Tafsir Surah Yaasin Ayat 36 – 38 (Makhluk dicipta berpasangan)

Yaasin Ayat 36: Oleh sebab Allah ‎ﷻlah yang menjadikan segalanya, maka hendaklah kita memuji-Nya dan taat kepada-Nya.

سُبحٰنَ الَّذي خَلَقَ الأَزوٰجَ كُلَّها مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ وَمِن أَنفُسِهِم وَمِمّا لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Exalted is He who created all pairs1 – from what the earth grows and from themselves and from that which they do not know.

  • Or “all species.”

(MELAYU)

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui.

 

سُبْحَٰنَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَٰجَ كُلَّهَا

Maha suci Dzat yang menciptakan pasangan-pasangan semua sekali:

Kita telah pernah bincangkan di tempat lain bahawa kata dasar سُبْحَانَ adalah ‘berenang’. Ada kaitan antara kata dasar itu dengan kehidupan kita sekarang. Kalau kita berenang, bukankah kita kena berusaha untuk terus timbul? Kepala kita di atas air, tetapi kaki kita terus menendang-nendang air untuk menimbulkan kita. Kalau kita berhenti, kita akan tenggelam dan lemas. Begitulah juga kehidupan kita dalam dunia ini. Kita kena sentiasa berusaha untuk kekal dalam iman. Ini kerana amat banyak perkara-perkara yang hendak menjatuhkan kita sepertimana kalau kita tidak melakukan apa-apa di dalam air. Syaitan dan nafsu akan sentiasa memujuk kita untuk melupakan Allah ‎ﷻ. Maka kita hendaklah sentiasa mengingati Allah ‎ﷻ dengan zikr kepada-Nya.

Namun di sini yang disebut سُبْحَانَ adalah Allah. Apakah maksud Allah سُبْحَانَ? “Maha Suci Allah” — yakni Allah ‎ﷻ disucikan daripada segala kekurangan, cela, kekufuran, sifat makhluk, dan segala sesuatu yang tidak layak bagi-Nya. Secara spesifik di dalam ayat ini ia hendak menolak ada sangkaan yang Allah ‎ﷻ memerlukan sesiapa. Allah ‎ﷻ suci daripada sifat lemah itu. Allah ‎ﷻ berdiri sendiri dan menguruskan alam ini sendirian sahaja. Secara umumnya pula, apabila kita menyebut subhanallah, seperti yang kita selalu lakukan setiap hari, ia untuk mengingatkan diri kita untuk menafikan segala kekurangan daripada Allah, seperti:

    • Lemah
    • Lupa
    • Lapar atau tidur
    • Ada anak atau ibu bapa
    • Menyerupai makhluk

Zikr tidak semestinya menyebut kalimah-kalimah tertentu sahaja. Zikr itu bermaksud: ingat. Banyak perkara boleh mengingatkan kita tentang Allah ‎ﷻ. Kita hendaklah mencari peluang untuk mengingati Allah ‎ﷻ dalam segenap kehidupan kita. Gunakan kalimah-kalimah yang akan mengingatkan kita kepada Allah ‎ﷻ dalam segenap kehidupan kita. Malangnya, kadang-kadang kita malu untuk menyebut perkataan seperti ‘subhanallah’, ‘in sha Allah’, ‘alhamdulillah’, ‘ma sha Allah’ dan sebagainya dalam percakapan kita seharian. Ramai yang konon melihat zikir-zikir ini seperti zikir biasa, ceroi sahaja; mereka lebih suka zikir rekaan yang diberi oleh guru-guru tarekat mereka, yang mereka jumpa entah dari mana dan entah siapa yang beri. Sedangkan zikir-zikir yang sahih itu sebenarnya sudah amat tinggi nilainya sekiranya kita memahaminya dan itulah perbuatan orang yang beriman dan sentiasa ingat kepada Allah ‎ﷻ. Zikr sentiasa basah di bibirnya.

Malah bukan zikir itu di bibir sahaja, akan tetapi kena ada fikir juga. Iaitu kita sedar apa yang kita ucapkan. Sebagai contoh kalimah subhanallah itu mengingatkan kita untuk menolak sifat-sifat kekurangan pada Allah ‎ﷻ. Jadi hati kena hadhir semasa mengalunkan zikir-zikir itu.

Baik, kembali kepada apa yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang kejadian alam ini yang semuanya Dia yang cipta. Sekarang Allah ‎ﷻ mengajar kita yang semua kehidupan dalam dunia ini ada pasangannya. Ada lelaki dan ada wanita; ada jantan dan ada betina; ada kiri dan ada kanan. Ada awal dan akhir. Ada pangkal ada hujung. Ada langit ada bumi. Ada dunia ada akhirat. Ada kasar ada halus, dan banyak lagi; semuanya berpasang-pasangan sama ada manusia, binatang, tanaman atau benda sekali pun. Ini adalah bukti kehebatan Allah ‎ﷻ dan kerana itulah ia menjadi ءآيَةٌ (tanda) buat kita. Kita boleh periksa sendiri pada alam ini, tentu ada pasangannya dan ayat ini boleh dibuktikan dengan kajian. Allah ‎ﷻ beritahu semua ada pasangannya kerana hendak membezakan Diri-Nya dengan alam. Hebatnya Allah ‎ﷻ adalah Dia tidak memerlukan sesiapa kerana hanya Dia sahaja tidak ada pasangan dan tidak memerlukan pasangan. Kerana itu Dialah Esa.

Namun begitu kita kenalah sedar bahawa kalimah الْأَزْوَٰجَ tidak semestinya bermaksud ‘pasangan’ tetapi ia bermaksud kumpulan juga. Ini kerana kalau kita hadkan kepada pasangan sahaja, susah juga kita untuk cari pasangan bagi setiap benda. Sebagai contoh, apakah pasangan bagi atom? Apakah pula pasangan bagi amoeba? Ia adalah sejenis organisma sel tunggal (unicellular). Susah pula kita hendak buktikan amoeba ada pasangannya. Sekiranya kita menggunakan maksud ‘kumpulan’, maka kita akan sedar yang setiap makhluk, tidak boleh hidup sendiri; mesti memerlukan makhluk-makhluk yang lain. Dalam istilah sains, ini dinamakan simbiosis. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tidak memerlukan sesiapa. Kerana itu kalimah سُبْحَٰنَ bermaksud ‘Allah suci daripada memerlukan apa-apa dan sesiapa sahaja’. Begitulah lemahnya kita dan berkuasanya Allah ‎ﷻ.

 

مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ

daripada yang dikeluarkan oleh bumi

Ada jenis tanaman yang tumbuh dari muka bumi. Tanaman itu ada pasangannya. Kalau tidak ada pasangan, ia tidak membiak kerana ia memerlukan persenyawaan dan pembenihan. Malah orang Arab itu tahu tentang mengahwinkan kurma jantan dan kurma betina. Bagaimana mereka periksa jantina, tak tahulah. Apabila dikahwinkan begitulah yang membolehkan pokok kurma mengeluarkan banyak jenis. Perkara inilah yang asalnya tidak disukai Nabi ﷺ seperti disebut di dalam hadith yang terkenal,

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ: “قَدِمَ النَّبِيُّ ﷺ الْمَدِينَةَ، فَرَأَى النَّاسَ يُلَقِّحُونَ النَّخْلَ، فَقَالَ: لَوْ تَرَكُوهُ لَصَلُحَ. فَتَرَكُوهُ، فَلَمْ يُصْلِحْ، فَقَالَ: مَا لِنَخْلِكُمْ؟ قَالُوا: قُلْتَ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأُمُورِ دُنْيَاكُمْ.”
Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Nabi ﷺ tiba di Madinah dan mendapati orang ramai sedang mengahwinkan pokok kurma. Maka Baginda bersabda: ‘Kalau mereka tidak melakukannya, mungkin ia akan tetap berhasil.’ Maka mereka pun meninggalkannya (tidak mengahwinkan) tetapi hasil kurma itu tidak menjadi (berkualiti).
Lalu Nabi ﷺ bertanya: ‘Apa yang terjadi pada pokok kurma kamu?’
Mereka menjawab: ‘Engkau telah berkata begini dan begitu.’
Lalu Baginda bersabda: ‘Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.'”
Sahih Muslim, no. 2363. Juga diriwayatkan oleh al-Bukhari (Sahih Bukhari No. 6760)

Begitulah tumbuh-tumbuhan tidak boleh hidup bersendirian, mesti memerlukan makhluk lain seperti angin untuk membawa debunga, air hujan untuk pengairan, karbon dioksida dan macam-macam lagi.

 

وَمِنْ أَنفُسِهِمْ

dan daripada diri-diri mereka sendiri;

Manusia tidak dicipta melainkan dengan berpasangan. Ada lelaki dan ada perempuan dan masing-masing memerlukan. Seandainya tidak ada berpasangan begini, tidaklah ada zuriat yang berkembang biak di dunia. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 1

يٰأَيُّهَا النّاسُ اتَّقوا رَبَّكُمُ الَّذي خَلَقَكُم مِّن نَفسٍ وٰحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنها زَوجَها وَبَثَّ مِنهُما رِجالًا كَثيرًا وَنِساءً
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.

Begitulah juga kita tidak boleh hidup seandainya bersendirian. Kita memerlukan manusia lain untuk menghasilkan makanan, yang membina kediaman, yang membersihkan jalan, yang melahirkan kita, membesarkan kita dan bermacam-macam lagi. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tidak memerlukan sesiapa.

 

وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

dan daripada banyak lagi yang mereka tidak ketahui;

Telah disebut jenis tanaman dan diri kita yang berpasangan. Walaupun dengan kemajuan ilmu sains dan keduniaan, masih banyak lagi yang kita tidak ketahui. Kita tahu dalam dunia ini, semuanya ada pasangan masing-masing, walaupun sekecil-kecil atom. Itu pun dulu kita tidak tahu yang atom pun pasangannya. Akan tetapi ada lagi bermacam-macam makhluk yang kita tidak tahu.

Nota: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Manakala untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat. Ini adalah fahaman salah dan dikira sebagai sihir menggunakan ayat Al-Qur’an dan kita telah sentuh di dalam perbincangan surah Yaasin ini sebelum ini. Ingatlah yang ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan? Maka, ayat ini tidak ‘menanggung’ kehendak pengamalnya. Analoginya begini: Sebatang pen digunakan untuk  menolak sebuah kereta. Apa kena mengena pen dengan perbuatan menolak kereta? Katakanlah ada orang keretanya rosak tersadai, dia meminta bantuan kita untuk menolak keretanya itu. Kita pun terkejar-kejar balik ke rumah kita untuk mengambil pen sebab mahu membantu menolak kereta itu. Bukankah bodoh tindakan itu? Begitulah apabila ajaran tafsir tidak dibiasakan di negara kita dan mereka yang mahu mengajarnya dihalang-halang. Maka keluarlah pendapat yang pelik-pelik sebegini.


 

TANDA-TANDA ALLAH. 2) MALAM

Yaasin Ayat 37: Sebelum ini Allah ‎ﷻ sebut bahawa Allah ‎ﷻ telah menjadikan dalam dunia ini berpasangan. Sekarang Allah ‎ﷻ memberi satu contoh pasangan yang kita boleh lihat setiap hari: pasangan malam dan siang.

وَءآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيلُ نَسلَخُ مِنهُ النَّهارَ فَإِذا هُم مُّظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a sign for them is the night. We remove1 from it the [light of] day, so they are [left] in darkness.

  • Literally, “strip” or “peel.” Sunlight projected onto the earth is removed from it as the earth turns and night approaches.

(MELAYU)

Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah malam; Kami tanggalkan siang dari malam itu, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan.

 

وَءآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيْلُ

Dan di antara tanda Allah bagi mereka adalah malam;

Kita disuruh untuk memerhatikan kejadian malam. Ia terjadi setiap hari, maka kita boleh lihat perubahan siang dan malam itu dan memikirkannya. Senang sahaja Allah ‎ﷻ ajar tentang Diri-Nya, hanya menggunakan sesuatu yang senang dilihat sahaja. Akan tetapi apakah kehebatan malam ini sampai Allah ‎ﷻ jadikan ia sebagai ءآيَةٌ? Ini nanti kita akan bincangkan.

Seperti juga tanam-tanaman, ada sesuatu di sebaliknya untuk kita ambil perhatian. Allah ‎ﷻ menjadikan malam dan siang ini sebagai perumpamaan. Malam bermaksud keadaan yang gelap, maka ia merujuk kepada kesesatan; sedangkan siang keadaannya terang bercahaya dan ia merujuk kepada cahaya kebenaran. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam Baqarah: 257

ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ
Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman).

 

نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ

Kami tanggal siang daripadanya;

Siang tidak mungkin bercampur dengan malam (tidak ada siang dan juga malam dalam masa yang sama, bukan?). Perkataan نَسْلَخُ berasal daripada kata dasar س ل خ yang bermaksud ‘mengupas’ seperti melapah kulit haiwan. Apabila siang, hari cerah. Akan tetapi sedikit demi sedikit, siang itu ‘dilapah’ sehingga akhirnya keadaan menjadi gelap. Kalau kita melapah kulit haiwan, kita tidaklah terus tarik melainkan sedikit demi sedikit, bukan? Ia beransur-ansur menjadi gelap seperti pengupasan kulit bawang juga, selapis demi selapis. Dari waktu petang itu, kita boleh lihat bagaimana keadaan beransur-ansur gelap. Tidaklah terus gelap sahaja.

Bagaimanakah fenomena malam ini boleh menjadi tanda Allah ‎ﷻ? Adakah anda rasa hebat dan terpesona setiap kali malam menjelang? Ini kerana kita tidak tahu cara untuk memikirkan dan menghayatinya. Kita rasa ia perkara biasa sahaja, bukan? Fenomena siang malam yang biasa berlaku setiap hari semenjak kita mengenali alam ini, sehingga kita merasakan tiada yang luar biasa padanya. Padahal, ia adalah tanda kehebatan Allah ‎ﷻ. Inilah kuasa Allah ‎ﷻ yang hanya Dia sahaja yang mampu melakukannya. Adakah mampu jika kita ingin gelapkan separuh bumi? Tentu tidak, bukan?

Ia juga adalah rahmat daripada Allah ‎ﷻ kerana menjadikan malam gelap secara perlahan-lahan. Bayangkan kalau dari siang yang cerah, tiba-tiba ‘pling’ menjadi gelap! Aduh, sudah terkejut beruk kita? Tentu kelam kabut jadinya, bukan?

Malam dan siang kedua-duanya ada kebaikan. Apabila siang terang benderang, maka senang kita bekerja untuk mencari rezeki. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Isra’: 12

وَجَعَلنَا اللَّيلَ وَالنَّهارَ ءآيَتَينِ ۖ فَمَحَونا ءآيَةَ اللَّيلِ وَجَعَلنا ءآيَةَ النَّهارِ مُبصِرَةً لِّتَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم وَلِتَعلَموا عَدَدَ السِّنينَ وَالحِسابَ ۚ وَكُلَّ شَيءٍ فَصَّلنٰهُ تَفصيلًا
Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu Kami hapuskan tanda malam dan Kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia daripada Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. Dan segala sesuatu telah Kami terangkan dengan jelas.

Manakala malam Allah ‎ﷻ jadikan gelap supaya kita dapat tidur kerana kalau terang, tentu susah mata kita hendak lelap, bukan? Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Naba’: 9-10

وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا۝ وَجَعَلْنَا ٱلَّيْلَ لِبَاسًا
“Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat. Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian (penutup/ketenangan).”

Ini adalah perumpamaan kepada manusia yang sesat. Telah ditarik cahaya iman daripada mereka kerana mereka menolak cahaya itu. Walaupun telah diberikan dengan ilmu wahyu yang disampaikan oleh para pendakwah, ramai yang menolaknya. Ini telah disebut sebelum ini di dalam ayat 6

قَوۡمً۬ا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمۡ فَهُمۡ غَـٰفِلُونَ
kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai

Telah disebut kemudian di dalam ayat 9, bagaimana cahaya wahyu tidak sampai kepada mereka,

فَأَغۡشَيۡنَـٰهُمۡ فَهُمۡ لَا يُبۡصِرُونَ
lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat

 

فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ

maka tiba-tiba mereka duduk dalam kegelapan;

Lama kelamaan, hari menjadi gelap dan kita tidak boleh berbuat apa-apa untuk menahan kegelapan yang sedang menguasai itu. Adakah boleh kita hendak menghalang malam daripada terjadi? Tentu tidak kerana semuanya dalam kuasa Allah ‎ﷻ. Maka rasalah kelemahan diri kita yang tidak habis-habis. Jadi kenapa hendak sombong lagi dengan Allah ‎ﷻ?

Ayat ini juga mengajar kita bahawa default setting untuk dunia ini adalah gelap. Yang boleh cerah bercahaya dan senang hidup kita adalah kerana Allah ‎ﷻ beri cahaya. Apabila Allah ‎ﷻ menarik sumber cahaya (matahari) maka kegelapanlah yang tinggal. Maka ini mengajar kita untuk bersyukur apabila ada cahaya.

Allah ‎ﷻ jadikan malam dan siang ini di dunia sahaja. Nanti di akhirat tidak ada pertukaran malam dan siang. Di syurga hanya ada siang; di neraka hanya ada malam sahaja. Kerana malam dan siang itu dijadikan oleh Allah ‎ﷻ – bukan terjadi sendiri. Maka kalau Allah ‎ﷻ tidak mahu jadikan pertukaran malam dan siang di akhirat, boleh sahaja. Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak jadikan begitu. Di syurga tiada malam kerana kita tidak perlu tidur (rugilah kalau tidur, kurang pula nikmat untuk dinikmati) kerana bukan penat pun; di neraka pula ia tempat untuk mengazab makhluk yang degil, jadi tidak diberikan cahaya kepada mereka. Allahu musta’an!

Ini adalah perumpamaan kepada mereka yang menolak ajaran wahyu daripada para Nabi. Hasilnya mereka terus duduk di dalam kegelapan dan hidayah tidak akan sampai kepada mereka sampai bila-bila. Ini seperti disebut di dalam ayat 10

وَسَوَآءٌ عَلَيۡہِمۡ ءَأَنذَرۡتَهُمۡ أَمۡ لَمۡ تُنذِرۡهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ
Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman

Kerana itulah kalimah yang digunakan di sini adalah مُظْلِمُونَ di dalam bentuk isim dan bukannya يُظلَمونَ yang di dalam bentuk fi’il. Ini kerana kalau يُظلَمونَ yang digunakan, ia boleh jadi sementara sahaja. Seperti malam hari ini, esok siang cerahlah kembali. Namun apabila digunakan مُظْلِمُونَ, mereka kekal di dalam kegelapan sampai bila-bila.


 

TANDA-TANDA ALLAH. 3) MATAHARI DAN BULAN

Yaasin Ayat 38: Ini pula adalah contoh pasangan kedua: Matahari dan nanti akan disebut tentang Bulan. Siang dan malam yang disebut di dalam ayat sebelum ini memang berkait rapat dengan matahari dan bulan ini. Siang terjadi dengan adanya matahari dan apabila malam, bulan pun menjelma.

وَالشَّمسُ تَجري لِمُستَقَرٍّ لَّها ۚ ذٰلِكَ تَقديرُ العَزيزِ العَليمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the sun runs [on course] toward its stopping point. That is the determination of the Exalted in Might, the Knowing.

(MELAYU)

dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

 

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا

Dan matahari bergerak menuju tempat yang telah ditetapkan untuknya;

Kalimah تَجْرِي asalnya digunakan untuk pergerakan cepat makhluk yang ada kaki. Sekarang ia digunakan untuk perjalanan matahari yang juga bergerak cepat dan perjalanan yang amat jauh.

Huruf ل pada kalimah لِمُسْتَقَرٍّ boleh diterjemahkan sebagai إلى (menuju) atau ada juga yang memahaminya sebagai ‘agar’.

Perkataan مُسْتَقَرٍّ bermaksud sesuatu yang telah ditetapkan tempatnya. Kalau ia bergerak, ia akan diletakkan kembali ke tempat yang sepatutnya. Ini seperti peti ais di rumah kita yang sudah ada tempatnya, kalau diubah pun sementara sahaja, kemudian kita letakkan di tempatnya semula. Cuma kalimah مُسْتَقَرٍّ di sini agak sukar untuk ditafsirkan dengan tepat. Ini kerana kalimah مُسْتَقَرٍّ boleh jadi di dalam bentuk dzarf makan (tempat) atau dzarf zaman (masa). Ini seperti kalimah مسجد yang boleh jadi tempat sujud (solat) atau masa sujud (walaupun kita selalu gunakan untuk merujuk kepada tempat solat). Satu lagi,  kalimah مُسْتَقَرٍّ juga boleh bermaksud tempat akhir perjalanan, atau kita katakan tempat simpan sesuatu. Ia tidak semestinya tetap di situ, mungkin akan berpindah lagi, namun bagi satu perjalanan pasti ada tempat hentinya. Sebagai contoh kita hendak ke Lumut, tetapi kita berhenti di Behrang untuk solat, contohnya. Jadi Lumut itu مُسْتَقَرٍّ dan Behrang juga boleh jadi مُسْتَقَرٍّ.

Maka apakah maksud مُسْتَقَرٍّ bagi matahari di dalam ayat ini? Tentulah ada banyak pendapat.

1. Bagi matahari, telah ada tempat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan baginya berjalan. Jadi yang tetap adalah jalannya yang kita namakan orbit. Matahari berjalan di dalam orbitnya sahaja dan tidak lari-lari daripada orbit itu. Malah kalau lari sedikit sahaja, pasti kedudukan planet-planet akan habis berantakan. Ya betul, matahari itu bergerak. Pada mata kita mungkin nampak matahari itu tetap sahaja (pegun), akan tetapi sains telah membuktikan yang matahari juga bergerak dengan laju, ada orbitnya sendiri. Matahari bergerak dalam orbitnya mengelilingi pusat Galaksi Bima Sakti. Kelajuannya lebih kurang 828,000 KM/jam (atau ± 230 KM/saat). Ini bermakna matahari mengambil masa kira-kira 225–250 juta tahun untuk melengkapkan satu putaran penuh mengelilingi galaksi. Ini dipanggil “Galactic Year”. Di dalam masa yang sama, bumi ini mengelilingi matahari dan bulan mengelilingi bumi.

2. Walaupun matahari itu adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang sangat besar akan tetapi ia taat tunduk kepada Allah ‎ﷻ. Jadi setiap hari matahari ada tempat berhentinya, sebelum menyambung perjalanannya. Ia seolah-olah pitstop di dalam perjalanan yang jauh. Di dalam hadith kita diberitahu yang matahari setiap hari pergi sujud kepada Allah ‎ﷻ dan bertanya sama ada ia terus naik dari timur lagikah. Allah ‎ﷻ akan suruh naik dari timur sampai satu masa Allah ‎ﷻ akan suruh matahari naik dari barat. Sebab dalam hadith ada disebut bahawa matahari akan terbit dari barat dan kemudian turun balik ke tempat asal dan naik balik dari timur seperti biasa. Seratus tahun daripada kejadian itu akan terjadinya kiamat. Pendapat ini disokong dengan hadith,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رضي الله عنه قَالَ: كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ فِي الْمَسْجِدِ حِينَ غَرَبَتِ الشَّمْسُ، فَقَالَ “يَا أَبَا ذَرٍّ، أَتَدْرِي أَيْنَ تَذْهَبُ هَذِهِ؟”قَالَ: قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ فَإِنَّهَا تَذْهَبُ حَتَّى تَسْجُدَ تَحْتَ الْعَرْشِ، فَتَسْتَأْذِنُ، فَيُؤْذَنُ لَهَا، وَيُوشِكُ أَنْ تَسْجُدَ فَلَا يُقْبَلَ مِنْهَا، وَتَسْتَأْذِنَ فَلَا يُؤْذَنَ لَهَا، يُقَالُ لَهَا: ارْجِعِي مِنْ حَيْثُ جِئْتِ، فَتَطْلُعُ مِنْ مَغْرِبِهَا، فَذَاكَ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى: (وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ)”
Daripada Abu Zar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Aku bersama Nabi ﷺ di masjid ketika matahari sedang terbenam. Lalu Baginda bertanya: “Wahai Abu Zar, tahukah engkau ke mana matahari pergi?” Aku menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya ia pergi dan sujud di bawah ‘Arasy, lalu meminta izin untuk terbit, lalu diberi izin. Dan hampir tiba suatu masa di mana ia akan sujud tetapi tidak diterima sujudnya, dan ia akan meminta izin tetapi tidak diizinkan. Maka dikatakan kepadanya: ‘Kembalilah dari tempat engkau datang!’ Maka ia pun terbit dari arah barat.

Itulah maksud firman Allah: ‘Dan matahari berjalan di tempat peredarannya, itu adalah ketetapan (taqdir) Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.’ (Surah Yasin: 38)
Sahih al-Bukhari, Kitab Bad’ al-Khalq (كتاب بدء الخلق), hadith No. 3199

Penjelasan Ringkas hadis:

    • Sujud matahari: Suatu bentuk ketaatan kepada Allah ‎ﷻ yang tidak dapat difahami oleh pancaindera manusia.
    • Hadith ini mengisyaratkan tanda besar Kiamat, iaitu terbitnya matahari dari barat.
    • Menunjukkan semua makhluk tunduk kepada Allah ‎ﷻ, termasuk yang besar seperti matahari.

Mungkin ada pula yang bertanya, bilakah pula matahari itu sujud, sedangkan ia sentiasa bergerak? Bagaimana pula ia sujud? Ulama telah membahaskan hadith ini, dan kebanyakan mereka tidak memahaminya secara literal (harfiah), tetapi secara kiasan, simbolik dan ghaib. Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam Kitab Syarah Sahih Muslim mengatakan:

“Sujud matahari adalah sujud yang tidak kita fahami bentuknya — ia adalah sujud yang layak bagi matahari, sebagaimana batu dan pokok juga sujud.”  Ini kita boleh rujuk Isra’: 44

وَإِن مِّن شَىءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفقَهُونَ تَسبِيحَهُم
Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka.

Maka ini bukanlah perkara yang kita boleh jelaskan dengan akal kita yang cetek dan tidak diberikan pengetahuan tentangnya oleh Allah ‎ﷻ. Banyak sahaja perkara yang manusia termasuk saintis tidak boleh jelaskan sekarang. Ada perkara yang kita tidak perlu fikirkan. Perhatikan apabila para sahabat رضي الله عنهم bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang kenapa bulan muncul kecil, membesar, kemudian hilang semula? Apakah jawapan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka dalam Baqarah: 189?

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.

Perhatikan jawapan itu tidak menjawab pun soalan yang ditanya sebaliknya mereka diberi dengan jawapan yang penting. Seolah-olah jawapan itu berbunyi: ‘Tidak perlu kamu hendak tahu tentang bulan itu, tapi tahulah apa gunanya’.

3. Sampai satu masa, matahari akan berhenti bergerak, iaitu apabila Kiamat telah berlaku. Selama entah berapa ribu atau juta tahun, matahari bergerak tanpa lambat walau sesaat pun, akan tiba satu masa ia akan berhenti terus dan hancur juga akhirnya. Pendapat ini disokong oleh Zumar: 5 di mana Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa masa peredaran matahari dan bulan itu sehingga waktu yang telah ditetapkan (Kiamat).

وَسَخَّرَ الشَّمسَ وَالقَمَرَ ۖ كُلٌّ يَجري لِأَجَلٍ مُّسَمًّى
dan Dia menjadikan matahari dan bulan beredar menurut perintahnya, – tiap-tiap satu daripada keduanya, beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah ‎ﷻ lama sudah beritahu tentang alam ini kepada manusia. Ayat ini jelas mengatakan bahawa matahari pun bergerak juga atas orbitnya. Begitulah terbatasnya pengetahuan manusia suatu ketika dahulu ahli sains mempercayai bahawa matahari tidak bergerak. Akan tetapi apabila kajian semakin maju, barulah diketahui bahawa memang matahari pun ada bergerak dalam orbitnya. Jikalau ia lari sedikit sahaja daripada orbitnya itu maka akan bertempiaranlah alam ini kerana daya tarikan graviti yang telah terganggu. Allah ‎ﷻ sudah beritahu lama dalam ayat Al-Qur’an dan ini menunjukkan memang Al-Qur’an ini daripada Allah ‎ﷻ kerana maklumat alam yang diberikan adalah tepat. Tidak mungkin Nabi Muhammad ﷺ tulis sendiri Al-Qur’an kerana tentulah baginda tidak tahu ilmu astronomi.

 

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

demikianlah satu penentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Gagah Perkasa dan Maha Mengetahui.

Allah ‎ﷻ telah tentukan pergerakan matahari dan juga bulan. Itulah maksud تَقْدِيرُ iaitu Allah ‎ﷻ menentukan kadar pergerakan atau menentukan sistem alam ini dengan begitu teliti sekali.

Maka bukanlah matahari itu bergerak sendiri ikut suka hatinya tetapi Allah ‎ﷻ yang gerakkan seperti kehendak-Nya. Jadi kalau matahari yang besar itu pun mengikut arahan Tuhan, bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini? Kalau matahari pun sujud kepada Allah ‎ﷻ, bagaimana dengan kita? Jangan kita tidak tahu pula. Matahari ada cara sujud dan tasbihnya, maka kita pun ada cara yang selayaknya dan sesuai untuk kita. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nur: 41

أَلَم تَرَ أَنَّ اللهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَالطَّيرُ صٰفّٰتٍ ۖ كُلٌّ قَد عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسبيحَهُ ۗ وَاللهُ عَليمٌ بِما يَفعَلونَ
Tidaklah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

الْعَزِيزِ – Yang Maha Gagah Perkasa. Dia yang menguasai. Tidak ada yang dapat bergerak tanpa izin-Nya. Termasuklah kita, termasuklah matahari. Kita tidak dapat mengawal pergerakan matahari tetapi Allah ‎ﷻ yang Maha Gagah dapat menguasainya.

الْعَلِيمِ – Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Jikalau ada bergerak dari tempatnya, Dia akan tahu. Maka segala pergerakan kita, matahari dan apa sahaja di dalam alam ini ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Kita yang lemah ini tidak tahu apa-apa dan hanya Allah ‎ﷻ sahaja tahu yang segala rahsia alam ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment