Tafsir Surah an-Nahl Ayat 80 – 82 (Rumah sebagai Sakinah)

Nahl Ayat 80: Allah ﷻ menyebut lagi nikmat-nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada manusia.

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن بُيوتِكُم سَكَنًا وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلودِ الأَنعٰمِ بُيوتًا تَستَخِفّونَها يَومَ ظَعنِكُم وَيَومَ إِقامَتِكُم ۙ وَمِن أَصوافِها وَأَوبارِها وَأَشعارِها أَثٰثًا وَمَتٰعًا إِلىٰ حينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has made for you from your homes a place of rest and made for you from the hides of the animals tents which you find light on your day of travel and your day of encampment; and from their wool, fur and hair is furnishing and enjoyment [i.e., provision] for a time.

(MELAYU)

Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat rehat dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) dari kulit binatang ternak yang kamu berasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan dan waktu kamu bermukim dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu domba, bulu unta dan bulu kambing, alat-alat rumah tangga dan perhiasan (yang kamu pakai) sampai waktu (tertentu).

 

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّن بُيوتِكُم سَكَنًا

Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat rehat

Di sini Allah ﷻ kata Dia yang jadikan rumah kita. Namun bukankah kita yang bina sendiri? Ya, kita ada usaha untuk membinanya akan tetapi dari mana datangnya bahan-bahan seperti tanah, simen, pelepah, kayu, besi dan sebagainya itu? Bukankah daripada Allah ﷻ juga? Bukankah Allah ﷻ yang ajar manusia bagaimana membina rumah sebagaimana Dia yang ajar lebah membuat rumahnya?

Allah ﷻ jadikan di rumah tempat untuk bertenang. Dalam ayat 78 telah disebut bagaimana Allah ﷻ mulanya telah mengeluarkan kita daripada perut ibu kita. Dalam perut ibu kita, kita duduk dalam keadaan tenang sahaja menunggu masa untuk keluar. Sekarang disebut tentang ketenangan dalam rumah pula. Dalam ayat 68 telah disebut bagaimana Allah ﷻ memberi ilham kepada lebah untuk buat rumah. Sekarang disebut tentang rumah kita pula.

Allah ﷻ mengingatkan betapa tenangnya kita kalau duduk di rumah kita. Ini mengajar kita untuk duduk di rumah. Kalau tidak ada keperluan, duduk di rumah sahaja kerana di rumah itu ada ketenangan. Jangan pergi berjalan-jalan tanpa arah tujuan sahaja siang malam.

Apabila Allah ﷻ telah jadikan rumah sebagai سَكَنًا maka hendaklah kita juga berusaha untuk menjadikan rumah sebagai tempat yang damai dan tenang. Supaya ia menjadi tempat yang aman untuk beribadah, berkeluarga dan berehat. Jangan diserabutkan rumah itu dengan perkelahian dan tempat maksiat. Jadikan rumah sebagai tempat ilmu berkembang dengan diadakan majlis ilmu dan tempat anak-anak belajar perkara yang baik.

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّن جُلودِ الأَنعٰمِ بُيوتًا

dan Dia menjadikan bagi kamu rumah-rumah (khemah-khemah) daripada kulit binatang ternak

Ada rumah yang tetap seperti kebanyakan rumah kita tinggal sekarang. Akan tetapi pada bangsa Arab yang pertama sekali menerima Al-Qur’an ini, mereka ada rumah jenis lain – iaitu daripada kulit binatang ternak. Bukanlah semua tetapi untuk Arab Badwi sahaja. Kalau di Mekah dan Madinah, mereka duduk di rumah-rumah yang dibina.

Khemah orang Badwi diperbuat daripada kulit unta dan kambing

Dalam surah ini telah disebut tentang nikmat-nikmat yang Allah ﷻ berikan daripada binatang ternak; sekarang disebut salah satunya adalah daripada kulit binatang ternak itu, boleh dibuat khemah. Kulit itu diambil, diproses dan dijahit menjadi khemah. Ada dalam kalangan mereka yang memang tinggal di dalam khemah kerana mereka nomad, tidak ada tempat tinggal yang tetap.

 

تَستَخِفّونَها يَومَ ظَعنِكُم

yang kamu merasa ringan (membawa)nya di waktu kamu berjalan

Kelebihan khemah itu, ia mudah untuk dibuka. Ia ringan dan memudahkan mereka apabila mengembara ke tempat lain. Ini memudahkan mereka kerana mereka menggunakan unta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan unta tidak boleh bawa barang yang banyak.

Malah pada zaman sekarang juga, ramai pula yang suka pergi berkhemah.

 

وَيَومَ إِقامَتِكُم

dan waktu kamu bermukim

Apabila mereka sampai ke satu-satu tempat itu, mereka boleh berhenti dan pasang khemah serta jadikan sebagai tempat mereka tinggal (tempat bermukim). Kalau kita sekarang, memang tidak boleh perkara ini kerana rumah kita di satu tempat sahaja. Kalau pindah, kena cari rumah tempat lain pula, bukan?

Selepas sebut rumah, Allah ﷻ sebut pula khemah. Kalau khemah itu tentunya tidak banyak kelengkapannya sampai boleh kita katakan suasana di rumah itu dhaif sahaja. Bandingkan dengan rumah kita yang kukuh, ada bermacam-macam. Namun adakah rumah kita tempat yang tenang damai buat kita? Entah-entah khemah yang dhaif itu lebih menenangkan bagi penghuninya. Maka tentang rumah ini bukan material pembuatannya yang penting, tetapi suasana di dalam rumah itu sendiri. Kerana itu disebut di awal ayat ini kalimah سَكَنًا, kerana ini yang paling penting.

Kerana itu di dalam Rum: 21 disebut,

وَمِن ءآيٰتِهِ أَن خَلَقَ لَكُم مِّن أَنفُسِكُم أَزوٰجًا لِّتَسكُنوا إِلَيها وَجَعَلَ بَينَكُم مَّوَدَّةً وَرَحمَةً
Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.

Ini kerana ketenangannya yang kita sebenarnya cari di dalam kehidupan berkeluarga dan berumahtangga untuk kita senang beribadah dan mengamalkan Islam dengan sempurna.

 

وَمِن أَصوافِها وَأَوبارِها وَأَشعارِها أَثٰثًا

dan (dijadikan-Nya pula) dari bulu biri-biri, bulu unta dan bulu kambing, menjadi alat-alat rumah

Kemudian Allah ﷻ sambung lagi nikmat kegunaan daripada binatang ternak itu. Daripada bulu biri-biri, bulu unta, dan bulu binatang lain, boleh dijadikan أَثاثًا (barang-barang di rumah). Contohnya sofa daripada kulit, beg kulit, kerusi kulit dalam kereta, dompet kulit dan sebagainya. Dhomir (kataganti) ها itu kembali kepada الأَنعامِ. Manusia boleh gunakan kreativiti mereka untuk mengambil bulu-bulu itu untuk membuat perhiasan dalam rumah dan barang kegunaan harian.

Di sini mengandungi hukum penggunaan barangan kulit dan bulu daripada binatang. Tidak disebut yang binatang itu perlu disembelih cara Islam pun. Ini kerana semua jenis kulit binatang menjadi suci dengan disamak (dibersihkan) sama ada kulit daripada binatang yang halal dimakan (seperti lembu, kambing dan kerbau) atau kulit daripada haiwan yang haram dimakan (seperti harimau, buaya, ular dan sebagainya). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ
“Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”
(Riwayat Muslim (838))

Maksud samak ialah membersihkan kulit dengan membuang darah, daging dan lendiran yang boleh merosakkan kulit dengan menggunakan bahan-bahan penanggal atau penghakis. Untuk melakukan samakan tidak disyaratkan orang Islam. Oleh itu, harus (dibenarkan) kita menggunakan kulit yang disamak oleh orang bukan Islam jika samakannya memenuhi maksud samak tadi iaitu membuangkan daripada kulit segala lendiran, daging dan darah tadi (yakni yang tinggal hanya kulit sahaja).

Dikecualikan kulit anjing dan babi di mana terdapat khilaf dalam kalangan ulama’; apakah ia akan menjadi suci dengan samakan atau tidak? Menurut mazhab Syafie; semua jenis kulit menjadi suci dengan samakan kecuali kulit anjing dan babi. Kulit anjing dan babi tidak akan menjadi suci walaupun setelah disamak kerana kedua-duanya adakah haiwan najis ketika hidup dan selepas mati. Oleh itu, menurut mazhab Syafie; tidak harus orang Islam memakai kulit anjing dan babi sekalipun setelah ia disamak.

Menurut mazhab Hanafi; semua jenis kulit menjadi suci dengan disamak kecuali satu kulit sahaja iaitu kulit anjing. Adapun kulit babi, ia menjadi suci jika disamak. Mazhab yang paling terbuka dalam masalah kulit ini ialah mazhab Daud az-Zahiri iaitu semua jenis kulit menjadi suci dengan disamak termasuklah kulit anjing dan babi.

Mengenai bulu pula, telah disepakati oleh para ulama’ bahawa bulu daripada binatang yang halal dimakan (seperti bulu biri-biri) jika ia diambil ketika ia masih hidup (yakni dicabut atau dicukur ketika ia hidup), hukumnya adalah suci dan harus digunakan termasuk ketika solat. Adapun bulu binatang yang haram dimakan (harimau, singa, babi dan sebagainya), terdapat khilaf dalam kalangan ulamak. Menurut mazhab Syafie; ia adalah najis. Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; ia adalah suci.

Para ulama’ juga berbeza pandangan tentang bulu daripada bangkai iaitu binatang yang mati tanpa disembelih (seperti lembu atau kambing yang mati tanpa disembelih) dan binatang yang tidak halal dimakan apabila ia mati; adakah bulunya boleh dimanfaatkan atau tidak? Menurut mazhab Syafie; bulunya adalah najis. Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; bulunya adalah suci setelah dibasuh.

Kesimpulannya, dalam masalah bulu ini, mazhab Hanafi dan Maliki lebih terbuka berbanding mazhab Syafie. Menurut mazhab Syafie; hanya bulu haiwan yang halal dimakan sahaja yang suci dan boleh dibawa ke dalam solat dan itu pun disyaratkan bulu itu diambil ketika hidup atau dari haiwan yang disembelih (*yakni haiwan yang halal dimakan. Adapun haiwan yang haram dimakan, sekalipun disembelih ia tetap najis dan segala yang yang ada pada tubuhnya semuanya najis, kecuali kulit sahaja yang dapat menjadi suci dengan samakan). Sementara menurut mazhab Maliki dan Hanafi; semua jenis bulu adalah suci sama ada bulu dari haiwan yang halal dimakan atau yang haram dimakan, sama ada diambil ketika ia masih hidup atau selepas ia mati.

Maka kena bezakan antara kulit dan bulu. Kita beri satu contoh, menggunakan kulit atau bulu sebagai alas solat. Contohnya kita solat di atas karpet daripada kulit, atau daripada bulu. Jika melihat kepada mazhab Syafie, kulit dan bulu biri-biri itu adalah suci jika ia daripada biri-biri yang disembelih. Jika bukan daripada biri-biri yang disembelih, hendaklah dilihat;

a) Jika yang hendak digunakan itu adalah kulitnya sahaja (tanpa bulu), ia adalah suci jika terdapat tanda ia telah disamak (iaitu kulit itu telah bersih daripada lendiran, darah dan najis, yakni yang tinggal hanya kulit sahaja). Oleh itu, harus digunakan ketika solat.

b) Namun jika yang hendak digunakan ialah kulit dan juga bulunya, tidak harus digunakan ketika solat kerana menurut mazhab Syafie; bulu binatang yang mati tanpa disembelih adalah najis. Maka sekalipun kulitnya menjadi suci dengan samakan, tetapi bulunya tetap najis. Oleh itu, tidak harus ia dipakai ketika solat.

Akan tetapi, seperti telah disebut di atas, mazhab lain ada yang lebih luas dan terbuka tentang hal ini.

 

وَمَتاعًا إِلىٰ حينٍ

dan sebagai barang kegunaan sampai waktu (tertentu).

Bulu dan kulit itu boleh juga dijadikan sebagai barang kegunaan untuk kehidupan. Mereka pakai di rumah dan mereka juga gunakan untuk berjual beli.

Semua ini boleh digunakan sehingga waktu tertentu. Selagi mereka hidup, mereka boleh pakai. Tidaklah mereka kekal pakai semua barang itu sampai bila-bila. Sama ada mereka mati dulu atau barangan itu yang rosak dahulu.


 

Nahl Ayat 81: Dalil Aqli.

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّمّا خَلَقَ ظِلٰلًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الجِبالِ أَكنٰنًا وَجَعَلَ لَكُم سَرٰبيلَ تَقيكُمُ الحَرَّ وَسَرابيلَ تَقيكُم بَأسَكُم ۚ كَذٰلِكَ يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكُم لَعَلَّكُم تُسلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh has made for you, from that which He has created, shadows [i.e., shade] and has made for you from the mountains, shelters and has made for you garments which protect you from the heat and garments [i.e., coats of mail] which protect you from your [enemy in] battle. Thus does He complete His favor upon you that you might submit [to Him].

(MELAYU)

Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).

 

وَاللهُ جَعَلَ لَكُم مِّمّا خَلَقَ ظِلٰلًا

Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung daripada apa yang telah Dia ciptakan,

Dalam ayat 48 Allah ‎ﷻ telah sebut tentang bayang-bayang. Ada juga gunanya bayang-bayang ini. Allah ﷻ jadikan bayang-bayang untuk kita kerana kita perlu kepadanya terutama di tempat yang panas terik.

Apabila ada benda besar seperti pokok, kita dapat berteduh di bayangan pokok itu. Ini penting kerana panas terik menyesakkan dan bila ada tempat berteduh, dapatlah berehat sementara menunggu perjalanan ke tempat yang lain. Sekarang ditarik perhatian orang musafir yang tengah kepanasan dalam perjalanan jauh, maka diperingatkan pula akan nikmat Allah ﷻ yang nampaknya kecil sahaja, tetapi amat diperlukan oleh para musafir itu. Dalam perjalanan yang jauh, dalam panas sangat teriknya tentu memerlukan keteduhan. Dari jauh telah kelihatan serumpun pohon tumbuh di padang, atau pinggir tebing. Mereka dapat berhenti sebentar ke sana untuk melepaskan lelah dan berlindung daripada teriknya panas matahari.

 

 

وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الجِبالِ أَكنٰنًا

dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat berlindung di gunung-gunung,

Dalam ayat 15, Allah ﷻ sebut bagaimana Dia telah menjadikan gunung-gunung sebagai pasak bumi. Dengan gunung itu kita gunakan sebagai أَكنانًا (tempat perlindungan). Pada gunung itu selalunya ada gua dan manusia boleh gunakan gua itu untuk berlindung daripada panas terik atau ribut pasir. Kalau ada ribut pasir melanda, memang kena cari gua dalam gunung untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka memang berasa sangat penting gua-gua itu.

Kita memang tidak berapa pandai menghargai gunanya gua-gua itu kerana tempat tinggal kita selamat sahaja. Namun bagi mereka yang memang bergelumang dengan ribut pasir dan panas terik di padang pasir, gua-gua itu cukup bermakna untuk mereka.

 

وَجَعَلَ لَكُم سَرٰبيلَ تَقيكُمُ الحَرَّ

dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu daripada panas

Sambung lagi tentang penjagaan daripada panas terik. Selain daripada bayang, gunung dan gua, setiap dari kita harus ada pakaian yang melindungi kita daripada panas terik. Kerana kalau matahari itu kena terus pada kulit, tentu akan rosak kulit kita. Apabila ada pakaian, ia akan melindungi dan menyebabkan keluar peluh yang menyejukkan kulit kita. Memang pakaian itu kita jahit dan tenun, tetapi bahan-bahannya daripada Allah ﷻ. Kalimah سَرٰبيلَ daripada katadasar س ر ب ل yang bermaksud pakaian; baju; baju besi.

Seperti yang kita tahu, pakaian bukan sahaja memelihara daripada kepanasan, tetapi ia juga memelihara daripada kesejukan. Namun kenapakah ayat ini sebut tentang kepanasan sahaja? Ini kerana kitab Al-Qur’an ini penerima pertamanya adalah bangsa Arab. Maka contoh-contoh yang diberikan adalah berkenaan mereka. Sebagai contoh, kita lihat dalam ayat ini, pakaian dikatakan sebagai pelindung kepada kepanasan kerana negara mereka memang negara yang panas. Sedangkan, di negara lain, pakaian itu pelindung daripada kesejukan, bukan?

Satu lagi pendapat adalah kerana di dalam ayat 5 telah disebut tentang pemelihara daripada kesejukan, maka ia tidak diulangi lagi di sini.

وَالأَنعٰمَ خَلَقَها ۗ لَكُم فيها دِفءٌ
Dan Dia telah menciptakan binatang ternak untuk kamu; padanya ada (bulu) yang menghangatkan

 

وَسَرٰبيلَ تَقيكُم بَأسَكُم

dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. 

Selain daripada baju biasa yang melindungi manusia daripada cuaca biasa, Allah ﷻ beri ilham kepada manusia untuk membuat baju besi untuk dijadikan sebagai pertahanan dalam perang. Ini pula untuk melindungi para pejuang semasa di dalam peperangan. Allah ﷻ berkata Dia yang berikan, kerana ilham untuk buat baju besi itu daripada Allah ﷻ juga. Disebut manusia pertama yang buat baju besi ini adalah Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 

كَذٰلِكَ يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكُم لَعَلَّكُم تُسلِمونَ

Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri 

Begitulah kesempurnaan nikmat zahir yang Allah ﷻ berikan dan Allah ﷻ sebut-sebutkan supaya kita berserah diri. Maksud berserah diri itu adalah mentauhidkan-Nya. Jalalain رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan kalimah تُسلِمونَ di sini تُوَحِّدُونَ iaitu mengesakan Allah ﷻ. Kerana segala nikmat itu bukannya terjadi sendiri tetapi Allah ﷻ yang jadikan untuk kita. Tidak ada yang selain Allah ﷻ yang beri nikmat itu kepada kita, maka manusia haruslah sembah Allah ﷻ sahaja. Kenapa mahu sembah selain Allah ﷻ yang tidak memberikan segala nikmat itu?


 

Nahl Ayat 82: Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ dan para pendakwah.

فَإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if they turn away, [O Muḥammad] – then only upon you is [responsibility for] clear notification.

(MELAYU)

Jika mereka tetap berpaling, maka sesungguhnya kewajipan yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.

 

فَإِن تَوَلَّوا

Jika mereka tetap berpaling,

Ini adalah berkenaan mereka yang ingkar – setelah diberikan dengan pelbagai dalil dan hujah; dan setelah diingatkan kepada mereka jasa-jasa dan nikmat yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka, tetapi mereka tetap berpaling juga daripada menerima akidah tauhid, menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah ﷻ.

Apabila begitu, apa lagi yang kita boleh buat? Kita hanya manusia sahaja, tidak berupaya mengubah pendirian mereka. Kadangkala kita memang berdepan dengan orang yang degil. Ini biasa sahaja.

 

فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ المُبينُ

maka sesungguhnya kewajipan yang dibebankan atasmu (Muhammad) hanyalah menyampaikan (amanat Allah) dengan terang sahaja.

Ini adalah tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda rasa bersalah dan risau sangat kerana umat baginda ramai yang tidak menerima ajaran tauhid. Baginda telah berhempas pulas berdakwah kepada mereka dengan berbagai-bagai cara, tetapi tidak berjaya.

Maka Allah ﷻ beri kelegaan kepada baginda dan memujuk baginda dan para pendakwah. Allah ﷻ beritahu yang tugas baginda hanya menyampaikan sahaja ajaran agama dengan jelas. Memang baginda telah sampaikan. Itu sahaja yang baginda boleh lakukan kerana baginda tidak dapat mengubah hati mereka dan beri hidayah kepada umat baginda walaupun baginda teringin sangat. Kerana hidayah milik Allah ﷻ dan Allah ﷻ sahaja yang boleh mengubah hati manusia.

Begitu juga dengan kita – ramai dalam kalangan ahli keluarga kita dan kawan-kawan rapat dengan kita yang kita dakwah tentang tauhid dan ajaran Sunnah kepada mereka. Namun tidak semestinya semua menerima. Maka kita dipujuk oleh Allah ﷻ dengan ayat ini – kita hanya disuruh untuk menyampaikan sahaja. Sama ada mereka menerima atau tidak, bukan di tangan kita.

Maka jangan kita bersedih sangat kalau mereka tidak mahu terima. Teruskan dengan dakwah kepada mereka dan orang lain, selagi boleh.

Akan tetapi kena pastikan apa yang kita sampaikan adalah المُبينُ. Maknanya jelas daripada wahyu sama ada daripada Al-Qur’an atau hadith yang sahih. Ini amat penting kerana ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak faham perkara ini. Mereka senang sahaja menyampaikan ajaran tanpa ada rujukan daripada wahyu yang sahih. Masyarakat kita pun senang sahaja terima apa yang disampaikan oleh para ustaz tanpa soal. Sedangkan bukan semua yang disampaikan di meja penceramah itu sahih belaka.

Ini kerana masyarakat kita telah lama jauh daripada ajaran wahyu. Maka banyak ajaran agama telah ditokok tambah dengan pendapat manusia.

Kebanyakan pendapat itu didapati di dalam kitab-kitab selalunya, selain daripada ajaran-ajaran di meja penceramah. Namun jangan salah faham pula. Kita tidak menolak ulama’ mahupun kitab secara pukal. Manakan mungkin kita dapat ilmu kalau rosak disampaikan oleh alim ulama’ termasuk yang mereka tulis di dalam kitab-kitab mereka. Cuma kita kena pastikan yang menulis itu ada memberikan sandaran kepada wahyu dan bukan pendapatnya semata-mata.

Malangnya ramai yang tidak peka perkara ini. Asalkan ustaz cakap, mereka terima begitu sahaja; begitu juga kalau yang menyampaikan itu berkata: “Ini ada dalam kitab, ulama’ itu dan ini kata begitu begini…”. Namun itu belumlah cukup lagi. Kata-kata manusia boleh sahaja salah. Maka dalam hal agama mesti ada dalil sandaran wahyu.

Yang pertama adalah Al-Qur’an, dan keduanya hadith. Hadith itu kenalah sahih. Cuma di dalam masyarakat kita, amat culas bab hadith. Sudah tidak dipastikan sahih atau benar. Asalkan dikata ada disebut dalam hadith sahaja mereka terima. Malah yang palsu pun mereka hendak pertahankan. Kadangkala memang sesuatu hadith itu masyhur, maka ramai yang sangka ia pasti sahih. Tidaklah semestinya.

Alhamdulillah kita ada alim ulama’ yang memberi pencerahan tentang hal ini. Mereka menyebut mana-mana hadith yang ada masalah kerana mereka adil dengan ilmu. Namun amat menyedihkan apabila ada pula golongan masyarakat yang jahil, marah kepada yang memberi penjelasan. Akal letak di mana kita pun tidaklah tahu. Amat malang kalau marah membabi buta tanpa ilmu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 21 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment