Yaasin Ayat 2: Targhib (ajakan) kepada Al-Qur’an.
وَالقُرءآنِ الحَكيمِ
Demi Al-Qur’an yang penuh bijaksana;
Allah ﷻ bersumpah dengan Al-Qur’an yang penuh dengan hikmah. Dengan Al-Qur’an ini manusia boleh mendapat ilmu untuk kenal Allah ﷻ. Dapat membezakan manakah yang haq dan manakah yang bathil.
Sumpah
Huruf ‘و’ dalam ayat ini adalah Huruf Qosam dan ia bermaksud Allah ﷻ bersumpah dengan Al-Qur’an. Bukan bermaksud ‘dan’ seperti yang kita selalu fahami. Ini kita boleh tahu dari hujungnya jadi وَالقُرءآنِ dan bukannya وَالقُرءآنُ. Di dalam al-Qur’an terdapat sebanyak 200 lebih sumpah. Penerangan lebih lanjut boleh rujuk bab Usul Tafsir tentang sumpah. Allah ﷻ boleh bersumpah dengan macam-macam makhluk-Nya. Banyak dalam ayat-ayat lain Allah ﷻ bersumpah dengan bintang, dengan masa dan sebagainya. Namun manusia hanya boleh bersumpah dengan nama Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ bersumpah di dalam Al-Qur’an kerana beberapa hikmah dan tujuan yang mulia, di antaranya:
-
-
Menekankan Kebenaran dan Keagungan Sesuatu: Sumpah digunakan untuk memperkuat pernyataan dan menegaskan kebenaran apa yang akan disebutkan setelahnya. Ketika Allah ﷻ bersumpah dengan makhluk-Nya yang agung atau dengan nama-nama-Nya yang mulia, hal ini menunjukkan betapa penting dan agungnya perkara yang disumpahkan tersebut. Tujuannya adalah untuk menarik perhatian pendengar atau pembaca agar merenungkan dan meyakini kebenaran tersebut.
- Menarik Perhatian dan Fikiran: Sumpah Allah ﷻ seringkali menggunakan ciptaan-Nya yang menakjubkan, seperti matahari, bulan, bintang, malam, siang, gunung, lautan, dan lain-lain. Hal ini bertujuan untuk mengajak manusia merenungkan keindahan, kehebatan, dan kekuasaan Allah ﷻ yang termanifestasi dalam ciptaan-Nya. Dengan demikian, hati dan fikiran manusia akan lebih terbuka untuk menerima kebenaran yang disampaikan setelah sumpah tersebut.
- Menunjukkan Kekuasaan dan Kehendak Allah: Allah ﷻ adalah Pencipta segala sesuatu, dan Dia berhak untuk bersumpah dengan apa pun yang Dia kehendaki. Sumpah-Nya tidak seperti sumpah makhluk yang memerlukan nama yang lebih agung daripadanya. Sumpah Allah ﷻ dengan ciptaan-Nya justeru menunjukkan kekuasaan-Nya atas ciptaan tersebut dan bahwa segala sesuatu tunduk kepada-Nya.
- Memberikan Pelajaran dan Ibrah (Peringatan): Objek sumpah Allah ﷻ seringkali mengandungi pelajaran dan peringatan bagi manusia. Misalnya, bersumpah dengan waktu (demi masa, demi malam apabila telah sunyi, demi fajar) mengingatkan manusia akan pentingnya waktu dan bagaimana mereka menggunakannya. Bersumpah dengan tempat-tempat suci (seperti dalam Surah At-Tin) menunjukkan kemuliaan tempat tersebut dan implikasinya bagi manusia.
- Menjawab Keraguan dan Bantahan: Terkadang, sumpah Allah ﷻ dalam Al-Qur’an ditujukan untuk membantah keraguan atau penolakan orang-orang kafir terhadap kebenaran yang dibawa oleh para nabi. Sumpah tersebut menjadi penegasan yang kuat dan tidak terbantahkan daripada Allah ﷻ.
-
Mengandungi Hikmah yang Mendalam: Setiap sumpah Allah ﷻ dalam Al-Qur’an mengandungi hikmah dan rahsia yang mendalam yang mungkin tidak sepenuhnya kita fahami. Para ulama’ tafsir berusaha untuk menggali makna dan korelasi antara objek sumpah dengan isi pernyataan setelahnya.
-
Di dalam ayat Yaasin ini Allah ﷻ menggunakan Al-Qur’an sebagai objek sumpah (muqsam bihi). Apabila Allah ﷻ bersumpah, ada jawaabul qasm iaitu objek sumpah (Muqsam ‘Alaih). Maksudnya apakah perkara yang Allah ﷻ hendak tekankan sampai Dia bersumpah. Jawabnya adalah ayat selepas ini: إِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ. Maknanya Allah ﷻ bersumpah bahawa benar-benar Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Rasul. Itu nanti kita bincangkan sebentar lagi.
Yang menariknya, objek sumpah Allah ﷻ menguatkan subjek sumpah. Ia menjadi bukti atau dalil bagi sumpah Allah ﷻ itu. Sebagai contoh, perhatikan sumpah Allah ﷻ di dalam Surah al-Asr وَالعَصرِ. Objek sumpah adalah ‘masa’ dan subjek sumpah: إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ (Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian). Allah ﷻ hendak menekankan yang manusia benar-benar rugi dan buktinya, perhatikan masa yang dibuang percuma oleh manusia. Nampak bukan kaitannya?
Jadi di dalam ayat yang kita sedang perhatikan ini, Al-Qur’an dijadikan sebagai objek sumpah dan ia sebagai bukti bahawa benar-benar Nabi Muhammad ﷺ seorang Rasul. Buktinya perhatikan Al-Qur’an itu sendiri. Begini hebat Al-Qur’an itu, tidak mungkin ia boleh dibuat oleh tangan dan akal manusia. Tidak mungkin Nabi Muhammad ﷺ buat sendiri, jadi tentulah ia daripada Allah Sang Pencipta dan Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai penyampai risalah (Rasul) sahaja. Tambahan pula golongan penduduk Mekah itu kenal sangat dengan baginda dan mereka tahu baginda sebelum itu tidak tahu membaca dan menulis. Mereka juga tahu yang baginda tidak belajar dengan sesiapa tentang agama.
Al-Qur’an
Perkataan Al-Qur’an diambil daripada kata قُرْآ yang bermaksud ‘membaca sesuatu’. Apabila ditambah dengan huruf ان di hujungnya, itu membaca maksud ‘banyak’ – “abundance”. Oleh itu ia bermakna Al-Qur’an adalah sesuatu yang banyak dibaca. Tidak ada buku atau kitab yang dibaca sebanyak manusia membaca Al-Qur’an ini. Bukan hanya setakat baca sahaja, amat banyak sekali manusia yang menghafal dan mengkajinya. Itulah salah satu mukjizat Al-Qur’an. Tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kitab agama mana pun, termasuklah Kitab-kitab Hadith.
Yang menariknya, kita tidak pernah jemu untuk membaca Al-Qur’an walaupun kita membacanya setiap hari. Bayangkan, Fatihah yang kita baca berkali-kali dalam sehari itu pun kita tidak bosan membacanya. Walaupun kita sudah membaca surah itu semenjak kita kecil lagi sampai sekarang. Bandingkan dengan lagu, kalau kita sudah dengar 12 kali sahaja, sudah jadi bosan.
Hakeem
Allah ﷻ memberitahu sifat Al-Qur’an di sini iaitu ia bersifat الحَكيمِ. Apakah maksud dan penerangan tentang الحَكيمِ ini? Kita boleh berikan tiga maksudnya di sini:
1. Hikmah bermaksud kebijaksanaan (wisdom). Ia mengandungi berbagai-bagai jenis pengajaran di dalamnya dan yang paling penting sekali adalah tentang tauhid atau akidah. Ini bermaksud sesiapa yang belajar Al-Qur’an akan dapat banyak hikmah. Sesiapa yang beramal dengan hikmah akan mendapat berkat. Sesiapa yang mendapat berkat akan mendapat rahmat. Sesiapa yang mendapat rahmat, mereka akan selamat dan akan dimasukkan ke dalam syurga. Oleh itu, kenalah kita belajar tafsir untuk kita faham ajaran dalam Al-Qur’an ini. Jangan hanya baca sahaja tanpa memahami apa yang dibaca.
Selain itu, Al-Qur’an ini memang mengandungi hikmah – kebijaksanaan (wisdom) yang tinggi di dalamnya. Ia mengandungi ajaran tentang agama, tentang kehidupan, bahasa yang tinggi nilai seninya, mengajar kita tentang bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita akan selamat di dunia dan di akhirat. Kalau kita hendak mendapat kebijaksanaan ini, hendaklah kita belajar Al-Qur’an ini. Namun bukan hanya belajar baca sahaja seperti yang ditekankan oleh orang kita, tetapi kena faham tafsirnya sekali. Bukan hanya setakat membaca sahaja tanpa mengetahui apakah pengajaran di dalamnya.
Maksud hikmah Al-Qur’an ini ada ditafsirkan di dalam Isra’: 9
إِنَّ هٰذَا القُرءآنَ يَهدي لِلَّتي هِيَ أَقوَمُ وَيُبَشِّرُ المُؤمِنينَ الَّذينَ يَعمَلونَ الصّٰلِحٰتِ أَنَّ لَهُم أَجرًا كَبيرًا
Sesungguhnya Al Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar,
Al-Qur’an bersifat أَقوَمُ antara lain disebabkan kerana penyampaiannya yang demikian sempurna dan jelas serta kandungannya sesuai dengan fitrah manusia sehingga dengan mudah dapat difahami dan diamalkan. Kitab suci itu menggunakan cara untuk meyakinkan pembacanya, sehingga jika cara ini belum cukup, maka masih ada sekian banyak cara lain yang digunakan, supaya paling tidak salah satu di antaranya akan mengena.
Hikmah yang ada di dalam Al-Qur’an ini kita amat perlukan manfaatnya dan ia relevan bagi kehidupan kita. Kalau tidak bermanfaat dan tidak relevan dengan kita pun kita tidak ambil pusing juga, bukan? Kalau kita belajar tafsir Al-Qur’an dan mula mentadabburi ayat-ayatnya, maka kita akan dapat kesimpulan bahawa segala apa yang disebut di dalam Al-Qur’an ini memang kekal boleh digunakan sepanjang zaman. Ia bukannya hanya menceritakan apa yang berlaku zaman dulu-dulu tetapi setiap perkara kita boleh ambil pengajaran dan aplikasi di dalam kehidupan kita.
2. Kata الْحَكِيمِ juga boleh bermaksud ‘hukum‘. Al-Qur’an mengandungi hukum-hukum agama yang perlu kita ketahui dan taati. Ia adalah hukum yang tepat dan tetap ke atas umat Islam. Hukum Allah tidak berubah-ubah seperti undang-undang di dunia ciptaan manusia. Hukum Allah tetap boleh dipakai sepanjang zaman di mana-mana zaman. Ini kerana Allah ﷻ yang mencipta kita dan Dia tahu apa yang patut untuk mengawal kita. Cuma mereka yang tidak belajar sahaja yang tidak mengetahui apakah hukum-hukum itu. Berapa banyak umat Islam yang hari-hari membaca Al-Qur’an tetapi dalam masa yang sama mereka melanggar hukum-hukum dalam Al-Qur’an sendiri? Semuanya kerana tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an.
Selain daripada kita belajar apakah hukum-hukum Allah yang ada di dalam Al-Qur’an, kita boleh belajar apakah hikmah dan sebabnya Allah ﷻ menjadikan hukum hakam itu. Ini bukanlah wajib kita ketahui asalkan kita ikut taat kepada hukum Allah. Akan tetapi kalau kita dapat tahu, ia akan memberi kelegaan dan lebih mudah bagi kita untuk ikut hukum Allah. Ramai yang tidak ikut kerana mereka tidak nampak kepentingan hukum itu. Mereka rasa pelik dan tidak sesuai pula hukum itu di zaman sekarang (contohnya hukum hudud potong tangan) kerana mereka tidak belajar sahaja. Dengan mengetahui hikmah hukum itu, kita boleh pertahankan agama ini daripada serangan orang kafir yang hendak merendah-rendahkan hukum Allah.
Hukum itu daripada Allah Sang Pencipta alam ini dan kita. Perhatikan apabila Nabi Muhammad ﷺ menyampaikan hukum-hukum Allah, baginda tidak takut. Sedangkan baginda insan yang lemah sahaja, yang tidak ramai pengikutnya. Akan tetapi cara baginda sampaikan hukum itu, tidak apologetik langsung. Ini kerana bukanlah baginda mengadakan hukum itu sendiri, tetapi baginda hanya sampaikan daripada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ sudah pasti tidak takut memberikan hukum-Nya.
3. Maksud الْحَكِيمِ yang ketiga adalah ia terjalin kukuh. Ayat-ayat dan kandungan Al-Qur’an itu tersusun indah dan tidak ada kecelaruan. Tidak ada percanggahan daripada satu ayat ke ayat yang lain walaupun penurunannya mengambil masa 23 tahun. Bukan sahaja tidak bercanggah dengan ayat yang lain, ia juga tidak bercanggah dengan kata-kata Nabi ﷺ. Ini adalah satu kehebatan yang menjadi mukjizat Al-Qur’an dan membungkam para penentangnya. Allah ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 82
أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْءآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلٰفًا كَثِيرًا
Apakah mereka tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.
Dari segi penggunaan bahasa pun sudah berlainan. Sebagai contoh, kalau saya bercakap, adakah sama dengan kalimah yang saya tulis? Tentu tidak, kerana apabila saya menulis, ia lebih formal, lebih tersusun dan kurang kesalahan kerana saya ada masa untuk memperbetulkan ayat-ayat saya, bukan? Jadi begitu jugalah dengan ayat-ayat Al-Qur’an ini, ia amat tersusun sekali. Malah umat manusia yang bersama baginda dahulu dapat membezakan antara kata-kata baginda dan ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak sama. Malah kita zaman sekarang pun boleh membezakan antara lafaz hadith dan lafaz Al-Qur’an di mana lafaz Al-Qur’an lebih indah dan tepat.
Jadi, manakah maksud yang tepat? Ketiga-tiga makna الْحَكِيمِ boleh dipakai – hikmah, hukum atau tersusun. Ini kerana salah satu daripada kehebatan Al-Qur’an adalah ia mempunyai banyak makna dan makna-makna itu boleh dipakai. Ia memberi penjelasan yang lebih hebat apabila kita menggabungkan kesemua elemen itu.
Kita telah katakan yang Allah ﷻ jadikan Al-Qur’an ini sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu pastinya seorang Rasul. Maka takkan baginda boleh menjadikan Al-Qur’an yang begini punya hebat ini sampaikan ada hikmah yang sangat hebat itu?
Yaasin Ayat 3: Bahagian pertama Surah Yaasin ini adalah tentang Risalah. Iaitu tentang kerasulan Nabi ﷺ. Sebelum ini Allah ﷻ telah bersumpah untuk menguatkan keterangan yang di dalam ayat 3 ini.
إِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ
Sesungguhnya engkau (Muhammad) adalah daripada mereka yang diutus.
Allah ﷻ bersumpah dalam ayat kedua tadi adalah untuk menegaskan tentang kerasulan Nabi ﷺ dalam ayat ini. Perkataan ‘engkau’ adalah merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Satu lafaz daripada Allah ﷻ yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang rasul. Walaupun orang Mekah menolak baginda, namun Allah ﷻ tetap tegaskan yang baginda adalah seorang Rasul. Jangan hiraukan apa orang kata.
Kita boleh lihat Allah ﷻ menggunakan perkataan إِنَّ (sesungguhnya, tidak syak lagi) dan ditambah lagi dengan huruf لَ dalam perkataan لَمِنَ itu. Bermakna, ada tiga kali penegasan. Pertamanya, Allah ﷻ bersumpah dengan Al-Qur’an, kemudian Allah ﷻ gunakan perkataan إِنَّ dan huruf لَ. Bermakna, ini adalah perkara yang penting yang Allah ﷻ hendak tegaskan. Inilah dalil mengatakan Nabi Muhammad ﷺ sebagai Rasul. Selama ni kita percaya sahaja. Sekarang kita sudah tahu mana dalilnya dalam Al-Qur’an.
Perkataan مُرْسَلِ adalah bermaksud seseorang yang tidak lagi disebut setakat ini, memberikan elemen misteri. Namun kita tahu yang baginda telah diutus daripada kuasa yang tinggi yang tentulah Allah ﷻ. Bermakna, seorang Rasul itu bukan datang dengan membawa mesejnya sendiri, tetapi dia membawa mesej daripada Allah ﷻ. Jangan kita melihat bahawa Nabi ﷺ sendiri sahaja, tetapi ingatlah bahawa ada pertalian antara apa yang baginda cakap itu dengan Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻlah yang telah melantik Nabi ﷺ untuk menyampaikan suruhan-Nya. Jadi apa yang baginda sampaikan adalah daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Najm: 3-4
وَما يَنطِقُ عَنِ الهَوىٰ
Dan dia tidak memperkatakan menurut hawa nafsunya sendiri.
إِن هُوَ إِلّا وَحيٌ يوحىٰ
Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.
Maksud ayat ini adalah jangan kamu ragu-ragu bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah seorang Rasul suruhan Allah ﷻ. Baginda datang membawa mesej Allah ﷻ. Ini penting kerana ada yang ragu-ragu untuk menerima Nabi Muhammad ﷺ. Kalau yang hidup dengan baginda, ada yang menolak baginda kerana tidak percaya seorang manusia yang datang dalam kalangan mereka boleh menjadi seorang Nabi. Kemudian ada agama lain yang tentunya tidak terima kenabian Nabi Muhammad ﷺ.
Namun malangnya ada juga orang Islam sendiri yang mengaku Islam, tetapi tidak percaya sepenuhnya dengan baginda. Atau dengan kata lain, tidak menerima hadith-hadith Nabi ﷺ. Mereka kononnya boleh terima Al-Qur’an tetapi mereka susah hendak terima hadith Nabi ﷺ. Golongan ini adalah Golongan Anti-Hadith dan sudah lama juga ada dalam kalangan orang Islam di dunia ini termasuk di negara kita pun. Mereka kononnya hanya terima Al-Qur’an sahaja, tetapi jelas yang pemahaman Al-Qur’an mereka pun ada masalah. Ini kerana kalau mereka terima Al-Qur’an, tentu secara automatik mereka akan terima hadith Nabi ﷺ.
Ayat ini hendak menegaskan tentang kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah Surah Makiyyah di mana Nabi ﷺ masih lagi ditolak sebagai Nabi oleh majoriti manusia kecuali beberapa kerat sahaja. Jadi Allah ﷻ hendak tekankan kepada Nabi ﷺ dan kepada umatnya bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul utusan Allah ﷻ.
Dalam ayat ini juga, Allah ﷻ tidak kata Nabi Muhammad ﷺ itu adalah ‘seorang Rasul’. Allah ﷻ kata baginda adalah ‘salah seorang daripada yang diutus’. Ada kepentingan kenapa Allah ﷻ sebut cara begini. Allah ﷻ tidak sebut baginda seorang daripada para Rasul, tetapi sebut ‘diutus’. Ini untuk menekankan yang baginda memang diutus oleh satu kuasa. Baginda tidak cakap idea daripada baginda tetapi hanya sampaikan daripada Allah ﷻ sahaja.
Allah ﷻ juga hendak menyentuh tentang brotherhood para Rasul. Ini kerana ada ramai Rasul-rasul yang telah diutus kepada manusia dan Nabi Muhammad ﷺ adalah salah seorang daripada mereka. Bukanlah baginda Rasul yang pertama, tetapi baginda adalah rentetan daripada Rasul-rasul yang lain yang telah diangkat zaman berzaman. Maka ajaran yang baginda bawa itu bukanlah ajaran yang baru tetapi sama sahaja dengan ajaran yang dibawa oleh para Rasul yang terdahulu.
Maknanya juga, ini adalah sebagai ayat pujukan (tasliah) kepada Nabi kita. Kenapa Nabi Muhammad ﷺ kena dipujuk? Perhatikan juga ayat ini adalah di dalam kata-ganti kedua إِنَّكَ iaitu Allah ﷻ sedang bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ. Kenapa tidak cakap terus kepada puak Quraisy yang tidak percayakan baginda? Kerana baginda sendiri perlu diyakinkan. Baginda selama ini telah ditolak dan antaranya dituduh sebagai gila, bukan? Kalau orang sekeliling kita pun kata kita gila, lama-lama kita pun sangka kita gila, bukan? Maka Nabi Muhammad ﷺ sekarang sedang diberi keyakinan oleh Allah ﷻ.
Allah ﷻ juga memberi tasliah kepada baginda dengan mengingatkan tentang para Rasul sebelum baginda. Kerana itu Allah ﷻ sebut: لَمِنَ المُرسَلينَ. Kalau baginda belum dikenalkan lagi dengan para Rasul, baginda akan diperkenalkan dengan kisah-kisah mereka nanti. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ ditolak oleh umatnya, dikutuk, dikeji, ditohmah dan sebagainya, begitu juga Rasul-rasul yang terdahulu. Allah ﷻ suruh kenangkan tentang dugaan yang juga telah dihadapi oleh Rasul-rasul dahulu supaya tidak rasa susah hati sangat. Dari segi psikologi, kalau kita tahu yang orang lain ada masalah sama dengan kita, tentulah ada kurang rasa sakit kita itu. Jadi kalau Rasulullah ﷺ dapat menerima segala dugaan yang dikenakan kepada baginda itu adalah sunnatullah, maka kuranglah sedikit kesesakan di hati baginda. Memang dari dahulu sampai sekarang, akan ada sahaja yang tidak terima mesej yang disampaikan oleh para Rasul itu. Ini juga adalah untuk memujuk pendakwah zaman dahulu dan sekarang yang ditolak dakwah mereka, mereka dikutuk, dikeji dan macam-macam lagi kepada mereka. Ingatlah bahawa para Nabi dahulu pun telah menerima nasib yang sama – malah lagi teruk lagi daripada apa yang pendakwah sekarang kena. Maka bersabarlah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 18 April 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
