IDDAH WANITA YANG DICERAI MATI
Baqarah Ayat 234: Kita masih lagi dalam perbincangan ayat-ayat Umur Munazimah tentang masalah perceraian antara suami isteri.
وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا ۖ فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And those who are taken in death among you and leave wives behind – they, [the wives, shall] wait four months and ten [days]. And when they have fulfilled their term, then there is no blame upon you for what they do with themselves in an acceptable manner. And Allah is [fully] Acquainted with what you do.
MALAY
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا
Dan orang-orang yang diwafatkan di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri
Kali ini tentang iddah jikalau kematian suami pula. Biasanya dipanggil ‘cerai mati’ dalam bahasa kita dan isteri yang kematian suami itu dipanggil ‘balu’. Nanti kita akan bertemu ayat 240 yang dimansukhkan oleh ayat ini.
Kalau diperhatikan lafaz ayat ini, seolah-olah ia ditujukan kepada para suami. Akan tetapi ini adalah kisah mereka yang telah mati nanti. Jadi ulama’ mengatakan sebenarnya ia ditujukan kepada para isteri kerana suami itu sudah tiada lagi di dunia ini. Atau, ia menjadi arahan kepada suami untuk mengajar kepada isteri akan hal ini. Wasiatkan kepada para isteri supaya menjaga hukum yang akan disebut selepas ini nanti.
Atau, kita boleh ambil sebagai arahan kepada setiap orang daripada masyarakat supaya mengingatkan para balu itu supaya menjaga hukum ini nanti. Ingatkan kepada yang lupa, yang culas untuk menjaganya.
يَتَرَبَّصنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَربَعَةَ أَشهُرٍ وَعَشرًا
hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.
Iddah kepada isteri yang kematian suami adalah lebih lama daripada iddah yang biasa (tiga kali suci). Hikmahnya adalah, jangkamasa itu bukan sahaja untuk memastikan sama ada terdapat benih suami dalam rahim si isteri itu, tetapi kerana hendak menjaga perasaan kaum kerabat suami yang baru mati itu. Kalau bekas isteri itu terus sahaja berkahwin lain, tentu kaum keluarga suami akan bertambah sedih kerana sudahlah hilang ahli keluarga mereka, kemudian kini kehilangan seorang lagi. Kalau isteri itu berkahwin lain, tentu dia akan bersama dan sibuk dengan keluarga baru. Itulah hikmah iddah itu dipanjangkan lebih lama lagi.
Namun kenapa ya spesifik 4 bulan 10 hari? Apakah ada rasional di sebalik penetapan Allah ﷻ untuk jumlah tempoh tersebut? Ini tidaklah kita tahu sebagaimana kita pun tidak akan dapat tahu kenapa solat Subuh ditetapkan dua rakaat sedangkan solat Zuhur pula empat rakaat. Perintah sebegini kita hanya perlu dengar dan taat sahaja.
Lagi satu, kenapakah menggunakan kiraan hari dan bukan kiraan suci atau haid seperti iddah cerai hidup? Ini mungkin kerana untuk kiraan suci atau haid itu, hanya wanita itu sahaja yang tahu. Sedangkan jika mengikut kiraan bulan dan hari, semua orang boleh tahu dan boleh kira sekali dengan isteri yang kehilangan suami itu.
Mungkin ada yang fikir, lamanya empat bulan! Ini sebenarnya adalah diskaun yang Allah ﷻ telah berikan. Menurut riwayat, orang zaman Jahiliyah pun mempunyai cara berkabung tetapi setahun lamanya. Selama setahun itu isteri yang ditinggalkan mati oleh suaminya itu berkurung di dalam rumah, tidak boleh keluar-keluar, tidak boleh berhias, bahkan tidak boleh mandi-mandi, sehingga sampai ada yang berbau busuk. Maka datanglah peraturan ini, iddah berkabung kematian suami hanya ditetapkan untuk empat bulan sepuluh hari sahaja.
عَنْ زَيْنَبَ بِنْتِ أَبِي سَلَمَةَ، عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، قَالَتْ “كَانَتِ الْمَرْأَةُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ إِذَا مَاتَ زَوْجُهَا، دَخَلَتْ حِفْشًا، وَأَلْقَتْ عَلَيْهَا شَرَّ ثِيَابِهَا، وَلَمْ تَمَسَّ طِيبًا وَلَا شَيْئًا، حَتَّى تَمُرَّ بِهَا سَنَةٌ…”
Daripada Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا (isteri Nabi ﷺ), beliau berkata: “Pada zaman Jahiliyah, apabila seorang wanita ditinggal mati oleh suaminya, dia akan masuk ke dalam tempat yang sempit (kotor), memakai pakaian paling buruk, dan tidak menyentuh sebarang wangian atau perhiasan selama setahun. Setelah genap setahun, seekor haiwan disembelih untuknya dan dia keluar…”
(Riwayat Bukhari No. 1281 dan Muslim No. 938)
Selama 4 bulan 10 hari itu, hendaklah si isteri menyatakan dukacitanya dengan meninggalkan segala lagak berhias, tidak memakai yang haruman (wangi-wangian) dan tidak bercelak mata. Menurut fatwa Imam Malik dan Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’i رحمهم الله, jika misalnya wanita yang sedang berkabung itu mendapat sakit mata, sehingga terpaksa memakai celak, bolehlah dipakainya celak itu pada malam hari, dan setelah hari siang, hendaklah segera dipadamkannya.
Cara berkabung begini hanya ditentukan untuk menghormati kematian suami saja, oleh wanita yang kematian suami. Adapun dalam hal lain, misalnya kematian saudara, kematian ayah dan ibu, tempoh berkabung hanya diizinkan tiga hari sahaja.
عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ فَإِنَّهَا لَا تَكْتَحِلُ وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَقَالَ الْأَنْصَارِيُّ حَدَّثَنَا هِشَامٌ حَدَّثَتْنَا حَفْصَةُ حَدَّثَتْنِي أُمُّ عَطِيَّةَ نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا تَمَسَّ طِيبًا إِلَّا أَدْنَى طُهْرِهَا إِذَا طَهُرَتْ نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ وَأَظْفَارٍ قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الْقُسْطُ وَالْكُسْتُ مِثْلُ الْكَافُورِ وَالْقَافُورِ
Daripada Ummu ‘Athiyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا beliau berkata; Nabi ﷺ pernah bersabda kepadaku, “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah ﷻ dan hari akhir untuk berkabung lebih daripada tiga hari kecuali terhadap suaminya. Maka dia tidak boleh bercelak, tidak boleh memakai pakaian yang berwarna (bercorak) kecuali pakaian yang terbuat daripada bahan dedaunan.”
Dan Al Anshari berkata; Telah menceritakan kepada kami Hisyam Telah menceritakan kepada kami Hafshah Telah menceritakan kepadaku Ummu ‘Athiyyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا beliau berkata; Nabi ﷺ melarang, “Dan janganlah dia memakai wewangian kecuali pada akhir masa sucinya. Dan jika dia telah suci, dia boleh memakai potongan kecil daripada dahan yang dibuat kemenyan dan ubat yang sering disebut qusth atau minyak wangi azhfar.”
Abu Abdullah berkata; Al Qusth dan Al Kust adalah seperti Al Kafur dan Al Qafur (maksudnya dalam kesesuaian huruf qaf dan kaf).
(Sahih Bukhari No. 4924)
Pada hari berkabung yang empat bulan sepuluh hari itu janganlah isteri itu memakai sutera dan pakaian-pakaian yang bernama berhias dan memakai perhiasan emas dan perak. Di waktu itu tinggalkanlah memakai perhiasan.
Kalau seorang isteri itu hamil ketika kematian suaminya, iddahnya adalah setelah dia melahirkan. Walaupun belum cukup 4 bulan 10 hari. Ini seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ سُبَيْعَةَ الأَسْلَمِيَّةِ، أَنَّهَا كَانَتْ تَحْتَ سَعْدِ بْنِ خَوْلَةَ، وَكَانَ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ، فَتُوُفِّيَ عَنْهَا وَهِيَ حَامِلٌ، فَلَمْ تَنْشَبْ أَنْ وَضَعَتْ حَمْلَهَا، فَلَمَّا تَعَلَّتْ تَجَمَّلَتْ لِلْخُطَّابِ، فَدَخَلَ عَلَيْهَا أَبُو السَّنَابِلِ بْنُ بَعْكَكٍ، رَجُلٌ مِنْ بَنِي عَبْدِ الدَّارِ، فَقَالَ لَهَا: مَا أَرَاكِ إِلَّا قَدْ جَئْتِ بِأَمْرٍ، فَارِقْتِ الأَرْبَعَةَ الأَشْهُرِ وَالْعَشْرَ، قَالَتْ: فَلَمَّا ذَكَرَ لِي ذَلِكَ، جَمَعْتُ ثِيَابِي عَلَيَّ حِينَ أَمْسَى، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلْتُهُ عَنْ ذَلِكَ، فَقَالَ: «قَدْ حَلَلْتِ فَانْكِحِي إِنْ شِئْتِ»
Daripada Subai’ah al-Aslamiyyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: “Aku dahulu adalah isteri Sa‘d bin Khawlah, dan dia adalah salah seorang sahabat yang ikut serta dalam Perang Badar. Dia meninggal dunia dalam keadaan aku sedang hamil. Tidak lama setelah itu, aku melahirkan kandunganku. Setelah selesai nifas dan bersuci, aku berhias (untuk dilamar). Maka masuklah Abu as-Sanabil bin Ba‘kak dan berkata: ‘Nampaknya kamu ingin menikah? Padahal engkau belum selesai daripada iddah 4 bulan 10 hari!’ Maka aku pergi menemui Rasulullah ﷺ dan menceritakan hal itu kepadanya. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu sudah halal (boleh menikah), maka menikahlah jika kamu mahu.’”
(Hadith Riwayat Bukhari No. 5320) dan Muslim No. 1484)
Maka ayat Baqarah ini hendaklah dibaca dengan Talaq: 4
وَأُولٰتُ الأَحمالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعنَ حَملَهُنَّ
Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya.
Akan tetapi ada lagi pendapat lain, bahawasanya iddah itu mana yang lebih panjang. Oleh sebab itu, menurut pendapat ini, seorang perempuan yang ditinggalkan mati oleh suaminya, walaupun anaknya lahir sejam sesudah suaminya wafat, hendaklah dia beriddah dengan iddah berkabung juga, ertinya cukupkan 4 bulan 10 hari. Yang berpendapat begini adalah kedua sahabat yang alim, Ali bin Abu Thalib dan Ibnu Abbas رضي الله عنهم.
Lantaran itu amat salahlah menurut agama, jika perempuan yang tengah berkabung itu keluar dari rumahnya, bertandang ke sana ke mari dalam masa berkabung itu. Atau berhias-hias, seakan-akan tidak dapat menahan hati untuk mencari suami yang baru, padahal tanah penggalian kubur suaminya yang lama masih merah.
Maka amat tercelalah perbuatan wanita di zaman sekarang, iaitu si perempuan itu sendiri pergi pula menghantarkan jenazah suaminya ke kuburan, menunggunya sampai terkubur. Di sini dia telah menempuh dua kesalahan; pertama melanggar larangan Nabi ﷺ, terhadap sekalian perempuan, agar jangan mereka ikut menghantar jenazah ke kuburan. Kedua dia telah melanggar perintah Allah ﷻ agar selama 4 bulan 10 hari dia berdiam diri dalam rumahnya. Yang ini mungkin ramai isteri terkejut dan tidak dapat terima. Namun begitulah hukumnya, tidak boleh isteri ikut menghantar jenazah suaminya ke kubur.
Perkara yang Tidak Boleh Dilakukan oleh Isteri dalam Tempoh Iddah Kematian Suami
1. Bersolek atau berhias
-
-
Tidak dibenarkan memakai alat solek (mekap), celak mata yang bersifat hiasan, gincu, minyak wangi, dan seumpamanya.
-
Termasuk juga tidak memakai inai pada tangan atau rambut (jika untuk perhiasan).
-
2. Memakai pakaian yang menarik atau berwarna terang untuk berhias
-
-
Digalakkan berpakaian sederhana dan tidak menarik perhatian, seperti warna suram (hitam, kelabu, coklat gelap).
-
Warna seperti merah terang, kuning terang atau seumpamanya adalah makruh atau dilarang, jika bertujuan menarik perhatian.
-
3. Memakai perhiasan
-
-
Tidak dibenarkan memakai barang kemas, seperti cincin emas, gelang, rantai, subang, atau aksesori hiasan.
-
Termasuk jam tangan yang berperhiasan.
-
4. Memakai wangi-wangian
-
-
Haram memakai minyak wangi atau sebarang bahan yang mengharumkan badan, pakaian atau rambut.
-
Kecuali selepas mandi wajib dengan sedikit bau yang tidak bertujuan berhias (dalam riwayat: sedikit kapur barus pada tempat tertentu).
-
5. Keluar rumah tanpa keperluan yang syar’ie
-
-
Tidak dibenarkan keluar rumah melainkan kerana keperluan yang syarie, seperti:
-
bekerja mencari nafkah jika tiada orang menyara,
-
membeli keperluan asas,
-
rawatan kesihatan,
-
urusan pendidikan anak.
-
-
Tidak boleh keluar untuk melancong, bersiar-siar, atau menghadiri majlis perkahwinan. Malah tidak boleh pergi menunaikan Haji atau Umrah sekali pun. Isteri itu wajib untuk tidur bermalam di rumah arwah suaminya, melainkan kalau ada isu yang besar yang tidak boleh dielak.
-
Dalam hal ini menarik apa yang dilakukan oleh Kerajaan Kuwait. Mereka akan beri cuti kepada isteri yang kematian suami selama 4 bulan 10 hari.
Akan tetapi kita tahu ramai para isteri yang tidak suka mereka kena duduk di rumah. Mereka kata bosan dan sebagainya? Kenapakah ini terjadi? Kerana masyarakat kita sudah terbiasa dari kecil lagi anak itu digalakkan dengan keluar rumah. Sampaikan mereka rasa sesak duduk-duduk di rumah sahaja. Sampaikan mereka lupa bahawa tempat wanita asalnya adalah di rumah melainkan perlu sahaja. Kalau keluar pun sepatutnya dengan mahram. Inilah asalnya di dalam syariat Islam tetapi telah diabaikan sekian lama.
فَإِذا بَلَغنَ أَجَلَهُنَّ فَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ بِالمَعروفِ
Kemudian apabila telah habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik
Apabila sudah cukup empat bulan sepuluh hari itu, benarkanlah isteri itu untuk berkahwin lain atau hendak duduk di tempat lain. Wali tidak boleh menghalang jikalau perempuan itu hendak berkahwin lain atau berpindah. Wali pun sudah tidak bertanggungjawab lagi dengan wanita itu kerana sudah habis tempoh. Namun begitu mestilah dipastikan yang perbuatan wanita itu hendaklah بِالمَعروفِ. Sekiranya tahu wanita itu hendak bersekedudukan dengan lelaki ajnabi, atau keluar ‘dating’, maka tidak boleh juga mereka benarkan. Sekiranya wali itu tahu wanita itu melakukan perkara yang salah dan mereka benarkan, maka mereka tetap berdosa.
Empat bulan adalah tempoh biasa yang seorang wanita boleh menahan dirinya tanpa suami. Tentera Islam pun kalau berperang lama, paling lama hanyalah selama empat bulan sahaja. Saidina Umar pernah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ perasan adanya perangai yang tidak elok dalam kalangan isteri-isteri yang ditinggalkan lama oleh suami yang pergi berperang. Mereka sudah nampak mula resah dan gersang. Maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bertanyakan anaknya Habsah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, berapa lama seorang isteri boleh menahan tanpa suaminya. Habsah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا telah beri isyarat dengan empat jarinya, maksudnya empat bulan. Maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah mengeluarkan arahan supaya suami yang menjadi tentera hanya boleh keluar paling lama empat bulan. Bila cukup tempoh, mestilah diganti dengan tentera yang lain kecuali isteri izinkan. Maka kena tanya dahulu kepada isteri sekiranya boleh lebih lama berpergian.
وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ
Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
Allah ﷻ maha tahu apakah keperluan manusia maka sebab itulah Allah ﷻ telah memberi hukum-hukum yang kita telah nyatakan selama ini.
HUKUM MEMINANG JANDA
Baqarah Ayat 235: Dalam masa iddah, bukan sahaja kahwin, pertunangan pun tidak boleh. Yang boleh ada, hanya sindiran.
وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا ۚ وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ ۚ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
There is no blame upon you for that to which you [indirectly] allude concerning a proposal to women or for what you conceal within yourselves. Allah knows that you will have them in mind. But do not promise them secretly except for saying a proper saying. And do not determine to undertake a marriage contract until the decreed period reaches its end. And know that Allah knows what is within yourselves, so beware of Him. And know that Allah is Forgiving and Forbearing.
MALAY
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain daripada menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
وَلا جُناحَ عَلَيكُم فيما عَرَّضتُم بِهِ مِن خِطبَةِ النِّساءِ
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan
‘Kamu’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah lelaki yang mahu memperisterikan janda. Tidak salah kalau gunakan kata sindiran atau kiasan untuk mengajak berkahwin dengan tujuan untuk meminang wanita itu. Perbuatan ini dinamakan Taʿrīḍ (التعريض). Kalimah عَرَّضَ bermaksud ‘beri sindiran’. Ia daripada kata dasar sama dengan ع ر ض yang bermaksud mengambil tempat, terjadi, menawarkan, menunjukkan, bagi tanda, mencadangkan, mendedahkan.
Dalam kitab disebut contoh begini: “Ramai orang berminat dengan kamu”; iaitu dia tidak kata dia yang minat, tetapi dia berkias dengan mengatakan orang lain yang minat. Az-Zamakhsyari رَحِمَهُ اللَّهُ pengarang Tafsir al-Kasysyaf, ahli seni yang mendalam rasa seninya dalam hal bahasa, mengatakan bahawa Ta’ridh, atau sindiran ialah menyebut barang sesuatu, yang orang dapat memahamkan bahawa yang dimaksudkan bukan itu! Lalu beliau mengadakan sebuah misal, tentang seorang yang berhajat mengatakan kepada orang tempat dia berhajat itu; “Saya datang ke mari ialah untuk mengucapkan salam kepadamu, dan kerana ingin memandang wajahmu yang mulia.” Maka oleh kerana perempuan itu halus perasaannya, dapatlah dia memahami bahawa dia bukan semata-mata datang hendak mengucapkan salam atau menatap wajahnya, melainkan lebih jauh dan dalam daripada itu.
Misal yang lain, terlanjur kata perempuan itu: “Ah, nasib saya. Suami saya sudah meninggal, siapa lagi yang akan sudi melindungi saya!” Lalu disambut oleh lelaki yang jatuh hati itu: “Serahkanlah diri encik kepada Tuhan. Pasti akan ada orang yang akan melindungi.” Atau lelaki itu boleh berkata: “Orang macam awak ni, ramai orang hendak ni….” ternyata yang teringin itu adalah dirinya sendiri. Atau dia boleh cakap, “Nanti bila habis iddah tu, jangan lupa beritahu saya ya…”. Atau dia boleh juga berkata, “Alahai… saya ini teringin sangatlah kalau boleh menikah dengan wanita muslimah!” Dan lain-lain sebagainya, asal sopan dan jangan cakap secara jelas. Banyak sudah modal kata-kata yang kita telah berikan sebagai contoh di sini.
Sedangkan kalimah خِطبَةِ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘peminangan’. Ia daripada kata dasar خ ط ب yang bermaksud menyampaikan nasihat kepada orang, meminang wanita untuk bernikah, bercakap-cakap dengan seseorang, merujuk sesuatu kepada seseorang, beri ceramah. Kalimah khutbah diambil daripada kata dasar inilah. Selalunya kita faham pinang ini datang ke rumah perempuan ajak berbincang, namun dalam kes ini tidaklah boleh.
Hukum memberitahu dengan sindiran ini hanya terjadi kepada talaq bain atau kematian suami sahaja. Kalau di dalam talaq raj’i, langsung tidak boleh dilakukan kerana isteri itu masih isteri orang dan suaminya mempunyai hak ke atas diri isterinya itu lagi di mana lelaki itu masih boleh rujuk dengan isterinya.
أَو أَكنَنتُم في أَنفُسِكُم
atau tentang kamu menyimpan dalam hati kamu
Atau sekadar niat sahaja dalam hati. Ini tentulah dibenarkan kerana ia hanya disimpan di dalam hati sahaja. Kalimah أَڪنَن bermaksud ‘menyembunyikan’. Ia daripada kata dasar: ك ن ن yang bermaksud menutup, simpan, rahsia, tersorok, tempat berlindung, penutup. Allah ﷻ hendak kata tidak salah kalau kamu ada perasaan begitu. Cinta bukan boleh dipaksa-paksa dan ditolak-tolak.
عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم سَتَذكُرونَهُنَّ
Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut (atau mengingati) mereka,
Allah ﷻ tahu yang lelaki akan sentiasa teringat kepada wanita yang dia suka dan Allah ﷻ tahu yang suatu hari nanti lelaki itu akan sebut juga kepada mereka. Sebab kalau sudah minat, akan disebut juga sebab takut dikebas orang lain pula. Cuma lafaz jelas tidak boleh digunakan semasa janda itu dalam iddah. Begitulah kasih sayang Allah ﷻ terhadap hamba-Nya, perasaan hati manusia pun diambil kira. Allah ﷻ tahu kamu wahai lelaki sudah angau, sudah makan tak kenyang, tidur tak lena malah mandi pun tak basah kerana asyik teringatkan wanita janda itu. Maka Allah ﷻ beri jalan untuk kamu sampaikan hajat.
Atau ia juga bermaksud lelaki itu akan bercakap-cakap dengan orang lain. Maka boleh kalau dia suruh perempuan lain yang dekat dengan janda itu menyampaikan isi hatinya kepada janda itu: “Rupanya si fulan itu ada menaruh hati kepada saudari. Tetapi didiamkannya sebab saudara masih dalam iddah.”
وَلٰكِن لّا تُواعِدوهُنَّ سِرًّا
akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit,
Kalimah تُوَاعِدُوا bermaksud ‘kamu menjanjikan’. Ia di dalam format Wazan III (فاعل) jadi maksudnya sama-sama buat janji. Ia daripada kata dasar و ع د yang bermaksud berjanji, mengugut. Maka jangan membuat janji dengan janda itu secara senyap tanpa diketahui wali. Jangan kata hendak berkahwin dengan mereka kerana takut kalau kita beritahu kita hendak kahwin dengan mereka, maka ada kemungkinan mereka akan mempercepatkan iddah mereka. Belum habis iddah pun mereka kata sudah habis sebab sudah teringin sangat hendak berlaki kembali. Allah ﷻ menghalang perkara ini daripada berlaku.
إِلّا أَن تَقولوا قَولًا مَّعروفًا
selain daripada menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.
Yang boleh digunakan adalah hanyalah perkataan yang dalam bentuk kiasan sahaja. Sebagai contoh, kita kata: “Semoga Allah ﷻ berikan jodoh yang baik untuk awak nanti.” Jangan kata lebih daripada itu kerana takut mereka letak harapan kita akan berkahwin dengan mereka.
Kata-kata sindiran ini hanya boleh yang bukan dalam talaq raj’i kerana mereka itu masih lagi isteri kepada suaminya sebab belum habis iddah. Mereka masih lagi tinggal dengan suami mereka lagi, jadi memang tidak boleh hendak bagi sindiran pun. Tambahan pula mereka masih lagi isteri orang. Jadi jangan buat pasal pula.
وَلا تَعزِموا عُقدَةَ النِّكاحِ
Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah
Jangan tetapkan dengan bersungguh-sungguh. Jangan pergi buat rancangan terus dengan wanita yang kematian suami itu. Maka para wanita itu pun kena jaga juga. Jangan melayan lelaki sebegitu. Kalau nampak dia sudah bercakap pelik-pelik dan melanggar arahan agama, maka kena suruh dia diam atau berlalu pergi sahaja jangan dilayan.
حَتّىٰ يَبلُغَ الكِتٰبُ أَجَلَهُ
sebelum habis iddah yang ditetapkan itu.
Kena tunggu iddah sudah habis barulah buat penetapan. Barulah hantar rombongan meminang. Jangan kelam kabut dan buat perangai tidak senonoh.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَعلَمُ ما في أَنفُسِكُم فَاحذَروهُ
Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya,
Berwaspadalah. Jangan sampai buat dosa. Allah ﷻ tahu apa yang dalam hati kita semua. Hendak buat apa-apa pun, jangan sampai melanggar hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ غَفورٌ حَليمٌ
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
Kalau ada kesalahan yang dilakukan oleh hamba, Allah ﷻ boleh ampunkan lagi kesalahan itu.
Maksud Allah ﷻ itu bersifat حَليمٌ adalah Allah ﷻ itu tidak gopoh hendak menghukum hamba-Nya yang bersalah dan berdosa. Allah ﷻ beri peluang untuk hamba itu bertaubat. Allah ﷻ juga penyabar, tidak cepat dalam bertindak menghukum. Allah ﷻ tidak terus menghukum walaupun Allah ﷻ mampu untuk menghukum. Sifat حَليمٌ itu adalah seperti kasih seorang ibu kepada anak. Walaupun dia marah tetapi masih sayang. Tetap si ibu itu bersabar dengan kerenah anak-anaknya. Walaupun ibu itu marah kepada perangai anaknya tetapi dalam masa yang sama dia masih nampak anaknya itu comel lagi. Begitulah Allah ﷻ yang sabar tidak terus menghukum hamba-Nya yang melakukan dosa setiap hari. Allah ﷻ masih beri peluang kepada manusia untuk berubah.
Habis Ruku’ 30 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya
Kemaskini: 15 Mei 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

