Maidah Ayat 5:
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
This day [all] good foods have been made lawful, and the food of those who were given the Scripture is lawful for you and your food is lawful for them. And [lawful in marriage are] chaste women from among the believers and chaste women from among those who were given the Scripture before you, when you have given them their due compensation,¹ desiring chastity, not unlawful sexual intercourse or taking [secret] lovers. And whoever denies the faith – his work has become worthless, and he, in the Hereafter, will be among the losers.
- The specified bridal gift (mahr).
(MALAY)
Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبٰتُ
Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik.
Segala yang baik adalah halal untuk dimakan. Segala yang Allah ﷻ halalkan adalah baik-baik belaka. Sedangkan yang buruk telah diharamkan bagi kita seperti yang disebut dalam A’raf:145. Kita ini manusia yang mulia, maka makan pun kenalah yang baik-baik. Bukan seperti binatang yang makan asal ada sahaja. Kita pun memang terkesan dengan banyak benda.
Kalau benda luaran pun boleh memberi kesan kepada fikiran kita, apatah lagi kalau benda yang masuk ke dalam perut kita. Maka kena fikirkan apa yang masuk ke dalam perut kita dan menjadi darah daging kita.
Ia juga memberi kesan kepada ibadah kita. Ini disebut dalam Mukminoon:51.
يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.
Untuk mengerjakan amal soleh, makanan yang dimakan mestilah daripada makanan yang halal. Makanan yang baik dan halal akan memudahkan kita mengerjakan amal yang soleh.
Maka kita telah belajar apakah makanan yang boleh dimakan dan tidak. Ayat-ayat ini memansukhkan segala yang haram dalam kitab-kitab dahulu (antaranya kalau ada di dalam Kitab Taurat). Sekarang diberikan hukum pemakanan yang baru. Sekarang kita sepatutnya sudah tahu dengan jelas apakah yang boleh dimakan dan apakah yang tidak.
‘Hari’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hari ayat ini diturunkan iaitu di Arafah semasa Haji Nabi Muhammad ﷺ (pada Tahun 10 Hijrah), iaitu hari ketika ayat-ayat hukum telah lengkap.
Jadi makanan yang dimakan oleh orang yang baik-baik adalah makanan yang baik juga. Jadi hukum pemakanan ini diluaskan lagi oleh ulama’ kerana tidaklah semua makanan disebut secara khusus. Jadi apakah yang ‘baik’ itu dibincangkan lagi. Ini kerana binatang yang ‘tidak baik’ itu boleh dilihat daripada sifatnya. Kalau binatang yang membunuh dengan taring, binatang yang kotor, yang menjijikkan, itu sudah termasuk jenis yang tidak baik.
Kerana itulah kita tidak makan harimau, anjing, kelawar, tikus dan lain-lain. Memanglah tidak disebut yang binatang itu tidak boleh dimakan dengan jelas dalam syarak, tetapi jika kita menggunakan akal sihat pun, tiada selera hendak makan binatang sebegitu. Orang yang kurang waras sahaja yang sanggup makan.
وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ
Makanan orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu,
‘Makanan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini bukan makanan biasa tetapi makanan sembelihan (binatang yang disembelih). Tidaklah termasuk kerepek, kekacang, maggi dan lain-lain pula. Itu semua boleh sahaja makan asalkan tidak ada benda haram di dalamnya.
Oleh itu, hukum dalam ayat ini, sembelihan ahli kitab adalah halal. Namun apakah syarat-syarat yang berkenaan? Siapakah Ahli Kitab yang dimaksudkan? Apakah kriteria-kriteria mereka? Ada yang kata mestilah Ahli Kitab yang mengikut ajaran kitab mereka yang sebenar, bukannya yang telah diubah-ubah (seperti yang ada sekarang). Ada yang kata mesti yang berketurunan Bani Israil. Ada yang kata yang dimaksudkan adalah ahli kitab sebelum Nabi Muhammad dibangkitkan, kalau yang selepas itu tidak dikira.
Namun ada juga yang melonggarkan hukum ini dengan mengatakan asalkan sembelihan Ahli Kitab sahaja, maka boleh dimakan. Oleh itu, kalau kita tahu orang itu adalah Kristian atau Yahudi, kita sudah boleh makan hasil sembelihan mereka dan ini disokong oleh nas-nas yang ada kerana ‘Ahli Kitab’ yang dipanggil Ahli Kitab pada zaman Nabi ﷺ pun sudah menggunakan kitab mereka yang telah diubah. Mereka juga telah ubah kandungan kitab mereka, dan mereka sebenarnya adalah orang kafir tapi Allah dan Rasulullah tetap memanggil mereka dengan gelaran ‘Ahli Kitab’.
Jadi kriteria yang utama adalah mereka itu percaya dengan kitab mereka iaitu Taurat dan Injil; iaitu mereka percaya yang ia adalah kitab wahyu. Mereka ini tidak sama dengan Musyrikin Mekah dan lain-lain agama kerana mereka langsung tidak percaya dengan kitab wahyu dan Nabi-nabi di dalam agama.
Nabi Muhammad ﷺ sendiri pun ada makan daging sembelihan Ahli Kitab:
Ada dalil sebuah hadith yang disebutkan di dalam kitab sahih, bahawa penduduk Khaibar mengirimkan seekor kambing panggang kepada Rasulullah ﷺ, sedangkan mereka telah meletak racun pada kakinya kerana mereka tahu yang Nabi ﷺ menyukai kaki kambing, maka Nabi ﷺ memakan sebahagian daripadanya sekali suap. Tetapi kaki kambing itu memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa ia telah diracuni. Maka Nabi ﷺ memuntahkannya kembali. Tetapi kesannya tetap ada pada urat nadi jantung baginda. Pada saat itu yang ikut makan bersama baginda adalah Bisyr ibnul Barra ibnu Ma’rur, tetapi dia tidak dapat ditolong dan meninggal dunia. Maka wanita Yahudi yang meletakkan racun itu dibunuh. Dia bernama Zainab.
Kisah di atas menunjukkan yang Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat ada memakan binatang sembelihan Ahli Kitab. Sedangkan waktu itu mereka pun telah mengubah kitab Taurat mereka, bukan?
Satu sebab yang dibenarkan makan sembelihan mereka adalah kerana cara penyembelihan mereka pun sama dengan cara penyembelihan kita. Ini masih lagi ada di dalam kitab mereka sekarang pun.
Daripada nukilan beberapa ayat-ayat al-Qur’an yang membahagikan sesuatu umat itu kepada beberapa golongan, nyata kepada kita bahawa orang-orang Ahli Kitab mempunyai tempat yang tersendiri di sisi ajaran Islam. Mereka bukanlah orang-orang yang beriman tetapi mereka juga bukan orang-orang yang musyrik. Mereka adalah orang-orang yang telah diberi kedudukan yang berbeza dari kaum lain dan dengan kedudukan inilah Islam menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka serta mengizinkan persahabatan dengan mereka berbanding dengan kaum-kaum lain.
Keistimewaan ini dikhaskan oleh Islam terhadap mereka kerana kaum Yahudi dan Nasrani ini kedua-duanya berpegang kepada agama yang amat hampir kepada agama Islam. Mereka percaya kepada Tuhan, percaya kepada Malaikat, rasul-rasul dan juga mempunyai kitab-kitab suci yang diturunkan. Dengan itu Islam menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka dan membolehkan perhubungan sosial yang baik dengan mereka agar dengan itu kita dapat menarik mereka ke arah agama Islam ini. Apabila kita dan mereka dapat hidup dalam suasana iklim yang lebih erat dan rapat, dapatlah kita memperlihatkan mereka akan kebenaran, kemuliaan, kesyumulan dan keindahan Islam dan sekaligus dapat membuka hati mereka ke arah Islam.
Hikmah kedua dihalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab ialah kerana Allah sedia mengetahui bahawa mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum yang dominan di muka bumi ini bersama-sama dengan umat Islam. Salah satu dari dua kaum ini, antara Yahudi atau Nasrani atau kedua-duanya pasti akan wujud di mana-mana bahagian muka bumi ini sehingga ke akhir zaman. Dengan membolehkan umat Islam memakan hasil sembelihan mereka, umat Islam akan dapat memperolehi makanan di mana sahaja mereka berada. Ini amat benar jikalau kita perhatikan suasana masa kini di mana umat Islam wujud merata-rata di seluruh dunia, ada sebagai majoriti dan ada sebagai minoriti.
Umat Islam yang hadir sebagai majoriti tidak menghadapi masalah pemakanan kerana mudah bagi mereka berusaha-sama menyediakan sumber makanan yang halal bagi diri dan kumpulan mereka. Akan tetapi bagi umat Islam yang wujud sebagai kelompok minoriti di negara-negara non-muslim, seperti di Argentina, Peru, Greenland dan sebagainya, adalah sukar bagi mereka menyediakan makanan halal secara usaha sesama sendiri melainkan dengan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab yang wujud di lokasi mereka.
Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli fiqh sama ada kebolehan hukum-hukum tertentu yang khusus di dalam al-Qur’an itu, seperti halalnya sembelihan mereka dan halalnya pernikahan dengan wanita mereka, adakah ia ditujukan kepada seluruh kaum Ahli Kitab sepanjang zaman ataupun terhad kepada beberapa syarat. Perbezaan ini menyimpul kepada tiga ikatan pendapat iaitu:
1. Kebolehan hukum adalah mutlak bagi semua kaum Ahli Kitab, dahulu, sekarang atau yang akan datang, sama ada mereka berpegang kepada kitab asal mahupun kepada kitab yang telah diubah suai.
2. Kebolehan hukum hanya bagi kaum Ahli Kitab yang hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan zuriat mereka sahaja. Pemeluk-pemeluk baru dari kalangan agama Yahudi dan Nasrani tidak termasuk dalam golongan ini.
3. Kebolehan hukum tidak lagi boleh diterima kerana kebanyakan kaum Yahudi dan Nasrani masa kini tidak lagi memegang kepada kitab mereka yang asal melainkan ianya telah diubahsuai atau ditukar.
Tambahan lagi di dalam al-Qur’an juga tidak dijumpai mana-mana ayat yang meletakkan syarat-syarat tambahan atau had-had tertentu mengenai hukum kebolehan sembelihan Ahli Kitab.
Selain itu juga tidak didapati dalam Sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apa-apa keterangan yang memberikan syarat-syarat serta hukum-hukum tambahan dalam hal ini. Sebaliknya apa yang jelas dipesan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah segala hukum-hukum agama Islam ini yang sedia disyari’atkan adalah lengkap lagi sempurna dan apa-apa kekosongandi antaranya adalah satu kebolehan yang merupakan anugerah dari Allah kepada hamba-hambaNya.
Di dalam hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis Nabi SAW:
مَا أَحَلَّ اللهُ في كتابِهِ فَهُو حَلاَلٌ وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ وَمَا سَكَتَ عَنهُ فَهُوَ عَفْوٌ فَاقْبَلُوا مِنَ اللهِ عَافِيَتُهُ فَإِنَّ اللهَ لَم يَكُن لِيَنْسَى شَيئًا وَتَلاَ )وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّا(
“Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tidak lupa barang sedikit pun. Kemudian Rasulullah SAW membaca daripada firman Allah SWT: Dan tiadalah Tuhanmu itu akan lupa.” (Surah Maryam: 64).
Riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya begitu juga dikeluarkan oleh al-Bazzar.
Menerusi sebuah riwayat daripada Salman al-Farisi RA, katanya: “Rasulullah SAW pernah ditanya tentang hukum minyak sapi, keju dan keldai liar, lalu Baginda SAW menjawab:
الْحَلاَلُ مَا أَحَلَّ اللهُ في كِتَابِهِ وَالْحَرَامُ مَا حَرَّمَ اللهُ فِي كِتَابِهِ وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ مِمَّا عَفَا لَكُمْ
“Yang halal itu ialah sesuatu yang dihalalkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya dan yang haram itu sesuatu yang diharamkan Allah SWT di dalam Kitab-Nya. Dan mana-mana yang didiamkan-Nya sahaja, maka ianya termasuk apa yang dimaafkan buat kamu.”
Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah
Rumusan yang dapat ditarik dari hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan pertama ini adalah – sembelihan kaum Ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani adalah halal bagi umat Islam tanpa apa-apa syarat atau had kerana Allah telah menurunkan hukum kebolehan ini tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan. Kebolehan ini juga berkuat-kuasa tidak kira sama ada kaum-kaum tersebut masih berpegang kepada ajaran kitab mereka yang asli ataupun yang telah diubahsuai.
Pendapat kedua menyatakan bahawa kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab hanyalah terhad kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan-keturunan mereka sahaja. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab adalah ia dalam bentuk Kata yang telah berlalu atau Past tense menunjukkan bahawa ia ditujukan kepada umat Yahudi dan Nasrani yang hidup sebelum turunnya ayat tersebut dan bukan ditujukan kepada umat-umat yang akan datang. Oleh itu keberlakuan hukum ini tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang baru memeluk agama itu dan ia juga tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang tidak dapat dikesan nasab keturunan mereka sehingga ke zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam.
Pendapat ini dianggap lemah kerana tafsiran yang sedemikian itu tidak pernah didengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mahupun para sahabat radiallahu-anhum padahal merekalah orang yang paling mengenali al-Qur’an dan paling mengetahui tujuan ayat-ayatnya. Selain itu sememangnya diketahui bahawa kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum wujud sebelum wujudnya Islam dan mereka telah diturunkan kitab Taurat dan Injil sebelum turunnya kitab al-Qur’an. Justeru adalah memadai al-Qur’an mengalamatkan mereka dalam bentuk bahasa yang telah berlalu atau past tense.
Setelah menganalisa pendapat golongan kedua ini, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili menolaknya dengan hujah beliau: Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kukuh tentang syarat yang mereka katakan itu padahal para sahabat radiallahu-anhum telah memakan sembelihan ahli kitab dan mengahwini wanita mereka tanpa menyelidik sama ada memenuhi syarat ini atau tidak. (iaitu menyelidik nasab keturunan mereka).
Pendapat Ketiga menyatakan bahawa hukum kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi berhubung-laku di masa kini kerana kedua-dua kaum tersebut, Yahudi dan Nasrani telah banyak melakukan perubahan serta ubah-suai akan kitab mereka itu sehingga ianya tidak lagi tulen sepertimana yang wujud di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Selain itu sebahagian besar orang-orang Yahudi dan Nasrani juga kini telah tidak lagi mentaati ajaran kitab mereka sama ada yang tulen mahupun yang diubahsuai tetapi banyak pula mengikuti hukum-hukum baru yang direkacipta mereka selari dengan peredaran zaman. Dengan hujah-hujah di atas, golongan ini berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi halal bagi umat Islam masa kini dan bagi yang akan datang.
Pendapat di atas sekali imbas sememangnya menampakkan banyak kebenaran dan tiada lubang kelonggaran. Tetapi sebelum diterima pendapat ini sebulat-bulat ia perlu dianalisa serta dikaji terlebih dahulu secara ilmiah yang mendalam, sesuai dengan prinsip-prinsip usul tafsir al-Qur’anul Karim.
Al-Qur’an adalah sebuah kitab yang diturunkan ayatnya berperingkat-peringkat, setiap penurunan ayat ditentukan kadar dan masanya oleh Allah sesuai dengan tahap pencernaan ilmu oleh masyarakat ketika itu dan kondisi sosial mereka yang dinamis dari satu masa ke masa yang lain. Setiap ayat turun membawa keterangan serta ilmu pengetahuan yang baru, melengkapkan lagi apa yang sudah diturunkan, mengganti dengan yang lebih baik dari apa yang sudah sememangnya baik serta mengkhususkan lagi apa yang sebelum ini adalah umum.
Ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab bagi umat Islam, adalah antara ayat yang terakhir diturunkan sebelum lengkapnya al-Qur’an ini dan sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Ayat ini dijangkakan turun kira-kira 81 hari atau lebih sedikit sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan ia adalah serangkap dengan ayat yang menerangkan tentang kesempurnaan Islam, iaitu firman Allah di dalam ayat 3 sebelum ini,
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ
Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu,
Di samping itu surah al-Maidah juga adalah surah terakhir yang diturunkan antara kesemua 114 surah-surah yang terkandung di dalam al-Qur’an.
Kenapa ini penting? Kerana hakikat turunnya ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab sebagai salah satu dari ayat-ayat terakhir dalam al-Qur’anul Karim memberikan titik pengkajian yang amat besar lagi berat dalam analisa hukum berkaitan. Ini adalah kerana ayat ini turun setelah turunnya beberapa ayat-ayat yang sedia mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang telah mengubah-suai, menukar serta mencampur-aduk ajaran agama mereka seperti disebut di dalam Baqarah:75
أَفَتَطمَعونَ أَن يُؤمِنوا لَكُم وَقَد كانَ فَريقٌ مِّنهُم يَسمَعونَ كَلٰمَ اللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفونَهُ مِن بَعدِ ما عَقَلوهُ وَهُم يَعلَمونَ
(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
Jikalau sejak dari dulu lagi al-Qur’an telah menghalalkan sembelihan Ahli Kitab untuk umat Islam seluruhnya sekalipun dalam suasana ketika itu kaum-kaum Ahli Kitab telahpun melakukan berbagai-bagai kesalahan, apakah pula bezanya dengan umat-umat Ahli Kitab masa kini ? Sudah tentu tidak ada bezanya. Mereka tetap juga sama sebagaimana generasi mereka yang lalu. Maka dengan itu juga tidak ada sebarang perbezaan bagi keberlakuan hukum-hukum al-Qur’an terhadap mereka, sama ada masa kini atau masa yang akan datang.
Justeru itu pendapat ketiga ini yang mengatakan bahawa keberlakuan hukum-hukum Islam terhadap kaum Ahli Kitab tidak lagi sah masa kini atas alasan mereka telah pun menyeleweng dari ajaran yang asal tidak dapat diterima. Pendapat ini tidak mempunyai alasan mahupun dalil sokongan yang kukuh melainkan ianya adalah satu sikap yang terlalu berhati-hati sehingga berlawanan pula dengan ketentuan ilmiah agama Islam ini.
Jenis Sembelihan Ahli Kitab yang Dibolehkan.
Perkara kedua yang menjadi subjek perbahasan para ahli fiqh ialah hukum-hukum yang berkisar pada kaedah sembelihan itu sendiri. Ianya terbahagi kepada 4 sub-topik perbahasan, iaitu:
-
- Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.
- Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
- Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
- Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.
- Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.
Pertama: Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.
Dipersetujui oleh majoriti para fuqaha bahawa daging-daging yang telah diharamkan dalam Islam tidak boleh dimakan oleh umat Islam sekalipun ia disembelih oleh kaum Ahli Kitab. Oleh itu umat Islam tidak boleh memakan daging babi yang disembelih oleh umat Nasrani. Menjadi titik perbezaan di sini ialah Islam membolehkan sembelihan kaum Ahli Kitab tetapi tidak membolehkan semua jenis daging-daging yang mereka sembelihkan. Justeru itu sembelihan kaum Ahli Kitab hanya dihalalkan oleh Islam apabila yang disembelih itu adalah haiwan-haiwan yang halal menurut syari’at Islam.
Kedua: Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
Menyebut nama Allah ketika menyembelih atas salah satu dari syarat sembelihan mengikut syari’at Islam, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa’ala di dalam An’am:121
وَلَا تَأڪُلُواْ مِمَّا لَم يُذكَرِ ٱسمُ ٱللَّهِ عَلَيهِ
Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya.
Walau bagaimanapun menyebut nama Allah ketika menyembelih tidak menjadi syarat bagi menghalalkan sembelihan yang dilakukan oleh kaum Ahli Kitab. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala selepas turunnya ayat-ayat yang memerintahkan agar sesuatu sembelihan itu perlu dibacakan Basmalah.
Hakikat ini memperlihatkan pengkhususan dan pengecualian kepada sembelihan kaum Ahli Kitab daripada sembelihan kaum Muslimin, di mana ia menunjukkan bahawa sembelihan mereka (Ahli Kitab) terkecuali dari perintah bacaan Basmalah. Lebih dari itu apabila Allah Subhanahu waTa’ala menghalalkan sembelihan Ahli Kitab, sudah tentu diketahuiNya bahawa mereka tidak akan menyebut Bismillah ar-Rahman ar-Rahim atau Bismillahi Allahu Akbar ketika menyembelih kerana sudah sememangnya mereka itu bukan orang Islam tetapi adalah orang Yahudi dan Nasrani. Sekalipun jikalau ada kaum Ahli Kitab yang menyebut Basmalah ketika menyembelih, itu hanyalah sebutan di mulut dan bukan kerana sesuatu yang timbul dari sebab keimanan di hati.
Persoalan menyebut nama Allah ketika menyembelih juga terjawab dengan hadith sahih berikut ini:
عن عائشة رضي الله عنها أن قوما قالوا يا رسول الله إن قوما يأتوننا باللحم لا ندري أذكروا اسم الله عليه أم لا فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم سموا الله عليه وكلوه
Dari Aisyah radhiyallahu anha, sesungguhnya ada sebuah kaum berkata, “ya Rasullah ada sebuah kaum memberi kami daging tapi kita tak tahu apakah mereka menyebut nama Allah (saat menyembelihnya) atau tidak,” Rasulullah صلى الله عليه وسلم menjawab, “Bacalah bismillah lalu makanlah.”
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa sesuatu sembelihan yang tidak disebut nama Allah atasnya, ataupun tidak diketahui sama ada disebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya, ia tetap boleh dimakan dengan menyebut nama Allah oleh orang yang akan memakannya itu sendiri. Walaubagaimana pun hadith di atas terhad kebolehannya kepada sembelihan umat Islam dan kaum Ahli Kitab sahaja kerana sedia diketahui melalui banyak dalil-dalil lain yang berkaitan bahawa sembelihan kaum-kaum lain pada asalnya tetap tidak halal bagi kita umat Islam tanpa mengira sama ada mereka atau kita ada menyebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak.
Ketiga: Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
Persoalan seterusnya yang perlu dianalisa hukumnya ialah apabila kaum Ahli Kitab melakukan sembelihan tanpa menyebut nama Allah ke atasnya tetapi menyebut pula nama-nama tuhan mereka seperti Jesus son of God, al-Masih atau al-Uzair dan sebagainya. Termasuk dalam kategori ini adalah menyembelih dengan tujuan korban bagi tuhan-tuhan mereka atau wali-wali mereka (saints) atau sebagai nazar atau sebagai memperoleh berkat, pahala dan sebagainya.
Maka dalam kes ini kita tidak boleh menerima sembelihan mereka kerana Allah Azza waJalla telah pun berfirman di dalam Maidah:3:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah.
Ayat ini adalah sekumpulan dan diperkira turun bersama-sama dengan ayat yang menghalalkan sembelihan ahli kitab. Oleh itu hukum menyembelih kerana sesuatu selain Allah adalah haram dimakan dan ia tetap berhubung-laku sama ada bagi sembelihan umat Islam ataupun umat Ahli Kitab. Ini adalah kerana menyembelih bagi tujuan sesuatu selain Allah atau dengan nama selain Allah adalah sesuatu yang mengandungi unsur-unsur syirik di dalamnya dan syari’at Islam sememangnya tidak memberikan kelonggaran dalam hal-hal yang ada mengandungi unsur-unsur syirik, sekalipun hanya bayang-bayangnya.
Walaubagaimana pun sesuatu sembelihan yang dilakukan oleh kaum Ahli Kitab yang tidak kita ketahui apakah nama yang mereka sebut ke atasnya adalah halal untuk kita makan kerana kita, mengikut kaedah usul fiqh, sememangnya tidak diwajibkan untuk menyelidik sesuatu yang tidak mungkin dapat diketahui hakikat asal-usulnya. Dalam hal ini para fuqaha amat cenderung kepada hujah dua orang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu az-Zuhri dan Ali bin Abi Talib radiallahu-anhuma yang berkata: Tidak ada salahnya memakan haiwan sembelihan kaum Nasrani Arab. Akan tetapi jikalau kamu mendengar orang yang menyembelih haiwan itu menyebut suatu nama selain dari nama Allah maka janganlah kamu makan, dan jikalau kamu tidak mendengar nama apakah mereka sebut (maka makanlah) kerana Allah sememangnya telah menghalalkan memakan hasil sembelihan mereka dalam suasana Allah sedia mengetahui kekafiran mereka.
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi juga telah menulis: Yang tidak kita ketahui tidak kita tanyakan dan kita tidak perlu bertanya mengenai sesuatu yang bukan urusan kita. Hanya sahaja apabila kita ketahui bahawa makanan tersebut berasal dari orang Ahli Kitab maka pada saat kita hendak memakannya kita sebut sahaja nama Allah.
Keempat: Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.
Adakalanya sesuatu sembelihan itu dilakukan oleh kaum Ahli Kitab adalah bersempena dengan hari-hari perayaan mereka, seperti Hari Natal, Thanksgiving Day, Hari Ulangtahun Gereja, Perlantikan Paderi atau Rahib, Majlis Perkahwinan di Gereja dan sebagainya. Maka dalam hal ini majoriti para fuqaha dari Mazhab Maliki, Shafie dan Hanbali meletakkan hukum makruh bagi kita untuk turut serta memakan makanan yang disembelih sempena perayaan-perayaan mereka.
Makruh juga untuk kita turut serta dalam majlis makan yang mereka anjurkan ketika itu. Kemakruhan dalam dua suasana ini adalah kerana kita umat Islam tidak mahu turut serta atau bersubahat dalam majlis-majlis keagamaan mereka. Kehadiran atau penerimaan kita terhadap makanan atau sembelihan mereka dalam majlis-majlis keagamaan tersebut seolah-olah menampakkan sokongan kita terhadap agama mereka padahal kita dilarang dari berbuat demikian.
Akan tetapi apabila seseorang muslim itu menerima atau membeli daging hasil sembelihan Ahli Kitab padahal dia tidak mengetahui bahawa daging tersebut disembelih sempena sesuatu majlis perayaan mereka, maka daging itu tetap halal kerana sesuatu yang tidak diketahui tidak akan dijadikan sumber patukan hukum baginya.
Walaubagaimana pun sebahagian ahli fiqh berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena perayaan-perayaan mereka adalah dihalalkan tanpa apa-apa syarat hukuman. Pendapat ini didasarkan kepada pendapat seorang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu Abu Darda radiallahu-anhu. Diriwayatkan bahawa:
Telah bertanya seorang lelaki kepada Abu Darda sama ada bolehkah dia memakan daging seekor kambing yang telah diberikan kepadanya, yang telah disembelih sempena hari perayaan Gereja St. George. Abu Darda menjawab: Ya Allah! Maafkanlah! Bukankah mereka itu kaum Ahli Kitab, di mana makanan mereka adalah halal bagi kami dan makanan kami halal bagi mereka? Abu Darda kemudian menyuruh lelaki tersebut untuk memakan daging kambing tersebut.
Sebenarnya pendapat para fuqaha di atas tidaklah bertentangan dengan pendapat Abu Darda. Para fuqaha lebih memberikan perhatian kepada pertimbangan keseluruhan ruh agama manakala Abu Darda hanyalah memberikan pendapat beliau antara dua hukum, iaitu halal atau haram. Justeru sembelihan Ahli Kitab sempena perayaan mereka pada dasarnya adalah tetap halal untuk kita makan, hanya sahaja ia adalah makruh dari sudut keutamaannya demi menjaga maruah agama.
Kelima: Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.
Terdapat beberapa pengusaha pusat penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini yang menyembelih binatang-binatang mereka dengan menggunakan kaedah kejutan elektrik, iaitu selepas binatang itu dibaringkan terlebih dahulu dengan ubat tidur. Perubahan teknologi sembelihan ini membawa ahli fiqh kita kepada topik perbincangan yang baru, iaitu adakah sembelihan kaum Ahli Kitab boleh kita terima dengan cara kejutan elektrik atau adakah kita hanya boleh menerima sembelihan yang dilakukan mengikut syari’at asal mereka, iaitu memotong di leher binatang dengan pisau tajam ?
Dalam menganalisa persoalan ini penulis mengutip penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi yang telah berkata: Apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan sebagai halal oleh kaum Ahli Kitab adalah juga halal bagi kita sekalipun kaedah sembelihan mereka berlainan dengan kaedah sembelihan kita. Dan apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan haram oleh mereka maka kita juga menerima keharamannya (iaitu dengan tidak memakannya). Apabila mereka kaum Ahli Kitab melakukan penyembelihan, mereka menyembelih dengan tujuan agar sembelihan mereka itu adalah halal dijadikan sebagai makanan mengikut syarat-syarat agama mereka. Ini adalah merupakan hujah pendapat sebahagian dari para fuqaha Mazhab Maliki.
Dari keterangan ini, maka dapat kita yakini bahawa daging-daging yang diimport dari negara-negara Ahli Kitab seperti ayam dan lembu adalah halal untuk kita makan sekalipun ada kemungkinan bahawa ia telah disembelih dengan menggunakan kejutan elektrik atau apa-apa yang seumpama. Asalkan sahaja mereka kaum Ahli Kitab berpendapat bahawa kaedah ini adalah halal menurut syari’at agama mereka maka ia juga adalah halal untuk kita. Inilah sebenarnya maksud tujuan surah al-Maidah yang telah menghalalkan sembelihan mereka.
Penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi di atas bermaksud bahawa kita telah pun dihalalkan untuk memakan sembelihan kaum Ahli Kitab apabila mereka menyembelih binatang-binatang mereka menurut ketentuan syari’at mereka. Apa sahaja yang dipandang halal oleh mereka dari sudut kaedah sembelihan, maka ia juga adalah halal bagi mereka. Ini adalah kerana kita dihalalkan untuk menerima sembelihan mereka tanpa dibebani dengan syarat penyelidikan ke atas cara-cara sembelihan mereka.
Tambahan lagi apabila Islam mensyari’atkan kebolehan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab, telah sedia diketahui bahawa kaum Ahli Kitab ini melakukan berbagai-bagai perubahan dalam syari’at-syari’at agama mereka. Maka tidaklah menjadi satu keasingan jikalau mereka masa kini juga melakukan perubahan-perubahan yang seumpama dan akan terus melakukannya pada masa-masa akan datang. Justeru perubahan kaedah sembelihan adalah sesuatu yang sudah sedia dijangkakan sejak dari awal lagi dan ia tidak menjadi penghalang pada masa lalu, maka dengan itu ia juga tidak sepatutnya menjadi faktor penghalang pada masa kini.
Walaubagaimana pun kebanyakan pusat-pusat penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini masih menggunakan teknik sembelihan dengan pisau tajam di leher binatang tersebut. Teknik ini masih menjadi pilihan mereka kerana daging yang disembelih sebegini lebih baik mutu dan kualitinya daripada daging yang ‘dikejut’ dengan sambaran elektrik. Lebih dari itu sembelihan dengan kaedah potongan di leher juga menjadi pengesyoran pakar-pakar kesihatan kerana darah yang memancut-mancut keluar dari leher binatang yang disembelih itu dipersetujui sebagai bermanfaat dari sudut kesihatan manusia.
وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَّهُمْ
dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka.
Dan binatang sembelihan kita pun halal untuk mereka. Oleh itu, ayat ini memberitahu kita yang kita boleh makan elok-elok dengan mereka walaupun agama tidak sama.
Ini bukanlah hukum untuk mereka, kerana mereka bukan kisah pun dengan hukum agama Islam, bukan? Namun ini adalah hukum kepada kita – kita boleh berkongsi makanan kita dengan mereka, tidak ada halangan. Maka tidaklah berdosa kalau kita berkongsi makanan dengan mereka.
seterusnya
وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الْمُؤْمِنٰتِ
(Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman
Dan ini adalah satu hukum yang menjadi persoalan juga dalam kalangan orang kita, iaitu boleh menikahi wanita daripada golongan Ahli Kitab. Seeloknya kita menikah dengan wanita-wanita Muslim yang baik budi pekerti dan agama mereka. Akan tetapi hukum ini masih lagi terpakai kerana ayat ini tidaklah dimansukhkan.
seterusnya
وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ
dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu,
Perempuan mereka yang menjaga maruah daripada ahli kitab pun halal untuk kamu kahwini mereka. Walaupun ada yang kata ayat ini tidak digunapakai lagi, namun Allah ﷻ sudah halalkan.
Tidaklah kita menggalakkan pula. Memang mungkin ada masalah kalau kahwin dengan mereka. Kena nilai sendiri apakah ia baik untuk kita. Sebagaimana makan makanan yang halal juga, ada yang tidak sesuai untuk kita kerana tidak sesuai dengan kesihatan kita.
Kalau berkahwin dengan mereka kenalah mereka hidup dalam suasana Islam. Kalau kita tidak dapat kawal mereka, maka tidaklah sesuai untuk berkahwin dengan mereka. Lelaki yang sepatutnya menjadi ketua dalam keluarga. Jangan kita pula terikut-ikut dengan fahaman mereka.
Oleh kerana itu, hanya lelaki Muslim sahaja yang boleh berkahwin dengan wanita ahli kitab. Wanita Muslim tidak boleh berkahwin dengan lelaki ahli kitab – kerana wanita selalunya terikut dengan agama suaminya.
Dan kita kena ingat yang Ahli Kitab itu mestilah yang berasal daripada bangsa Bani Israel. Maka boleh nikahi mereka yang berbangsa seperti orang Eropah itu. Bukannya orang Cina atau India yang beragama Kristian pula kerana Ahli Kitab itu hanya dalam kalangan Bangsa Bani Israel sahaja.
seterusnya
إِذَا ءآتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
bila kamu telah membayar mas kawin mereka
Sama ada perempuan itu Muslim atau daripada ahli kitab, mereka itu halal bagi kita apabila telah diberi mahar kepada mereka.
seterusnya
مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسٰفِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ
dengan maksud menikahinya dengan jaga maruah, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.
Perkahwinan itu mestilah untuk menjaga maruah. Bukan untuk penzinaan atau menjadikan perempuan itu sebagai perempuan simpanan. Islam menjaga baik maruah wanita dan tidak menjadikan mereka sebagai perempuan murahan yang digunakan sebagai kegunaan seks sahaja, sebagai memuaskan hawa nafsu sahaja.
Apabila mereka dikahwini, mereka mempunyai hak juga yang mesti dipenuhi. Kalau mereka itu dijadikan sebagai perempuan simpanan, sebagai tempat penzinaan sahaja, tentulah mereka tidak ada hak seperti yang sepatutnya.
seterusnya
وَمَن يَكْفُرْ بِالْإِيمٰنِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ
Barangsiapa yang kufur untuk beriman, maka hapuslah amalannya
Kufur dalam ayat ini bermaksud melakukan syirik amali. Jika berbuat syirik amali ini, gugur segala amalan baik yang pernah mereka lakukan. Tidak kisahlah kalau mereka ada membuat amalan kebaikan dahulu, tetapi kalau mereka membuat syirik amali sahaja, segala pahala amal kebaikan mereka itu akan musnah dan hilang begitu sahaja.
Ayat ini tentang hukum halal dan haram. Kalau tidak menjaga halal dan haram, maka kufurlah orang itu, tidak ada bezanya dengan orang yang tidak mengaku Islam pun. Berapa ramai yang meringankan sahaja perkara ini. Mereka ikut suka kehendak hati mereka berbuat apa sahaja tanpa menghiraukan hukum Allah ﷻ.
seterusnya
وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخٰسِرِينَ
dan ia di hari kiamat termasuk orang-orang merugi.
Mereka rugi kerana mereka ada peluang untuk menjalani kehidupan yang baik di dunia dengan syarat taat kepada hukum Allah ﷻ, tetapi mereka telah melepaskan peluang itu begitu sahaja.
Sekian Ruku’ 1 dari 16 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 Januari 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir
