Baqarah Ayat 24: Ayat ini adalah dalam bentuk takhwif ukhrawi – menakutkan manusia dengan balasan azab di akhirat kelak. Allah ﷻ suruh manusia yang sudah dicabar itu untuk berfikir.
فَإِن لَّم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ
But if you do not – and you will never be able to – then fear the Fire, whose fuel is men and stones, prepared for the disbelievers.
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.
فَإِنْ لَّمْ تَفْعَلُوا
Dan sekiranya kamu tidak dapat melakukannya;
Perkataan ‘لَمْ’ dalam ayat ini bermakna perkara yang sudah lepas. Ini bermakna, orang-orang kafir itu telah cuba untuk membuat ayat Al-Qur’an untuk menandingi kehebatan Al-Qur’an. Maka Allah ﷻ ingatkan semula yang mereka memang telah cuba tetapi tidak berjaya, bukan?
وَلَنْ تَفْعَلُوا
dan tidak mungkin selama-lamanya kamu dapat melakukannya;
Akan tetapi cubaan mereka itu tidak berjaya. Ini adalah potongan mu’taridah (tambahan) daripada Allah ﷻ untuk beritahu kita satu fakta. Bukan sahaja semasa ayat ini diturunkan di Mekah, malah sehingga ke Hari Kiamat tidak akan ada yang mampu melakukannya kerana bahasa Al-Qur’an bukanlah bahasa manusia biasa, tetapi ia adalah Kalam Allah ﷻ. Allah ﷻ kata: وَلَن تَفعَلوا – kamu tidak akan mampu buat sampai bila-bila kerana ia adalah Kalam Allah ﷻ kerana perkataan لَن itu bermaksud ‘tidak sampai bila-bila’. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Isra’: 88
قُل لَّٮِٕنِ ٱجتَمَعَتِ ٱلإِنسُ وَٱلجِنُّ عَلَىٰٓ أَن يَأتُواْ بِمِثلِ هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لَا يَأتُونَ بِمِثلِهِۦ وَلَو كَانَ بَعۡضُهُمۡ لِبَعضٍ ظَهِيرًا
Katakanlah: “Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Qur’an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekali pun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”.
Maka ini adalah hujah daripada Allah ﷻ dan hujah yang sama digunakan untuk membuktikan Tauhid di dalam ayat 22 di mana Allah ﷻ menceritakan benda-benda yang makhluk tidak boleh buat (maka sembahlah Dia sahaja). Sekarang ditunjukkan lagi satu bukti yang manusia memang tidak boleh buat Al-Qur’an sendiri, maka terimalah sahaja yang ia adalah daripada Allah ﷻ, Tuhan yang Satu.
Ayat cabaran dan amaran ini sepatutnya sudah cukup untuk mematahkan hujah orang-orang kafir yang tidak percaya dengan Al-Qur’an. Kalau kita berdebat dengan orang-orang kafir sekarang pun, sepatutnya kita gunakan hujah ini sahaja. Namun malangnya, kerana ramai tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak memahami Kalam Allah ini, maka mereka tidak mampu berhujah dengan orang kafir. Kita sendiri pun mungkin tidak mampu menunjukkan di mana hebatnya bahasa Al-Qur’an ini.
Lihatlah bagaimana para sahabat yang mampu menyebar agama Islam ke seluruh dunia dengan berbekalkan Al-Qur’an sahaja. Kalau kita faham Al-Qur’an seperti mereka, kita pun boleh menghasilkan usaha sebegitu juga. Kita juga boleh menjadi hebat seperti mereka yang menakluk dunia jikalau kita pun ada pertalian kukuh dengan Al-Qur’an sebagaimana mereka.
Ayat ini juga menjadi dalil bagi kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana kalau manusia pun tidak boleh buat sama seperti Al-Qur’an, maka takkan Nabi Muhammad ﷺ pula boleh buat? Maka kalau baginda tidak boleh buat, maka dari mana datangnya Al-Qur’an itu kalau bukan daripada Allah ﷻ.
Ia juga menjadi dalil mukjizat Al-Qur’an kerana kehebatannya itu mengalahkan manusia. Al-Qur’an adalah mukjizat yang kekal sampai Kiamat. Para Rasul lain pun ada mukjizat juga diberikan kepada mereka, akan tetapi ia datang dan hilang bersama mereka. Sebagai contoh, kita tidak dapat melihat sendiri tongkat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Akan tetapi Al-Qur’an ini sentiasa sahaja bersedia untuk kita kaji jikalau ada sesiapa yang hendak kritik kehebatannya. Oleh kerana cabaran ini masih lagi berkuasa sampai ke hari ini, ia juga bermaksud mukjizat ini terbukti sehingga sekarang.
Tentang mukjizat Al-Qur’an ini banyak sekali dikaji oleh para ulama’. Malah di dalam penulisan kita ini juga akan menyebut tentang mukjizat-mukjizat itu apabila sampai ke tempatnya nanti. Di sini kita boleh senaraikan beberapa kehebatan Al-Qur’an:
1. Al-Qur’an mengandungi terlalu banyak ajaran yang merangkumi terlalu banyak topik. Seandainya ada manusia yang meragui Al-Qur’an, maka mereka kena ingat yang turunnya Al-Qur’an ini ketika keadaan manusia tidak banyak ilmu penulisan lagi pada waktu itu. Berbeza dengan zaman sekarang di mana seorang penulis mempunyai banyak sekali bahan rujukan untuk dikaji tentang sesuatu topik, akan tetapi pada zaman itu, bagaimana mungkin Nabi Muhammad ﷺ mampu hendak buat kajian?
2. Al-Qur’an bukan sahaja mengandungi ajaran dan nasihat, tetapi ia juga disampaikan dalam bahasa yang amat indah. Ini tidak dapat tidak, diakui juga oleh para penentang Nabi Muhammad ﷺ dan ajaran Tauhid. Mereka membenci Al-Qur’an, tetapi mereka tidak dapat menolak kehebatannya. Mereka terpesona mendengarnya sampaikan antara cubaan mereka untuk menolak manusia lain beriman adalah dengan menghalang mereka daripada mendengarnya. Mereka juga cuba untuk mengatakan Al-Qur’an itu adalah puisi, akan tetapi itu pun mereka tidak yakin boleh gunakan hujah itu. Ahli puisi zaman itu pun tidak dapat membuat seperti ayat-ayat Al-Qur’an walaupun mereka waktu itu hebat dengan bahasa (sampaikan kalau diminta mereka cipta puisi, saat itu juga mereka boleh terus buat).
3. Al-Qur’an menyebut perkara yang akan terjadi di masa hadapan dan ia benar-benar terjadi. Sebagai contoh, Al-Qur’an menyebut kemenangan Rom ke atas Parsi beberapa tahun sebelum ia berlaku.
4. Al-Qur’an juga menyebut tentang sejarah masa lalu yang tidak diketahui oleh manusia. Sebagai contoh disebut tentang sejarah para Nabi yang tidak diketahui pun oleh ulama’ Ahli Kitab.
5. Al-Qur’an ada menyebut lintasan hati manusia dan orang itu terpaksa mengaku yang memang mereka berkata begitu di dalam hati mereka. Sebagai contoh seperti ayat Mujadilah: 8
وَيَقولونَ في أَنفُسِهِم لَولا يُعَذِّبُنَا اللهُ بِما نَقولُ
Dan mereka mengatakan kepada diri mereka sendiri: “Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu?”
6. Al-Qur’an mengatakan yang manusia tertentu tidak akan mampu melakukan sesuatu dan memang benar mereka tidak mampu melakukannya. Walaupun kalau difikirkan, boleh sahaja mereka lakukan kalau mereka hendak membuktikan Al-Qur’an telah menipu. Sebagai contoh lihat ayat Jumuah: 7
وَلا يَتَمَنَّونَهُ أَبَدًا
Mereka tiada akan mengharapkan kematian itu selama-lamanya
Sekiranya orang-orang Yahudi itu hendak membuktikan Al-Qur’an menipu, mereka mintalah untuk dimatikan. Akan tetapi mereka tidak berani kerana mereka sebenarnya percaya yang Al-Qur’an adalah kalimah Allah ﷻ dan jikalau mereka benar-benar minta dimatikan, mereka akan mati pada saat itu juga.
7. Ayat Al-Qur’an amat indah untuk didengar. Sama ada orang itu faham bahasa Arab ataupun tidak. Ini kerana ia sangat indah dan menenangkan hati. Sampai sekarang pun kita boleh lihat video-video Non-Muslim pertama kali mendengar Al-Qur’an dan mereka terpesona dengan alunan Al-Qur’an. Ini tidak boleh dibuat-buat.
8. Mana-mana buku, atau mana-mana lagu pun, kalau dibaca berulangkali tentu akan menjadi bosan walaupun pada mulanya ia sangat menyenangkan sekali bagi kita. Namun sebaliknya dengan Al-Qur’an ini, walaupun dibaca beribu kali, ia tetap indah. Sebagai contoh anda telah baca Surah Fatihah semenjak kecil lagi, adakah anda bosan membacanya? Tentu tidak!
9. Kitab-kitab wahyu lain banyak yang hilang, atau kalau ada pun tidaklah di dalam bentuk yang lengkap dengan teks yang asal. Sedangkan Al-Qur’an ini ada di mana-mana dan semuanya sama belaka. Ini adalah kerana Allah ﷻ telah berjanji akan menjaga Al-Qur’an. Salah satu caranya adalah dengan memudahkan manusia menghafalnya sampaikan seluruh dunia ini ada berjuta-juta manusia menghafalnya, tua atau muda. Tidak ada mana-mana buku agama lain yang dihafal sebegini meluas dan banyak sekali.
10. Nasihat dan kata-kata hikmah yang terkandung di dalam Al-Qur’an adalah menyeluruh dan menyentuh banyak perkara yang tidak ada di dalam mana-mana buku lagi.
11. Al-Qur’an bukan ajaran teori tetapi ia telah diamalkan zaman berzaman dan telah mengubah tamadun manusia dalam masa yang singkat. Bayangkan negeri Arab yang tidak bertamadun dan tidak dipandang oleh kuasa besar dunia pada waktu itu, telah menakluk hampir keseluruhan dunia dalam masa yang singkat sahaja. Ini kerana umat waktu itu berpegang teguh dengan ajaran Al-Qur’an yang amat hebat ini.
فَاتَّقُوا النَّارَ
maka takutlah kamu akan api neraka;
Allah ﷻ berfirman lagi: “Kalau kamu tidak boleh buat, dan masih lagi degil untuk menerima Al-Qur’an, maka ingatlah yang kamu akan diazab di neraka nanti”. Ini adalah ayat amaran yang keras yang diberikan kepada semua manusia.
Allah ﷻ juga suruh mereka supaya bersedia dengan apa yang mereka ada untuk menyelamatkan diri mereka daripada api neraka. Apa-apa sahaja yang mereka boleh usaha untuk selamatkan diri mereka nanti, gunalah kalau boleh. Ini kerana Allah ﷻ sudah suruh mereka takut kepada Allah ﷻ dalam ayat ini. Sebelum ini diajak takut kepada Allah ﷻ, mereka berdegil tidak mahu. Sekarang bersedialah untuk api neraka itu.
Allah ﷻ tidak suruh pula mereka beriman dengan Al-Qur’an, bukan? Padahal sebelum ini mereka tidak percaya dan setelah gagal untuk membuat satu surah seperti Al-Qur’an, sepatutnya boleh sahaja Allah ﷻ berfirman: ‘Kalau begitu, berimanlah kamu dengan Al-Qur’an’. Akan tetapi tidak Allah ﷻ sebut begitu sebaliknya sebut tentang neraka? Kenapa? Kerana kalau setakat suruh beriman sahaja, ia tidak menakutkan dan tidak menggerakkan mereka. Sebaliknya Allah ﷻ beri ancaman neraka kerana ia lebih menakutkan dan manusia selalunya akan bertindak jikalau mereka takut. Sebagai contoh kalau kerajaan suruh penduduk suatu tempat berpindah kerana di tempat baru akan mendapat peluang pekerjaan dan rumah baru, mungkin ramai yang buat tidak tahu sahaja. Akan tetapi kalau disuruh pindah kerana kawasan mereka itu terancam akan dilanda banjir tidak lama lagi, maka semuanya akan terus berpindah dengan segera.
Di dalam ayat ini juga mengandungi pengajaran kepada kita, untuk menyelamatkan diri dari neraka adalah dengan mengikuti ajaran Al-Qur’an. Bukan setakat baca sahaja, tetapi hendaklah difahami dan diamalkan. Daripada Abu Musa Al Asy’ariy, Rasulullah ﷺ bersabda,
الْمُؤْمِنُ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالأُتْرُجَّةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ ، وَالْمُؤْمِنُ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَعْمَلُ بِهِ كَالتَّمْرَةِ ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالرَّيْحَانَةِ ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ ، وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِى لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالْحَنْظَلَةِ ، طَعْمُهَا مُرٌّ – أَوْ خَبِيثٌ – وَرِيحُهَا مُرٌّ
“Permisalan orang yang membaca Al Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah utrujah, rasa dan baunya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Qur’an dan mengamalkannya adalah bagaikan buah kurma, rasanya enak namun tidak beraroma. Orang munafik yang membaca Al Qur’an adalah bagaikan royhanah, baunya menyenangkan namun rasanya pahit. Dan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an bagaikan hanzholah, rasa dan baunya pahit dan tidak enak.”
(Sahih Bukhari No. 5059)
Namun begitu kita pun boleh perhatikan yang orang kita ramainya hanya membaca sahaja Al-Qur’an tanpa memahami apa yang mereka baca. Mereka tidak mengambil manfaat pun daripada ajaran Al-Qur’an itu. Kita takut kita akan dikutuk oleh Al-Qur’an nanti. Ini kerana Rasulullah ﷺ bersabda,
وَالقُرْاَنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْك
“Al Qur’an itu bisa menjadi pembelamu atau musuh bagimu.”
(Sahih Muslim No. 223)
Maknanya kalau kita baca, tetapi kita langgar apa yang kita baca, Al-Qur’an akan menjadi musuh kita di akhirat nanti. Allahu musta’an. Semoga kita menjadi ahli Al-Qur’an dan mendapat bantuan daripada Al-Qur’an, seperti sabda Rasulullah ﷺ,
الصيام والقرآن يشفعان للعبد يوم القيامة
“Puasa dan Al-Quran akan memberikan syafaat pada seorang hamba di hari kiamat kelak”.
(Riwayat Ahmad: 6626, dan al-Hakim: 1/554, hasan li ghairihi)
الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ
yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;
Allah ﷻ beri sedikit gambaran tentang neraka. Allah ﷻ sebut apakah bahan bakar dalam neraka itu; iaitu manusia dan batu. Batu itu terdiri daripada batu-batu berhala Dalil berhala akan dibakar adalah ayat Anbiya’: 98
إِنَّكُم وَما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُم لَها وٰرِدونَ
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.
Apa salah batu itu sampai dibakar sekali dalam neraka? Allah ﷻ akan bakar batu-batu dalam neraka adalah kerana mereka yang menyembah selain Allah ﷻ akan dimasukkan dengan apa yang mereka sembah itu kerana ada antara mereka yang sembah batu (seperti berhala), maka mereka akan dimasukkan sekali dengan batu yang mereka sembah itu.
Apabila mereka lihat batu itu pun dibakar sekali bersama mereka, maka habislah harapan mereka. Batu yang mereka sembah pun turut dibakar, apatah lagi mereka? Semakin banyak bahan bakar, semakin panas neraka itu. Kerana itulah ahli neraka akan marah kepada ahli neraka yang baru masuk. Ini kerana semakin ramai masuk, semakin banyak bahan bakar dan semakin panas neraka itu. Ini disebut di dalam A’raf: 38
قالَ ادخُلوا في أُمَمٍ قَد خَلَت مِن قَبلِكُم مِّنَ الجِنِّ وَالإِنسِ فِي النّارِ
Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri);
Yang diseksa itulah yang menjadi bahan bakar api neraka. Api neraka itu tidaklah dapat dibayangkan bahang kepanasannya dek kerana ia terlampau panas. Bagaimanakah perumpamaannya? Daripada Abu Hurairah , sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda:
نَارُكُمْ هذِهِ الَّتِي يُوْقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِيْنَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ. قَالُوْا: وَاللهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيُةً يَارَسُوْلَ اللهِ. قَالَ: فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّيْنَ جُزْءًَا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا.
“Api kamu ini, yang anak cucu Adam menyalakannya adalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian daripada panasnya neraka Jahanam. “Mereka bertanya: “Demi Allah, sesungguhnya sudah cukup panas, wahai Rasulullah. “Baginda menjawab: “Sesungguhnya dilebihkan atasnya dengan enam puluh sembilan bahagian, semuanya sama seperti panasnya“.
Muttafaqun ‘alaih.
(HR Bukhari 3265, dan Muslim 2843)
أُعِدَّتْ لِلْكٰفِرِينَ
yang disediakan khas untuk orang-orang kafir;
Makna perkataan ‘kafir’ itu diambil daripada kata asal ‘ك ف ر’ yang bermaksud ‘dalam tanah’. Orang kafir itu sebenarnya menyembunyikan (tanam dalam-dalam) iman yang sebenarnya telah ada dalam diri mereka. Mereka menolak kebenaran secara degil. Allah ﷻ telah meletakkan fitrah keimanan ke dalam diri setiap insan, tetapi orang-orang kafir tidak mahu mengeluarkannya. Mereka menyembunyikan fitrah keimanan itu dalam diri mereka.
Ayat ini juga menunjukkan bahawa neraka dan begitu juga syurga, telah ada sekarang ini. Sedang menunggu sahaja siapa yang akan masuk ke dalamnya. Ini menolak pendapat mereka yang mengatakan yang syurga dan neraka hanya akan dijadikan selepas Kiamat nanti.
Kenapa Allah ﷻ sediakan siap-siap neraka itu? Bukankah Allah ﷻ boleh sahaja siapkan neraka itu sekelip mata? Allah ﷻ sudah siapkan dan beritahu kita yang ia sudah ada untuk menakutkan kita. Kalau benda belum ada, kuranglah takutnya. Contohnya kita ancam anak kita: “Nanti ayah akan beli rotan untuk rotan kamu!”. Ini tidak menakutkan sangat kerana rotan belum ada. Akan tetapi apa kata kalau rotan itu memang sudah ada di rumah? Tentu ia menakutkan anak itu, bukan?
Apabila kita membaca Al-Qur’an, banyaklah nanti akan bertemu dengan ayat-ayat sebegini, menceritakan dengan neraka dan menakutkan manusia. Mungkin ada yang berkata: “Buku apa ini, asyik hendak menakutkan sahaja?” Kita kena faham bahawa inilah rahmat daripada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ beri peringatan kepada kita dari awal lagi. Kerana Allah ﷻ hendak kita menjadi orang yang baik. Antara cara untuk memberi peringatan dan membentuk manusia adalah dengan beri ancaman. Sekiranya tiada ancaman, maka ramai yang ambil enteng sahaja tentang amalan dan perbuatan mereka.
Di dalam ayat ini disebut neraka itu disediakan bagi orang kafir. Namun ada dalil yang memberitahu kita bahawa orang Muslim pun ada juga dimasukkan ke dalam neraka, bagaimana pula? Maka kita kena faham bahawa yang kekal di dalam neraka adalah orang kafir sahaja. Orang Muslim yang mempunyai pegangan Tauhid kalau dimasukkan ke dalam neraka adalah tidak kekal, setakat untuk membersihkan dosa mereka sahaja. Ini disebut di dalam banyak hadith, antaranya,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِي اللهُ عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَدْخُلُ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ ثُمَّ يَقُولُ اللهُ تَعَالَى أَخْرِجُوا مِنَ النَّارِ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ مِنْ إِيمَانٍ فَيُخْرَجُونَ مِنْهَا قَدِ اسْوَدُّوا فَيُلْقَوْنَ فِي نَهَرِ الْحَيَا أَوِ الْحَيَاةِ شَكَّ مَالِكٌ فَيَنْبُتُونَ كَمَا تَنْبُتُ الْحِبَّةُ فِي جَانِبِ السَّيْلِ أَلَمْ تَرَ أَنَّهَا تَخْرُجُ صَفْرَاءَ مُلْتَوِيَةً قَالَ وُهَيْبٌ حَدَّثَنَا عَمْرٌو الْحَيَاةِ وَقَالَ خَرْدَلٍ مِنْ خَيْرٍ. [رواه البخاري: 21 ومسلم: 270]
“Daripada Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ baginda bersabda: Penghuni syurga akan masuk syurga dan penghuni neraka akan masuk neraka, kemudian Allah ta’ala memerintahkan: Keluarkan dari neraka orang-orang yang dalam hatinya ada iman seberat biji sawi. Maka dikeluarkanlah mereka dari neraka yang warna (badannya) benar-benar hitam, lalu dimasukkan ke dalam sungai hidup atau sungai kehidupan, lalu tumbuhlah mereka seperti biji yang tumbuh setelah air bah, adakah engkau tidak melihatnya, sesungguhnya ia keluar berwarna kuning yang melilit.”
(Riwayat Bukhari (21) dan Muslim (270))
Di dalam sebuah lagi hadith,
عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ آخِرَ أَهْلِ النَّارِ خُرُوجًا مِنْهَا وَآخِرَ أَهْلِ الْجَنَّةِ دُخُولاً الْجَنَّةَ رَجُلٌ يَخْرُجُ مِنَ النَّارِ حَبْوًا فَيَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلْأَى فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلْأَى فَيَقُولُ اللهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ قَالَ فَيَأْتِيهَا فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهَا مَلْأَى فَيَرْجِعُ فَيَقُولُ يَا رَبِّ وَجَدْتُهَا مَلْأَى فَيَقُولُ اللهُ لَهُ اذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ فَإِنَّ لَكَ مِثْلَ الدُّنْيَا وَعَشَرَةَ أَمْثَالِهَا أَوْ إِنَّ لَكَ عَشَرَةَ أَمْثَالِ الدُّنْيَا قَالَ فَيَقُولُ أَتَسْخَرُ بِي أَوْ أَتَضْحَكُ بِي وَأَنْتَ الْمَلِكُ قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَحِكَ حَتَّى بَدَتْ نَوَاجِذُهُ قَالَ فَكَانَ يُقَالُ ذَاكَ أَدْنَى أَهْلِ الْجَنَّةِ مَنْزِلَةً . [رواه البخاري: 6086 ومسلم: 272)
“Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: bersabda Nabi ﷺ: Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui penduduk neraka terakhir masuk neraka dan penduduk syurga terakhir masuk syurga. Seorang laki-laki keluar dari neraka dengan merangkak, maka Allah memerintahkan (kepada orang itu): “Pergilah dan masuklah ke syurga!” Laki-laki itu mendatangi syurga itu sambil menyangka bahawa syurga itu telah penuh. Lalu dia kembali dan berkata: “Wahai Tuhan aku dapati syurga itu telah penuh.” Allah memerintahkan: “Pergilah dan masuklah ke syurga!” Maka dia mendatanginya sambil menyangka bahawa syurga itu telah penuh. Lalu dia kembali dan berkata: “Wahai Tuhan aku dapati syurga itu telah penuh.” Maka Allah berfirman: “Pergilah dan masuklah ke syurga, maka sesungguhnya (syurga) itu semisal dunia dan sepuluh kalinya atau sesungguhnya syurga itu sepuluh kali dunia.” Laki-laki itu berkata: “Engkau mengejek dan mentertawakanku sedangkan Engkau pemilik(nya).” Aku (Ibnu Mas’ud) melihat Rasulullah ﷺ tertawa hingga tampak gigi gerahamnya. Dan pernah pula dikatakan: “Yang demikian itu adalah penduduk syurga yang paling rendah tingkatannya.”
(Riwayat al-Bukhari (6086) dan Muslim (272))
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 14 Julai 2024
Rujukan:
Nouman Ali Khan
Maulana Hadi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

