BEBERAPA MANASIK HAJI
Baqarah Ayat 196: Sekarang kita masuk pada ayat-ayat berkenaan Haji. Sebelum ini kita telah belajar tentang jihad iaitu menyampaikan dakwah kepada orang luar Islam. Sekarang tentang Haji yang berkenaan jihad ke dalam diri dan jiwa kita. Ia juga adalah tempat perjumpaan umat Islam seluruh dunia dan mengukuhkan kesatuan dalaman di antara sesama Muslim. Kerana kita bukan hendak meluaskan dakwah Islam keluar sahaja, tetapi hendaklah kita memperkukuhkan barisan kita yang sedia ada juga.
Jihad juga diperlukan supaya orang kafir tidak memandang lemah umat Islam dan jangan sampai mereka menghalang umat Islam daripada mengerjakan ibadah Haji pula. Jadi begitulah antara kaitan antara jihad dan Haji.
Ayat yang kita sedang bincangkan ini disepakati ulama’ diturunkan pada tahun 6 Hijrah ketika terjadi Perjanjian Hudaibiyah. Akan tetapi tidaklah ia memberitahu tentang kewajipan Haji kerana ia hanya menekankan tentang kesempurnaan dalam mengerjakannya dan beberapa hukum yang berkaitan. Ada pun tentang pengwajibannya ada ulama’ berpendapat bahawa hukum Haji ini mula diwajibkan pada tahun ke 3 Hijrah, iaitu tahun Perang Uhud. Ada juga yang berpendapat ia diwajibkan dalam tahun 9 Hijrah mengikut ayat dalam Surah Ali `Imran.
وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِن أُحصِرتُم فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۖ وَلا تَحلِقوا رُءوسَكُم حَتّىٰ يَبلُغَ الهَديُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو بِهِ أَذًى مِّن رَّأسِهِ فَفِديَةٌ مِّن صِيامٍ أَو صَدَقَةٍ أَو نُسُكٍ ۚ فَإِذا أَمِنتُم فَمَن تَمَتَّعَ بِالعُمرَةِ إِلَى الحَجِّ فَمَا استَيسَرَ مِنَ الهَديِ ۚ فَمَن لَم يَجِد فَصِيامُ ثَلَـٰثَةِ أَيّامٍ فِي الحَجِّ وَسَبعَةٍ إِذا رَجَعتُم ۗ تِلكَ عَشَرَةٌ كامِلَةٌ ۗ ذٰلِكَ لِمَن لَّم يَكُن أَهلُهُ حاضِرِي المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ
And complete the Hajj and ‘umrah for Allah . But if you are prevented, then [offer] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And do not shave your heads until the sacrificial animal has reached its place of slaughter. And whoever among you is ill or has an ailment of the head [making shaving necessary must offer] a ransom of fasting [three days] or charity or sacrifice. And when you are secure, then whoever performs ‘umrah [during the Hajj months] followed by Hajj [offers] what can be obtained with ease of sacrificial animals. And whoever cannot find [or afford such an animal] – then a fast of three days during Hajj and of seven when you have returned [home]. Those are ten complete [days]. This is for those whose family is not in the area of al-Masjid al-Haram. And fear Allah and know that Allah is severe in penalty.
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Dan hendaklah kamu sempurnakan haji dan umrah kerana Allah;
Apabila kita sudah keluar untuk mengerjakan Haji atau Umrah, kita mesti menyempurnakannya. Di sini bukanlah hendak mengatakan Umrah itu wajib pula kerana Umrah itu memang sepakat para ulama’ mengatakan ia adalah sunat, bukan wajib atau fardhu atau rukun seperti Haji. Ulama’ memberikan berbagai tafsiran bagi maksud ‘sempurnakan’ itu.
1. Iaitu kena bersihkan hati dalam melakukannya mestilah kerana Tauhid. Musyrikin Mekah sudah kenal dengan ibadah Haji akan tetapi kalau dahulu mereka sudah mencampur adukkan dengan amalan-amalan dan fahaman yang salah. Maka sekarang kena belajar syariat yang baru, yang suci dan tulen.
2. Mestilah dipenuhi segala tuntutan sampai habis di dalam manasik Haji itu. Macam kalau kita sudah solat yang empat rakaat, tidaklah boleh kita buat dua rakaat dan rasa malas hendak sambung, terus kita tinggalkan – ini adalah salah. Namun begitu, untuk solat sunat atau puasa sunat, pendapat jumhur adalah tidak perlu untuk disempurnakan. Sebaliknya berbeza bagi ibadah Haji dan Umrah; sekiranya sudah memulakannya dan sudah berihram, mak wajib disempurnakan. Kalau ada sebab tidak dapat disempurnakan, ada denda yang perlu dibayar/dilakukan. Jangan ‘buat derk’ sahaja balik ke Malaysia tanpa buat apa yang sepatutnya sedangkan dia di dalam Ihram lagi.
Begitulah juga dalam kita menuntut ilmu, kita kena habiskan. Jangan kita biasakan buat perkara separuh jalan – dalam hal ibadat dan dalam hal kehidupan kita, lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan agama.
3. Sufyan as-Tsauri رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa menyempurnakan haji dan umrah ialah sempurnakan tujuan ke sana, jangan dicampurkan dengan tujuan lain. Jadi kalau menurut beliau janganlah naik haji atau umrah itu tersambil. Misalnya sedang bercuti pergi ke Eropah, lalu singgah ke Mekah, kerana kebetulan bertepatan dengan musim haji, sedangkan niat pertama bukan ke sana.
Ada pula yang tidak mengambil peluang untuk melakukan ibadat, walaupun ketika mengerjakan Haji mungkin kerana malas, kerana rasa susah, sampai ada yang tidak solat berjemaah di Masjidil Haram, tetapi solat di bilik sahaja. Ini amat rugi sekali. Sudah dapat peluang pergi ke sana, tetapi tidak diambil peluang sepenuhnya untuk beribadat dan mengaut pahala sebanyak mungkin. Mungkin mereka ada sebab lain agaknya. Kerana itu agaknya ramai dalam kalangan kita yang pergi Haji dan Umrah, mereka akan kemaskini status dalam Facebook mereka dan ambil gambar di hadapan Ka’bah dan masukkan dalam post mereka. Apa kena dengan mereka ini? Adakah mereka mahu memberitahu dan dipertontonkan ke seluruh alam bahawa mereka sedang buat ibadat? Ditakuti kalau-kalau timbul rasa hendak menunjuk-nunjuk pula dan akan menyebabkan pahala buat Haji dan Umrah itu akan hilang pula kerana riak. Seeloknya kita jangan lakukan. Memang bermasalah umat kita sekarang, semua hendak di post dan kemaskini dalam media sosial. Kenapa susah sangatkah hendak jadi orang yang simpan sahaja apa-apa yang kita buat? Adakah perlu diberitahu kepada semua orang?
4. Menurut Muqatil رَحِمَهُ اللَّهُ menyempurnakan haji dan umrah ialah bersihkan, jangan campurkan yang tidak patut bagi keduanya. Kena rujuk apakah sunnah dalam mengerjakan Haji dan Umrah. Tidak perlu terus amalkan apa yang diajar oleh para ustaz dan mutawwif. Kena pastikan yang ia ada sunnah di dalam ajaran Nabi ﷺ.
5. Kata setengah ulama lagi menyempurnakan haji dan umrah ialah supaya nafkah perbelanjaan untuknya daripada harta yang halal dan baik. Maka jangan gunakan harta yang haram atau daripada pendapatan yang haram untuk mengerjakan Haji.
6. Ayat ini juga mengingatkan kita bahawa Haji dan Umrah itu dijalankan ‘kerana Allah ﷻ’. Dalam banyak-banyak ibadah yang disebut di dalam Al-Qur’an, ibadah Haji sahaja yang ditekankan kerana Allah ﷻ. Sedangkan semua ibadah memang kena dilakukan kerana Allah ﷻ, akan tetapi tidak ditekankan di dalam ayat lain. Ini kerana pada zaman Jahiliyah kaum musyrikin melaksanakannya untuk berbagai tujuan yang lain dan bukan kerana Allah ﷻ. Mungkin kerana hendak berdagang dan mungkin kerana hendak berkumpul. Justeru Allah ﷻ tekankan di sini. Bagi kita sekarang ini juga ada pengajarannya kerana janganlah pergi mengerjakannya kerana hendak mendapat status ‘Haji’ dan bukan kerana sebab-sebab yang lain. Ada yang pergi ke sana macam pergi bercuti sahaja. Amat rugi sekali kalau kita menghabiskan wang beribu ringgit untuk pergi mengerjakan Umrah dan Haji, tetapi sia-sia amalan itu kerana kita buat bukan kerana Allah ﷻ. Maka perlu disempurnakan zahir dan batin. Dari segi zahir adalah segala manasiknya dan dari segi batin adalah keikhlasan hati di dalam mengerjakannya.
Ayat ini juga memberitahu kita bahawa mengerjakan Haji adalah salah satu daripada Rukun Islam. Ia wajib dilakukan kepada mereka yang berkemampuan untuk sampai ke sana dari segi kewangan atau fizikal. Ada pun tentang Umrah, ia bukan rukun. Akan tetapi ayat Baqarah: 196 ini bukanlah mewajibkan Haji lagi pada masa itu. Ayat yang pertama sekali mewajibkan Haji adalah di dalam Ali Imran: 97 dan ia diturunkan pada tahun 9 Hijrah. Pada tahun itulah kaum Muslimin di Madinah dan di seluruh tanah Arab naik Haji ke Makkah yang telah bersih daripada berhala, dan diangkatlah oleh Rasul ﷺ sahabatnya Saidina Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengepalai rombongan (Amirul-Haj) tahun itu. Tahun kesepuluh barulah Rasulullah ﷺ sendiri mengerjakan Haji, yang terkenal dengan gelaran Haji Wada’ (haji perpisahan). Sebab 82 hari sesudah itu, baginda pun wafat. Akan tetapi ada juga pendapat yang mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun 4 Hijrah.
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِينَ
Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.
Perhatikan tidak disebut bulan apa Haji dikerjakan seperti bulan puasa disebut secara jelas bulan Ramadhan. Ini kerana bangsa Arab memang sudah biasa mengerjakan Haji semenjak dari zaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi.
Ayat ini adalah tentang Ibadah Haji dan ia adalah ayat jenis Umur Muslihah. Ia adalah satu ibadah yang boleh mengeratkan hubungan dengan hamba-hamba sesama Islam yang lain. Ini kerana Haji itu dilakukan setahun sekali dan ia boleh mengeratkan hubungan sesama umat Islam yang berada di bawah satu khalifah seluruh dunia. Umat Islam seluruh dunia sepatutnya di bawah seorang Khalifah sahaja, bukannya macam zaman sekarang, setiap negara ada ketua negaranya sendiri. Maka kerana itu manasik Haji adalah penting kerana ia adalah perkumpulan umat Islam sedunia. Supaya semua umat Islam dari segenap ceruk dunia akan datang ke satu tempat dan dapat duduk bersama. Dapat duduk bersama dengan Khalifah, dapat solat dengan beliau dan dapat mendengar apakah pesanan beliau kepada umat sedunia. Jadi haji ini bukan sahaja satu ibadat yang boleh memberikan pahala kepada kita tetapi ia juga boleh mengeratkan hubungan sesama Muslim seluruh dunia. Jadi ada hubungan hamba dengan Allah ﷻ dan hubungan hamba dengan hamba yang lain.
فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ
Dan sekiranya kamu ditahan;
Ini adalah sekiranya orang yang hendak menunaikan Haji itu tidak boleh masuk ke Mekah. Pada waktu dahulu, pernah umat Islam dihalang oleh puak Quraisy. Kalau zaman sekarang, boleh jadi timbul pelbagai masalah – mungkin ada gangguan ketika dalam perjalanan, atau kita ditahan oleh puak musuh dan sebagainya. Jadi, apabila ada gangguan atau halangan untuk sampai ke Mekah, hendaklah berpatah balik walaupun sudah berniat Ihram. Allah ﷻ memberikan jalan keluar dalam hal-hal sebegini kerana asalnya, apabila sudah berniat Haji dan ihram, mesti selesaikan.
Ibn Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan ayat ini diturunkan pada tahun ke 6 Hijrah, pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah, iaitu sewaktu Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم daripada menunaikan Umrah. Jadi ia adalah asbabun nuzul bagi ayat ini namun tidaklah terhad kepada waktu itu sahaja. Ayat ini terpakai juga untuk situasi-situasi lain pada bila-bila zaman.
فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ
maka wajiblah kamu sembelih korban yang mudah didapati;
Walaupun sudah kena berpatah balik ke kampung asal, tidak boleh tinggalkan begitu sahaja. Untuk bebas daripada pantang larang ihram, kena tahallul (cukur rambut) dan sembelih binatang korban apa yang mampu bagi kamu. Sembelih binatang korban itu adalah sebagai dam (denda). Itu kena dilakukan kalau sudah berniat Haji dan sudah memakai Ihram.
Ketika para sahabat ditahan daripada mengerjakan Umrah sehingga terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, sesiapa yang di antara mereka yang ada membawa binatang ternak hendaklah menyembelihnya. Bukan semua dalam kalangan mereka bawa binatang ternak. Bagi yang tidak bawa, maka tidak wajib bagi mereka mencarinya.
Dalam ayat ini, tidak disebut dengan jelas apakah binatang yang boleh disembelih. Allah ﷻ hanya kata ‘yang mudah didapati’ sahaja. Iaitu daripada binatang ternak yang digunakan di dalam Qurban – unta, lembu, kambing atau biri-biri.
وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ
Dan janganlah kamu cukur kepala-kepala kamu sehinggalah sampai binatang sembelihan itu ke tempat sembelih;
Ini adalah bagi mereka yang terpaksa cukur kepala mereka awal daripada yang sepatutnya. Cukur kepala atau Tahallul itu menandakan kita sudah selesai daripada pantang larang ihram. Tidak boleh cukur atau gunting rambut kalau dalam ihram. Namun oleh kerana tidak boleh meneruskan kerja Haji atau Umrah kerana terhalang, maka dibolehkan. Namun begitu cukur kepala itu hanya boleh dilakukan apabila binatang sudah sampai ke tempat sembelih.
Hingga binatang sembelihan itu sampai ke mana? Pendapat yang asal adalah hendaklah sampai ke Makkah dan pendapat dipegang teguh oleh mazhab Hanafi. Akan tetapi kalau tidak boleh, boleh sahaja sembelih di mana-mana sahaja kerana ketika umat Islam dihalang di Hudaibiyah, Rasulullah ﷺ dan para sahabat sembelih sahaja di Hudaibiyah. Inilah pendapat mazahib yang lain.
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا
Maka sesiapa di antara kamu sakit
Tahallul dengan mencukur rambut atau mengunting sebahagian rambut tidak boleh dilakukan selagi di dalam Ihram. Akan tetapi bagaimana kalau terpaksa kerana sebab-sebab yang terdesak? Mungkin ada yang terpaksa mencukur rambutnya awal kerana uzur.
أَوْ بِهِ أَذًى مِّنْ رَّأْسِهِ
atau terdapat sakit di kepalanya
Contohnya, kepalanya ada kutu atau apa-apa sahaja yang menyebabkan dia kena cukur rambut (tahallul) lebih awal daripada yang sepatutnya. Sebagaimana terdapat dalam hadith berikut:
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَآهُ وَقَمْلُهُ يَسْقُطُ عَلَى وَجْهِهِ فَقَالَ أَيُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ قَالَ نَعَمْ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَحْلِقَ وَهُوَ بِالْحُدَيْبِيَةِ لَمْ يُبَيِّنْ لَهُمْ أَنَّهُمْ يَحِلُّونَ بِهَا وَهُمْ عَلَى طَمَعٍ أَنْ يَدْخُلُوا مَكَّةَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ الْفِدْيَةَ فَأَمَرَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُطْعِمَ فَرَقًا بَيْنَ سِتَّةِ مَسَاكِينَ أَوْ يُهْدِيَ شَاةً أَوْ يَصُومَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ
Daripada Ka’ab bin ‘Ujrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ melihat kutu berjatuhan di wajahnya. Baginda bertanya: “Barangkali kutu di kepala sangat mengganggumu?” Beliau menjawab: “Benar”. Baginda lalu memerintahkan Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ agar mencukur rambutnya. Saat itu baginda berada di Hudaibiyyah dan belum menjelaskan kepada mereka bahawa mereka harus bertahallul di sana, padahal mereka berhasrat dapat memasuki Makkah. Akhirnya Allah ﷻ menurunkan ayat tentang fidyah. Selanjutnya Rasulullah ﷺ memerintahkan agar Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memberi makan sebanyak satu *faraq (tiga sa’) untuk enam orang miskin atau berkorban dengan seekor kambing atau puasa tiga hari.”
(Sahih Bukhari Hadith No. 3842)
*faraq = 10 kg
Jadi, ada dua sebab yang dibenarkan cukur rambut awal daripada yang sepatutnya – sakit atau gangguan pada kepala.
فَفِدْيَةٌ مِّنْ صِيَامٍ
hendaklah dia membayar fidyah dengan berpuasa,
Maka boleh cukur rambut terus dan ganti dengan bayar fidyah iaitu sama ada puasa tiga hari,
أَوْ صَدَقَةٍ
atau bersedekah;
Iaitu memberi makan enam orang fakir miskin. Ini diketahui daripada hadith di atas.
أَوْ نُسُكٍ
atau menyembelih binatang
Ataupun sembelih binatang korban – sekurang-kurangnya seekor biri-biri yang sudah cukup umur.
حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا سَيْفٌ قَالَ حَدَّثَنِي مُجَاهِدٌ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ أَبِي لَيْلَى أَنَّ كَعْبَ بْنَ عُجْرَةَ حَدَّثَهُ قَالَ وَقَفَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحُدَيْبِيَةِ وَرَأْسِي يَتَهَافَتُ قَمْلًا فَقَالَ يُؤْذِيكَ هَوَامُّكَ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَاحْلِقْ رَأْسَكَ أَوْ قَالَ احْلِقْ قَالَ فِيَّ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِنْ رَأْسِهِ } إِلَى آخِرِهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ أَوْ تَصَدَّقْ بِفَرَقٍ بَيْنَ سِتَّةٍ أَوْ انْسُكْ بِمَا تَيَسَّرَ
Telah menceritakan kepada kami Abu Nu’aim telah menceritakan kepada kami Sayf berkata, telah menceritakan kepada saya Mujahid berkata, aku mendengar ‘Abdurrahman bin Abu Laila bahawa Ka’ab bin ‘Ujrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Rasulullah ﷺ menghampiriku di Hudaibiyah ketika kepalaku dipenuhi kutu, baginda berkata: “Barangkali kamu terkena serangga (kutu di kepala)?” Aku jawab: “Benar, wahai Rasulullah”. Maka baginda berkata: “Cukurlah rambutmu”. Atau baginda berkata: “Ayat ini turun untukku” (QS Al Baqarah ayat 196 yang ertinya): (“….Maka barangsiapa daripada kalian yang sakit atau tertimpa sesuatu pada kepalanya…) hingga akhir ayat. Maka Nabi ﷺ berkata: “Laksanakanlah puasa tiga hari atau bersedekah sebanyak satu faraq (tiga sa’) terhadap enam orang atau berkorban dengan yang mudah buatmu”.
(Sahih Bukhari Hadith No. 1687)
Kalimah نُسُكٍ ini boleh juga digunakan untuk mana-mana ibadah seperti yang disebut di dalam ayat An’am: 162
قُل إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ
Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam
Akan tetapi نُسُكٍ di dalam ayat Baqarah: 196 ini khusus merujuk kepada ibadah sembelihan.
Ada tiga pilihan diberikan di dalam ayat ini, sama ada hendak berpuasa, beri makan atau sembelih binatang korban. Ia adalah pilihan, bukan susunan kena pilih yang pertama dalam senarai dahulu.
Dari sini kita dapat tahu yang ada kesalahan-kesalahan di dalam ibadah Haji yang boleh dibayar dengan denda dan ini berlainan dengan ibadah-ibadah yang lain. Cuma kalau ia adalah rukun, tetaplah tidak boleh dibayar.
فَإِذَا أَمِنْتُمْ
Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman;
Iaitu sudah boleh meneruskan buat Haji atau apabila kita pergi mengerjakan Haji itu, tidak ada masalah apa-apa yang menghalang kita daripada mengerjakannya. Mungkin halangan sudah hilang atau sakit telah sembuh. Kalau tidak ada halangan, maka teruskanlah mengerjakan Haji itu. Atau pergi pada waktu lain setelah halangan dan sakit tidak ada. Perbuatan Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang ditahan daripada mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah telah mengqada’ Umrah mereka pada tahun selepasnya.
فَمَنْ تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ
maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan hingga masa Haji,
Makna تَمَتَّعَ adalah ‘menikmati sesuatu’. Sebelum Islam, orang Arab tidak melakukan Umrah dalam bulan Haji. Bulan Haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah. Manakala bulan Rejab adalah bulan untuk buat Umrah. Orang Arab pada waktu itu tidak membenarkan buat Umrah dalam bulan-bulan Haji. Sebab pada mereka, sudah ada waktu untuk buat Umrah iaitu bulan Rejab. Namun Islam datang dengan membenarkan kemudahan untuk melakukan Umrah dalam bulan Haji juga. Maknanya, ia adalah kemudahan yang Allah ﷻ berikan.
Ayat ini menyebut tentang Haji Tamattu’ iaitu haji bersenang-senang. Ada tiga jenis Haji:
1. Tamattu‘ – buat umrah dahulu, tahallul dan tinggal di Makkah dan kemudian buat Haji. Sementara tunggu waktu Haji, boleh pakai baju biasa dan ini adalah kemudahan yang diberikan kepada mereka yang hendak mengerjakan haji. Tidaklah mereka lama di dalam Ihram.
2. Qiran – buat Umrah bersama dengan Haji iaitu satu perbuatan tetapi niatnya dua.
3. Ifrad – buat Haji dulu, kemudian buat Umrah.
Untuk Haji Ifrad tidak perlu dibayar dam tetapi untuk mengerjakan Haji Tamattu’ dan Haji Qiran perlu dibayar dam. Perbincangan tentang perbezaan dan cara-cara mengerjakan Haji ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam bidang fiqh.
Haji Tamattu’ bermaksud bersenang lenang ataupun berseronok semasa mengerjakan Haji iaitu dimulai dengan mengerjakan umrah dahulu dan kemudian Tahallul supaya boleh keluar daripada pantang larang Ihram dan menunggu masa Haji masuk. Bolehlah dia memakai baju biasa dan sebagainya. Itulah yang mudahnya. Bila sampai waktu Haji maka niat Haji dan kembali pakai Ihram untuk mengerjakan Haji pula. Jadi waktu antara Umrah dan Haji itu, seseorang itu boleh berseronok bersenang-senang sahaja. Maksud ‘berseronok’ itu adalah bebas daripada pantang larang Ihram. Haji Tamattu’ ini sahih dan sunnah seperti disebut di dalam sebuah hadith,
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أُنْزِلَتْ آيَةُ الْمُتْعَةِ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَفَعَلْنَاهَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يُنْزَلْ قُرْآنٌ يُحَرِّمُهُ وَلَمْ يَنْهَ عَنْهَا حَتَّى مَاتَ قَالَ رَجُلٌ بِرَأْيِهِ مَا شَاءَ
Daripada Imran bin Hushain رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dia berkata; Ayat mut’ah (menggabungkan haji dan umrah) telah diturunkan di dalam kitabullah, maka kami pun melaksanakannya bersama Rasulullah ﷺ, dan Al-Qur’an tidak menurunkan ayat yang mengharamkannya, baginda pun tidak melarangnya hingga baginda wafat. Orang (yang menganggapnya haram) hanya berbicara apa yang dia kehendaki.
(Sahih Bukhari No. 4156)
فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ
hendaklah menyembelih dam yang mudah didapati.
Kena bayar dam kerana kebenaran melakukan Haji Tamattu’ ini sudah memudahkan orang yang mahu melakukan ibadat umrah. Ini kerana mereka tidak perlu pergi dua kali – sekali pergi umrah dan sekali pergi haji – boleh buat kedua-dua sekali untuk sekali pergi ke Makkah. Oleh kerana kemudahan yang Allah ﷻ telah berikan itu, Allah ﷻ mensyaratkan untuk sembelih binatang ternak. Ia adalah sebagai tanda syukur kepada Allah ﷻ. Ia bukanlah denda dan kerana itu tidak ada kalimah فِدْيَةٌ di sini seperti tentang cukur rambut di atas.
Sembelihan itu bolehlah mengikut kadar kemampuan seseorang dan bergantung jika barang yang hendak disembelih itu ada. Iaitu kena ada kemudahan duit dan kemudian binatang. Ini kerana kadangkala ada manusia yang mempunyai duit tetapi binatang tidak ada atau binatang ada tetapi duit pula yang tiada.
فَمَنْ لَّمْ يَجِدْ
Maka jika kamu tidak dapati binatang ternak;
Jikalau tiada duit untuk membeli sembelihan atau jikalau sembelihan pun tiada. Sudah dicari tetapi tidak berjumpa.
فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ
hendaklah berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji;
Iaitu berpuasa tiga hari itu di Mekah. Kalau kita fikir logik, mungkin kita rasa patutnya puasa di Makkah yang lagi lama. Akan tetapi Allah ﷻ tidak menyusahkan hamba-Nya. Ini kerana kalau kena puasa di Makkah lama, sudah kena lama pula duduk di situ.
وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ
dan tujuh hari lagi apabila balik;
Iaitu apabila pulang ke Malaysia. Iaitu balik ke rumah. Ini hanya kepada yang tidak tinggal di Makkah. Tidak ditetapkan bila kena buat. Ikut keselesaan kepada individu itu bila dia boleh buat puasa itu.
تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ
Itulah dia sepuluh hari yang lengkap;
Kena lengkapkan puasa sebanyak sepuluh hari ini. Jangan kurang daripada sepuluh hari itu.
Kenapa perlu disebut potongan ayat ini? Kalau 3 campur 7 bukankah sudah 10? Takkan Allah ﷻ melakukan perkara yang sia-sia mengajar manusia mengira pula? Bukanlah begitu. Allah ﷻ sebut untuk pastikan bahawa perlu puasa jumlah keseluruhan 10 hari. Bukanlah ada pilihan 3 hari atau 7 hari. Mungkin ada yang sangka ia adalah pilihan (kalau puasa di Mekah 3 hari sahaja dan kalau puasa di tanahair sendiri [atau dalam perjalanan pulang] ia adalah 7 hari) kerana harf و boleh juga diertikan sebagai ‘atau’.
Lagi satu, kalimah ‘tujuh’ di dalam bahasa Arab boleh membawa maksud ‘banyak’. Maka di sini Allah ﷻ hadkan yang bukanlah ia bermaksud banyak tetapi memang betul-betul 7 hari sahaja.
ذَٰلِكَ لِمَنْ لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ
Yang demikian itu bagi mereka yang bukan ahli penduduk Mekah;
Kemudahan untuk melakukan Haji Tamattu’ itu hanya diberikan kepada orang luar dari Tanah Haram sahaja. Penghuni Tanah Haram tidak ada pilihan untuk buat Haji Tamattu’ atau Qiran, mereka kena buat Haji Ifrad. Mereka tidak perlu ambil peluang mengerjakan Umrah ketika kerja Haji kerana mereka tinggal dekat dengan Ka’bah dan boleh buat Umrah bila-bila masa. Malah mereka tidak perlu pergi ke miqat dan boleh memulakan Ihram di rumah sahaja. Tujuannya supaya mereka tidak menyesakkan Tanah Haram masa bulan Haji.
وَاتَّقُوا اللَّهَ
dan bertaqwalah kalian kepada Allah;
Takut kepada Allah ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Allah ﷻ sudah ajar segala serbi manasik Haji, maka kenalah kita ikut. Kenalah belajar falsafah dan cara-cara mengerjakan Haji. Benda lain boleh belajar sampai masuk Universiti, takkan benda tentang agama tidak boleh hendak belajar dan dalami? Dan yang mampu ikut hanyalah mereka yang bertaqwa sahaja. Kerana ada yang sudah tahu, tetapi kerana tidak bertaqwa, mereka tidak ikut. Maka ini mengajar kita maksud utama dalam ibadah Haji itu adalah untuk mendapatkan taqwa. Malah, sembelihan yang disebut-sebut sebelum ini bukanlah sampai kepada Allah ﷻ melainkan isi hati taqwa itu yang sampai kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Hajj: 37
لَن يَنالَ اللهَ لُحومُها وَلا دِماؤُها وَلٰكِن يَنالُهُ التَّقوىٰ مِنكُم
Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapai-Nya.
Di dalam Maidah: 27 Allah ﷻ beritahu kita yang Dia hanya terima amalan daripada orang bertaqwa sahaja.
إِنَّما يَتَقَبَّلُ اللهُ مِنَ المُتَّقينَ
Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertaqwa
Taqwa amat penting di dalam ibadah terutama sekali ibadah Haji kerana ia adalah satu ibadah yang mencabar. Hendak pergi ke sana pun satu hal, apabila di sana pula hal yang lain kerana ada banyak dugaan. Kita di tempat asing, cuaca lain dari cuaca tempat kita, orang pula ramai bersesak-sesak, maka akan menimbulkan kecamuk dalam diri kita sama ada fizikal dan mental. Maka yang dapat menanganinya dengan baik adalah orang yang ada taqwa. Mereka ini relaks sahaja dan tidak kecoh-kecoh.
وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
dan ketahuilah sesungguhnya azab Allah itu sangat keras;
Perintah untuk mengetahui di sini setelah sebelumnya disebut tentang taqwa memberitahu kita yang taqwa dapat diperolehi dengan ilmu. Maka ini mengajar kita supaya memantapkan ilmu pengetahuan. Jangan malas belajar dan bertanya dengan orang yang tahu hal-hal agama. Belajarlah dan tanya sampai faham. Memang pada mulanya tidak faham namun lama kelamaan ilmu akan bertambah dan pemahaman akan semakin mantap.
Ingatlah yang azab Allah ﷻ sangat keras kepada mereka yang melanggar hukum-Nya. Jadi, kena jaga hukum Haji yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita kerana Allah ﷻ telah tetapkan hukumnya bagaimana. Tidak perlu hendak persoalkan kenapa kena melempar sampai 7 butir batu, kenapa kena pakaian pakaian ihram yang sebegitu rupanya, kena wuquf dan sebagainya. Semua itu telah ditetapkan oleh Allah ﷻ dan kalau ada kesalahan yang dilakukan, kena dibayar dendanya sama ada dengan wang atau dengan perbuatan. Kalau buat salah dalam Haji pun Allah ﷻ sudah marah, bayangkan kalau orang meletakkan berhala di Ka’bah. Tentu Allah ﷻ lagi murka.
Habis Ruku’ 24 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Januari 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
