Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 57 – 58 (Maksud mencari Wasilah)

Isra’ Ayat 57: Mereka menyeru untuk meminta tolong kepada para Nabi itu tetapi para Nabi itu sendiri bagaimana? Mari kita belajar tentang mereka. Kerana salah faham tentang merekalah yang menyebabkan ramai manusia sesat.

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ يَدعُونَ يَبتَغُونَ إِلَىٰ رَبِّهِمُ ٱلوَسِيلَةَ أَيُّہُم أَقرَبُ وَيَرجُونَ رَحمَتَهُ ۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحذُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those whom they invoke¹ seek means of access to their Lord, [striving as to] which of them would be nearest, and they hope for His mercy and fear His punishment. Indeed, the punishment of your Lord is ever feared.

  • Among the righteous of Allāh’s creation, such as angels, prophets, deceased scholars, etc.

(MELAYU)

Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ يَدعونَ

Orang-orang yang mereka seru itu,

Iaitu seruan dalam sembahan, seruan dalam tawasul. Iaitu minta tolong kepada para Nabi, wali dan malaikat. Nabi, wali dan malaikat itu diseru untuk sampaikan doa manusia kepada Allah ﷻ. Malah ada yang lagi sesat, terus minta kepada Nabi, wali, malaikat dan jin itu.

Kerana itu ada yang beri alasan, mereka bukan minta tolong kepada Nabi, wali dan malaikat itu, tetapi mereka minta tolong Nabi, wali dan malaikat itu sampaikan sahaja doa mereka kepada Allah ﷻ. Iaitu mereka hanya jadikan para Nabi, wali dan malaikat itu sebagai wasilah untuk sampaikan doa.

Ini dinamakan tawasul. Ketahuilah yang ini pun sudah salah. Bukanlah semua tawasul itu salah tetapi kalau menjadikan Nabi, wali, malaikat dan jin sebagai perantara, ia adalah syirik. Kerana Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada kuasa untuk sampaikan doa kepada Allah ﷻ. Mereka yang diseru itu pun tidak dengar seruan kita, maka kenapa lah kita hendak membuang masa?

Masalahnya, apabila manusia seru Nabi, wali dan malaikat untuk sampaikan doa, maka manusia akan akhirnya sembah Nabi, wali dan malaikat itu. Kerana mereka hendak beri ‘upah’ kepada Nabi, wali dan malaikat itu. Maka mereka puja, kirim salam, sedekah pahala, sembelih binatang di kubur dan macam-macam lagi amalan syirik yang dilakukan oleh manusia yang jahil (termasuk umat Islam sendiri – iaitu yang mereka jahil ilmu wahyu). Mula-mula mereka itu dijadikan sebagai perantara sahaja, namun lama kelamaan terus disembah sebagai tuhan, contohnya kita boleh lihat dengan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Jesus) yang sekarang disembah oleh penganut Kristian.

 

يَبتَغونَ إِلىٰ رَبِّهِمُ الوَسيلَةَ

mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka

Allah ﷻ beritahu yang para Nabi, wali dan malaikat yang mereka seru itu sendiri sentiasa mencari jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Itulah yang mereka lakukan semasa mereka hidup. Inilah wasilah yang kita boleh ertikan sebagai pertalian persambungan dengan Tuhan.

Mereka berterusan melakukan amalan-amalan soleh dan ketaatan yang boleh mendekatkan diri mereka dengan Allah ﷻ. Mereka melakukan amalan baik dan meninggalkan maksiat. Itulah dua perkara yang dapat mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Inilah yang dinamakan wasilah. Maknanya untuk mendekatkan diri dengan Allah ﷻ adalah dengan melakukan amal kebaikan. Inilah yang sepatutnya yang dilakukan. Inilah yang diajar oleh Allah ﷻ di dalam Maidah: 35

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah pada jalan-Nya, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan.

Maka carilah ‘wasilah’ untuk hampir kepada Allah ‎ ﷻ iaitu, carilah jalan yang membolehkan kita menghampiri Allah ﷻ. Ayat inilah yang menyebabkan ramai orang Islam keliru. Ketahuilah, semua kitab tafsir muktabar berkata maksud ayat ini: meninggalkan yang haram dan membuat yang makruf, iaitu jalan yang Allah ‎ ﷻtelah tetapkan.

Janganlah ditafsir mengikut fahaman yang karut. Malangnya, ramai yang tafsir dengan cara karut kerana mereka tidak belajar tafsir. Mereka kata yang dimaksudkan dengan wasilah itu adalah ‘perantara’ seperti tok wali lah, Nabi lah dan sebagainya. Oleh kerana itu mereka mengatakan yang ini adalah dalil yang Allah ‎ ﷻmenyuruh kita mengamalkan tawasul dalam ibadah dan doa.

Ini adalah tafsiran orang yang jahil tentang Al-Qur’an dan kita jangan mengikut orang jahil. Memang kalau kita baca sendiri ayat ini dan cuba faham sendiri tanpa belajar tafsir, nampak memang seperti ada suruhan supaya menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai wasilah kita dalam ibadat dan doa dan memang ramai yang menggunakan ayat ini sebagai dalil mereka bagi mengamalkan tawasul. Namun itu hanyalah kepada mereka yang jahil sahaja.

Apakah maksud ‘wasilah’? Ia adalah cara untuk mendapatkan sesuatu iaitu membuat sesuatu untuk mendekatkan diri dengan seseorang. Dalam ayat ini, ia tentang mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Namun kerana salah faham, ramai yang menggunakan orang alim sebagai wasilah mereka sampai ada yang menggunakan ‘berkat’ ahli kubur dan sebagainya.

Ini sedang banyak diperkenalkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka ‘Habib’ di Malaysia. Mereka memang mengamalkan melawat kubur di tempat asal mereka dan meminta tolong kepada orang dalam kubur (yang mereka dakwa sebagai ‘wali’) dan kerana orang kita ‘import’ mereka datang ke sini, sedikit demi sedikit mereka telah memperkenalkan amalan syirik itu. Ramai yang tertipu dengan perawakan golongan Habib ini.

Maka di sini Allah ﷻ memberitahu perbuatan syirik yang dilakukan oleh golongan musyrikin dulu. Mereka mengambil wasilah (broker) untuk menyampaikan doa kepada Allah ﷻ. Selain daripada Nabi, wali dan malaikat, mereka juga gunakan perantaraan jin.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ { إِلَى رَبِّهِمْ الْوَسِيلَةَ } قَالَ كَانَ نَاسٌ مِنْ الْإِنْسِ يَعْبُدُونَ نَاسًا مِنْ الْجِنِّ فَأَسْلَمَ الْجِنُّ وَتَمَسَّكَ هَؤُلَاءِ بِدِينِهِمْ
Daripada [‘Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] mengenai firman Allah: Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan mereka.., (Al Isra: 57). Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Sebahagian orang menyembah bangsa jin. Lalu bangsa jin tersebut masuk Islam, sedangkan orang yang menyembahnya tetap pada keyakinan mereka.
(Sahih Bukhari (4345))

 

أَيُّهُم أَقرَبُ

siapa di antara mereka yang lebih dekat 

Para Nabi, wali dan malaikat itu berlumba-lumba antara mereka, siapakah yang lebih dekat dengan Allah ﷻ. Mereka bukannya hendak setakat lulus peperiksaan, tetapi mereka hendak dapat nombor 1. Ini adalah pertandingan yang bagus, kerana masing-masing berlumba-lumba meningkatkan amal melebihi orang lain. Tidak ada yang kalah dalam hal ini.

Ya memang para Nabi, wali dan malaikat itu dekat dengan Allah ﷻ kerana kesolehan dan ketaatan mereka. Akan tetapi manusia yang jahil salah anggap kedudukan ini. Mereka anggap, kalau Nabi, wali dan malaikat itu sudah dekat dengan Allah ﷻ, maka gunalah kedudukan dekat mereka itu. Hendak menumpang pula kedekatan para Nabi, wali dan malaikat itu. Sedangkan sepatutnya kita kalau hendak doa makbul, disayangi oleh Allah ﷻ, diberi rahmat oleh Allah ﷻ, sepatutnya kitalah yang kena beramal supaya dapat dekat dengan Allah ﷻ. Bukannya menumpang kedudukan orang lain.

Malangnya ramai yang salah konsep, asyik hendak menumpang kedudukan orang lain sahaja. Antaranya mereka hendak menumpang kedudukan para wali Allah ﷻ. Menempeklah golongan bodoh dan sesat ini di kuburan yang mereka anggap sebagai wali itu. Siapa lantik wali itu pun kita tidak tahu. Mereka sendiri lantik dan kemudian mereka sendiri sembah. Sedangkan di dalam Yunus: 62-64, Allah ﷻ suruh kita sendiri yang berusaha menjadi wali.

أَلا إِنَّ أَولِياءَ اللَّهِ لا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

الَّذينَ ءآمَنوا وَكانوا يَتَّقونَ
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

لَهُمُ البُشرىٰ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَفِي الآخِرَةِ
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat;

 

وَيَرجونَ رَحمَتَهُ

dan mengharapkan rahmat-Nya

Mereka sentiasa melakukan amalan baik dan sentiasa berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Maka mereka bukan sahaja berharap kosong, tetapi mereka berusaha dengan beramal.

 

وَيَخافونَ عَذابَهُ

dan takut akan azab-Nya;

Mereka sentiasa takut kepada azab Allah ﷻ kerana itu mereka tidak berani melakukan kesalahan dan maksiat. Mereka akan mengelakkan diri daripada melakukan dosa. Mereka memperbanyakkan amal mereka dan taat dengan sempurna kepada arahan Allah ﷻ. Ini seperti disebut di dalam Nahl: 50

يَخافونَ رَبَّهُم مِّن فَوقِهِم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ ۩
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan (kepada mereka).

Inilah dua konsep yang penting ada pada manusia yang beriman iaitu خوف (khauf) dan رجع (raja’) – takut dan harap. Sebagai seorang Muslim mesti mempunyai dua perasaan ini dan ia kenalah seimbang. Kalau takut yang terlebih, maka kita akan susah hidup di dunia ini kerana asyik takut sahaja, hendak makan pun tidak lalu nanti; kalau berlebihan dalam berharap pun bahaya juga, kerana akan senang dan selesa sahaja membuat dosa kerana berharap dengan rahmat Allah ﷻ untuk mengampunkan. Maka kena ada keseimbangan. Sebab itu selalu disebut sifat ini bersama-sama seperti Allah ﷻ berfirman di dalam Anbiya’: 90,

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami.”

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa takut (khauf), maka akan terjerumus dalam akidah khawarij yang putus asa daripada rahmat Allah ﷻ padahal Allah ﷻ Maha Pengasih.

Apabila terlalu besar dan mendominasi rasa raja’ (berharap), maka akan terjerumus dalam akidah murji’ah yang menghilangkan rasa takut kepada Allah ﷻ, hanya menonjolkan ampunan dan rasa harap padahal Allah ﷻ juga “syadidul iqab” iaitu keras azabnya.

Kerana itulah dua hal ini dimisalkan seperti sayap burung, tidak boleh ada yang lebih berat atau rosak sebelah. Syeikh Abdul Aziz bin Baz رَحِمَهُ اللَّهُ berkata,

والعبد يسير إلى الله بين الرجاء والخوف كالجناحين للطائر، يخاف الله ويرجوه
“Seorang hamba harus beribadah kepada Allah di antara raja’ dan khauf sebagaimana dua sayap burung.”

Satu lagi ayat yang menyentuh perkara ini adalah Sajdah: 16

تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقنٰهُم يُنفِقونَ
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka.

Mereka ini melakukan solat malam, tetapi apa yang mereka takutkan? Takut Allah ﷻ tidak terima doa mereka. Takut Allah ﷻ tidak terima ibadat mereka. Takut atas segala dosa yang telah dilakukan. Takut kepada hukuman Allah ﷻ. Takut kepada kemarahan Allah ﷻ. Macam-macam takut yang ada dalam diri manusia. Takut yang sebeginilah yang perlu ada dalam diri manusia.

Namun dalam masa yang sama, mereka amat berharap kepada rahmat Allah ﷻ. Akan tetapi harapan mereka itu bukanlah kosong sahaja, sebaliknya mereka ikut pengharapan mereka itu dengan melakukan ibadat yang banyak kepada Allah ﷻ. Barulah patut untuk berharap kalau sudah berusaha, bukannya sekadar goyang kaki sahaja!

 

إِنَّ عَذابَ رَبِّكَ كانَ مَحذورًا

sesungguhnya azab Tuhanmu adalah suatu yang (harus) ditakuti.

Allah ﷻ sentiasa mengingatkan manusia tentang azab. Inilah yang terdapat dalam semua wahyu dari dulu hingga kepada Al-Qur’an – mengingatkan tentang azab. Kerana azab itu memang patut untuk ditakuti kerana ianya amat menyakitkan.

Tidak akan ada makhluk yang sanggup untuk menghadapinya. Dengan mengingat azab yang Allah ﷻ telah diancamkan, akan menyebabkan kita takut untuk melakukan maksiat dan takut untuk meninggalkan ketaatan kepada Allah ﷻ. Para malaikat dan para Nabi juga takut kerana mereka kenal keagungan Tuhan. Mereka juga risau kedudukan mereka di sisi Allah ﷻ, bukanlah mereka perasan mereka terus selamat. Mereka juga akan diadili nanti di hadapan Allah ﷻ. Allah ﷻ telah berfirman mengancam mereka di dalam Zumar: 65

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Malah para malaikat juga akan dipersoalkan nanti seperti disebut di dalam Saba’: 40-41

وَيَومَ يَحشُرُهُم جَميعًا ثُمَّ يَقولُ لِلمَلىٰئِكَةِ أَهٰؤُلاءِ إِيّاكُم كانوا يَعبُدونَ
Dan (ingatlah) hari (yang di waktu itu) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada malaikat: “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”.

قالوا سُبحٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنا مِن دونِهِم ۖ بَل كانوا يَعبُدونَ الجِنَّ ۖ أَكثَرُهُم بِهِم مُّؤمِنونَ
Malaikat-malaikat itu menjawab: “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka; bahkan mereka telah menyembah jin; kebanyakan mereka beriman kepada jin itu”.


 

MUKJIZAT SELALU DITOLAK

Isra’ Ayat 58: Tapi ada makhluk yang tidak mengendahkan ancaman azab daripada Allah ﷻ, maka mereka akan dikenakan dengan azab di dunia lagi.

وَإِن مِّن قَريَةٍ إِلَّا نَحنُ مُهلِڪُوهَا قَبلَ يَومِ ٱلقِيَـٰمَةِ أَو مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا‌ۚ كَانَ ذٰلِكَ فِى ٱلكِتَـٰبِ مَسطُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there is no city but that We will destroy it¹ before the Day of Resurrection or punish it with a severe punishment. That has ever been in the Register¹ inscribed.

  • Because of the sins of its inhabitants.
  • The Preserved Slate (al-Lawḥ al-Maḥfūth), which is with Allāh.

(MELAYU)

Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).

 

وَإِن مِّن قَريَةٍ إِلَّا نَحنُ مُهلِڪُوهَا قَبلَ يَومِ ٱلقِيَـٰمَةِ

Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat

Allah ﷻ beri ancaman dalam ayat ini. Semua negeri yang penduduknya melakukan kezaliman, akan dimusnahkan. Bila Allah ﷻ sebut sebelum Kiamat, maksudnya semasa di dunia, kerana semasa Kiamat, memang satu dunia akan hancur. Walaupun dalam lafaz tidak disebut tentang penduduk negeri derhaka, akan tetapi kita faham yang ia merujuk kepada negeri yang penduduknya menentang Tauhid dan menentang kebenaran. Di awal surah ini juga kita telah melihat contoh Bani Israil yang telah dimusnahkan kerana kezaliman mereka. Azab yang dikenakan semasa di dunia tidaklah total seperti kehancuran hari Kiamat nanti.

Sebelum itu kita kena faham, walaupun dalam ayat ini Allah ﷻ sebut قَريَةٍ (negeri, tempat), tetapi yang dimaksudkan di sini adalah penduduk di dalamnya. Kerana penduduk di dalamnya lah yang melakukan kezaliman dan kesyirikan, bukan tempat itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak mengenakan azab melainkan kerana kesalahan manusia itu sendiri, bukan kerana tempat tinggal dia. Di dalam ayat yang lain Allah ﷻ menyebutkan kisah tentang umat-umat terdahulu:

وَمَا ظَلَمْنَاهُمْ وَلَكِنْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ
Dan Kami tidaklah menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
(Hud: 101)

Maka ini ada sunnatullah, iaitu para penentang Tauhid dan melakukan kerosakan akan dihapuskan seperti yang telah berlaku zaman berzaman. Kalau masih ada yang selamat lagi, itu adalah kerana Allah ﷻ beri tangguh sahaja.

 

أَو مُعَذِّبوها عَذابًا شَديدًا

atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. 

Ini pula tentang azab di akhirat. Maknanya Allah ﷻ boleh beri azab itu di dunia terus, atau Allah ﷻ boleh kenakan azab itu di akhirat sahaja. Yang pasti, mereka tetap dikenakan azab. Maka kalau negeri mereka tidak dihancurkan di dunia, jangan rasa selamat sangat, kerana mereka mesti akan kena juga di akhirat kelak.

Ada yang membezakan kalimah هلك dengan kemusnahan kepada negeri dan penduduknya. Ini seperti yang terjadi kepada kaum Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sedangkan عذب hanya dikenakan kepada penduduknya sahaja, negeri dibiarkan. Ini seperti Firaun dan pengikutnya yang dikeluarkan dan mereka dimatikan di laut. Begitu juga dengan azab yang dikenakan kepada Musyrikin Mekah. Para pemimpin mereka kebanyakannya dibunuh di medan Badr.

 

كَانَ ذٰلِكَ فِى ٱلكِتَـٰبِ مَسطُورًا

Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuzh).

Azab yang akan dikenakan kepada mereka itu telah pun tertulis dalam kitab. Yang dimaksudkan adalah Kitab Lauh Mahfuz. Maksud ‘mahfuz’ itu adalah ia terpelihara. Oleh kerana itu tidak ada sesiapa yang tahu apakah kandungannya melainkan Allah ﷻ sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment