Tafsir Surah al-Hijr Ayat 95 – 99 (Solat sehingga al-yaqin)

Hijr Ayat 95: Apabila menyampaikan dakwah tauhid secara terang-terangan, mungkin ada orang yang tidak suka dan akan mencederakan kita. Oleh itu sekarang Allah ‎ﷻ beri jaminan daripada-Nya sendiri. Kadang-kadang kita takut kepada orang lain, namun Allah ﷻ beritahu yang kita tidak perlu takut pun.

إِنّا كَفَينٰكَ المُستَهزِءينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We are sufficient for you against the mockers

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami memelihara kamu daripada (kejahatan) orang-orang yang memperolok-olokkan (kamu),

 

Allah ﷻ itu cukup terhadap mereka itu yang memperolok-olokkan kamu. Cukuplah Allah ﷻ sebagai pembantu dan pelindung baginda daripada ancaman mereka. Tidak perlu bantuan daripada makhluk. Mereka kata baginda gila, ahli sihir dan macam-macam lagi. Kalau kita mahu lawan mereka, tentu tidak boleh kerana kadang-kadang mereka itu lebih ramai dan lebih kuat. Mereka mungkin hendak mencederakan kita (tangkap, bunuh dan sebagainya). Maka, kita serahkan sahaja kepada Allah ﷻ. Cukup dengan Allah ﷻ sahaja untuk menangani mereka.

Dengan ayat ini, Rasulullah ﷺ dan para sahabat terus melakukan dakwah secara terbuka. Mereka tidak takut lagi dengan ancaman para penentang. Maka kita pun kena ambil semangat daripada ayat ini, iaitu kalau kita menjalankan kerja dakwah kita, Allah ﷻ ada untuk memelihara kita.

Siapakah asal-asal المُستَهزِءينَ yang disebut di dalam ayat ini? Berkata Muhammad bin Ishaq: “Pembesar-pembesar Quraisy yang mengolok-olok Nabi ﷺ sebagaimana yang diriwayatkan kepadaku oleh Yazid bin Ruman, daripada `Urwah bin az-Zubair, jumlah mereka adalah lima orang, yang mana mereka itu orang-orang kuat dan terpandang dalam kaum mereka.

1. Daripada Bani Asad bin `Abdil `Uzza bin Qushay, ialah al-Aswad bin al-Muththalib, Abu Zam’ah.
2. Daripada Bani Zahrah, al-Aswad bin `Abdi Yaguts bin Wahb bin `Abdi Manaf bin Zahrah.
3. Daripada Bani Makhzum, al-Walid bin al-Mughirah bin `Abdillah bin `Amr bin Makhzum.
4. Daripada Bani Salim bin `Amr bin Hashish bin Ka’ab bin Lu-ay, al-‘Ash bin Wa-il bin Hisyam bin Sa’id bin Sa’ad.
5. Daripada Bani Khuza’ah, al-Harits bin ath-Thalathilah bin `Amr bin al-Harits bin `Abd bin `Amr bin Malkan.

Mereka ini semuanya binasa semasa Perang Badr bersama rakan-rakan mereka yang lain.

Maka ini mengajar kita cara berdakwah iaitu ketika suasana tidak mengizinkan kerana bahaya ke atas nyawa kita, maka berdakwahlah dengan cara yang bersembunyi. Akan tetapi kalau keadaan mengizinkan, maka hendaklah disampaikan dengan cara terang-terangan. Ada pun di negara kita ini, tidaklah ada ancaman nyawa kalau kita berdakwah secara terang-terangan maka hendaklah kita tidak berselindung.


 

Hijr Ayat 96: Siapakah mereka yang memperolok-olokkan itu? Apakah kesalahan mereka?

الَّذينَ يَجعَلونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءاخَرَ ۚ فَسَوفَ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Who make [equal] with Allāh another deity. But they are going to know.

(MELAYU)

(Iaitu) orang-orang yang menganggap adanya ilah yang lain di samping Allah; maka mereka kelak akan mengetahui (akibat-akibatnya).

 

الَّذينَ يَجعَلونَ مَعَ اللهِ إِلٰهًا ءاخَرَ

(Iaitu) orang-orang yang menjadikan ilah yang lain di samping Allah;

Ilah adalah tempat sandaran hati kita. Tempat kita berharap, tempat kita berdoa dan tempat kita taat. Oleh itu, kalau kita ada entiti selain Allah ﷻ yang kita berharap, berdoa dan tempat kita taat, maka kita telah menjadikan ilah lain selain Allah ﷻ.

Ini adalah syirik dan berdosa sedangkan dalam syahadah kita, kita sebut: Tidak ada ilah selain Allah ﷻ, bukan? Namun dek kerana tidak faham maksud ilah, maksud tauhid dan syirik, maka ramailah dalam kalangan orang Islam sendiri yang berbuat syirik dan adakan ilah lain selain Allah ﷻ. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Muslim kita jahil dalam agama terutama sekali jahil wahyu Allah ﷻ.

Juga kerana mereka telah bergelumang dengan fahaman itu, apabila dibawakan ayat-ayat Allah ﷻ tentang salahnya perkara itu, lalu mereka olok-olokkan ayat-ayat Allah ﷻ itu pula. Maksudnya mereka melawan wahyu.

 

فَسَوفَ يَعلَمونَ

maka mereka kelak akan mengetahui 

Kelak mereka akan tahu balasan yang mereka akan terima. Iaitu apabila mereka mati nanti dan dimasukkan ke dalam neraka. Mungkin sekarang mereka buat dungu sahaja tidak mahu dengar apa yang kita sampaikan, tetapi nanti akan sampai masa yang mereka akan tahu juga akhirnya.


 

ALLAH ﷻ SAHAJA TEMPAT BERLINDUNG

Hijr Ayat 97: Allah ﷻ faham apa yang dirasakan dalam hati Nabi ﷺ dan penyebar tauhid itu apabila mereka diperolok-olokkan.

وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We already know that your breast is constrained by what they say.

(MELAYU)

Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahwa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,

 

Allah ﷻ tahu betapa ketatnya hati Rasulullah ﷺ apabila baginda ditolak oleh kaum baginda sendiri. Mereka juga menghina Nabi ﷺ dengan berkata baginda itu seorang yang gila. Baginda juga seorang manusia maka tentunya baginda terkesan juga. Apakah tuduhan mereka terhadap baginda? Dituduh gila, tukang sihir, tukang tenung; dikatakan akan putus keturunan (abtar), kerana tidak beranak laki-laki. Dinyatakan penyebar khabar bohong dan lain-lain.

Maka Allah ﷻ beri tasliah kepada baginda dengan beritahu yang bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang dilalui oleh baginda. Kalau orang tahu apa yang kita lalui, sedikit sebanyak akan legalah hati kita. Apatah lagi kalau Allah ﷻ yang kata Dia tahu? Tentu lebih lega lagi. Maka ada banyak ayat-ayat pujukan sebegini di dalam Al-Qur’an seperti di dalam An’am: 33

قَد نَعلَمُ إِنَّهُ لَيَحزُنُكَ الَّذي يَقولونَ ۖ فَإِنَّهُم لا يُكَذِّبونَكَ وَلٰكِنَّ الظّٰلِمينَ بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.


 

Hijr Ayat 98: Ini juga adalah ayat tasliah. Allah ﷻ suruh sibukkan dengan amal ibadat supaya tidak fikirkan sangat tentang apa yang para penentang kata. Maka ini adalah cara untuk menghilangkan kesedihan sempit dada yang kita alami.

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السّٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So exalt [Allāh] with praise of your Lord and be of those who prostrate [to Him].

(MELAYU)

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),

 

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu

Jangan hiraukan apa yang mereka katakan, sebaliknya teruslah buat amal ibadat. Maksudnya, ubah fokus kepada amal ibadat. Jangan hiraukan apa yang mereka kata, apa yang mereka lakukan. Kerana kalau fikirkan hal mereka, hanya akan buat susah hati sahaja. Kita bukan boleh tukar pun keadaan itu kerana kita lemah.

Daripada ingat kepada hal mereka, baik ingat kepada Allah ﷻ dengan melakukan amal ibadat, kerana kalau ingat kepada Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Maka bertasbihlah banyak-banyak kepada Allah ﷻ. Zikir dan tasbih ada di dalam solat, maka kerana itu ada yang menafsirkan ‘tasbih’ ini bermaksud ‘solat’.

Yang penting kita kena ingat kepada Allah ﷻ kerana ia dapat menenangkan hati kita seperti disebut dalam Ra’d: 28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Ada dua elemen zikir yang disebut di dalam ayat ini iaitu Tasbih dan Tahmid. Tasbih itu membersihkan Allah ﷻ daripada sifat-sifat yang tidak patut bagi Allah ﷻ dan Tahmid itu pula adalah memuji Allah ﷻ. Ini dinamakan konsep nafi dan ithbat. Iaitu menafikan dan menetapkan sifat-sifat yang patut bagi Allah ﷻ. Ia adalah kalimah yang paling kuat, kerana itulah kalimah Syahadah kita pun ada nafi dan ithbat. Kalimah لا اله adalah nafi dan إلا الله adalah ithbat.

 

وَكُن مِّنَ السّٰجِدينَ

dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud

Kerjakanlah solat dengan banyak melakukan sujud. Janganlah jadi iblis yang enggan melakukan sujud setelah diarahkan oleh Allah ﷻ (seperti yang telah disebut dalam ayat 29 surah ini).

Allah ﷻ tidak sebut solat di dalam ayat ini tetapi Allah ﷻ sebut tentang sujud. Ini adalah kerana sujud adalah pergerakan paling utama di dalam solat (sampaikan kita sujud dua kali di dalam setiap rakaat sedangkan pergerakan lain satu sahaja). Ia juga adalah kedudukan yang kita paling hampir dengan Allah ﷻ. Kerana itulah kita dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di dalam solat. Dalilnya adalah hadith,

أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.
(Hadith Riwayat Muslim: (482))


 

Hijr Ayat 99: Teruskanlah melakukan amal ibadat itu terutama solat.

وَاعبُد رَبَّكَ حَتّىٰ يَأتِيَكَ اليَقينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And worship your Lord until there comes to you the certainty [i.e., death].

(MELAYU)

dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal).

 

Amal ibadat terutama solat itu kenalah dilakukan sehingga mati. Tidak ada masa rehat daripada solat (kecuali bagi wanita yang di dalam haid dan nifas). Kalimah اليَقينُ ini ditafsirkan sebagai mati. Semasa di hujung hayat Rasulullah ﷺ, ketika baginda dalam keadaan yang sakit sangat, sampaikan baginda tidak sedarkan diri, baginda tetap juga solat. Kalau baginda tidak sedarkan diri, sampai hendak berjalan pun tidak boleh berjalan sendiri, baginda dipapah oleh para sahabat untuk ke masjid menunaikan solat.

Memang tidak ada alasan untuk tidak mengerjakan solat kerana solat itu boleh dikerjakan dalam keadaan mana pun yang mampu dilakukan oleh kita. Ini seperti yang telah disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari,

Daripada Imran ibnu Husain رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ كَانَ بِي النَّاصُورُ فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ صَلِّ قَائِمًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Daripada [Imran bin Hushain رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Aku menderita penyakit buasir, lalu aku tanyakan hal itu kepada Nabi ﷺ, maka baginda bersabda: “Solatlah dengan berdiri, dan apabila kamu tidak mampu, maka dengan duduk, jika tidak mampu, maka dengan berbaring.”
(Sahih Bukhari (815))

Maknanya kalau kita susah, maka Allah ‎ﷻ mudahkan cara solat itu. Kalau di dalam perang pun, ada cara untuk solat. Kalau di dalam perjalanan musafir, boleh qasar dan juga boleh jamakkan solat itu. Kalau tiada air atau air terlalu sejuk, maka boleh gunakan Tayammum. Berbagai-bagai cara kita boleh gunakan di dalam keadaan-keadaan tertentu. Asalkan solat sahaja.

Malangnya kita ada perhatikan masyarakat kita yang culas tentang solat ini. Mereka selamba sahaja tidak solat. Ada yang solat, tetapi apabila dia mengalami masalah sedikit, dia tidak solat. Contohnya dia sibuk dengan kerja, tersangkut di dalam perjalanan balik kerja, atau sakit. Bab sakit ini memang masalah kalau orang kita kena. Mereka seolah-olah mendapat ‘lesen’ tidak solat. Siapa beri lesen entahlah tetapi mereka anggap kalau sakit, lebih-lebih lagi kalau dimasukkan ke wad, sudah tidak perlu solat lagi.

Jangan culas tentang solat, teruskan solat sampai mati tetapi ayat ini banyak disalahgunakan oleh golongan jahil dan sesat terutama golongan tarekat yang kononnya mengamalkan sufi. Mereka kata, solat itu dilakukan oleh orang yang tidak ‘yakin’ sahaja. Apabila mereka kononnya sudah sampai ‘tahap yakin’, mereka sudah tidak perlu solat lagi seperti orang kebanyakan. Yakin taik kucing sebenarnya.

Memang golongan ini ada, termasuk di negara ini juga, banyak yang jahil dan banyak yang tertipu dengan ajaran sesat. Mereka kata mereka itu sudah ada ilmu ‘makrifat’ yang kenal Allah ﷻ, maka tidak perlu lagi solat. Mereka tidak fikirkah, para Nabi itu lebih lagi makrifat dengan Allah ﷻ, tetapi mereka tetap solat? Ilmu makrifat mana yang mereka belajar ini, melainkan makrifat daripada syaitan? (Yang telah menipu mereka). Maka kita tidak boleh kata ilmu mereka itu ‘ilmu Makrifat’ tetapi ‘ilmu Makripat’ kerana tidak layak dipanggil makrifat (mengenal) Allah ﷻ.

Ini adalah fahaman yang sesat yang boleh diterima sahaja oleh mereka yang bodoh dan jahil kerana orang bodoh dan jahil sahaja yang boleh menyebabkan seseorang itu percaya dengan ajaran tarekat. Mereka ini memang asalnya hendak belajar agama, tetapi tersilap pilih guru. Mereka telah tersilap pilih jalan sampai termasuk ke dalam ajaran tarekat. Ada yang telah terselamat daripada ajaran sesat itu tetapi bagi yang sombong, mereka tetap terus tertipu.

Ini adalah kerana asalnya ilmu agama mereka kurang, maka mereka senang sahaja ditipu oleh mereka yang berperawakan ‘alim’ dan ‘warak’. Akhirnya mereka ambil agama bukan daripada dalil nas tetapi daripada ilmu ajaran khayalan guru-guru tarekat itu. Bila sudah belajar ilmu khayalan, maka teruslah mereka khayal dalam dunia sesat mereka itu.

Kenapa pula mati dinamakan ‘yakin’? Ini adalah kerana mati sahaja yang kita yakin akan berlaku kepada kita. Ada lagikah perkara lain yang kita yakin? Adakah anda yakin anda akan kaya? Akan berjaya? Akan dapat anak? Akan berkahwin? Akan, akan, akan? Semua itu kita tidak yakin akan berlaku tetapi satu perkara yang kita yakin dan pasti akan berlaku kepada kita tanpa syak lagi – itulah mati. Kita yakin dan pasti yang kita akan mati, bukan? Kerana itulah mati dinamakan juga اليَقينُ.

Seperti yang dikatakan oleh Ibnu Jarir, bahawa telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Sa’id, daripada Sufyan, telah menceritakan kepada kami Tariq ibnu Abdur Rahman, daripada Salim ibnu Abdullah sehubungan dengan makna firman-Nya: dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal). (Al-Hijr: 99) Menurutnya, yang dimaksudkan dengan hal yang diyakini ialah maut atau ajal.

Kalaulah umat manusia belajar wahyu Al-Qur’an ini sebelum mereka terjebak dengan ajaran-ajaran salah, tentulah mereka akan selamat dan tidak membuang masa tidak tentu arah. Tentulah mereka dapat menolak ajakan-ajakan daripada mereka yang sesat seperti golongan tarekat itu dan juga golongan Syiah dan seangkatan dengan mereka (Tarekat itu adalah adik beradik Syiah).

 

Allahu a’lam. Tamat tafsir Surah al-Hijr. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah an-Nahl.

Kemaskini: 29 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah al-Hijr Ayat 95 – 99 (Solat sehingga al-yaqin)”

Leave a comment