Tafsir Surah Yaasin Ayat 13 – 14 (Kisah Tiga Rasul)

KISAH TIGA RASUL

Yaasin Ayat 13: Ayat 13 – 32 adalah Perenggan Makro Kedua. Allah ‎ﷻ menceritakan contoh balasan baik dan balasan buruk. Oleh kerana manusia pun memang suka bercerita dan mendengar kisah, maka banyak ayat-ayat di dalam Al-Qur’an mengandungi kisah pengajaran.

Ayat 13 – 27 berkenaan kisah sebuah bandar yang didatangi tiga Rasul.
Ayat 28 – 32 pula berkenaan kaum-kaum terdahulu yang menolak peringatan para rasul yang telah dibinasakan.

Ayat 13 ini adalah Ayat Takhwif Duniawi (penakutan dengan azab di dunia lagi). Kena faham sejarah surah ini sedikit sebelum kita meneruskan tafsir ayat ini. Surah Yaasin ini diturunkan di Mekah, di hujung-hujung waktu Nabi Muhammad ﷺ di sana sebelum baginda berhijrah ke Madinah. Maknanya, sudah lama baginda berdakwah kepada mereka, bertahun-tahun. Baginda telah melakukan berbagai-bagai cara dalam dakwah baginda kepada penduduk Mekah. Sama ada dengan cara individu, ceramah ramai-ramai, beri insentif dan sebagainya. Semuanya baginda telah cuba. Kita harus ingat bahawa Nabi ﷺ adalah seorang yang bijak dalam berdakwah. Malangnya, tetap ramai yang tidak mahu menerima.

Baginda dan para sahabat رضي الله عنهم telah ditindas dengan teruk oleh penduduk Mekah. Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak memberi contoh tentang apakah yang terjadi kepada masyarakat yang pernah menolak rasul yang datang kepada mereka dahulu. Ayat ini memberi ancaman kepada mereka, bahawa jikalau mereka tidak mahu menerima Islam, maka nanti mereka mungkin akan mengalami nasib yang sama. Allah ‎ﷻ memulakan kisah tentang penduduk sebuah kota. Sebagaimana Musyrikin Mekah itu telah didatangi oleh Rasulullah ﷺ, ada tempat lain yang telah didatangi dengan Rasul.

وَاضرِب لَهُم مَّثَلًا أَصحٰبَ القَريَةِ إِذ جاءَهَا المُرسَلونَ

Sahih International

And present to them an example: the people of the city, when the messengers came to it –

Malay

Dan ceritakanlah kepada mereka satu perbandingan mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

 

وَاضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ

Dan buatlah kepada mereka satu kisah contoh bandingan penduduk suatu bandar.

Sekarang kita masuk menelusuri sedikit sejarah. Sejarah ini telah disebut di dalam ayat 9,

وَجَعَلنا مِن بَينِ أَيديهِم سَدًّا وَمِن خَلفِهِم سَدًّا
Allah akan jadikan hijab di hadapan mereka dan hijab di belakang mereka. 

Di dalam ayat itu kita telah sebut salah satu cara untuk mendapat hidayah adalah dengan melihat sejarah yang telah berlaku sebelum kita. Ia mengandungi pengajaran yang besar dan mengajar kita tentang kebenaran. Begitulah kita diajar mengambil contoh daripada orang-orang sebelum kita agar kita tidak mengulangi kesilapan mereka.

Perhatikan kalimah الْقَرْيَةِ di dalam bentuk makrifah kerana ada ال padanya. Namun tidak pula disebut nama tempat itu di dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ menghina Musyrikin Mekah yang begitu berbangga dan perasan dengan kehebatan mereka kononnya dan rasa mereka besar. Akan tetapi di dalam ayat 6 sebelum ini, لِتُنذِرَ قَومًا مّا أُنذِرَ آباؤُهُم فَهُم غٰفِلونَ hanya digunakan kalimah قَومًا sahaja untuk mereka di dalam bentuk nakirah (umum) sahaja. Maknanya tempat yang tidak disebut nama pun dapat ال sedangkan mereka tidak ada pun ال.

Kalimah قَرْيَةِ boleh merujuk kepada kampung, pekan atau bandar. Ia digunakan untuk merujuk tempat yang ada penduduk di dalamnya. Dalam masyarakat kita pun sudah ada digunakan kalimah kariah masjid dan sebagainya. Ia diambil daripada kalimah yang sama. Bolehlah sedikit kita sebut tentang bandar ini menurut beberapa pendapat. Sebenarnya tidak penting pun kita tahu. Bandar yang dimaksudkan dalam ayat ini dikatakan bernama Antioch. Ataupun dipanggil Antokiah. Ia adalah salah satu bandar di bawah kerajaan Rom Purba. Ia adalah sebuah bandar purba terletak di Damsyik, berdekatan dengan Syria sekarang. Masih lagi boleh diziarahi sehingga hari ini. Zaman itu adalah zaman Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bermakna, kejadian ini berlaku lebih kurang dua ribu tahun yang lalu.

Di sini beberapa orang Nabi termasuk Nabi Yahya عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dibunuh semasa menyebarkan agama kepada penduduk bandar itu. Namun ini pun belum pasti lagi kerana walaupun sejarah Antokiah ini ada, tetapi tidak pula terdapat kisah yang menceritakan bahawa tempat itu hancur. Sedangkan dalam Surah Yaasin ini, tempat itu telah hancur. Jadi jangan kata pasti lagi nama tempat ini adalah Antokiah kerana Al-Qur’an tidak menyebut nama tempat ini. Ketahuilah bahawa di manakah tempat itu bukanlah perkara penting. Yang penting adalah pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini.

Perkataan اضْرِبْ bermaksud ‘pukullah’. Kenapa pula ada pukulan dalam penceritaan contoh? Ia bermaksud, Nabi ﷺ disuruh beri penegasan kepada mereka. Sebagai contoh, kalau kita hendak menekankan sesuatu perkara sedang bercakap, kadang-kala begitu bersungguh sekali kita ingin menekankan betapa pentingnya perkara yang kita mahu sampaikan ini sampaikan kita memukul meja.

Apabila perkataan وَاضْرِبْ لَهُم digunakan, ia bermaksud, menjadikan kisah itu relevan dengan manusia semasa. Walaupun kisah itu telah lama berlalu, Nabi ﷺ disuruh menjadikan kisah itu relevan dengan penduduk Mekah di zaman baginda. Begitu juga kita, mestilah menjadikan kisah ini relevan dengan zaman sekarang. Walaupun kisah itu tentang penduduk yang kafir yang menentang Rasul mereka, tetapi kita hendaklah membandingkan dengan keadaan kita. Kerana takut-takut jikalau sifat mereka yang disebut dalam kisah mereka itu ada dengan kita. Jangan kita sangka apabila kisah dalam Al-Qur’an disebut, ia hanya berkisar tentang orang lain sahaja yang telah berlalu. Ini adalah kerana Al-Qur’an bukanlah buku sejarah.

Kita hendaklah bandingkan dengan diri kita sendiri. Kita disuruh melihat sama ada kisah mereka itu ada kena dengan kita atau tidak, bukan baca sebagai kisah menarik dan sebagai sejarah sahaja. Ramai orang tidak faham konsep ini. Mereka sangkakan kisah dalam Al-Qur’an sebagai kisah sahaja. Tidak begitu. Semua kisah dalam Al-Qur’an memberi peringatan untuk kita. Kena bandingkan dengan keadaan semasa.

 

إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ

Ketika datang kepadanya utusan-utusan Kami; 

Iaitu Rasul-rasul yang dihantar untuk berdakwah kepada penduduk bandar itu. Begitulah untuk setiap umat akan diberikan Rasul atau pendakwah untuk sampaikan ajaran agama. Allah ‎ﷻ telah berfirman akan hal ini di dalam Nahl: 36

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
“Dan sungguh, Kami telah mengutus seorang rasul pada setiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” Maka di antara mereka ada orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Perhatikan kalimah yang digunakan di sini adalah الْمُرْسَلُونَ (yang diutuskan). Mereka tidak kata yang mereka itu para Rasul tetapi mereka ‘diutus’. Diutus oleh siapa? Tentunya oleh Allah ‎ﷻ. Di sini adalah kerana mereka hendak mengingatkan yang mereka bukan datang dengan kehendak mereka sendiri serta mereka sampaikan hujah mereka sendiri, namun semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Jadi kalau penduduk itu tolak, mereka bukan tolak para Rasul, tetapi sebenarnya tolak Allah ‎ﷻ!

Maka kerana itu kita bila berdakwah, kena bawakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ. Boleh beri hujah, tetapi hendaklah ada hujah dalil sama ada daripada ayat Al-Qur’an atau hadith yang sahih. Bukannya bawa hujah sendiri, hujah ustaz, pendapat ulama’, kitab dan sebagainya. Kerana kalau kita bawa hujah sendiri, hujah ustaz, pendapat ulama’, kitab dan sebagainya, yang menentang kita pun boleh bawa hujah mereka sendiri, hujah ustaz mereka, pendapat ulama’ yang lain, kitab yang pelbagai dan sebagainya. Hasilnya tidak ke mana jadinya. Maka yang terbaik kita terus sahaja bawakan ayat Al-Qur’an dan hadith sahih supaya mereka sedar yang kalau mereka tolak bermaksud mereka sebenarnya sedang tolak wahyu!

Oleh itu, penting sekali seorang pendakwah mestilah mengulangkaji serta menghafal dalil-dalil yang perlu. Jangan bermudah sangat goreng hujah sendiri. Kalau tidak boleh hafal, maka boleh sediakan nota siap-siap.

Ada perbincangan mufassir tentang siapakah الْمُرْسَلُونَ itu. Ada yang kata, mereka adalah hawariyyin, pengikut-pengikut Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan oleh itu bukanlah Rasul. Walau bagaimanapun, bukanlah tujuan kita untuk memastikan siapakah mereka. Yang penting adalah untuk kita mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Begitulah kalau kita perhatikan, semasa Allah ‎ﷻ menceritakan tentang kejadian di masa lalu, Allah ‎ﷻ jarang sangat menyebut tempat, zaman ia berlaku dan nama orang-orang yang terlibat. Kalau disebut pun tentu ada sebabnya. Kenapa Allah ‎ﷻ tidak sebut? Kerana ia tidak penting dan sebenarnya tidak perlu pun. Ini kerana kalau disibukkan dengan maklumat itu, ia akan menyebabkan kita lebih memikirkan tentang tempat, zaman dan nama orang-orang itu sahaja, dan terlupa untuk mengambil iktibar daripada pengajaran ayat-ayat tersebut. Jadi kalau tidak disebut, tidak perlulah kita bersungguh selidik sangat. Biarkan sahaja ia seperti itu. Buat apa hendak tahu tempat kejadian itu? Buat tambah tempat pelancongan sahaja nanti.

Akan tetapi kenapa Allah ‎ﷻ banyak menyebut kisah terdahulu seperti kisah para Nabi dan Rasul عليهم السلام? Banyak kisah para Nabi عليهم السلام disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ‎ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111

لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.

Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan pelajari kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ‎ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ‎ﷻ sebut di dalam Hud: 120

وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu.

Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan:

وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman

Maka ayat ini ada kaitan dengan ayat 3 إِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ (Sesungguhnya engkau (Muhammad) adalah daripada mereka yang diutus.) Di situ kita telah belajar yang Nabi Muhammad ﷺ adalah salah seorang daripada persaudaraan para Rasul عليهم السلام dan sekarang baginda diberikan dengan kisah apa yang berlaku kepada saudara baginda di masa lalu.

Perhatikan penggunaan kalimah جَاءَهَا di sini. Dhomir ها di sini merujuk kepada الْقَرْيَةِ itu. Sebenarnya para utusan itu dihantar kepada kampung itu atau kepada penduduknya? Tentulah kepada penduduknya akan tetapi kenapa tidak digunakan kalimah جَاءَهُم? Ini kerana kalau dihantar hanya kepada penduduk itu sahaja, mereka nanti akan mati dan hilang. Akan tetapi kalau dihantar kepada kampung/bandar itu, bandar itu akan kekal dan mungkin ajaran mereka akan diterima kemudian di zaman hadapan. Maknanya para Rasul عليهم السلام dan pendakwah haruslah pandang ke hadapan. Mungkin masa sekarang dakwah kita ditolak, tetapi entah bila ia mungkin akan diterima.

Begitulah panjangnya pandangan Nabi Muhammad ﷺ setelah ditawarkan oleh Malaikat Penjaga Gunung untuk menghancurkan Bandar Thaif setelah baginda dihalau mereka,

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ أَنَّهَا قَالَتْ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَلْ أَتَى عَلَيْكَ يَوْمٌ كَانَ أَشَدَّ عَلَيْكَ مِنْ يَوْمِ أُحُدٍ قَالَ لَقَدْ لَقِيتُ مِنْ قَوْمِكِ مَا لَقِيتُ وَكَانَ أَشَدَّ مَا لَقِيتُ مِنْهُمْ يَوْمَ الْعَقَبَةِ إِذْ عَرَضْتُ نَفْسِي عَلَى ابْنِ عَبْدِ يَالِيلَ بْنِ عَبْدِ كُلَالٍ فَلَمْ يُجِبْنِي إِلَى مَا أَرَدْتُ فَانْطَلَقْتُ وَأَنَا مَهْمُومٌ عَلَى وَجْهِي فَلَمْ أَسْتَفِقْ إِلَّا وَأَنَا بِقَرْنِ الثَّعَالِبِ فَرَفَعْتُ رَأْسِي فَإِذَا أَنَا بِسَحَابَةٍ قَدْ أَظَلَّتْنِي فَنَظَرْتُ فَإِذَا فِيهَا جِبْرِيلُ فَنَادَانِي فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ وَمَا رَدُّوا عَلَيْكَ وَقَدْ بَعَثَ إِلَيْكَ مَلَكَ الْجِبَالِ لِتَأْمُرَهُ بِمَا شِئْتَ فِيهِمْ قَالَ فَنَادَانِي مَلَكُ الْجِبَالِ فَسَلَّمَ عَلَيَّ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ إِنَّ اللَّهَ قَدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ وَأَنَا مَلَكُ الْجِبَالِ وَقَدْ بُعِثْتُ إِلَيْكَ لِتَأْمُرَنِي بِمَا شِئْتَ إِنْ شِئْتَ أَنْ أُطْبِقَ عَلَيْهِمْ الْأَخْشَبَيْنِ فَعَلْتُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا  
Daripada Urwah bin Az-Zubair, bahawa Aisyah RA bercerita kepadanya, beliau berkata kepada Nabi ﷺ, “Apakah pernah datang kepadamu suatu hari yang lebih berat bagimu daripada hari Uhud?” Rasulullah ﷺ menjawab, “Sungguh aku telah menghadapi kaummu dengan berbagai macam (perlakuan), dan yang paling berat yang aku hadapi daripada mereka adalah pada hari Aqabah (perjalanan ke Thaif). Ketika aku menawarkan diriku kepada Ibnu Abdi Yalil bin Abdi Kulal, namun dia tidak menjawab apa yang aku inginkan. Maka aku pergi dengan wajah murung, dan aku tidak sedar kecuali ketika aku berada di Qarnuts-Tsa’alib. Aku mengangkat kepalaku, ternyata ada awan yang menaungiku. Aku melihat, ternyata di dalamnya ada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau memanggilku dan berkata, ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu dan penolakan mereka terhadapmu. Dan Dia telah mengutus kepadamu malaikat penjaga gunung untuk engkau perintahkan sesuai dengan keinginanmu terhadap mereka.’ Lalu malaikat penjaga gunung memanggilku, mengucapkan salam kepadaku, kemudian berkata, ‘Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu, dan aku adalah malaikat penjaga gunung. Aku diutus kepadamu untuk engkau perintahkan sesuai dengan keinginanmu. Jika engkau ingin aku menimpakan kepada mereka dua gunung Akhsyab (dua gunung di Mekah), aku akan melakukannya.’ Nabi ﷺ bersabda, ‘Tidak, bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan dari sulbi (keturunan) mereka orang-orang yang menyembah Allah semata dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.'”
(Sahih Bukhari No. 3231)

Begitulah saya berharap dengan tulisan ini dapat menjadi sumber dakwah kepada pembaca sekalian. Mungkin ia sukar diterima sekarang kerana dianggap sebagai ‘tafsir wahabi’, akan tetapi harapnya di masa hadapan ia menjadi rujukan bagi umat untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an.


 

Yaasin Ayat 14:

إِذ أَرسَلنا إِلَيهِمُ اثنَينِ فَكَذَّبوهُما فَعَزَّزنا بِثالِثٍ فَقالوا إِنّا إِلَيكُم مُّرسَلونَ

Sahih International

When We sent to them two but they denied them, so We strengthened them with a third, and they said, “Indeed, we are messengers to you.”

Malay

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `Sesungguhnya kami ini diutuskan kepada kamu’.

 

إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا

Iaitu ketika Kami menghantar dua orang rasul kepada mereka dan mereka dustakan kedua-duanya;

Di sini disebut dua orang Rasul telah diutus kepada kaum itu. Pertamanya kalau sampai dua orang Rasul telah dihantar, kita boleh bayangkan betapa degilnya kaum ini. Keduanya, ini menunjukkan sifat Rahmah Allah ‎ﷻ yang tetap mahu hamba-Nya beriman dan kita telah belajar tentang sifat Allah ‎ﷻ ini di dalam ayat 5

تَنزيلَ العَزيزِ الرَّحيمِ
Diturunkan oleh Allah yang Maha Gagah Perkasa lagi Maha Mengasihani

Akan tetapi kaum itu telah menolak dakwah kedua-dua Nabi itu. Begitulah sunnatullah yang berlaku zaman berzaman. Apabila ada Rasul yang berdakwah, pasti akan ada yang menolak. Begitulah antaranya Allah ﷻ berfirman di dalam Zukhruf: 23

وَكَذٰلِكَ ما أَرسَلنا مِن قَبلِكَ في قَريَةٍ مِّن نَّذيرٍ إِلّا قالَ مُترَفوها إِنّا وَجَدنا ءآباءَنا عَلىٰ أُمَّةٍ وَإِنّا عَلىٰ ءآثٰرِهِم مُّقتَدونَ
Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: “Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan ugama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja”.

Nama Rasul yang diutus itu dikatakan ialah Shaiq dan Shaduq dan pembantu yang didatangkan kemudian itu bernama Syalom. Akan tetapi ada pula riwayat lain mengatakan bahwa Rasul itu ialah Syam’un dan Yohana dan pembantu yang dikirim kemudian itu bernama Paulus. Di dalam bahasa Arab disebut Syam’un, Juhana dan Baulush. Namun begitu, kisah ini berdekatan pula dengan kisah-kisah Kristian, mirip dengan sebuah di antara kitab “Perjanjian Baru” yang bernama “Kisah Segala Rasul”. Jadi tidak boleh dipakai sangat kerana kata-kata di dalam kitab mereka itu jauh berbeza dengan ajaran Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada pendapat lain mengatakan bahawa rasul-rasul itu bernama: Yahya, Sodum dan Sam’un. Ketiga-tiganya Nabi, bukan pendakwah biasa. Mereka dikatakan telah dihantar oleh Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Atau diutus oleh Tuhan sendiri di zaman Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, ada juga mufassir yang berpendapat bahawa mereka itu adalah manusia biasa, bukan Nabi. Maksud mereka itu diutus adalah kerana diutus oleh Rasul lain, berkemungkinan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Digunakan kalimah أَرْسَلْنَا (Kami telah utus) kerana kalau yang mengutus itu seorang Rasul, maka secara tidak langsung ia adalah utusan Allah ‎ﷻ juga.

Perkataan فَكَذَّبُوهُمَا bermaksud, penduduk negeri Antokiah itu telah mengatakan bahawa pembawa-pembawa risalah itu telah menipu, jadi mereka tidak mahu ikut. Itu adalah alasan mereka sahaja. Apabila mereka degil untuk menerima dakwah, mereka menuduh para pendakwah itu penipu. Tuduhan yang sama dikenakan terhadap Nabi Muhammad ﷺ juga.

 

فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ

maka Kami perkuatkan dengan yang ketiga.

Dihantar Rasul yang ketiga untuk menguatkan semangat mereka yang dua orang yang mula-mula datang. Ataupun untuk menguatkan mesej dakwah yang mereka bawa. Sepatutnya, kalau dua orang pun sudah lebih daripada cukup, tetapi Allah ‎ﷻ beri peluang dengan menghantar pendakwah yang ketiga. Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah فَعَزَّزْنَا dan di mana kita telah dengar kalimah ini? Perhatikan ayat 5 تَنزيلَ العَزيزِ الرَّحيمِ di mana digunakan kalimah العَزيزِ yang merujuk kepada Allah ‎ﷻ yang menurunkan Al-Qur’an. Maka dua Rasul itu dikuatkan dengan bantuan Rasul yang lain namun Nabi Muhammad ﷺ dikuatkan dengan Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah ‎ﷻ yang bersifat العَزيزِ.

Kisah tiga Rasul yang bekerjasama ini mengajar kita yang kadangkala dakwah memerlukan bantuan dan sokongan. Kalau seorang diri buat, mungkin tidak boleh. Maka jangan segan untuk bekerjasama dengan pihak yang lain, asalkan semuanya ada niat yang sama iaitu menyampaikan ajaran Allah ‎ﷻ kepada masyarakat.

Ia juga mengajar kita di dalam kerja dakwah ini tidak boleh berputus asa. Lihatlah sudah dua orang dakwah tidak berjaya, datang pula yang ketiga. Apa sahaja yang boleh buat, kita jalankan usaha dakwah. Walaupun ditolak kerana itu biasa sahaja dalam dunia dakwah. Adakah kita ditolak oleh masyarakat kita? Mungkin tidak kerana kita tidak dakwah pun kepada orang. Sebab itu orang tidak marah kita kerana kita jadi ‘syaitan bisu’.

Sekarang bagaimana sudah ada tiga Rasul pula di sebuah kampung yang sama? Siapa ketua, siapa pengikut? Siapa yang senior? Siap yang bercakap dahulu? Mereka tidak ada masalah seperti kita yang ada ego sedikit sebanyak. Kerana para Rasul itu semuanya buat kerja Allah ‎ﷻ dan mereka bukan hendak menaikkan nama mereka dan mahu menjadi ketua. Tentulah mereka pandai menguruskan tugas mereka masing-masing. Kalau jadi pada ustaz kita, mulalah banding-bandingkan sesama sendiri. Kalau dijemput ceramah di tempat yang sama, mulalah buat perancangan dia hendak bercakap dahulu sebelum orang lain. Saya sendiri pernah ada pengalaman dijemput mengajar dalam satu medan dakwah. Sebelum saya sudah ada ustaz mengajar tafsir. Apabila saya dijemput, ustaz itu mempersoalkan kenapa perlu saya dijemput mengajar juga sedangkan dia sudah mengajar.

 

فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ

Rasul-rasul itu berkata: “sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu”.

Rasul-rasul عليهم السلام itu telah dihantar untuk penduduk Antioch itu. Mereka berdakwah dengan menggunakan syariat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun dari segi akidah, sama sahaja ajaran yang dibawa oleh setiap Nabi dan Rasul.

Akan tetapi penduduk negeri itu telah ingkar kepada para utusan itu. Maka apabila ingkar sahaja, bala telah diturunkan kepada mereka. Binatang sakit, tanaman hangus dan sebagainya. Itu adalah kesan jikalau menolak dakwah daripada penyebar agama. Disebabkan bala itulah yang menyebabkan mereka menuduh para utusan itu yang menyebabkan bala itu datang. Padahal, bala itu adalah kerana mereka menolak dakwah para rasul itu. Bala diturunkan untuk mengingatkan mereka. Apabila mereka jatuh susah, kesannya untuk merendahkan ego mereka yang sedang tinggi. Kerana selalunya apabila sesuatu kaum itu sedang hidup dengan senang, sedang kaya, mereka akan sombong dan tidak mahu menerima ajakan dakwah. Maka, Allah ‎ﷻ akan berikan bala kepada mereka. Bila ego sudah rendah, sepatutnya lebih senang menerima nasihat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 2 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yaasin Ayat 13 – 14 (Kisah Tiga Rasul)”

Leave a comment