5. Biarkan masa depan datang sendiri

5. Biarkan masa depan datang sendiri. Kadangkala kita diganggu rasa kerisauan tentang masa hadapan. Padahal ia akan datang sendiri tanpa kita perlu berbuat apa-apa pun. Bukan boleh dipicit-picit sebarang butang dipaksa agar lagi cepat ia datang. Bukan kita boleh membina tebing atau benteng untuk menghalang ia daripada berlaku. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Nahl:1

أَتىٰ أَمرُ اللهِ فَلا تَستَعجِلوهُ
Telah pasti datangnya ketetapan Allah maka janganlah kamu meminta agar disegerakan (datang)nya.

Semua ketentuan telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Adakah anda tergesa-gesa sampai hendak memetik buah sebelum ia masak? Adakah anda hendak mengeluarkan bayi daripada perut ibunya sebelum cukup umurnya? Tentu tidak, bukan? Maka bersabarlah, esok pasti tiba.

Hari esok belum ada lagi, belum menjelma, belum ada rupa dan warna pun lagi. Maka kenapa perlu kita risau tentangnya? Seringkali kita terlalu risau tentang bagaimanakah esok, habislah esok, siallah esok… padahal ia belum kunjung tiba pun lagi. Maka tidak perlu kita risau, resah dan gelisah tentangnya. Bila kita risau, kita tidak dapat menghargai hari ini (rujuk topik sebelum ini).

Maksudnya bukan ada guna pun kalau risau tentang hari esok, malah ia lagi menyusahkan hati anda sahaja. Maka rahsia kegembiraan adalah jangan risau tentang esok,

“If you want to be happy, do not dwell in the past, do not worry about the future, focus on living fully in the present.” Roy T. Bennett

Ya, mungkin esok akan ada masalah, tetapi kalau anda sudah menyakitkan diri anda dengan menyusahkan hati anda pada hari ini, anda sebenarnya telah menggandakan kegelisahan anda. Esok perlu hadap masalah, tetapi hari ini sudah bermula masalah anda.

“My philosophy is that worrying means you suffer twice.” Newt Scamander (“Fantastic Beasts and Where to Find Them.”)

Membiarkan fikiran untuk memikirkan masa hadapan yang ghaib lalu terhanyut ke dalam kecemasan adalah tidak dibenarkan dalam syariat. Inilah yang disebut ‘thulul amal’ (panjang angan-angan). Sebab itulah dalam syariat diperintahkan untuk bersegera beramal dan berlumba-lumba dalam kebaikan.

Di dalam Al-Qur’an al-Karim, Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hadid:16

وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ
“Janganlah kalian seperti orang-orang yang telah diberikan kitab (Ahlul Kitab) sebelumnya, panjang angan-angan mereka sehingga rosak hati mereka. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik” 

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ menegur manusia:

لا يَزالُ قَلْبُ الكَبِيرِ شابًّا في اثْنَتَيْنِ: في حُبِّ الدُّنْيا وطُولِ الأمَلِ
“Hati orang yang sudah tua akan senantiasa seperti anak muda dalam menyikapi dua hal: cinta dunia dan panjang angan-angan” (Bukhari no. 6420).

Namun malangnya kita selalu ditakut-takutkan dengan berita yang tidak baik tentang masa hadapan – cuaca akan lagi panas…ekonomi akan semakin teruk.. harga roti canai akan naik… barangan semakin kurang… dan macam-macam lagi. Sehingga menjadikan hati kita gundah gulana memikirkan apa yang akan terjadi di masa hadapan. Akan tetapi selalunya bila datang hari yang ditakut-takutkan itu, ok sahaja. Jelaslah yang menakutkan itu adalah kerana bisikan daripada syaitan untuk menjadikan kita resah gelisah.

Di sinilah juga berpunca terjadinya fenomena global terkini di mana terlalu ramai penghidap ‘penyakit anxiety’ seawal usia remaja, belasan tahun. Dengan kepesatan medsos masa-kini kebanyakan daripada kita terlalu mudah terjebak untuk berasa resah gelisah berpanjangan, risau tidak berkesudahan dek kerana terlalu memikirkan tentang keadaan dan kejadian yang belum tentu berlaku!

Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah:268

الشَّيطٰنُ يَعِدُكُمُ الفَقرَ وَيَأمُرُكُم بِالفَحشاءِ ۖ وَاللَّهُ يَعِدُكُم مَّغفِرَةً مِّنهُ وَفَضلًا ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan dia menyuruhmu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.

Ketahuilah sekiranya kita mudah sahaja menjadi takut dengan berita-berita masa hadapan yang belum tentu akan berlaku, maka kita sebenarnya telah diperangkap dengan rancangan syaitan untuk mengganggu kita. Maka biarkan sahaja esok itu hadir dengan sendiri.

Baca seterusnya

 

Tulisan Asal Penulis: 

5. Biarkan Masa Depan Sehingga Ia Datang (اتْرُكِ الْمُسْتَقْبَلَ حَتَّى يَأْتِي)

أَتَىٰٓ أَمْرُ ٱللَّهِ فَلَا تَسْتَعْجِلُوهُ

“Telah pasti datangnya ketetapan Allah, maka janganlah kamu meminta agar dipercepatkan datangnya.” (Surah An-Nahl: 1).

لَا تَسْتَبِقِ الْأَحْدَاثَ، أَتُرِيدُ إِجْهَاضَ الْحَمْلِ قَبْلَ تَمَامِهِ؟! وَقَطْفَ الثَّمْرَةِ قَبْلَ النُّضْجِ؟!

Janganlah mendahului peristiwa yang belum berlaku. Adakah anda mahu menggugurkan janin sebelum ia cukup tempohnya?! Atau memetik buah sebelum ia masak?!

إِنَّ غَداً مَفْقُودٌ لَا حَقِيقَةَ لَهُ، لَيْسَ لَهُ وُجُودٌ، وَلَا طَعْمٌ، وَلَا لَوْنٌ،

Sesungguhnya hari esok itu masih hilang (ghaib) dan tidak mempunyai hakikat; ia belum wujud, tidak mempunyai rasa, dan tidak mempunyai warna.

فَلِمَاذَا نَشْغَلُ أَنْفُسَنَا بِهِ، وَنَتَوَجَّسُ مِنْ مَصَائِبِهِ، وَنَهْتَمُّ لِحَوَادِثِهِ.

Maka mengapakah kita menyibukkan diri dengannya, berasa cemas dengan musibah-musibahnya, dan bimbang dengan kejadian-kejadiannya?

نَتَوَقَّعُ كَوَارِثَهُ، وَلَا نَدْرِي هَلْ يُحَالُ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُ، أَوْ نَلْقَاهُ، فَإِذَا هُوَ سُرُورٌ وَحُبُورٌ؟!

Kita menjangkakan bencana-bencananya, sedangkan kita tidak tahu sama ada kita akan terhalang daripadanya (mati sebelum esok), atau kita akan menemuinya dalam keadaan yang penuh kegembiraan dan kebahagiaan?!

الْمُهِمُّ أَنَّهُ فِي عَالَمِ الْغَيْبِ لَمْ يَصِلْ إِلَى الْأَرْضِ بَعْدُ، إِنَّ عَلَيْنَا أَنْ لَا نَعْبُرَ جِسْراً حَتَّى نَأْتِيَهُ، وَمَنْ يَدْرِي؟ لَعَلَّنَا نَقِفُ قَبْلَ وُصُولِ الْجِسْرِ، أَوْ لَعَلَّ الْجِسْرَ يَنْهَارُ قَبْلَ وُصُولِنَا، وَرُبَّمَا وَصَلْنَا الْجِسْرَ وَمَرَرْنَا عَلَيْهِ بِسَلَامٍ.

Yang penting, esok itu masih berada di alam ghaib dan belum sampai ke bumi. Sesungguhnya kita tidak seharusnya menyeberangi jambatan sehinggalah kita sampai kepadanya. Siapa yang tahu? Barangkali kita terhenti sebelum sampai ke jambatan itu, atau mungkin jambatan itu runtuh sebelum kita sampai, atau barangkali kita sampai ke jambatan itu dan berjaya melintasinya dengan selamat.

إِنَّ إِعْطَاءَ الذِّهْنِ مَسَاحَةً أَوْسَعَ لِلتَّفْكِيرِ فِي الْمُسْتَقْبَلِ وَفَتْحَ كِتَابِ الْغَيْبِ ثُمَّ الِاكْتِوَاءَ بِالْمُزْعِجَاتِ الْمُتَوَقَّعَةِ مَمْقُوتٌ شَرْعاً؛ لِأَنَّهُ طُولُ أَمَلٍ، وَهُوَ مَذْمُومٌ عَقْلًا؛ لِأَنَّهُ مُصَارَعَةٌ لِلظِّلِّ.

Sesungguhnya memberi ruang yang luas kepada fikiran untuk memikirkan masa depan dan membuka “kitab ghaib”, kemudian menyeksa diri dengan kebimbangan yang dijangkakan adalah sesuatu yang dibenci dari segi syarak; kerana ia termasuk dalam “panjang angan-angan”, dan ia tercela dari segi akal; kerana ia seperti bergusti dengan bayang-bayang.

إِنَّ كَثِيراً مِنْ هَذَا الْعَالَمِ يَتَوَقَّعُ فِي مُسْتَقْبَلِهِ الْجُوعَ وَالْعُرْيَ وَالْمَرَضَ وَالْفَقْرَ وَالْمَصَائِبَ،

Ramai manusia di dunia ini menjangkakan masa depan yang penuh lapar, telanjang (kemiskinan yang teruk), sakit, fakir, dan musibah.

وَهَذَا كُلُّهُ مِنْ مُقَرَّرَاتِ مَدَارِسِ الشَّيْطَانِ: «الشَّيْطَٰنُ يَعِدُكُمُ ٱلْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِٱلْفَحْشَآءِ ۖ وَٱللَّهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ».

Ini semua adalah daripada silibus “sekolah syaitan”: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan perbuatan keji, sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurnia-Nya kepadamu.” Baqarah:268

كَثِيرٌ هُمُ الَّذِينَ يَبْكُونَ؛ لِأَنَّهُمْ سَوْفَ يَجُوعُونَ غَداً، وَسَوْفَ يَمْرَضُونَ بَعْدَ سَنَةٍ، وَسَوْفَ يَنْتَهِي الْعَالَمُ بَعْدَ مِائَةِ عَامٍ.

Ramai orang menangis kerana mereka fikir mereka akan lapar esok, akan sakit setahun lagi, atau dunia akan kiamat seratus tahun lagi.

إِنَّ الَّذِي عُمْرُهُ فِي يَدِ غَيْرِهِ لَا يَنْبَغِي لَهُ أَنْ يُرَاهِنَ عَلَى الْعَدَمِ،

Sesiapa yang usianya berada di tangan “Pihak Lain” (iaitu Allah), tidak sepatutnya dia bertaruh pada sesuatu yang tiada.

وَالَّذِي لَا يَدْرِي مَتَى يَمُوتُ لَا يَجُوزُ لَهُ الِاشْتِغَالُ بِشَيْءٍ مَفْقُودٍ لَا حَقِيقَةَ لَهُ.

Sesiapa yang tidak tahu bila dia akan mati, tidak dibenarkan baginya menyibukkan diri dengan sesuatu yang belum ada dan tiada hakikatnya.

اُتْرُكْ غَداً حَتَّى يَأْتِيَكَ، لَا تَسْأَلْ عَنْ أَخْبَارِهِ، لَا تَنْتَظِرْ زُحُوفَهُ، لِأَنَّكَ مَشْغُولٌ بِالْيَوْمِ.

Tinggalkan hari esok sehingga ia mendatangi anda, jangan bertanya tentang khabarnya, jangan tunggu kedatangannya, kerana anda sedang sibuk dengan hari ini.

وَإِنْ تَعْجَبْ فَعَجَبٌ هَؤُلَاءِ يَقْتَرِضُونَ الْهَمَّ نَقْداً لِيَقْضُوهُ نَسِيئَةً فِي يَوْمٍ لَمْ يُشْرِقْ شَمْسُهُ وَلَمْ يَرَ النُّورَ، فَحِذَارِ مِنْ طُولِ الْأَمَلِ.

Jika anda ingin merasa hairan, maka hairanlah kepada mereka yang “meminjam” kebimbangan secara tunai hari ini untuk dibayar kemudian pada hari yang mataharinya belum pun terbit dan belum melihat cahaya. Maka berwaspadalah daripada panjang angan-angan.

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment