Pengenalan Tafsir Balaghi

Pengenalan kepada Ilmu Balaghah

Ilmu Balaghah adalah salah satu cabang sains bahasa Arab yang paling tinggi dan indah. Jika ilmu Nahu menjaga lidah daripada kesalahan baris (gramatik), maka ilmu Balaghah berfungsi untuk memastikan kata-kata itu tepat, indah, dan memberi kesan kepada pendengar.

Secara ringkasnya, Balaghah bermaksud: Menyampaikan kalam yang fasih mengikut kesesuaian keadaan, masa, dan orang yang mendengar (Muqtadha al-Hal).

Ilmu Balaghah dibahagikan kepada tiga bidang utama yang mempunyai fungsi berbeza:

1. Ilmu Al-Ma’ani (علم المعاني). Ilmu ini mengkaji bagaimana menyusun ayat supaya bertepatan dengan situasi pendengar.

Fungsi: Memastikan ayat tidak terlalu panjang (membosankan) atau terlalu pendek (tidak faham).

Contoh: Cara kita bercakap dengan orang yang yakin adalah berbeza dengan orang yang ragu-ragu. Kepada orang yang ragu-ragu, kita perlu menambah “penguat” (Taukid) seperti perkataan “Sesungguhnya…”.

2. Ilmu Al-Bayan (علم البيان). Ilmu ini mengkaji kepelbagaian cara untuk menyampaikan satu makna yang sama melalui gaya bahasa yang berbeza.

Fungsi: Menggunakan imaginasi dan perumpamaan supaya maksud lebih jelas atau lebih menyentuh perasaan.

Komponen Utama:

    • Tasybih: Perumpamaan (Contoh: “Dia berani seperti singa”).
    • Majaz: Penggunaan kata bukan pada makna asal (Metaphor).
    • Kinayah: Bahasa kiasan/sindiran halus.

3. Ilmu Al-Badi’ (علم البديع). Ilmu ini mengkaji cara memperindahkan lagi kata-kata setelah maknanya sudah tepat. Ini adalah “hiasan” kepada ayat.

Fungsi: Memberikan keindahan bunyi, rima, atau keunikan makna.

Komponen Utama:

    • Saja’: Rima hujung ayat yang sama (seperti dalam pantun).
    • Tibaqa/Muqabalah: Menggunakan kata berlawanan (Contoh: Sebut “Hidup” dan “Mati” dalam satu ayat untuk kesan kontras).

Mengapa Belajar Ilmu Balaghah?

  1. Memahami Mukjizat Al-Qur’an: Al-Qur’an mencabar sasterawan Arab bukan dari segi nahu sahaja, tetapi dari segi Balaghah-Nya yang mustahil ditiru oleh manusia.
  2. Kesan dalam Dakwah: Membantu penyampai memilih ayat yang paling menyentuh hati audiens berdasarkan latar belakang mereka.
  3. Keindahan Komunikasi: Menjadikan seseorang lebih berseni dalam bertutur dan menulis, tidak hanya mendatar dan kaku.

 

Mungkin ada ramai yang beranggapan ini adalah ilmu yang berat dan tidak mungkin kita dapat menggapainya kerana ia lain dari bahasa kita. Tapi sekarang kita tanya balik: Kenapa tidak kita jinakkan ia?

Bila belajar balaghah Bahasa Arab, ia mengupas tentang ketinggian, kedalaman, kehalusan seni itu melalui bahasa. Bayangkan kita kalau belajar dalam bahasa kita sendiri pun, kalau kita buka buku-buku sastera yang tinggi, kita sendiri pun kadang-kadang terasa sukar memahaminya, walaupun itu bahasa kita sendiri. Apalagi dalam bahasa Arab. Dan kalau kita lihat contoh-contoh syair klasik bahasa Arab yang sangat tinggi, kita pun tak pasti kalau orang awam Arab sendiri akan faham kalau tanpa kupasan. Jadi, logiknya balaghah dianggap susah.

Tapi, kenapa tidak kita permudahkan dengan maksud balaghah dalam bahasa kita. Dan sebenarnya balaghah bukan dalam bahasa kita sahaja. Balaghah ada dalam semua bahasa. Dan balaghah dalam bahasa kita pun tinggi juga. Dan boleh dikatakan apa sahaja bab balaghah dalam bahasa Arab, tajuknya ada dalam perbahasan bahasa kita dan ada dalam percakapan harian kita. Cuma ia tidak dibukukan, tidak dibuat secara disusun secara struktur, tidak disusun secara sistematik, sehingga kita tak tahu bahawa penggunaan bahasa harian kita itu adalah balaghah sebenarnya. Ia sama dengan tajuk bab kitab yang tinggi. Perbahasan dalam kitab-kitab yang tinggi yang menggunakan syair-syair klasik sebenarnya merujuk kepada apa yang telah kita guna pun dalam bahasa kita seharian. Cuma oleh kerana balaghah kita tidak disusun secara berkitab, maka kita menganggap bahawa balaghah ini rahsia dalam bahasa Arab sahaja dan hanya ada dalam kitab-kitab balaghah sahaja. Maka di sini kita hendak menyahut cabaran untuk mempermudahkan balaghah tersebut. Kita akan gunakan contoh-contoh di dalam bahasa kita sendiri.

Begitu juga dengan syair-syair Arab, kita tukarkan kepada pantun-pantun Melayu; cuma kena cari pantun-pantun lama, pantun-pantun klasik. Ini dalam bahagian Ma’ani bukan bahagian bayan. Kalau bayan, seni dalam bahasa kita sudah mencukupi, tidak perlu pada perbahasan yang menggunakan syair-syair klasik Arab. Maka dengan ini kita boleh memudahkan pemahaman ilmu Balaghah ini. Jangan kita biarkan ini terus di dalam persepsi ya ia sangat susah sampai orang Melayu tidak boleh memahaminya. Ada cara untuk kita permudahkan ke dalam bahasa kita. Kalau dalam syair bahasa Arab ada makna, kita juga ada makna. Kalau dalam Bahasa Arab ada bayan, kita juga ada bayan. Kalau bahagian badi’, bahasa kita pun tinggi dalam badi’. Cuma mungkin dalam pembahagian ketiga-tiga bahagian ini, bab ma’ani mungkin agak lebih halus. Ianya boleh dikatakan sebagai teras kepada ilmu balaghah.

Perbincangan kita ini bolehlah dikaitkan sebagai tafsir. Cuma bukan seperti tafsir-tafsir yang lain, kita hanya memfokuskan tafsiran kita kepada sudut balarah sahaja dan pada rangka awal ini kita hanya banyak bincangkan dari sudut ilmu ma’ani sahaja. Ini bukan bermaksud ilmu bayan ataupun perbahasan tentang badi’ dan bayan kita tak sentuh, kita juga sentuh tapi kita akan lebih fokus kepada ilmu ma’ani dahulu. Dan kita bincangkan tafsiran pun secara ringkas kerana kalau kita bahaskan tafsiran penuh, maka tentu ia amakan memakan masa yang terlalu panjang.

Apakah ilmu ma’ani? Ia adalah ilmu untuk memahami dan menggali apakah lapisan kedua kepada makna-makna dalam Al-Qur’an yang diberikan. Adakah ia dengan maksud hakikinya ataupun ada maksud yang lain? Dan apakah kesuaian-kesuaian penggunaan laras-laras dengan keadaan di dalam ayat itu. Dengan maksudnya ketika, adakah ayat ini memuji? Nampaknya macam memuji tapi sebenarnya bukan memuji pun tapi mengeji. Adakah ayat ini menyuruh? Nampaknya macam menyuruh tapi sebenarnya bukan menyuruh pun tapi hanya memberitahu. Dan ada banyak lagi perbahasan apabila kita sampai kepada tempatnya nanti.

Dan yang kedua adalah Ilmu Bayan. Ilmu Bayan pula kalau dalam bahasa kita adalah peribahasa, perumpamaan, tashbih. Jadi, apakah maksud tashbih ini? Apakah ini benar-benar hanya satu perumpamaan sahaja? Ataupun adakah ini majaz? Betulkah maksudnya? Mungkin bukan itu maksud sebenarnya, tapi ada kiasan. Maknanya ada kiasan di sebaliknya yang kita boleh katakan sebagai sindiran.

Dan yang ketiga adalah Ilmu Badi’ iaitu tentang keindahan penggunaan bahasa. Apabila kita menggunakan bahasa yang berlawanan, tinggi rendah, hitam putih dalam ayat, kita menggunakan bandingan-bandingan sebegitu ataupun bunyi-bunyi di belakang yang seirama ataupun kita panggil rima di belakang, itu dibahaskan dalam ilmu badi’.

Asasnya ilmu ma’ani, ilmu badi’ dan ilmu bayan ini adalah tiga bahagian dari ilmu balaghah akan tetapi tidak semua ulama’ bersetuju bahawa ilmu badi’ itu dimasukkan dalam ilmu balaghah. Mereka mengatakan bahawa ilmu balaghah sebenarnya adalah ilmu ma’ani dan ilmu bayan. Dan ada yang mengatakan ilmu balaghah sebenarnya berada dalam ilmu bayan dan ilmu bayan ini ada tiga pembahagian. Memang terdapat banyak pendapat kerana ilmu ini masih lagi dalam proses untuk memasak, masih diperbincangkan. Dan kerana itu kita akan berharapan dengan banyak pandangan, contohnya dalam sesetengah ayat, ada yang memandang daripada sudut tajuk ni, ada yang mengatakan ini tajuk itu pula. Contohnya dalam bab iltifat nanti yang kita akan belajar, ada yang mengatakan iltifat itu dalam ma’ani, ada  yang kata ia di dalam bayan, ada yang kata ia di dalam badi’. Sebab itulah dalam sesetengah kitab, iltifat tidak dimasukkan dalam Ma’ani tapi dalam bayan.

Jadi, asasnya ilmu ma’ani ini adalah ilmu tentang makna-makna kalimah yang lebih halus. Kita akan fokus kepada perkataan, jumlah ataupun frasa.

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment