Yaasin Ayat 12:
إِنّا نَحنُ نُحى المَوتىٰ وَنَكتُبُ ما قَدَّموا وَءآثٰرَهُم ۚ وَكُلَّ شَيءٍ أَحصَينٰهُ في إِمامٍ مُّبينٍ
Sesungguhnya Kami menghidupkan yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab yang jelas nyata.
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ
Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan orang-orang yang mati.
Iaitu menghidupkan kembali makhluk setelah akhirat bermula. Juga bermaksud menghidupkan orang yang asalnya tidak ada nyawa (semasa alam roh) dan dihidupkan ke dunia.
Dari segi bahasa, tiga kali ayat ini sebut perkataan ‘Kami’. إِنَّا – نَحْنُ – نُحْيِي – ketiga-tiganya ada makna ‘Kami’. Bermakna tiga kali Allah ﷻ beri penekanan. Ini menunjukkan penekanan bahawa Allah ﷻlah sahaja yang menghidupkan yang mati. Tidak ada entiti yang lain yang boleh menghidupkan makhluk itu. Allah ﷻ hendak menegaskan kuasa-Nya di dalam ayat ini.
Selain daripada menghidupkan, tentu Dia juga yang mematikan. Kedua-dua makna ada terdapat dalam ayat ini, cuma tersembunyi – Allah ﷻ tidak menyebut dalam ayat ini yang Dia yang mematikan tetapi kita boleh ambil isyarat daripadanya. Maknanya tidak ada dzat lain selain daripada Allah ﷻ yang boleh mematikan dan menghidupkan.
Ayat ini hendak menegaskan bahawa akan ada kehidupan selepas mati. Allah ﷻ akan menghidupkan kembali mereka yang telah mati. Ini ditegaskan kerana Musyirikin Mekah tidak dapat menerima bahawa akan ada kehidupan selepas mati. Mereka tidak dapat menerima bahawa mereka akan dihidupkan kembali selepas mereka sudah menjadi tulang belulang. Itu adalah ketidakpercayaan mereka yang utama.
Susunan ayat ini agak pelik. Dalam Allah ﷻ menyebut ramai yang tidak beriman, kemudian disebut ada segelintir yang akan beriman, tiba-tiba Allah ﷻ sebut tentang hidup setelah mati pula. Kebanyakan para tafsir mengatakan perenggan Makro ini ditutup untuk mengingatkan tentang kematian dan tafsirnya telah kita jelaskan di atas.
Namun begitu sekiranya kita hendak meneruskan tema Makro ini, kita boleh melihat makna ayat ini Allah ﷻlah juga yang menghidupkan hati manusia yang telah ‘mati’. Maknanya bukan menghidupkan dari segi tubuh fizikal sahaja, tetapi menghidupkan hati seseorang. Mereka yang tidak mahu menerima iman seumpama telah mati hatinya. Mereka nampak hidup secara fizikal, namun hati mereka telah mati sebenarnya. Walaupun begitu, Allah ﷻ boleh menghidupkan kembali hati-hati mereka. Sebelum ini telah disebut ramai yang tidak mahu beriman walaupun mereka telah nampak kebenaran, maka di sini Allah ﷻ beri harapan: hati yang mati itu Allah ﷻ boleh hidupkan kembali.
Oleh itu, janganlah kita berhenti daripada berdakwah kepada mereka yang mulanya tidak mahu menerima dakwah kita. Kita tidak tahu siapakah yang Allah ﷻ akan beri hidayah untuk menerima dakwah itu. Mungkin sekarang mereka tidak boleh terima, tetapi Allah ﷻ boleh hidupkan kembali hatinya. Ingatlah tentang mereka yang mulanya menentang Nabi ﷺ namun akhirnya menerima hidayat – seperti Abu Sufyan, Khalid al Walid dan banyak lagi para sahabat رضي الله عنهم yang lain. Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ hanya menerima Islam setelah 20 tahun Nabi ﷺ berdakwah kepadanya. Kita tidak tahu bila seseorang itu akan beriman. Bayangkan Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu ketua penentang Musyrikin Mekah yang paling kuat melawan Rasulullah ﷺ banyak tahun. Khalid al Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu entah berapa banyak perajurit Mukmin beliau telah bunuh dalam peperangan sebelum beriman!
Maka jangan lelah dan rasa tidak berguna berdakwah kerana tugas kita hanya memberi dakwah kepada manusia. Sama ada mereka terima atau tidak, kita tidak dapat tentukan. Itu adalah urusan Allah ﷻ. Kita akan mendapat pahala kerana berdakwah sama ada mereka terima atau tidak. Juga janganlah kita pilih-pilih siapa yang kita hendak dakwah. Jangan kita sendiri membuat keputusan yang mereka itu tidak akan menerima dakwah kalau kita sampaikan kepada mereka ataupun tidak. Siapakah kita hendak menentukan sama ada mereka akan terima atau tidak?
Bentuk ayat ini memberitahu kita yang *hanya* Allah ﷻ sahaja yang boleh memberi hidayah kepada manusia. Bukannya kita. Bukan kata-kata kita tidak kiralah betapa hebatnya kita berhujah, bukan juga tulisan kita yang panjang berjela, bukan video yang kita berikan, bukan, bukan. Kita hanya mampu menjentik sahaja hati manusia, tetapi hati manusia itu di tangan Allah ﷻ. Jangan kita sangka kerana kitalah seseorang itu beriman, tetapi katakanlah yang Allah ﷻ telah membuka pintu hati dia.
وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ
Dan Kami akan tulis apa sahaja yang telah mereka lakukan dan kesan-kesan amalan mereka.
Perkara kedua yang Musyrikin Mekah tidak dapat terima: bagaimana Allah ﷻ hendak balas perbuatan manusia itu? Banyak sangat benda yang mereka telah lakukan, semenjak kecil sampailah ke tua; kemudian ada berapa orang dalam dunia ini? Bagaimana Allah ﷻ boleh tahu apa yang mereka lakukan? Mereka menggunakan akal mereka yang sempit itu sahaja dan pemikiran mereka tidak dapat menerima bahawa perkara itu bakal berlaku.
Maka Allah ﷻ jawab dalam ayat ini. Allah ﷻ akan menulis perbuatan manusia itu dan ‘kesannya’ sekali. Ini kerana setiap perbuatan kita ada kesannya, sama ada baik ataupun tidak. Contohnya, apabila seseorang menderma untuk membina sebuah masjid, ada kesan yang ditinggalkan. Kesan baik itu pun Allah ﷻ akan tulis juga.
Perkara yang nampak kecil seperti kesan tapak kaki ke masjid juga akan ditulis. Sentiasa dihantar pahala kepadanya apabila dia tiada lagi. Akan tetapi seandainya dibina sebuah disko, maka dosa pulalah yang sentiasa dihantar kepadanya setiap kali ada orang berhibur di disko itu!
Maka ini adalah juga tasliah kepada Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم yang berdakwah tetapi ditolak. Jangan risau, kerana Allah ﷻ akan membalas segala perbuatan dan kesan daripada perbuatan mereka itu. Di awal Makro ini Allah ﷻ menegaskan yang benar Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang Rasul dan sekarang baginda diberi dengan tasliah. Ini juga nasihat kepada kita yang kecoh sangat dengan perbuatan penentang kita. Satu kampung kita canang tentang orang itu buat ini dan orang itu buat itu. Relaks sahaja, semua itu Allah ﷻ akan balas akhirnya, serahkan sahaja kepada Allah ﷻ.
Guru yang mengajar kena beritahu kedua-duanya sekali, iaitu kalau berbuat jahat ada kesan, berbuat baik pun ada kesannya. Sekiranya perbuatan manusia itu tidak meninggalkan kesan, dia akan mendapat dosa atau pahala sekali sahaja. Akan tetapi berbeza pula sekiranya dia melakukan amalan yang kekal, di mana amalan yang kekal itu akan menjadi bagaikan pencen untuknya – dia akan sentiasa mendapat pahala berterusan walaupun dia sudah mati nanti. Sebagai contoh, sekiranya dia membina sebuah masjid, maka masjid itu akan kekal lama; begitu juga jikalau dia mengajar orang dengan ilmu yang baik – ilmu itu akan berkembang dan dia akan mendapat saham daripada ajarannya itu. Hal yang sama dinyatakan di dalam hadith lain yang berada di dalam kitab Sahih Muslim melalui Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahwa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ، انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ: مِنْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ، أَوْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ مِنْ بَعْدِهِ”
Apabila anak Adam mati, terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya, atau sedekah jariyah (yang terus mengalir pahalanya) sesudah dia tiada.
(Riwayat Muslim No. 1631)
Perkataan قَدَّمُ dalam ayat ini dari segi bahasa bermaksud ‘sesuatu yang dihantar ke hadapan’. Ini bermaksud niat kita. Sebelum kita melakukan sesuatu amalan/perbuatan yang baik, tentu kita ada niat untuk melakukannya. Kalau sudah berniat mahu melakukan kebaikan, Allah ﷻ sudah tulis. Iaitu Allah ﷻ akan suruh malaikat tulis.
قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِذَا تَـحَدَّثَ عَبْدِيْ بِأَنْ يَعْمَلَ حَسَنَةً ؛ فَأَنَا أَكْتُبُهَا لَهُ حَسَنَةً مَا لَـمْ يَعْمَلْ ، فَإِذَا عَمِلَهَا فَأَنَا أَكْتُبُهَا بِعَشْرِ أَمْثَالِـهَا ، وَإِذَا تَـحَدَّثَ بِأَنْ يَعْمَلَ سَيِّـئَةً ، فَأَنَا أَغْفِرُهَا لَهُ مَا لَـمْ يَعْمَلْهَا ، فَإِذَا عَمِلَهَا فَأَنَا أَكْتُبُهَا لَهُ بِمِثْلِهَا. وَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : قَالَتِ الْـمَلَائِكَةُ : رَبِّ ، ذَاكَ عَبْدُكَ يُرِيْدُ أَنْ يَعْمَلَ سَيِّئَةً (وَهُوَ أَبْصَرُ بِهِ) فقَالَ : اُرْقُبُوْهُ ، فَإِنْ عَمِلَهَا فَاكْتُبُوْهَا لَهُ بِمِثْلِهَا ، وَإِنْ تَرَكَهَا فَاكْتُبُوْهَا لَهُ حَسَنَةً ، إِنَّمَـا تَرَكَهَا مِنْ جَرَّايَ. وَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِذَا أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ إِسْلَامَهُ فَكُلُّ حَسَنَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ بِعَشْرِ أَمْثَالِـهَا إِلَـى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ ، وَكُلُّ سَيِّـئَةٍ يَعْمَلُهَا تُكْتَبُ بِمِثْلِهَا حَتَّى يَلْقَى اللهَ.
Allah berfirman, ‘Jika hamba-Ku berniat mengerjakan kebaikan, maka Aku menuliskan baginya satu kebaikan selagi dia tidak mengerjakannya. Jika dia sudah mengerjakannya, Aku menuliskan baginya sepuluh kali kebaikannya itu. Jika dia berniat mengerjakan kesalahan, maka Aku mengampuninya selagi dia tidak mengerjakannya. Jika dia sudah mengerjakan kesalahan tersebut, maka Aku menulisnya sebagai satu kesalahan yang sama.” Rasulullah ﷺ bersabda, ”Para malaikat berkata, ’Wahai Rabb-ku, itu hamba-Mu ingin mengerjakan kesalahan –Dia lebih tahu tentang hamba-Nya-.’ Allah berfirman, ‘Pantaulah dia. Jika dia mengerjakan kesalahan tersebut, tulislah sebagai satu kesalahan yang sama untuknya. Jika dia meninggalkan kesalahan tersebut, tulislah sebagai kebaikan untuknya, kerana dia meninggalkan kesalahan tersebut kerana takut kepada-Ku.’” Rasulullah ﷺ bersabda, “Jika salah seorang daripada kalian memperbaiki keIslamannya, maka setiap kebaikan yang dikerjakannya ditulis dengan sepuluh kebaikan yang sama hingga tujuh ratus kali lipat dan setiap kesalahan yang dikerjakannya ditulis dengan satu kesalahan yang sama hingga dia bertemu Allah.”
(HR. Muslim No. 129 (205))
Dalam hadith qudsi, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda, diriwayatkan daripada Allah ﷻ,
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ: قَالَ: إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ: فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً. رواه البخاري ومسلم في صحيحيهما بهذه الحروف.
[التخريج: صحيح البخاري , كتاب الرقاق , باب من هم بحسنة أو بسيئة , حديث رقم 6491 , عن ابن عباس رضي الله عنهما]
Daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda meriwayatkan (hadith qudsi) daripada Tuhannya Azza Wa Jalla berfirman, Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian Allah menjelaskan maksudnya: “Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka Allah menulis kebaikan itu di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah menulis kebaikan itu disisi-Nya sebanyak sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada Allah), maka Allah menulis disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka Allah akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.”
(Hadith Riwayat Bukhari, No. 6491, Muslim, No. 131, Ahmad, No. 2684)
Ibnu Rajab Al Hambali رَحِمَهُ اللَّهُ berkata, “Yang dimaksudkan ‘هَمَّ’ (bertekad) dalam hadith di atas adalah bertekad kuat iaitu bersemangat ingin melakukan amalan tersebut. Jadi niat tersebut bukan hanya angan-angan yang menjadi pudar tanpa ada tekad dan semangat.”(Jaami’ul Ulum wal Hikam, 2: 319)
Begitulah pentingnya niat di dalam amalan seorang hamba. Begitulah disebut di dalam hadith yang sangat masyhur,
إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لكل امْرِئ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهجرَته إِلَى مَا هَاجر إِلَيْهِ
“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.”
(Riwayat Al-Bukhari No. 1 dan Muslim No. 1907)
Sebagai contoh, ‘Aisyah رضي الله عنها mengabarkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
مَا مِنِ امْرِئٍ تَكُونُ لَهُ صَلاَةٌ بِلَيْلٍ فَغَلَبَهُ عَلَيْهَا نَوْمٌ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَجْرَ صَلاَتِهِ وَكَانَ نَوْمُهُ صَدَقَةً عَلَيْهِ
“Tidaklah seseorang bertekad untuk bangun melaksanakan solat malam, namun ketiduran mengalahkannya, maka Allah tetap mencatat pahala solat malam untuknya dan tidurnya tadi dianggap sebagai sedekah untuknya.”
(Riwayat An-Nasa’i No. 1784, sahih menurut Syeikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ)
Selepas itu, apabila dia buat apa yang diniatkan, akan ditulis lagi perbuatan baik itu. Maknanya ada pahala gandaan lagi. Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan آثَارَ itu. آثَارَ adalah perbuatan yang dilakukan setelah berniat. Jadi, sekurang-kurangnya, seseorang yang melakukan kebaikan, akan mendapat dua pahala. Dalam ayat yang lain, Allah ﷻ ada memberitahu bahawa pahala yang diberi akan berkali-kali ganda.
Oleh itu niat seorang manusia itu lebih baik daripada perbuatannya. Katakanlah seseorang itu berniat untuk menghafal Al-Qur’an. Dia mungkin tidak berjaya untuk menghafal keseluruhan Al-Qur’an kerana mungkin dia mati sebelum sempat dia menghafal keseluruhan Al-Qur’an. Namun niatnya untuk menghafal keseluruhan Al-Qur’an itu sudah ditulis pun. Itulah sebabnya dikatakan niat seseorang itu lebih baik daripada perbuatannya.
Bagaimana kalau seseorang itu berniat untuk melakukan sesuatu yang jahat? Malaikat akan tanya kepada Allah ﷻ sama ada hendak tulis atau tidak. Allah ﷻ akan kata jangan tulis lagi. Selepas dilakukan perbuatan jahat itu, barulah ditulis sekali. Tidak ada gandaan dalam perbuatan yang jahat. Namun begitu, katakanlah seseorang itu sudah berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi dia tidak jadi melakukannya, kerana mungkin dia teringat tentang dosa dan takutkan Allah ﷻ. Lalu, dia tidak jadi melakukannya. Allah ﷻ akan beri pahala pula kepadanya kerana tidak jadi meneruskan niat jahatnya itu. Lihatlah betapa rahmatnya Allah ﷻ kepada kita. Dalilnya daripada hadith ini:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَـا ، عَنْ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيْمَـا يَرْوِيْهِ عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى ، قَالَ : «إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْـحَسَنَاتِ وَالسَّيِّـئَاتِ ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا ، كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً ، وَإِنْ هَمَّ بِـهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهُ اللّـهُ عَزَّوَجَلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيْرَةٍ ، وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّـئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا ؛ كَتَبَهَا اللهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً ، وَإِنْ هَمَّ بِهَـا فَعَمِلَهَا ، كَتَبَهَا اللهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً ». رَوَاهُ الْـبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ فِـيْ صَحِيْحَيْهِمَـا بِهَذِهِ الْـحُرُوْفِ
Daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ tentang hadith yang baginda riwayatkan daripada Rabb-nya تَبَارَكَ وَتَعَالَى. Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya Allah menulis kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan kemudian menjelaskannya. Barang siapa berniat melakukan kebaikan namun dia tidak (jadi) melakukannya, Allah tetap menuliskannya sebagai satu kebaikan sempurna di sisi-Nya. Jika dia berniat berbuat kebaikan kemudian mengerjakannya, maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali lipat sampai gandaan yang banyak. Barang siapa berniat berbuat buruk namun dia tidak jadi melakukannya, maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Dan barangsiapa berniat berbuat kesalahan kemudian mengerjakannya, maka Allah menuliskannya sebagai satu kesalahan.”
(Riwayat Al-Bukhari No. 6491 dan Muslim No. 130)
Baik, kembali kepada perbincangan ayat Al-Qur’an ini. Ada satu lagi fahaman tentang ayat ini: مَا قَدَّمُوا boleh bermaksud ‘perbuatan baik’ seseorang. آثَارَهُمْ pula adalah ‘kesan’ daripada perbuatan baiknya itu kerana perbuatan baik kita ada kesannya.
Contohnya, katakanlah seseorang itu menjadi orang yang pertama yang mengerjakan Haji dalam keluarganya. Kemudian, ‘kesan’ daripada perbuatannya itu, ada pula daripada ahli keluarganya yang bersemangat untuk mengerjakan Haji. Jadi, orang yang mula-mula pergi mengerjakan Haji itu juga akan mendapat pahala daripada pemergian orang yang kedua itu kerana dialah yang telah memberi ‘kesan’ mendalam kepada ahli keluarganya yang lain untuk pergi Haji juga. Dalilnya sebuah hadith:
عَنْ ابْنِ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا فَلَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِ مَنْ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةَ شَرٍّ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهُ وَمِثْلُ أَوْزَارِ مَنْ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا
Daripada Ibnu Jarir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا daripada bapanya dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa memulakan sunnah kebaikan, lalu dia diikuti atasnya, maka dia mendapatkan pahalanya dan seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun, dan barangsiapa memulakan sunnah kejelekan, lalu dia diikuti atasnya, maka dia mendapatkan dosanya dan dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Hadith Riwayat Tirmidzi (2675) Status: Sahih (Darussalam))
Begitulah juga sekiranya seseorang itu mengajar agama, pahala akan sentiasa dihantar kepadanya di alam kubur. Akan bertambah-tambah pula kerana orang yang diajar akan mengajar kepada orang lain pula. Itu adalah kerana dia telah menyebarkan agama – suatu amalan yang amat baik sekali.
Kerana itu nanti akan ada hamba yang hairan apabila Allah menunjukkan pahala mereka yang amat banyak sekali. Dia akan tanya datang dari mana pahala yang banyak itu? Kerana dia tidak ingat dia ada membuat amalan itu. Allah ﷻ akan jelaskan bahawa ia adalah kesan daripada perbuatan baiknya semasa di dunia. Sebab dia mengajar kepada orang lain ilmu yang berguna. Maka pahala itu berterusan.
Sebaliknya, jikalau dia mengajar orang lain berbuat dosa, dosa itu juga akan berpanjangan dan dosa itulah nanti yang akan mencelakakannya. Contohnya, dia mengajar orang hisap dadah – maka setiap kali ada orang hisap dadah hasil daripada ajarannya dulu, dia akan mendapat dosa hisap dadah itu juga. Kerana itulah setiap kali orang membunuh dengan zalim, Qabil anak Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapat saham dosa pembunuhan itu kerana dialah yang pertama kali membunuh,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ لاَ تُقْتَلُ نَفْسٌ إِلاَّ كَانَ عَلَى ابْنِ آدَمَ الأَوَّلِ كِفْلٌ مِنْهَا ”.
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada satu jiwa pun yang terbunuh secara zalim melainkan anak Adam yang pertama (Qabil) akan turut menanggung sebahagian dosanya, kerana dialah orang yang pertama kali mencontohkan pembunuhan.”
(Sahih Bukhari No. 6867)
Ada satu lagi pemahaman yang boleh diambil daripada ayat ini. Perkataan مَا قَدَّمُوا adalah perbuatan baik yang ditulis sebagai amalan baik dan perkataan آثَارَهُمْ pula adalah usaha-usaha yang terlibat untuk melakukannya. Sebagai contoh, ada sebuah hadith tentang perkara ini:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ خَلَتْ الْبِقَاعُ حَوْلَ الْمَسْجِدِ فَأَرَادَ بَنُو سَلِمَةَ أَنْ يَنْتَقِلُوا إِلَى قُرْبِ الْمَسْجِدِ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ إِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّكُمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَنْتَقِلُوا قُرْبَ الْمَسْجِدِ قَالُوا نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ أَرَدْنَا ذَلِكَ فَقَالَ يَا بَنِي سَلِمَةَ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ
Daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا katanya; “Di sekitar masjid ada beberapa bidang tanah yang masih kosong, maka Bani Salamah berhasrat untuk pindah berdekatan masjid. Ketika berita ini sampai ke telinga Rasulullah ﷺ, baginda bersabda; “Telah sampai berita kepadaku bahawa kalian ingin pindah berdekatan masjid.” Mereka menjawab; “Benar wahai Rasulullah, kami memang ingin seperti itu.” Baginda lalu bersabda: “Wahai Bani Salamah, pertahankanlah rumah kalian, sebab setiap langkah kalian akan dicatat, pertahankanlah rumah kalian, sebab setiap langkah kalian akan dicatat.”
(Riwayat Muslim No. 1068)
Penjelasan tentang hadith ini: Bani Salamah adalah antara yang terawal masuk Islam dan mereka telah banyak berjasa kepada Nabi ﷺ dalam dakwah baginda. Mereka kuat beramal dan selalu solat berjemaah bersama Nabi ﷺ di Masjid Nabawi walaupun mereka tinggal agak jauh dari Masjid Nabawi. Satu waktu mereka terdengar bahawa satu kawasan tanah berdekatan dengan Masjid ada kekosongan dan mereka bercadang untuk menetap di sana supaya memudahkan mereka untuk berjemaah dengan Nabi ﷺ.
Tanah yang dimaksudkan adalah tanah yang digunakan sebagai Tanah Perkuburan Baqi’ sekarang ini. Apabila Nabi ﷺ mendengar tentang niat mereka itu, Nabi ﷺ telah datang berjumpa mereka dan menasihatkan mereka seperti dalam hadith di atas. Untuk setiap langkah seseorang ke masjid, dia akan mendapat pahala dan satu dosa akan dibuang daripadanya. Jadi, semakin jauh seseorang itu perlu datang untuk ke masjid, semakin banyak pahala yang dia akan dapat.
Apabila seseorang itu melakukan kebaikan, segala perkara yang berkaitan dengannya akan ditulis juga. Contohnya, wang dibelanjakan untuk melakukan kebaikan itu, masa yang diluangkan, semuanya akan ditulis. Termasuk dengan kesan perbuatan itu. Contohnya, apabila seseorang itu meluangkan masa untuk belajar pada malam hari dan esoknya dia akan kepenatan dan mengantuk, itu pun akan ditulis juga; kalau dia menaiki kereta, duit minyak kenderaan pun akan dikira sebagai pahala juga; sekiranya dia dimarahi kerana menyampaikan kebenaran dan dia bersabar, kesabaran itu juga menjadi pahala untuknya.
Kisah ini juga ada dikatakan sebagai Asbabun Nuzul ayat ini seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ كَانَتْ بَنُو سَلِمَةَ فِي نَاحِيَةِ الْمَدِينَةِ فَأَرَادُوا النُّقْلَةَ إِلَى قُرْبِ الْمَسْجِدِ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ : (إنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ) فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ آثَارَكُمْ تُكْتَبُ فَلا يَنْتَقِلُوا” .
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, “Bani Salamah yang tinggal di pinggiran kota Madinah ingin berpindah ke kawasan dekat masjid Nabawi. Maka turunlah, “Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang mati dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.” Maka Nabi ﷺ bersabda, “Sesungguhnya bekas telapak kalian menuju masjid dicatat oleh Allah sebaiknya kalian jangan pindah dari tempat kalian.”
Jami’ Tirmidzi (3226) dengan sanad yang dhaif.
Jadi, saya ringkaskan 3 pendapat tentang potongan ayat ini. Ia boleh bermaksud:
-
- Perbuatan dan niat
- Perbuatan dan kesannya
- Perbuatan dan usaha yang terlibat.
وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Semua sekali akan Kami catit dalam Kitab yang jelas nyata;
Kalimat إِمَامٍ مُّبِينٍ yang dimaksudkan adalah Kitab Amalan yang dilakukan oleh manusia. Semua perbuatan setiap manusia, kecil atau besar telah tercatat di situ. Perkataan أَحْصَيْ bermaksud pengiraan telah diambil kira semua sekali dengan teliti, tanpa meninggalkan sedikit pun. Allah ﷻ suruh para malaikat tulis. Bukannya Allah ﷻ tidak tahu dan lupa apa yang kita lakukan, tetapi sebagai bukti perbuatan kita itu. Aka ditunjukkan kepada kita nanti. Allah ﷻ berfirman di dalam Infithar: 10-12:
وَاِنَّ عَلَيْكُمْ لَحٰفِظِيْنَۙ – ١٠ كِرَامًا كٰتِبِيْنَۙ – ١١ يَّعْلَمُوْنَ مَا تَفْعَلُوْنَ – ١٢
“Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), yang mulia (di sisi Allah) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu), mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Ia digelar إِمَامٍ kerana ia akan diletakkan di hadapan manusia di akhirat kelak sepertimana seorang imam berada di hadapan jemaah dalam solat. Kitab amalan itu akan dibukakan di hadapan pelakunya untuk dibaca sendiri olehnya. Segala perbuatan kita akan ditulis semua sekali. Tidak ada yang akan tertinggal. Ternyata ramai yang akan terkejut nanti apabila melihat apa yang tertulis itu. Ini disebut dalam ayat Kahf: 49
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِيْنَ مُشْفِقِيْنَ مِمَّا فِيْهِ وَيَقُوْلُوْنَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لاَ يُغَادِرُ صَغِيْرَةً وَلاَ كَبِيْرَةً إِلاَّ أَحْصَاهَا وَوَجَدُوْا مَا عَمِلُوْا حَاضِرًا وَلاَ يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: ‘Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya.’ Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis). Dan Rabbmu tidak menganiaya seorang jua pun.”
Di awal tadi kita sebut yang Musyrikin Mekah tidak boleh terima yang segala perbuatan mereka akan dibentangkan kembali. Maka Allah ﷻ jelaskan di sini bahawa memang segala apa yang mereka lakukan semasa di dunia akan ditulis. Bukan perbuatan mereka sahaja, malah niat, kesan dan usaha mereka sekali. Kecil atau besar, semuanya akan ditulis.
Maka, hendaklah kita beringat. Ini semua diceritakan kepada kita supaya kita berhati-hati dengan segala perbuatan kita. Hidup di dunia ini tidak bermakna sangat sebenarnya. Dunia dan segala isinya akan hancur namun kita sepatutnya berasa lega kerana segala perbuatan baik kita akan ditulis dan membawa makna juga akhirnya. Bermakna, ada juga kepentingan dunia ini kepada kita. Di sinilah tempat kita bercucuk tanam untuk mendapatkan hasilnya di akhirat kelak.
Demikianlah susunan hebat Ayat 1 – 12 ini yang mengandungi beberapa topik. Yang menariknya, terdapat mukjizat susunan potongan ayat-ayat ini. Mereka yang merenungi struktur penyusunan ayat-ayat Al-Qur’an pasti akan dapat merasai kewujudan konsep “ring composition” (struktur cincin) dalam penyampaian mesej Al-Qur’an. Ring Compostion yang dimaksudkan adalah terdapat hubungkait di antara permulaan Surah atau ayat, dengan penutup Surah atau ayat tersebut. Topik yang di awal diulang kembali di hujungnya. Perhatikan susunan gugusan ayat ini:
[A]/[A’] – Kedua-dua bahagian ini menyebut tentang dua jenis kitab yang berbeza. Bahagian A adalah Al-Qur’an yang diturunkan dari langit ke bumi. Bahagian A’ pula adalah kitab amalan kita yang ditulis di bumi dan kemudian dipersembahkan kepada Allah ﷻ di langit.
[B]/[B’] – Kedua-dua bahagian ini mengandungi makna yang sama malah berkongsi satu kalimah (تُنذِرُ). Kedua-duanya ditujukan kepada Rasulullah ﷺ. Pertamanya Rasulullah ﷺ diberitahu yang baginda menerima wahyu untuk memberi peringatan (تُنذِرُ) kepada manusia; kemudian baginda diberitahu yang peringatan (تُنذِرُ) itu hanya diterima oleh mereka yang takut kepada Allah ﷻ.
[C]/[C’] – Sekali lagi kita melihat perkongsian kalimah yang sama di dalam kedua-dua bahagian ini (لَا يُؤۡمِنُونَ) yang merujuk kepada orang kafir. Pada mulanya dikatakan mereka tidak beriman tetapi kemudian dijelaskan lagi yang mereka tidak akan beriman walaupun telah diberi peringatan.
[D] – Bahagian yang tengah ini memberitahu kesan kedegilan mereka kerana tidak mahu beriman setelah disampaikan peringatan. Perhatikan ia kedudukannya di tengah dan ada perkataan depan (بَيۡنِ أَيۡدِيہِمۡ) dan belakang (خَلۡفِهِمۡ).
Sekian Ruku’ 1 daripada 5 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 30 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah



