PERINTAH: 5) BERBELANJA DENGAN SEDERHANA
Isra’ Ayat 29: Allah ﷻ ajar kita supaya dalam memberi, jangan memberi berlebihan sehingga habis, sehingga menyusahkan diri kita pula. Maka hendaklah berpada-pada.
وَلَا تَجعَل يَدَكَ مَغلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبسُطهَا كُلَّ ٱلبَسطِ فَتَقعُدَ مَلُومًا مَّحسُورًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not make your hand [as] chained to your neck¹ or extend it completely¹ and [thereby] become blamed and insolvent.
- i.e., refusing to spend.
- i.e., being extravagant.
(MELAYU)
Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.
وَلا تَجعَل يَدَكَ مَغلولَةً إِلىٰ عُنُقِكَ
Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu
Ini adalah Pepatah Arab. Maksud ‘tangan di leher’ adalah ‘tangan terikat’ dengan tidak memberi infak atau tolong orang lain. Iaitu susah sangat hendak keluarkan duit. Mereka rasa susah sangat hendak keluarkan duit sebagai bantuan sampaikan terasa seolah dicekik kalau kena keluarkan juga duit itu. Mereka yang dimaksudkan adalah orang kedekut sangat untuk keluarkan duit. Kita memang digalakkan untuk berjimat cermat tetapi janganlah teruk sangat. Janganlah jadi Haji Bakhil pula.
Walaupun ayat ini khitab kepada Rasulullah ﷺ, akan tetapi ia ditujukan kepada kita umat baginda. Kerana apabila ia ditujukan kepada pemimpin, maka ia termasuklah kepada orang bawahannya sekali.
Kenapa manusia menjadi kedekut untuk infak? Kerana mereka takut harta mereka berkurangan. Mereka tidak nampak bahawa apa sahaja yang mereka infak ke arah kebaikan akan diganti oleh Allah ﷻ. Kerana itu Allah ﷻ menyebut apabila infak itu seumpama memberi pinjam di dalam Baqarah: 245. Apabila ‘beri pinjam’, isyaratnya adalah ia akan dipulangkan kembali kepada orang itu.
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.
وَلا تَبسُطها كُلَّ البَسطِ
dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya
Namun begitu dalam masa yang sama jangan pula ‘mendepangkan’ tangan kita yang bermaksud memberi terlalu banyak kerana kita berangan-angan mahu menjadi seperti Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Janganlah kita beri kepada orang lain sampai tidak ada bahagian yang tinggal untuk diri kita dan ahli keluarga kita.
Janganlah kita baca kisah Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu sampai kita rasa itulah sahaja kayu ukur yang ada dalam kalangan para sahabat. Memang Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beri seluruh hartanya untuk Islam. Namun kena ingat yang bukanlah semua sahabat mengeluarkan infak sampai 100% harta mereka. Bukan semua orang seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tahap imannya tidak mungkin dicapai oleh kita. Para sahabat yang lain pun ada juga mengeluarkan infak tetapi mereka tidaklah keluarkan semuanya sekali. Maka jangan kita bantu melebihi kemampuan kita.
Malangnya kadang-kadang kita selalu diwar-warkan kisah infak Sayidina Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu sampaikan seolah-olah itulah sahaja tanda aras iman seseorang. Sampaikan kita semua rasa apa yang kita berikan itu tidak mencukupi. Sedangkan siapakah kita dan siapakah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ? Iman kita adakah sama dengan iman Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ? Yang kita patut beri adalah jikalau ada lebihan daripada keperluan hidup kita seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 219
وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ
dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu).
Maka beri ikut kemampuan kita. Bukan semua orang seperti Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan juga Rasulullah ﷺ. Seperti yang kita tahu, baginda akan beri segalanya kepada orang lain. Baginda sanggup menahan kelaparan sampaikan pernah mengikat batu pada perut baginda untuk mengurangkan rasa lapar (batu itu menyebabkan rasa seolah-olah ada makanan pada perut). Kalau ada yang memang mampu jadi begini, maka silakan. Contoh cara infak Nabi ﷺ seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ عُقْبَةَ قَالَ صَلَّيْتُ وَرَاءَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْمَدِينَةِ الْعَصْرَ فَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ مُسْرِعًا فَتَخَطَّى رِقَابَ النَّاسِ إِلَى بَعْضِ حُجَرِ نِسَائِهِ فَفَزِعَ النَّاسُ مِنْ سُرْعَتِهِ فَخَرَجَ عَلَيْهِمْ فَرَأَى أَنَّهُمْ عَجِبُوا مِنْ سُرْعَتِهِ فَقَالَ ذَكَرْتُ شَيْئًا مِنْ تِبْرٍ عِنْدَنَا فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ
Daripada [‘Uqbah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata, “Aku pernah solat ‘Asar di belakang Nabi ﷺ di kota Madinah. Setelah salam, tiba-tiba baginda berdiri dengan tergesa-gesa sambil melangkahi leher-leher orang banyak menuju sebahagian kamar isteri-isterinya. Orang-orang pun merasa hairan dengan ketergesa-gesaan baginda. Setelah itu baginda keluar kembali menemui orang banyak, dan baginda lihat orang-orang merasa hairan. Maka baginda pun bersabda: “Aku teringat dengan sejongkong emas yang ada pada kami. Aku khuatir itu dapat menggangguku, maka aku perintahkan untuk dibahagi-bahagikan.”
(Sahih Bukhari No. 804)
Maka kalau kita memang mampu bersedekah dan tidak takut langsung dengan kemiskian seperti baginda ini, maka silakanlah lakukannya dan ayat ini tidaklah menghalang anda. Kerana kita pun tahu ada para sahabat yang sanggup memberikan segala milik mereka kepada manusia yang memerlukan. Mereka tidak mengeluh nasib mereka dan tidak menyesal di kemudian hari. Akan tetapi jikalau anda memaksa diri anda untuk berikan terlalu banyak dan kemudian nanti menyesal apabila duit tidak cukup, maka janganlah lakukannya.
فَتَقعُدَ مَلُومًا مَّحسُورًا
kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal.
Menjadi tercela kalau bakhil dan berat untuk membantu. Dia telah diperhambakan oleh hartanya itu. Malah tercela di mata manusia. Kerana orang yang memerlukan bantuan itu tahu yang diminta itu ada kelapangan untuk membantu, tetapi tidak mahu kerana kedekut. Maka orang akan mencela mereka kerana bakhil adalah perbuatan yang tercela dan memalukan.
Namun begitu kalau beri tanpa memikirkan diri sendiri cukup atau tidak, nanti akan menyesal pula. Kalimah مَحسورًا daripada katadasar ح س ر yang digunakan untuk haiwan yang telah berjalan jauh dan keletihan sampai tidak boleh bergerak lagi. Janganlah kita beri melebihi daripada kemampuan kita sampaikan kita pun lelah tidak dapat menguruskan kehidupan kita dan keluarga. Janganlah kita beri sampai kita jadi bangkrap tidak berduit langsung, sampai kita pun kena meminta kepada orang lain pula. Kalau itu terjadi, maka kita akan kecewa dan menyesal kerana telah tersalah beri. Ini semua adalah makna-makna yang boleh ditafsirkan/diterjemahkan daripada kalimah مَحسورًا ini kerana ia mengandungi banyak makna.
Maka kita kenalah cari jalan pertengahan antara dua ekstrem itu (tahan tangan dan beri terlalu banyak). Ini penting kerana takut nanti kita akan tercela dan menyesal. Kita kenalah menjadi seorang Muslim yang bijak dalam berbelanja dan dalam memberi. Kita kenalah pandai menguruskan ekonomi diri sendiri. Ini seperti sabda Rasulullah ﷺ,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا عَالَ مَنْ اقْتَصَدَ
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak akan menjadi faqir orang yang berhemat.”
(Musnad Ahmad (26,363))
Maknanya kita kena pandai urus ekonomi kita sendiri. Kena pandai kira keperluan hidup kita dan berapa yang kita mampu keluarkan. Jangan lupa yang kita ada tanggungjawab kepada diri dan keluarga yang di bawah tanggungan kita juga. Kita juga memerlukan makanan esok hari. Allah ﷻ telah ajar juga di dalam Furqan: 67 tentang hal ini,
وَالَّذينَ إِذا أَنفَقوا لَم يُسرِفوا وَلَم يَقتُروا وَكانَ بَينَ ذٰلِكَ قَوامًا
Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.
Namun janganlah gunakan alasan ini untuk tidak mahu infak kepada orang lain. Jangan lupa kelebihan infak yang selalu disebut dalam Al-Qur’an dan dalam hadith. Antaranya di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui jalur Mu’awiyah ibnu Abu Mazrad, dari Sa’id ibnu Yasar, dari Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:
“مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا وَمَلَكَانِ يَنْزِلَانِ مِنَ السَّمَاءِ يَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا”
Tiada suatu hari pun yang padanya hamba-hamba Allah berpagi hari melainkan terdapat dua malaikat yang turun dari langit. Salah seorang yang mengatakan, “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang berinfak.” Sedangkan malaikat yang lain¬nya mengatakan, “Ya Allah, berikanlah kehancuran bagi orang yang kikir.”
(Sahih Bukhari (1442))
Imam Muslim رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan hadith berikut ini daripada Qutaibah, daripada Ismail ibnu Ja’far, daripada Al-Ala, daripada ayahnya, daripada Abu Hurairah secara marfu’ iaitu:
“مَا نَقَصَ مَالٌ مِنْ صَدَقَةٍ، وَمَا زَادَ اللهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَنْ تَوَاضَعَ ِللهِ رَفَعَهُ اللهُ”
Tiada harta benda yang berkurang kerana bersedekah, dan tidak sekali-kali Allah menambahkan kepada orang yang berin¬fak melainkan kemuliaannya. Dan barang siapa yang berendah diri kerana Allah, Allah pasti mengangkatnya (meninggikannya).
(Sahih Muslim (4689))
Allah ﷻ sebut dua keadaan di dalam ayat ini: مَلُومًا dan مَّحسُورًا. Kalau seseorang itu bakhil, maka dia adalah مَلُومًا. Orang lain akan mencelanya. Kalau seseorang itu terlalu banyak memberi sampai dia sendiri kehabisan harta, maka dia adalah مَّحسُورًا – menyesal, bangkrap, keletihan.
Isra’ Ayat 30: Sebelum ini telah disebut tentang infak dan larangan bakhil. Antara sebab manusia bakhil takut hendak infak dan membantu adalah kerana takut jatuh ke dalam kemiskinan. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu supaya jangan takut kerana yang beri rezeki adalah Dia. Ini juga adalah ayat Dalil Aqli. Allah ﷻ yang melapangkan rezeki kita, maka hendaklah kita sembah dan seru kepada Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ juga hendak memberitahu yang kelapangan rezeki itu adalah salah satu daripada ujian, sebenarnya.
إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ ٱلرِّزقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقدِرُۚ إِنَّهُ ۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, your Lord extends provision for whom He wills and restricts [it]. Indeed He is ever, concerning His servants, Acquainted and Seeing.
(MELAYU)
Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
إِنَّ رَبَّكَ يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ
Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki
Allah ﷻ mengingatkan kepada kita bahawa Dialah yang membantu manusia lain dan bukannya kita dengan memberi bantuan kewangan. Kita mungkin rasa dengan kita membantu seseorang itu, masalah kewangan dia selesai tetapi tidak semestinya kerana semuanya bergantung kepada Allah ﷻ.
Kalau kita beri banyak mana pun, tidak semestinya masalah dia selesai kalau Allah ﷻ tidak izinkan. Akan tetapi mungkin kalau kita beri sedikit pun, kalau Allah ﷻ berkati pemberian itu, dapat pula menyelesaikan masalah dia.
Di sini juga Allah ﷻ mengingatkan yang memberi rezeki itu adalah Allah ﷻ. Bukannya dengan menahan tangan kita daripada memberi itu akan menjanjikan harta kita tidak berkurang dan kita kenal kaya. Yang mengkayakan kita adalah Allah ﷻ. Bukanlah dengan memberi infak semestinya akan menjadikan kita kaya.
وَيَقدِرُ
dan menyempitkannya;
kedudukan kewangan seseorang makhluk itu. Kalau ada pun cukup-cukup makan sahaja, tetapi selalunya tidak cukup sentiasa. Semuanya dalam tangan Allah ﷻ dan Allah ﷻ yang tentukan. Ini adalah ujian baginya.
Pengembangan dan penyempitan ini boleh bertukar. Ada orang yang asalnya senang dan kaya raya tetapi kemudian jatuh papa; ada yang asalnya miskin memanjang tetapi kemudian Allah ﷻ luaskan rezekinya. Mungkin pada satu masa kita yang infak dan beri pertolongan kepada orang, dan entah pada waktu yang lain orang itu pula infak kepada kita balik.
Di sini juga Allah ﷻ memberi peringatan bahawa yang menyempitkan rezeki adalah Allah ﷻ, bukannya dengan memberi infak. Kita beri atau tidak, ia tidak memberi janji yang kita akan kaya atau miskin.
Maka siapa yang dilapangkan rezekinya dan siapa yang disempitkan rezekinya? Ini adalah ketentuan Allah ﷻ. Allah ﷻ Maha Bijaksana dan tahu siapa yang patut dapat dan siapa yang patut dikurangkan. Semua ini adalah ujian. Kita sebagai manusia tidak dapat memastikan yang kita pasti kaya atau kita pasti miskin.
إِنَّهُ ۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرًا
sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.
Allah ﷻ Maha Tahu dengan segala hamba-hamba-Nya. Allah ﷻ tahu dan melihat kesusahan yang kita alami. Allah ﷻ tahu dan melihat apa yang kita lakukan – sama ada kita memberi atau menahan pemberian kita. Allah ﷻ tahu berapa banyak yang patut diberikan kepada hamba-Nya.
Allah ﷻ juga tahu siapakah yang layak dapat rezeki atau tidak. Kerana Allah ﷻ tahu ada sesetengah hamba yang kalau dia dapat harta yang banyak, akan merosakkannya; dan ada yang kalau terus di dalam kemiskinan, akan merosakkannya. Di dalam sebuah hadith disebutkan seperti berikut:
“أتاني جبريل فقال يا محمد ربك يقرأ عليك السلام ويقول إن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالغنى ولو أفقرته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالفقر ولو أغنيته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالسقم ولو أصححته لكفر وإن من عبادي من لا يصلح إيمانه إلا بالصحة ولو أسقمته لكفر
Malaikat Jibril datang kepadaku, lalu berkata, ‘Wahai Muhammad, Tuhanmu mengucapkan salam kepadamu, dan dia berfirman, ‘Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kekayaan, dan kalau Aku jadikan dia miskin maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan kemiskinan, dan kalau Aku jadikan dia kaya maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada orang yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan sakit, dan kalau Aku jadikan dia sihat maka dia kufur. Dan, di antara hamba-hamba-Ku ada yang imannya tidak menjadi baik kecuali dengan sihat, dan apabila Aku jadikan dia sakit maka dia kufur. “
Akan tetapi hadith ini tidak sahih.
HR. Ibn Abi Duniya dalam al-Auliya’ no. 1, Abu Nua’im dalam Hilyatul Auliya’ 8/318, at-Thabarani dalam Mu’jam al-Awsath no. 609, al-Baghawi dalam Syarahus Sunnah 5/23, , al- hakim al-Tirmidzi dalam Nawadhir al-Usul 1/429 daripada Anas bin Malik ra.
Abu Nua’im menilai hadith ini dhaif.
Ibnu Jauzi dalam al-‘Ilal Mutanahiyah 1/44 menilai hadith ini tidak sahih
As-Safarini al-Hambali dalam Syarah Kitab Syihab no. 620 menilai hadith ini dhaif.
Ibnu Rejab dalam Jami’ al-Ulum wal Hikam 2/333 menilai hadith ini dhaif.
Syeikh al-Arnauth dalam Takhrij Syarahus Sunnah no. 1249, menilai sanad hadith ini dhaif.
Menurut pentahqiq Tafsir Ibnu Katsir 12/279, sanad hadith ini dhaif jiddan.
Oleh itu Allah ﷻ beri ikut keadaan dan keperluan seseorang itu. Maka bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana itulah yang sesuai untuk agama kita. Adakalanya kekayaan itu pada sebahagian manusia merupakan suatu istidraj baginya (pembinasaan secara beransur-ansur), dan adakalanya kemiskinan itu merupakan suatu hukuman daripada Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ melindungi kita daripada kedua keadaan tersebut.
Sekian Ruku’ 3 dari 12 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 April 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Assalamualaikum Celik Tafsir,
Maknanya kita kena pandai urus ekonomi kita sendiri. Kena pandai kira keperluan hidup kita dan berapa yang kita mampu keluarkan. Jangan lupa yang kita ada tanggungjawab kepada diri dan keluarga yang di bawah tanggungan kita juga. Kita juga memerlukan makanan esok hari.
Pada pendapat Celik Tafsir dalam konteks ayat di atas, apabila mengira keperluan hidup diri dan keluarga,
1. adakah termasuk simpanan pendidikan untuk anak-anak yang akan melanjutkan pengajian peringkat universiti?
2. dan termasuk simpanan di usia tua atau pencen?
3. berapa lama untuk dikira keperluan esok hari?
Terima kasih Celik Tafsir
LikeLike
1. Ya
2. Ya
3. Ini bergantung kepada keperluan. Syarak tidak tetapkan. Saya pernah dengar kajian yang simpanan kena ada adalah cukup untuk keperluan hidup selama 11 bulan. Contohnya kena buang kerja, anda anda 11 bulan untuk hidup dengan selesa. Ini kajian manusia sahaja.
LikeLike