْدِكُمْ
nescaya Aku akan memenuhi perjanjianKu dengan kamu;
Allah ﷻ akan memenuhi perjanjianNya jikalau kita memenuhi janji kita denganNya, antaranya Allah ﷻ akan memasukkan manusia yang taat ke dalam Syurga. Dan kalau Bani Israil memenuhi janji mereka, maka Allah ﷻ akan memenuhi janjiNya untuk mengekalkan nikmat kepada mereka.
وَإِيَّٰيَ فَارْهَبُونِ
Dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa takut.
Allah ﷻ mengingatkan mereka bahawa hanya kepada Allah ﷻ sahaja mereka mesti takut. Kalimah فَارْهَبُونِ dari katadasar ر ي ب yang bermaksud ‘takut’. Tetapi takut ada banyak jenis. Kalimah ر ه ب bermaksud ‘takut untuk mengecewakan seseorang’.
Sebagai contoh, apabila ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk berbuat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita menghormati dirinya. Kalau dengan manusia pun begitu, maka tentulah kena lebih-lebih lagi dengan Allah ﷻ.
Dari kalimah ر ه ب inilah pendeta atau golongan agama mereka digelar sebagai ‘rahib’.
Mereka diingatkan supaya takut kepada Allah ﷻ supaya mereka ikut mana yang benar. Telah berleluasa atau telah diketahui yang ajaran agama mereka adalah agama yang telah diubahsuai. Apabila ajaran yang telah dipakai oleh orang ramai bukan agama yang asal, maka orang yang hendak mengamalkan yang asal pula menjadi takut.
Sebagaimana yang berlaku sekarang juga, berleluasa ajaran dan amalan bidaah, sampai yang hendak mengamalkan sunnah pula dituduh golongan Wahabi. Dan amalan bidaah itu diamalkan oleh golongan yang dipanggil ustaz pula. Maka orang ramai pun keliru.
Maka, sebab itulah Allah ﷻ menyebut sebenarnya mereka mestilah takut dengan Allah ﷻ, bukan dengan orang lain. Biarlah orang kata apa pun, yang penting kena ikut ajaran yang asli. Jangan takut dengan manusia, tetapi takutlah dengan Allah ﷻ.
Samalah juga dengan keadaan kita sekarang. Amalan masyarakat kita banyak yang bidaah, bukan dari ajaran asal Islam. Tapi ia amat berleluasa sekali, sampaikan mereka yang hendak mengamalkan sunnah, kembali kepada ajaran Al-Qur’an dan sunnah pula yang susah untuk mengamalkannya.
Orang-orang yang mengamalkan bidaah itu pula yang memandang serong terhadap mereka yang hendak mengamalkan sunnah, manakala amalan sunnah pula yang nampak pelik sebab jarang diamalkan dalam masyarakat. Ramai dari kalangan orang yang sudah mula berjinak dengan sunnah, mengamalkan sunnah dalam keadaan bersembunyi.
Namun begitu, Allah ﷻ mengingatkan jangan takut kepada mereka yang mengamalkan amalan salah. Malangnya ramai dari golongan yang sudah belajar Sunnah pula takut untuk menegur orang-orang yang mengamalkan bidaah, kerana takut dipandang serong dan dikutuk dan macam-macam lagi. Mereka takut disisih dari keluarga dan masyarakat mereka.
Kepada mereka, kita ingatkan seperti dalam ayat ini, supaya jangan takut dengan apa yang orang lain kata, tetapi takut kepada Allah ﷻ. Apa yang hendak ditakuti? Amalan Sunnah ada dalam Al-Qur’an dan Hadis. Amalan bidaah pula dari mana? Itu semua amalan rekaan belaka. Maka kita yang lebih hebat dari mereka. Mereka yang patutnya malu untuk mengamalkan bidaah kerana dalil tidak ada, tetapi ambil dari kata-kata rekaan manusia sahaja.
Mereka yang sepatutnya membuat amalan mereka sembunyi-sembunyi. Macam kebanyakan amalan tarekat sekarang. Memang amalan mereka rahsia belaka. Mereka amalkan pun sembunyi-sembunyi. Mereka memang kena buat begitu sebab memang amalan karut dan kalau orang tengok pun pelik. Mereka pun malu sebenarnya. Dan mereka pun tahu yang mereka susah untuk pertahankan amalan mereka itu kalau ditanya.
Mereka bukan terus dapat amalan itu. Hanya apabila sudah lama belajar baru diberi amalan-amalan karut yang tidak masuk akal. Kalau mula-mula masuk, mereka diberikan amalan biasa-biasa sahaja. Tetapi kalau sudah lama, guru pun nampak pelajarnya cukup bodoh (semua cerita dia percaya sahaja…) maka barulah diberi amalan yang kononnya rahsia itu.
Ayat 41:
وَءآمِنوا بِما أَنزَلتُ مُصَدِّقًا لِمّا مَعَكُم وَلا تَكونوا أَوَّلَ كافِرٍ بِهِ ۖ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا وَإِيّايَ فَاتَّقونِ
And believe in what I have sent down confirming that which is [already] with you, and be not the first to disbelieve in it. And do not exchange My signs for a small price, and fear [only] Me.
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Qur’an) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan ia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.
وَءآمِنُوا بِمَا أَنْزَلْتُ
Dan berimanlah dengan apa yang Aku turunkan kepada kamu;
Mereka hendaklah beriman dengan Al-Qur’an sekarang. Bukan kembali kepada Taurat pula. Tidak boleh hendak perbaiki balik Taurat itu dan kembali kepadanya kerana syariat Taurat telah mansukh. Mereka mestilah pakai Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ pula.
Ayat ini sekarang mereka diajak beriman kepada Al-Qur’an. Kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah diangkat menjadi Rasul dan Al-Qur’an sudah diturunkan, mereka kenalah beriman sepenuhnya dengan Al-Qur’an.
Dan untuk beriman dengan Al-Qur’an, hendaklah mereka beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ, kerana Al-Qur’an itu diturunkan melalui Nabi Muhammad ﷺ. Tidak boleh hendak percaya kepada Al-Qur’an tanpa percaya kepada Nabi ﷺ. Ini penting kerana zaman sekarang, ada yang hendak percaya kepada Al-Qur’an tetapi tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Padahal, bagaimana hendak percaya Al-Qur’an tanpa percaya kepada ajaran dari baginda?
Bagi golongan Yahudi dan Nasrani, mereka berkata mereka percaya kepada Allah ﷻ. Tetapi mereka tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ. Itu adalah salah kerana untuk percaya kepada Allah ﷻ, kita perlu juga percaya kepada Nabi Muhammad ﷺ juga.
مُصَدِّقًا لِّمَا مَعَكُمْ
yang membenarkan apa yang ada dengan kamu;
Al-Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat. Mereka telah ada kitab Taurat di tangan mereka. Dan Al-Qur’an itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat itu. Terdapat persamaan ajaran yang di dalam Taurat dan Al-Qur’an. Dan sekarang, mereka kenalah meninggalkan Taurat dan mengambil Al-Qur’an sebagai Kitab pedoman yang baru.
Al-Qur’an itu membenarkan isi tauhid yang ada dalam kitab Taurat dan Injil. Kerana memang serupa apa yang disampaikan berkenaan akidah. Akidah tauhid tidak bertukar dari dahulu sampai sekarang. Sama sahaja yang dibawakan oleh setiap Nabi. Kalau kita biasa lihat ceramah dari mereka yang mahir dengan ilmu perbandingan agama seperti Dr. Zakir Naik, mereka telah tunjukkan yang memang ada ajaran tauhid dalam kitab mereka sendiri.
Antara yang yang dibenarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah tahu bahawa akan datang Nabi akhir zaman. Dan Nabi itu akan datang ke Madinah. Sebab itulah mereka telah siap menunggu di Madinah. Jadi, mereka telah tahu tentang kedatangan Nabi yang baru itu. Cuma mereka tidak boleh terima Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda datang dari bangsa Arab.
وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ
Dan janganlah kamu jadi orang yang pertama-tama engkar dengannya;
Allah ﷻ berpesan kepada mereka supaya jangan mereka menjadi yang mula-mula engkar dengan Al-Qur’an. Kerana bila mereka engkar, akibatnya pengikut-pengikut mereka akan menjadi kufur juga. Bila jadi begitu, mereka akan menerima akibat kufur mereka dan juga pengikut-pengikut mereka itu. Mereka bukan menanggung dosa diri mereka sahaja, tetapi dosa pengikut-pengikut mereka sekali.
Orang Yahudi sekarang tidak menerima Islam kerana mereka lihat apa yang tidak diterima oleh puak Yahudi zaman mereka. Mereka lihat orang Yahudi itu duduk dengan Nabi Muhammad ﷺ tetapi tidak beriman, mereka sangka tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan Islam sampaikan tok nenek mereka dahulu tidak masuk Islam.
Jadi, ada pendeta Yahudi yang menghalang pengikutnya dari belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka akan menanggung dosa pengikut-pengikut mereka juga kerana pengikut mereka menolak Islam semenjak zaman berzaman lamanya adalah disebabkan oleh mereka.
Kita pula, sebagai contoh, akan menjadi begitu juga jika kita menyekat orang dari belajar tafsir Al-Qur’an. Maka, orang yang tidak belajar tafsir itu akan berdosa kerana mereka tidak tahu tentang agama. Orang yang menyekat mereka juga akan mendapat dosa yang sama dengan mereka yang tidak belajar itu kerana kesalahan menyekat mereka dari belajar.
Memang ada guru agama yang memberitahu anak murid tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an kerana akan menyebabkan kekeliruan, mereka tidak cukup ilmu untuk faham tafsir, tidak wajib belajar tafsir dan macam-macam lagi alasan.
Kalau sepuluh orang yang kita sekat, maka gandaan dosa kepada kita adalah sepuluh juga. Begitu juga orang yang menyebar, akan mendapat pahala orang yang mengikut saranan mereka itu juga. Oleh itu, kita galakkan manusia untuk belajar tafsir.
Kenapa mereka diingatkan jangan jadi yang pertama sekali engkar? Bukankah yang pertama engkar kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah Quraish? Yang dimaksudkan pertama-tama adalah: janganlah mereka yang berada di hadapan sekali yang engkar.
Mereka sebagai kaum yang telah menerima agama sebelum ini, sepatutnya telah tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah ajaran agama yang benar. Kalau Quraish engkar, kita boleh faham juga kerana mereka tidak pernah menerima agama dari langit. Sudah lama Nabi Ismail عليه السلام meninggalkan mereka, jadi mereka sudah jauh dari agama.
Tetapi bagi Yahudi, mereka sepatutnya masih lagi memegang pegangan agama. Sepatutnya mereka nampak yang ajaran yang Nabi Muhammad ﷺ bawakan ini adalah ajaran yang benar.
Ini adalah sifat pertama orang Yahudi. Mereka engkar dengan Al-Qur’an dan tidak membenarkan pengikut mereka belajar Al-Qur’an. Jadi kalau ada guru agama yang buat begitu, maka guru agama itu sama sahaja perangai dengan Pendeta Yahudi. Dia sahaja yang tidak perasan, kerana dia sendiri pun tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan tidak tahu pun yang Al-Qur’an sedang menceritakan tentang dirinya.
وَلَا تَشْتَرُوا بِئآيَٰتِي
Dan jangan kamu jual ayat-ayat Kami
Jangan kamu tukar agama dengan menolak ayat Al-Qur’an untuk upahan dan habuan dunia yang sedikit. Jual beli itu bermaksud ‘tukar’. Ada yang tukar ayat Al-Qur’an dengan habuan benda atau pengaruh. Mereka fikirkan periuk nasi dan perut mereka.
Mereka takut kedudukan mereka jatuh dan makan minum mereka tergendala dan pengaruh dalam masyarakat akan hilang. Mereka takut masyarakat sudah tidak hormat mereka lagi. Walaupun mereka tahu yang wahyu Nabi ﷺ bawa itu adalah benar.
ثَمَنًا قَلِيلًا
(dengan) upah yang sikit;
Maknanya, jangan tukar ayat-ayat Allah ﷻ dengan upah yang sedikit. Contohnya, macam zaman sekarang, ada yang mengambil upah untuk mengajar ayat-ayat Al-Qur’an. Ada juga ramai yang mengambil upah untuk membaca ayat-ayat Al-Qur’an. Ada yang ambil upah baca Qur’an di kuburan selepas orang mati.
Selain itu ada yang ambil upah menjadi imam Solat Terawih semasa Ramadhan. Sampai ada kisah berebut tempat kerana ada tempat bayar lebih dari tempat lain. Ada yang ajar baca tajwid di atas kapal terbang pun ada yang tentunya harga amat mahal.
Allah ﷻ membuka rahsia orang Yahudi dalam ayat ini. Mereka sebenarnya telah tahu tentang kedatangan dan kebenaran Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi mereka telah sorok kebenaran itu. Mereka takut mereka hilang kedudukan dalam masyarakat. Waktu itu mereka ada kedudukan yang menyebabkan mereka boleh monopoli agama.
Apa-apa sahaja yang mereka kata, akan diterima oleh anak murid dan pengikut mereka. Ini kerana mereka menjadi sumber rujukan dari masyarakat. Mereka mendapat upah dari ilmu yang mereka ada itu. Mereka takut kalau kebenaran diketahui, mereka tidak dipandang orang lagi. Kerana nanti masyarakat akan tahu bahawa apa yang mereka ajar selama hari ini adalah salah.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa akan ada sahaja manusia yang memakai topeng agama memutar belitkan agama supaya kedudukan mereka terpelihara. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran supaya mereka masih lagi dipandang tinggi oleh masyarakat. Dan mereka boleh cari makan dengan agama.
Mereka akan hanya menceritakan kepada manusia perkara-perkara yang menyedapkan hati manusia sahaja. Mereka tidak mengingatkan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan masyarakat kerana takut kalau mereka cerita, masyarakat tidak sanggup untuk mendengarnya dan masyarakat tidak datang kepada mereka lagi. Apabila masyarakat sudah tidak mencari mereka, maka mereka akan hilang punca pendapatan.
Contohnya, masyarakat sudah tidak panggil mereka lagi untuk beri kuliah agama, mereka tidak dipanggil lagi untuk membaca doa selamat, masyarakat tidak panggil mereka lagi untuk menjadi ketua bacaan tahlil dalam Majlis Tahlil dan macam-macam lagi. Kerana itu semua adalah punca pendapatan mereka. Mereka menjual agama sebenarnya.
Mereka menjual itu pula dengan harga yang sedikit. Kerana apa sahaja upah yang mereka dapat itu adalah amat murah kalau dibandingkan dengan nilai agama yang besar. Kita hairan kenapa mereka sanggup buat macam itu. Semoga kita diselamatkan dari orang-orang yang sebegitu. Mereka ini menjadikan agama sebagai komoditi yang boleh dijual beli.
Hasilnya, masyarakat tidak tahu bahawa apa yang mereka faham dan amalkan adalah salah, dan mereka terus bergelumang di dalam kesalahan itu. Mereka sangka mereka sudah benar, sebab guru mereka tidak menegur pun apa yang mereka lakukan itu.
Maka kerana itu lebih baik tidak mengambil upah mengajar kerana apabila kita tidak bergantung kepada bayaran anak murid, kita boleh menegur tentang semua perkara.
Kalau mereka tidak mahu panggil mengajar lagi, kita pun tidak rugi apa-apa dari segi kewangan. Kerana tujuan kita hendak menyampaikan kebenaran dan mana yang perlu ditegur, kita tegur. Namun memang kebiasaan manusia, tidak suka ditegur walaupun mereka salah. Mereka itu manja, hendak dipujuk-pujuk, dipuji-puji sahaja.
Bila kena tegur sedikit, mulalah nak menjuihkan mulut. Jadi tidak tahulah siapa yang boleh menegur mereka, kena tunggu Nabi Isa عليه السلام turun baliklah agaknya baru hendak dengar kata.
Maka ini adalah sifat kedua Yahudi, iaitu mereka menjual ayat-ayat Allah ﷻ. Ramai juga guru agama yang buat kerja ini.
وَإِيَّٰيَ فَاتَّقُونِ
Dan hanya kepadaKu sahajalah kamu bertaqwa;
Mereka diajak takut kepada Allah ﷻ. Hendaklah takut kepada Allah ﷻ sahaja. Jangan hirukan kata-kata dan ancaman manusia. Ini penting kerana ada yang takut dengan manusia lain, sampaikan tidak berani untuk menyampaikan ajaran dari ayat-ayat Al-Qur’an.
Hendaklah kita bertaqwa kepada Allah ﷻ dengan menjaga hukum yang Allah ﷻ telah sampaikan kepada kita. Kepada Allah ﷻ sahaja hendaknya kamu takut. ‘Takut’ di sini maksudnya dengan melakukan amalan yang benar. Oleh kerana itu kena ikutlah Nabi Muhammad ﷺ.
Maka perasaan takut itu hendaklah diikuti dengan menjadi orang bertaqwa. Bukannya setakat takut dan menggigil sahaja tetapi tidak berbuat apa-apa. Itu takut orang yang gila.
Jadi ini adalah jenis takut yang kedua. Ini beza dengan takut yang mula-mula telah disampaikan sebelum ini iaitu farhabun.
Ayat 42: Ini adalah sifat ketiga Pendeta Yahudi. Sifat pertama adalah menyekat pengikut mereka dari berjumpa dengan Nabi ﷺ. Yang kedua, mereka mengambil peluang dengan menjual agama.
Allah ﷻ keluarkan lagi rahsia kejahatan Yahudi. Orang Islam yang berperangai Yahudi pun macam inilah sifat mereka. Segala perkara yang Allah ﷻ sebut dalam Al-Qur’an, ada dalam kalangan manusia. Kerana Al-Qur’an ini adalah panduan sampai Kiamat. Maka perbuatan ini memang akan berterusan dilakukan oleh orang agama.
Yang pertama kita kena lakukan adalah periksa diri kita dengan sifat-sifat Yahudi itu. Kita periksa sama ada kita ada sifat-sifat itu. Dan apabila sampaikan kepada orang lain, orang lain itu pun akan periksa dirinya sendiri.
وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ
And do not mix the truth with falsehood or conceal the truth while you know [it].
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ
Jangan kamu campur adukkan yang haq dengan yang batil;
Ini adalah larangan Allah ﷻ supaya jangan campurkan yang benar dengan yang salah. Allah ﷻ menegur golongan Yahudi: “Yang mudah-mudah kamu amal, tetapi yang lainnya kamu tukar. Kamu ganti dengan amalan yang kamu reka sendiri – itulah yang bathil.”
Jadi amalan mereka ada yang diambil dari Taurat, tetapi ada yang ringan yang mereka reka sendiri. Maknanya, bukanlah mereka tolak semua sekali Taurat itu.
Contohnya adalah apa yang diamalkan dalam masyarakat kita dalam upacara tahnik (belah mulut budak yang baru lahir). Memasukkan kurma atau buah yang manis ke dalam mulut bayi. Ia memang sunnah dilakukan. Apa yang Nabi ﷺ ajar adalah menggunakan buah kurma.
Yang ditambah oleh orang kita adalah menggunakan gula batu dengan harapan supaya budak itu nanti ‘manis mulut’nya. Supaya kalau perempuan, mudah dapat suami, dan kalau lelaki, senang dapat kerja. Ini adalah perbuatan yang syirik dan khurafat. Kerana mereka percaya bahawa akan dapat kelebihan-kelebihan itu kalau dibuat.
Ada juga yang menggunakan garam bukit supaya mulut budak itu ‘masin’. Supaya anak itu apabila besar nanti akan menjadi tok guru, tok wali dan sebagainya. Padahal, untuk menjadi guru kenalah belajar Al-Qur’an dan Hadis. Dan macam-macam lagi yang digunakan oleh masyarakat kita. Ada yang guna asam keping, ada yang guna cincin emas, cincin perak dan sebagainya lagi.
Inilah yang dinamakan ‘mencampurkan yang benar dengan yang salah’. Melakukan tahnik itu sudah betul, tetapi dicampur pula dengan perbuatan yang salah. Perbuatan ini dinamakan talbis. Iaitu mencampurkan yang benar dengan yang salah. Bila kita tegur, mereka pandai pula kata: “eh kan tahnik Nabi ada buat?” Ya, memang buat tapi bukan macam cara kamu buat!
Satu lagi contoh: memberi orang makan di rumah kita adalah digalakkan dalam Islam. Tetapi mengadakan upacara bidaah seperti bacaan Doa Selamat dan Majlis Tahlil, itu adalah tidak benar. Itu pun dikira mencampur adukkan yang benar dengan yang salah.
Dalam pengajaran pula, ada yang menyelitkan benda yang salah dalam ajaran mereka. Yang bukan datangnya dari agama Islam, tetapi dari pendapat-pendapat manusia, kitab dan sebagainya. Mereka memang ada menceritakan kebenaran dari Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi ada juga yang mereka selitkan yang bukan dari Islam. Ini pun dipanggil mencampur adukkan haq dan batil.
وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ
dan kamu sembunyikan yang benar
Mereka sembunyikan yang haq itu daripada diajar kepada manusia. Sedangkan mereka tahu apa yang mereka telah sembunyikan. Iaitu apabila mengajar Taurat, apabila sampai kepada yang syariat yang payah, mereka tafsir dengan tafsir yang mereka buat sendiri. Mereka tidak mengubah matan teks Taurat itu, tetapi apa yang mereka syarah itu yang mereka reka sendiri. Mereka campur adukkan yang benar dan yang salah.
Perkara inilah yang terjadi kepada ulama-ulama Su’ – ulama-ulama jahat. Mereka tidak menukar matan Al-Qur’an, tetapi mereka takwil dan tafsir dengan makna yang lain. Sedangkan maknanya bercanggah dengan ayat-ayat Al-Qur’an. Mereka buat mengikut apa yang mereka kehendaki. Mereka sembunyikan yang benar dan ini adalah amat jahat sekali.
Anak murid pula memang takut untuk menegur tok guru. Apa sahaja yang guru beritahu, mereka sangka ia adalah benar belaka, maka mereka akan terima sahaja. Itulah dikatakan yang ulama: العوام كالأنعام (orang awam macam binatang ternak). Maknanya mereka akan ikut sahaja apa yang dikatakan oleh agamawan.
Dan ini amat bahaya kerana kalau guru itu salah, bagaimana? Asalnya kesalahan yang dilakukan oleh guru agama sahaja, tetapi apabila dipanjangkan oleh pengikut yang jahil, maka ia jadi berleluasa.
Sampai sekarang ada masjid yang memberikan amaran kepada ustaz (oleh AJK Masjid) supaya jangan sembang tentang perkara ini dan itu. Contohnya tentang bidaah, jangan sentuh. Maknanya AJK itu suruh sembunyikan kebenaran. Disuruh ajar perkara-perkara yang tidak menimbulkan kontroversi sahaja. Kalau ajar juga, alamatnya pendeklah masa ustaz itu di masjid itu kerana tidak akan dijemput lagi.
Ini adalah bisikan dari syaitan. Apabila tidak dibenarkan beritahu yang benar, maka lama kelamaan memang masyarakat akan terus berada di dalam kejahilan. Mereka yang berkata begitu dan ustaz yang mengikut sahaja cakap AJK Masjid itu tidak sedar yang mereka itu sendiri sudah mempunyai perangai Yahudi. Ini teruk kerana kita pun tahu yang Yahudi dilaknat Allah ﷻ maka takkan kita pun mahu dilaknat juga?
وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
sedangkan kamu tahu;
Dan mereka tahu yang mereka telah menyembunyikan yang benar; Pendeta Yahudi itu tahu yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah. Ini sama macam ustaz kita yang tahu mana-mana amalan syirik dan bidaah yang diamalkan masyarakat kerana mereka telah belajar agama. Tetapi mereka sanggup menyembunyikannya. Para ustaz itu tidak tegur pun.
Sebagai contoh, tok guru itu sebenarnya tahu yang sebetulnya tahnik itu menggunakan buah kurma sahaja tetapi dia membiarkan sahaja orang berbuat macam-macam lagi perkara tambahan, kerana dia hendak mendapatkan upah yang sedikit.
Sebab mereka akan dapat upah kalau mereka melakukan upacara tahnik itu. Kalau mereka tegur, mereka takut nanti masyarakat sudah tidak panggil mereka menjadi ketua acara majlis itu lagi. Jadi, kalau ada tok guru yang melakukan sebegini, maknanya mereka sudah menjadi seperti Pendeta Yahudi. Mereka mempunyai sifat-sifat Pendeta Yahudi.
Ada juga guru ugama yang apabila mengajar tentang agama, mereka tidak menceritakan sepenuhnya tentang kesalahan-kesalahan masyarakat. Takut nanti ada yang terasa hati. Mereka lebih hendak menjaga hati manusia daripada kehendak Allah ﷻ. Seolah-olah mereka lebih takutkan manusia daripada takut dengan Allah ﷻ?
Ataupun ada yang tidak membacakan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh golongan Ahli Kitab sebab mereka hendak menunjukkan kononnya Islam itu liberal – agama Islam sama sahaja dengan agama lain yang mementingkan kebaikan. Maksudnya, semuanya ‘boleh buat belaka’.
Mereka takut kalau dibacakan ayat-ayat itu, takut orang bukan Islam nampak Islam ini hanya hendak menyalahkan orang lain sahaja. Padahal ayat-ayat itu ada dalam Al-Qur’an. Kalau mereka tidak menceritakannya, itu menunjukkan mereka menyembunyikan kebenaran. Itu adalah jenis orang yang takut dengan orang kafir. Mereka takut orang lain terasa hati dengan agama Islam pula.
Ada juga yang benci sangat kepada orang bukan Islam sampai mereka hanya menekankan ayat-ayat memerangi orang kafir. Mereka tidak baca pula ayat-ayat yang menekankan keamanan dan berbaik dengan orang-orang bukan Islam. Ini adalah hasil dari perasaan benci kepada orang bukan Islam.
Dalam Islam, tidak boleh ada dua perasaan itu. Tidak boleh ada perbuatan dan pengajaran kita didorong oleh takut dan marah. Kita kena jujur dengan Al-Qur’an. Jangan kita sembunyikan ayat-ayat Al-Qur’an. Kalau diajar dengan betul, tidak ada apa yang hendak kita takutkan untuk sampaikan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Semua ayat Al-Qur’an adalah berguna dan perlu disampaikan kepada manusia.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 23 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Mualana Hadi
Tafsir Jalalain