Tafsir Surah Yaasin: Ringkasan Makro

RINGKASAN KESELURUHAN SURAH

Setelah melihat kesemua 6 bahagian makro struktur cincin itu semua, sekarang kita boleh melihat struktur cincin keseluruhan surah; jadi ini bentuk cincin yang lebih besar merangkumi keseluruhan surah pula. Kita boleh melihat kaitan di antara satu bahagian dengan bahagian yang lain, menunjukkan keindahan susunan surah ini.

Penjelasan Kaitan:

[U]/[U’] – Surah Yaasin bermula dengan menyebut tentang Kalamullah (Al-Qur’an dan berakhir dengan Kalamullah dalam bentuk takdirNya.

[V]/[V’] – Belajar tentang sejarah hidup manusia dikaitkan dengan keselamatan di masa hadapan (Akhirat).

[W]/[W’] – Allah mengajar kita melihat dunia di sekeliling kita dan orang yang buta (buta mata hati) tidak mampu melakukannya.

 

Sekarang kita boleh melihat keseluruhan ayat-ayat yang ada di dalam Surah Yaasin ini dan melihat kaitan antara satu ayat dengan ayat yang lain yang mempunyai pasangan di permulaan dan pengakhiran. Dari sini kita boleh melihat hebatnya susunan surah ini yang bukanlah kelam kabut seperti pandangan sesetengah orang yang tidak mempelajarinya. Susunan sebegini punya hebat tidak mungkin dibuat oleh seorang manusia yang bernama Muhammad yang tidak komputer dan tidak pandai syair. Ia menjadi salah satu bukti (Mukjizat) bahawa Al-Qur’an ini memang dari Allah kerana tidak mungkin mana-mana manusia membuatnya.

Memang kalau tidak mahir tentang hal ini, seorang yang jahil akan berkata bahawa susunan Al-Qur’an bercelaru. Ini seperti kata Richard Bell (1876-1952), seorang orientalis asal Skotlandia yang terkenal dengan terjemahan Al-Qur’annya. Bell mengemukakan teori tentang “critical re-arrangement of the Surahs” (penyusunan semula surah-surah) dalam terjemahannya, “The Qur’an, Translated, with a critical re-arrangement of the Surahs” (1937-1939). Dia berpendapat bahawa Al-Qur’an dalam bentuk mushaf yang ada saat ini tidak tersusun secara kronologi berdasarkan waktu turunnya wahyu, dan dia mencuba menyusunnya kembali berdasarkan analisis linguistik dan sejarahnya. Bell juga mengemukakan adanya kemaskini atau kemasukan pada unit-unit wahyu tertentu yang diduga dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Pandangannya ini memberi implikasi bahawa ada unsur “penyuntingan” atau “perubahan” dalam proses kodifikasi Al-Qur’an yang menghasilkan susunan saat ini, yang tentu sahaja sangat berbeza dengan pandangan Islam tradisional tentang tauqifi.

Jangan katakan orang kafir, kita kalau tidak belajar pun kadang-kadang jadi keliru kenapa cerita itu di sini dan ini di situ? Sebenarnya susunan Al-Qur’an amat hebat kalau kita mempelajarinya.

 

Penjelasan: 

[A]/[A’] – Di awal surah, Allah bersumpah dengan Al-Qur’an untuk menekankan siapa yang dia hantar iaitu Rasulullah. Di hujung surah disebut kita pula yang akan dihantar kepadaNya.

[B]/[B’] – Kemudian Allah menyebut tentang KalamNya, termasuklah ketetapanNya حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ bahawa kebanyakan manusia tidak akan beriman. Akan tetapi manusia tetap tidak mahu beriman dengan ajaran wahyu. Di Bahagian [B’] disebut salah satu dari contoh hebatnya Kalam Allah iaitu كُن فَيَكُونُ.

[C]/[C’] – Di Bahagian Allah ﷻ [C] tentang keadaan ahli-ahli neraka di mana mereka akan diikat dengan rantai dan tidak dapat bergerak ke hadapan atau ke belakang. Di Bahagian [C’] pula menyebut tentang api, yang memberi isyarat kepada salah satu azab utama di dalam neraka.

[D]/[D’] – Di dalam [D] ada isyarat kepada syurga apabila Allah menyebut ‘berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia‘. Kemudian di dalam Bahagian [D’] juga mengandungi isyarat kepada syurga apabila menyebut tentang pepohon hijau kerana syurga itu penuh dengan tumbuh-tumbuhan hijau.

[E]/[E’] – Di dalam[E] Allah ﷻ memaklumkan kepada kita yang Dialah yang akan menghidupkan yang mati dan Dia menulis semua rekod amalan makhluk. Di dalam Bahagian  [E’] pula ada orang kafir yang bertanya siapakah yang akan menghidupkan tulang yang telah hancur reput? Allah menjawap Yang menghidupkan pertama kali itulah juga yang akan menghidupkan kembali tulang-tulang yang hancur reput. Ini kerana Allah mempunyai ilmu tentang segala perbuatan dan keadaan makhlukNya di mana sahaja mereka berada. Jadi kedua-dua Bahagian ini menyebut tentang ilmu Allah yang Maha Luas.

[F]/[F’] – Di dalam bahagian ini, terdapat perbandingan (ضَرَبَ). Jadi ada dua ضَرَبَ di dalam surah ini. Mulanya di dalam Bahagian [F] Allah ﷻ membuat perbandingan tentang kisah satu pekan وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلاً أَصۡحَـٰبَ ٱلۡقَرۡيَةِ. Kemudian di dalam Bahagian [F’] kita melihat pula perbandingan yang dibuat oleh orang kafir وَضَرَبَ لَنَا مَثَلاً۬ وَنَسِىَ خَلۡقَهُ. Perbandingan Allah adalah untuk mengajar, tapi perbandingan mereka hendak mengejek, sedangkan mereka lupa asal usul mereka sendiri. Jadi pada mula Allah membuat perbandingan bagi manusia dan kemudian mereka pula dengan kurang ajarnya membuat perbandingan bagi Allah pula.

[G]/[G’] – Di dalam[G] disebut penolakan orang kafir adalah kerana para Rasul itu hanya “manusia seperti kami” sahaja. Di dalam[G’] Allah mengingatkan asal kejadian mereka yang berasal dari air mani yang tidak ada apa-apa nilai. Jadi mereka tidak patut merendahkan kedudukan para Rasul itu kerana mereka pun manusia juga dan tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah yang telah memilih para Rasul itu.

[H]/[H’] – Di dalam [H] kita sambung membaca kisah penduduk pekan itu mengutuk para Rasul itu dan para Rasul itu telah menjawab tuduhan mereka. Di dalam [H’] pula Allah memujuk Rasulullah supaya jangan bersedih dengan kutukan, ejekan dan tuduhan Musyrikin terhadap baginda. Bezanya baginda tidak disuruh menjawab sebaliknya Allah maklumkan yang Dia tahu apa yang  mereka lakukan dan Allah pasti akan membalas perbuatan mereka itu.

[I]/[I’]Di dalam [I] telah disambung dakwah kepada penduduk pekan itu boleh seorang lelaki beriman dengan berbagai hujah-hujah beliau. Penduduk pekan itu tetap berdegil dan membunuh lelaki itu. Akhirnya disebut bagaimana Allah telah membinasakan mereka. Di dalam [I’] kita melihat keadaan orang kafir di dalam neraka kerana menolak kebenaran. Kemudian disebut hujah-hujah dari Allah kepada orang kafir untuk beriman dan disebut tentang kesan azab yang mereka terima kerana mereka enggan dan degil.

Dua-dua bahagian ini ada menggunakan kalimah جُندٌ. Di dalam [I] Allah beritahu yang Dia tidak perlu hantar جُندٌ (tentera) pun untuk musnahkan mereka yang kufur zalim itu. Allah tempik sekali sahaja terus mereka mati katak. Kemudian di dalam [I’] Allah menyebut orang kafir itu yang menjadi جُندٌ (tentera) kerana berhala sembahan mereka bukannya boleh mempertahankan diri sendiri.

[J]/[J’] – Di dalam [J] Allah ﷻ mengeluh tentang penolakan manusia kepada kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Allah suruh mereka kenangkanlah berapa banyak umat terdahulu yang telah dimusnahkan kerana penolakan mereka. Di dalam  [J’] Allah ﷻ memberitahu jangan sembah syaitan kerana ramai manusia yang telah ditipu oleh syaitan.

[K]/[K’] – Di dalam [K] kita diberitahu yang semua makhluk akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk menerima pengadilan. Di dalam [K’] kita diberi maklumat tambahan tentang peristiwa itu di mana orang yang berdosa akan dipisahkan sebagai penghinaan kepada mereka.

[L]/[L’] – Tiga perkara disebut di dalam bahagian ini: Kebun, buah-buahan dan pasangan. Di dalam [L] Allah menyebut tentang nikmat kebun di dunia dan buah-buahan yang Dia jadikan untuk kita makan. Dan kemudian Allah menyebut tentang pasangan di dunia. Di dalam [L’] Allah menyebut tentang kebun di syurga dengan segala jenis buah-buahan yang diberikan sebagai nikmat kepada kita. Ahli syurga pula duduk di syurga itu bertelekan dengan pasangan mereka masing-masing.

[M]/[M’] – Di dalam [M] Allah menyebut tentang proses masa yang berjalan di dunia dan di akhirat nanti. Di dunia kita ada malam dan siang yang berganti termasuk perubahan antara matahari dan bulan yang menjadi tanda masa bagi kita. Masa itu berjalan sehinggalah disebut di dalam [M’] apa yang akan berlaku di akhirat kelak. Penandanya adalah Sangkala pula yang akan menghidupkan kita dari tidur yang lama. Kemudian kita akan dibawa ke hadapan Allah. Di akhirat tidak ada lagi matahari dan bulan, cuma ada Sangkala sahaja yang menjadi penanda bagi kita di sana.

[N]/[N’] – Ini pula tentang keluarga. Allah ﷻ mengingatkan tentang keluarga di dalam [N] di mana keturunan kita dibawa dengan kapal, mulanya bahtera Nabi Nuh dan berterusan sehingga ke zaman sekarang di mana kita kadang-kadang menghantar anak cuuc kita menaiki kapal ke tempat yang lain. Tapi apabila Kiamat berlaku nanti, disebut di dalam [N’] yang kita tidak sempat memberi pesan pun kepada keluarga kita nanti. Tidak sempat pulang kepada keluarga dan malah tidak sempat beri pesan pun kepada mereka.

[O]/[O’] – Ini tentang pekikan dan tiadanya bantuan. Di dalam [O] Allah beritahu yang kalau Allah mahu, Dia boleh sahaja menenggelamkan manusia di lautan dan ketika itu tidak ada sesiapa pun yang dengar pekikan mereka dan membantu mereka. Kemudian Allah suruh bayangkan keadaan akhirat nanti di dalam [O’] di mana semua akan dimatikan dengan sekali pekikan sahaja dan pada ketika itu pun tidak ada sesiapa yang boleh membantu.

[P]/[P’] – Di dalam dua-dua bahagian ini mengandungi kalimat وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ sebagai nasihat kepada orang kafir. Di dalam [P] disebut nasihat kepada mereka untuk memerhatikan perbuatan mereka dan apa yang mereka telah lakukan sebagai bekal kepada akhirat. Kemudian di dalam [P’] pula mereka juga dinasihatkan untuk infak kepada yang memerlukan tapi mereka beri hujah bodoh pula.

[Q] – Di pertengahan surah ini menjadi ringkasan bagi semua bahagian di dalam surah ini. Iaitu apabila datang sahaja tanda-tanda kepada orang kafir itu, semua mereka berpaling darinya. Berkali-kali Allah beri nasihat dan tanda supaya mereka ikut tapi berkali-kali juga mereka tolak dan berpaling. Menarik apabila digunakan perkataan berpaling atau berpusing di sini kerana apabila kita duduk di tengah, kita boleh berpaling atau berpusing dari mengadap ke sini dan ke sebelahnya. Orang kafir itu ada peluang untuk mengadap ke arah kebenaran, tapi mereka buat keputusan untuk mengadap ke arah kesesatan.

 

Dan kalau kita melihat topik yang disentuh di dalam Surah Yaasin ini, kita boleh melihat topik-topik utama yang bertukar-tukar dan bermula dengan Al-Qur’an dan berakhir dengan Al-Qur’an kembali.

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah Yaasin. Sambung ke surah seterusnya, Surah Saffat.

Kemaskini: 3 Julai 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Heavenly Order

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment