Tafsir Surah Tawbah Ayat 125 – 127 (Orang Munafik tidak faham Al-Qur’an)

Tawbah Ayat 125: Allah bandingkan dengan orang munafik pula.

وَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ فَزادَتهُم رِجسًا إِلىٰ رِجسِهِم وَماتوا وَهُم كٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But as for those in whose hearts is disease, it has [only] increased them in evil [in addition] to their evil.¹ And they will have died while they are disbelievers.

  • Literally, “filth,” i.e., disbelief and hypocrisy.

(MALAY)

Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, disamping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir.

 

وَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ

Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit,

Yang dimaksudkan adalah golongan Munafik iaitu orang yang dalam hatinya ada penyakit nifaq. Mereka hanya menunjukkan pada luaran yang mereka itu Muslim tetapi hati mereka tidak ada iman sebenarnya. Mereka itu jenis yang hendak belajar pun tidak suka.

 

فَزادَتهُم رِجسًا إِلىٰ رِجسِهِم

maka dengan surat itu menambahkan kekotoran atas kekotoran mereka (yang telah sedia ada),

Mana-mana surah yang diturunkan akan menambah keburukan dan kekafiran untuk mereka. Dari mula lagi mereka sudah menolak ayat-ayat itu, dan semakin banyak turun ayat, semakin banyak lagi yang mereka tolak. Mereka sudah ada sangsi pada ayat-ayat Allah ‎ﷻ, dan semakin banyak ayat yang turun, semakin bertambah kesangsian mereka. Mereka sudah ada keburukan pada diri mereka dan keburukan itu bertambah-tambah lagi. Mereka semakin teruk dan semakin teruk lagi.

Kalau zaman sekarang, ada orang yang tidak faham ayat-ayat Al-Qur’an kerana mereka tidak belajar. Oleh itu apabila mereka baca mana-mana ayat Al-Qur’an, akal dan hati mereka tidak dapat menerimanya kerana ada ayat-ayat yang mereka tidak faham. Semakin banyak ayat yang dibaca, semakin menambah kekeliruan mereka kerana mereka tidak faham langsung.

Ini amatlah malang sekali. Maka kenalah belajar dengan benar (dengan guru yang betul juga), supaya apabila dapat faham sesuatu ayat, tidaklah kita rasa sangsi. Mungkin ada dalam kalangan mereka yang tidak faham maksud ayat itu lagi, tetapi mereka yakin dalam hati mereka yang tentu ia adalah kebenaran. Maka, carilah tempat belajar yang mengajar tafsir dengan benar. Alhamdulillah sekarang sudah semakin banyak kelas pengajian tafsir yang diadakan di merata-rata tempat.

 

وَماتوا وَهُم كٰفِرونَ

dan mereka mati dalam keadaan kafir.

Keburukan mereka itu bertambah, sampai akhirnya mereka mati dalam akidah kafir kepada Allah ﷻ. Ini adalah hukuman yang Allah ﷻ berikan kepada mereka iaitu dimatikan dalam kufur. Amat malang sekali kerana mereka sudah duduk dalam suasana Islam, tetapi mereka tidak ambil peluang. Apabila mati dalam kufur, maka mereka akan kekal dalam neraka sampai bila-bila.


 

Tawbah Ayat 126: Kedegilan orang munafik tidak pergi ke mana.

أَوَلا يَرَونَ أَنَّهُم يُفتَنونَ في كُلِّ عامٍ مَّرَّةً أَو مَرَّتَينِ ثُمَّ لا يَتوبونَ وَلا هُم يَذَّكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not see that they are tried every year once or twice but then they do not repent nor do they remember?

(MALAY)

Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?

 

أَوَلا يَرَونَ أَنَّهُم يُفتَنونَ في كُلِّ عامٍ مَّرَّةً أَو مَرَّتَينِ

Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memerhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun,

Kalimah أَوَلا di awal ayat ini adalah di dalam bentuk takjub. Kenapa mereka tidak faham-faham? Tidakkah orang munafik itu lihat sendiri yang mereka sentiasa diuji oleh Allah ﷻ pada setiap tahun, dengan musibah? Dalam setahun sekali atau dua kali mereka akan diuji dengan perkara yang berat. Ujian di dunia itu dikenakan kepada mereka sebelum masuk neraka. Nanti apabila mereka masuk neraka, lebih dahsyat azab yang akan dikenakan kepada mereka.

Memang orang beriman pun dikenakan dengan ujian juga, bukan? Namun untuk orang beriman, ujian atau musibah yang dikenakan kepada mereka adalah sebagai penyuci dosa. Sebaliknya musibah yang dikenakan kepada orang kafir dan orang munafik itu adalah sebagai azab untuk mereka semasa di dunia lagi.

Musibah itu sepatutnya merendahkan ego mereka supaya hati mereka terbuka untuk menilai kembali apakah fahaman mereka yang salah. Sepatutnya, selepas ditimpa musibah itu, mereka kembali kepada iman yang telah ada dalam diri manusia sebagai sebahagian daripada fitrah mereka. Jadi sebenarnya musibah itu adalah untuk mengingatkan mereka. Sebagai contoh telah diberikan kekalahan kepada teman mereka di Mekah, kemudian teman mereka Yahudi di Madinah. Kalimah مَّرَّةً أَو مَرَّتَينِ bukanlah hendak beritahu sekali atau dua kali tetapi sekali sekala. Mereka diperingatkan sekali sekala supaya mereka beringat.

Ataupun tafsir lain adalah, maksud ‘ujian’ itu adalah Allah ﷻ zahirkan sekali sekala apa yang ada di dalam dada mereka itu iaitu penyakit nifaq dan rahsia-rahsia mereka. Allah ﷻ zahirkan melalui ayat-ayat Al-Qur’an. Ini juga untuk memberi peringatan kepada mereka.

 

ثُمَّ لا يَتوبونَ وَلا هُم يَذَّكَّرونَ

dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?

Akan tetapi, orang munafik itu selepas ditimpa musibah, tetap tidak juga mahu bertaubat, tidak mahu mengambil pengajaran. Tidak juga mahu mendekati wahyu Al-Qur’an. Maknanya, mereka tidak mengambil pengajaran daripada musibah yang berlaku. Maka mereka menjadi amat malang sekali.

Maka kalau kita ditimpa musibah, kita fikir semula: “Aku kena musibah ini sebagai peringatan kepada aku kerana aku munafik atau kerana Allah nak uji aku supaya aku dapat pahala tambahan?” Maknanya, kita kena sentiasa menilai iman kita dan perbaiki iman kita apabila perlu.


 

Tawbah Ayat 127:

وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ نَّظَرَ بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ هَل يَرىٰكُم مِّن أَحَدٍ ثُمَّ انصَرَفوا ۚ صَرَفَ اللَّهُ قُلوبَهُم بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And whenever a sūrah is revealed, they look at each other, [saying], “Does anyone see you?” and then they dismiss themselves. Allāh has dismissed their hearts because they are a people who do not understand.

(MALAY)

Dan apabila diturunkan satu surah, sebahagian mereka memandang kepada yang lain (sambil berkata): “Adakah seseorang dari (orang-orang muslimin) yang melihat kamu?” Sesudah itu mereka pun pergi. Allah telah memalingkan hati mereka disebabkan mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

 

وَإِذا ما أُنزِلَت سورَةٌ

Dan apabila diturunkan satu surah,

Ini adalah tentang golongan munafik yang duduk bersama dengan Nabi ﷺ dan para sahabat yang lain. Mereka itu tidak beriman, tetapi duduk dan bergaul dengan para mukmin, berpura-pura, hebat lakonan konon beriman juga. Mereka solat bersama sahabat dan Nabi ﷺ, malah mereka juga duduk dalam majlis pengajian Nabi Muhammad ﷺ.

Waktu itu wahyu masih turun lagi, maka adalah kemungkinan waktu mereka duduk dalam majlis baginda, ada ayat Al-Qur’an yang turun.

 

نَّظَرَ بَعضُهُم إِلىٰ بَعضٍ

sebahagian mereka memandang kepada yang lain

Ketika duduk dalam mana-mana majlis Nabi dan waktu itu turun ayat Al-Qur’an yang baru, masing-masing dalam kalangan orang munafik itu memandang satu sama lain dalam majlis itu. Kalimah نَّظَرَ ini lebih lagi daripada kalimah راي. Maknanya mereka bukan memandang biasa sahaja (راي) tetapi memandang dengan pandangan penuh makna. Mereka memandang kawan-kawan mereka yang sealiran dengan mereka.

Mereka kenal sesama mereka dan kerana itu mereka memandang sesama sendiri. Mereka memandang dengan maksud, bukan pandang kosong sahaja. Macam kita juga, kalau dengan kawan, pandang sahaja sudah faham apa kawan mahu sampaikan sebab sudah kenal lama.

 

هَل يَرىٰكُم مِّن أَحَدٍ

“Adakah seseorang daripada (orang-orang muslimin) yang melihat kamu?”

Keadaan ini sama ada mereka bercakap dengan kawan mereka, atau mereka sampaikan maksud dengan pandangan mata sahaja: “Ada orang lain nampak kamu tak?”

Mereka tanya sebab mereka hendak lari meninggalkan majlis itu secara senyap. Mereka takut kalau orang lain perasan. Orang lain tekun memandang Nabi ﷺ sahaja, memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang disampaikan oleh baginda. Mereka mahu lari keluar kerana mereka gelisah takut dalam surah itu ada menceritakan tentang mereka.

 

ثُمَّ انصَرَفوا

Sesudah itu mereka pun pergi.

Apabila mereka rasa tidak ada yang perasankan mereka, mereka pun beredar dari majlis itu secara perlahan-lahan. Mereka takut-takut kalau ada surah baru pula lagi. Kalau Nabi ﷺ ada dapat wahyu baru, mereka tidak mahu duduk lagi. Ini adalah kerana mereka amat takut kerana kalau turun masa mereka ada, susah mereka nanti. Ini adalah kerana mereka takut ayat-ayat Al-Qur’an yang baru itu adalah berkenaan mereka.

Mereka memang tidak suka mendengar ayat Al-Qur’an dibacakan tetapi kenapa mereka datang? Kerana hendak tunjuk muka sahaja kepada Rasulullah ﷺ dan golongan Mukminin yang lain. Sebenarnya mereka berasa resah dan gelisah tidak sedap hati dan mereka tidak boleh duduk lama di majlis ilmu Rasulullah ﷺ.

Mereka tidak suka kerana ayat-ayat Al-Qur’an banyak menegur kesalahan mereka. Keadaan ini memang biasa pun kerana memang Al-Qur’an menegur kesalahan kita untuk membaiki kita. Maka sepatutnya kita ikut sahaja, bukannya menolak.

 

صَرَفَ اللَّهُ قُلوبَهُم بِأَنَّهُم قَومٌ لّا يَفقَهونَ

Allah telah memalingkan hati mereka disebabkan mereka adalah kaum yang tidak mengerti.

Oleh kerana mereka lari dari majlis Nabi ﷺ, Allah ‎ﷻ palingkan hati mereka. Mereka sendiri berpaling daripada ayat-ayat Allah ‎ﷻ , maka Allah ‎ ﷻ palingkan terus mereka daripada memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Allah ‎ ﷻ buat begitu kerana mereka tidak memahami kepentingan Al-Qur’an. Allah ‎ ﷻ telah palingkan hati mereka dari dahulu lagi kerana mereka tidak mahu memahami. Mereka memang tidak mahu memahami dan buat tidak kisah sahaja kepada wahyu. Ini adalah kerana mereka dari mula lagi tidak mahu beriman.

Kalau zaman sekarang, mereka ini adalah jenis yang tidak mementingkan pengetahuan agama. Mereka rasa, tidak perlu belajar pandai-pandai tentang agama. Kalau lagi pandai, lagi susah, jadi lagi pelik pula. Mereka rasa, kalau pandai agama, banyak benda terhalang tidak boleh buat. Tidak bebas lagi.

Maka mereka memilih untuk terus menjadi jahil, ikut sahaja apa yang hati mereka kata dan suruh mereka buat. Namun ingatlah, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ beritahu kalau berpaling dari majlis ilmu, Allah akan palingkan hati kita. Ini amat menakutkan sekali.

Kenapakah mereka jadi begini? Kerana mereka tidak fokus di dalam majlis ilmu. Hati mereka juga sudah gelap kerana banyak dosa-dosa yang mereka lakukan. Maka mereka tidak faham apa yang mereka telah dengar. Ini disebut dalam Muhammad: 16

وَمِنهُم مَّن يَستَمِعُ إِلَيكَ حَتّىٰ إِذا خَرَجوا مِن عِندِكَ قالوا لِلَّذينَ أوتُوا العِلمَ ماذا قالَ ءآنِفًا ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ طَبَعَ اللهُ عَلىٰ قُلوبِهِم وَاتَّبَعوا أَهواءَهُم
Dan di antara mereka ada orang yang mendengar perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu, mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): “Apakah yang dikatakannya tadi?” Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka.

Lihatlah bagaimana mereka tidak faham apa yang baru sahaja disampaikan. Mereka kena tanya pula kepada لِلَّذينَ أوتُوا العِلمَ (kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan) iaitu golongan sahabat. Ini mengajar kita yang sepatutnya di dalam majlis ilmu, sepatutnya orang yang fokus akan mendapat ilmu, bukannya tidak tahu apa-apa. Kalau sekarang pun kita perasan ada segelintir kawan-kawan sepengajian yang tertanya-tanya selepas kelas ‘Eh tadi ustaz kata apa eh?’. Ini menakutkan kerana mereka tidak diberi kefahaman oleh Allah ﷻ. Tentunya ada kesalahan dalam diri mereka yang mereka mesti perbetulkan. Kalau tidak, mereka akan terus termangu-mangu. Orang lain sudah faham macam-macam tetapi mereka tidak ke mana. Pi mai pi mai tang tu saja!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment