Syarah Hadis #32 (Hadis 40 Imam Nawawi).

Hadis 32: Jangan bahayakan diri dan orang lain

عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ سَعْدِ بْنِ مَالِكِ بْنِ سِنَانٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ ﷺقَالَ: لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Dari Abu Sa’id Sa’ad bin Malik bin Sinan Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak boleh memberikan mudarat tanpa disengaja atau pun disengaja.”

حَدِيْثٌ حَسَنٌ. رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ وَالدَّارَقُطْنِيُّ وَغَيْرُهُمَا مُسْنَدًا، وَرَوَاهُ مَالِكٌ فِي المُوَطَّأِ مُرْسَلاً عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى عَنْ أَبِيْهِ عَنِ النَّبِيِّ ﷺفَأَسْقَطَ أَبَا سَعِيْدٍ، وَلَهُ طُرُقٌ يُقَوِّي بَعْضُهَا بَعْضًا

(Hadis hasan, HR. Ibnu Majah, no. 2340; Ad-Daraquthni no. 4540, dan selain keduanya dengan sanadnya, serta diriwayatkan pula oleh Malik dalam Al-Muwaththa’ no. 31 secara mursal dari Amr bin Yahya dari ayahnya dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam tanpa menyebutkan Abu Sa’id, tetapi ia memiliki banyak jalan periwayatan yang saling menguatkan satu sama lain)

[Hadits ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 250]


 

Rujukan dan Kedudukan Hadis

Sumber: Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah (2341), al-Daraqutni (4/228), dan al-Imam Malik dalam al-Muwatta’ secara Mursal (tidak sampai ke sahabat).

Status: Walaupun terdapat kelemahan pada sesetengah sanad secara individu, Imam al-Nawawi dan Ibnu al-Salah menegaskan bahawa hadis ini adalah Hasan kerana jalurnya yang banyak saling menguatkan antara satu sama lain.

Di dalam hadis lain ada tambahan kepada hadis ini:

مَنْ ضَارَّ ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ
“Sesiapa yang memberi kemudaratan (kepada orang lain), maka Allah akan memberi kemudaratan kepadanya. Dan sesiapa yang menyusah-nyusahkan (orang lain), maka Allah akan menyusah-nyusahkannya.”

(Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud no. 3635, al-Tirmidzi no. 1940, dan Ibnu Majah no. 2342. Al-Hafiz Ibnu Hajar dan Imam al-Albani menilaikannya sebagai Hasan).


 

Kepentingan: Abu Daud berkata hadis ini adalah salah satu daripada 4 hadis yang menjadi tunjang agama. Ia merangkum seluruh prinsip keadilan dan perlindungan hak dalam Islam. Selain dari hadis ini, 3 hadis yang lain adalah,

1. Hadis Niat (Asas Keikhlasan)

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”

(Sahih Bukhari & Muslim)

Sebab ia Tunjang: Hadis ini mengawal aspek batin manusia. Ia mengajar kita bahawa nilai sesuatu perbuatan (sama ada ibadah atau kehidupan) ditentukan oleh tujuan hati. Tanpa niat yang betul, amalan zahir yang hebat sekalipun tidak bernilai di sisi Allah.

2. Hadis Meninggalkan Perkara Sia-sia (Asas Zuhud & Masa)

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ
“Antara tanda kesempurnaan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berkaitan dengannya (sia-sia).”

(Jami’ Tirmidzi)

Sebab ia Tunjang: Hadis ini adalah manual pengurusan hidup. Ia mengajar kita untuk fokus kepada perkara yang memberi manfaat bagi akhirat dan dunia yang berkualiti. Ia merupakan intipati sifat Zuhud—iaitu tidak menyibukkan diri dengan remeh-temeh duniawi yang tidak mendekatkan diri kepada Allah.

Aplikasi: Menghindari gosip, perbalahan media sosial, atau urusan yang bukan bidang kuasa kita.

3. Hadis Menyayangi Saudara (Asas Akhlak & Kasih Sayang)

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu sehinggalah dia menyayangi saudaranya sebagaimana dia menyayangi dirinya sendiri.”

(Sahih Bukhari & Muslim)

Sebab ia Tunjang: Hadis ini adalah kemuncak kepada akhlak jemaah. Ia menghapuskan sifat hasad dengki dan mementingkan diri sendiri (Ananiyyah). Ia mengajar kita sentiasa mahukan kebaikan untuk orang lain sebagaimana kita mahukan kejayaan untuk diri kita.


 

Mengenali Perawi

Abu Sa’id Al-Khudri R.A nama sebenarnya Sa’ad Bin Sinan. Sesetengah kitab menyebut Sa’ad Bin Malik Bin Sinan Bersih Sa’ad Bin Sinan Abi Sa’id Al-Khudri Abu Sa’id Al-Khudri. Dalam kalangan para sahabat Nabi yang meriwayatkan hadis, beliau adalah yang ketujuh. Dalam tradisi ilmu hadis, kumpulan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dikenali sebagai Al-Mukthirun fi al-Hadith (Mereka yang membanyakkan riwayat). Berikut adalah senarai 7 sahabat utama yang menghafal dan meriwayatkan hadis paling banyak, disusun mengikut urutan jumlah riwayat mereka:

1. Abu Hurairah R.A (5,374 Hadis). Beliau adalah “Gedung Hadis” yang paling utama. Sebab Banyak: Beliau mendedikasikan seluruh masanya bersama Nabi s.a.w (Mulazamah) dan tidak sibuk dengan urusan perniagaan di pasar atau bercocok tanam. Beliau juga mendapat doa khusus daripada Nabi s.a.w supaya tidak lupa apa yang dihafalnya. Beliau sanggup menahan lapar (pernah pengsan kerana lapar) semata-mata untuk duduk di Suffah masjid demi mendengar kalam Nabi.

2. Abdullah bin Umar R.A (2,630 Hadis) atau dikenali sebagai Ibnu Umar. Anak kepada Saidina Umar al-Khattab. Sebab Banyak: Beliau sangat teliti dalam meniru setiap perbuatan Nabi s.a.w (Ittiba’). Beliau hidup lama selepas kewafatan Nabi, membolehkan beliau mengajar ramai orang. Beliau terkenal sangat menjauhi jawatan politik (Zuhud terhadap kuasa) untuk fokus pada ilmu.

3. Anas bin Malik R.A (2,286 Hadis). Pembantu peribadi Rasulullah s.a.w selama 10 tahun. Sebab Banyak: Kedudukan beliau sebagai khadam Nabi membolehkan beliau melihat perbuatan Nabi di dalam rumah yang tidak dilihat oleh orang lain.

4. Ummul Mukminin Aisyah R.A (2,210 Hadis). Isteri tercinta Rasulullah s.a.w. Sebab Banyak: Beliau mempunyai kecerdasan (IQ) yang luar biasa dan merupakan rujukan utama para sahabat dalam hal ehwal wanita dan urusan rumah tangga Nabi. Beliau adalah satu-satunya wanita dalam senarai ini.

5. Abdullah bin Abbas R.A (1,660 Hadis). Sepupu Nabi yang digelar Turjuman al-Quran (Jurubahas Al-Quran). Sebab Banyak: Beliau mendapat doa Nabi: “Ya Allah, faqihkanlah dia dalam agama dan ajarkanlah dia takwil.” Beliau sangat gigih mencari hadis daripada sahabat-sahabat senior selepas Nabi wafat.

6. Jabir bin Abdullah R.A (1,540 Hadis). Seorang sahabat dari golongan Ansar. Sebab Banyak: Beliau sangat tekun mengumpul hadis dan pernah mengembara selama sebulan ke Syam semata-mata untuk mendapatkan satu hadis daripada Abdullah bin Unais.

7. Abu Sa’id al-Khudri R.A (1,170 Hadis). Antara sahabat yang terawal dalam kalangan pemuda Ansar yang menuntut ilmu. Sebab Banyak: Beliau merupakan antara ahli Ashab al-Suffah yang fokus kepada ibadah dan ilmu.

Semua mereka ini meriwayatkan lebih dari seribu hadis Nabi. Para sahabat lain pun ada juga riwayatkan hadis tapi semua mereka meriwayatkan bawah daripada seribu hadith. Mungkin ada yang bertanya: kenapa Abu Hurairah lima ribu sahaja sedangkan ada disebut Imam Bukhari hafal 300 ribu hadis?Takkanlah Abu Hurairah lagi sikit daripada Imam Abu Bukhari? Bukan itu sahaja, Imam Ahmad pula dikatakan menghafal sejuta hadis? Jawapan dia, pertama sekali yang Imam Bukhari hafal beratus ribu hadith itu termasuk hadis sahih dengan yang tak sahih. Dikatakan beliau menghafal 100 ribu hadis sahih dan 200 ribu hadis tidak sahih termasuk hadis palsu. Yang kedua, kadang-kadang satu hadith yang sama, ada banyak jalan riwayatnya. Setiap satu jalur riwayat dikira sebagai satu hadis. Kadang-kadang satu hadith ada sampai 30 jalan riwayat. Jadi kalau kita katakan satu hadis ada 30 jalan riwayat contohnya, ini bermakna dari 5 ribu hadis sebenarnya sudah menjadi 150 ribu hadis.

Tapi kalau Imam Bukhari hafal 100 ribu hadis sahih, kenapa beliau masukkan 7 ribu hadis sahaja? Malah kalau ditolak pengulangan hadis, bilangan hadis di dalam Sahih Bukhari hanya 2,602 Hadis sahaja. Ini kerana Imam Bukhari telah tapis semua hadis-hadis yang di tangan beliau. Bilangan hadis yang paling sahih ada lebih kurang 20 ribu hadis. Tapi beliau tidak catatkan kesemua hadis itu, cuma lebih sedikit dari 7 ribu hadis sahaja. Ini adalah kerana Imam Bukhari takut nanti orang bosan membaca.

Ada di kalangan sahabat ini, banyak riwayatnya. Ada di kalangan sahabat lain, kurang riwayatnya. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak banyak riwayat daripada Abu Bakr Siddiq r.a. Sedangkan Abu Bakar merupakan sahabat yang paling besar. Sebabnya kerana Abu Bakr, beliau meninggal awal. Ketika zaman beliau menjadi khalifah, sahabat-sahabat lain ramai. Dan mereka semua ini masih lagi menguasai hadith dan faham agama dengan baik. Lagi lama seseorang sahabat itu hidup, biasanya lagi banyaklah dia kena riwayatkan, kerana orang yang datang kemudian, mereka tak jumpa dengan Nabi SAW. Jadi, mereka kena tanya orang yang jumpa Nabi SAW, kerana itu mereka akan tanya sahabat. Kerana itulah ada banyak hadis keluar dari pertanyaan golongan selepas sahabat itu.

An-Anas bin Malik banyak meriwayatkan kerana beliau duduk dengan Nabi dari kecil lagi. Dia menjadi khadam kepada Nabi. Oleh kerana beliau duduk tinggal satu rumah dengan Nabi SAW, maka banyak perkara orang boleh tanya kepada Anas. Dan umur beliau pun panjang, antara yang mati lewat. Maka orang tanya, bila dia akan kata, sekian-sekian. Jadi, orang yang dengar daripada Anas, anak-anak murid Anas, seperti Sabil Al-Bunani contohnya, apabila dia dengar daripada Anas, dia akan kata: Anas telah menceritakan padaku.

Dia tak boleh kata, Rasulullah buat sesuatu, kerana dia sendiri tidak tengok Nabi. Kerana itu penting di dalam periwayatan itu, seseorang yang meriwayatkan secara langsung daripada Nabi SAW, dia itu kena dipastikan memang dia itu seorang sahabat Nabi. Kalau macam Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan sahabat besar seumpamanya, senanglah. Dan ada ramai sahabat-sahabat yang Nabi sebut nama mereka. Tapi sahabat Nabi ini ramai dan ada di kalangan mereka yang jumpa Nabi sekali sahaja. Dan ada di kalangan mereka yang hanya tengok Nabi daripada jauh sahaja. Maka ramai yang tak bercakap secara dekat pun dengan Nabi. Ini seperti mereka yang hanya pernah tengok pernah semasa mereka hadir semasa Hajjah Wada’ yang terakhir. Ketika itu ramai sahabat sampai 100 ribu lebih.

Mereka ini semuanya dikira sebagai sahabat, kerana syarat untuk layak jadi sahabat itu, mesti sesiapa yang jumpa Nabi SAW, beriman dengannya dan mati dalam iman. Kalau setakat jumpa sahaja Nabi, Abu Jahal dan Abu Lahab pun ada jumpa. Kalau beriman dengan baginda sahaja, golongan munafik pun ada yang beriman, tapi mereka kufur kemudian. Ada juga yang beriman dengan Nabi, berurusan dengan Nabi, tapi tak jumpa Nabi. Ini seperti An-Najashi, Maharaja Habsyah, yang berutusan surat dengan Nabi, tapi tak pernah jumpa Nabi. Oleh kerana itu dia tidak dikategorikan sebagai sahabat. Pertemuan dengan Nabi itu ada keberkatannya dan ada nilainya. Ada di kalangan mereka yang pernah jumpa Nabi, tapi tak pernah tengok Nabi. Tapi dia dikira sebagai sahabat. Contohnya siapa? Abdullah bin Ummi Maktum, sahabat Nabi yang buta.

Di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah, apabila seseorang itu sahabat, kita kira dia dipercayai. Melainkan kita dapat buktikan dia tersilap dalam riwayatnya. Itu pun kita tak kata dia berdusta. Ini kerana hasil daripada nas, hasil daripada kaji selidik yang terperinci, ulama’ tidak menjumpai bukti yang sahabat telah berdusta menggunakan nama Nabi. Mereka mungkin ada buat silap, tapi berdusta dengan sengaja mereka tak buat. Tapi kalau anak murid sahabat, tak semestinya boleh terus dipakai. Kena diperiksa mereka itu kerana mereka ini tak ada jaminan. Mungkin dia tak berapa kuat ingatannya, mungkin dia silap dan mungkin ada macam-macam sebab.

Itulah beberapa maklumat tentang ilmu hadis yang kita sebagai pelajar kena tahu. Kalau tidak tahu, maka ada kecelaruan dalam pemikiran. Antaranya yang dikeluarkan oleh golongan Orientalis, golongan Anti-Hadis dan golongan jahil yang lain. Hanya kerana mereka tidak ada ilmu tentang hadis dan tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mereka komen pakai andaian mereka sahaja. Sebagai contoh, ramai yang pertikaikan Abu Hurairah. Mereka persoalkan macam mana Abu Hurairah boleh hafal hadis sampai 5 ribu hadis sedangkan dia bersama dengan Nabi selama 3 atau 4 tahun sahaja. Ini hanya kerana mereka nilai ikut kemampuan mereka, sedangkan boleh sahaja menghafal 5 ribu hadis dalam masa 4 tahun.

 

Sambungan tentang Abu Sa’id Al-Khudri

Baiklah. Sebenarnya kita hendak cerita tentang Abu Sa’id Al-Khudri. Beliau adalah antara sahabat yang junior juga. Beliau lahir kira-kira 10 tahun sebelum Hijrah. Beliau membesar dalam suasana Islam sejak kecil (remaja semasa Nabi di Madinah). Beliau adalah sebahagian daripada ahli Suffah (golongan miskin yang tinggal di beranda masjid untuk belajar). Ini menunjukkan tahap Zuhud beliau yang sanggup hidup serba kekurangan demi ilmu.

Beliau ingin menyertai Perang Uhud ketika berusia 13 tahun, tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya kerana masih terlalu muda. Walau bagaimanapun, bapanya (Malik bin Sinan) gugur syahid dalam perang tersebut. Selepas itu, Abu Sa’id menyertai sekurang-kurangnya 12 peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Selepas bapanya syahid, keluarganya hidup sangat susah sehingga mereka terpaksa mengikat perut. Ibunya menyuruhnya pergi meminta bantuan daripada Nabi . Namun, sebelum sempat beliau meminta, beliau terdengar Nabi bersabda: “Sesiapa yang merasa cukup (Isti’faf), maka Allah akan mencukupkannya.” Abu Sa’id terus pulang tanpa meminta apa-apa. Sejak itu, Allah melimpahkan rezeki kepadanya sehingga beliau menjadi antara sahabat Ansar yang paling “berada” tetapi tetap zuhud.

Beliau wafat di Madinah pada tahun 74 Hijriah (ada yang mengatakan 63H atau 64H) dan dimakamkan di Perkuburan Al-Baqi’. Beliau adalah antara sahabat yang paling lama hidup selepas kewafatan Nabi, membolehkan beliau menjadi rujukan kepada generasi Tabi’in.

Kisah bapa beliau pun menarik. Bapa kepada Abu Sa’id al-Khudri ialah Malik bin Sinan al-Khudri R.A. Beliau merupakan seorang sahabat Nabi yang sangat mulia daripada golongan Ansar (suku Khazraj). Nama Penuh: Malik bin Sinan bin ‘Ubaid al-Anshari al-Khazrajy al-Khudri. Nama “Al-Khudri” merujuk kepada Bani Khudrah, salah satu cabang daripada kabilah Khazraj di Madinah.

Malik bin Sinan merupakan salah seorang pejuang yang gugur syahid dalam Perang Uhud. Kisah beliau sangat masyhur dalam sirah kerana kesetiaannya yang luar biasa kepada Rasulullah s.a.w. Dalam Perang Uhud, ketika wajah Rasulullah s.a.w luka teruk akibat serangan musuh dan darah mengalir keluar, Malik bin Sinan telah datang dan membersihkan darah pada wajah Baginda dengan cara menghisapnya (kerana tiada air atau kain pada waktu itu) sehingga bersih. Nabi s.a.w menyuruhnya meluahkan darah tersebut, namun kerana rasa cinta yang mendalam, beliau menelannya. Nabi s.a.w kemudian bersabda:

“Sesiapa yang ingin melihat lelaki yang darahnya bercampur dengan darahku, maka lihatlah kepada Malik bin Sinan.”

Ketokohan Malik bin Sinan sebagai bapa telah membentuk peribadi Abu Sa’id al-Khudri (Sa’ad bin Malik) menjadi salah seorang sahabat yang paling alim dan banyak meriwayatkan hadis (termasuk hadis La Darara wala Dirar yang kita akan bincangkan).

Ketika Perang Uhud berlaku, Abu Sa’id masih remaja (berusia sekitar 13 tahun) dan ingin ikut berperang bersama bapanya, namun ditolak oleh Nabi s.a.w kerana faktor usia. Selepas bapanya syahid, Abu Sa’id memikul tanggungjawab menjaga keluarganya.

Abu Sa’id pernah terlibat dengan Perang Al-Harrah walaupun tidak secara langsung. Kisah Perang Al-Harrah (63 H / 683 M) adalah salah satu tragedi paling hitam dalam sejarah awal Islam selepas zaman Khulafa al-Rasyidin. Ia melibatkan konflik antara penduduk Madinah dengan tentera Yazid bin Mu’awiyah yang diketuai oleh Muslim bin ‘Uqbah. Abu Sa’id al-Khudri R.A., yang ketika itu sudah berusia lanjut, merupakan antara sahabat besar yang menyaksikan sendiri ngerinya peristiwa ini.

Penduduk Madinah, termasuk ramai kalangan Sahabat dan Tabi’in, telah mengisytiharkan keluar daripada ketaatan kepada Yazid bin Mu’awiyah kerana tidak berpuas hati dengan gaya kepimpinannya. Mereka melantik Abdullah bin Hanzalah (anak kepada Ghasil al-Malaikah) sebagai pemimpin di Madinah. Yazid menghantar tentera yang besar dari Syam untuk menundukkan Madinah. Apabila rundingan gagal, pertempuran meletus di kawasan berbatu hitam di luar Madinah yang dipanggil Al-Harrah.

Abu Sa’id tidak menyertai pertempuran secara aktif di barisan hadapan kerana faktor usia, namun beliau berada di Madinah dan mengalami kesan langsung serangan tersebut. Beliau berlindung di Gua seperti kebanyakan orang lain. Apabila tentera Syam berjaya menembusi pertahanan Madinah dan mula melakukan pembantaian (selama 3 hari Madinah), Abu Sa’id al-Khudri melarikan diri dan berlindung di sebuah gua di gunung. Seorang tentera Syam menemui beliau di dalam gua tersebut dan menghunuskan pedang untuk membunuhnya. Abu Sa’id, dengan ketenangan seorang Zahid, tidak melawan. Beliau berkata:

“Jika engkau menghulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan sekalian alam.”

Kata-kata ini adalah nukilan daripada Surah Al-Ma’idah, ayat 28, iaitu kata-kata Habil (anak Nabi Adam) ketika mahu dibunuh oleh Qabil. Beliau memilih untuk menjadi “hamba Allah yang dizalimi” daripada menjadi “pembunuh”. Apabila tentera tersebut akhirnya mengetahui bahawa lelaki tua di depannya itu adalah Abu Sa’id al-Khudri, seorang sahabat Rasulullah s.a.w, dia membatalkan niatnya dan membiarkan beliau hidup. Namun, harta benda dan rumah Abu Sa’id di Madinah tetap dirampas dan dirosakkan oleh tentera lain.

Perang ini sangat menyedihkan kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, Masjid Nabawi dikosongkan. Solat berjemaah tidak dapat didirikan selama tiga hari kerana tentera berkuda Syam menjadikan masjid sebagai kandang kuda. Beratus-ratus Sahabat Nabi dan ribuan Tabi’in (termasuk ramai penghafal Al-Quran) terkorban. Madinah dijarah tanpa belas kasihan. Ia adalah kisah buruk tentang Yazid bin Muawiyah. Dalam banyak-banyak kontroversi tentang beliau, inilah yang paling teruk sebenarnya. Kesalahan yang menyebabkan ramai ahli sunnah mengkritik Yazid. Ataupun mencerca Yazid.


 

Syarah Hadis

Hadis yang kita akan bincangkan ini sangatlah ringkas dan pendek sahaja. Kalimah لاَ ضَرَرَ maksudnya tidak memberi mudarat pada diri sendiri, dan  لاَ ضِرَارَ bermaksud jangan bagi mudarat pada orang lain. Jadi agama ini ada prinsip-prinsip utama dia. Kerana itulah Imam Nawawi membawakan hadis 40 ini. Ianya adalah hadis-hadis utama dalam hukum hakam dan juga hadis asas binaan Islam. Jadi antara hadith yang asas yang kita kena faham sebagai seorang muslim, bahawa Islam ini ialah agama yang tidak memudaratkan diri dan tidak memberi mudarat kepada orang lain.

Konsep jangan memudharatkan ini banyak contoh yang Allah berikan di dalam Al-Qur’an. Antaranya Allah sebut di dalam Baqarah:231

وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ
“…Dan janganlah kamu pegang (rujuk) mereka dengan maksud memberi mudarat untuk kamu melampaui batas. Dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri.”

Ini tentang hukum suami isteri. Di dalam bab hutang piutang pula Allah berfirman di dalam Baqarah: 282

وَلَا يُضَارَّ كَاتِبٌ وَلَا شَهِيدٌ
“…Dan janganlah penulis dan saksi itu saling memudaratkan (dipersulitkan).”

Dan di dalam hal penyusuan anak, disebut di dalam Baqarah:233

لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ
Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya;

Dari hadith ini sebenarnya para ulama’ usul fiqh telah mengeluarkan lima kaedah yang dipanggil Al-Qawa’id Al-Khamsah Al-Kubra. Ada lima kaedah yang besar dalam Islam. Ia menjadi kaedah asas dalam semua perbincangan hukum hakam dalam agama. Al-Qawa’id Al-Khamsah Al-Kubra (Limal Kaedah Fiqh yang Terbesar) merupakan tiang seri dalam perundangan Islam. Lima kaedah ini adalah “kompas” bagi para ulama dan umat Islam untuk membuat keputusan hukum yang adil, logik, dan selari dengan kehendak Allah.

1. Al-Umur bi Maqasidiha الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا (Segala Perkara Mengikut Tujuannya)

Maksud: Setiap perbuatan dinilai berdasarkan Niat pelakunya. Banyak urusan berkaitan dengan niat seperti masalah solat, masalah pahala, masalah cerai dan talak, masalah jual beli dan banyak lagi.

Dalil: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.” (HR. Bukhari). Hadis ini kita telah bincangkan di dalam Hadis #1.

2. Al-Yaqin la Yuzalu bis-Syak اليَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ (Keyakinan Tidak Hilang dengan Keraguan)

Maksud: Sesuatu yang sudah pasti (Yakin) tidak boleh dibatalkan oleh rasa was-was atau ragu-ragu.

Aplikasi: Jika anda sudah berwuduk (Yakin), kemudian ragu-ragu sama ada sudah terbatal atau belum, maka anda masih dianggap berwuduk kerana “Yakin” tidak boleh dikalahkan oleh “Syak”.

Dalil bagi hal ini ada banyak. Antaranya hadis kalau rasa kentut,

إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا، فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لاَ، فَلاَ يَخْرُجَنَّ مِنَ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
“Jika salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, lalu dia ragu-ragu sama ada telah keluar sesuatu (kentut) daripadanya atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid (membatalkan solat) sehinggalah dia mendengar bunyi atau mencium bau.”

(Sahih Muslim, no. 362)

3. Al-Masyaqqah Tajlibut-Taisir المَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ (Kesukaran Membawa Kemudahan)

Maksud: Apabila terdapat kesempitan atau kesukaran dalam melaksanakan hukum, Islam memberikan Rukhsah (keringanan).

Contoh: Orang yang sakit dibenarkan solat duduk. Ini menunjukkan Islam itu tidak membebankan hamba-Nya di luar kemampuan. Contoh lain adalah kalau tidak sihat atau dalam musafir ketika puasa, dibolehkan berbuka dan diganti pada hari yang lain. Menggunakan kaedah inilah Mazhab Syafie kata tidak batal kalau bersentuh lelaki dan perempuan kita tawaf. Kalau di waktu lain akan membatalkan wudu’, bukan?

4. Al-Adah Muhakkamah العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ (Adat Dijadikan Sandaran Hukum)

Maksud: Adat resam atau urf sesuatu masyarakat boleh dijadikan sandaran hukum selagi ia tidak bercanggah dengan nas Al-Qur’an dan Sunnah.

Contoh: Contoh dalam bab Nazar. Katakanlah seseorang kata dia tidak akan makan daging lagi. Apakah yang orang kita faham maksud daging itu? Adakah daging lembu atau semua bentuk daging? Sebab ikan pun dipanggil daging ikan, kemudian ada daging ayam, daging lembu, daging ikan, daging itik. Adakah daging itu difahami dari segi bahasa ataupun difahami dari segi adat? Jadi di sini ulama’ kata, kita kena faham dari segi adat. Orang Melayu kita kalau sebut daging, dia faham daging apa? Tentu yang dimaksudkan adalah daging lembu. Jadi orang yang bernazar itu tidak boleh makan daging lembu sahaja.

5. Ad-Dararu Yuzal الضَّرَرُ يُزَالُ (Kemudaratan Mesti Dihilangkan)

Maksud: Segala perkara yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri, orang lain, atau alam sekitar wajib dihentikan atau dicegah.

Aplikasi: Pengharaman dadah atau larangan memandu secara berbahaya. Dalam konteks harta, ia bermaksud kita tidak boleh menggunakan kekayaan kita untuk menindas orang lain.

Inilah hadis yang kita bincangkan di sini. Ad-Dararu Yuzal bermaksud kemudaratan itu ditolak, dihilangkan, dihapuskan, dikeluarkan. Kaedah ini bermaksud apa saja kemudaratan dari sesuatu perkara yang boleh menyebabkan kemudaratan itu ditolak. Sama ada ditolak sebelum ia berlaku atau sedang berlaku, atau akan datang.

Kalau sebelum berlaku apa dia? Kita tolak mudharat itu awal-awal lagi. Contohnya macam Nabi larang daripada binaan kubur. Kerana hendak elak dari bermewah-mewahan, penyembahan kubur, kurangnya tanah waqaf untuk tanam orang lain pula.

Kalau mudharat itu sedang berlaku, pun hendaklah dibaiki. Contohnya di dalam nikah cerai, ada bab fasakh. Iaitu perceraian dengan cara perintah mahkamah. Contohnya bila sudah kahwin didapati suami dia tak boleh berfungsi sebagai lelaki sejati.  Isteri itu boleh memulakan proses fasakh minta cerai dari suami dia itu. Ini adalah dibenarkan dan ia adalah hak isteri itu. Tak boleh kita suruh isteri itu bersabar, kena terima hakikat suami dia tak boleh puaskan dia. Mana boleh begitu. Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan jimak untuk memuaskan nafsu, yang menjadi keperluan semua orang. Tiba-tiba tak boleh jimak, takkan hendak bersabar sahaja. Maka itu adalah mudharat  yang perlu untuk dibaiki.

Contoh lagi, seseorang beli rumah dan dia tengok ada keburukan, ada aib pada rumah itu. Dia boleh membatalkan aqad tersebut. Tak bolehlah disuruh dia terus tinggal di rumah itu dan bersabar dengan kekurangan yang ada. Sedangkan dia sudah bayar mahal untuk tinggal di rumah itu.

Jadi ini adalah kaedah yang besar dalam Islam. Daripada Ad-Dararu Yuzal ini ulama’ keluarkan cabang-cabang dia lagi. Berikut adalah 5 cabang utama yang paling masyhur:

1. Ad-Dararu la Yuzalu bi Mithlihi الضَّرَرُ لَا يُزَالُ بِمِثْلِهِ (Sesuatu kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang seumpama (setaraf) dengannya)

Contoh: Kalau orang paksa kita bunuh orang lain halalkah kalau kita bunuh orang itu? Dia pun kata: “Kalau tidak, aku bunuh kau”. Apakah ancaman ini menghalalkan kita untuk bunuh orang tersebut? Bolehkah kita gunakan dalil di dalam Baqarah:173?

 فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ
maka sesiapa terpaksa sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka tidaklah dia berdosa

Bolehkah kita guna alasan, kita dipaksa untuk menjaga nyawa kita juga? Jawapannya, tak boleh. Dan kita tidak boleh gunakan alasan ayat Baqarah:173 ini kerana ia tentang makan makanan yang haram. Kalau kita dipaksa makan babi, sebenarnya tak dosa pun kalau orang paksa kita.

Hatta kalau kita dipaksa mengeluarkan ucapan kufur sekali pun, kita tidak terkeluar dari Islam. Contohnya, macam yang pernah terjadi kepada seorang sahabat bernama Ammar bin Yasir. Diriwayatkan daripada jalan Abu Ubaidah bin Muhammad bin Ammar bin Yasir, daripada bapanya, daripada datuknya (Ammar):

أَخَذَ الْمُشْرِكُونَ عَمَّارَ بْنَ يَاسِرٍ فَلَمْ يَتْرُكُوهُ حَتَّى سَبَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَذَكَرَ آلِهَتَهُمْ بِخَيْرٍ حَتَّى تَرَكُوهُ، فَلَمَّا أَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” مَا وَرَاءَكَ؟ ” قَالَ: شَرٌّ يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا تُرِكْتُ حَتَّى نِلْتُ مِنْكَ، وَذَكَرْتُ آلِهَتَهُمْ بِخَيْرٍ، قَالَ: ” كَيْفَ تَجِدُ قَلْبَكَ؟ ” قَالَ: مُطْمَئِنًّا بِالْإِيمَانِ، قَالَ: ” إِنْ عَادُوا فَعُدْ “
“Kaum musyrikin telah menangkap Ammar bin Yasir dan mereka tidak akan melepaskannya sehinggalah Ammar mencaci Nabi s.a.w dan menyebut tuhan-tuhan mereka dengan kebaikan, barulah mereka melepaskannya. Apabila Ammar datang menemui Rasulullah s.a.w, Baginda bertanya: ‘Apa khabar di belakangmu (apa yang berlaku)?’ Ammar menjawab: ‘Buruk sekali wahai Rasulullah! Aku tidak dilepaskan sehinggalah aku mencacimu dan menyebut tuhan-tuhan mereka dengan kebaikan.’ Baginda bertanya: ‘Bagaimana kamu mendapati hatimu (ketika itu)?’ Ammar menjawab: ‘Tenang tenteram dengan keimanan.’ Baginda bersabda: ‘Jika mereka mengulangi (seksaan itu), maka ulangilah (ucapan tersebut).’”

Al-Baihaqi dalam Al-Sunan al-Kubra (No. 16900). Al-Hakim menyatakan hadis ini Sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, walaupun mereka tidak meletakkannya dalam kitab Sahih mereka.

Kita tak boleh memberi mudarat kepada orang lain tapi ucapan kufur itu mudarat pada diri sendiri sahaja. Begitu juga dengan makan babi atau minum arak itu jenis mudarat pada diri sendiri. Tapi ia berbeza kalau perbuatan itu memberi mudharat kepada orang lain seperti paksaan membunuh orang lain. Kerana itu adalah kaedah Ad-Dararu la Yuzalu bi Mithlihi ini. Kemudaratan itu tidak ditolak dengan kemudaratan yang sama. Kalau kita dibunuh, nyawa kita hilang, dan ini adalah mudharat, bukan? Kalau kita bunuh orang lain pun satu nyawa akan hilang, dan ini adalah tak mudharat yang sama. Nyawa dengan nyawa, bukan? Maka tak boleh kita tolak satu mudarat dengan melakukan mudarat yang sama juga selepas itu.

2. Ad-Dararu al-Asyaddu Yuzalu bid-Darari al-Akhaf الضَّرَرُ الأَشَدُّ يُزَالُ بِالضَّرَرِ الأَخَفِّ (Mudarat yang Lebih Berat Dihilangkan dengan Mudarat yang Lebih Ringan)

Maksud: Jika terpaksa memilih antara dua keburukan, pilihlah yang paling kecil kesannya.

Contoh: Pembedahan (menyakitkan/mudarat kecil) dilakukan untuk membuang barah yang boleh membawa maut (mudarat besar). Atau seseorang itu ada penyakit kencing manis dan perlu dipotong kaki dia. Kalau tak potong, kesan buruk akan terkena kepada semua badan dia dan akan mati. Jadi mana lagi teruk, tiada kaki ke mati? Oleh kerana mati lagi teruk dari tiada kaki maka kita dibenarkan mengambil mudarat yang lebih ringan iaitu kita biarlah potong kaki asalkan masih lagi hidup.

3. Tahammul al-Darar al-Khas li Daf’i al-Darar al-‘Am تَحَمُّلُ الضَّرَرِ الخَاصِّ لِدَفْعِ الضَّرَرِ العَامِّ (Menanggung Mudarat Khusus untuk Menolak Mudarat Umum)

Maksud: Kepentingan orang ramai (awam) sentiasa mengatasi kepentingan individu.

Contoh: Kerajaan berhak merobohkan sebuah rumah (mudarat kepada pemilik) untuk membina jalan raya utama yang diperlukan oleh ribuan orang (manfaat awam). Kalau tak buat jalan ini masyarakat akan mengalami darurat kesusahan seperti susah untuk hantar orang sakit hospital dan sebagainya. Tapi dengan kita nak buat jalan itu memang kita terpaksa ambil tanah orang dan mungkin diambil dengan cara paksa, bukan? Benar, tapi ini dibenarkan di dalam syarak.

Contoh lagi semasa kes Covid dahulu. Kita terpaksa halang dan tangkap orang yang keluar daripada negerinya. Perbuatan itu ada mudharat sampai ada orang tak boleh pergi kerja contohnya. Ia mudharat pada orang itu tetapi kemudaratan itu khusus pada si fulan itu sahaja. Ia untuk mengelakkan kemudharatan yang umum dan lebih besar lagi kepada orang awam yang lain. Kerana kita hendak elak dari virus Covid itu merebak.

Contoh lagi, kita tangkap ahli bid’ah yang menyampaikan ajaran salah dan sesat sampai boleh penjarakan dia. Kita tentu akan memberikan mudarat khusus kepada dia tapi ia dibenarkan kerana untuk hilangkan mudarat yang lebih besar iaitu tersebarnya ajaran sesat kepada orang ramai.

4. Dar’ul Mafasid Muqaddamun ‘ala Jalbil Masalih دَرْءُ الْمَفَاسِدِ مُقَدَّمٌ عَلَى جَلْبِ الْمَصَالِحِ (Menolak Kerosakan Lebih Utama daripada Mengambil Kebajikan)

Maksud: Mencegah sesuatu yang haram/bahaya adalah lebih penting daripada mengejar keuntungan atau manfaat.

Contoh: Jika sebuah perniagaan mendatangkan untung RM1 juta tetapi mencemarkan udara seluruh kampung, perniagaan itu mesti dihentikan. Menjaga paru-paru penduduk lebih utama daripada mengumpul harta.

5. Ad-Daruratu Tubihu al-Mahzurat الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ (Keadaan Darurat Menghalalkan Perkara yang Haram)

Maksud: Dalam keadaan terdesak yang mengancam nyawa, perkara yang asalnya haram menjadi boleh dilakukan (sekadar keperluan sahaja).

Contoh: Makan daging khinzir ketika sesat di hutan jika tiada makanan lain dan hampir mati kelaparan.

Nota Penting: Kaedah ini ada hadnya, iaitu “Ad-Daruratu Tuqaddaru bi Qadariha” (Darurat itu hanya sekadar yang perlu sahaja). Jangan pula makan sampai kenyang atau tapau bawa balik! Begitulah kaedah-kaedah ini mestilah ada syarat-syarat dia. Darurat itu mestilah darurat yang muhaqqaqah iaitu yang betul-betul mudharat. Jangan hanya darurat sangkaan sahaja.

Kesimpulan daripada hadis ini adalah kehidupan kita ini janganlah memudharatkan diri kita, dan jangan mudharatkan orang lain Terlalu banyak perkara ini dalam Islam. Seperti perkara-perkara yang kita anggap kecil seperti tak boleh mengumpat, apabila bersin tutuplah mulut. Nabi pernah pesan apabila makan bawang, jangan pergi masjid kerana ini juga memberi mudharat kepada orang lain walaupun nampak macam kecil sahaja. Nabi kata apabila masuk masjid, janganlah seorang itu membawa lembing yang matanya tidak ditutup, kerana takut terkena kepada orang.

Contoh lain dalam Baqarah:233 Allah kata jangan ibu atau bapa dimudharatkan dengan urusan penyusuan anak mereka.

وَالوٰلِدٰتُ يُرضِعنَ أَولٰدَهُنَّ حَولَينِ كامِلَينِ ۖ لِمَن أَرادَ أَن يُتِمَّ الرَّضاعَةَ ۚ وَعَلَى المَولودِ لَهُ رِزقُهُنَّ وَكِسوَتُهُنَّ بِالمَعروفِ ۚ لا تُكَلَّفُ نَفسٌ إِلّا وُسعَها ۚ لا تُضارَّ وٰلِدَةٌ بِوَلَدِها وَلا مَولودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya. 

Maknanya tak boleh kita beratkan seorang bapa untuk bagi nafkah lebih daripada sepatutnya. Ibu bayi itu juga tak boleh dipaksa dia bagi susu kepada anaknya.

Kalau seorang ibu yang mengandung, kemudian didapati yang kalau dia teruskan dengan bayi itu akan menyebabkan kematian ibunya, bagaimana? Mengikut kaedah ulama’, diutamakan induk iaitu ibu itu untuk diselamatkan. Maka bayi itu boleh digugurkan. Ibu itu dia boleh hasilkan anak banyak lagi kalau dia dibenarkan hidup.

Begitulah kaedah ini boleh diaplikasikan dalam semua masalah feqah, terutama sekali dalam hal mu’amalat (hubungan interaksi sesama manusia). Jadi kalau mana-mana perjanjian, akad yang boleh memberi mudharat kepada seseorang, sama ada mudarat itu pada jasadnya, atau pada agamanya, atau pada hartanya, atau pada akalnya, atau kepada keturunannya, maka mudarat itu hendaklah dihilangkan. Jadi perhatikan hadis pendek sahaja tetapi besar manfaatnya.


 

Perbezaan maksud lain: 

Hadis ini ada diterima membawa maksud lain.

Pandangan Pertama (Tujuan/Niat):

Darar (ضرر): Seseorang memberi mudarat kepada orang lain, sedangkan dia sendiri mendapat manfaat daripada perbuatan itu.

Contoh: Membina bangunan tinggi yang menghalang cahaya matahari jiran supaya rumah sendiri lebih sejuk. Tapi ada juga pendapat yang mengatakan ini dibenarkan kerana dia buat itu di tanah hartanya sendiri, maka tidak salah. Contoh lain: orang yang miskin memerlukan wang jadi kita beri pinjam dengan mengenakan riba.

Dirar (ضرار): Seseorang memberi mudarat kepada orang lain tanpa dia mendapat apa-apa manfaat pun, semata-mata kerana ingin menyakiti atau membalas dendam.

Contoh: Sengaja membakar sampah yang asapnya masuk ke rumah jiran hanya kerana benci, walaupun dia sendiri sesak nafas dengan asap itu. Atau sengaja tabur paku atas jalan bagi orang susah. Ini ضرار. Tapi kalau dia tabur paku sebab dia kedai mekanik repair tayar, ini ضرر. Dua-dua tidak boleh.

 

Pandangan Kedua (Pemula vs Pembalas):

Darar: Memulakan perbuatan menyakiti (pencetus awal).

Dirar: Membalas perbuatan menyakiti dengan cara yang sama atau lebih teruk (balas dendam yang melampau). Contohnya ada orang curi selipar di masjid, tapi dihukum pukul sampai mati.

 

Pandangan Ketiga (Sengaja vs Tidak):

Darar: Berlaku kemudaratan (mungkin tidak sengaja atau kerana cuai).

Dirar: Memang disengajakan dengan niat jahat (Premeditated). Kalau Darar pun dilarang, apatah lagi Dirar.

Contoh mudarat disengaja atau pun tidak:

Pertama: Seseorang memiliki jiran dan memiliki pohon yang tiap hari dia siram. Namun airnya masuk ke rumah tetangganya, mengganggu tetangganya, yang menyiram tidak tahu akan hal itu. Ini disebut dharar kerana melakukan dengan tidak sengaja.

Kedua: Ada seseorang punya masalah dengan jirannya kerana salah faham. Tetangga A mengatakan, “Aku pasti akan mengganggumu.” Lalu dia membunyikan mesin jirannya, tujuannya untuk mengganggu jirannya itu. Ini namanya dhirar.

Dalam kes kedua sudah jelas dia sedang memberikan mudarat, kerana dia sengaja melakukannya. Dalam kes pertama, jika dia diberitahu dia telah mengganggu tetangga, dia pasti tidak akan mengganggu seperti itu. Intinya dharar mahupun dhirar sama-sama dilarang.

Ketiga: Di masa jahiliyyah, ketika suami menceraikan isterinya, maka ketika masa ‘iddahnya hampir selesai, suami itu rujuk kembali. Kemudian dia mentalaknya lagi kali kedua, lalu jika masa ‘iddahnya hampir selesai, suami itu pun rujuk kembali. Kemudian dia mentalak seterusnya hingga talak ketiga, keempat, tujuannya adalah untuk dhirar, iaitu mencelakakan isterinya dengan sengaja (supaya tidak boleh menikah lain). Kerana itu Allah bataskan talak itu hanya sampai tiga kali. Dalilnya adalah firman Allah di dalam Baqarah:229

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ …
“Talak (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” 

Dan Allah berfirman pula di dalam Baqarah:230

فَإِنْ طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِنْ بَعْدُ حَتَّى تَنْكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ
“Kemudian jika si suami mentalaknya (sesudah talak yang kedua), maka perempuan itu tidak lagi halal baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain.” 

Keempat: Seseorang memberikan wasiat bahawa setelah dia meninggal dunia, separuh hartanya untuk si fulan, tujuannya untuk mengurangi bahagian waris. Ini tidak dibolehkan kerana wasiat tidak boleh memberi wasiat lebih dari sepertiga harta. Dalilnya hadis yang diriwayatkan dari ‘Amr bin Kharijah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ قَسَمَ لِكُلِّ وَارِثٍ نَصِيبَهُ مِنَ الْمِيرَاثِ فَلاَ يَجُوزُ لِوَارِثٍ وَصِيَّةٌ
“Sesungguhnya Allah membagi untuk setiap ahli warisnya sudah mendapatkan bahagian-bahagiannya. Kerananya tidak boleh ada wasiat untuk ahli waris.”

(Riwayat Ibnu Majah, no. 2712; Tirmidzi, no. 2121. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadits ini hasan)

Namun kalau yang diberi wasiat adalah selain ahli waris, itu boleh. Namun wasiat itu tidak boleh lebih dari sepertiga dari harta yang ditinggalkan sebagaimana penjelasan dari hadits Sa’ad bin Abi Waqqash berikut.

Dari ‘Amir bin Sa’ad, dari ayahnya, Sa’ad, ia adalah salah seorang dari sepuluh orang yang dijamin masuk surga- berkata, “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam menjengukku ketika Haji Wada’, kerana sakit keras. Aku pun berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya sakitku sangat keras sebagaimana yang engkau lihat. Sedangkan aku mempunyai harta yang cukup banyak dan yang mewarisi hanyalah seorang anak perempuan. Bolehkah saya sedekahkan 2/3 dari harta itu?” Baginda menjawab, “Tidak.” Saya bertanya lagi, “Bagaimana kalau separuhnya?” Baginda menjawab, “Tidak.” Saya bertanya lagi, “Bagaimana kalau sepertiganya?” Baginda menjawab,

وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ ، إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ
“Sepertiga itu banyak (atau cukup besar). Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu kaya, itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin sehingga mereka terpaksa meminta-minta kepada sesama manusia. Sesungguhnya apa yang kamu nafkahkan dengan maksud untuk mencari redha Alah pasti kamu diberi pahala, termasuk apa yang dimakan oleh isterimu.”

(Sahih Bukhari, no. 4409; Muslim, no. 1628).

Nota: Empat contoh di atas, diambil dari Syarh Al-Arba’in An-Nawawiyyah karya Syaikh Ibnu ‘Utsaimin rahimahullah.


 

Darurat

Di atas tadi kita ada sentuh tentang kalau ada paksaan, maka dibenarkan. Atau di dalam keadaan terpaksa seperti tidak ada makanan, benda haram pun boleh dimakan seperti babi dan anjing. Kaedah ini adalah: الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.” Tapi kita hendak tambah di sini walaupun ini bukanlah termasuk dalam tajuk perbincangan hadis ini, cuma ada kena mengena sedikit. Konsep darurat ini memang ada di dalam Islam seperti firman Allah di dalam Baqarah:`173,

فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌
maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa

Jadi darurat ini dibenarkan apabila keadaan terpaksa. Para ulama membahagikan tahap keperluan manusia kepada tiga peringkat. Darurat adalah peringkat yang paling tinggi dan kritikal. Tiga peringkat itu adalah:

1. Ad-Daruriyyat (Tahap Darurat / Asasi)

Ini adalah tahap paling tinggi dan kritikal. Jika tahap ini tidak dipenuhi, kehidupan manusia akan hancur, berlaku kerosakan besar, atau kematian. Syariat Islam datang untuk menjaga 5 Perkara Asas dalam tahap ini:

  1. Menjaga Agama: Contohnya kewajipan solat dan berjihad mempertahankan akidah.
  2. Menjaga Nyawa: Kewajipan makan, minum, dan larangan membunuh.
  3. Menjaga Akal: Larangan minum arak atau bahan yang merosakkan kewarasan.
  4. Menjaga Keturunan: Pensyariatan nikah dan larangan zina.
  5. Menjaga Harta: Larangan mencuri dan kewajipan mencari rezeki.

Kesan: Jika hilang salah satu, dunia akan huru-hara dan akhirat akan rugi.

2. Al-Hajiyyat (Tahap Keperluan / Hajat)

Ini adalah tahap di bawah darurat. Manusia tidak akan mati jika ia tidak dipenuhi, tetapi hidup akan menjadi sangat sukar, sempit, dan terbeban (Masyaqqah).

Islam memberikan Rukhshah (keringanan) pada tahap ini untuk menghilangkan kesempitan tersebut:

Contoh Musafir: Dibolehkan jamak dan qasar solat (Sebab kalau kena solat penuh dalam perjalanan jauh yang meletihkan, ia sangat menyusahkan).

Contoh Perniagaan: Dibenarkan kontrak seperti Salam (tempahan) atau Ijarah (sewa) untuk memudahkan urusan ekonomi harian.

3. At-Tahsiniyyat (Tahap Pelengkap / Hiasan)

Ini adalah tahap yang berkaitan dengan keselesaan, adab, kecantikan, dan kemuliaan akhlak. Ia tidak melibatkan nyawa atau kesempitan yang melampau, tetapi lebih kepada menyempurnakan kualiti hidup.

Contoh Ibadah: Menutup aurat dengan pakaian yang bersih dan cantik, memakai wangian ke masjid.

Contoh Adab: Etika makan dan minum, atau sifat pemurah dalam perniagaan.

Contoh Moden: Memiliki kereta yang lebih selesa untuk kelancaran kerja (Selagi tidak membawa kepada pembaziran atau riyak).

Jadi kalau ada darurat di dalam 5 perkara maqasid itu, dibenarkan untuk melakukan perkara yang haram. Sesuatu keadaan dikira darurat apabila ia mengancam salah satu daripada lima perkara ini:

  • Agama (Al-Din): Contohnya dipaksa murtad dengan ancaman senjata.
  • Nyawa (Al-Nafs): Ancaman kematian atau kehilangan anggota badan (seperti kecacatan kekal).
  • Akal (Al-Aql): Ancaman yang boleh merosakkan kewarasan manusia secara total.
  • Keturunan/Maruah (Al-Nasl): Ancaman terhadap kehormatan diri atau nasab keluarga.
  • Harta (Al-Mal): Kehilangan seluruh harta benda yang menyebabkan seseorang tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup (kebuluran/gelandangan).

Jadi kita tahu kalau ancaman nyawa, tapi apakah contoh-contoh kalau ada darurat dari selain yang melibatkan nyawa?

    • Darurat Harta: Seseorang yang rumahnya terbakar dan dia tiada punca pendapatan langsung sehingga anak isteri tidak makan. Dia dibenarkan mengambil bantuan daripada sumber yang biasanya diragui (syubhah) demi kelangsungan hidup.
    • Darurat Maruah: Seorang wanita yang diancam kehormatannya. Dia dibenarkan melakukan tindakan mempertahankan diri walaupun terpaksa mencederakan atau membunuh penceroboh tersebut.
    • Darurat Agama: Menghilangkan kemudaratan fitnah yang boleh menghancurkan keutuhan umat Islam.

Akan tetapi hal darurat ini tidaklah boleh diambil mudah. Kena perhatikan apakah keadaan yang termasuk dalam darurat itu dan adakan ia memenuhi syarat-syaratnya.

  • Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau setakat diancam tidak dinaikkan gaji, itu bukanlah darurat lagi. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.
  • Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan yang lain dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu. Contohnya seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang, maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.
  • Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asasi syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.
  • Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan darurat diukur dengan tingkatannya.
  • Kalau bab makanan, mesti tidak ada makanan lain sebagai alternatif. Katakanlah ada makanan lain, tapi tak kenyang. Contohnya masuk dalam hutan, ada jugalah sayur-sayuran yang boleh dimakan. Tentu tak kenyang; tapi ada ular, atau babi, atau anjing yang kalau makan, boleh kenyang. Dia tak boleh makan benda haram lagi kerana ada benda halal yang boleh meneruskan hidup dia. Bukan nak kejar kenyang.
  • Darurat tidak boleh dibuat-buat. Macam kita selalu dengar kisah tentera semasa dalam latihan pun sudah makan benda haram. Itu tak boleh sebab itu latihan, bukannya darurat betul. Atau, mereka berlatih solat ketika berlari. Ini pun tidak boleh lagi, kecuali kalau keadaan itu sudah benar-benar berlaku.
  • Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.
  • Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan pinjaman walaupun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing.

 

Kemaskini: 8 April 2026


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Ustaz Dr. Salman Ali

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Rumaysho

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment