Tafsir Surah Yusuf Ayat 93 (Kehebatan Baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?)

Yusuf Ayat 93: Setelah selesai dengan abang-abangnya, sekarang isu bapanya pula perlu diselesaikan.

ٱذهَبُواْ بِقَمِيصِى هَـٰذَا فَأَلقُوهُ عَلَىٰ وَجهِ أَبِى يَأتِ بَصِيرًا وَأتُونِى بِأَهلِڪُم أَجمَعِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Take this, my shirt, and cast it over the face of my father; he will become seeing. And bring me your family, all together.”

(MALAY)

Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini, lalu letakkanlah ia ke wajah ayahku, nanti dia akan melihat kembali; dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku”.

 

اذهَبوا بِقَميصي هٰذا

Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini,

Mereka telah berbaik-baik antara adik beradik. Lupakan kisah yang lalu, sekarang masa untuk mereka memperbaiki hubungan yang telah lama terputus itu. Maka tentulah mereka telah menceritakan apa yang terjadi kepada bapa mereka, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang baru Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang bapanya itu sudah buta matanya dek kerana kesedihan yang amat sangat. Selepas bertanya khabar, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ suruh mereka membawakan bajunya pulang ke Kan’an kerana baginda yakin bapa mereka itu sudah tentu teramat rindu dan teringin sangat hendak menemui baginda. Namun begitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengirim bajunya sahaja dahulu.

Dalam Al-Qur’an, objek-objek yang kelihatan biasa selalunya membawa makna simbolik yang luar biasa mendalam. Sebatang tongkat boleh membelah lautan, dan seekor burung boleh menyampaikan mesej kenabian. Dalam surah yang agung ini, salah satu objek yang paling menonjol ialah sehelai baju. Ia muncul berulang kali pada titik-titik penting dalam perjalanan hidup Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi kisah ini bukan tentang sehelai baju atau kain, tetapi tiga helai baju yang berbeza, setiap satunya menjadi saksi kepada episod-episod penipuan, ujian, dan akhirnya, penebusan. Makna yang tersembunyi di sebalik tiga helai baju ini, membuktikan bahawa setiap benang dalam penceritaan Al-Qur’an ditenun dengan tujuan Ilahi.

Ulangkaji: Ini merupakan kali ketiga baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi topik kisah. Pertama kali setelah baginda dibuang ke dalam telaga dan abang-abangnya membawa bajunya yang dilumur darah; kali kedua adalah ketika ditarik sehingga koyak oleh isteri Al-Aziz. Baju pertama dan baju ketiga ini memang melibatkan abang-abang ini. Ringkasnya:

Baju 1: ketika baginda ditinggalkan di dalam telaga
Baju 2: ketika dikoyakkan di belakang oleh seorang perempuan kehilangan akal
Baju 3: yang dibawa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Perbezaan antara baju pertama dan baju ketiga dalam kisah ini amat ketara dan penuh dengan keadilan puitis. Baju pertama ialah baju yang dilumurkan dengan darah palsu oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia menjadi ‘senjata’ mereka iaitu sebagai ‘alat’ untuk menipu bapa mereka dan menyebabkan kesedihan yang berpanjangan. Ia adalah simbol pengkhianatan dan kejahatan. Bertahun-tahun kemudian, abang-abang yang sama, kini dalam keadaan malu dan rendah diri, terpaksa membawa baju ketiga kepada bapa mereka. Bayangkan perasaan malu yang menyelubungi mereka ketika itu. Abang-abang yang dahulunya angkuh kini terpaksa menundukkan wajah, membawa bukti kebenaran yang sekaligus mendedahkan pembohongan mereka selama berdekad-dekad. Senjata yang pernah mereka gunakan untuk menyakiti kini menjadi penawar yang mesti mereka sampaikan sendiri. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh sahaja mengirimkan benda lain tetapi baginda memilih untuk memberi baju kerana baju yang pertama digunakan telah memberi kesedihan kepada bapa mereka, dan kali ini ternyata baju jugalah yang akan menggembirakannya. Abang-abang itu menggunakan baju, maka baginda pun menggunakan baju juga. Kali pertama dulu, abang-abang itu yang berkuasa, kali ini baginda pula yang berkuasa. 

Lebih mengagumkan lagi adalah tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak menuntut bela atau mengungkit kisah lama. Sebaliknya, baginda memilih untuk memberi bajunya sebagai hadiah. Ini adalah tindakan membalas kejahatan dengan kebaikan, satu pelajaran agung tentang cara menyembuhkan permusuhan, bukan membalas dendam. Ia menunjukkan kebesaran hati seorang manusia yang memilih pengampunan sebagai jalan penyembuhan.

Pengampunan itu sendiri adalah penyembuhan. Ia bukan sekadar untuk orang lain, tetapi juga untuk diri kita sendiri. Jika kita terus menyimpan perasaan dendam di atas apa yang orang lain lakukan terhadap kita, ia hanya menyakiti kita, ia akan menghalang kita daripada meneruskan kehidupan.

Jika baju pertama dan ketiga menjadi bingkai kepada sebuah kisah penipuan dan penebusan, baju kedua yang muncul di tengah-tengah ujian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menawarkan pengajaran yang sangat moden. Baju ini (yang terkoyak dari belakang semasa baginda cuba melarikan diri daripada godaan isteri al-Aziz) membawa pengajaran tentang bahaya membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan bukti yang tidak lengkap.

Bayangkan jika butiran penting “terkoyak dari belakang” diabaikan. Tajuk berita mungkin akan berbunyi: “Baju Yusuf Terkoyak Dalam Pergelutan Dengan Isteri Tuan Rumah.” Tanpa konteks penuh, orang ramai akan dengan mudah memfitnah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini sangat berkait rapat dengan budaya media sosial moden, di mana orang ramai terlalu cepat menghukum berdasarkan tajuk berita atau klip video pendek tanpa menganalisis konteks penuh. Kadang kita membuat keputusan tanpa tahu berita penuh kerana kita hendak cepat sahaja. Sedangkan bila kita dapat maklumat tambahan, barulah kita sedar: ‘Owhhhh, sebab itulah begini dan begitu’. Kadang kita terlalu percaya kepada kata-kata orang yang ‘rapat’ seperti ahli keluarga. Akan tetapi kita pun sudah lihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun menipu tentang baginda. Maknanya ahli keluarga pun kita tidak boleh dipercayai. Jadi jangan cepat sangat buat konklusi dengan berita yang sedikit. 

Namun begitu, Al-Qur’an memberikan kita penawar kepada sikap terburu-buru ini melalui contoh yang paling berkesan iaitu melalui Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Apabila abang-abangnya membawa baju pertama yang berlumuran darah, apakah yang dilakukan oleh sang bapa? Baginda tidak terus percaya. Sebaliknya, baginda menganalisis bukti itu dengan teliti, melihat koyakan yang tidak logik dan darah yang mencurigakan, lantas menyedari penipuan mereka. Ini mewujudkan satu perbezaan yang amat jelas: Kewajipan seorang yang beriman dan bijak untuk meneliti bukti dengan cermat berbanding kecenderungan orang ramai untuk mengutuk tanpa usul periksa. Ini termasuklah berita yang dibawakan entah dari mana, janganlah terus percaya tetapi tabayyun dahulu. Jangan terus tibayyun pula seperti yang ramai kita lakukan. Ingat firman Allah ‎ﷻ di dalam Hujurat:6

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنوا إِن جاءَكُم فاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنوا أَن تُصيبوا قَومًا بِجَهالَةٍ فَتُصبِحوا عَلىٰ ما فَعَلتُم نٰدِمينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

Satu lagi yang menarik tentang Baju 1 adalah ia telah menimbulkan permasalahan selama bertahun-tahun. Keberadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak dapat dipastikan hidup atau mati, dan kalau hidup, di mana? Ia diselesaikan dengan Baju 3 apabila baju yang ada bau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang perhatikan Baju 2. Dengan melihat kepada kedudukan koyak baju itu (di belakang) ia menyelesaikan satu permasalahan dengan segera (siapa yang mengejar?). Akan tetapi kesannya apa? Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah terbukti tidak bersalah, namun dengan pembuktian itu apa kesannya? Baginda dimasukkan juga ke dalam penjara, bukan?

Apakah pengajarannya? Kadangkala penyelesaian masalah dengan segera pun tidak bagus kerana kesannya mungkin tidak seperti yang kita harapkan. Kadang-kadang kita hendak cepat sahaja tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain kerana orang lain mungkin tidak suka. Sedangkan kalau kita bersabar, penyelesaian yang tuntas kita akan dapat. Boleh faham?

Kita sudah sampai ke bahagian hujung kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dan kita boleh melihat perkembangan kisah pada kisah baju-baju ini. Baju 1 baginda dimalukan dengan diambil baju baginda dari tubuh baginda; dan baginda telah ditinggalkan. Baju 2 juga begitu, baginda dimalukan dengan bajunya dikoyak dan selepas itu baginda ditinggalkan di dalam penjara. Malu dan ditinggalkan adalah tema dua baju yang pertama. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak boleh berbuat apa-apa kerana baginda lemah dan tidak ada kuasa. Namun begitu, segalanya berubah pada Baju 3 kerana ketika itu baginda sudah memiliki kuasa dan kemuliaan yang tidak boleh digugat. Dalam kisah Baju 1 & 2, baginda dipisahkan (daripada keluarga dan dari rumah tempat tinggalnya) dan pada Baju 3 ini baginda menggunakannya untuk menyatukan keluarga mereka kembali. Maka bukan sahaja baju diberikan, baginda juga telah mengajak ahli keluarganya datang.

Apakah baju yang diberikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada bapanya itu? Mungkin baju kebesaran baginda sebagai Al-Aziz Mesir. Yang baju itu dahulunya dipegang oleh Al-Aziz tuannya yang telah membesarkannya namun kemudian menzaliminya dengan meletakkan baginda di dalam penjara. Kedudukan keluarga itu telah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi sama sahaja kisah Baju 1 & 2. Orang yang mengambil maruah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diganti Allah ‎ﷻ dengan memberikan kedudukan kepada baginda. Abang-abangnya sekarang tunduk di bawah arahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan begitu juga keluarga Al-Aziz yang telah berlaku zalim kepada baginda. Mereka juga tentu tunduk dengan baginda sekarang sedangkan dahulu merekalah yang bermudah-mudah dengan tubuh badan baginda. Begitulah Allah ﷻ boleh mengubah kedudukan manusia. Jadi jangan kita sangka yang kita pasti di atas. Kena sentiasa beringat yang entah orang yang kita tindas itu akan menguasai kita di kemudian hari!

 

فَأَلقوهُ عَلىٰ وَجهِ أَبي

lalu letakkanlah ia ke wajah bapaku,

Kali ini kita lihat ada lagi kisah baju baginda. Sekarang baju baginda lagi digunakan untuk mengubati bapanya. Baginda mengarahkan supaya dibawakan baju baginda dan letak ke muka bapanya. Namun begitu perkataan yang digunakan di sini adalah ألق yang biasanya digunakan untuk ‘lempar’. Takkanlah dilemparkan ke muka bapanya pula? Bukankah kurang ajar perbuatan itu?

Benar, kalimah “فَأَلقُوهُ” secara literal memang bermakna “melemparkan” atau “merelakan sesuatu keluar dari tangan ke suatu tempat”, sebagaimana dijelaskan dalam banyak kitab tafsir dan kamus bahasa Arab klasik. Dalam konteks ayat Yusuf 93 ini, makna “melemparkan” di sini adalah “meletakkan dengan sungguh-sungguh” atau “menempelkan” baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke wajah bapanya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, agar mukjizat Allah ﷻ terjadi dan penglihatannya kembali. Penjelasan para ulama menyebutkan bahawa kalimah “الإلقاء” (al-ilqā’) memang dasarnya adalah “melemparkan” atau “mengeluarkan sesuatu dari tangan ke arah bawah atau ke tempat tertentu”. Namun, dalam penggunaan bahasa Arab, kata ini juga boleh bermakna “meletakkan” atau “menyampaikan” sesuatu dengan tujuan tertentu, tidak semestinya dengan kekerasan atau dari jarak jauh. Kata “alqa” dalam bahasa Arab sering digunakan untuk menunjukkan tindakan meletakkan sesuatu dengan sengaja dan penuh makna, bukan sekadar menaruh biasa. Oleh itu, dalam ayat ﴾فَأَلْقُوهُ عَلَىٰ وَجْهِ أَبِي﴿, maksudnya adalah “letakkanlah baju ini di wajah bapaku”. Jadi, meskipun secara literal “فَأَلقُوهُ” bererti “lemparkanlah”, dalam konteks ayat tersebut maknanya adalah “letakkanlah” atau “tempelkanlah” baju itu di wajah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan melemparkan dalam erti kasar atau dari jarak jauh. Ini adalah bentuk penggunaan bahasa Arab yang luas dan kaya maknanya, di mana satu kalimah boleh bermakna berbeza mengikut konteks kalimatnya.

Dalam arahan yang diberikan kepada abang-abangnya, terdapat nuansa emosi yang sangat mendalam. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, “letakkanlah ia ke muka bapaku (أَبي).” Penggunaan perkataan “bapaku” dan bukannya “bapa kamu” atau “bapakita” adalah sangat signifikan. Ia adalah luahan kerinduan yang mendalam seorang anak yang telah terpisah daripada ayahnya sejak kecil. Bayangkan seorang anak kecil yang kembali bertemu bapanya setelah sekian lama. Dia akan melompat dan memeluk erat, menolak adik-beradik yang lain sambil menjerit, “Ayah saya! Milik saya!” Itulah emosi mentah yang terkandung dalam satu perkataan itu. Setelah bertahun-tahun menahan rindu, kini baginda berhak untuk ‘menuntut kembali’ ikatan istimewa itu dengan penuh kasih.

Terdapat ironi yang puitis di sini. Di awal surah, niat abang-abangnya adalah untuk menyingkirkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم  (muka bapa kamu tertumpu kepadamu semata-mata) iaitu disebut di dalam Ayat 9.  Mereka mahu merebut perhatian eksklusif bapa mereka. Kini, di penghujung kisah, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang dengan penuh kasih sayang mengisytiharkan ikatan eksklusif itu, menunjukkan betapa dalam dan manusiawinya perasaan baginda terhadap bapa yang amat dirinduinya.

 

يَأتِ بَصيرًا

nanti dia akan melihat kembali; 

Salah satu momen paling menakjubkan dalam surah ini ialah apabila baju ketiga Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikatakan mampu memulihkan penglihatan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah kabur akibat kesedihan yang melampau. Ini bukan sekadar keajaiban yang tidak dapat dijelaskan; ia mempunyai penjelasan rasional yang amat mendalam.

Menjadi perbincangan bagaimana baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini hebat sangat sehinggakan penglihatan dapat dipulihkan. Ada yang mengatakan baju ini adalah mukjizat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang mengatakan inilah baju yang dipakainya ketika di dalam telaga (tetapi tidak mungkin kerana baju baginda telah diambil oleh abang-abangnya). Ada yang mengatakan baju itu adalah asalnya baju Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dipakai baginda ketika baginda dibakar di dalam api yang menjadi sejuk itu. Akan tetapi ini adalah pendapat yang lemah.

Berabad-abad yang lalu, Imam Fakhruddin al-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ telah pun mengemukakan pandangan yang canggih. Beliau menjelaskan bahawa kesedihan dan trauma psikologi yang mendalam boleh memberi kesan fizikal secara langsung. Apabila punca kesedihan itu dihilangkan dan digantikan dengan kegembiraan yang amat sangat, maka kelegaan emosi itu boleh mencetuskan pemulihan fizikal. Pandangan ini selari dengan penyelidikan trauma moden, seperti yang dihuraikan dalam buku terkenal “The Body Keeps the Score” oleh Bessel van der Kolk. Beliau adalah seorang pakar psikiatri, penyelidik, dan pendidik yang terkenal di dunia dan merupakan salah seorang pakar terkemuka mengenai trauma psikologi. Konsep penyakit psikosomatik menjelaskan bagaimana trauma psikologi yang tidak diselesaikan akan “tersimpan” di dalam badan dan menjelma sebagai penyakit fizikal. Apabila sumber kesakitan emosi yang paling dalam itu disembuhkan, maka penyembuhan fizikal yang dramatik boleh berlaku. Baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertindak sebagai pencetus kelegaan emosi itu, yang seterusnya memulihkan kekuatan fizikal dan penglihatan bapanya.

Kalau dahulu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah jadi buta (atau pandangannya kabur) dek kerana sakit kesedihan tidak melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang baginda sudah tahu yang anak kesayangannya itu masih hidup, tentu baginda hendak melihatnya, bukan? Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah ada sesuatu yang diharapkan iaitu melihat dengan matanya sendiri akan keindahan anaknya itu. Maka tentulah baginda pun bersemangat untuk sembuh balik. Kita selalu baca tentang kisah orang yang mengidap penyakit barah stage 4 yang tiada harapan untuk sembuh contohnya, namun mereka melawan penyakit itu kerana mereka ada harapan untuk terus hidup dengan keluarga mereka. Begitulah sekiranya manusia mempunyai harapan, mereka akan lebih bersemangat.

Maka tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukanlah satu tekaan, tetapi manifestasi kebijaksanaan Ilahi (ta’wil al-ahadith) yang telah diberikan Allah ‎ﷻ kepadanya. Kita telah bincangkan dengan panjang lebar akan kelebihan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ kepada baginda seperti di dalam Ayat 6,

وَكَذٰلِكَ يَجتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ
Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian daripada ilmu ta’wil kata-kata dan keadaan

Kita telah bincangkan yang تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ bukan setakat ta’wil mimpi sahaja tetapi baginda boleh membaca kata-kata manusia dan suasana. Maka mungkin Allah ‎ﷻ juga telah memberinya ilmu untuk memahami bahawa apabila seseorang disembuhkan secara emosi, penyembuhan fizikal akan menyusul. Ini adalah peringatan abadi bahawa kesihatan mental dan spiritual kita bukanlah sesuatu yang terpisah daripada kesihatan fizikal kita. Ini adalah satu kebenaran yang kini disahkan oleh sains moden, tetapi telah tersemat dalam wahyu sejak ribuan tahun dahulu.

Tafsir kedua: beri dahulu baju itu dan nanti bila baginda datang, baginda akan dapat lihat aku sendiri di hadapan matanya.

Kisah tiga helai baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar kita bahawa dalam Al-Qur’an, tiada perincian yang sia-sia. Malah objek semudah sehelai pakaian boleh menjadi lautan hikmah tentang keadilan, bahaya penghakiman terburu-buru, hubungan antara jiwa dan jasad, keaslian diri, dan kasih sayang yang mendalam. Setiap motif, setiap perkataan, ditenun dengan teliti untuk menyampaikan lapisan-lapisan makna kepada mereka yang mahu merenung. Ia mendorong kita untuk melihat lebih jauh daripada permukaan. Justeru, renungkanlah: Apakah perincian-perincian kecil dalam kehidupan kita sendiri yang mungkin menyimpan pengajaran yang lebih mendalam daripada Allah ‎ﷻ jika kita sudi merenungkannya?

 

وَأتوني بِأَهلِكُم أَجمَعينَ

dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku”.

Baginda mengarahkan mereka untuk memawa keluarga mereka semua sekali ke Mesir untuk duduk tinggal di Mesir. Ini bukan keluarga mereka sahaja, tetapi keluarga besar mereka, termasuk sepupu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sebagainya. Dalam riwayat ada yang menyebut lebih kurang 80 orang yang datang.

Baginda teringin sangat untuk berjumpa dengan keluarga besar baginda yang selama ini baginda tidak dapat kenal dan beramah mesra. Selama berpuluh tahun baginda keseorangan sahaja. Jadi baginda hendak bertemu dengan bapa, ibu, kakak-kakak ipar, anak-anak saudara semua.

Yang banyak buat salah dengan baginda adalah abang-abang baginda. Namun ahli keluarga mereka tidak bersalah, bukan? Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak sangat jumpa mereka. Ini adalah teguran juga kepada orang kita. Kadang-kadang kita suka sangat bermusuh dengan orang yang ada masalah dengan keluarga kita. Contohnya adik beradik ada berkelahi tetapi kita tengok anak-anak mereka pun hendak bermusuh pula! Apa bodohnya mereka ini? Yang berkelahi adalah emak dan emak saudara kamu (sebagai contoh) tetapi kamu dengan emak saudara kamu tetap ada pertalian dan kamu tidak ada masalah dengan dia, bukan? Jadi kenapa pula kamu hendak bermusuh dengan dia? Kenapa perlu hendak kurang ajar dengannya?

Frasa ﴾وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ﴿ ini sangat penting dalam sejarah kerana ia merupakan permulaan kepada perpindahan keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Bani Israil) dari tanah Kana’an ke Mesir. Ini adalah satu peristiwa besar dalam sejarah Bani Israil kerana ia menjadi titik tolak kepada kewujudan mereka di Mesir. Perintah ini juga menandakan berakhirnya penderitaan dan perpisahan keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, serta bermulanya kehidupan baru yang lebih selamat dan makmur di bawah perlindungan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ketika itu memegang jawatan tinggi di Mesir. Selepas mereka berpindah ke Mesir, keturunan mereka berkembang pesat dan akhirnya menjadi satu bangsa yang besar di sana. Ini juga menjadi latar belakang kepada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan peristiwa keluarnya Bani Israil dari Mesir beberapa generasi kemudian. Dalam zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka masuk ke Mesir dan nanti kita belajar di zaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka keluar dari Mesir.

 

Antara pengajaran utama yang boleh diambil daripada Yusuf ayat 93 ialah:

1. Peranan mukjizat dan kepercayaan kepada Allah ‎ﷻ
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta bajunya diletakkan di wajah bapanya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebagai tanda mukjizat dan kepercayaan kepada pertolongan Allah ‎ﷻ. Ini mengajar kita untuk sentiasa yakin dengan kuasa Allah ‎ﷻ dalam mengubah keadaan yang sukar

2. Permulaan hijrah Bani Israil ke Mesir
Ayat ﴾وأتوني بأهلكم أجمعين﴿ (Datanglah kepadaku bersama seluruh keluarga kamu) adalah permulaan kepada perpindahan keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir, yang menjadi titik sejarah penting bagi Bani Israil. Ia menunjukkan bagaimana perancangan Allah ‎ﷻ berlaku melalui peristiwa yang tidak disangka

3. Kepentingan menjaga maruah dan kehormatan keluarga
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjemput seluruh keluarganya ke Mesir untuk hidup bersama dalam keadaan yang lebih baik dan terhormat, menandakan pentingnya menjaga maruah dan kebajikan keluarga.

4. Pengajaran tentang ujian dan hikmah di sebalik kesusahan
Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar bahawa setiap ujian ada hikmahnya. Daripada penderitaan dan pengkhianatan, akhirnya Allah ‎ﷻ mengangkat darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan keluarganya. Ini mengajar kita untuk tidak berputus asa dalam menghadapi ujian hidup.

5. Mempercepatkan Kegembiraan
Arahan untuk membawa baju itu dengan segera menunjukkan semangat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mempercepatkan kegembiraan dan meredakan kesedihan bapanya.

6. Pengampunan sebagai Jalan Penyembuhan
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk membalas kejahatan abang-abangnya dengan kebaikan, iaitu memberikan bajunya sebagai hadiah
. Pengampunan yang agung ini menunjukkan cara menyembuhkan permusuhan dan bukan membalas dendam. Memaafkan adalah penyembuhan untuk diri sendiri; menyimpan dendam hanya menyakiti diri dan menghalang kita daripada meneruskan kehidupan

7. Keadilan Puitis dan Penebusan
Baju yang pertama (dilumuri darah palsu) telah digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai ‘senjata’ penipuan yang menyebabkan kesedihan berpanjangan
. Sebaliknya, baju yang ketiga menjadi penawar yang mesti mereka sampaikan sendiri kepada bapa mereka. Senjata yang pernah digunakan untuk menyakiti akhirnya menjadi alat untuk menggembirakan semula.

8. Menghindari Kesimpulan Terburu-Buru (Hasty Conclusion):
Kisah baju kedua (yang terkoyak dari belakang ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cuba melarikan diri daripada godaan isteri Al-Aziz) mengajar kita tentang
bahaya membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan bukti yang tidak lengkap. Ini relevan dengan budaya moden di mana orang cepat menghukum berdasarkan tajuk berita atau klip pendek tanpa menganalisis konteks penuh

9. Kewajipan Tabayyun (Meneliti Bukti)
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus percaya kepada cerita abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengenai baju pertama; sebaliknya, baginda menganalisis bukti dengan teliti, menunjukkan kewajipan seorang yang beriman dan bijak untuk meneliti bukti dengan cermat
. Kita tidak boleh terus percaya berita yang datang entah dari mana, tetapi wajib tabayyun (memeriksa dengan teliti), sebagaimana yang diperintahkan dalam Surah Al-Hujurat Ayat 6

10. Pentingnya Kesabaran dalam Menyelesaikan Masalah
Penyelesaian masalah secara segera (seperti pembuktian tidak bersalah melalui baju kedua yang koyak di belakang) tidak semestinya membawa kesan yang baik atau yang diharapkan (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap dipenjarakan)
. Kadang-kadang, kita perlu bersabar untuk mendapatkan penyelesaian yang lebih tuntas

11. Transformasi Kedudukan dan Kekuasaan Ilahi
Kisah tiga baju menunjukkan perkembangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada keadaan lemah, dimalukan, dan dipisahkan (Baju 1 & 2) kepada keadaan memiliki kuasa dan kemuliaan (Baju 3)
. Ini mengajar kita yang Allah ‎ﷻ boleh mengubah kedudukan manusia: orang yang menindas atau berlaku zalim kepada kita boleh tunduk di bawah kuasa kita di kemudian hari, justeru kita perlu sentiasa beringat.

12. Hubungan antara Kesihatan Emosi dan Fizikal (Penyembuhan Psikosomatik)

Pemulihan penglihatan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melalui baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan bahawa kesedihan dan trauma psikologi yang mendalam boleh memberi kesan fizikal. Apabila punca kesedihan dihilangkan dan digantikan dengan kegembiraan yang amat sangat, kelegaan emosi itu boleh mencetuskan pemulihan fizikal. Kesihatan mental dan spiritual kita tidak terpisah daripada kesihatan fizikal kita.

13. Kuasa Harapan dalam Penyembuhan
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah menjadi buta kerana kesedihan melampau, kini mempunyai harapan untuk melihat anak kesayangannya (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) yang masih hidup, yang memberikan semangat kepadanya untuk sembuh

14. Keluasan Ilmu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan membawa baju itu bukanlah tekaan, tetapi manifestasi kebijaksanaan Ilahi (ta’wil al-ahadith) yang membolehkannya memahami bahawa apabila seseorang disembuhkan secara emosi, penyembuhan fizikal akan menyusul

15. Menghargai Butiran Kecil
Seluruh kisah ini mendorong kita untuk melihat lebih jauh daripada permukaan dan merenungkan bahawa dalam Al-Qur’an, tiada perincian yang sia-sia, dan objek semudah sehelai pakaian boleh menyimpan lautan hikmah

16. Jangan Melanjutkan Permusuhan kepada yang Tidak Bersalah
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajak seluruh keluarganya datang ke Mesir, termasuk ahli keluarga abang-abangnya yang tidak bersalah. Pengajaran di sini adalah kita tidak seharusnya melibatkan atau memusuhi saudara-mara atau anak-anak yang tidak bersalah hanya kerana ada konflik antara ibu bapa atau adik-beradik.

 

Sekian Ruku’ 10 daripada 12 ruku’ surah ini.

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman daripada teks yang diberikan.

1. Jelaskan peranan dan simbolisme tiga helai baju Nabi Yusuf yang disebut dalam surah ini.

2. Mengapakah Nabi Yusuf secara spesifik memilih untuk menghantar bajunya kepada ayahnya, dan bukan barangan lain?

3. Apakah pengajaran moden yang boleh diambil daripada kisah baju kedua Nabi Yusuf yang terkoyak di belakang?

4. Bagaimanakah sikap Nabi Ya’qub apabila menerima baju pertama berbeza dengan kecenderungan orang ramai pada zaman moden?

5. Terangkan mengapa perkataan فَأَلقُوهُ (lemparkanlah) dalam ayat 93 tidak membawa maksud yang kasar, berdasarkan konteks ayat.

6. Apakah kepentingan emosi di sebalik penggunaan perkataan “ayahku” (أَبي) oleh Nabi Yusuf dalam arahannya kepada abang-abangnya?

7. Huraikan penjelasan rasional yang dikemukakan mengenai bagaimana baju Nabi Yusuf boleh memulihkan penglihatan Nabi Ya’qub.

8. Bagaimanakah konsep “penyakit psikosomatik” berkaitan dengan penyembuhan Nabi Ya’qub?

9. Apakah kaitan antara kemampuan Nabi Yusuf untuk menyembuhkan ayahnya dengan anugerah ta’wil al-ahadith yang diberikan Allah kepadanya?

10. Apakah kepentingan sejarah yang terkandung dalam perintah Nabi Yusuf, “bawalah keluargamu semuanya kepadaku”?

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
Baju Nabi Yusuf
Merujuk kepada tiga helai baju berbeza yang setiap satunya memainkan peranan penting dalam kisah Nabi Yusuf: (1) Baju yang dilumur darah palsu untuk menipu Nabi Ya’qub; (2) Baju yang koyak di belakang sebagai bukti baginda tidak bersalah daripada godaan isteri Al-Aziz; (3) Baju yang dihantar kepada Nabi Ya’qub sebagai penawar dan tanda penyatuan semula.
Al-Ilqā’ (الإلقاء)
Kalimah Arab yang secara literal bermaksud “melemparkan”. Namun, dalam konteks Ayat 93, ia digunakan dengan makna “meletakkan dengan sengaja dan penuh makna” atau “menempelkan”, menunjukkan tindakan yang bertujuan dan bukan perbuatan kasar.
Tabayyun
Prinsip untuk memeriksa sesuatu berita dengan teliti dan cermat sebelum mempercayainya. Ia ditekankan melalui contoh Nabi Ya’qub yang tidak terus percaya penipuan anak-anaknya, berbeza dengan sikap terburu-buru menghukum tanpa usul periksa.
Ta’wil al-ahadith (تَأْوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ)
Kebijaksanaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Nabi Yusuf. Ia merangkumi kebolehan untuk mentafsir mimpi serta memahami makna mendalam di sebalik kata-kata, peristiwa, dan suasana, termasuk hubungan antara penyembuhan emosi dan fizikal.
Penyakit Psikosomatik
Konsep yang menjelaskan bagaimana trauma atau tekanan psikologi yang tidak diselesaikan boleh “tersimpan” di dalam badan dan menjelma sebagai penyakit fizikal. Ini digunakan untuk menerangkan bagaimana kesedihan melampau Nabi Ya’qub menyebabkan penglihatannya terjejas.
Bani Israil
Gelaran untuk keturunan Nabi Ya’qub. 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 13 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 93 (Kehebatan Baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?)”

  1. Kunci Jawapan
    1. Tiga helai baju Nabi Yusuf masing-masing menjadi saksi kepada episod penting dalam hidupnya. Baju pertama dilumur darah palsu sebagai simbol pengkhianatan abang-abangnya. Baju kedua yang koyak di belakang menjadi bukti kesuciannya dalam ujian godaan, manakala baju ketiga menjadi penawar dan simbol penebusan serta penyatuan semula keluarga.
    2. Nabi Yusuf memilih untuk menghantar bajunya sebagai satu bentuk keadilan puitis. Memandangkan abang-abangnya menggunakan baju pertama untuk menyebabkan kesedihan kepada ayah mereka, Nabi Yusuf menggunakan baju ketiga untuk membawa kegembiraan, membalas kejahatan dengan kebaikan dan menunjukkan kebesaran hati serta pengampunan.
    3. Kisah baju kedua yang terkoyak di belakang mengajar tentang bahaya membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan bukti yang tidak lengkap. Ia sangat relevan dengan budaya media sosial moden di mana orang cepat menghukum tanpa menganalisis konteks penuh, sedangkan butiran penting seperti lokasi koyakan adalah penentu kebenaran.
    4. Apabila menerima baju pertama, Nabi Ya’qub tidak terus percaya tetapi menganalisis bukti dengan teliti dan menyedari penipuan itu. Sikap ini berbeza dengan kecenderungan orang ramai pada zaman moden yang sering mengutuk tanpa usul periksa atau tabayyun, terutamanya apabila menerima berita daripada sumber yang tidak dapat dipastikan.
    5. Walaupun secara literal فَأَلقُوهُ bermakna “melemparkan”, dalam konteks ayat ini ia membawa maksud “meletakkan dengan sungguh-sungguh” atau “menempelkan”. Penggunaan bahasa Arab yang kaya makna ini menunjukkan tindakan yang disengajakan dan penuh makna untuk menyampaikan baju itu ke wajah Nabi Ya’qub, bukan tindakan kasar dari jarak jauh.
    6. Penggunaan perkataan “ayahku” (أَبي) adalah luahan kerinduan yang mendalam seorang anak yang telah lama terpisah. Ia menunjukkan emosi mentah dan ikatan eksklusif yang ingin dituntut kembali oleh Nabi Yusuf setelah bertahun-tahun menahan rindu, berbeza dengan niat abang-abangnya yang dahulu ingin merebut perhatian eksklusif ayah mereka.
    7. Penjelasan rasional, seperti yang dikemukakan oleh Imam Fakhruddin al-Razi, menyatakan bahawa kesedihan melampau boleh menyebabkan kesan fizikal. Apabila punca kesedihan itu dihilangkan dan digantikan dengan kegembiraan yang amat sangat (dicetuskan oleh baju Nabi Yusuf), kelegaan emosi itu boleh mencetuskan pemulihan fizikal, termasuklah penglihatan.
    8. Konsep penyakit psikosomatik menjelaskan bagaimana trauma psikologi yang tidak diselesaikan boleh menjelma sebagai penyakit fizikal. Kebutaan Nabi Ya’qub adalah manifestasi fizikal daripada kesedihan yang mendalam, dan apabila sumber kesakitan emosi itu disembuhkan melalui berita tentang Nabi Yusuf, penyembuhan fizikal yang dramatik boleh berlaku.
    9. Kemampuan Nabi Yusuf ini adalah manifestasi kebijaksanaan Ilahi atau ta’wil al-ahadith. Anugerah ini bukan hanya untuk mentafsir mimpi, tetapi juga membolehkan baginda memahami keadaan dan suasana, termasuk memahami bahawa penyembuhan emosi seseorang boleh membawa kepada penyembuhan fizikal.
    10. Perintah ini menandakan permulaan perpindahan keluarga Nabi Ya’qub (Bani Israil) dari Kana’an ke Mesir. Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada kewujudan dan perkembangan pesat keturunan mereka di Mesir, yang kemudiannya menjadi latar belakang kepada kisah Nabi Musa dan peristiwa keluarnya Bani Israil dari Mesir beberapa generasi kemudian.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply