Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 62 – 66 (Gerak kerja Iblis dan syaitan)

Ayat 62: Allah menyambung cerita tentang kisah Iblis. Ini mengajar kita salah satu cara dakwah dan mengajar adalah dengan menggunakan kaedah penceritaan.

قالَ أَرَأَيتَكَ هٰذَا الَّذي كَرَّمتَ عَلَيَّ لَئِن أَخَّرتَنِ إِلىٰ يَومِ القِيامَةِ لَأَحتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلّا قَليلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Iblees] said, “Do You see this one whom You have honored above me? If You delay me [i.e., my death] until the Day of Resurrection, I will surely destroy¹ his descendants, except for a few.”

  • By tempting them and leading them astray.

(MELAYU)

Dia (Iblis) berkata: “Adakah Engkau lihat orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil”.

 

قالَ أَرَأَيتَكَ هٰذَا الَّذي كَرَّمتَ عَلَيَّ

Dia (iblis) berkata: “Adakah Engkau lihat orangnya yang Engkau muliakan atas diriku?

Lihat bagaimana Iblis kurang ajar dengan Allah. Dia menghina ciptaan Allah. Dia suruh Allah tengok Nabi Adam itu. Dia nak kata, “tengoklah makhluk yang Kamu lebihkan atas aku ini.. adalah dia lebih layak dari aku?”

Padahal Allah yang ciptakan Nabi Adam itu dan Allah telah muliakan baginda. Tapi lihatlah bagaimana Iblis nak kata yang ciptaan Allah itu tidak layak untuk dimuliakan.

 

لَئِن أَخَّرتَنِ إِلىٰ يَومِ القِيامَةِ

Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat,

Maka Iblis meminta supaya dipanjangkan umurnya supaya dia boleh hidup sampai ke Hari Kiamat.

 

لَأَحتَنِكَنَّ ذُرِّيَّتَهُ إِلّا قَليلًا

nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil”.

Dia minta dipanjangkan umurnya sampai ke Hari Kiamat supaya dia nak usaha untuk sesatkan anak cucu Nabi Adam. Dalam ayat ini diberitahu apakah modus operandi Iblis itu:

Dia akan إحتنك ihtanaka (sesatkan). Ianya dari ح ن ك yang bermaksud lelangit dalam mulut (kerana itu tahnik adalah mengenakan manisan seperti kurma pada lelangit mulut bayi). Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud menghasut seperti menarik mulut atau hidung (seperti menarik tali yang diikat pada hidung lembu).

Maksudnya, dia nak sesatkan anak cucu keturunan Nabi Adam. Kenapa sebut anak cucu baginda? Kerana Nabi Adam sendiri tidak boleh disesatkan kerana Allah jaga.

Kalimah ihtanaka juga digunakan bila belalang makan semua tanaman pada ladang. Kerana apabila ia serang, ia akan makan habis terus. Maksudnya, Iblis akan gunakan apa sahaja cara dan helah yang dia ada untuk menyesatkan Bani Adam. Maknanya dia akan cuba habiskan semua yang baik, dan tinggalkan yang buruk sahaja pada manusia.

Semua akan disesatkan kecuali sedikit sahaja. Oleh kerana itu ada hadis yang mengatakan dari seribu orang manusia, seorang sahaja yang tidak masuk neraka.

“Allah berfirman: “Wahai Adam!” maka dia menjawab: “Labbaik wa sa’daik” kemudian Allah berfirman: “Keluarkanlah dari keturunanmu delegasi neraka!” maka Adam bertanya: “Ya Rabb, apakah itu delegasi neraka?” Allah berfirman: “Dari setiap 1,000 orang 999 di neraka dan hanya 1 orang yang masuk syurga.” Maka ketika itu para sahabat yang mendengar bergemuruh membicarakan hal tersebut. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah di antara kami yang menjadi satu orang tersebut?” Maka beliau bersabda: “Bergembiralah, kerana kalian berada di dalam dua umat, tidaklah umat tersebut berbaur dengan umat yang lain melainkan akan memperbanyaknya, yaitu Ya’juj dan Ma’juj. Pada lafaz yang lain: “Dan tidaklah posisi kalian di antara manusia melainkan seperti rambut putih di kulit sapi yang hitam, atau seperti rambut hitam di kulit sapi yang putih.” (HR. Bukhari dan Muslim)


 

Ayat 63: Jawapan dari Allah kepada permintaan Iblis supaya nyawanya dipanjangkan.

قالَ اذهَب فَمَن تَبِعَكَ مِنهُم فَإِنَّ جَهَنَّمَ جَزاؤُكُم جَزاءً مَوفورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Go, for whoever of them follows you, indeed Hell will be the recompense of [all of] you – an ample recompense.

(MELAYU)

Tuhan berfirman: “Pergilah, barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.

 

قالَ اذهَب

Tuhan berfirman: “Pergilah,

Allah suruh Iblis pergi dari hadapanNya. Walaupun Iblis telah kurang ajar dengan Allah tapi Allah tetap bersabar tidak terus hancurkan Iblis. Dalam ayat yang lain, kita dapat tahu yang permintaan Iblis itu dimakbulkan oleh Allah. Ini melalui firman-Nya:

{قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ * إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ}

(Kalau begitu) maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai hari (suatu) waktu yang telah ditentukan. (Al-Hijr: 37-38)

 

فَمَن تَبِعَكَ مِنهُم

barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu,

Iblis dibenarkan oleh Allah untuk menghasut umat manusia. Manusia diberikan dengan pilihan untuk memilih sama ada untuk menerima kebenaran atau kebathilan; sama ada menerima ajaran wahyu atau termakan dengan pujukan Iblis dan tenteranya. Dan malang bagi mereka yang termakan dengan bisikan syaitan itu.

 

جَزاؤُكُم جَزاءً مَوفورًا

maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.

Kerana sesiapa sahaja ikut yang ikut Iblis, maka balasannya mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Dan itulah balasan yang setimpal bagi. Allah beritahu perkara kepada Iblis dan semua manusia yang ikut Iblis.

Dan pasti mereka akan diberikan balasan dengan cukup, dengan penuh.


 

Ayat 64: Sambungan firman Allah kepada Iblis.

وَاستَفزِز مَنِ استَطَعتَ مِنهُم بِصَوتِكَ وَأَجلِب عَلَيهِم بِخَيلِكَ وَرَجِلِكَ وَشارِكهُم فِي الأَموالِ وَالأَولادِ وَعِدهُم ۚ وَما يَعِدُهُمُ الشَّيطانُ إِلّا غُرورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And incite [to senselessness] whoever you can among them with your voice and assault them with your horses and foot soldiers and become a partner in their wealth and their children and promise them.” But Satan does not promise them except delusion.

(MELAYU)

Dan hasutlah sesiapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan suaramu, dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki dan berkongsilah dengan mereka pada harta dan anak-anak dan beri janjilah kepada mereka. Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka.

 

وَاستَفزِز مَنِ استَطَعتَ مِنهُم بِصَوتِكَ

Dan hasutlah sesiapa yang kamu sanggupi di antara mereka dengan suaramu,

Sekarang Allah sudah beritahu strategi Iblis itu. Kalimah إستفزز istafziz – dari ف ز ز – yang bermaksud mengganggu, melemahkan, menakutkan dengan cara menggunakan bahasa. Ianya adalah percubaan untuk menggerakkan seseorang, menggoyangnya, cuba buat seseorang goyang dari pegangannya.

Ianya juga digunakan untuk kambing yang baru lahir yang tidak kukuh kakinya kerana lemah lagi (sila tengok video anak kambing baru lahir). Jadi maksudnya: kamu gelincirkanlah mereka. Ini seperti menyepak kaki seseorang, atau menggelincirkan seseorang dari jalan.

Maknanya Allah cabar Iblis untuk menggelincirkan seberapa banyak manusia yang dia mampu. Lemahkan mereka yang kamu (Iblis) boleh. Kerana itulah dalam doa kita, kita minta kaki kita ditetapkan. Ini disebut dalam Ali Imran:147

رَبَّنَا اغفِر لَنا ذُنوبَنا وَإِسرافَنا في أَمرِنا وَثَبِّت أَقدامَنا وَانصُرنا عَلَى القَومِ الكافِرينَ

“Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah kaki-kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir”.

Allah cabar Iblis untuk menyesatkan anak Adam dengan suaranya. Oleh kerana itu, semua perkara yang melalaikan manusia dari Allah, dipanggil ‘suara syaitan’. Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan صَوتِ dalam ayat ini ialah nyanyian.

Maka kerana itulah pendapat yang mengatakan nyanyian itu haram adalah kuat. Mujahid mengatakan bahawa yang dimaksudkan ialah dengan hiburan dan nyanyian yang membuat mereka terbuai dan lupa diri. Malangnya ramai yang termakan dengan keindahan muzik dan nyanyian. Dan bila kita tegur bahawa itu adalah haram, banyak sekali alasan yang diberikan.

Ramai yang sangka mereka kena benarkan muzik dan nyanyian kerana itu adalah perkara yang biasa sangat zaman sekarang. Seolah-olah kalau nak halang, memang tidak boleh. Kita katakan: ia sudah biasa sangat kerana Iblis dan Syaitan telah berjaya. Mereka telah berjaya bagi umat manusia rasa biasa sahaja dengan muzik dan nyanyian itu.

 

وَأَجلِب عَلَيهِم بِخَيلِكَ وَرَجِلِكَ

dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukanmu yang berjalan kaki

Dan bukan Iblis buat kerja seorang sahaja. Dia ada tentera dia sendiri yang ramai. Ada yang berkuda dan ada juga tentera yang berjalan kaki. Maknanya dia ada banyak pengikut. Allah cabar dia untuk ambillah kumpulannya itu dan buat serangan kepada anak cucu Nabi Adam. Begitu sekali Allah beri izin.

Hal ini merupakan perintah yang berdasarkan takdir (Allah membenarkan dia melakukan sebegitu), seperti yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam firman-Nya:

{أَلَمْ تَرَ أَنَّا أَرْسَلْنَا الشَّيَاطِينَ عَلَى الْكَافِرِينَ تَؤُزُّهُمْ أَزًّا}

Tidakkah kamu lihat, bahawasanya Kami telah mengirim setan-setan itu kepada orang-orang kafir untuk menggoda mereka berbuat maksiat dengan sungguh-sungguh? (Maryam: 83)

 

وَشارِكهُم فِي الأَموالِ وَالأَولادِ

dan berkongsilah dengan mereka pada harta dan anak-anak

Dan Iblis dibenarkan untuk bercampur dengan mereka yang ikut dia dalam hal harta dan anak-anak mereka. Maksudnya, ajar mereka cara nak buat duit dengan cara haram. Bagi mereka sesat supaya jangan ada pencarian harta dan pendapat manusia dengan cara halal.

Menurut Ibnu Abbas dan Mujahid, makna yang dimaksudkan ialah perbuatan yang dianjurkan syaitan kepada mereka, misalnya membelanjakan harta untuk perbuatan maksiat terhadap Allah Swt.

Ata’ mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah melakukan riba. Al-Hasan mengatakan, maknanya ialah menghimpun harta benda dari hasil yang kotor dan membelanjakannya ke jalan yang haram.

Tentang anak-anak pula:

Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas. Mujahid, dan Ad-Dahhak, bahawa makna yang dimaksudkan ialah anak-anak yang lahir dari hasil zina.

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa makna yang dimaksudkan ialah anak-anak mereka yang mereka bunuh tanpa dosa, kerana pendek akal mereka dan kejahilan mereka.

Qatadah telah meriwayatkan dari Al-Hasan Al-Basri, bahawa demi Allah, sungguh syaitan telah bersekongkol dengan mereka dalam harta benda dan anak-anak mereka. Mereka menjadikan anak-anak mereka Majusi, Yahu­di, dan Nasrani serta mewarnai mereka bukan dengan celupan Islam.

Maksud bersyarikat atau berkongsi dengan mereka itu, apabila mereka melakukan perkara dosa di atas, mereka sebenarnya melakukannya bersama dengan syaitan. Mereka sahaja tidak perasan kerana syaitan adalah makhluk ghaib yang tidak dapat dilihat.

 

وَعِدهُم

dan beri janjilah kepada mereka.

Dan syaitan akan memberi memberi mereka bermacam-macam janji. Janjikan mereka dengan bermacam-macam khayalan-khayalan. Antaranya janjikan mereka dengan kelebihan rekaan dalam amalan. Kalau zikir ini, dapat pahala begini dan begitu; kalau buat amalan ini, akan selamat di dunia; kalau baca ayat ini, boleh menyembuhkan penyakit itu dan ini.

Itu semua adalah janji palsu dari syaitan. Jikalau sesuatu perkara itu tidak ada dalil, maka ia mungkin dari syaitan. Kerana itu kalau ada orang tanya: “siapa yang reka amalan bidaah itu dan ini”, kita boleh jawab: “syaitan”.

Kerana itulah kita mementingkan amalan sunnah dan kelebihan pahala yang ada dalil. Jangan percaya lagi kalau seseorang datang dan menceritakan kelebihan sesuatu amalan itu tanpa dibawakan dalil yang sahih. Disebutkan bahawa iblis berkata, sebagaimana yang dinaqalkan oleh firman-Nya:

{إِنَّ اللَّهَ وَعَدَكُمْ وَعْدَ الْحَقِّ وَوَعَدْتُكُمْ فَأَخْلَفْتُكُمْ}

Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kalian janji yang benar; dan aku pun telah menjanjikan kepada kalian, tetapi aku menyalahinya. (Ibrahim: 22), hingga akhir ayat.

 

وَما يَعِدُهُمُ الشَّيطانُ إِلّا غُرورًا

Dan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan kepada mereka melainkan tipuan belaka.

Ketahuilah bahawa yang apa yang dijanjikan oleh syaitan adalah penipuan semata. Kelebihan pahala dari amalan yang tidak ada dalil itu menipu sahaja. Tapi ramai yang tertipu melakukan amalan bidaah dengan mengharap pahala – amalan bukan sunnah selalunya dibuat kerana nak pahala lebih.

Memang syaitan menjanjikan pahala yang melambung-lambung. Tapi berhati-hatilah kerana kalau tidak ada dalil dari wahyu, ia adalah bisikan dari syaitan. Rugi sahaja buat kerana tidak dapat pahala pun. Tapi kerana jahil dengan ajaran agama, maka ada yang sampai duduk bertapa, mengembara ke tempat wali dan sebagainya kerana mengejar pahala yang tiada. Dan itu kerana bisikan syaitan sahaja.


 

Ayat 65: Telah disebut di atas bagaimana 1/1,000 manusia akan selamat dari neraka. Sekarang Allah memberitahu apakah sifat manusia yang 1/1,000 itu.

إِنَّ عِبادي لَيسَ لَكَ عَلَيهِم سُلطانٌ ۚ وَكَفىٰ بِرَبِّكَ وَكيلًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, over My [believing] servants there is for you no authority. And sufficient is your Lord as Disposer of affairs.

(MELAYU)

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka. Dan cukuplah Tuhan-mu sebagai Penjaga”.

 

إِنَّ عِبادي لَيسَ لَكَ عَلَيهِم سُلطانٌ

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka.

Kalau dibaca ayat-ayat di atas tadi, kita nampak macam Iblis ada banyak kuasa kerana macam-macam usaha dia boleh buat. Dan telah diberitahu yang memang ramai yang ikut bisikan Iblis itu.

Maka dalam ayat ini, Allah hendak memberitahu dia tidak kuat sangat. Kerana dia tidak ada kuasa atas manusia yang boleh ikut wahyu. Itulah mereka yang sebenar-benar menghambakan diri kepada Allah.

 

وَكَفىٰ بِرَبِّكَ وَكيلًا

Dan cukuplah Tuhan-mu sebagai Penjaga”.

Allah suruh kita bertawakal denganNya kerana Allah telah berjanji akan jaga hambaNya yang taat. Harapan kita terdapat dalam satu hadis:

وَقَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهيعة، عَنْ مُوسَى بْنِ وَرْدَان، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “إِنَّ الْمُؤْمِنَ ليُنْضي شَيَاطِينَهُ كَمَا يُنْضِي أَحَدُكُمْ بَعيرَه فِي السَّفَرِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah, telah menceritakan kepada kami Ibnu Lahi’ah, dari Musa ibnu Wardan, dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Sesungguhnya orang mukmin benar-benar dapat mengekang syaitan-syaitannya sebagaimana seseorang di antara kalian menge­kang unta kendaraannya dalam perjalanan.


 

Ayat 66: Ayat Tauhid. Allah menceritakan jasa-jasaNya kepada kita yang Dia sahaja yang boleh lakukan.

رَبُّكُمُ الَّذي يُزجي لَكُمُ الفُلكَ فِي البَحرِ لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ ۚ إِنَّهُ كانَ بِكُم رَحيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It is your Lord who drives the ship for you through the sea that you may seek of His bounty. Indeed, He is ever, to you, Merciful.

(MELAYU)

Tuhan-mu adalah yang melayarkan kapal-kapal di lautan untukmu, agar kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyayang terhadapmu.

 

رَبُّكُمُ الَّذي يُزجي لَكُمُ الفُلكَ فِي البَحرِ

Tuhan-mu adalah yang melayarkan kapal-kapal di lautan untukmu,

Kalimah إزجي bermaksud ‘tolak untuk menggerakkan dan ia bergerak’.  Allah memberitahu kita, bahawa Dialah yang menolak kapal di laut untuk kita. Dengannya kapal dapat bergerak. Jadi kalau kita di atas kapal yang sedang bergerak, kena ingat yang Allah yang gerakkan, bukan enjin atau angin.

Allahlah juga yang memberi idea bagaimana untuk buat kapal dan Allah beri angin untuk gerakkan kapal itu. Kalau zaman sekarang, tentulah dengan penciptaan enjin memudahkan untuk kapal bergerak di lautan yang luas.

 

لِتَبتَغوا مِن فَضلِهِ

agar kamu mencari sebahagian dari kurnia-Nya. 

Dengan memberi pergerakan pada kapal itu, manusia menggunakan kemudahan itu untuk cari rezeki dari Allah. Dengannya dapat tangkap ikan di lautan yang luas, dapat cari hasil dari laut, dapat memperdagangkan barangan jualan dan keperluan dari satu tempat yang jauh ke satu tempat yang jauh.

 

إِنَّهُ كانَ بِكُم رَحيمًا

Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyayang terhadapmu.

Allah beri segala kelebihan dan kemudahan itu kerana Dia kasih kepada kita iaitu makhlukNya. Kerana itu Allah sediakan kita dengan segala keperluan hidup.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 23 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 62 – 66 (Gerak kerja Iblis dan syaitan)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s