4. Hari ini milik anda. Maka hiduplah dalam hari ini yang sudah ada di hadapan anda, bukannya hari semalam yang telah terjadi (dan tidak boleh diubah), dan bukannya menanti-nanti hari esok yang belum tentu tiba.
Hari ini adalah hari yang telah di’hadiah’kan kepada anda dan kerana itulah namanya pun ‘present’. Salah satu kebahagiaan akan didapati oleh anda jikalau anda mengecapi kehidupan sekarang ini, waktu ini. Fikiran anda fokus kepada masa sekarang sahaja dan anda akan menghargai masa sekarang.
Ada pepatah yang saya suka: “Children have neither past nor future; they enjoy the present, which very few of us do“. – Jean de la Bruyere
Benar sekali kata-kata ini. Kita menghilangkan rasa kebahagiaan waktu sekarang kerana asyik memikirkan masa lampau dan takut menghadapi masa hadapan. Apabila hati menjadi gundah gulana, bagaimana hendak menikmati waktu sekarang? Maka kita harus belajar mencontohi sikap kanak-kanak. Lihatlah mereka bergembira sahaja kerana mereka belum pandai untuk risau hal semalam dan merancang hari esok. Contohnya begini, anda sedang makan akan tetapi sedang sibuk memikirkan kerja kerana mungkin ada masalah besar yang sedang dihadapi. Tentulah kesedapan makanan itu tidak terasa. Hilang sudah satu nikmat yang Allah berikan, bukan? Malah pencernaan makanan pun menjadi tidak bagus.
Rasa nikmat hari ini akan lebih terasa kalau anda bayangkan seolah-olah hari ini adalah hari terakhir anda. Kalaulah anda tahu ini adalah hari terakhir anda untuk hidup, agaknya bagaimana cara anda menjalani hidup pada hari ini? Tentu lain, bukan? (Satu lagi tips, sebelum solat, bayangkan ini adalah solat terakhir anda, tentu lain macam jadinya solat itu.)
Oleh itu, kalau hari ini sahaja yang kita ada, maka curahkan segala usaha dan perhatian kepada hari ini. Bekerja keraslah dan ambillah peluang yang ada pada hari ini. Selain daripada kerja, bila solat, fokus, bila baca Al-Qur’an pun fokus, bila bersama keluarga, luangkan masa betul-betul bersama mereka.
Carilah bekalan untuk akhirat sebanyak-banyaknya untuk hari ini. Tanamkan sebanyak mungkin kebaikan, hindarkan daripada berbuat dosa kerana kita tidak tahu esok masih ada harapan untuk bertaubat atau tidak. Perbanyakkanlah istighfar kerana dosa kita tentunya banyak, jangan ditangguh istighfar untuk esok.
Hari ini sahaja yang kita ada, maka peganglah dan hargailah ia dengan kuat seperti firman Allah ﷻ di dalam A’raf:144
فَخُذ ما ءآتَيتُكَ وَكُن مِّنَ الشّٰكِرينَ
terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur
Hiduplah pada hari ini dengan ketenangan, kegembiraan, tanpa marah dan dengki. Tidak perlu sibuk dengan sifat dan perasaan yang buruk-buruk. Buat apa itu semua? Kerana kita tidak perlu fikirkan hal-hal kecil yang mengganggu jiwa kita. Kalau esok kita mati, takkan kita hendak sibuk dengan hal-hal kecil, bukan?
Apalah sangat yang perlu disibukkan tentang hari semalam? Ia telah berlalu. Apalah sangat perlu dirisaukan tentang hari esok? Ia belum datang lagi pun. Kalau hari ini anda hidup dan dapat makan, minum, ada keluarga bersama anda, itu semua sudah merupakan nikmat yang cukup besar. Ketahuilah berapa ramai lagi manusia lain yang bermatian sanggup berada di tempat anda?



