Tafsir Surah Yusuf Ayat 91 (Abang-abang baru sedar diri)

ADIK BERADIK NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DIMAAFKAN

Yusuf Ayat 91: Maka terkejutlah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka tidak ada pilihan lain selain daripada mengaku kesalahan yang mereka telah pernah lakukan terhadap baginda dan adik mereka Bunyamin. Maka sekarang kita akan lihat komen dan tindakbalas mereka. Sebenarnya tidaklah mereka hanya berkata-kata seringkas ini sahaja, tentu lagi banyak mereka cakapkan kerana mereka pun ramai. Akan tetapi di sini Allah ‎ﷻ hanya memuatkan kata-kata yang penting sahaja. Walaupun kata-kata mereka itu pendek sahaja, tetapi kita akan kupas dan cuba menggali apakah maksud di sebalik kata-kata itu.

قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, certainly has Allāh preferred you over us, and indeed, we have been sinners.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.

 

قالوا تَاللهِ

Mereka berkata: “Demi Allah,

Sekali lagi digunakan kalimah تَاللهِ  – ini menunjukkan betapa mereka terkejut dengan apa yang mereka sedang dengar sekarang. Kita telah bincangkan sebelum ini yang kalimah sumpah ini bukan yang biasa tetapi sumpah yang paling tinggi dan menandakan mereka terkejut sangat. Bayangkan, seorang adik mereka sendiri yang mereka telah tinggalkan dalam telaga – kemudian mereka tidak bertemu entah untuk berapa tahun – dan kemudian telah bertemu kembali dan mereka kenali sebagai seorang Menteri Besar (Al-Aziz) di Tanah Mesir – tiba-tiba diberitahu itu adalah adik mereka sendiri yang mereka telah aniaya dan tinggalkan dahulu!

Penggunaan kalimah تَاللهِ oleh mereka menandakan satu transformasi spiritual yang besar. Ini adalah kali ketiga lafaz ini muncul dari mulut mereka dalam surah ini. Sebelum ini, mereka menggunakannya dalam konteks konflik duniawi yang penuh keangkuhan: Pertama kali ketika memarahi bapa mereka kerana tidak henti-henti mengingati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan kali kedua pula untuk mempertahankan diri apabila dituduh mencuri. Waktu itu mereka menggunakan nama Allah dengan selamba sahaja. Seolah-olah sebut nama Allah itu sebagai tambahan untuk menguatkan hujah mereka sahaja. Kalau kita perhatikan setakat ini, mereka bukannya sebut nama Allah dalam cara yang betul, cara yang menunjukkan mereka tunduk kepada Allah ‎ﷻ. Yang hanya melakukannya adalah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja yang selalu menyebut tentang Allah ‎ﷻ, bukan? Sebagai contoh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata إنما أشكو بثي وحزني إلى الله وأعلم من الله ما لا تعلمون dan ولا تيأسوا من روح الله إنه لا ييأس من روح الله إلا القوم الكافرون. Manakala Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula kita boleh perhatikan معاذ الله dan قد من الله علينا dan banyak lagi. 

Namun sebaliknya abang-abang itu tidak pun menyebut nama Allah dalam konteks mereka tunjuk kepada Allah ﷻ, mengingatkan orang tentang Allah ﷻ dan sebagainya. Mereka sebut nama Allah, tetapi bukanlah dalam konteks yang benar. Jadi ini mengajar kita yang kadangkala ada orang banyak sebut nama Allah di dalam percakapan dia, tetapi dia bukan teringat dengan Allah ﷻ pun hanya sekadar disebut di bibirnya sahaja. Dia saja mahukan orang nampak dia hebat apabila dia menyebut nama Allah malangnya kadangkala dia bukannya ikut apa yang Allah ﷻ suruh. 

Namun kali ini, lafaz yang sama digunakan oleh mereka dalam keadaan tunduk dan rendah hati, sebagai satu pengakuan di hadapan kekuasaan Allah ﷻ yang telah terbukti di depan mata mereka. Ia adalah peralihan daripada menggunakan nama Tuhan untuk memenangi hujah sesama manusia, kepada menggunakannya dalam penyerahan diri kepada-Nya.

 

لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا

sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami,

Mereka mengaku yang Allah ‎ﷻ telah mengutamakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka. Mereka sudah buat bermacam-macam usaha untuk menjatuhkan baginda tetapi mereka tidak mendapat apa-apa pun daripada apa yang mereka lakukan itu. Mereka mahu bapa mereka sayangkan mereka, tetapi bapa mereka tetap lagi sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Semenjak kecil lagi Allah ‎ﷻ sudah melebihkan baginda. Di sini nampaknya mereka mengakui keutamaan dan kelebihan yang dimiliki oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atas diri mereka dalam hal penampilan, akhlak, kekayaan, kerajaan, kekuasaan, juga kenabian.

Begitulah, apabila abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akhirnya menyedari identiti sebenar pemerintah Mesir yang berada di hadapan mereka, reaksi pertama mereka adalah satu sumpahan yang menunjukkan rasa terkejut yang amat sangat: “Tallahi” (Demi Allah). Ini adalah satu lafaz yang berat, menandakan betapa realiti itu telah menghentam mereka dengan kuat. Namun, apa yang menyusul kemudian bukanlah kata-kata “maafkan kami”. Ada ayat mereka minta maaf di sini? Tidak pun.

Sebaliknya, pengakuan utama mereka adalah satu pengiktirafan terhadap takdir dan kekuasaan Allah ﷻ: “Sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami”. Ini diikuti dengan pengakuan yang bersifat umum dan tidak spesifik, “…dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.” Mereka seolah-olah mengelak daripada memperincikan kesalahan besar yang telah mereka lakukan seperti membuang adik mereka ke dalam perigi dan mendustai bapa mereka bertahun-tahun lamanya.

Dialog adik-beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan yang sangat spesifik dan sarat dengan makna: ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا (“Allah telah melebihkan kamu atas kami”). Kita hendak bedah kalimah ءَاثَرَ ini. Terjemahan literalnya ialah “melebihkan” atau “mengutamakan”. Kebiasaannya untuk maksud melebihkan, kalimah تفضيل yang digunakan. Namun di sini kita perhatikan kalimah ءَاثَرَ pula yang digunakan. Jadi untuk memahami kedalaman maksud kalimah ini, kita perlu melihat “imej” di sebalik perkataan Arab.

Akar kata ءَاثَرَ ialah ا ث ر, yang bermaksud “jejak”, “kesan”, atau “peninggalan”. Sekarang bayangkan kesan tapak kaki di padang pasir, atau runtuhan tamadun purba yang menjadi bukti kewujudan mereka. Kalimah ini banyak digunakan di dalam Al-Qur’an seperti di dalam Maidah:46

وَقَفَّينا عَلىٰ ءآثٰرِهِم بِعيسَى ابنِ مَريَمَ
Dan Kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israil) dengan Isa putera Maryam

Ini kerana Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah membawa ajaran agama yang baru tetapi baginda mengikut jejak-jejak ajaran daripada para Nabi dan Rasul sebelum baginda. Di dalam Kahf:6,

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Rasulullah ﷺ bersedih kerana puak Nasrani meninggalkan jejak-jejak kesesatan yang akan berterusan lama kepada umat manusia. Ini kerana mereka inilah nanti yang akan menyebabkan ramai berpegang dengan Konsep Triniti dan mereka yang memulakan konsep sekularisme di dalam masyarakat.

Di sinilah letaknya ironi yang luar biasa: Mereka yang suatu masa dahulu berhasrat untuk menghapuskan semua “jejak” Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari muka bumi, seperti disebut di dalam Ayat 9, ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم (Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tidak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja) dan Ayat 10, يَلتَقِطهُ بَعضُ ٱلسَّيَّارَةِ (supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir). Akan tetapi kini dengan lidah mereka sendiri mengakui bahawa Allah ‎ﷻ telah memberikannya “jejak” dan kesan yang kekal kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang jauh mengatasi mereka semua. Sekarang sudah menjadi Al-Aziz Mesir! Malah baginda menjadi pemimpin Mesir yang meninggalkan kesan yang berterusan. Kerajaan Firaun itu datang kemudian adalah kesan daripada kehebatan kerajaan baginda dan hanya mewarisi kemewahan yang baginda telah mulakan ketika zaman baginda.

Malah kita pun tahu yang nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut-sebut sampai hari ini tetapi nama mereka orang tidak kisah pun. Mereka mungkin tidak menyedari betapa dalamnya makna kata-kata yang mereka ucapkan itu. Pengajaran daripada kehidupan baginda kita sebut-sebut dan kita kaji sehingga ke hari ini dan memberi kesan kepada hati dan minda kita, bukan? Inilah yang kita sedang lakukan.

Kalau kita mahu bersangka baik dengan mereka, kita boleh terima kata-kata mereka ini sebagai satu kesedaran kepada mereka. Selama mereka ini mereka tidak sedar-sedar tetapi kali ini setelah mereka terduduk dengan pendedahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, mereka sudah terpana dan sekarang baru mereka sedar kesalahan mereka. Ini kerana kali ini memang mereka tidak dapat mengelak lagi disebabkan Allah ‎ﷻ telah tunjuk kebenaran kepada mereka betul-betul di hadapan mereka yang mereka tidak boleh elak lagi. Ada orang dapat peringatan ringan pun mereka sudah berubah; akan tetapi bagi abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, mereka perlu dihentam sampai terduduk baru hendak sedar diri. Kadangkala kita dengar ada orang telah berubah kerana mereka kemalangan dan hampir mati dan barulah mereka terfikir tentang agama. Sebaliknya ada orang yang terbaca satu ayat Al-Qur’an pun boleh berubah 180% kerana terkesan dengan ayat Al-Qur’an. Maknanya kita janganlah jadi seperti abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini; jangan dapat kemalangan dan hampir mati baru hendak sedar diri!

Namun begitu sekiranya kita masih sangsi dengan mereka itu, kita boleh juga katakan mereka ini perli sahaja dalam kata-kata mereka itu. Kita boleh baca kata-kata mereka ini: “Owh, dulu kami ingat ayah jer melebihkan engkau atas kami, rupanya Allah pun begitu juga?!” dengan memek muka yang sinis. Mereka tidak rasa bersalah pun dengan kesalahan mereka. Malah mungkin mereka kata, dengan mereka membuang baginda ke dalam telaga itu, baginda akhirnya boleh jadi Menteri Mesir! Ini sama sahaja seperti sesetengah orang yang menindas seseorang tetapi kemudian dia bagi alasan pula: “Aku ni tekan engkau supaya engkau jadi orang yang kuat tau! Sebab dunia ini keras tau, dik!” Jadi ini adalah kata-kata orang yang memang tidak ada perikemanusiaan dan menggunakan kata-kata mereka untuk membenarkan mereka. Mereka sudah tidak fikir benar atau salah, asalkan mereka nampak elok sahaja.

Walau bagaimanapun pendapat yang selalu diterima adalah kata-kata mereka ini adalah penyesalan daripada mereka. Mereka mengaku yang bapa mereka tidak bersalah dalam melebihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka baginda orang yang baik. Mereka rasa bersalah apabila menyalahkan bapa mereka di dalam Ayat 8:إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ (Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata). Memang kamu dahulu disayangi oleh bapa kerana akhlak yang baik, sepatutnya kami belajar daripada apa yang kamu lakukan, tetapi sebaliknya kami telah melayan perasaan dengki kami.

 

وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ

dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”.

Mereka mengaku yang mereka memang bersalah. Mereka telah melakukan kesalahan dari dahulu sampai ke hari itu. Bermacam-macam kesalahan yang mereka telah lakukan, terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Bunyamin dan bapa mereka. Maka kalau kita baca di sini, nampak mereka telah bertaubat kerana mereka telah mengakui kesalahan mereka. Ini adalah langkah pertama kepada taubat.

Ada sesuatu yang menarik daripada penggunaan kalimah إِنْ di dalam ayat ini. Anda akan lebih menghargai perbincangan ini kalau anda belajar sedikit bahasa Arab. Dalam konteks ayat ini, penggunaan إِنْ (in) dengan baris mati (sukun) adalah sangat penting dan memberi nuansa makna yang tersirat dalam bahasa Arab, yang berbeza dengan إِنَّ (inna) dengan baris syaddah (tasydid). Yang menjadi perbincangan kerana untuk penegasan, sepatutnya إِنَّ yang digunakan. Untuk إِنْ, selalunya ia bermaksud ‘jika’, bukan? Kalau belajar sedikit bahasa Arab, inilah yang kita tahu. Jadi kenalah ada penjelasan sedikit.

Di sini, إِنْ (In) digunakan sebagai In Mukhaffafah Minath-Thaqīlah (إن المخففة من الثقيلة), iaitu Inna (yang asal dengan syaddah) yang diringankan (dibuang syaddah). Apabila Inna diringankan menjadi In (dengan sukun), ia masih mengekalkan fungsi asalnya, iaitu sebagai Penegasan (Tawkeed / Lit-Tawkeed). Fungsi utama In yang diringankan ini adalah penegasan atau pengukuhan. Dalam keadaan Inna diringankan menjadi In, ia perlu disokong oleh satu lagi huruf penegas, iaitu di dalam ayat ini, Lām penegas tersebut muncul pada perkataan لَخَاطِئِينَ (lakhāṭi’īn). Lām ini bertujuan untuk membezakan In penegas (yang diringankan) daripada In syarat (In jika). Gabungan In dan Lām ini memberikan kesan penyesalan dan pengakuan yang sangat kuat, seolah-olah mereka berkata, “Kami tidak boleh nafikan, memang kami amat bersalah.”

Akan tetapi perhatikan, mereka tidak sebut pun apa kesalahan mereka. Mereka cuma sebut secara umum sahaja, bukan? Sedangkan dalam Ayat 89 sebelum ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah bertanya: هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم (“Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan?”). Jadi sepatutnya mereka jawab dengan menyebut satu persatu kesalahan mereka; tetapi tidak.

Kata “خَـٰطِـِٔينَ” (khāṭi’īn) yang terdapat dalam Surah Yusuf ayat 91 secara bahasa berasal daripada akar kata “خ ط أ” (kha-ṭa-’a) yang bererti melakukan kesalahan atau kekeliruan. Menurut penjelasan Imam al-Tabari, “خاطئين” bermaksud مخظئين “mukhti’in”, iaitu orang-orang yang melakukan kesalahan. Mereka mengakui bahawa perbuatan mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti memisahkan baginda daripada bapanya dan perlakuan buruk lainnya (walaupun tidak disebut secara spesifik) adalah sebuah kesalahan. Al-Tabari رَحِمَهُ اللَّهُ juga menjelaskan bahawa kata “خَطِئَ” (khaṭi’a) bererti melakukan kesalahan, dan bentuk lainnya adalah “أخطأ” (akhṭa’a), yang juga bererti berbuat salah, namun dengan nuansa yang sedikit berbeza dalam penggunaan bahasa Arab klasik. Dalam konteks ayat ini, “خاطئين” bermakna “kami adalah orang-orang yang bersalah” atau “kami telah berbuat salah” dalam tindakan kami terhadapmu, wahai Yusuf.”

Kalimah خاطئ (khāṭi’) merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan atau dosa dengan sengaja, iaitu dia tahu perkara itu salah tetapi tetap melakukannya. Dalam konteks ayat, saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui bahawa mereka telah melakukan dosa secara sedar dan sengaja terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Penjelasan ini disebutkan oleh ramai ahli bahasa dan tafsir. Kalau kalimah مخطئ (mukhṭi’) pula digunakan untuk orang yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, iaitu dia tidak tahu atau tidak berniat untuk melakukan kesalahan tersebut. Dia mungkin berniat baik, tetapi hasilnya tetap salah. Atau kalau kita hendak bayangkan, ada beza dengan orang yang tidak sengaja menumpahkan air minum seseorang, dengan orang yang mengangkat cawan dan simbahkan ke muka orang itu. Kesimpulannya, penggunaan kalimah “خاطئين” dalam ayat tersebut membawa makna bahawa saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui mereka telah melakukan dosa secara sengaja, bukan kerana tersilap atau tidak tahu, tetapi kerana mereka sedar dan tetap melakukannya. Ini berbeza dengan “مخطئ” yang lebih kepada kesalahan tanpa niat atau tidak sengaja. Maka, nuansa utama ialah “خاطئ” untuk dosa yang disengajakan, manakala “مخطئ” untuk kesalahan yang tidak disengajakan.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah kepentingan lafaz sumpah “تَاللهِ” (Tāllāhi) yang diucapkan oleh abang-abang Nabi Yusuf dalam ayat ini?

2. Menurut teks, bagaimanakah penggunaan nama Allah oleh abang-abang Nabi Yusuf sebelum ini berbeza dengan penggunaannya dalam ayat ke-91?

3. Apakah maksud literal dan konotatif di sebalik kalimah “ءَاثَرَ” (āthara) yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf?

4. Jelaskan ironi yang terkandung dalam pengakuan abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka menggunakan kalimah yang berakar daripada “ا ث ر” (jejak/kesan).

5. Teks ini membentangkan dua tafsiran yang berbeza mengenai nada dan niat di sebalik kata-kata abang-abang Nabi Yusuf. Apakah dua tafsiran tersebut?

6. Walaupun abang-abang Nabi Yusuf mengakui kesalahan mereka, apakah kekurangan yang terdapat dalam pengakuan mereka menurut analisis teks?

7. Apakah fungsi linguistik “إِنْ” (in) yang diringankan (In Mukhaffafah Minath-Thaqīlah) dalam frasa “وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ”?

8. Bezakan maksud antara kalimah “خَـٰطِـِٔينَ” (khāṭi’īn) dengan “مخطئ” (mukhṭi’) seperti yang dijelaskan dalam teks.

9. Siapakah yang secara konsisten menyebut nama Allah dengan cara yang menunjukkan ketundukan sebelum transformasi abang-abang Nabi Yusuf?

10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada cara abang-abang Nabi Yusuf akhirnya menyedari kesalahan mereka?

 

 

Glosari Istilah Utama

Istilah
Definisi
تَاللهِ (Tāllāhi)
Kalimah sumpah yang paling tinggi, menandakan rasa terkejut yang amat sangat dan digunakan dalam konteks penyerahan diri kepada Allah.
ءَاثَرَ (āthara)
Melebihkan atau mengutamakan. Akar katanya (ا ث ر) bermaksud “jejak” atau “kesan”, membawa implikasi bahawa Allah memberikan kesan dan peninggalan yang kekal.
خَـٰطِـِٔينَ (khāṭi’īn)
Orang-orang yang melakukan kesalahan atau dosa secara sengaja, dengan kesedaran penuh bahawa perbuatan itu adalah salah.
مخطئ (mukhṭi’)
Orang yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, sama ada kerana tidak tahu atau tidak berniat untuk melakukannya.
Al-Aziz
Gelaran yang merujuk kepada Menteri Besar atau pemerintah di Tanah Mesir pada zaman Nabi Yusuf.
In Mukhaffafah Minath-Thaqīlah
Istilah tatabahasa Arab untuk huruf إِنَّ (Inna) yang diringankan menjadi إِنْ (In), tetapi masih mengekalkan fungsi asalnya sebagai penegas (Tawkeed).
Lām Penegas
Huruf Lām (لَ) yang ditambah pada sesuatu perkataan (seperti dalam لَخَاطِئِينَ) untuk mengukuhkan lagi penegasan, terutamanya apabila digunakan bersama In Mukhaffafah.
Tawkeed / Lit-Tawkeed
Istilah bahasa Arab yang bermaksud penegasan atau pengukuhan makna dalam sesuatu ayat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 91 (Abang-abang baru sedar diri)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Lafaz sumpah “تَاللهِ” adalah sumpah yang paling tinggi dan menunjukkan betapa mereka terkejut dengan pendedahan identiti Nabi Yusuf. Penggunaan lafaz ini menandakan satu transformasi spiritual yang besar, daripada keangkuhan kepada penyerahan diri dan kerendahan hati.
    2. Sebelum ini, mereka menggunakan nama Allah dengan selamba dalam konteks konflik duniawi, seperti untuk memarahi bapa mereka atau mempertahankan diri apabila dituduh mencuri. Dalam ayat ini, lafaz yang sama digunakan dalam keadaan tunduk dan rendah hati sebagai pengakuan di hadapan kekuasaan Allah.
    3. Maksud literal “ءَاثَرَ” ialah “melebihkan” atau “mengutamakan”. Maksud konotatifnya berasal dari akar kata “ا ث ر” yang bermaksud “jejak” atau “kesan”, yang membawa makna bahawa Allah telah memberikan Nabi Yusuf kesan dan peninggalan yang kekal mengatasi mereka semua.
    4. Ironinya ialah mereka yang dahulu berhasrat untuk menghapuskan semua “jejak” Nabi Yusuf dari muka bumi kini mengakui dengan lidah sendiri bahawa Allah telah memberikannya “jejak” dan kesan yang kekal dan agung, iaitu sebagai pemerintah Mesir (Al-Aziz).
    5. Tafsiran pertama ialah mereka benar-benar insaf dan menyesal, mengakui kesalahan mereka setelah Allah menunjukkan kebenaran di hadapan mata mereka. Tafsiran kedua (jika bersangka buruk) ialah mereka sebenarnya sedang memerli Nabi Yusuf secara sinis, seolah-olah berkata Allah juga melebihkannya, bukan hanya bapa mereka.
    6. Kekurangan dalam pengakuan mereka adalah ia bersifat umum (“sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah”) dan tidak spesifik. Mereka tidak memperincikan kesalahan-kesalahan besar yang telah mereka lakukan seperti membuang Nabi Yusuf ke dalam perigi dan menipu bapa mereka.
    7. “إِنْ” yang diringankan berfungsi sebagai penegasan (Tawkeed). Ia digabungkan dengan satu lagi huruf penegas, iaitu Lām pada perkataan “لَخَاطِئِينَ”, untuk memberikan kesan penyesalan dan pengakuan yang sangat kuat, seolah-olah mereka berkata, “Kami tidak boleh nafikan, memang kami sungguh bersalah.”
    8. Kalimah “خَـٰطِـِٔينَ” merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan atau dosa dengan sengaja, iaitu dia tahu perbuatan itu salah tetapi tetap melakukannya. Sebaliknya, “مخطئ” digunakan untuk orang yang melakukan kesalahan tanpa sengaja, iaitu tanpa niat atau kerana tidak tahu.
    9. Sebelum transformasi abang-abang Nabi Yusuf, hanya Nabi Ya’qub dan Nabi Yusuf sahaja yang sentiasa menyebut tentang Allah dalam cara yang menunjukkan mereka tunduk dan ingat kepada-Nya.
    10. Pengajarannya ialah kita tidak sepatutnya menunggu sehingga ditimpa musibah besar atau pengalaman hampir mati untuk sedar diri dan bertaubat. Sebaliknya, kita harus berusaha untuk menjadi orang yang mudah terkesan dan berubah hanya dengan membaca atau mendengar peringatan daripada Al-Qur’an.

    Like

Leave a comment