Tafsir Surah Baqarah Ayat 237 – 243 (Wasiat untuk isteri)

Ayat 237:

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً فَنِصفُ ما فَرَضتُم إِلّا أَن يَعفونَ أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ ۚ وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ ۚ وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you divorce them before you have touched them and you have already specified for them an obligation, then [give] half of what you specified – unless they forego the right or the one in whose hand is the marriage contract foregoes it. And to forego it is nearer to righteousness. And do not forget graciousness between you. Indeed Allah , of whatever you do, is Seeing.

MALAY

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

 

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka,

Ini ada persamaan dengan ayat sebelum ini – pasangan itu sudah berkahwin tetapi tidak ada hubungan kelamin lagi. Diceraikan sebelum mereka jimak.

 

وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً

padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka,

Cuma beza dengan ayat sebelum ini, mahr telah ditetapkan oleh pihak lelaki. Lelaki itu telah berjanji untuk memberikan sekian-sekian banyak kepada isterinya itu. Selalunya di negara ini, mahr itu disebut semasa akad nikah.

 

فَنِصفُ ما فَرَضتُم

maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu,

Oleh kerana mahr telah ditetapkan, syari’at menetapkan bahawa bekas suami itu hendaklah memberikan separuh daripada kadar mahr yang telah dijanjikan. Kalau sudah janji henak beri 10 ribu, maka berilah 5 ribu kepada bekas isterinya itu.

 

إِلّا أَن يَعفونَ

kecuali jika mereka memaafkannya

Kecuali jikalau pihak isteri kata tidak perlulah beri walau separuh pun iaitu pihak isteri mahu menjaga nama baik. Ini memang boleh. Mungkin dia kasihan kepada lelaki itu kerana telah susah payah hendak datangkan wang itu, tetapi perkahwinan tidak jadi pun, maka ambillah balik kesemua daripada mahr itu kembali (kalau sudah bayar). Atau kalau tidak bayar lagi, tidak perlu bayar separuh pun.

 

أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ

atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya

Pihak yang memegang ikatan nikah itu adalah lelaki itu. Dia mungkin hendak menjaga nama baiknya, maka dia pun kata ambillah kesemua mahr yang telah dijanjikan itu. Dia boleh cari duit lagi, tetapi nama baik susah hendak jaga. Ini juga adalah bagus. Tambahan pula kerana dia yang memutuskan perkahwinan itu.

 

وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ

Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.

Kedua-dua pihak tidak jadi berkahwin, tetapi janganlah ada rasa tidak selesa atau marah sesama sendiri. Maafkanlah sesama sendiri dan itu adalah tanda ketaqwaan yang ada pada kedua-dua pihak itu.

Terimalah kejadian itu sebagai takdir daripada Allah ‎ﷻ Maafkanlah apa kesalahan yang telah berlaku. Kita pun tidak pasti kenapa perkahwinan itu tidak menjadi. Namun terima sahaja takdir Allah ‎ﷻ itu.

Juga bermaksud, kalau salah satu pihak melepaskan hak untuk mendapat sebahagian daripada mahr itu, ini adalah sikap yang terpuji.

 

وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم

Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.

Berilah hadiah sesama sendiri sebagai tanda mereka masih lagi berbaik-baik supaya walau tidak jadi perkahwinan itu tetapi masih mesra lagi antara kedua-dua pihak.

Kalau pihak isteri kata tidak perlu bayar separuh, maka pihak lelaki itu berilah hadiah kepada pihak isteri itu.

Kalau pihak suami berikan seluruh mahr yang dijanjikan itu, maka pihak isteri balaslah budi itu dengan memberikan sesuatu sebagai hadiah.

 

إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

Allah ‎ﷻ melihat perbuatan hamba-Nya dan Allah ‎ﷻ menilai sama ada perbuatan itu baik atau tidak.

Lihatlah keindahan Islam di dalam mengajar manusia tentang perkara-perkara sebegini. Perkara-perkara sebegini tidak ada di dalam agama lain. Maka jikalau mereka tahu tentang perkara-perkara sebegini, iaitu jikalau kita sampaikan kepada mereka, tentulah mereka akan tertarik dengan keindahan agama Islam ini.

Mungkin mereka akan tergerak hati untuk masuk Islam. Masalahnya umat Islam sendiri pun tidak tahu apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini, lalu bagaimana mereka hendak sampaikan keindahan ini kepada manusia lain?


 

Ayat 238: Dalam ayat-ayat sebelum ini kita telah banyak belajar tentang ayat-ayat Umur Munazimah iaitu tentang hubungan sesama manusia. Sekarang kita diingatkan di sini bahawa hubungan dengan manusia itu hanya boleh menjadi baik jikalau kita menjaga hal-hal Umur Muslihah iaitu hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

Tidak mungkin hubungan dengan manusia ini akan menjadi baik jikalau tidak dijaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Sebab itulah di antara ayat-ayat yang mengajar menjaga hubungan dengan manusia itu, diselitkan dengan ayat-ayat tentang menjaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

SAHIH INTERNATIONAL

Maintain with care the [obligatory] prayers and [in particular] the middle prayer and stand before Allah , devoutly obedient.

MALAY

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

 

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ

Peliharalah kamu segala sembahyang fardhu

Hal-hal perkahwinan dan perceraian yang telah banyak disebut sebelum ini hanya boleh dijaga oleh mereka yang menjaga sembahyang sahaja. Kalaulah mereka itu bukan jenis yang menjaga salat, mereka tidak akan ikut pun hukum dan saranan Allah ‎ﷻ itu sebab mereka tidak berasa pentingnya arahan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Sedangkan hukum tentang ibadat pun mereka langgar, apatah lagi hukum tentang ‘adat’.

Sebagai manusia, tentulah perceraian adalah sesuatu yang menyedihkan di mana satu perhubungan rapat telah terputus. Namun Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan, kalau perkara itu terjadi, masih kita kena jaga satu lagi hubungan: hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

Semasa dalam salat itulah kita adukan segala kesedihan kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita minta petunjuk daripada Allah ‎ﷻ bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi dan beri kita kekuatan untuk menghadapinya.

Jagalah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dan lebih-lebih lagi hendaklah kita menjaga Salat Fardu. Salat lima waktu itu telah dipilih khas oleh Allah ‎ﷻ untuk menjaga hubungan yang rapat dengan Allah ‎ﷻ. Memang telah disusun sebegitu dalam waktu-waktu tertentu supaya walaupun kita dalam keadaan sibuk dengan kehidupan di dunia, masih kita luangkan masa untuk bersama dengan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ telah susun waktu-waktu salat itu supaya ia merangkumi sepanjang hari. Oleh itu, walaupun kita salat sebanyak 17 raka’at, tidaklah boleh kita buat semua sekali dalam satu waktu. Kita ikut waktu salat yang telah ditetapkan. Ini agar susunannya menjadi seolah-olah kita sentiasa dekat dengan Allah ‎ﷻ, di mana kita menjalani kehidupan seharian kita, dan tidak lama kemudian kita akan salat kembali.

Sebagai contoh, apabila kita telah salat subuh, kita telah menjaga hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dari waktu subuh membawa ke Zuhur keberkatan itu dan apabila waktu Zuhur tiba dan kita salat, kita berhubung kembali dengan Allah ‎ﷻ. Keberkatan Salat Zuhur itu dibawa sampai ke Asar dan sampai waktu Asar, kita salat kembali. Kemudian seterusnya dengan salat-salat yang lain. Lepas Isyak, tidur dan bila bangun, Salat Subuh pula.

 

وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ

khasnya Sembahyang Pertengahan

Dalam salat Fardhu yang lima waktu itu, salat yang paling utama perlu dijaga adalah ‘salat pertengahan’. Apakah pula salat pertengahan ini?

Jumhur ulama’ mengatakan salat pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Salat Asar. Ini adalah kerana Salat Asar duduknya di tengah-tengah antara siang dan malam. Salat Subuh dan Zuhur dikira salat dalam waktu siang dan waktu Maghrib dan Isyak dikira salat waktu malam dan Asar duduknya di tengah-tengah.

Walau bagaimana pun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Salat Pertengahan ini adalah Salat Subuh dan ini juga adalah salah satu pendapat Mazhab Syafi’iy.

 

وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Dalam salat hendaklah khusyuk. Jadi dalam ayat ini, ada dua perkara yang Allah ‎ﷻ suruh jaga – jaga waktu salat dan jaga khusyuk dalam salat.

Bukan itu sahaja, hendaklah kamu berdiri salat semata-mata kerana Allah ‎ﷻ – maksudnya ikhlas. Dalam salat itu, jaga rukun, jaga syarat yang wajib, jaga adab dan jaga hati. Maknanya kena jaga semua. Kena jaga zahir dan batin.

Kalau hendak dikirakan, sepatutnya boleh dijaga semua perkara ini kerana bukan lama pun salat itu. Selalunya orang salat dalam masa lebih kurang sepuluh minit sahaja. Kalau pendek macam itu, sepatutnya memang boleh jaga. Namun realitinya menjaga salat itu memang payah sedikit sebab semasa hendak salatlah syaitan akan hebat menyerang dan kacau kita. Ini adalah kerana Syaitan tidak mahu kita ingat kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, segala perkara ini perlu dilatih dalam salat-salat sunat. Semua zikir dalam salat perlu dilakukan di luar salat juga supaya kita biasa melakukannya.


 

Ayat 239: Suruhan menjaga salat ini bukan sahaja semasa aman, tetapi semasa perang juga. Semasa kita berperang dengan musuh yang zahir, jangan kita lupa untuk berperang dengan musuh yang batin juga, iaitu syaitan.

Maka dalam keadaan perang pun kita masih disyari’atkan untuk salat. Kena jaga juga hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ iaitu dengan menjaga salat kita. Kalau perang pun kena jaga salat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman. Maka, tidak ada alasan untuk meninggalkan salat.

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا ۖ فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

And if you fear [an enemy, then pray] on foot or riding. But when you are secure, then remember Allah [in prayer], as He has taught you that which you did not [previously] know.

MALAY

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

 

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,

Kalau kamu bimbang disebabkan oleh peperangan yang berlaku, maka ada keringanan yang diberikan kepada manusia dalam mengerjakan salat.

Salat masih tetap wajib dilakukan tetapi diringankan iaitu boleh dilakukan semasa berjalan dan juga di atas kenderaan.

Salat yang dimaksudkan adalah Salat Khauf. Salat ini boleh dilakukan sambil pegang senjata, malah tanpa mengadap ke arah kiblat pun kalau perlu. Cara untuk melakukannya, hendaklah dirujuk dalam bab Fiqah.

 

فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم

kemudian apabila kamu telah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah, sebagaimana Allah telah ajar kamu

Dalam ayat ini disebutkan bahawa kita kena ingat Allah ‎ﷻ, maknanya ayat ini hendak memberitahu yang dalam salat itu, perkara yang paling penting kita kena lakukan adalah ingat kepada Allah ‎ﷻ.

Apabila dalam keadaan aman, kena ikut cara salat sebagaimana yang Allah ‎ﷻ ajar kita untuk salat dalam keadaan biasa. Ingatlah bahawa salatlah ibadat terbaik. Maka jangan kita lepaskan peluang ini.

 

مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

apa yang kamu dulu tidak mengetahuinya.

Sebelum ini kita tidak tahu pun cara-cara untuk salat tetapi Allah ‎ﷻ telah ajarkan kita melalui Nabi-Nya.

Kedua-dua ayat di atas adalah ayat Umur Muslihah. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ selang selikan antara ayat-ayat hubungan dengan masyarakat (Umur Munazimah) dengan ayat-ayat tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ (Umur Muslihah). Allah ‎ﷻ selang selikan kerana kedua-dua jenis ayat ini adalah amat berkaitan sekali.


 

Ayat 240: Kembali kepada ayat-ayat Umur Munazimah tentang hal-hal perkahwinan.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

SAHIH INTERNATIONAL

And those who are taken in death among you and leave wives behind – for their wives is a bequest: maintenance for one year without turning [them] out. But if they leave [of their own accord], then there is no blame upon you for what they do with themselves in an acceptable way. And Allah is Exalted in Might and Wise.

MALAY

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, 

Ayat ini adalah kepada suami yang mati dan ada meninggalkan isteri. Tentulah perkara ini biasa sangat terjadi maka Islam telah meletakkan saranan tentang apa yang perlu dilakukan dalam keadaan seperti itu. Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita itu dalam keadaan tergantung dan terkontang kanting.

 

وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم

hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka

Suami itu hendaklah berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga isterinya itu. Tidak patut isterinya itu dibiarkan begitu sahaja. Maka seorang suami hendaklah memikirkan perkara ini: “Apa yang akan jadi dengan anak isteri aku kalau aku tiba-tiba tidak ada?”

 

مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ

iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.

Kena sediakan nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau isterinya itu tidak kahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik. Isterinya itu memang boleh kahwin lain tetapi jikalau mereka tidak kahwin lain, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka.

Isterinya itu kena dibiarkan tinggal di rumah yang dia tinggal dengan suaminya sebelum itu selama cukup setahun. Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi. Oleh kerana suaminya tidak ada lagi, maka waris kena jalankan tanggungjawab ini.

 

فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ

Kemudian jika mereka keluar maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut 

Isteri itu boleh tinggal selama setahun di rumah itu, tetapi kalau isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah suaminya itu.

Namun kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu adalah perkara yang makruf (yang baik). Sebagai contoh, dia kahwin lain, atau kerja tempat yang jauh. Tidaklah boleh dibenarkan kalau ikut lelaki lain pula.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang buat kesalahan dengan serta merta. Namun Allah ‎ﷻ maha bijaksana, maka Allah ‎ﷻ tangguh hukuman itu dan ini memberi peluang kepada mereka yang berbuat salah untuk bertaubat dan membaiki kesalahan mereka.

Maknanya, kalau ada yang menghalau balu waris sendiri, maka perbetulkan balik dengan membenarkan dia duduk di rumah itu. Kalau ada ambil hak dia, maka kena kembalikan.


 

Ayat 241:

وَلِلمُطَلَّقٰتِ مَتٰعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

SAHIH INTERNATIONAL

And for divorced women is a provision according to what is acceptable – a duty upon the righteous.

MALAY

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

 

وَلِلمُطَلَّقاتِ مَتاعٌ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut,

Kepada wanita yang diceraikan wajib diberikan sedikit sebanyak hadiah kepada mereka. ‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan kemarahan kepada mereka. Ini kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana ditinggalkan.

Maksud ‘makruf’ itu juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik. Oleh itu, waktu kita beri hadiah itu, kita berilah dengan cara baik dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan dan kemarahan kepada wanita itu. Ini kerana ada orang yang beri tetapi mereka tunjukkan yang mereka tidak suka semasa memberi hadiah itu.

Jadi kita kena tahu tujuan kita memberi hadiah itu iaitu untuk mengurangkan kesedihannya. Jadi kalau kita memberi itu tetapi dalam masa yang sama menyebabkan dia sakit hati maka itu tidak mendapati syari’at.

 

حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

Ini adalah tanggungjawab kepada orang yang menjaga akidah dan taqwanya. Maka ulama’ berpendapat yang mut’ah ini adalah wajib. Akan tetapi, ramai dalam kalangan para suami yang menceraikan isterinya tidak menjalankan kewajipan ini mungkin kerana jahil tentang hukum ini.


 

Ayat 242:

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Thus does Allah make clear to you His verses that you might use reason.

MALAY

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.

 

كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ

Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumNya

Begitulah Allah ‎ﷻ mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya dapat hidup aman dan damai dan dapat menjaga hukum Allah ‎ﷻ di atas muka bumi ini. Segala hukum yang Allah ‎ﷻ ajar kita ini adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka amatlah rugi kalau kita tidak melakukannya.

Atau kita ambil ringan mengenainya. Mungkin ada yang ambil ringan dengan mencari pendapat-pendapat yang ringan seperti tidak mewajibkannya. Maka akan ada yang kata: “Alahh, ia anjuran sahaja, bukannya wajib…”.

 

لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

mudah-mudahan kamu dapat memikirkannya

Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini. Akal yang sihat dan belajar dengan saksama, akan nampak kepentingan segala hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Apabila kita dapat faham hikmah sesuatu hukum itu, maka kita akan senang untuk melakukannya.


 

Ayat 243: Ini adalah pengulangan semula bab jihad. Banyak ayat-ayat jihad dan infak diselit antara ayat-ayat Umur Munazimah. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara-perkara Umur Munazimah itu penting supaya jihad dan infak dapat dilakukan.

Ini kerana apabila umat Islam baik dan bersatu, barulah jihad dan infak dapat dilakukan. Maknanya, tujuan utama adalah untuk jihad dijalankan. Kalau kehidupan kita sendiri tidak harmoni (tidak mengikut hukum Allah ‎ﷻ) mana mungkin kita mampu hendak menjalankan jihad yang tentunya lebih berat?

Tujuan jihad dilakukan pula adalah untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia. Jadi kalau orang yang melakukan jihad itu sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ, tidak tahu apa tauhid dan syirik, maka jihadnya itu adalah sia-sia sahaja. Hendak ajak orang kenal Allah ‎ﷻ, tetapi dia sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ dan tidak taat kepada hukum Allah ‎ﷻ. Kalau dia sendiri mati semasa berjihad itu, dia akan terus masuk neraka kerana dia sendiri mungkin ada mengamalkan syirik.

Kalau seseorang itu mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik, barulah Allah ‎ﷻ akan tolong dia dalam jihad. Apabila kita kata ‘kenal Allah ‎ﷻ’, kenalah kenal Allah ‎ﷻ sebagaimana yang Dia ajar kita dalam Al-Qur’an. Bukanlah mengenali Allah ‎ﷻ itu macam cara tarekat dan tasawuf yang banyak zikir untuk kenal Allah ‎ﷻ.

Itu bukan caranya. Untuk kenal Allah ‎ﷻ adalah melalui ilmu dan untuk dapat ilmu, kena belajar. Yang penting adalah kena belajar tafsir Al-Qur’an kerana Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Maka kerana itu, kenalah belajar tafsir dan belajar Asma’ul Husna.

Apabila disebut tentang jihad, salah satu perkara yang menghalang jihad dijalankan adalah takut mati. Maka Allah ‎ﷻ membuka cerita dalam ayat ini tentang golongan terdahulu yang takut mati sampai tidak menjalankan jihad. Kisah ini dibawa semasa umat Islam akan berperang dengan Musyrikin Mekah (Perang Badr).

Allah ‎ﷻ membawakan kisah Bani Israil sekali lagi dalam ayat ini. Ada kisah yang bagus dan ada kisah yang tidak baik tentang mereka. Kita sudah banyak baca tentang kesalahan yang dilakukan oleh golongan ini. Namun ada juga dalam kalangan mereka yang Allah‎ ﷻ suruh kita jadikan sebagai contoh.

۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Have you not considered those who left their homes in many thousands, fearing death? Allah said to them, “Die”; then He restored them to life. And Allah is full of bounty to the people, but most of the people do not show gratitude.

MALAY

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

 

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم

Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya

Ini tentang golongan Bani Israil dahulu yang lari keluar dari kampung halaman mereka kerana takut jihad. Mereka lari daripada berjihad mempertahankan tanah air mereka kerana mereka takut mati. Oleh kerana itu, mereka menjadi lemah dan telah dihalau dari Jerusalem dan telah dibawa ke Babylon dan dijadikan hamba abdi.

 

وَهُم أُلوفٌ

sedang mereka beribu-ribu ramainya

Sedangkan bilangan mereka waktu itu beribu-ribu dan lebih ramai daripada musuh mereka pada waktu itu tetapi mereka masih juga takut dan mereka tetap lari. Kalau musuh itu ramai, masuk akal juga, tetapi tidak. Ini adalah kerana mereka takut mati sangat sampaikan mereka tidak mempertahankan kampung halaman mereka sendiri.

Kita manusia biasa memang takut mati pun, jangan kata tidak takut pula. Namun kalau kita dijanjikan syurga kalau kita mati, siapa yang tidak mahu? Ingatlah bahawa Roh orang yang mati syahid akan terus dimasukkan ke dalam syurga, tidak sama dengan roh orang lain.

Roh mereka yang mati bukan semasa jihad, kena tunggu dibicarakan di Mahsyar barulah boleh masuk syurga. Oleh kerana telah dijanjikan dengan syurga sebegitu rupa, jadi tidak patut kalau kita takut mati dalam jihad.

 

حَذَرَ المَوتِ

kerana takutkan mati

Inilah bahayanya apabila cintakan dunia sangat sampaikan tidak mahu meninggalkan dunia walaupun dengan cara yang mulia. Sedangkan kita semua akan tetap mati akhirnya, tidak ada yang hidup selama-lamanya. Maka lebih baik kalau mati dalam jihad, bukan?

 

فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم

Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka.

Maka oleh kerana mereka takutkan mati sangat, Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka mati terus. Dalam tafsir ada disebut bahawa mereka dimatikan selama lapan hari dan memang mereka mati betul, bukan pengsan. Ini kerana mereka takut mati sangat, Allah ‎ﷻ matikan mereka terus.

Kemudian Allah ‎ﷻ menghidupkan kembali setelah seminggu mereka mati. Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang mereka takut mati sangat itu kenapa? Sedangkan mati itu adalah hak Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh hidupkan dan Allah ‎ﷻ boleh matikan.

Ada juga yang mengatakan bukan mereka dimatikan daripada segi fizikal, tetapi hati mereka yang dimatikan sampai tidak mempunyai daya untuk melawan dan berjihad. Hanya keturunan selepas mereka sahaja yang kemudian berjihad.

 

إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ

Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia

Allah ‎ﷻ ada banyak kurniaan besar kepada manusia iaitu Allah ‎ﷻ masih lagi memberi peluang kepada manusia walaupun manusia sudah banyak berbuat salah. Sebagai contoh, boleh sahaja kalau Allah‎ ﷻ mematikan mereka dan kemudian terus masukkan mereka ke neraka. namun Allah ‎ﷻ masih beri peluang lagi kepada mereka dan hidupkan kembali mereka.

Begitulah juga kita, entah berapa banyak peluang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Kita masih bernafas ini pun adalah kurniaan daripada Allah ‎ﷻ. Masih lagi Allah‎ ﷻ beri peluang kepada kita untuk beribadat dan bertaubat.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Namun ramai manusia yang tidak bersyukur di atas peluang yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada mereka. Mereka tidak ambil peluang dengan kehidupan yang mereka ada sekarang. Mereka ambil ringan sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya

Kemaskini: 30 Disember 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan