Tafsir Surah Yusuf Ayat 99 (Keluarga sampai ke Mesir)

MIMPI NABI YUSUF MENJADI KENYATAAN

Yusuf Ayat 99: Kisah Nabi Yusuf dalam Al-Qur’an adalah antara naratif yang paling kita kenali dan sayangi. Namun, di sebalik plot yang mungkin sudah kita hafal, tersembunyi satu perincian kecil yang sering terlepas pandang—satu teka-teki yang apabila dirungkai, membuka pintu kepada lautan makna.

Persoalan itu timbul dalam ayat ini, apabila Nabi Yusuf akhirnya bertemu semula dengan keluarganya. Al-Quran merakamkan bahawa beliau terus menarik “kedua ibu bapanya” (أَبَوَيْهِ) ke dalam pelukan. Di sinilah letaknya kejanggalan itu: menurut riwayat yang masyhur, ibu kandung Nabi Yusuf, Rahil (Rachel), telah lama meninggal dunia. Jadi, siapakah “ibu” yang dipeluknya? Perincian ini memaksa kita untuk berhenti dan bertanya. Mari kita selami pengajaran luar biasa yang terungkap daripada satu persoalan yang kelihatannya remeh ini.

فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ وَقَالَ ٱدخُلُواْ مِصرَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they entered upon Joseph, he took his parents to himself [i.e., embraced them] and said, “Enter Egypt, Allāh willing, safe [and secure].”

(MALAY)

Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf: Yusuf merangkul ibu bapanya dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman”.

 

فَلَمّا دَخَلوا عَلىٰ يوسُفَ

Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf:

Sebelum ini Nabi Yusuf عليه السلام telah menyuruh untuk dibawakan semua keluarga mereka datang ke Mesir. Jadi sekarang semua sudah sampai bertemu dan menghadap baginda. Jadi ibu bapa Nabi Yusuf, adik beradik baginda dan keluarga baginda semua sekali berada di Mesir mengadap Nabi Yusuf di istana baginda.

Inilah titik permulaan bagi Bani Israil berada di Mesir. Kerana itulah nanti apabila Firaun berkuasa (setelah ratusan tahun), bangsa Qibti menindas dan menghambakan Bani Israil kerana Bani Israil dikira sebagai bangsa pendatang ke Mesir dan kedudukan mereka rendah kalau dibandingkan dengan bangsa Qibti. Namun ketika mereka datang pada zaman Nabi Yusuf عليه السلام ini, mereka dihormati kerana masih ada Nabi Yusuf عليه السلام di kalangan mereka.

 

ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ

Yusuf merangkul ibu bapanya

Apabila Nabi Yusuf عليه السلام nampak ayah dan ibunya, baginda telah tarik mereka kepadanya dan memeluk mereka dengan mesra dan tanda hormat. Bayangkan berapa lama mereka tidak berjumpa. Tentu rasa rindu yang teramat sangat, bukan? Kalimah “ءَاوَىٰٓ” (dibaca: āwā) berasal dari akar kata “أوى” yang bermakna “berlindung”, “menyandar”, “menumpang”, atau “menjadikan tempat tinggal”. Dalam konteks Al-Qur’an dan bahasa Arab klasik, kata ini digunakan untuk menunjukkan makna “melindungi”, “menampung”, “menyediakan tempat tinggal”, atau “mengumpulkan ke suatu tempat yang aman”. Penggunaan kalimah ini menunjukkan Nabi Yusuf sangat rindu kepada bapanya dan tidak sabar untuk merangkulnya.

Yang menjadi perbincangan adalah kalimah أَبَوَيهِ yang bermaksud kedua ibubapanya. Ini adalah kali kedua ibu disebut setelah hanya disebut sepintas lalu di dalam Ayat 4,

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ
(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Kalimah وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ di dalam ayat itu merujuk kepada ibu dan bapa Nabi Yusuf. Tapi selepas ayat itu, tidak langsung ada disebut tentang ibunya sehinggalah sekarang. Kenapa ibu tidak disebut sedangkan kalau anak hilang, tentulah ibu lagi meroyan, bukan? Tapi kita tidak diberitahu tentang hal itu. Kenapa ibunya tidak disebut? Kalau sebelum ini tidak pernah disebut, jadi apa pentingnya disebut kali ini? Inilah persoalan yang boleh ditimbulkan dan untuk kita perhatikan.

Sebenarnya ada pendapat yang kuat mengatakan ibu Nabi Yusuf telah wafat dan ibu yang datang kepada baginda adalah ibu tiri baginda iaitu adik kepada ibunya sendiri. Terdapat dua pendapat utama dalam hal ini:

1. Pendapat Pertama: Ibu Kandungnya Masih Hidup

Pendapat ini dipegang oleh sebahagian besar ahli tafsir (termasuk Imam al-Hasan dan Ibnu Ishaq). Mereka berhujah berdasarkan zahir ayat Al-Qur’an kita sedang bincangkan ini. Hujah mereka:

  • Perkataan أَبَوَيْهِ dalam bahasa Arab secara literal bermaksud “kedua ibu bapanya” (ayah dan ibu).

  • Oleh itu, ibu kandung Nabi Yusuf yang bernama Rahil (Rachel) dianggap masih hidup dan turut serta berhijrah ke Mesir.

2. Pendapat Kedua: Ibu Kandungnya Sudah Meninggal (Ibu Saudara)

Pendapat ini dipegang oleh ramai ulama besar seperti Ibnu Abbas, Qatadah, dan juga dibahas secara mendalam oleh Imam Al-Alusi. Hujah mereka:

  • Menurut riwayat sejarah (Ahli Kitab) dan fakta sirah para Nabi, ibu kandung Nabi Yusuf, Rahil, telah meninggal dunia semasa melahirkan adiknya, Bunyamin.

  • Wanita yang datang ke Mesir itu adalah Lia (Leah), iaitu ibu saudara Nabi Yusuf (kakak kepada Rahil) yang juga merupakan isteri Nabi Ya’qub selepas kematian Rahil.

  • Mengapa dipanggil “Ibu”? Dalam budaya Arab dan gaya bahasa Al-Qur’an, ibu saudara (mak cik) atau ibu tiri sering dipanggil dengan gelaran “ibu” sebagai tanda penghormatan. Ini sama seperti Nabi Ismail dipanggil “bapa” kepada anak-anak Nabi Ya’qub dalam Surah Al-Baqarah ayat 133, sedangkan baginda adalah bapa saudara.

Untuk memahami kenapa ini berlaku, kita perlu selami dahulu cara Al-Qur’an bercerita, yang sangat berbeza daripada naratif lain. Memang benar, ibu Nabi Yusuf, Rahil, telah meninggal dunia semasa melahirkan adiknya, Bunyamin. Jadi, bagaimanakah Al-Qur’an boleh menyebut Yusuf memeluk “kedua ibu bapanya”?

Di sinilah letaknya falsafah penceritaan Al-Qur’an. Matlamatnya bukanlah untuk memberikan laporan sejarah yang lengkap. Sebaliknya, ia memilih butiran-butiran tertentu untuk menyampaikan pengajaran abadi. Sebagai perbandingan, naratif Bible menceritakan secara terperinci drama keluarga yang kompleks iaitu persaingan sengit antara isteri-isteri Nabi Ya’qub, iaitu Leah dan Rahil. Dan kerana persaingan itu telah menyebabkan anak-anak pun sudah jadi dua kumpulan. Kerana itulah abang-abang Nabi Yusuf tidak baik dengan Nabi Yusuf dan adiknya Bunyamin. Namun, Al-Qur’an dengan sengaja mengetepikan semua “drama” ini. Jika kita perhatikan dengan lebih teliti, Al-Qur’an bukan sekadar mengabaikannya; ia sedang mengajar kita bahawa drama itu sendiri tidak relevan. Ia hanyalah topeng luaran yang menutupi masalah rohani yang sebenar: hasutan syaitan yang menanamkan racun cemburu dan hasad dengki di dalam hati. Al-Qur’an mengalihkan fokus kita daripada menyalahkan dinamik keluarga kepada mengenali musuh sebenar yang beroperasi di sebalik tabir.

Al-Qur’an sengaja mengetepikan semua itu untuk mengajar kita satu perkara: semua itu tidak relevan. Situasi, drama, ketegangan, persaingan; semuanya hanyalah topeng luaran. Isu sebenarnya ialah bagaimana syaitan mencetuskan hasad dengki… Apa puncanya? Syaitan telah menguasai kamu. Tapi jika anda kaji Bible, puncanya bukanlah syaitan, tetapi dinamik keluarga itu sendiri.

 

Kemaafan Paling Agung Bukan Dizahirkan Melalui Ucapan, Tetapi Pelukan

Apabila keluarganya tiba di Mesir, tindakan pertama Nabi Yusuf a.s. ialah menarik “kedua ibu bapanya” ke dalam dakapannya (آوَىٰ إِلَيْهِ أَبَوَيْهِ). Perbuatan ini jauh lebih mendalam daripada sekadar kata-kata kerana ada sentuhan fizikal di situ. Seperti yang kita telah sebut, kemungkinan besar, “ibu” yang hadir pada waktu itu ialah Leah, ibu kandung kepada enam daripada abangnya yang telah menganiayainya.

Cuba kita bayangkan sejenak apa yang bermain di fikiran Leah ketika itu. Dia mungkin melangkah masuk dengan perasaan serba salah dan gentar, sedar bahawa dialah ibu kepada anak-anak yang menjadi punca penderitaan Yusuf. Dia mungkin menjangkakan dirinya akan dipinggirkan. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Nabi Yusuf terus memeluknya dengan penuh kemesraan dan hormat, seolah-olah dia adalah ibu kandungnya sendiri. Tindakan spontan ini serta-merta meruntuhkan segala tembok kebimbangan dan menghantar mesej perdamaian yang luar biasa kuat.

Abang-abangnya membenci Yusuf kerana asal usul ibunya, Rahil. Kini, mereka menyaksikan ibu mereka sendiri dimuliakan oleh orang yang sama. Ini adalah manifestasi kemaafan yang paling agung yang bukan sekadar memaafkan, tetapi secara aktif memuliakan dan membina semula jambatan. Ia mengajar kita untuk tidak menghukum seseorang hanya kerana kaitan mereka dengan orang lain. Dia melayan wanita itu seolah-olah ibu kandungnya sendiri. Bayangkan mesej yang diterima oleh abang-abang Yusuf, yang selama ini membencinya kerana siapa ibunya… Dia tidak menyimpan sebarang dendam. Dia begitu menyayanginya, dan memuliakan kedua-dua ibu dan ayahnya sama rata.

 

Keluarga “Kompleks” Bukan Perkara Baru Dan Al-Qur’an Mengiktirafnya

Kisah ini secara langsung menyentuh realiti keluarga yang kompleks yang kita sangka hanya wujud pada zaman moden. Struktur keluarga dengan pelbagai isteri, ibu tiri, dan adik-beradik tiri sebenarnya telah wujud sejak zaman purba. Keluarga kita pun tidak kurang juga, ada sahaja kisah kusut dan kompleks yang ada banyak isu dari masa ke semasa. Setiap keluarga ada ceritanya, tidak ada keluarga yang sempurna. Tidak ada. Melalui contoh Nabi Yusuf, Al-Qur’an memberikan panduan abadi tentang cara menangani hubungan ini dengan ihsan dan kemuliaan.

Menariknya, bahasa Arab itu sendiri menyokong prinsip ini. Perkataan والد merujuk khusus kepada bapa kandung, manakala أب merujuk kepada figura bapa atau penjaga. Yang mungkin bukan bapa sebenar. Pilihan Al-Qur’an untuk menggunakan perkataan أَبَوَيهِ (bentuk dual daripada أب) dalam ayat ini adalah bukti linguistik yang mengesahkan pengajaran moralnya: yang diutamakan adalah peranan dan kedudukan seseorang dalam keluarga, bukannya hubungan biologi semata-mata. Nabi Yusuf menghormati Leah bukan kerana hubungan darah, tetapi kerana kedudukannya sebagai isteri kepada bapanya. Dan apabila ibunya telah meninggal dunia, Leah inilah yang menjaganya dan bertindak sebagai ibu kepadanya. Maka kerana itu Nabi Yusuf menghormatinya dan melayannya dengan baik dan hormat.

Maka pelajaran terpenting yang kita terima dari ayat ini adalah bagaimana kita melayan ahli keluarga kita. Mereka ini orang paling rapat dengan kita. Kita boleh pilih kawan, tapi kita Allah telah sediakan keluarga kita untuk kita terima di dunia ini. Sama ada sebagai rahmat dan boleh jadi juga sebagai ujian. Kita diajar untuk memberikan hak mereka sebagai keluarga, tidak kira betapa teruknya mereka. Kita kena hormat kedudukan mereka sebagai bapa, ibu atau penjaga kita, abang-abang kita dan juga adik-adik kita. Kalau mereka ada buat salah, itu antara mereka dengan Allah. Tapi kita sebagai manusia yang ada ilmu, harga diri dan adab, tetap melayan mereka sebagai keluarga kita.

Kenapa institusi keluarga ini penting? Kerana ia ada hubungan sosial kita yang paling rapat dengan kita. Kita hendak menjaga agama Islam, kerajaan Islam, hubungan antara negara Islam, dan macam-macam lagilah yang kita gebang di media sosial. Akan tetapi jikalau dalam keluarga kita sendiri pun kita tidak boleh jaga hubungan, apa cerita hendak bincang perkara yang besar-besar? Bagaimana kita hendak berdakwah kepada orang lain kalau dengan keluarga kita sendiri pun kita tidak dipercayai kerana sudah banyak kali kita mematah hati ahli keluarga kita sendiri? Kerana itu Allah amat mementingkan hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga kerana ini adalah latihan kepada kita untuk perhubungan yang lebih besar lagi. Tersangat pentingnya menjaga hubungan ini sampaikan Rasulullah pernah bersabda,

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ
“Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan (tali silaturahmi).”

Sahih Bukhari: No. Hadis: 5984; Sahih Muslim: No. Hadis: 2556.

Maknanya kalau gagal tentang menjaga silaturrahim ini akan menyebabkan tidak masuk syurga! Lalu bagaimana hubungan kekeluargaan kita? Adakah kita lebih senang membantu orang luar, tapi kalau ahli keluarga sendiri dalam kepayahan, kita buat tidak tahu sahaja? Kalau dengan orang lain kita senang berjumpa dan bergelak sakan, tapi dengan ahli keluarga mencuka sahaja mukanya? Kalau orang lain kita boleh jaga hati mereka, tapi kita anggap ahli keluarga kita tidak ada hati dan muka?

Ayat ini juga menyentuh tentang hubungan kita dengan ibubapa kita, terutama setelah kita dewasa dan mereka sudah tua. Dahulu kita memerlukan mereka tapi sekarang mereka pula yang memerlukan belaian dari kita. Maka kena santuni mereka, beradab dengan mereka dan bersabar dengan mereka. Kenapa kena bersabar? Kerana mereka telah tua dan perangai mereka pun ada lain sikit. Mereka senang terasa hati, fikiran mereka pun tidak fokus lagi, mereka mungkin buat perangai yang pelik-pelik dan macam-macam lagi. Ketika ini kita sebagai anak yang akan diuji.

 

وَقالَ ادخُلوا مِصرَ

dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir,

Baginda ajak mereka semua masuk dan tinggal di Negeri Mesir. Inilah permulaan datangnya Bani Israil ke Mesir dari Kan’an. Ini menjawab persoalan Yahudi yang bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ, bagaimanakah Bani Israil boleh berada di Mesir pula?

 

إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ

insya Allah dalam keadaan aman”.

Masuklah dengan keadaan aman. Aman daripada kemarau, aman daripada kesusahan dan segala bahaya lain. Atau, boleh terus masuk tanpa halangan seperti yang dikenakan kepada orang luar seperti zaman sekarang kena ada visa. Maknanya sekarang, mereka sudah menjadi warganegara Mesir. Mereka diterima duduk di situ dengan aman dan tidak perlu takut penindasan daripada sesiapa. Baginda sebagai pemerintah Mesir akan memberikan perlindungan kepada mereka semampu baginda. Abang-abang itu patutnya takut kepada baginda, tapi baginda sendiri yang mengatakan mereka akan selamat. Maka itu sepatutnya menenangkan hati mereka.

Ia juga bermaksud nasihat kepada mereka untuk duduklah dengan aman. Apa-apa drama di masa lalu, lupakan sahaja. Kita sekarang hendak hidup tenang-tenang sahaja tanpa ada rasa dengki dan cemburu lagi.

Kenapa Nabi Yusuf sebut إِن شَآءَ ٱللَّهُ di sini? Bukankah ada hadis yang menyebut jangan menggunakan إِن شَآءَ ٱللَّهُ di dalam doa? Nabi Muhammad ﷺ yang menjelaskan masalah ini:

إِذَا دَعَا أَحَدُكُمْ فَلاَ يَقُلْ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ، وَلَكِنْ لِيَعْزِمِ الْمَسْأَلَةَ وَلْيُعَظِّمِ الرَّغْبَةَ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَتَعَاظَمُهُ شَىْءٌ أَعْطَاهُ
“Apabila salah seorang di antara kalian berdoa, maka janganlah dia berkata: ‘Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mahu,’ tetapi hendaklah dia memastikan permohonannya (yakin dan bersungguh-sungguh) dan hendaklah dia mengagungkan permohonannya. Sebab, sesungguhnya Allah tidak terbebani oleh sesuatu pun yang Dia berikan.”

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Adz-Dzikr wa Ad-Du’a (Nombor Hadis: 2679). Juga diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari (Nombor Hadis: 6338).

Syarah: Maksudnya adalah harus bersungguh-sungguh (yakin) dalam meminta. Jangan ada keraguan, kerana Allah Maha Mampu dan Maha Pemurah. Sebab utama larangan tersebut adalah untuk menjaga adab kepada Allah. Jika kita mengucapkan “jika Engkau mahu”, seolah-olah kita khuwatir Allah terbebani atau terpaksa memberikan permohonan kita, padahal Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Ketika berdoa memohon sesuatu kepada Allah, hendaknya kita meminta dengan penuh keyakinan, kesungguhan (azam), dan tanpa menggantungkannya pada kehendak Allah secara lisan (misalnya dengan mengucapkan “In sya Allah” atau “In Syi’ta”).

Tapi bagaimana dengan ucapan Nabi Yusuf di dalam ayat ini: Ucapan “insya Allah dalam keadaan aman” ini adalah ucapan selamat datang yang menenangkan dan memberi jaminan keamanan kepada ayah, ibu, dan seluruh keluarganya ketika mereka tiba di Mesir. Ucapan ini juga merupakan ungkapan tawakal (berserah diri) dan memohon berkah kepada Allah atas keamanan yang dijanjikan. Jadi ia bukanlah doa sebenarnya.

Baginda juga menyebut إِن شَآءَ ٱللَّهُ kerana hanya Allah sahaja yang dapat memberi keamanan kepada keluarga baginda. Walaupun baginda berkuasa di Mesir ketika itu, tapi bukanlah baginda mampu memberikan keselamatan dan keamanan penuh kepada mereka, melainkan Allah sahaja.

 

Makna Sebenar “Insha’Allah” Daripada Seorang Pemerintah

Selepas memeluk ibu bapanya, Nabi Yusuf berpaling kepada seluruh keluarganya dan berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya-Allah dalam keadaan aman sentosa.” Penggunaan ungkapan “Insha’Allah” di sini sarat dengan makna. Kita sering menyalahgunakannya sebagai tanda ketidakpastian atau alasan. Contohnya ada orang ajak kita datang ke mana-mana, kita jawab: “ha insha Allah aku datang….” padahal kita sebenarnya tidak mahu pergi dan insha Allah itu sebagai penyedap mulut sahaja. Sampai ada orang tanya balik: “ini insha Allah Melayu ke Islam punya ni?” kerana ia telah disalahgunakan oleh orang kita.

Tapi bukan begitulah maksud Nabi Yusuf. Baginda sekarang mengajar kita tentang maksud insha Allah yang sebenarnya. Harap jangan kita salahgunakan lagi. Nabi Yusuf memberi jaminan kepada mereka di dalam ayat ini. Apabila ia datang daripada seorang pemerintah yang berada di puncak kuasa—yang mempunyai segala autoriti untuk menjamin keselamatan mereka—ia menunjukkan satu bentuk kerendahan hati yang mendalam. Nabi Yusuf adalah jelmaan hidup bagaimana takdir boleh berubah dalam sekelip mata. Baginda lebih arif daripada sesiapa pun bahawa jaminan manusia adalah rapuh. Satu hari baginda sedang berada dengan bapanya, tapi tiba-tiba berada di dalam perigi, kemudian di dalam penjara, dan kini di atas takhta. Pengalaman hidupnya sendiri mengajar baginda bahawa segala kuasa dan keselamatan pada hakikatnya tertakluk kepada kehendak mutlak Allah.

Maka, ucapannya bukanlah sekadar adab teologi. Ia adalah satu pengakuan tulus yang lahir daripada pengalaman pahit manis hidupnya: walau setinggi mana pun pangkatku, aku tidak akan pernah membuat janji tentang masa depan tanpa menyandarkannya kepada Allah. Sekarang aku, sebagai pemerintah Mesir, memberi jaminan kamu akan selamat. Tetapi aku sendiri tidak boleh mengatasi kuasa Pemerintah segala pemerintah iaitu Allah. Jika Dia berkehendak, keselamatan kamu boleh berakhir pada langkah pertama. Kerana itu, aku tidak akan sekali-kali bercakap tentang masa depan tanpa menambah: ‘Insha’Allah’.

 

 

Beberapa Pengajaran Ringkas: 

Memuliakan Kedudukan Penjaga (Ibu Tiri/Ibu Saudara): Nabi Yusuf melayan ibu tirinya (berkemungkinan besar namanya Leah) dengan penuh hormat dan kasih sayang seolah-olah ibu kandungnya sendiri. Ini mengajar kita bahawa penghormatan dalam keluarga harus diberikan berdasarkan peranan dan kedudukan seseorang, bukan sekadar hubungan biologi semata-mata.

Mengabaikan “Drama” dan Fokus kepada Masalah Rohani: Al-Qur’an dengan sengaja tidak menceritakan drama persaingan antara isteri-isteri Nabi Ya’qub untuk mengajar bahawa konflik keluarga seringkali hanyalah luaran. Isu sebenarnya adalah hasutan syaitan yang menanam racun hasad dengki di dalam hati.

Kemaafan yang Aktif dan Fizikal: Kemaafan yang paling agung bukan hanya pada lisan, tetapi dizahirkan melalui tindakan, seperti pelukan yang meruntuhkan tembok kebimbangan. Nabi Yusuf tidak meminggirkan ibu kepada abang-abang yang telah menzaliminya, sebaliknya baginda memuliakan wanita tersebut secara terbuka.

Silaturrahim sebagai Asas Hubungan yang Lebih Besar: Kegagalan menjaga hubungan kekeluargaan adalah tanda kegagalan yang besar, kerana silaturrahim adalah latihan untuk perhubungan sosial dan dakwah yang lebih luas. Malah, memutuskan tali persaudaraan boleh menjadi penghalang seseorang daripada memasuki syurga.

Menyantuni Ibu Bapa yang Lanjut Usia: Apabila ibu bapa sudah tua, mereka memerlukan belaian dan kesabaran yang tinggi daripada anak-anak kerana emosi mereka yang mudah terasa hati atau fikiran yang tidak lagi fokus.

Makna Sebenar “Insha’Allah” dalam Kekuasaan: Penggunaan “Insha’Allah” oleh Nabi Yusuf (seorang pemerintah yang berkuasa) menunjukkan kerendahan hati yang mendalam. Ia bukan alasan untuk tidak menepati janji, tetapi satu pengakuan bahawa walau setinggi mana pun pangkat manusia, segala keselamatan dan masa depan tetap tertakluk kepada kehendak mutlak Allah.

Keadilan dalam Melayan Ahli Keluarga: Walaupun abang-abangnya pernah berbuat jahat, Nabi Yusuf tetap memberikan hak mereka sebagai keluarga dan menjamin keamanan mereka di Mesir. Kesalahan peribadi mereka adalah urusan mereka dengan Allah, namun sebagai manusia yang beradab, kita perlu tetap melayan mereka dengan ihsan.

Analogi: Melayan keluarga yang kompleks ibarat menjaga sebuah taman yang mempunyai pelbagai jenis tumbuhan; ada yang berduri dan ada yang berbuah manis. Kita tidak memusnahkan seluruh taman hanya kerana satu duri, sebaliknya kita terus menyiramnya dengan adab dan ihsan agar keindahan keseluruhannya terjaga.

 

Kuiz Uji Kefahaman (Soalan Jawapan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat berdasarkan maklumat daripada teks sumber.

1. Siapakah yang dimaksudkan dengan “kedua ibu bapanya” (أَبَوَيْهِ) yang dipeluk oleh Nabi Yusuf, dan apakah persoalan utama yang timbul daripada perkataan ini?

2. Nyatakan dua pendapat utama ulama tafsir mengenai identiti ibu Nabi Yusuf yang hadir di Mesir.

3. Menurut sumber, mengapakah Al-Qur’an dengan sengaja tidak menceritakan drama keluarga Nabi Ya’qub, seperti persaingan antara isteri-isterinya?

4. Bagaimanakah tindakan Nabi Yusuf memeluk ibu tirinya, Lia, dianggap sebagai manifestasi kemaafan yang agung?

5. Apakah perbezaan linguistik antara perkataan Arab والد (wālid) dan أب (ab), dan bagaimana ia berkaitan dengan kisah Nabi Yusuf?

6. Jelaskan bagaimana kedatangan keluarga Nabi Ya’qub ke Mesir menjadi titik permulaan bagi kewujudan Bani Israil di sana.

7. Apakah dua makna bagi jaminan “aman” (ءَامِنِينَ) yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada keluarganya?

8. Mengapakah penggunaan ungkapan “Insha’Allah” oleh Nabi Yusuf dianggap sebagai tanda kerendahan hati yang mendalam, walaupun baginda seorang pemerintah?

9. Menurut hadis yang dipetik, mengapakah kita dilarang menggunakan “Insha’Allah” atau “jika Engkau mahu” semasa berdoa kepada Allah?

10. Apakah pengajaran utama mengenai kepentingan institusi keluarga dan silaturrahim yang dapat diambil daripada ayat ini, seperti yang disokong oleh hadis Rasulullah?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
أَبَوَيْهِ (Abawaihi)
Perkataan Arab yang bermaksud “kedua ibu bapanya”. Dalam konteks ayat ini, ia menimbulkan perbincangan mengenai identiti ibu Nabi Yusuf.
ءَاوَىٰٓ (Āwā)
Berasal daripada akar kata yang bermaksud “berlindung” atau “menyediakan tempat tinggal”. Dalam ayat ini, ia digunakan untuk menunjukkan tindakan Nabi Yusuf yang merangkul ibu bapanya dengan mesra dan penuh hormat.
وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ (Wasy-syamsa wal-qamar)
Frasa daripada Surah Yusuf Ayat 4 yang bermaksud “matahari dan bulan”. Ia ditafsirkan sebagai simbolik kepada ibu dan bapa Nabi Yusuf dalam mimpi baginda.
Rahil (Rachel)
Nama ibu kandung Nabi Yusuf. Menurut pendapat yang kuat, beliau telah meninggal dunia semasa melahirkan Bunyamin.
Lia (Leah)
Kakak kepada Rahil dan isteri Nabi Ya’qub. Beliau adalah ibu tiri Nabi Yusuf dan ibu kandung kepada enam abang baginda.
Bani Israil
Keturunan Nabi Ya’qub. Kedatangan keluarga baginda ke Mesir adalah permulaan sejarah mereka di tanah tersebut.
Qibti
Bangsa asli Mesir yang kemudiannya menindas Bani Israil pada zaman Firaun.
والد (Wālid)
Perkataan Arab yang merujuk secara khusus kepada bapa kandung atau bapa biologi.
أب (Ab)
Perkataan Arab yang lebih umum untuk figura bapa atau penjaga, yang tidak semestinya mempunyai hubungan darah.
إِن شَآءَ ٱللَّهُ (Insha’Allah)
Ungkapan yang bermaksud “jika Allah menghendaki”. Digunakan oleh Nabi Yusuf untuk menunjukkan kerendahan hati dan pengakuan bahawa semua kuasa dan jaminan keselamatan datang daripada Allah semata-mata.
Silaturrahim
Hubungan kekeluargaan. Menjaga hubungan ini adalah kewajipan yang sangat penting dalam Islam, manakala memutuskannya adalah dosa besar.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 99 (Keluarga sampai ke Mesir)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. “Kedua ibu bapanya” (أَبَوَيْهِ) merujuk kepada ayah Nabi Yusuf, Nabi Ya’qub, dan seorang wanita yang dianggap ibunya. Persoalan utama timbul kerana menurut riwayat masyhur, ibu kandung Nabi Yusuf, Rahil, telah lama meninggal dunia, justeru menimbulkan teka-teki mengenai siapakah “ibu” yang dipeluk oleh baginda.
    2. Pendapat pertama menyatakan ibu kandungnya, Rahil, masih hidup berdasarkan makna literal ayat tersebut. Pendapat kedua, yang dianggap lebih kuat, menyatakan bahawa ibunya telah wafat dan wanita yang hadir ialah ibu saudaranya (kakak ibunya) merangkap ibu tirinya, Lia (Leah).
    3. Al-Qur’an mengetepikan drama keluarga tersebut kerana ia dianggap tidak relevan dan hanyalah topeng luaran. Matlamat Al-Qur’an adalah untuk mengalihkan fokus kepada masalah rohani yang sebenar, iaitu hasutan syaitan yang menanamkan racun cemburu dan hasad dengki dalam hati manusia.
    4. Tindakan Nabi Yusuf memeluk Lia, ibu kepada abang-abang yang menganiayainya, adalah manifestasi kemaafan agung kerana ia meruntuhkan tembok kebimbangan dan menghantar mesej perdamaian. Baginda tidak meminggirkannya, sebaliknya memuliakannya seolah-olah ibu kandungnya sendiri, menunjukkan bahawa baginda tidak menyimpan dendam dan melayan semua ahli keluarga dengan sama rata.
    5. Perkataan والد (wālid) merujuk khusus kepada bapa kandung, manakala أب (ab) merujuk kepada figura bapa atau penjaga yang mungkin bukan bapa biologi. Penggunaan أَبَوَيْهِ (bentuk dual daripada أب) oleh Al-Qur’an mengesahkan pengajaran moral bahawa yang diutamakan adalah peranan dan kedudukan seseorang dalam keluarga, bukannya hubungan biologi semata-mata.
    6. Kedatangan keluarga Nabi Ya’qub dari Kan’an ke Mesir atas jemputan Nabi Yusuf menandakan titik permulaan bagi Bani Israil berada di Mesir. Peristiwa ini menjelaskan bagaimana kaum ini kemudiannya menjadi bangsa pendatang di Mesir, yang ratusan tahun kemudian ditindas oleh bangsa Qibti semasa zaman Firaun.
    7. Jaminan “aman” bermaksud mereka akan selamat daripada kemarau dan kesusahan yang melanda negeri asal mereka. Ia juga bermakna mereka boleh masuk dan tinggal di Mesir tanpa halangan (seperti visa) dan akan dilindungi daripada sebarang penindasan, seolah-olah mereka telah menjadi warganegara Mesir.
    8. Ungkapan “Insha’Allah” daripada seorang pemerintah di puncak kuasa menunjukkan kerendahan hati yang mendalam kerana ia adalah pengakuan tulus bahawa segala jaminan keselamatan dan kuasa pada hakikatnya tertakluk kepada kehendak mutlak Allah. Pengalaman hidup Nabi Yusuf sendiri mengajar baginda bahawa takdir boleh berubah dalam sekelip mata dan jaminan manusia adalah rapuh.
    9. Kita dilarang menggunakan ungkapan tersebut semasa berdoa untuk menjaga adab kepada Allah. Ucapan “jika Engkau mahu” seolah-olah menunjukkan keraguan atau khuatir bahawa Allah terbebani dengan permintaan kita. Sebaliknya, kita diperintahkan untuk berdoa dengan penuh keyakinan, kesungguhan, dan mengagungkan permohonan kerana Allah Maha Mampu dan Maha Pemurah.
    10. Pengajaran utama adalah kepentingan menjaga hubungan silaturrahim, terutamanya dengan ahli keluarga terdekat. Ia adalah latihan untuk hubungan sosial yang lebih besar, dan kegagalan menjaganya adalah dosa besar, seperti yang disebut dalam hadis “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan (tali silaturrahmi).”

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply