Tafsir Surah Yusuf Ayat 95 (Muslim tapi tiada adab)

Yusuf Ayat 95:

قَالُواْ تَٱللَّهِ إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلقَدِيمِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, indeed you are in your [same] old error.”

(MALAY)

Keluarganya berkata: “Demi Allah, sesungguhnya kamu masih dalam kekeliruanmu yang dahulu”.

 

قالوا تَاللهِ

Keluarganya berkata: “Demi Allah,

Keluarga baginda yang menjaga Nabi Ya’qub عليه السلام pada waktu itu, yang tinggal dengan baginda waktu itu, kehairanan dengan apa yang dikatakan oleh baginda. Mana mungkin boleh cium bau orang dari jauh?

 

إِنَّكَ لَفِى ضَلَـٰلِكَ ٱلقَدِيمِ

sesungguhnya kamu masih dalam kekeliruanmu yang dahulu”.

Mereka pun merendahkan kata-katanya itu. Mereka kata baginda dalam kesilapan yang amat lama. Kalimah ضلال di dalam ayat ini bukanlah bermaksud kesesatan dalam agama akan tetapi kesilapan. Iaitu mereka kata kenapalah baginda masih lagi menyangka Nabi Yusuf عليه السلام dapat hidup sekian lama, sampai boleh tercium bau anaknya pula? Atau mereka kata teruk betul baginda kerana masih lagi sayang terlajak kepada anaknya yang seorang itu. Mereka mengatakan kalimat yang kurang ajar terhadap baginda, padahal kata-kata itu tidak layak mereka katakan kepada seorang tua, terlebih lagi baginda adalah seorang Nabi Allah ‎ﷻ.

Reaksi sinis dan menghina yang diterima oleh Nabi Ya’qub ini bukan datang daripada anak-anaknya (abang-abang Nabi Yusuf) kerana mereka masih dalam perjalanan. Sebaliknya, ia datang daripada ahli keluarga yang lain, mungkin cucu-cucu dan menantunya. Dari mana mereka belajar sikap ini? Kenapa mereka boleh sampai cakap begitu kepada seorang yang tua yang patut dihormati dan malah seorang yang Nabi? Kerana mereka mewarisinya daripada bapa-bapa mereka dan suami-suami mereka yang tidak guna itu.

Di sini ada terdapat pengajaran yang menakutkan: adab buruk yang tidak dibendung dalam satu generasi akan bermutasi dan merebak menjadi sesuatu yang lebih buruk kepada generasi seterusnya. Dahulu, abang-abang Nabi Yusuf mengata ayah mereka di belakang baginda. Kini, anak-anak mereka menghina datuk mereka secara berdepan kerana mereka pun telah biasa dengar kata bapa-bapa dan suami mereka itu. Ini mengingatkan kita yang keluarga kita terutama sekali anak-anak akan tiru perbuatan dan amalan kita. Mereka belajar dari kita walaupun kita tidak berniat mengajar mereka. Ini kerana mereka melihat kita ibubapa sebagai contoh dalam kehidupan ini. Maka ini mengandungi pengajaran kepada kita supaya berhati-hati dengan tingkah laku kita di hadapan mereka. Kena fikirkan: apa yang aku hendak anak aku belajar dari aku? Kalau tidak dididik dengan baik, jadi seperti anak cucu Nabi Ya’qub inilah nanti. Lihatlah bagaimana mereka berkata dengan angkuh: “Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar masih dalam kekeliruanmu yang lama.”

Ini kerana mereka sudah biasa dengar bapa-bapa mereka mengutuk datuk mereka itu. Kita pun telah baca sebelum ini dalam Ayat 8,

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ
Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Tapi perhatikan, ketika itu mereka cakap di belakang Nabi Ya’qub. Tapi lihat pula di dalam Ayat 85,

قَالُواْ تَٱللَّهِ تَفتَؤُاْ تَذڪُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَو تَكُونَ مِنَ ٱلهَـٰلِكِينَ
Mereka berkata: “Demi Allah, senantiasa kamu mengingati Yusuf, sehingga kamu mengidapkan penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa”.’

Dan sekarang lihatlah anak-anak mereka pun sanggup menggunakan تَٱللَّهِ itu berdepan dengan Datuk mereka. Alangkah kurang ajarnya mereka! Begitulah apabila kesalahan itu bermutasi, ia menjadi semakin teruk lagi dari sebelumnya. Kerana ia tidak dibendung dari awal lagi.

Lagi satu yang perlu dibersihkan dari perbuatan masyarakat kita adalah menggunakan anak-anak sebagai alat untuk menjatuhkan maruah ahli keluarga lain. Sebagai contoh, kadangkala suami isteri berkelahi, anak dan bapa tidak bertegur sapa, atau adik beradik yang tidak sehaluan. Kadangkala kita perhatikan, ada yang mengajar anak untuk menghina pasangan (atau bekas pasangan kalau telah bercerai), menghina datuk atau bapa saudara mereka. Ini sangat teruk sekali. Kita yang berkelahi, kita yang turunkan/wasiatkan kebencian kita kepada anak-anak pula. Ini sama seperti yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh. Mereka ajar anak-anak mereka untuk kutuk Nabi Nuh, jangan dengar cakap Nabi Nuh. Kerana itu turun temurun masyarakat itu membenci Nabi Nuh. Tapi apa yang kita belajar dari Nabi Yusuf? Baginda tidak membenci anak keturunan abang-abangnya itu kerana anak-anak tidak bersalah. Jadi jangan kita kucar kacirkan keluarga kita. Kalau berkelahi itu, simpan sahaja di antara individu yang berkelahi. Jangan gunakan orang lain pula. 

Perhatikan, mereka guna kalimah تَٱللَّهِ dan sekarang anak-anak mereka pun menggunakannya juga. Ironinya, lafaz sumpah “Tallahi” (Demi Allah) pernah digunakan oleh moyang mereka Nabi Ibrahim, untuk menentang berhala. Kini, keturunannya menggunakan lafaz yang sama untuk merendah-rendahkan seorang Nabi Allah, iaitu bapa dan datuk mereka sendiri.

Jika benar mereka fikir dia nyanyuk, mengapa perlu membalas kata-kata baginda? Sepatutnya biarkan sahaja baginda dan jangan kacau. Maknanya mereka itu orang yang sudah teruk adab mereka. Reaksi tajam mereka mendedahkan sejenis penyakit hati. Terdapat segelintir manusia yang tidak boleh tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain. Apabila mereka melihat seseorang gembira, mereka merasa satu desakan untuk melontarkan komen negatif untuk merosakkan detik itu. Ia seolah-olah satu bisikan syaitan yang membuatkan seseorang itu ketagih untuk menjatuhkan semangat orang lain. Reaksi mereka yang begitu keras menunjukkan ada sesuatu yang lebih mendalam, iaitu satu keresahan melihat orang lain menemui kebahagiaan, dan satu keperluan untuk mengawal naratif kesedihan di sekeliling mereka. Ini adalah penyakit hati yang harapnya kita boleh kesan dalam diri kita dan hilangkannya. Apa salahnya melihat orang lain bergembira? Kegembiraan orang yang rapat yang dengan kita sebenarnya adalah kegembiraan kitalah patutnya, bukan? Kenapa hendak sentap? 

Satu lagi adalah kita belajar bagaimana kejahatan terus berleluasa. Dalam sebuah keluarga yang besar, mustahil semua orang bersikap jahat. Akan ada sahaja yang jahat dan busuk hati. Akan tetapi, takkan semua begitu? Berkemungkinan besar, ada di antara ahli keluarga itu yang bersimpati dengan Nabi Ya’qub juga. Takkan semua teruk sangat? Namun, tiada seorang pun yang tampil untuk membelanya. Mengapa? Ini adalah gambaran “mentaliti kumpulan” (mob mentality). Apabila budaya membuli dan merendah-rendahkan sudah berleluasa, mereka yang baik akan memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran buli yang seterusnya. Ironinya, keluarga ini bertindak seperti “sekawan serigala”, sedangkan kisah ini bermula dengan serigala dijadikan sebagai alasan palsu atas kejahatan mereka. Dalam Islam, sikap berdiam diri dan hanya menjadi pemerhati kepada kezaliman juga dikira sebagai satu kesalahan.

Maka orang yang beriman perlu bersuara menentang kezaliman, walaupun ia mungkin akan mendatangkan kesusahan yang memerlukan kesabaran. Membiarkan kezaliman berlaku tanpa bantahan hanya akan membuatkan ia terus subur. Kalau kita terus berdiam diri kerana takut, akan banyak lagi keburukan akan menjadi. Maka sudah-sudahlah menjaga keselamatan diri sampai orang lain terzalimi. Anda ada suara kot, Allah sudah bagi suara dan akal, kenapa tak pakai? Entah-entah, kalau anda mula bersuara, ada orang lain yang akan ikut anda juga dan ini dapat menyelamatkan orang lain. 

Ya Allah… kisah agung ini meninggalkan kita dengan satu persoalan asas: di manakah kita mencari nilai dan kemuliaan diri kita? Nabi Ya’qub dihina dan dianggap tidak waras oleh keluarganya sendiri. Namun, di sisi Allah, baginda adalah seorang hamba yang begitu mulia sehingga para malaikat dihantar untuk memberinya kelegaan. Ini mengajar kita bahawa nilai sejati seseorang datang daripada hubungannya dengan Allah, bukan daripada pengiktirafan orang sekeliling. Orang sekeliling selalunya bukan tahu apa-apa. Kata-kata hina manusia tidak akan mampu merampas kemuliaan yang hidup di dalam diriku, kerana kemuliaan itu adalah anugerah daripada Tuhanku.

Sebagai renungan, marilah kita bertanya kepada diri sendiri: “Dalam kehidupan kita, adakah kita menjadi sumber kelegaan bagi orang lain, atau tanpa sedar, kita menjadi punca yang memadamkan harapan mereka?” Teringat kata-kata yang lebih kurang berbunyi: “Kalau tidak boleh jadi garam untuk mengawet ikan, sekurang-kurangnya jangan jadi ulat yang bagi ikan itu jadi busuk.”

Satu hakikat yang paling mengejutkan daripada kisah ini adalah bagaimana ahli keluarga seorang Nabi boleh berkelakuan buruk. Anak cucu Nabi Ya’qub adalah orang-orang yang beragama Islam tentunya, berasal pula dari keturunan Nabi Ibrahim yang hebat itu, dan mengamalkan ritual agama. Kita pun telah lihat mereka pun ada sebut nama Allah, bukan? Namun, ini tidak menghalang mereka daripada memfitnah, menipu, dan tidak menghormati bapa dan atuk mereka sendiri. Ini mengajar kita satu realiti pahit: amalan luaran semata-mata tidak menjamin kesempurnaan akhlak. Orang yang solat, belum tentu orang yang baik lagi. Kegagalan mereka berpunca daripada satu tindakan dalaman yang berbahaya: mereka memisah-misahkan agama mereka. Mereka berpegang pada sebahagian ajaran (seperti ritual dan kepercayaan), atau pentingkan sangat bab pakaian, tetapi melepaskan bahagian yang lain (seperti adab dan hormat kepada orang tua) seolah-olah ia tiada kaitan dengan identiti keimanan mereka. Mereka tidak tahukah yang adab dan akhlak adalah bahagian besar di dalam agama? Ini jelas dari hadis, 

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ”
Dari Abu Hurairah , beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Rujukan: Riwayat Imam Ahmad (dalam Musnad), Imam al-Bukhari (dalam Al-Adab al-Mufrad), dan Imam al-Hakim (dalam Al-Mustadrak). Hadis ini disahihkan oleh ramai ulama hadis seperti Imam al-Hakim, dan dihasankan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut. Maknanya adalah sahih dan disepakati.

Analogi terbaik untuk memahaminya adalah seperti sebuah taman. Anda mungkin mempunyai tanah yang paling subur, air, dan cahaya matahari yang mencukupi; maknanya semua keadaan luaran yang sempurna. Namun, jika benih yang ditanam itu sendiri rosak, ia tetap tidak akan tumbuh dengan baik. Walaupun kita telah beri tanah yang bagus, air yang mencukupi dan baja yang sesuai. Ironinya, moyang mereka, Nabi Ibrahim adalah antitesis kepada keadaan ini: baginda adalah benih yang sempurna di tengah-tengah padang pasir yang kontang. Baginda dikelilingi oleh persekitaran yang memusuhi iman, akan tetapi baginda dapat tumbuh menjadi sebatang pohon tauhid yang rendang. Sebaliknya, cicit-cicitnya berada dalam “taman” yang paling subur, dididik oleh seorang Nabi, tetapi gagal menyerap nilai-nilai murni. Ini adalah peringatan bahawa Islam bukan hanya tentang ritual, tetapi sebuah pakej lengkap yang merangkumi adab dan kemuliaan akhlak. Kadang-kadang kita tengok orang yang jaga solat, jaga janggut, pakai jubah dan sebagainya, tapi akhlak tidak ada. Jadi tentu ada sesuatu yang tidak kena di situ. Mereka ini luaran sahaja nampak Muslim, tapi kefahaman agama mereka kurang sebenarnya. 

 

Pengajaran Ringkas dari Ayat 95

Pewarisan Adab Buruk. Adab buruk yang tidak dibendung dalam satu generasi akan bermutasi dan merebak menjadi sesuatu yang lebih teruk kepada generasi seterusnya. Anak-anak cucu Nabi Ya’qub menghina datuk mereka secara berdepan, berbeza dengan bapa mereka yang mengata di belakang sebelum ini.

Contoh Ibu Bapa. Kanak-kanak akan meniru perbuatan dan amalan yang mereka lihat. Oleh itu, ibu bapa perlu berhati-hati dengan tingkah laku mereka di hadapan anak-anak kerana mereka belajar melalui teladan.
Eskalasi Kurang Ajar. Apabila kesalahan (seperti kurang ajar terhadap orang tua) tidak dibendung dari awal, ia boleh bermutasi menjadi semakin teruk.
Penyakit Hati. Reaksi tajam dan sinis keluarga yang merendahkan kata-kata Nabi Ya’qub menunjukkan penyakit hati. Terdapat manusia yang tidak tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain, lalu merasa terdesak untuk melontarkan komen negatif bagi merosakkan detik gembira itu.

Nilai Sejati di Sisi Allah. Walaupun Nabi Ya’qub dihina dan dianggap keliru atau nyanyuk oleh keluarganya sendiri, nilai sejati seseorang datang daripada hubungannya dengan Allah, bukan daripada pengiktirafan atau kata-kata hinaan orang sekeliling.

Kewajipan Bersuara Menentang Kezaliman. Kisah ini menggambarkan “mentaliti kumpulan” (mob mentality) di mana ahli keluarga yang bersimpati memilih untuk berdiam diri kerana takut menjadi sasaran. Sikap berdiam diri dan hanya menjadi pemerhati kepada kezaliman juga dikira sebagai satu kesalahan dalam Islam. Kita perlu bersuara menentang kezaliman kerana membiarkan ia berlaku akan membuatkan keburukan terus subur.

Kekurangan Akhlak dalam Amalan Agama. Ayat ini menunjukkan realiti pahit bahawa amalan luaran agama (seperti menggunakan lafaz sumpah Tallahi atau mengamalkan ritual) tidak menjamin kesempurnaan akhlak dan adab jika adab dan hormat kepada orang tua dipisahkan dari identiti keimanan.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks sumber.

1. Siapakah yang mengucapkan kata-kata penghinaan dalam Ayat 95 kepada Nabi Ya’qub, dan mengapa ia bukan diucapkan oleh anak-anaknya (abang-abang Nabi Yusuf)?

2. Apakah maksud sebenar kalimah ضَلَال (kekeliruan) dalam konteks ayat ini, dan apakah yang disalah anggap oleh keluarga Nabi Ya’qub?

3. Bagaimanakah sikap kurang ajar generasi baharu ini berbeza dengan sikap generasi sebelumnya (abang-abang Nabi Yusuf)?

4. Apakah pengajaran menakutkan tentang adab buruk yang tidak dibendung, seperti yang ditunjukkan oleh keluarga Nabi Ya’qub?

5. Apakah ironi di sebalik penggunaan lafaz sumpah تَٱللَّهِ (Demi Allah) oleh keturunan Nabi Ya’qub terhadap baginda?

6. Apakah “penyakit hati” yang didedahkan oleh reaksi tajam ahli keluarga Nabi Ya’qub apabila baginda menunjukkan tanda-tanda kelegaan?

7. Jelaskan bagaimana konsep “mentaliti kumpulan” (mob mentality) berlaku dalam keluarga Nabi Ya’qub dan apakah kesannya?

8. Menurut tafsiran, apakah tanggungjawab seorang mukmin apabila menyaksikan kezaliman, dan apakah akibat jika hanya berdiam diri?

9. Berdasarkan kisah Nabi Ya’qub, dari manakah datangnya nilai dan kemuliaan sejati seseorang?

10. Apakah realiti pahit yang diajarkan oleh kisah ini mengenai hubungan antara amalan agama luaran dan kesempurnaan akhlak?

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
ضَلَال (Ḍalāl)
Dalam konteks Ayat 95, ia merujuk kepada “kesilapan” atau “kekeliruan,” bukan kesesatan akidah. Ia digunakan untuk menuduh Nabi Ya’qub masih berada dalam kesilapan lamanya kerana terlalu mengharapkan kepulangan Nabi Yusuf.
تَٱللَّهِ (Tallahi)
Lafaz sumpah yang bermaksud “Demi Allah.” Dalam kisah ini, ia digunakan secara ironis oleh keturunan Nabi Ya’qub untuk menguatkan penghinaan mereka terhadap seorang Nabi, berbeza dengan penggunaannya oleh moyang mereka Nabi Ibrahim untuk menentang syirik.
Penyakit Hati
Satu keadaan rohani di mana seseorang tidak tahan melihat kebahagiaan, ketenangan, atau kelegaan pada orang lain dan merasakan desakan untuk merosakkan kegembiraan tersebut dengan kata-kata atau tindakan negatif.
Mentaliti Kumpulan (Mob Mentality)
Fenomena di mana individu yang baik dalam sebuah kumpulan memilih untuk berdiam diri dan tidak menentang kezaliman atau buli kerana takut menjadi sasaran seterusnya. Sikap ini membolehkan kejahatan terus berleluasa tanpa bantahan.
Akhlak
Kemuliaan adab dan tingkah laku. Menurut hadis yang dipetik, menyempurnakan kemuliaan akhlak adalah tujuan utama Rasulullah ﷺ diutuskan, menunjukkan ia adalah komponen penting dan tidak terpisah daripada ajaran Islam.
Mutasi Kesalahan
Idea bahawa kesalahan atau adab buruk yang tidak dibendung akan berkembang dan menjadi lebih teruk pada generasi yang akan datang. Contohnya, daripada mengumpat di belakang kepada menghina secara berhadapan.
Muslim tapi tiada adab
Frasa yang menggambarkan individu yang mengamalkan ritual agama (seperti solat atau menyebut nama Allah) tetapi gagal menunjukkan adab dan akhlak yang mulia dalam pergaulan, terutamanya terhadap orang tua dan ahli keluarga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 95 (Muslim tapi tiada adab)”

  1. Kunci Jawapan
    Gunakan jawapan di bawah untuk menyemak pemahaman anda.
    1. Kata-kata tersebut diucapkan oleh ahli keluarga yang tinggal bersama Nabi Ya’qub pada masa itu, kemungkinan besar cucu-cucu dan menantunya. Ia bukan diucapkan oleh anak-anaknya kerana mereka masih dalam perjalanan pulang dari Mesir.
    2. Kalimah ضَلَال dalam ayat ini bermaksud “kesilapan” atau “kekeliruan,” bukan kesesatan dalam agama. Mereka menganggap Nabi Ya’qub masih silap kerana terlalu menyayangi dan menyangka Nabi Yusuf masih hidup setelah sekian lama.
    3. Generasi sebelumnya, iaitu abang-abang Nabi Yusuf, mengata ayah mereka di belakangnya (seperti dalam Ayat 8). Namun, generasi baharu ini (anak-anak mereka) telah bermutasi menjadi lebih buruk, di mana mereka berani menghina datuk mereka secara berdepan.
    4. Pengajarannya ialah adab buruk yang tidak dibendung dalam satu generasi akan bermutasi dan merebak menjadi sesuatu yang lebih buruk kepada generasi seterusnya. Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka, walaupun tidak diajar secara langsung.
    5. Ironinya ialah lafaz sumpah “Tallahi” (Demi Allah) pernah digunakan oleh moyang mereka, Nabi Ibrahim, untuk menentang berhala. Kini, keturunannya menggunakan lafaz yang sama untuk merendah-rendahkan seorang Nabi Allah, iaitu datuk mereka sendiri.
    6. “Penyakit hati” yang didedahkan ialah sikap segelintir manusia yang tidak tahan melihat kebahagiaan atau kelegaan pada orang lain. Mereka merasakan desakan untuk melontarkan komen negatif bagi merosakkan detik kegembiraan itu, seolah-olah ketagih untuk menjatuhkan semangat orang lain.
    7. “Mentaliti kumpulan” berlaku apabila budaya membuli sudah berleluasa, menyebabkan ahli keluarga yang baik atau bersimpati dengan Nabi Ya’qub memilih untuk berdiam diri. Mereka takut menjadi sasaran buli yang seterusnya jika mereka cuba membela baginda.
    8. Seorang mukmin perlu bersuara menentang kezaliman, walaupun ia mungkin mendatangkan kesusahan. Membiarkan kezaliman berlaku tanpa bantahan hanya akan membuatkan keburukan terus subur dan menjadi lebih teruk.
    9. Nilai sejati seseorang datang daripada hubungannya dengan Allah, bukan daripada pengiktirafan atau kata-kata orang sekeliling. Walaupun Nabi Ya’qub dihina oleh keluarganya, di sisi Allah baginda adalah seorang hamba yang mulia.
    10. Realiti pahit yang diajarkan ialah amalan agama luaran (seperti solat atau sebutan nama Allah) semata-mata tidak menjamin kesempurnaan akhlak. Seseorang boleh mengamalkan ritual agama tetapi pada masa yang sama berkelakuan buruk jika mereka memisahkan adab dan akhlak daripada identiti keimanan mereka.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply