6. Bagaimana menghadapi kritikan pedas.
Dalam kehidupan kita ini, biasa sahaja kita dikritik dan dikutuk, bukan? Begitulah kerana kita bukan insan sempurna. Kadangkala kita terasa hati dan terganggu kerana dikritik, dikutuk oleh orang lain. Berhari-hari otak kita mengulangi kata-kata pencemuh itu. Kita dok ulang-ulang perkataan mereka itu. Ini tidak sihat sebenarnya kerana menyakitkan kita sahaja.
Sebenarnya ini tidak patut kita layani. Jangan terasa sangat kalau orang mengkritik kita kerana Allah ﷻ yang telah banyak berjasa pun dikutuk dan dibenci manusia yang jahil.
Jangan dilayan kata-kata manusia yang membenci anda. Mereka tidak akan puas sehinggalah anda mati ditimbus tanah. Ada sahaja perkara yang tidak memuaskan mereka. Begitulah dengan manusia. Anda tidak akan dapat memuaskan mereka.
I cannot give you the formula for success, but I can give you the formula for failure – which is: Try to please everybody. Herbert Bayard Swope
Maka jikalau sesuatu perkara itu mustahil, kenapa kita cuba melakukannya? Kenapa kita rasa tidak sedap hati kalau ada orang tidak suka dengan kita, sedangkan kita memang sudah tahu pun yang memang pasti akan ada orang yang tidak suka dengan kita, bukan?
Sebenarnya kenapa mereka kritik kita? Kerana mereka dengki sebenarnya. Kalau kita duduk di bawah, miskin papa kedana, merempat, tidak ada orang yang akan kritik kita sebenarnya. Yang orang kritik kita ini adalah kerana mereka dengki kepada kita yang mempunyai kedudukan, kekayaan, kesenangan, kecantikan dan lain-lain. Oleh itu, simpan di dalam otak anda: “kalau ada orang kritik kita, sebenarnya sebab kita lebih daripada mereka”.
Maka bergembiralah dengan pemahaman ini, jangan kalut lagi jika ada orang lain kritik kita. Maknanya Allah ﷻ telah banyak beri kurnia nikmat kepada kita, sebab itulah ada orang dengki dan kritik kita. Maknanya, anda boleh anggap kritikan mereka itu sebagai ucapan penghormatan bagi anda! Jadi anda akan jadi hebat kalau ubah paradigma ini. Kalau anda boleh ubah konsep ini, maka anda tidak gelisah lagi dengan kata-kata manusia.
Bagaimanakah sikap kita kalau ada orang kritik kita? Ucapkan sahaja terima kasih dan teruskan tunjuk akhlak yang baik. Jangan hiraukan sangat apa kata-kata mereka. Kalau benar anda salah, maka perbaikilah diri anda, tetapi kalau kritikan mereka itu hendak mengutuk sahaja, abaikan kerana anda tidak boleh menutup mulut mereka, akan tetapi anda boleh menguburkan kata-kata mereka itu dengan tidak menghiraukannya. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Ali Imran:119
قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ
katakanlah: “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”.
Akhir sekali, anda boleh terus membungkam mulut mereka dengan terus berbuat amal kebaikan, menunjukkan akhlak yang baik dan membaiki segala kesalahan dan kesilapan anda.
Sambung ke nasihat seterusnya
Tulisan Penulis Asal:
6. Bagaimana Menghadapi Kritikan yang Berdosa? (كَيْفَ تُواجِهُ النَّقْدَ الآثِمَ؟)
Orang-orang yang bodoh dan rendah akalnya sanggup menghina Sang Pencipta lagi Maha Pemberi Rezeki (Allah) yang Maha Tinggi, dan mereka mencerca Tuhan Yang Maha Esa yang tiada tuhan melainkan Dia.
Maka, apakah yang harus aku, anda, dan kita semua harapkan—sedangkan kita adalah tempatnya kezaliman dan kesilapan? Sesungguhnya anda akan menghadapi dalam hidup ini peperangan yang sengit tanpa belas kasihan daripada kritikan-kritikan yang berdosa lagi pahit.
Pasti ada usaha penghancuran yang dirancang dan dihina dengan sengaja selagi mana anda terus memberi, membina, memberi pengaruh, bersinar, dan menyerlah. Mereka tidak akan diam terhadap anda sehinggalah anda mencari terowong di dalam bumi atau tangga ke langit untuk melarikan diri daripada mereka.
Selagi mana anda berada di hadapan mereka, maka tunggulah perkara yang akan menyakiti anda, menitiskan air mata anda, melukakan mata anda, dan mengganggu tidur anda.
Orang yang duduk di atas tanah tidak akan jatuh. Manusia juga tidak akan menendang anjing yang sudah mati. Namun, mereka marah kepada anda kerana anda telah melebihi mereka dari segi kebaikan, ilmu, adab, atau harta.
Maka bagi mereka, anda adalah seorang “pendosa” yang tiada taubatnya sehingga anda meninggalkan segala bakat dan nikmat Allah ke atas anda, melucutkan segala sifat terpuji, menanggalkan segala makna kemuliaan, dan menjadi seorang yang dungu, bodoh, kosong, hancur, dan lesu. Itulah yang mereka mahukan sebenarnya.
Oleh itu, bersabarlah (cekalkan hati) menghadapi kata-kata mereka, kritikan, cercaan, dan penghinaan mereka.
“Teguhlah wahai Uhud!” Jadilah seperti batu besar yang membisu lagi hebat, di mana butiran hujan ais pecah apabila melanggarnya, demi membuktikan kewujudannya dan kemampuannya untuk bertahan.
Sesungguhnya jika anda mendengar kata-kata mereka dan terkesan dengannya, anda telah memenuhi impian besar mereka untuk mengganggu ketenangan hidup anda.
Maka maafkanlah dengan kemaafan yang indah, berpalinglah daripada mereka, dan janganlah anda berasa sempit dada terhadap tipu daya yang mereka lakukan.
Sesungguhnya kritikan mereka yang bodoh itu sebenarnya adalah “terjemahan penghormatan” untuk anda. Semakin tinggi kedudukan anda, maka semakin kuatlah kritikan berdosa yang mereka reka-reka itu.
Anda tidak akan mampu menutup mulut mereka, dan anda tidak akan mampu memenjarakan lidah mereka.
Tetapi anda mampu “menanam” kritikan dan fitnah mereka dengan cara menjauhkan diri daripada mereka, membiarkan urusan mereka, dan membuang kata-kata mereka: “Katakanlah (wahai Muhammad): Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu.” Ali Imran:119
Malah anda mampu menyumbat mulut mereka dengan “khardal” (sesuatu yang pahit) dengan cara menambah kelebihan anda, memupuk kebaikan anda, dan memperbaiki kekurangan anda.
Jika anda mahu diterima oleh semua orang, dicintai oleh semua pihak, dan bersih daripada segala aib di mata dunia, maka anda sebenarnya telah meminta sesuatu yang mustahil dan mengharapkan sesuatu yang terlalu jauh.




