Mulk Ayat 30: Dalil Aqli (akal) terakhir dalam surah ini. Allah ﷻ gunakan perumpamaan air.
قُل أَرَءيتُم إِن أَصبَحَ ماؤُكُم غَورًا فَمَن يَأتيكُم بِماءٍ مَّعينٍ
Say, “Have you considered: if your water was to become sunken [into the earth], then who could bring you flowing water?”
Katakanlah lagi: “Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (ditelan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?”.
قُلْ
Katakanlah;
Berhujahlah kepada mereka, suruh mereka fikirkan. Banyak kali Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘Qul’ tetapi tidaklah membosankan kita membacanya walaupun kita membacanya berkali-kali. Kalau perkataan manusia, tentulah kita akan merasa bosan. Inilah kehebatan ayat-ayat Al-Qur’an, baca banyak kali pun tidaklah kita pernah bosan.
أَرَأَيْتُمْ
Apakah tidak kamu perhatikan;
Ini adalah soalan Allah ﷻ kepada manusia. Allah ﷻ menyuruh kita memikirkan. Allah ﷻ suruh kita perhatikan dengan ‘mata hati’. Jangan lihat dengan mata fizikal sahaja. Di ayat akhir ini pun sekali lagi Allah ﷻ suruh kita menggunakan akal kita yang Dia telah berikan.
إِنْ أَصْبَحَ مَاؤُكُمْ غَوْرًا
jika Allah menjadikan air kamu surut;
Allah ﷻ boleh serapkan air semuanya sehingga menjadi kering kontang bumi itu, tidak didapati air itu lagi. Allah ﷻ memang mampu buat. Di dalam ayat 28 telah disebut عَذابٍ أَليمٍ yang boleh dikenakan kepada orang kafir di akhirat kelak. Namun Allah ﷻ tidak perlu di akhirat untuk azab mereka. Allah ﷻ boleh sahaja beri azab dengan memotong bekalan air manusia yang ingkar itu. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Perkataan أَصْبَحَ bermaksud cepat sahaja perkara itu terjadi. Apabila datang subuh sahaja, kita lihat air telah tiada. Perkataan غَوْرًا bermaksud air surut masuk ke dalam bumi. Tidak boleh diambil lagi. Tidak boleh dicari lagi sebab sudah masuk dalam sangat. Korek telaga pun tidak jumpa.
Kenapa Allah ﷻ menggunakan contoh air dalam ayat ini? Ini adalah kerana Al-Qur’an mula-mula diturunkan kepada bangsa Arab dan air adalah satu sumber yang amat penting sekali kepada mereka. Tambahan pula bagi Arab Mekah itu, مَاؤُكُمْ (air kalian) bagi mereka adalah air zam-zam. Mereka bergantung kepada air zam-zam itu kerana ia air yang tidak habis-habis, sepanjang tahun ada sahaja. Akan tetapi Allah ﷻ hendak beritahu, air zam-zam itu pun Allah ﷻ boleh putuskan bekalannya kalau Dia mahu. Jadi, apabila digunakan contoh air, mereka akan cepat faham. Namun begitu, bukanlah air itu diperlukan oleh mereka sahaja. Seluruh dunia memerlukan air. Tidak ada kehidupan jikalau tiada air. Jadi, penggunaan contoh air ini adalah amat bertepatan sekali. Kita pun kalau kemarau sekejap pun sudah terasa susah, bukan?
Surah ini namanya al-Mulk yang bermaksud ‘kerajaan’. Allah ﷻ berkuasa untuk buat apa-apa sahaja untuk mengazab manusia yang ingkar. Akan tetapi Allah ﷻ tidak perlu memusnahkan bangunan, gunung dan sebagainya untuk mengazab manusia. Cukup Allah ﷻ putuskan bekalan air sahaja, 5 hari sahaja mati belaka manusia seluruh dunia.
Satu lagi kaitan kerajaan adalah takhta bagi Allah ﷻ adalah Arasy. Di dalam Hud: 7 disebut yang Arasy Allah itu di atas air,
وَكانَ عَرشُهُ عَلَى الماءِ
sedang Arasy-Nya, berada di atas air
Di sini Allah ﷻ mengingatkan kepada kita semua bahawa air itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ semata. Kadang-kadang kita tidak perasan berkatnya air itu yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Yang manusia jahil cari adalah berkat tok guru, air liur, air basuhan kaki, air mandian, berkat kayu koka dan segala jenis kayu, berkat capal Nabi, logo capal Nabi dan bermacam jenis berkat yang dicari manusia yang tidak ada dalil sandarannya. Sedangkan ini berkat yang Allah ﷻ setiap hari berikan kepada mereka, mereka tidak perhatikan dan tidak bersyukur pun kepada Allah ﷻ.
Begitulah Al-Qur’an menggunakan contoh-contoh yang manusia mudah dan cepat faham. Asalkan kita mahu belajar dan buka hati kita. Namun masalahnya, ramai yang tidak terfikir pun untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Mereka sangka mereka sudah pandai, sudah faham agama, tetapi sebenarnya tidak. Atau ada guru-guru jahil yang mengatakan Al-Qur’an ini terlalu tinggi sampai tidak boleh difahami oleh manusia biasa. Ini adalah fahaman yang amat sesat dan dipelopori oleh syaitan. Malangnya ia diulang-ulangi oleh golongan agamawan pula.
فَمَنْ يَأْتِيكُمْ بِمَاءٍ مَعِينٍ
Maka siapakah yang boleh mendatangkan air mengalir kepada kamu?;
Kalimah مَعِينٍ bermaksud air yang mengalir dengan cantik dan tenang. Ia daripada kata dasar ع ي ن yang bermaksud mata dan selalu digunakan untuk mata air. Inilah air yang diharap-harapkan oleh semua orang.
Adakah sesiapa yang boleh mengadakan kembali air itu seandainya Allah ﷻ telah hilangkan? Tidak ada sesiapa yang boleh buat. Hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu. Yang beri air itu pada mulanya pun Allah ﷻ juga. Seandainya Allah ﷻ ambil, siapakah lagi yang boleh mengeluarkannya? Maka, sedarlah kita bahawa kita ini amat bergantung sangat kepada Allah ﷻ.
Maka kalau Allah sahaja yang boleh beri sumber air kepada kita, maka kenapa hendak sembah selain Allah ﷻ? Kenapa hendak berdoa kepada selain Allah ﷻ?
Dalam semua perkara kita bergantung kepada Allah ﷻ. Janganlah semakin kita maju, kita rasa kita boleh buat sendiri. Jangan kita rasa kita tidak memerlukan Allah ﷻ lagi. Janganlah jadi seperti orang barat yang sudah merasa mereka menguasai dunia dengan kehebatan teknologi yang mereka sudah ada. Mereka itu perasan mereka sudah hebat sampaikan ajaran agama menjadi asing bagi mereka sehinggakan mereka sangka mereka tidak perlukan Tuhan lagi. Janganlah kita rasa selamat kalau kita tidak bergantung dengan Allah ﷻ. Serahkanlah diri kita kepada Allah ﷻ. Tawakallah kepada Allah ﷻ dalam segenap hal.
Disunatkan apabila sampai ke hujung ayat ini untuk menjawabnya, kerana ia mengandungi soalan. Maka jawapannya adalah الله رَبُّ العٰلَمِين. Ya, hanya Allah ﷻ sahaja yang boleh mengembalikan air itu semula.
Begitulah susunan ayat-ayat di dalam Surah Mulk ini yang amat hebat. Semuanya telah disusun dengan begitu hebat sekali. Kita boleh bahagikan susunan semua ayat itu kepada 6 bahagian yang utama:
Di dalam Bahagian 1 (ayat 1 – 4), Allah ﷻ menceritakan kehebatan kerajaan-Nya dan alam yang diciptanya. Di sini kita yakin yang Allah ﷻ berkuasa atas segala sesuatu. Malah kuasa Allah ﷻ itu kekal (sifat barakah yang kekal).
Di dalam Bahagian 2 (ayat 5 – 15), kita banyak ditakutkan dengan kejadian di Neraka. Kemudian Allah ﷻ memberitahu balasan Syurga bagi mereka yang taat.
Di dalam Bahagian 3 (ayat 16 – 22), Allah ﷻ mengancam kita dengan azab di dunia lagi, tidak perlu tunggu azab di Neraka. Azab itu boleh datang bila-bila masa sahaja.
Di dalam Bahagian 4 (ayat 23 & 24), Allah ﷻ menceritakan tentang kehidupan di dunia, mengingatkan kepada kita bahawa hidup di dunia ini singkat sahaja kerana akhirnya kita akan kembali kepada-Nya. Maka kita hendaklah ambil peluang selagi kita hidup ini dengan beramal kebaikan.
Di dalam Bahagian 5 (ayat 25 – 27), Allah ﷻ mengulang kata-kata kurang ajar para penentang apabila mereka mempersoalkan kedatangan akhirat itu. Kalau ada, bila datangnya? Begitulah kata-kata mereka.
Di dalam Bahagian 6 (ayat 28 – 30), Allah ﷻ mengingatkan kepada kita betapa lemahnya insan ini.
Yang menariknya, setiap topik ini ada kaitan antara lawannya:
Bahagian 1 dengan Bahagian 6: Allah ﷻ berkuasa dan lawannya insan itu lemah sangat. Kekuasaan Allah ﷻ lebih ternampak jelas apabila kita nampak lemahnya diri kita.
Bahagian 2 dengan Bahagian 5: Apabila Allah ﷻ menceritakan tentang akhirat, para penentang mempersoalkan bila datangnya.
Bahagian 3 dengan Bahagian 4: Allah ﷻ mengingatkan kita tentang pendeknya hidup di dunia ini yang bermakna kita tidak ada masa yang panjang untuk buat persediaan. Bahagian 3 menyentuh singkatnya hidup umat manusia di dunia ini (Allah ﷻ boleh musnahkan manusia bila-bila masa) dan Bahagian ke 4 mengatakan pendeknya hidup secara individu (kita boleh mati bila-bila masa sahaja).
Mari kita perhatikan lebih lanjut setiap satu daripada kaitan ini.
Di dalam Bahagian 1 disebut Allah ﷻ mencipta 2 perkara iaitu kehidupan dan kematian خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ (ayat 2); di dalam Bahagian 6 sekali lagi hidup dan mati disebut إِنْ أَهْلَكَنِىَ ٱللَّهُ وَمَن مَّعِىَ أَوْ رَحِمَنَا (ayat 28).
Di dalam Bahagian 1 disebut kekuasaan Allah ﷻ untuk melakukan apa sahaja وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ (ayat 1) dan antara kuasa Allah ﷻ adalah mengazab para penentang فَمَن يُجِيرُ ٱلْكَـٰفِرِينَ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ (ayat 28) dan menghilangkan air إِنْ أَصْبَحَ مَآؤُكُمْ غَوْرًۭا (ayat 30) yang disebut di dalam Bahagian 6.
Di dalam Bahagian 1 disebut وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ (ayat 2) iaitu kuasa menghukum dan mengampun di Tangan Allah sahaja dan di Bahagian 6 disebut sekali lagi soalan فَمَن يُجِيرُ ٱلْكَـٰفِرِينَ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ (ayat 28).
Nama ٱلرَّحْمَـٰنِ disebut di dalam Bahagian 1 ما تَرَىٰ فِى خَلْقِ ٱلرَّحْمَـٰنِ مِن تَفَـٰوُتٍۢ (ayat 3) dan di Bahagian 6 juga disebut هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ (ayat 29).
Ada elemen melihat di dalam dua-dua Bahagian ini. مَّا تَرَىٰ فِى خَلْقِ ٱلرَّحْمَـٰنِ مِن تَفَـٰوُتٍۢ ۖ فَٱرْجِعِ ٱلْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍۢ (ayat 3) dan dua kali kalimah تَرَىٰ disebut. Perhatikan di dalam Bahagian 6 juga disebut dua kali kalimah lihat iaitu قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِنْ أَهْلَكَنِىَ ٱللَّهُ وَمَن مَّعِىَ (ayat 28) dan قُلْ أَرَءَيْتُمْ إِنْ أَصْبَحَ مَآؤُكُمْ غَوْرًۭا (ayat 30).
Bahagian 2 bermula dengan penceritaan tentang langit وَلَقَدْ زَيَّنَّا ٱلسَّمَآءَ ٱلدُّنْيَا dan kemudian diberitahu syaitan diazab رُجُومًۭا لِّلشَّيَـٰطِينِ di langit dan dijanjikan dengan azab yang lebih teruk وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ ٱلسَّعِيرِ (ayat 5) bukan hanya syaitan tetapi orang kafir juga وَلِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِرَبِّهِمْ iaitu mereka akan dikenakan dengan عَذَابُ جَهَنَّمَ (ayat 6). Kemudian diteruskan dengan menceritakan keadaan di dalam neraka itu seperti شَهِيقًۭا (ayat 7) dan تَمَيَّزُ (ayat 8). Kemudian bertukar menceritakan tentang syurga yang akan diberikan kepada orang mukmin إِنَّ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم (ayat 12).
Bahagian 2 bermula dengan sebut tentang langit dan kemudian di hujung bahagian ini menyebut tentang bumi pula ٱلْأَرْضَ ذَلُولًۭا (ayat 15).
Kemudian di Bahagian 5 disebut soalan para penentang وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلْوَعْدُ (ayat 25). Apakah janji itu? Itulah janji-janji dan penceritaan yang telah disebut di dalam Bahagian 2.
Di dalam ayat 26 disebut وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌۭ dan di mana isu ini pernah timbul? Ya, di dalam Bahagian 2 iaitu apabila malaikat bertanya: أَلَمْ يَأْتِكُمْ نَذِيرٌۭ (ayat 8). Jadi di dalam Bahagian 2 dan Bahagian 5 kedua-duanya ada menggunakan kalimah نَذِيرٌۭ dan ini menguatkan pertalian antara keduanya.
Di dalam Bahagian 2 dan 5 ini juga disebut penyesalan ahli neraka iaitu وَقَالُوا۟ لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِىٓ أَصْحَـٰبِ ٱلسَّعِيرِ (ayat 10) dan فَلَمَّا رَأَوْهُ زُلْفَةًۭ سِيٓـَٔتْ وُجُوهُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ (ayat 27).
Ada 2 soalan yang melibatkan pendengaran dan 2 soalan yang melibatkan penglihatan di sini. Kalau kita betul-betul mendengar dan melihat, hati kita sepatutnya berubah ke arah kebaikan.
2 soalan pendengaran adalah ءَأَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يَخْسِفَ بِكُمُ ٱلْأَرْضَ (ayat 16) dan أَمْ أَمِنتُم مَّن فِى ٱلسَّمَآءِ أَن يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًۭا (ayat 17). Ia soalan berkenaan pendengaran kerana tidak boleh lihat dua perkara ini.
Kemudian ada 2 soalan lagi iaitu أَمَّنْ هَـٰذَا ٱلَّذِى هُوَ جُندٌۭ لَّكُمْ (ayat 20) dan أَمَّنْ هَـٰذَا ٱلَّذِى يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُۥ (ayat 21).
2 soalan penglihatan pula adalah أَوَلَمْ يَرَوْا۟ إِلَى ٱلطَّيْرِ فَوْقَهُمْ (ayat 19) dan أَفَمَن يَمْشِى مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِۦٓ (ayat 22). Kedua-duanya melibatkan visual yang kita boleh bayangkan.
Perhatikan kaitannya di dalam ayat 23 di mana Allah ﷻ berfirman وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصَـٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ di mana pendengaran dan penglihatan disebut. Apakah kesannya? Hati akan berubah.
Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Mulk ini. Sambung ke surah seterusnya, Surah Qalam.
Kemas kini: 13 April 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh (Dr) Haitham Al-Haddad
Kuliah tafsir Surah al-Mulk oleh Sheikh Abdul Nasir Jangda
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Nouman Ali Khan





السلام عليكم
maaf sekali, nak bantu correct kata baginda dalam penjelasan paragraf ke-2 dalam picture kaitan antara bahagian 1 dan bahagian 6.
kalimat:
“dan antara kuasa baginda adalah….”
LikeLike
done. terima kasih kerana bagitahu ya
LikeLike