Tafsir Surah Yusuf Ayat 96 (Penglihatan dikembalikan)

Yusuf Ayat 96:

فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ أَلقَٮٰهُ عَلَىٰ وَجهِهِۦ فَٱرتَدَّ بَصِيرًا‌ۖ قَالَ أَلَم أَقُل لَّڪُم إِنِّىٓ أَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when the bearer of good tidings¹ arrived, he cast it over his face, and he returned [once again] seeing. He said, “Did I not tell you that I know from Allāh that which you do not know?”

  • He who carried Joseph’s shirt from among the brothers.

(MALAY)

Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju itu ke wajah Ya’qub, lalu kembalilah dia dapat melihat. Berkata Ya’qub: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ أَلقَٮٰهُ عَلَىٰ وَجهِهِۦ

Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju itu ke wajah Ya’qub,

Ini adalah peristiwa yang berlaku lama selepas ayat sebelum ini. Tidaklah selepas Nabi Ya’qub dan anak cucu bersembang itu, terus sampai baju itu. Ia mengambil masa berminggu-minggu, cuma tidak disebut di dalam ayat ini. Jadi kita kena fikirkan sendiri.

Pertama mari kita lihat dari sudut bahasa dahulu. Kita lihat ada kalimah أَن di dalam ﴾فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ﴿. Tambahan kalimah ﴾أَن﴿ adalah penggunaan bahasa Arab yang dikenali sebagai “أن” الزائدة (huruf ‘an’ yang ditambah secara tatabahasa). Ini kerana kalau ia tiada pun, ia tidak mengubah maksud makna ayat ini. Para ahli bahasa dan mufassir menjelaskan bahawa “أن” di sini tidak membawa makna baru, tetapi digunakan untuk tujuan penegasan atau penguatan makna, khususnya selepas “لمّا” yang bermaksud “apabila” atau “ketika”. Penegasan ini kerana di dalam ayat sebelum ini telah disebut yang anak cucu Nabi Ya’qub tidak percaya, tapi lihatlah sekarang, memang betul-betul baju itu sampai!

Sekarang  mari kita bincangkan siapakah ٱلبَشِيرُ ini. Tafsir Klasik mengatakan yang bawa baju Nabi Yusuf عليه السلام itu tentu salah seorang daripada abangnya. Banyak yang mengatakan namanya adalah Yahuda. Ini kerana dialah juga yang membawa baju Nabi Yusuf yang dilumuri darah itu dahulu. Maka dia ingin menebus kesalahannya itu dengan dia pula yang membawa baju yang membawa berita gembira dengan ayahnya. Begitulah kalau kita ada buat dosa, maka kita tebus dengan melakukan kebaikan pula seperti kita diajar di dalam Hud:114

إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ
Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk

Kali ini dia datang dengan berlari. Kali ini mereka adik beradik datang bawa baju dengan gembira. Masihkah ingat dahulu ketika kali pertama mereka bawa baju baginda yang berlumuran darah, mereka menangis di dalam Ayat 16? وَجَآءُوٓ أَبَاهُم عِشَآءً يَبكُونَ (Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di malam hari sambil menangis.) Keadaan sudah terbalik sekarang. Maka ٱلبَشِيرُ itu terus letak sahaja baju itu ke atas muka Nabi Ya’qub عليه السلام tidak cakap apa pun kerana takut kalau cakap, ayah mereka tidak percaya.

Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa “البشير” bermaksud “pembawa berita” secara umum, iaitu sesiapa sahaja yang terlebih dahulu sampai membawa berita gembira tentang Yusuf kepada Nabi Ya’qub, tanpa menentukan nama tertentu. Mereka datang dalam rombongan yang ramai (yang dihantar oleh Nabi Yusuf) dan sesiapa sahaja boleh menjadi orang yang menyampaikan berita gembira itu kepada Nabi Ya’qub. Pendapat ini bagi orang yang sukar untuk menerima hakikat yang salah seorang dari abang-abang itu yang membawa baju itu. Kerana ia bukanlah sesuatu yang senang untuk dilakukan, bukan? Bertahun-tahun mereka telah menipu ayah mereka dan setiap kali ayah mereka merindui Nabi Yusuf, mereka menghina baginda dengan mengatakan baginda telah nyanyuk. Jadi tentu mereka akan rasa berat hati dan tidak sanggup untuk membawa baju yang menjadi bukti bagi penipuan mereka selama ini!

 

فَارتَدَّ بَصيرًا

lalu kembalilah dia dapat melihat.

Apabila baju itu terkena muka baginda, maka baginda boleh melihat balik. Kita tahu yang terus sahaja pandangan mata Nabi Ya’qub kembali kerana kalimah فَلَمَّآ yang digunakan. Kalaulah kita dapat melihat peristiwa itu… alangkah gembiranya Nabi Ya’qub. Dia tentu peluk dan cium-cium baju itu dan bawa tidur dengannya setiap malam sehinggalah dapat berjumpa anak kesayangannya itu.

Memang baju orang yang kita sayang ada harganya. Kita akan simpan dan kita akan tengok berkali-kali. Malah kita akan cium berkali-kali. Begitulah kalau kita kehilangan pasangan, lebih-lebih lagi kalau kehilangan anak, baju anak itulah yang dipegang, dibelai… Allah…. Dan kalau ibubapa hendak pergi outstation meninggalkan anak kecil, tinggalkan baju yang ada bau ibu atau bapa itu sebagai pengubat rindu kepada anak itu.

 

Baju Yusuf: Kelegaan dalam Janji yang Pasti

Satu pemerhatian yang sangat penting ialah baju Yusuf bukanlah penamat kepada penderitaan itu sendiri. Ia hanyalah tanda atau janji bahawa kelegaan akan tiba. Namun, Nabi Ya’qub menjadi gembira serta-merta hanya dengan menerima janji itu, walaupun beliau belum pun bertemu semula dengan Yusuf. Sampai matanya yang buta (atau hampir buta) itu terus boleh melihat kembali! Kegembiraannya datang daripada keyakinan terhadap janji, bukan pada hasil akhir semata-mata.

Analoginya seperti ini: seorang lelaki yang muflis menerima sepucuk surat rasmi yang mengesahkan dia akan menerima warisan sejuta dolar pada bulan hadapan. Walaupun pada hakikatnya dia masih hidup dalam kemiskinan selama sebulan lagi, hatinya sudah dipenuhi kegembiraan kerana dia memegang satu janji yang pasti. Bagi seorang mukmin, Al-Qur’an dan janji-janji Allah tentang keampunan, syurga, dan balasan baik, semuanya adalah seperti “baju Yusuf” untuk kita. Walaupun kita masih di dunia dan belum merasai nikmat akhirat, kepercayaan mutlak pada janji Allah itu sudah cukup untuk memberikan ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi apa jua cabaran hidup.

 

قَالَ أَلَم أَقُل لَّڪُم إِنِّىٓ أَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ

Berkata Ya’qub: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Sekarang Nabi Ya’qub عليه السلام sudah gembira semula. Baginda mengingatkan kembali mereka yang tidak percaya kepadanya dahulu. Lihat balik di dalam Ayat 86: وَأَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ (dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya). Ia sama dengan frasa ayat sekarang di dalam Ayat 95. Jadi sekarang seolah baginda berkata: “Tidakkah aku dulu cakap kepada kamu semua? Kamu dulu tidak percaya, bukan? Lihat sekarang baju Yusuf sudah sampai. Dari dulu lagi aku cakap dia masih hidup lagi.” Begitulah terbukti kesabaran Nabi Ya’qub yang bersabar kerana percaya kepada Allah yang akan mengembalikan anaknya Nabi Yusuf kepada baginda.

Sekarang cuba bayangkan suasana yang sangat tegang ketika kebenaran akhirnya terbongkar. Anak-anak Nabi Ya’qub berdiri di hadapannya, diselubungi rasa malu dan bersalah yang amat sangat. Pada saat itu, setelah berdekad-dekad menderita, Nabi Ya’qub berada dalam kedudukan yang paling berkuasa untuk menghukum, memarahi, dan menyalahkan mereka. Baginda berhak untuk berkata, “Kan ayah dah cakap kamu semua penipu!” atau “Kamu sedar tak betapa seksanya ayah selama ini kerana perbuatan kamu?” atau “Pergi dari sini, kamu bukan anak-anakku lagi!” Sebaliknya, apa yang keluar dari mulutnya adalah satu peringatan yang lembut tetapi menusuk kalbu. “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak ketahui?”

Keutamaan Nabi Ya’qub pada saat itu bukanlah untuk membalas dendam atau meluahkan kemarahan yang terpendam. Keutamaannya adalah untuk memulihkan iman anak-anaknya. Dengan kata-kata itu, baginda tidak membuat mereka malu di hadapannya, tetapi mendorong mereka untuk merasa malu di hadapan Allah. Ia adalah satu tindakan yang dibuat untuk memberi inspirasi agar mereka bertaubat dengan ikhlas. Inilah hadiah terbesar yang boleh diberikan oleh seorang bapa, iaitu menggunakan detik kelemahan anak-anaknya bukan untuk menghukum, tetapi untuk membimbing mereka kembali kepada Tuhan. Begitulah dalam dakwah, ketika ego seseorang tengah merendah, waktu itulah baru mudah dakwah dan ajaran hendak masuk. 

Selama ini anak-anak itu telah lama melakukan kesalahan. Dan sekarang semua orang tahu. Mereka tentunya sedang tertunduk malu. Waktu itu Nabi Ya’qub mengambil peluang untuk menyedarkan mereka. Sedarkan  mereka yang mereka telah bersalah dan ini adalah masa untuk berubah. Pintu taubat masih terbuka.

 

Gandingan Sabar (Nabi Ya’qub) & Syukur (Nabi Yusuf)

Al-Qur’an secara unik menonjolkan sifat sabar pada watak Nabi Ya’qub dan sifat syukur pada watak Nabi Yusuf. Kalau kita selusuri ayat-ayat tentang Nabi Ya’qub, kita tidak dengar pun kata-kata dari baginda yang menggambarkan sifat syukur. Yang banyaknya adalah baginda ditonjolkan sebagai seorang yang penyabar. Dan kalau kita baca tentang perjalanan hidup Nabi Yusuf di dalam surah ini, yang ditonjolkan adalah sifat syukur baginda sama ada di dalam penjara atau di luar penjara.

Ini bukanlah bermakna seorang tidak memiliki sifat yang satu lagi; kedua-dua Nabi ini memiliki kedua-dua sifat dengan sempurna. Namun, Al-Qur’an sengaja mengetengahkan satu sifat utama bagi setiap watak untuk memberi kita pengajaran yang lebih mendalam: sabar dan syukur adalah dua sisi dari syiling yang sama, dan yang lebih penting, syukur adalah enjin yang menggerakkan kesabaran.

Rasa syukur menjadikan kesabaran itu mudah. Contohnya, anda membuka peti sejuk untuk minum jus oren tetapi mendapati ia sudah habis. Anda mungkin merasa sedikit kecewa. Tetapi jika pada saat itu anda bersyukur kerana masih ada air sejuk atau jus epal, rasa kecewa itu akan hilang. Prinsip ini bukan sekadar idea yang baik; ia adalah satu hakikat Al-Qur’an. Lihatlah Nabi Nuh yang bersabar selama 950 tahun. Bagaimana Allah menggambarkannya? Bukan sebagai “hamba yang sabar”, tetapi sebagai “hamba yang banyak bersyukur” (عَبْدًا شَكُورًا). Ini mendedahkan rahsia di sebalik kesabarannya yang luar biasa: rasa syukurlah yang memberinya kekuatan. Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf seolah-olah mewakili dua dimensi dari satu keperibadian rohani yang lengkap, mengajar kita bahawa untuk menjadi mukmin yang utuh, kita perlu menghayati kesabaran dalam ujian dan kesyukuran dalam nikmat.

 

Pengajaran Ringkas

Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas yang boleh diambil daripada Surah Yusuf Ayat 96, yang mengisahkan pemulihan penglihatan Nabi Ya’qub A.S. setelah baju Nabi Yusuf A.S. diletakkan di wajahnya:

1. Kekuatan Keyakinan Mutlak (Yaqin). Kelegaan dan penyembuhan boleh berlaku serta-merta hanya melalui janji yang pasti (baju Yusuf sebagai tanda), walaupun pertemuan sebenar belum berlaku. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan mutlak kepada janji Allah sudah cukup untuk memberikan ketenangan dan kebahagiaan, malah penyembuhan fizikal,.

2. Penebusan Dosa Melalui Kebaikan. Peristiwa ini mengajar tentang prinsip (إِنَّ الحَسَنٰتِ يُذهِبنَ السَّيِّئَاتِ), di mana perbuatan-perbuatan baik menghapuskan dosa perbuatan buruk. Pembawa khabar gembira (Al-Basyir) yang dipercayai membawa baju kegembiraan (mungkin Yahuda) adalah individu yang sama yang dahulu membawa baju palsu berlumuran darah, berharap untuk menebus kesalahannya yang lalu.

3. Keutamaan Memulihkan Iman, Bukan Membalas Dendam. Ketika kebenaran terbongkar dan Nabi Ya’qub berada dalam kedudukan yang paling berkuasa untuk menghukum, baginda memilih untuk tidak memarahi atau membalas dendam. Sebaliknya, baginda menggunakan kata-kata peringatan yang lembut: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

4. Membimbing Kepada Taubat. Matlamat utama Nabi Ya’qub adalah untuk memulihkan iman anak-anaknya, bukan untuk membuat mereka malu di hadapannya. Peringatan itu dibuat untuk mendorong mereka berasa malu di hadapan Allah dan memberi inspirasi kepada mereka untuk bertaubat dengan ikhlas.

5. Gandingan Sifat Sabar dan Syukur. Kejadian ini membuktikan balasan yang diterima oleh Nabi Ya’qub atas kesabarannya yang bersumber dari kepercayaannya kepada Allah. Kesabaran Nabi Ya’qub dalam ujian dan kegembiraan serta-merta baginda setelah menerima janji menunjukkan bahawa syukur adalah enjin yang menggerakkan kesabaran.

 

 

Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Siapakah yang dikenal pasti sebagai ٱلبَشِيرُ (pembawa khabar gembira) menurut Tafsir Klasik, dan apakah motivasinya?

2. Apakah fungsi tatabahasa dan makna penambahan huruf أَن dalam frasa فَلَمَّآ أَن جَآءَ ٱلبَشِيرُ?

3. Bagaimanakah teks tafsir membezakan keadaan adik-beradik Yusuf ketika mereka membawa bajunya kali ini berbanding kali pertama?

4. Apakah tindakan pertama yang dilakukan oleh ٱلبَشِيرُ setibanya di hadapan Nabi Ya’qub, dan mengapa dia berbuat demikian?

5. Apakah yang ditunjukkan oleh penggunaan kalimah فَلَمَّآ berkaitan dengan pemulihan penglihatan Nabi Ya’qub?

6. Apakah analogi yang digunakan dalam teks untuk menjelaskan bagaimana “baju Yusuf” memberi kelegaan kepada Nabi Ya’qub walaupun sebelum bertemu semula dengannya?

7. Selepas penglihatannya pulih, apakah perkara utama yang Nabi Ya’qub ingatkan kepada anak-anaknya?

8. Menurut teks, apakah keutamaan Nabi Ya’qub pada saat kebenaran terbongkar, dan mengapa ia dianggap sebagai hadiah terbesar seorang bapa?

9. Apakah dua sifat utama yang sengaja ditonjolkan oleh Al-Qur’an pada watak Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf?

10. Bagaimanakah teks menjelaskan hubungan antara sabar dan syukur, dengan menggunakan Nabi Nuh sebagai contoh sokongan?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
ٱلبَشِيرُ (Al-Basyir)
Bermaksud “pembawa khabar gembira”. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada individu, kemungkinan besar Yahuda, yang membawa baju Nabi Yusuf kepada Nabi Ya’qub.
أَن الزائدة (‘an’ al-za’idah)
Penggunaan tatabahasa Arab di mana huruf أَن ditambah selepas لَمَّآ untuk tujuan penegasan atau penguatan makna, tanpa mengubah maksud asal ayat.
فَلَمَّآ (Falamma)
Kalimah dalam bahasa Arab yang menunjukkan sesuatu peristiwa itu berlaku dengan serta-merta atau terus sahaja selepas peristiwa sebelumnya.
Sabar
Sifat utama yang ditonjolkan pada watak Nabi Ya’qub, yang menahan penderitaan selama berdekad-dekad dengan keyakinan penuh kepada janji Allah.
Syukur
Sifat utama yang ditonjolkan pada watak Nabi Yusuf, sama ada ketika di dalam penjara atau ketika menjadi pemerintah. Ia dianggap sebagai enjin yang menggerakkan kesabaran.
Dakwah
Usaha menyeru atau mengajak orang lain kepada kebaikan atau keinsafan. Nabi Ya’qub menggunakan momen pemulihan penglihatannya sebagai peluang dakwah untuk menyedarkan anak-anaknya.
Yahuda
Nama salah seorang abang Nabi Yusuf yang disebut oleh tafsir klasik sebagai individu yang membawa baju Nabi Yusuf untuk menebus kesalahannya membawa baju berlumuran darah sebelum ini.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 96 (Penglihatan dikembalikan)”

  1. Skema Jawapan
    1. Menurut Tafsir Klasik, ٱلبَشِيرُ adalah Yahuda, salah seorang abang Nabi Yusuf. Motivasinya adalah untuk menebus kesalahannya yang lalu, kerana dialah juga yang membawa baju Nabi Yusuf yang dilumuri darah kepada ayah mereka.
    2. Penambahan huruf أَن adalah penggunaan bahasa yang dikenali sebagai “أن” الزائدة. Ia tidak mengubah makna ayat tetapi berfungsi sebagai penegasan atau penguatan, menekankan bahawa baju itu benar-benar sampai seperti yang dijangkakan oleh Nabi Ya’qub, bertentangan dengan keraguan anak-anaknya.
    3. Kali pertama, ketika membawa baju berlumuran darah, mereka datang pada waktu malam sambil menangis (Ayat 16). Kali ini, mereka datang membawa baju dengan berlari dan dalam keadaan gembira, menunjukkan keadaan yang sudah terbalik sepenuhnya.
    4. ٱلبَشِيرُ terus meletakkan baju itu ke wajah Nabi Ya’qub tanpa berkata apa-apa. Tindakan ini diambil kerana bimbang jika dia bercakap dahulu, ayah mereka mungkin tidak akan percaya kata-katanya.
    5. Kalimah فَلَمَّآ menunjukkan bahawa penglihatan Nabi Ya’qub pulih dengan serta-merta sebaik sahaja baju itu diletakkan di wajahnya. Ia menandakan satu kejadian yang berlaku dengan cepat dan terus.
    6. Anologi yang digunakan ialah seorang lelaki muflis yang menerima surat rasmi pengesahan warisan sejuta dolar. Walaupun wang itu belum diterimanya, surat yang merupakan janji pasti itu sudah cukup untuk memberinya kegembiraan dan ketenangan.
    7. Nabi Ya’qub mengingatkan mereka tentang kata-katanya sebelum ini: إِنِّىٓ أَعلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعلَمُونَ (bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya). Ini mengesahkan kebenaran firasat dan keyakinannya kepada Allah selama ini.
    8. Keutamaan Nabi Ya’qub bukanlah untuk membalas dendam atau memarahi, tetapi untuk memulihkan iman anak-anaknya. Beliau menggunakan saat itu untuk membimbing mereka kembali kepada Allah, iaitu satu tindakan dakwah untuk memberi inspirasi agar mereka bertaubat.
    9. Al-Qur’an menonjolkan sifat sabar pada watak Nabi Ya’qub dan sifat syukur pada watak Nabi Yusuf. Ini adalah untuk memberi pengajaran mendalam walaupun kedua-dua nabi memiliki kedua-dua sifat tersebut.
    10. Teks menjelaskan bahawa syukur adalah enjin yang menggerakkan kesabaran, menjadikannya lebih mudah. Contohnya, Nabi Nuh yang bersabar selama 950 tahun digambarkan oleh Allah sebagai “hamba yang banyak bersyukur” (عَبْدًا شَكُورًا), menunjukkan bahawa rasa syukurlah yang memberinya kekuatan untuk bersabar.

    Like

Leave a comment