3. Yang telah berlalu, biarkan berlalu. Tidak perlu dikenang lagi. Tidak perlu hendak diulang-tayang di dalam kepala kemudian bersedih-sedih duduk termenung. Itu adalah suatu pekerjaan yang bodoh.
Bukannya tidak boleh dikenang langsung tetapi jangan berterusan. Sekali sahaja tidak mengapa kerana kita perlu ambil pengajaran daripada pengalaman lepas. Ini adalah seperti analogi kita memandu kereta juga. Sekali sekala kita perlu memandang ke belakang menggunakan ‘rearview mirror’, bukan? Namun sekali sahaja sahaja lah sebab sepatutnya kita kena banyak pandang ke hadapan. Kalau asyik pandang ke belakang, kemalanganlah jawabnya.
Buat apa dikenang perkara yang tidak boleh diubah? Kalau kita fikir dan memikirkan hal yang lepas itu boleh mengubahnya, maka silakan fikir dan ingatkan banyak-banyak lagi. Tetapi tidak, bukan? Maka buat apa kenangkan? Mengapa timbulkan kesedihan di dalam benak fikiran kita?
Homework: setiap kali anda terkenang perkara lalu yang menyedihkan anda, sapu dahi anda cepat-cepat seolah-olah anda membuang ANTs daripada dahi anda. ANT adalah ‘Automatic Negative Thoughts’ (Pemikiran Negatif Automatik) yang datang tanpa diundang. Anda boleh nyahkan pemikiran negatif itu dengan buat pergerakan membuangnya daripada fikiran anda.
Kesedihan tidak akan dapat mengembalikan hal itu kembali. Nasi sudah menjadi bubur; bayi tidak akan dapat masuk ke perut ibunya semula, air sungai tidak dapat diubah arahnya, air mata tidak akan dapat masuk kembali ke dalam mata.
Apabila Allah ﷻ menceritakan umat-umat terdahulu, Allah ﷻ sebut seperti di dalam Baqarah:134
تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم مّا كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.
Maknanya itu adalah urusan dan nasib orang yang sebelum kita. Bukannya ada kena mengena dengan kita. Yang penting adalah hal kita ini yang mesti menuju ke hadapan. Yang dulu, biarkan duduk di hulu.
Mengingat masa lalu, berinteraksi dengannya, dan menghadirkan ia kembali, serta merasa sedih atas tragedi-tragedinya adalah satu kebodohan dan kegilaan. Ia membunuh tekad dan mensia-siakan kehidupan masa kini.
Di sisi orang-orang yang berakal, fail masa lalu itu dilipat dan tidak akan diceritakan (diungkit) lagi. Ia dikunci buat selama-lamanya di dalam sel penjara kelupaan, diikat dengan tali yang kuat dalam penjara pengabaian, maka ia tidak akan keluar selama-lamanya, dan ia ditutup rapat sehingga tidak akan melihat cahaya (lagi); kerana ia telah berlalu dan berakhir.
Kesedihan tidak akan mengembalikannya, kerisauan tidak akan memperbaikinya, dan kedukaan tidak akan menghidupkannya kembali; kerana ia sudah menjadi tiada (kosong).
Janganlah kamu hidup dalam igauan buruk masa lalu dan di bawah payung perkara yang telah terlepas. Selamatkan dirimu daripada hantu masa lalu. Adakah kamu mahu mengembalikan aliran sungai ke punca asalnya, matahari ke tempat terbitnya, bayi ke dalam perut ibunya, susu ke dalam payudara, dan air mata ke dalam mata semula?
Sesungguhnya interaksimu dengan masa lalu, kegelisahanmu terhadapnya, keterbakaranmu dengan apinya, dan perbuatanmu yang merebah diri di ambang pintunya adalah suatu keadaan tragis yang dahsyat, menakutkan, dan menggerunkan.
Allah menyebutkan tentang umat-umat terdahulu dan apa yang telah mereka lakukan, kemudian Dia berfirman: “Itu adalah umat yang telah lalu.” [Baqarah:134] Perkara itu telah berakhir dan selesai. Tiada gunanya membedah mayat waktu dan cuba memutar kembali roda sejarah.
Sesiapa yang kembali ke masa lalu adalah umpama orang yang mengisar tepung yang sememangnya sudah menjadi tepung, dan umpama orang yang menggergaji habuk kayu.
Pernah diceritakan melalui kiasan lidah haiwan bahawa mereka bertanya kepada keldai: “Mengapa kamu tidak memamah biak (mengunyah semula makanan)?” Keldai menjawab: “Aku benci berdusta (berpura-pura makan apa yang sudah tiada).”
Sesungguhnya musibah kita adalah kita lemah dalam mengurus masa kini tetapi sibuk dengan masa lalu. Kita abaikan istana kita yang indah, lalu meratapi runtuhan lama yang telah usang. Sekiranya manusia dan jin bersatu untuk mengembalikan apa yang telah berlalu, nescaya mereka tidak akan mampu; kerana itu adalah suatu perkara yang mustahil.
Sesungguhnya manusia (yang berjaya) tidak akan menoleh ke belakang; kerana angin bertiup ke arah hadapan, air mengalir ke arah hadapan, dan kafilah berjalan menuju ke hadapan. Maka, janganlah kamu menyalahi sunnatullah (hukum alam) dalam kehidupan ini.
2. Kenanglah banyak nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Dapat bangun tidur, melihat, bercakap, berjalan dan segala-galanya ini adalah nikmat yang teramatlah banyak.
Maknanya sudah banyak yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Namun kadangkala kita hanya ingat masalah dan perkara yang Allah ﷻ telah tarik sahaja. Sedangkan Dia mungkin tarik satu sahaja, akan tetapi sudah berjuta nikmat Dia telah berikan kepada kita. Allah ﷻ berfirman di dalam Ibrahim:34
وَإِن تَعُدّوا نِعمَتَ اللهِ لا تُحصوها Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya.
Memang kita tidak akan dapat menghitung kesemuanya, tetapi hitunglah setakat yang kita mampu. Kajian menunjukkan sekiranya kita menghitung segala nikmat (count our blessings), hasilnya ia akan menggembirakan kita. Kerana barulah kita sedar, ‘Oh banyak juga benda-benda aku sudah ada, jadi kenapa nak fokuskan sangat kepada masalah yang sedikit ini?’ Allah ﷻ ulang 31 kali di dalam Surah ar-Rahman:
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu berdua, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?
Namun begitulah masalahnya dengan manusia, asyik pandang masalah sahaja. Sedangkan kalaulah dia bandingkan masalah yang sedang dialaminya itu dengan masalah orang lain, tentu dia akan malu tersipu-sipu sendiri yang masalah dia itu kecil molek sahaja. Dalam dia tidak dapat makan, ada orang lain tidak ada makanan; kalau dia tidak ada kasut, orang lain tidak ada kaki! Memang begitulah kalau hendak menghargai nikmat yang Allah ﷻ berikan, kena pandai melihat kepada orang yang lebih teruk diuji daripada kita. Waktu tu memang kita akan berasa sangat beruntung! Kalau nak lagi mantap perasaan ini, melawat lah ke hospital maka anda akan dapati ramainya orang yang sakit.
Homework: bermula esok, buka mata saja terus fikirkan tiga perkara yang anda bersyukur. Tidak kiralah betapa kecil pun nikmat itu kerana ia adalah tetap nikmat. Akan tetapi manusia sering mengejar-ngejar nikmat yang sukar didapati seperti duit berjuta, sedangkan mereka lupa ada nikmat yang lebih hebat yang telah ada pada mereka. Sebagai contoh, nikmat mata. Sanggupkah anda menukar mata anda itu dengan sebuah istana? Tentu tidak, bukan? Sedarlah bahawa pada fizikal diri kita ini sendiri sudah ada terlalu banyak nikmat yang boleh disyukuri. Allah ﷻ berfirman di dalam Dzariyat:21
وَفي أَنفُسِكُم ۚ أَفَلا تُبصِرونَ dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
Ingatlah nikmat Allah ke atasmu, maka sesungguhnya ia menyelubungi dari atasmu dan dari bawah tapak kakimu. “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya.” Ibrahim:34
(Nikmat itu berupa) kesihatan pada badan, keamanan di tanah air, makanan dan pakaian, udara dan air. Dunia berada di tanganmu sedangkan engkau tidak merasakannya; engkau memiliki kehidupan sedangkan engkau tidak menyedarinya. “Dan (Allah) telah menyempurnakan buatmu nikmat-Nya yang zahir dan yang batin.” Luqman:20
Engkau mempunyai dua mata, lidah dan dua bibir, serta dua tangan dan dua kaki. “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” Rahman:13 (diulang sebagai 31 kali)
Adakah perkara mudah untuk engkau berjalan dengan kedua-dua kaki, sedangkan banyak kaki telah kudung? Dan (adakah remeh) untuk engkau bertumpu pada kedua betis, sedangkan banyak betis telah terputus? Adakah kecil nilainya untuk engkau tidur nyenyak sepuas mata, sedangkan kesakitan telah menghilangkan tidur ramai orang?
Dan untuk engkau memenuhi perutmu dengan makanan yang enak, serta meneguk air yang sejuk, sedangkan di sana ada orang yang makanannya terganggu dan minumannya terhalang disebabkan pelbagai penyakit dan kesakitan?
Lihatlah kulitmu yang telah terselamat daripada penyakit sopak dan kusta. Perhatikanlah akalmu yang telah dikurniakan nikmat kewarasannya, dan engkau tidak diuji dengan gila atau hilang ingatan.
Adakah engkau mahu menukar penglihatanmu sahaja dengan emas seberat Gunung Uhud? Adakah engkau suka menjual pendengaranmu dengan perak seberat Gunung Thahlan? Adakah engkau mahu membeli istana az-Zahra dengan lidahmu lalu engkau menjadi bisu? Adakah engkau mahu menukar kedua-dua tanganmu dengan kalung mutiara dan delima lalu engkau menjadi kudung?
Engkau hidup dalam kebimbangan, kegundahan, kesedihan, dan kemurungan, padahal engkau memiliki roti yang hangat, air yang sejuk, tidur yang tenang, dan kesihatan yang sempurna.
Fikirkanlah tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, pekerjaanmu, kesihatanmu, rakan-rakanmu, dan dunia di sekelilingmu. “Mereka menyedari akan nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya.”
In sya Allah saya akan memulakan siri syarah ringkas bagi karya agung Dr. ‘Aidh al-Qarni, La Tahzan (Jangan Bersedih). Ia adalah karya moden dengan cetakan pertamanya pada tahun 2001.
Buku ini merupakan hasil kajian yang bersungguh-sungguh oleh penulis, yang cuba menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan manusia. Permasalahan yang seringkali timbul mengakibatkan keraguan, kegelisahan, dukacita, penderitaan, hilang harapan, kekecewaan dan berbagai-bagai lagi. Ternyata permasalahan sebegini sedikit sebanyak mengganggu kehidupan kita semua dan perasaan sedih sudah pasti tidak dapat dielakkan.
Buku ini senang sahaja didapati jadi saya bukan menulis semula apa yang telah ada di dalamnya. Itu anda boleh baca sendiri. Namun di sini saya hanya meringkaskan tulisan penulis asal dengan memasukkan kupasan daripada saya sendiri. Semoga ia bermanfaat dan dapat membantu kita semua untuk menghilangkan kesedihan yang melanda diri kita.
1. Ya Allah!
Ya Allah! Ingatlah yang kita ini ada Allah ﷻ, Tuhan kita. Dia yang ada segala-galanya. Dia yang Maha Berkuasa, yang menentukan takdir, yang menguasai fizikal dan juga mental kita. Dia boleh menjadikan apa-apa sahaja. Maka ingatlah yang kita sebenarnya adalah tempat mengadu, ada tempat bergantung.
Maka jikalau hati gundah gulana, masalah kunjung bertimpa-timpa, maka waktu itu hadapkanlah wajah dan pengharapan kita kepada Allah ﷻ. Waktu itu sedarlah yang tidak ada yang dapat menyelesaikan masalah kita, melainkan Dia sahaja! Waktu itu lemahkan diri dan akal kita, jangan hendak bersikap bijak lagi tetapi serahkan diri kita sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Let Go and Let God! Memang Allah ﷻ tempat meminta seperti firman-Nya di dalam Rahman:29
يَسئلُهُ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ كُلَّ يَومٍ هُوَ في شَأنٍ Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepada-Nya. Tiap-tiap masa Dia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya)!
Mungkin selama ini kita selalu sahaja bergantung dengan manusia, namun sudah tiba masanya kita bergantung dengan Allah ﷻ. Sekiranya bergantung dengan makhluk, mereka pun bukan boleh berbuat apa-apa pun tanpa keizinan Allah ﷻ, maka sebaiknya kita terus bergantung kepada Allah ﷻ. Kerapkanlah menyebut di mulut dan hati dengan kalimah “Ya Allah!” Bantulah aku… hilangkan masalah aku, kasihanilah aku”…
Dengan doa ini juga akan menautkan hati kita dengan Allah ﷻ. Ia juga adalah zikir sebenarnya. Doa adalah tips untuk sentiasa berzikir. Ini kerana pada setiap masa hati kita memang berkata-kata pun, maka sebaiknya kita jadikan kata-kata ‘internal talk’ hati kita itu dengan doa. “Ya Allah aku nak cari makan yang sedap ni.. ya Allah nak naik kenderaan ini, bantulah aku dapat parking nanti, ya Allah aku nak mula bekerja ni, mudahkan kerja aku, ya Allah aku hendak menulis ni, berikanlah idea-idea bernas….”
Dengan sentiasa menautkan hati kita dengan Allah ﷻ, hati kita akan tenang. Inilah janji Allah ﷻ seperti firman-Nya di dalam Ra’d:28
الَّذينَ ءآمَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ (iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
YA ALLAH “Hanya kepada-Nyalah memohon seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi. Setiap hari Dia dalam kesibukan (menunaikan hajat makhluk-Nya).” (Rahman:29).
Apabila laut bergelora, ombak memuncak, dan angin bertiup kencang, maka para penumpang kapal akan berseru: “Ya Allah!”
Apabila sang penunjuk jalan tersesat di padang pasir, rombongan menyimpang dari laluan, dan kafilah kebingungan dalam perjalanan, mereka akan berseru: “Ya Allah!”
Apabila pintu-pintu tertutup rapat di hadapan mereka yang berharap, dan tirai-tirai dilabuhkan di hadapan wajah para peminta, mereka akan menjerit: “Ya Allah!”
Apabila segala helah telah gagal, segala jalan terasa sempit, segala harapan terputus, dan segala tali pergantungan terlerai, mereka akan berseru: “Ya Allah!”
Sesungguhnya aku mengingati-Mu saat bencana datang menerjang dengan rupa yang menakutkan… Gelap gelita, dan wajah zaman (masa depan) terasa berdebu lagi suram.
Maka aku berseru di waktu sahur dengan memanggil nama-Mu dengan suara yang kuat… Maka tiba-tiba wajah setiap fajar (hari baru) pun tersenyum (menjadi terang).
Kepada-Nyalah tangan-tangan terbentang di waktu sahur, tangan-tangan menengadah dalam hajat (kebutuhan), mata-mata menatap dalam kesulitan, dan pertanyaan-pertanyaan diajukan dalam setiap kejadian.
Dengan nama-Nya, lisan bersenandung, memohon pertolongan, menyebut-nyebut, dan memanggil. Dengan mengingat-Nya, hati menjadi tenang, jiwa menjadi tenteram, perasaan menjadi damai, saraf-saraf menjadi rileks, kesadaran kembali, dan keyakinan menjadi kokoh. “Allah Maha Lembut terhadap hamba-hamba-Nya.”
Allah: Nama yang terbaik, huruf yang terindah, ungkapan yang paling jujur, dan kata yang paling berharga. “Apakah kamu mengetahui ada seseorang yang sama dengan-Nya (yang patut disembah)?”
Allah: Maka (milik-Nyalah) kekayaan dan keabadian, kekuatan dan pertolongan, kemuliaan, kekuasaan, serta hikmah. “Milik siapakah kerajaan pada hari ini? Milik Allah Yang Maha Esa lagi Maha Mengalahkan.”
Allah: Maka (dari-Nyalah) kelembutan dan perhatian, bantuan dan pertolongan, kasih sayang dan kebaikan. “Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya).”
Wahai Tuhan, campakkanlah rasa mengantuk sebagai tanda keamanan daripada-Mu ke atas mata-mata yang terjaga (tidak dapat tidur), dan ketenangan ke atas jiwa-jiwa yang gelisah, serta kurniakanlah kepadanya kemenangan yang dekat.
Wahai Tuhan, tunjukilah cahaya-Mu kepada hati yang bingung, bimbinglah mereka yang tersesat jalan ke jalan-Mu (yang lurus), dan mereka yang terpesong daripada jalan yang benar kepada hidayah-Mu.
Ya Allah, Hilangkanlah was-was dengan fajar cahaya-Mu yang benar, hapuskanlah kebatilan dalam jiwa dengan tentera kebenaran, dan tolaklah tipu daya syaitan dengan bantuan tentera-tentera pertolongan-Mu yang datang bertanda.
Kami berlindung dengan-Mu, Daripada rasa takut kecuali kepada-Mu, daripada bersandar kecuali kepada-Mu, daripada bertawakal kecuali kepada-Mu, daripada meminta kecuali daripada-Mu, dan daripada memohon pertolongan kecuali dengan-Mu. Engkaulah Pelindung kami, sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.