Ra’d Ayat 37:
وَكَذٰلِكَ أَنزَلنٰهُ حُكمًا عَرَبِيًّا ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَما جاءَكَ مِنَ العِلمِ ما لَكَ مِنَ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا واقٍ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And thus We have revealed it as an Arabic legislation.¹ And if you should follow their inclinations after what has come to you of knowledge, you would not have against Allāh any ally or any protector.
- i.e., revealed in the Arabic language.
(MALAY)
Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu sebagai peraturan (yang benar) dalam bahasa Arab. Dan seandainya kamu mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu, maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksa) Allah.
وَكَذٰلِكَ أَنزَلنٰهُ حُكمًا عَرَبِيًّا
Dan demikianlah, Kami telah menurunkan Al-Qur’an itu sebagai hukum dalam bahasa Arab.
Kalimah كَذٰلِكَ diterjemahkan: bagi tujuan kesempurnaan itulah. Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an untuk menyempurnakan agama. Maka kena ikutlah kitab wahyu yang baru ini iaitu Al-Qur’an. Jangan diabaikan, jangan sesekali ditinggalkan. Kalau mahu agama ini jadi sempurna, jangan abaikan Al-Qur’an ini.
Satu lagi maksud كَذٰلِكَ adalah, sebagaimana umat-umat dahulu telah ada kitab wahyu mereka, maka bagi umat terakhir iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ ini juga diberikan dengan kitab wahyu iaitu Al-Qur’an. Maka jangan abaikan seperti yang telah umat terdahulu abaikan kitab wahyu mereka. Jangan ulangi kesilapan mereka.
Maka begitulah Rasulullah ﷺ telah diberikan dengan Al-Qur’an untuk menyampaikan wahyu Ilahi kepada kita seperti disebut dalam Jumuah: 2
هُوَ الَّذي بَعَثَ فِي الأُمِّيّينَ رَسولًا مِّنهُم يَتلو عَلَيهِم ءآيٰتِهِ وَيُزَكّيهِم وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ
Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah).
Allah ﷻ beritahu sifat Al-Qur’an itu adalah حُكمًا. Ini kerana isinya ialah Hukum yang memutuskan menjelaskan garis pemisah di antara kegelapan jahiliyah dengan Nurul Islam. Pemisah di antara yang Hak dengan yang Batil. Menjelaskan halal dan haram.
Untuk umat-umat yang berselisih itu, iaitu ahli kitab, mereka sekarang sudah dapat hukum yang teguh yang tidak akan berubah lagi kerana tidak ada kitab lain lagi yang akan membatalkan Al-Qur’an. Ini kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi terakhir dan Al-Qur’an adalah kitab wahyu yang terakhir. Maka senang menggunakan Al-Qur’an sahaja kerana ia akan tetap kekal sampai ke Hari Kiamat.
Satu lagi Al-Qur’an itu mengandungi hikmah. Maka hukum dan hikmah ini hanya dapat dipelajari jikalau kita memahaminya. Untuk memahaminya, hendaklah belajar tafsir. Selepas belajar tafsir, barulah boleh tadabbur. Kita tidak akan dapat tadabbur sebelum mengetahui tafsir Al-Qur’an. Ramai yang terus tadabbur, dan ini adalah salah kerana tidak mengikut tangga yang sepatutnya.
Kemudian Allah ﷻ menyebut satu lagi sifat yang jelas pada Al-Qur’an itu adalah ia dalam bahasa Arab. Selalu Allah ﷻ tekankan tentang bahasa Arab ini, padahal semua orang sudah tahu Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab. Ia adalah bahasa yang kaya dan tepat. Kalau dibandingkan bahasa Melayu kita dan bahasa Arab, amatlah miskin bahasa kita ini. Kerana itulah Allah ﷻ pilih untuk menurunkan Kitab Wahyu terakhir di dalam bahasa Arab.
Sudahlah Al-Qur’an itu dalam bahasa Arab yang kaya dan tepat, menggunakan pula bahasa Al-Qur’an yang penuh dengan hikmah. Namun kena ingat yang bahasa Arab yang digunakan dalam percakapan harian sekarang tidak sama dengan bahasa Arab yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ini kerana bahasa Arab percakapan bangsa Arab telah melalui proses perubahan. Macam bahasa percakapan kitalah juga, tidaklah sama dengan zaman Kesultanan Melaka dulu, bukan? Maka bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an itu lagi tinggi nilainya dan kehebatannya. Bahasa Arab yang di dalam Al-Qur’an ini adalah bahasa Arab klasik. Sebab itulah kalau orang Arab pun kena belajar tafsir juga walaupun Al-Qur’an itu di dalam bahasa mereka.
Oleh itu, sebenarnya tidak perlu susah untuk jelaskan tentang Al-Qur’an ini. Memang ia sendiri sudah hebat kalau manusia itu tahu bahasa Arab. Sepatutnya beri sahaja Al-Qur’an ini dan biar mereka nilai sendiri kerana ia memang sudah hebat. Maka tidak perlu susah sangat untuk menjelaskan pada mereka yang menolak kerana kita sudah ada hujah yang amat kuat – Al-Qur’an itu sendiri. Kerana itulah amat teruk Musyrikin Mekah dulu kerana mereka sendiri tahu bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an itu adalah hebat sangat.
Kenapa Allah ﷻ sebut Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, sedangkan ia diberikan kepada orang bangsa Arab yang bercakap Arab. Ini sama seperit kita bagi anak kita novel Melayu dan beritahu dia, “Ha ini ayah belikan novel dalam bahasa Melayu untuk awak.” Kenapa lagi perlu diberitahu?
Allah ﷻ beritahu kerana hendak menekankan yang Dia berikan wahyu itu dalam bahasa yang mereka faham. Allah ﷻ tidak beri dalam bahasa langit, atau bahasa yang pelik-pelik. Kalau bagi bahasa yang mereka tidak faham, tentulah susah mereka. Makanya yang hendak disampaikan adalah wahyu ini untuk mereka fahami, untuk mereka senang amalkan. Allah ﷻ telah mudahkan kerana Allah ﷻ mahu mereka faham.
Namun kita yang orang Melayu ini, bagaimana? Ternyata sebenarnya sudah menjadi wajib belajar bahasa Arab. Oleh kerana Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maka jatuh wajib untuk kita mempelajari bahasa Arab untuk memahami Al-Qur’an. Ini adalah kerana ada kaedah ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب (Suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib).
Belajar bahasa Arab asalnya tidaklah wajib kerana ia bukan bahasa kita. Akan tetapi ia menjadi wajib kerana bersabit dengan keperluan memahami Al-Qur’an. Ini adalah seperti wudhu’ yang asalnya juga tidaklah wajib. Namun untuk mendirikan solat yang wajib yang tidak akan sempurna tanpa wuhu’, maka wudhu’ itu berubah menjadi wajib.
Saya tahu ramai yang mengeluh. Namun di sini saya bukan kata anda kena panjat Gunung Everest. Ini hanya belajar bahasa Arab sahaja. Berjuta-juta orang sudah melakukannya. Ia antara mahu atau tidak, rajin atau tidak, tahu kepentingan Al-Qur’an atau tidak, mahu masuk syurga atau tidak. Itu sahaja. Ia juga memerlukan kesabaran seperti firman Allah ﷻ dalam Insan: 23-24
إِنّا نَحنُ نَزَّلنا عَلَيكَ القُرآنَ تَنزيلًا
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Qur’an kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur.
فَاصبِر لِحُكمِ رَبِّكَ وَلا تُطِع مِنهُم آثِمًا أَو كَفورًا
Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.
Ini kerana hendak belajar bahasa Arab kena sabar, untuk belajar tafsir pun kena sabar, untuk beramal dengannya pun kena sabar, dan kemudian untuk menyampaikan kepada masyarkaat dan menghadapi penolakan mereka pun kena bersabar. Kesimpulannya: sabar, sabar, sabar dan sabar.
Namun bukanlah kita suruh tunggu sampai sudah tahu bahasa Arab baru boleh belajar tafsir. Itu entah berapa tahun pula kena tunggu. Pembelajaran Tafsir sekarang sudah dimudahkan kerana sudah banyak kitab-kitab tafsir di dalam bahasa Melayu dan guru-guru pun sudah banyak yang mengajar dalam bahasa Melayu. Cuma untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam maka perlu untuk anda mempelajari bahasa Arab. Akan tetapi untuk peringkat permulaan bolehlah menggunakan tafsir-tafsir dan belajar dengan guru-guru yang ada.
Kerana sesuatu itu kena dimulakan dengan mudah dahulu. Memang kita tahu yang Al-Qur’an ini amat tinggi perbahasannya, tetapi kalau kita gunakan bahasa yang tinggi sangat dalam dakwah, takut ada yang tidak dapat faham pula. Kita kena ingat yang orang Quraish itu dulu ‘simple’ sahaja akal mereka. Maka, kena tunjuk yang senang dilihat sahaja. Cubalah mudahkan dakwah dan ajaran kita kepada manusia. Kerana kalau kita gunakan bahasa tinggi sangat, mereka pun tidak faham dan nanti mereka akan cemuh dengan agama pula.
Maka, ada masa untuk lihat secara mendalam dan ada masa untuk mudahkan. Apabila mahu perkenalkan agama kepada orang yang baru, mudahkan sahaja ajaran kita. Oleh itu, kalau kita sudah belajar sikit, boleh terus cerita tentang apa yang kita telah belajar itu kepada keluarga. Kita juga sudah boleh ajar anak kita walaupun mereka itu kanak-kanak sahaja – ajar setakat yang mereka boleh faham.
Ingatlah yang apabila hendak mula mengajar, tidak perlu tunggu untuk bergelar ustaz, tidak perlu tunggu menjadi alim. Tidak perlu ada sanad baru boleh cerita kepada orang. Bila sudah semakin lama belajar, barulah lihat Al-Qur’an itu dengan secara mendalam. Apabila kita berusaha amalkan Al-Qur’an setakat yang kita sudah tahu, Allah ﷻ akan beri ilmu yang lain.
Sebenarnya pemahaman anda akan lebih cepat dan mantap apabila anda sudah mula mengajar. Ini kerana apabila anda mengajar, anda sebenarnya belajar dua kali. Anda akan mendalami sesuatu perkara itu kerana anda hendak mengajar. Maka pemahaman anda semakin tinggi jadinya. Cara ini bukan tertakluk untuk bidang agama sahaja, malah mana-mana bidang pun. Ia adalah jalan pintas untuk mendapat pemahaman yang lebih di dalam mana-mana topik.
Ringkasannya, Allah ﷻ telah membuat keputusan untuk turunkan dalam Al-Qur’an dalam bahasa Arab. Ini menjawab kekeliruan Ahli Kitab tentang Al-Qur’an. Mungkin mereka tanya kenapa kitab wahyu yang terakhir ini bukan dalam bahasa mereka. Maka Allah ﷻ jelaskan bahawa itu adalah keputusan Allah ﷻ. Mereka tidak berhak untuk mempersoalkan Allah ﷻ. Siapa mereka mahu persoalkan Allah ﷻ?
وَلَئِنِ اتَّبَعتَ أَهواءَهُم بَعدَما جاءَكَ مِنَ العِلمِ
Dan seandainya kamu mengikuti hawa-hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu,
Nabi Muhammad ﷺ dan kita diberitahu oleh Allah ﷻ, kalau kita ikut hawa nafsu mereka (yang sesat itu), walaupun selepas kita dapat Al-Qur’an ini, maka kita tidak akan selamat. Kalau kita ikut mereka dan tinggalkan Al-Qur’an ini, Allah ﷻ tidak akan tolong dan tidak ada sesiapa lain yang boleh tolong kita. Walaupun ahli kitab sudah lama beragama dan telah ada kitab, kita tidak boleh ikut mereka, mereka yang kena ikut kita.
Allah ﷻ kata jangan ikut ‘hawa nafsu’ mereka. Maksud hawa nafsu dalam konteks ini setiap hukum yang sudah dimansuhkan seperti dalam kitab Taurat dan Injil. Kalau masih juga mahu mengikut hukum yang telah dimansuhkan itu, maknanya itu ikut hawa nafsu.
Atau, ‘hawa nafsu’ itu boleh juga bermaksud hukum daripada kitab mereka yang mereka telah ubahsuai daripada kitab wahyu yang asal. Sebagai contoh, tidak ada pun disebut tentang pecahan Tuhan kepada tiga – tuhan Bapa, tuhan Anak dan Ruh Qudus. Ini adalah antara perkara yang mereka reka dengan hawa nafsu mereka dan ada banyak lagi perkara yang mereka ubah daripada kitab asal, mereka ikut suka mereka sahaja. Kalau kita pula ikut, memang akan sesatlah kita.
Lagi satu ia bermaksud ikut mereka yang tidak ikut wahyu Al-Qur’an. Apa sahaja selain Al-Qur’an atau amalan yang tidak berdasarkan pemahaman Al-Qur’an, ia adalah hawa nafsu. Itulah amalan-amalan bid’ah yang masyarakat kita lakukan sekarang. Tiada sandaran daripada Al-Qur’an mahu pun Sunnah. Apabila tidak ada sandaran daripada ilmu wahyu, maka tidak lain dan tidak bukan, ia adalah bersandarkan kepada ‘hawa nafsu’. Maka tidak boleh ikut mereka dan amalan mereka.
Begitulah kalimah أَهواءَ itu adalah dalam bentuk jamak, kerana ada banyak jenis hawa nafsu. macam-macam nafsu manusia yang tidak akan habis kalau dilayan. Namun begitu bukanlah bermaksud nafsu ini perlu dihapuskan, cuma ia hendaklah dipandu oleh wahyu. Kenalah tahu wahyu dan hukum-hukum yang Allah ﷻ telah letakkan. Pertamanya kena tahu hukum-hukum daripada Al-Qur’an kerana Allah ﷻ telah beritahu dalam ayat ini yang Al-Qur’an ini mengandungi hukum, bukan?
Juga jangan kerana hendak mereka ikut kita, kita berlembut dengan mereka, ikut apa yang mereka hendak (hawa nafsu mereka). Ini perkara penting harus diberitahu. Ini kerana kadangkala semasa kita berdakwah, kita hendak mereka berlembut hati dengan kita. Maka kita terpaksa sembunyikan sesetengah perkara demi menjaga hati mereka takut mereka terasa pula. Sebagai contoh kadangkala pelajar kita mengamalkan bid’ah di dalam kehidupan mereka. Kita tahu mereka lakukan, tetapi kerana takut mereka akan tolak kita terus, maka kita senyapkan sahaja, tidak beritahu pun tentang amalan bid’ah mereka itu.
Mana-mana amalan bid’ah yang tentunya tidak ada dalil, adalah amalan ikut hawa nafsu. Oleh itu kalau kita tidak tegur, kita sudah ikut hawa nafsu mereka. Kita pun takut hendak cakap, bukan? Namun bahayanya adalah mereka akan sangka amalan mereka itu benar kalau kita tidak tegur. Mereka akan berhujah: “Ustaz yang ajar kami pun tak tegur, maka betullah amalan kami!”. Ha lihatlah, mereka boleh menjadi salah faham. Kerana itulah kita kena tegur. Jangan jadi ‘dalil’ bagi orang yang ‘jahil’.
Maka tegur sahaja amalan mereka itu. Mereka hendak ikut atau tidak, terpulang kepada mereka. Mereka mungkin tidak akan mengundang kita lagi untuk mengajar? Biarlah. Jangan kita pula dijadikan dalil bagi amalan bid’ah mereka. Kadangkala kita rancang, nanti lama-lama sudah mengajar, mereka lembut hati nanti barulah kita cakap. Namun sampai bila? Anda sudah mengajar sudah tahun ke lima, dan tahun ke lima itu baru mahu tegur, ada kemungkinan mereka tidak terima juga! Sia-sia sahaja mengajar orang degil selama 5 tahun, bukan? Kerana yang degil tetap degil. Maka senang beritahu awal-awal supaya tahu mereka ini mahu belajar atau tidak supaya tidak perlu buang masa dengan mereka. Baik luangkan masa ajar kepada orang lain yang mahu belajar dengan betul.
Kerana itulah Allah ﷻ beritahu Nabi ﷺ supaya tegas jangan ikut hawa nafsu golongan yang salah. Kena tetap di atas kebenaran. Jangan goyang hanya kerana hendak menarik hati mereka. Namun tentulah Nabi ﷺ tidak begitu, maka kenapa diberitahu kepada Nabi ﷺ? Kerana Nabi ﷺ akan sampaikan kepada kita. Maka kita beringat, bahawa Nabi ﷺ pun diarahkan begitu, maka kita pun mestilah begitu juga.
Jangan lagi ikut mereka setelah kamu ada ilmu wahyu. Ini juga mengajar kita, apabila kita sudah belajar ilmu wahyu, maka jangan lagi ikut golongan masyarakat yang sesat dan keliru. Kita yang sudah ada ilmu ini jangan lagi rasa terpaksa untuk kita sesiapa yang menyelisihi wahyu. Memang berat apabila masyarakat kita bergelumang dalam kesesatan, tetapi kena kuatkan semangat dan iman kita. Jangan lemah semangat sampai terpengaruh dengan masyarakat sekeliling kita.
ما لَكَ مِنَ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا واقٍ
maka sekali-kali tidak ada pelindung dan pemelihara bagimu terhadap (seksa) Allah.
Sekiranya Nabi Muhammad ﷺ ikut mereka itu, Allah ﷻ tidak akan melindungi baginda. Ini kerana khitab (disampaikan) ayat ini adalah kepada Nabi Muhammad ﷺ – bayangkan, seandainya baginda pun tidak ada pelindung jika buat begitu, apatah lagi kita? Maka tempatnya ada di neraka bagi yang ingkar kepada Allah ﷻ.
Ini kerana Allah ﷻ tidak berhajat kepada makhluk sebaliknya makhluk yang berhajat kepada Allah ﷻ. Tidak akan ada pelindung dan tidak ada sebarang penjaga selain Allah ﷻ. Maka kena rapatkan diri dengan Allah ﷻ. Jangan kita termasuk golongan yang sesat kerana amat malang sekali kalau kita termasuk dalam golongan itu.
Habis Ruku’ 5 daripada 6 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 24 September 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
