Ibrahim Ayat 40: Selepas memuji Allah ﷻ, maka ini adalah doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
رَبِّ اجعَلني مُقيمَ الصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتي ۚ رَبَّنا وَتَقَبَّل دُعاءِ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
My Lord, make me an establisher of prayer, and [many] from my descendants. Our Lord, and accept my supplication.
(MELAYU)
Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.
رَبِّ اجعَلني مُقيمَ الصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتي
Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat,
Baginda meminta supaya Allah ﷻ jadikanlah baginda dan keluarga baginda termasuk keturunan baginda sekali untuk sentiasa mengerjakan solat. Ini adalah kerana solat itu amalan ibadat yang amat penting. Memerlukan kekuatan untuk terus mengerjakannya. Ini kita pun tahu, kerana berapa ramai dalam kalangan orang yang mengaku Muslim, tetapi tidak solat pun.
Lihatlah kalimah yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ gunakan adalah مُقيمَ الصَّلَوٰةِ (mendirikan solat) dan bukannya ‘mengerjakan solat’. Ini adalah kerana solat itu bukannya perbuatan solat itu sahaja akan tetapi melibatkan banyak perkara lain seperti jaga wudhu’, pakaian, tempat solat, khusyuk dan sebagainya. Maka kita sebagai seorang muslim hendaklah belajar bagaimana cara-cara solat yang betul dan bagaimana untuk memperbaiki solat kita supaya menjadi semakin sempurna.
Sekali lagi di sebut tentang solat di dalam surah ini kerana ia adalah satu ibadah yang paling penting. Walaupun ada ibadah-ibadah yang lain akan tetapi solat adalah ibadah yang paling utama dan ia adalah ibadah yang pertama sekali diadili dan ibadah inilah yang menjadi pembeza antara seorang muslim dan Non-muslim.
Kenapa baginda minta kepada Allah ﷻ? Bukankah baginda seorang Nabi dan tentulah baginda tidak akan meninggalkan solat? Kerana baginda tahu yang untuk terus mengerjakan solat, memerlukan taufiq daripada Allah ﷻ, bukan daripada kekuatan diri kita. Kalau setakat kekuatan diri kita, tidak dapat melawan nafsu dan bisikan syaitan yang tidak suka kita solat. Baginda tidaklah perasan yang baginda akan terus menjaga solatnya. Begitulah orang yang benar-benar beriman, mereka amat takut jikalau Allah ﷻ tarik balik iman mereka itu. Kerana mereka sedar yang Allah ﷻ akan menilai apa yang kita lakukan di penghujung hayat kita seperti disebut di dalam hadith,
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”
(Riwayat Bukhari (6607))
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pertamanya minta untuk diri baginda dan kemudian baginda minta Allah ﷻ jadikan juga anak cucu keturunan baginda pun tetap mendirikan solat. Ini menunjukkan baginda amat mementingkan amalan agama anak cucu baginda. Baginda bukan hanya kisah tentang baginda sahaja, tetapi anak cucunya sekali. Maka kita pun kenalah ambil pengajaran daripada baginda ini. Kita pun kena risau tentang anak cucu kita. Kita kena beri mereka pengetahuan agama dan kena berdoa supaya mereka pun dijaga agama mereka. Walaupun kita telah suruh mereka solat akan tetapi kita kena perhatikan yang mereka benar-benar solat.
رَبَّنا وَتَقَبَّل دُعاءِ
Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.
Akhirnya baginda berdoa supaya Allah ﷻ terimalah doa baginda itu. Ini juga adalah adab dalam berdoa. Kita akhir sekali tunjukkan kepada Allah ﷻ yang kita memang berharap Allah ﷻ memperkenankan doa kita. Bila berdoa, kita kena ada harapan yang penuh – bukan sambil lewa sahaja (hendak beri boleh, tidak beri pun tidak mengapa).
Kita kena harap bersungguh-sungguh dalam doa kita. Kalau kita minta sambil lewa sahaja, apa agaknya Allah ﷻ akan balas? Bayangkan kalau ada orang minta tolong kita, tetapi sambil lewa dan macam mahu tidak mahu sahaja? Tentu kita hendak layan pun malas! Maka kerana itulah doa kita sendiri lebih ikhlas dan lebih bersungguh-sungguh daripada doa orang lain kerana kita yang ada masalah. Maka tidak perlu hendak minta orang lain doakan.
Daripada mula doa baginda, baginda sebut dirinya dengan kalimah رَبِّ. Kemudian baginda ajak anak-anaknya ikut sekali berdoa dan kerana itu digunakan kalimah رَبَّنا.
Ibrahim Ayat 41: Penutup doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
رَبَّنَا اغفِر لي وَلِوٰلِدَيَّ وَلِلمُؤمِنينَ يَومَ يَقومُ الحِسابُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Our Lord, forgive me and my parents and the believers the Day the account is established.”
(MELAYU)
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)”.
رَبَّنَا اغفِر لي وَلِوٰلِدَيَّ وَلِلمُؤمِنينَ
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin
Sebelum ini baginda doa untuk diri baginda anak cucu keturunan baginda. Sekarang baginda minta Allah ﷻ ampunilah dosa baginda dan dosa ibubapa baginda. Namun bukankah para Nabi tidak ada dosa, maka kenapa baginda minta ampun? Kita kena sedar yang para Nabi pun ada juga membuat kesalahan. Sebenarnya bukan dosa dan kesalahan besar pun akan tetapi kerana mereka ada kayu aras yang amat tinggi, maka kesalahan kecil pun sudah besar bagi mereka. Lihatlah nanti bagaimana baginda rasa baginda ada dosa apabila diminta untuk minta syafaat kepada Allah ﷻ. Baginda berasa baginda pernah berbohong semasa hidup baginda. Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memperincikan tentang tiga perkara tersebut. Beliau berkata:
لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ ثِنْتَيْنِ مِنْهُنَّ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَوْلُهُ {إِنِّي سَقِيمٌ} وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} وَقَالَ بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنْ الْجَبَابِرَةِ فَقِيلَ لَهُ إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا فَقَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَ أُخْتِي فَأَتَى سَارَةَ قَالَ يَا سَارَةُ لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرَكِ وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي فَلَا تُكَذِّبِينِي فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا فَلَمَّا دَخَلَتْ عَلَيْهِ ذَهَبَ يَتَنَاوَلُهَا بِيَدِهِ فَأُخِذَ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ اللَّهَ فَأُطْلِقَ ثُمَّ تَنَاوَلَهَا الثَّانِيَةَ فَأُخِذَ مِثْلَهَا أَوْ أَشَدَّ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ فَأُطْلِقَ فَدَعَا بَعْضَ حَجَبَتِهِ فَقَالَ إِنَّكُمْ لَمْ تَأْتُونِي بِإِنْسَانٍ إِنَّمَا أَتَيْتُمُونِي بِشَيْطَانٍ فَأَخْدَمَهَا هَاجَرَ فَأَتَتْهُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ مَهْيَا قَالَتْ رَدَّ اللَّهُ كَيْدَ الْكَافِرِ أَوْ الْفَاجِرِ فِي نَحْرِهِ وَأَخْدَمَ هَاجَرَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ تِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ
“Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah berhelah melainkan pada tiga perkara. Dua daripadanya melibatkan Dzat Allah ﷻ. Baginda berkata : ‘Aku Sakit’ dan juga ‘ Bahkan yang lakukan adalah berhala yang besar’. Dan satu lagi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhelah ketika Baginda dan isterinya Sarah datang kepada seorang raja yang bengis. Dikatakan kepada raja tersebut: Di sini ada seorang lelaki dan seorang wanita yang elok rupanya. Maka raja tersebut mengutuskan seorang utusan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan bertanya kepada Baginda: Siapakah wanita ini? Baginda menjawab: Ini adalah saudara perempuanku. Kemudian Baginda mendatangi Sarah dan berkata : Wahai Sarah, tidak ada di atas muka bumi ini orang yang beriman melainkan aku dan engkau. Orang ini bertanya kepada aku maka katakan bahawa engkau adalah saudara perempuanku. Jangan engkau bohongi apa yang aku katakan. Apabila Sarah masuk menemui raja tersebut, dia mula mencuba memegang tangan Sarah. Maka tidak mampu (kerana tangannya menjadi keras). Maka raja tersebut berkata kepada Sarah : Doakanlah untuk aku dan aku tidak akan menyakiti engkau. Lalu Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Maka raja tersebut cuba untuk memegang Sarah buat kali kedua. Maka tangan raja tersebut menjadi lebih teruk daripada sebelumnya. Raja tersebut berkata : Berdoalah untuk aku. Aku tidak akan menyakiti engkau. Maka Sarah pun berdoa dan tangan raja tersebut disembuhkan. Lalu raja tersebut memanggil pembantunya: Sesungguhnya kalian tidak bawa kepada aku manusia, akan tetapi yang kalian bawa adalah syaitan. Maka raja tersebut pun memberikan Hajar sebagai pembantu Sarah. Kemudian Sarah datang bertemu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mana pada ketika itu Baginda bangun melakukan solat. Lalu Baginda menunjukkan isyarat: Apa yang berlaku? Allah telah membalas perancangan orang yang kafir dan berdosa dan raja tersebut memberikan Hajar sebagai pembantu. Kata Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Itulah ibu kalian wahai Arab.”
(Riwayat Bukhari (3358) & Abu Daud (2214))
Baginda juga memasukkan ibubapa baginda di dalam doanya. Akan tetapi bukankah bapa baginda seorang pembuat berhala dan musyrik? Bukankah tidak boleh mendoakan orang yang telah musyrik? Maka kita kena sedar yang hal ini dilakukan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum baginda berlepas diri daripada bapanya, sebelum baginda mengetahui dengan jelas bahawa bapanya adalah musuh Allah ﷻ. Seperti yang kita tahu, baginda telah ditegur oleh Allah ﷻ tentang hal ini. Maka lafaz doa ini kita boleh amalkan kerana kita tidak tahu yang ibubapa kita musyrik atau tidak. Melainkan jikalau ibubapa anda seorang non-Muslim, maka langsung tidak boleh berdoa seperti doa ini.
Maka jangan kita lupa mendoakan kebaikan untuk ibubapa kita. Rasulullah telah berpesan di dalam hadith daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang insan akan terputus amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah Jariyah, ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Riwayat Muslim (1631)
Baginda juga mendoakan untuk orang mukmin. Maka doa ini untuk umum. Kita kena ada perasaan sayang kepada golongan mukmin yang lain. Oleh itu kena doakan untuk mereka juga. Ini akan memupuk perasaan kasih sayang kita sesama Muslim.
يَومَ يَقومُ الحِسابُ
pada hari terjadinya hisab
Penting dosa diampunkan pada hari tertegaknya hisab (Mahkamah Pengadilan Allah ﷻ). Waktu itu, kalau kita ada bawa dosa, memang tidak tentu selamat kerana seandainya Allah ﷻ tidak ampunkan pada hari itu, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka, walaupun kita sudah beriman, beramal dengan tauhid.
Ini adalah kerana dosa itu mesti dibersihkan. Akan tetapi jikalau Allah ﷻ ampunkan terus, maka kita akan terus masuk ke dalam syurga dan itulah harapan kita kerana kita tidak akan sanggup untuk menghadapi neraka itu walaupun sesaat. Maka yang kita harapkan adalah hisab yang mudah seperti disebut di dalam Insyiqa’: 8
فَسَوفَ يُحاسَبُ حِسابًا يَسيرًا
maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah,
Kita takut sangat kalau amalan-amalan kita dipersoalkan nanti. Kerana kalau ditanya sahaja, maka itu tanda kita akan binasa seperti disebut dalam hadith,
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نُوقِشَ الْحِسَابَ هَلَكَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ { فَأَمَّا مَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ إِلَى قَوْلِهِ يَسِيرًا } قَالَ ذَلِكِ الْعَرْضُ
Daripada [Aisyah رضي الله عنها], beliau berkata; saya mendengar Nabi ﷺ bersabda: “Barang siapa yang diperdebatkan hisabnya, dia binasa.” Maka saya katakan; wahai Rasulullah, bukankah Allah berfirman: “Adapun orang-orang yang diberikan kepadanya kitabnya dari sebelah kanannya, –hingga ayat-maka akan dihisab dengan hisab yang mudah?.” (Insyiqa’: 7-8), Baginda bersabda: Yang dimaksudkan ayat itu hanyalah saat catatan amal diperlihatkan.
(Jami’ Tirmidzi (3260))
Status: Sahih (Darussalam)
Maka Hari Hisab itu adalah hari yang amat menakutkan sampai Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seorang kekasih Allah ﷻ pun menjadi takut untuk menghadapinya. Maka kalau kita tidak takut, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan kita.
Sekianlah doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang Allah ﷻ naqalkan dalam surah ini. Ini adalah kerana ia adalah doa yang amat baik. Doa yang Allah ﷻ ajar dalam Al-Qur’an ini amat baik untuk diamalkan. Sebab itulah Allah ﷻ letak dalam Al-Qur’an. Tambahan pula ia adalah doa daripada seorang Nabi. Ada lebih kurang dalam 70 lebih doa-doa yang Allah ﷻ ajar dalam Al-Qur’an. Maka kenalah kita tahu dan amalkan, sekurang-kurangnya kita buat satu setiap hari. Boleh periksa di sini untuk senarai doa-doa itu.
AMARAN KEPADA YANG ZALIM
Ibrahim Ayat 42: Sekarang masuk ke peristiwa ke-enam dalam surah ini.Ayat ini sehingga ke hujung (ayat 52) adalah Perenggan Makro ke 8 surah ini. Ia adalah ingatan kepada golongan Ulul Albab. Maka kita sudah masuk bahagian baru surah ini. Sebelum ini telah disebut doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Orang Mekah mungkin sangka mereka akan dapat bahagian daripada doa itu (kerana mereka kata mereka keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Maka Allah ﷻ beritahu yang mereka jangan berharap.
Ayat ini juga adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ dan orang mukmin. Ini adalah kerana para sahabat waktu itu sedang teruk ditindas oleh Musyrikin Mekah yang ganas. Allah ﷻ selalu ingatkan mereka untuk bersabar. Dalam ayat ini, Allah ﷻ hendak beritahu yang apa sahaja kekerasan yang dikenakan kerana mereka waktu itu, akan dibalas kepada orang yang kejam terhadap mereka. Allah ﷻ beritahu yang bukannya Allah ﷻ tidak tahu apa yang mereka lalui, Allah ﷻ tahu sangat.
Bagaimana ayat ini menjadi tasliah? Kerana kalau kita tahu yang orang yang kejam terhadap kita akan dibalas, kita akan berasa lega sedikit, bukan? Apabila Allah ﷻ sendiri kata Dia tahu apa yang mereka sedang lalui, maka ini juga adalah pujukan kepada hati mereka.
وَلا تَحسَبَنَّ اللهَ غٰفِلًا عَمّا يَعمَلُ الظّٰلِمونَ ۚ إِنَّما يُؤَخِّرُهُم لِيَومٍ تَشخَصُ فيهِ الأَبصٰرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And never think that Allāh is unaware of what the wrongdoers do. He only delays them [i.e., their account] for a Day when eyes will stare [in horror].
(MELAYU)
Dan janganlah sekali-kali kamu (Muhammad) mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak,
وَلا تَحسَبَنَّ اللهَ غٰفِلًا عَمّا يَعمَلُ الظّٰلِمونَ
Dan janganlah sekali-kali kamu mengira, bahawa Allah lalai dari apa yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim.
Jangan sekali-kali (ada penekanan dalam ayat ini dengan syaddah pada huruf ن itu) kamu sangka yang Allah ﷻ tidak tahu tentang apa yang golongan penentang lakukan terhadap orang mukmin. Jangan kamu sangka Allah ﷻ lalai leka tentang perbuatan mereka. Ini penting untuk diingatkan kepada orang Mukmin yang ditindas itu, kerana nampak seolah-olah Allah ﷻ tidak peduli kerana tidak menghukum lagi mereka yang zalim itu.
Begitulah juga, kadang-kadang kita lihat orang yang zalim ini, bagaikan tidak ada apa kesan pun kepada mereka – mereka masih kuat, masih boleh berbuat zalim, dan lama pula mereka hidup. Allah ﷻ hendak beritahu yang kita hendaklah bersabar sahaja. Semua kezaliman yang kita terima itu akan dikira sebagai pahala buat kita jika kita bersabar.
Para sahabat Nabi hanya hendak beriman dan menyampaikan dakwah agama Islam kepada masyarakat. Namun apabila niat baik mereka itu menyebabkan mereka ditindas, maka mereka kehairanan dan sedikit sebanyak tentu terdetik di hati mereka tidakkah Allah ﷻ mahu lakukan apa-apa? Begitu juga kita yang menjalankan kerja dakwah dan ditentang oleh mereka yang tidak suka dengan dakwah kita. Ayat ini juga untuk para pendakwah yang ditindas, diherdik, ditohmah dan sebagainya. Allah ﷻ beritahu di sini yang Dia amat tahu apa yang berlaku.
Di dalam ayat ini Allah ﷻ bercakap kepada orang beriman. Sedangkan di dalam Mukminoon: 55-56 Allah ﷻ bercakap kepada orang kafir pula. Kerana orang kafir pun sangka mereka itu berada di kedudukan yang benar kerana mereka tidak dikenakan apa-apa azab.
أَيَحسَبونَ أَنَّما نُمِدُّهُم بِهِ مِن مّالٍ وَبَنينَ
Apakah mereka mengira bahwa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa),
نُسارِعُ لَهُم فِي الخَيرٰتِ ۚ بَل لّا يَشعُرونَ
Kami bersegera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak, sebenarnya mereka tidak sedar.
إِنَّما يُؤَخِّرُهُم لِيَومٍ تَشخَصُ فيهِ الأَبصٰرُ
Sesungguhnya Allah memberi tangguh kepada mereka sampai hari yang pada waktu itu mata (mereka) terbelalak,
Allah ﷻ beritahu yang Dia tidak leka, tetapi Allah ﷻ hanya lengahkan sahaja hukuman ke atas mereka. Sampai bila? Sehingga sampai pada hari yang mata-mata makhluk akan terbelalak. Mungkin mereka selamat di dunia, akan tetapi mereka tidak selamat di akhirat kelak.
Kalimah تَشخَصُ daripada katadasar ش خ ص yang bermaksud ketika dibangkitkan, mata yang melihat dalam ngeri, teguh menatap (dalam ngeri). Maknanya, mata yang terbeliak kerana terkejut sangat pada hari itu kerana melihat segala kejadian yang menakjubkan dan menakutkan. Perkara yang telah diingatkan kepada mereka semasa di dunia tetapi mereka tidak percaya dan tolak, telah benar-benar berlaku di hadapan mereka. Waktu itu, Allah ﷻ akan balas kezaliman yang dilakukan oleh mereka yang zalim. Ketahuilah yang mereka tidak akan terlepas daripada azab yang akan dikenakan kepada mereka.
Kita tidak tahu kenapa Allah ﷻ beri tangguh kepada mereka. Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu kenapa Allah ﷻ tidak terus balas kesalahan mereka itu dengan azab semasa di dunia lagi. Antara yang kita tahu, Allah ﷻ beri tangguh itu kerana hendak beri mereka peluang untuk bertaubat. Ini kerana manusia yang menolak itu kadangkala sekejap sahaja sebelum hati mereka terbuka kepada kebenaran. Lihatlah bagaimana Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Khalid al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah dibuka hati mereka untuk menerima Islam. Seandainya Allah ﷻ terus mematikan mereka semasa mereka menentang umat Islam, tentu mereka tidak ada peluang. Maka hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu apa yang Dia lakukan.
Pengajaran kepada kita di dalam ayat ini adalah supaya jangan kelam-kabut mendoakan keburukan kepada orang-orang yang menentang kita kerana kita tidak tahu mungkin orang yang menentang kita itu akan beriman dan akan menjadi orang yang lebih baik daripada kita. Maka kita kenalah serahkan kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu apa yang terbaik.
Ibrahim Ayat 43: Allah ﷻ sambung keadaan orang zalim di akhirat kelak.
مُهطِعينَ مُقنِعي رُءوسِهِم لا يَرتَدُّ إِلَيهِم طَرفُهُم ۖ وَأَفئِدَتُهُم هَواءٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Racing ahead, their heads raised up, their glance does not come back to them,¹ and their hearts are void.
- This is their state at the time of resurrection from the graves. Their heads are upraised in fixed stares of terror, unable even to glance back.
(MELAYU)
mereka lari bergegas-gegas memenuhi panggilan dengan mengangkat kepalanya, sedang mata mereka tidak berkedip-kedip dan hati mereka kosong.
مُهطِعينَ
mereka lari bergegas-gegas
Kalimah مُهطِعينَ daripada katadasar ه ط ع yang bermaksud ‘berlari kelam kabut kerana takut’, ‘memanjangkan leher kerana takut, terkejut’, ‘menyorok dalam ketakutan’. Maka kalimah مُهطِعينَ (dalam bentuk jamak) bermaksud mereka yang dimasukkan ke dalam neraka itu berlari ke sana sini sambil mata mereka terbeliak kerana melihat sesuatu yang menakutkan. Ini kerana dalam ayat sebelum ini telah disebut yang mata mereka terbelalak.
Juga ia bermaksud mereka akan bersegera mengikut panggilan dan seruan daripada malaikat. Mereka tidak berani untuk berlengah-lengah apabila diarahkan oleh para malaikat nanti semasa di Akhirat kelak. Ia bermula daripada panggilan untuk bersegera dari kubur ke Mahsyar kelak.
مُقنِعي رُءوسِهِم
sambil mendongak kepalanya,
Kalimah مُقنِعي daripada katadasar ق ن ع yang mempunyai banyak makna dan salah satunya ‘mengangkat kepala menyerah diri’. Maka kalimah مُقنِعي (dalam bentuk jamak dan idhafah) ini bermaksud mereka yang berlari itu dalam keadaan terangkat kepala mereka seperti kepala kuda yang ditarik tali sampai tengadah ke belakang. Mereka sudah habis ikhtiar untuk menyelamatkan diri mereka kerana mereka tahu yang mereka tidak ada kuasa langsung. Maka mata mereka ditarik melihat ke langit tetapi sambil itu mereka tetap berlari dalam kelam kabut.
لا يَرتَدُّ إِلَيهِم طَرفُهُم
sedang pandangan mereka tidak dipulangkan kepada mereka
Mata mereka tidak kembali dalam keadaan biasa. Maknanya mata mereka tidak berkelip langsung. Masih tetap terpinga-pinga dan mata mereka tetap melihat ke sekeliling dengan terbelalak. Ertinya, pandangan mata mereka terbeliak tanpa berkedip barang sesaat pun kerana banyak huru-hara, kengerian, dan hal-hal yang sangat menakutkan yang menimpa diri mereka; semoga Allah ﷻ melindungi kita daripada kengerian pada hari kiamat.
Sedangkan di dalam ayat lain disebut mata mereka tunduk kerana ketakutan. Ini disebut dalam Sajdah: 12
وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صٰلِحًا إِنّا موقِنونَ
Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Kenapa pula ada disebut mata mereka melihat ke atas dan kemudian ada ayat yang mengatakan mata mereka melihat ke bawah pula? Tidakkah ini ada percanggahan di dalam ayat-ayat Al-Qur’an? Tidak, sebenarnya kerana ia menceritakan keadaan yang berbeza. Pada mulanya mata mereka akan liar melihat alam akhirat itu dan kemudian setelah sekian lama maka mereka pun menundukkan mata mereka ke bawah kerana telah hilang usaha mereka dan mereka telah putus asa.
وَأَفئِدَتُهُم هَواءٌ
dan hati mereka kosong.
Kalimah هَواءٌ daripada ه و ي yang mempunyai banyak makna. Salah satunya adalah angin (seperti kita selalu kata hawa panas). Angin itu kiranya adalah kosong tidak ada apa-apa di dalamnya.
Maka kalimah هَواءٌ dalam ayat ini bermaksud hati yang kosong. Hati mereka ke sana sini kerana takut dan ‘kosong daripada harapan’. Hati mereka sudah tidak ingat perkara lain lagi pada waktu itu kerana takut sangat. Kerana telah datang kepada mereka, perkara yang paling berat.
Oleh itu, janganlah golongan Mukmin kecil hati dengan penolakan dan penindasan daripada para penentang itu. Mereka akan menerima azab yang amat buruk di akhirat kelak.
Malah di dunia lagi mereka menerima nasib malang akhirnya. Dalam Peperangan Badar, mulailah jatuh kekalahan yang pertama bagi kemusyrikan. Kemudian di dalam Perjanjian Hudaibiyah, rancangan yang diatur musyrikin dengan pertimbangan yang salah, akhirnya mengakibatkan kekalahan bagi mereka. Dua tahun sesudah Hudaibiyah, kerana mereka sendiri yang melanggar janji yang telah diperbuat di Hudaibiyah itu, Mekah telah diserang oleh Nabi ﷺ dengan 12,000 Mujahid Islam. Sememangnya saat itulah yang ditunggu-tunggu. Benar-benarlah terbelalak mata, rusuh hati, berdebar, “panik” penduduk Makkah seketika negeri itu telah dimasuki oleh tentera Nabi Muhammad ﷺ di bawah pimpinan baginda sendiri.
Golongan Musyrikin terpaksa tunduk dan menyerah, dan hati mereka menjadi kosong, tidak ada yang boleh dipertahankan lagi. Kebatilan akhirnya mesti akan kalah. Akan tetapi jarak waktu di antara turunnya ayat ini dengan penaklukan Mekah itu memang lama, iaitu lebih kurang 10 tahun. Orang yang lemah hati nescaya gelisah menunggunya, namun apabila masa itu telah sampai, kenangan kepada zaman itu akan tetaplah menjadi kenangan yang menyenangkan. Tempoh masa 10 tahun itu tidak lagi terasa lama.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 20 Oktober 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

