Tafsir Surah Yusuf Ayat 85 (Anak memarahi ayah)

Yusuf Ayat 85: Apakah reaksi dari anak-anak Nabi Ya’qub?

قَالُواْ تَٱللَّهِ تَفتَؤُاْ تَذڪُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَو تَكُونَ مِنَ ٱلهَـٰلِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, you will not cease remembering Joseph until you become fatally ill or become of those who perish.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Demi Allah, senantiasa kamu mengingati Yusuf, sehingga kamu mengidapkan penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa”.

 

قالوا تَاللهِ

Mereka berkata: “Demi Allah,

Kita semua pernah melaluinya. Pertengkaran keluarga di mana emosi memuncak dan kata-kata yang tidak sepatutnya terkeluar dari mulut. Kadangkala, kata-kata yang diluahkan dalam keadaan marah ini meninggalkan parut yang lebih dalam daripada yang kita sangka. Tetapi, pernahkah anda terfikir bahawa satu pertengkaran keluarga yang berlaku ribuan tahun dahulu, yang dirakam dengan teliti di dalam Al-Qur’an, sebenarnya menyimpan pengajaran psikologi dan rohani yang luar biasa relevan untuk kita hari ini? Mari kita selami satu perbualan dalam Surah Yusuf yang mendedahkan apa yang tersembunyi di sebalik kemarahan manusia. Perbualan anak beranak yang dirakamkan dengan teliti dalam Surah Yusuf, di mana kata-kata yang diluahkan oleh anak-anak Nabi Ya’qub kepada bapa mereka mendedahkan beberapa lapisan pengajaran psikologi dan rohani yang mendalam.

Isu besar perbincangan ini adalah kerana kalimah تَاللَّهِ ini. Kalimah تَاللَّهِ ini dikeluarkan oleh anak-anaknya apabila mereka lihat keadaan ayah mereka begitu. Kalimah ini menunjukkan yang mereka terkejut dan kehairanan sangat (kerana kalimah تَاللهِ yang digunakan, bukan وَللهِ) dengan apa yang dialami oleh ayah mereka itu. Pada mereka, tidak patut Nabi Ya’qub عليه السلام jadi begitu kerana sudah lama Nabi Yusuf عليه السلام itu hilang tetapi kenapa masih teringat lagi?

Sebenarnya kata-kata mereka ini boleh dianggap sebagai menjerit kepada ayah mereka kerana ada penggunaan kalimah تَاللَّهِ ini. Ia bukan sumpah yang biasa iaitu  وَللهِ. Dan ini tidak patut mereka lakukan terhadap ayah, tambahan lagi baginda adalah seorang Nabi! Begitulah kadang-kadang kita perhatikan ada anak-anak yang kurang ajar dengan ayah mereka kerana tidak dapat menahan emosi. Dan ini amat menyedihkan kerana ibubapa telah membesarkan kita dan jasa mereka kepada kita terlalu banyak! Walaupun kadangkala kita tidak dilahirkan oleh ibubapa yang baik pun, kita tetap kena bercakap baik dengan mereka ini telah diwajibkan oleh Allah seperti disebut di dalam Isra’:23

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلوَٲلِدَينِ إِحسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبلُغَنَّ عِندَكَ ٱلڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَو كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنہَرهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَولاً ڪَرِيمًا
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Kalau dengan ibubapa ingatlah yang kita kena amat berhalus dan berlembut dengan mereka. Kita kena berbakti kepada mereka dan menjadikan hati mereka gembira sentiasa. Dan amat rugilah kalau kita menjaga perkara ini seperti disebut di dalam hadis,

“Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: ‘Sungguh rugi (hina) orang itu, sungguh rugi orang itu, sungguh rugi orang itu!’ Ditanyakan: ‘Siapakah (yang rugi) wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Sesiapa yang mendapati kedua ibu bapanya pada usia tua—salah seorang atau kedua-duanya—kemudian dia tidak masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada mereka).'”

(Riwayat Muslim)

Amat menyedihkan apabila anak-anak Nabi Ya’qub boleh buat kurang ajar pula kepada bapa mereka. Sedangkan baginda seorang Nabi yang tentunya menjaga mereka dengan baik dan banyak memberi nasihat yang kita sudah baca di dalam Surah ini. Nabi Ya’qub adalah contoh bapa terbaik yang kita boleh jadikan panduan kita. Perhatikan bagaimana baginda sampai ke hujung hayat mengingatkan anaknya kepada agama seperti disebut di dalam Baqarah:133

أَم كُنتُم شُهَداءَ إِذ حَضَرَ يَعقوبَ المَوتُ إِذ قالَ لِبَنيهِ ما تَعبُدونَ مِن بَعدي
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?”

Dan ini mengajar kita kalau ayah baik pun, anak-anak belum tentu lagi baik. Dan siapa mereka? Adakah mereka Atheist? Kafir? Tidak! Mereka ini adalah Muslimin ketika itu dan Muslim pun tidak terlepas dari melakukan kesalahan sebegini. Maka ini mengajar kita yang kita ini sentiasa kena menjaga adab kita. Dan dengan mempelajari ayat ini, ia mengingatkan kita tentang akhlak kita dengan ibubapa kita. Jangan kita terikut-ikut dengan emosi. Jangan kerana emosi, adab kita ke laut.

Akan tetapi ada khilaf dalam hal ini. Ini adalah kerana kalimat yang mereka ucapkan itu juga boleh dibaca dengan nada yang lembut kerana mungkin mereka risaukan ayah mereka. Kalau kita perhatikan kata-kata Nabi Ya’qub di dalam Ayat 87 nanti, nampak seolah-olah baginda baik sahaja dengan mereka. Ayat ini bermula: يَـٰبَنِىَّ ٱذهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ (Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya). Kalaulah mereka menjerit kepada baginda di dalam Ayat 85 ini, tentu Nabi Ya’qub tidak bercakap begitu. Baginda cakap begitu kerana nampak yang anak-anaknya prihatin terhadap kesihatan baginda dan boleh dibawa berbincang.

Oleh itu pada zahirnya, kata-kata abang-abang Yusuf kepada bapa mereka boleh dibaca sebagai luahan kebimbangan. Pandangan yang popular menafsirkannya seolah-olah mereka berkata, “Ayah, demi Allah, jika ayah terus-menerus mengingati Yusuf, ayah akan jatuh sakit teruk atau meninggal dunia.” Ia kedengaran seperti nasihat anak-anak yang prihatin, yang tidak sanggup melihat bapa mereka terus merana. Jadi mana yang lebih kuat dari dua pendapat ini?

Akan tetapi apabila kita membaca balasan Nabi Ya’qub kepada mereka di dalam Ayat 86 nanti, kita terasa pula yang baginda sedang membalas kata-kata mereka dengan menjelaskan kenapa baginda menyendiri dan bersedih dengan kehilangan Nabi Yusuf. Ayat 86 bermula: قَالَ إِنَّمَآ أَشكُواْ بَثِّى وَحُزنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ (Ya’qub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku). Iaitu setelah anak-anak mempersoalkan ayah mereka, baginda beri jawapan sebegitu. Ini memberi isyarat yang kata-kata mereka sebelum itu terhadap baginda adalah keras dan kerana itulah Nabi Ya’qub jawab sebegitu.

Oleh itu jika kita meneliti lebih dalam, satu tafsiran yang lebih kelam dan lebih selari dengan konteks keseluruhan kisah ini sudah muncul: ia adalah satu ledakan kemarahan. Setelah bertahun-tahun, rasa cemburu mereka terhadap Nabi Yusuf yang tidak pernah padam kini kembali membuak-buak apabila bapa mereka menyebut namanya lagi. Tafsiran ini disokong kuat oleh penggunaan sumpah تَاللَّهِ (Demi Allah). Ia bukanlah sekadar sumpah biasa, tetapi satu bentuk sumpah yang jarang digunakan dalam Bahasa Arab yang menandakan emosi yang meluap-luap—seolah-olah gigi sedang diketap dan penumbuk digenggam erat. Kemarahan mereka terhadap cinta bapa mereka kepada Nabi Yusuf yang masih utuh akhirnya meletus.

Satu contoh penggunaan تَاللهِ di dalam Al-Qur’an adalah kata-kata Nabi Ibrahim di dalam Anbiya’:57 iaitu sebelum baginda menghancurkan berhala kaum baginda. Maknanya baginda waktu itu sungguh-sungguh hendak melakukannya.

وَتَاللهِ لَأَكيدَنَّ أَصنٰمَكُم بَعدَ أَن تُوَلّوا مُدبِرينَ
Demi Allah, sesungguhnya aku akan melakukan rancangan terhadap berhala-berhalamu sesudah kamu pergi meninggalkannya.

Nota: perlu diingat yang mereka tidaklah secara verbal menggunakan kalimah تَاللهِ pula kerana mereka bukannya orang Arab. Sekarang Allah yang menterjemahkan kata-kata dan emosi mereka itu ke dalam Bahasa Arab untuk kita faham.

Terdapat satu ironi yang menusuk kalbu dalam ayat ini. Abang-abang Nabi Yusuf memulakan serangan lisan mereka dengan nama Allah (تَاللَّهِ), tetapi hati mereka pada ketika itu dipenuhi dengan kemarahan, cemburu, dan kebencian. Zikir dan ingatan kepada Allah sepatutnya menjadi penawar yang menenangkan hati. Ini Allah telah beritahu dalam Ra’d:28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Namun bagi mereka, ia menjadi alat untuk meluahkan kemarahan. Begitulah nama Allah kadangkala digunakan dengan cara yang salah. Ini adalah cerminan jelas tentang hubungan yang terputus antara lidah (ucapan) dan hati (iman). Seseorang itu boleh sahaja menyebut nama Allah, tetapi jika hatinya masih bergelora dengan perasaan negatif, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan cara dia mengingati Tuhannya. Bagi mereka, perasaan negatif yang dicetuskan oleh rasa bersalah telah mengatasi kebenaran rohani yang sepatutnya berakar dalam diri mereka.

Sebutan nama Allah itu hanya di bibir sahaja bagi mereka. Mereka tidak faham pun apa yang mereka katakan itu dan kerana itu ia tidak sampai ke hati mereka. Dan kita pun mungkin begitu juga. Ini terjadi jikalau kita pun tidak faham pun zikir yang kita lafazkan itu. Ramai yang pakai sebut sahaja berkali-kali. Sebagai contoh, Tasbih Subhanallah itu sebenarnya bermaksud menolak syirik, akan tetapi berapa ramai yang bertasbih tetapi di dalam masa yang sama buat benda syirik seperti meminta kepada selain Allah?

Banyak perkara yang kita dapat belajar dari kisah dalam Surah Yusuf ini. Bukan dari Nabi Yusuf dan Nabi Ya’qub sahaja tetapi dari perbuatan buruk abang-abangnya itu juga, bukan? Bukankah Allah telah beritahu dari awal-awal lagi yang banyak kita boleh dari mereka? Lihat kembali Ayat 7,

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ
Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

Kita belajar dari perbuatan buruk orang supaya kita tidak melakukan perkara yang sama. Kita belajar kenapa mereka jadi begitu supaya kita pun tidaklah terjerumus sama seperti mereka. Maka kerana itu Allah sampaikan satu ayat penuh tentang kata-kata mereka ini supaya kita belajar sesuatu. Surah Yusuf ini adalah surah yang mengandungi penceritaan yang terbaik dan sekarang Allah telah pilih untuk memasukkan kata-kata mereka (dan tidak masuk banyak lagi hal lain) menunjukkan terdapat pengajaran penting di dalam ayat ini. Dalam kita membaca ayat ini, kita mungkin termasuk di dalam salah satu karektor  yang disebut: sama ada kita yang kena atau kita yang mengenakan kepada orang lain! Maka ada pengajaran yang boleh diambil untuk mengubah diri kita.

 

تَفتَؤُاْ تَذڪُرُ يُوسُفَ 

“tidak berhenti kamu mengingati Yusuf, 

Kalimah تَفتَأُ jarang digunakan. Ia dari kata dasar ف ت ا dan hanya ada di dalam ayat ini sahaja. Ia bermaksud berhenti; lupa; pecah; tahan. Sepatutnya kalimat لا ditambah menjadi لا تَفتَؤُاْ akan tetapi diringkaskan menjadi تَفتَؤُاْ sahaja di sini. Penggunaan kalimah yang jarang digunakan menunjukkan mereka sangat terkejut yang bapa mereka masih tidak berhenti lagi dari ingat dan merindu kepada anaknya Yusuf عليه السلام itu (Ha? tidak berhenti ingat lagi?) walaupun setelah sekian lama masa berlalu yang lama. Jadi kejutan mereka itu ditunjukkan di dalam ayat ini dengan penggunaan kalimah yang jarang digunakan.

Mereka nampaknya marah dengan ayah mereka kerana setelah sekian lama, masih lagi ingat (تَذڪُرُ) kepada anak kesayangannya itu. Maknanya usaha mereka dahulu supaya cinta ayah mereka tertumpah kepada mereka tidak menjadi. Ingat apa kata mereka dahulu di dalam Ayat 9?

ٱقتُلُواْ يُوسُفَ أَوِ ٱطرَحُوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبِيكُم
Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tidak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu sahaja

Mereka ini salah faham dengan cinta. Mereka hendak bapa mereka bahagikan sayang mereka kepada mereka sahaja. Kerana mereka anggap cinta itu seperti kepingan pizza pula. Kalau diambil satu slice, sudah kurang pula. Sedangkan cinta itu tidak ada batasan. Boleh sahaja seseorang itu cinta kepada lebih dari seorang.

 

حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا

sehingga engkau menghidap penyakit yang berat 

Kalimah حَرَضًا dari kata dasar yang merujuk kepada keadaan yang hampir musnah, kerosakan, atau hampir mati akibat penyakit yang teruk, kesedihan, atau keletihan. Jadi حَرَضًا bermaksud sakit sampai hampir mati. Nak kata hidup, tidak; nak kata mati pun belum lagi. Atau ia jenis penyakit teruk yang boleh membawa kematian kalau dibiarkan. Para ahli tafsir menjelaskan dalam konteks Nabi Ya’qub AS dengan makna yang berbeza-beza tetapi saling berkaitan:

    • Penyakit Parah: Keadaan sakit yang melampau sehingga merosakkan badan dan mendekatkan kepada kematian.
    • Kelemahan dan Keruntuhan: Kelemahan fizikal dan mental yang ekstrem akibat kesedihan yang tidak kunjung reda.
    • Kehancuran Akal: Ada juga yang menafsirkan ia sebagai kehancuran akal atau hilang kewarasan akibat tekanan emosi yang melampau (walaupun ini tafsiran minoriti, tetapi ia menunjukkan betapa parahnya keadaan yang dirujuk).

Maknanya ia adalah jenis penyakit yang dari mental dan emosi yang sudah lemah. Jadi anak-anak Nabi Ya’qub kata kepada baginda, kalau macam ini, ayah akan jadi sakit tenat nanti yang boleh membawa kepada mati. Di dalam masa yang sama mereka hendak mengatakan kesalahan baginda yang terlalu sangat ikut emosi. Mereka marah pula ayah mereka. Sedangkan merekalah penyebab ayah mereka susah hati dan boleh sampai sakit itu, bukan? Tapi mereka bukannya hendak meredakan kesusahan ayah mereka itu, siap mereka marah lagi! Kadang-kadang kita lihat ada anak-anak yang ayah mereka jatuh sakit. Mereka bukannya menolong ayah mereka menghadapi kesakitan itu, tapi sebaliknya mereka marah ayah mereka kerana buat itu dan ini!

Tapi bukankah sebelum ini telah disebut yang baginda seorang yang sabar? Sakit dan keletihan fizikal yang dialami baginda () adalah kesan semulajadi yang ditanggung oleh tubuh kerana baginda terpaksa menekan kesedihan yang amat mendalam itu di dalam hati selama bertahun-tahun demi menjaga kesabaran dan tidak mengeluh. Kesimpulannya, kesedihan yang melampau sehingga menjejaskan kesihatan fizikal adalah bukti besarnya ujian yang ditanggung oleh baginda, dan bukan tanda kurangnya kesabaran. Sebaliknya, kemampuan baginda menanggung penderitaan sebegitu lama tanpa mengeluh kepada manusia adalah bukti kesabaran yang paling mulia (Ṣabrun Jamīl).

 

أَو تَكُونَ مِنَ ٱلهَـٰلِكِينَ

atau termasuk orang-orang yang binasa”.

Kalimah الهالِكينَ bermaksud mati dengan cara susah, dengan tragis. Mereka kata kalau berterusan, ayah akan mati kalau begini. Dan mati pun jenis yang teruk.

Adakah kita pelik kesedihan sampai boleh membawa mati? Apakah tidak kita baca bagaimana Nabi Muhammad sendiri boleh rasa tertekan dan sedih sampai Allah kata baginda boleh mati kerananya seperti disebut di dalam Kahf:6?

فَلَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ عَلىٰ ءآثٰرِهِم إِن لَّم يُؤمِنوا بِهٰذَا الحَديثِ أَسَفًا
Maka barangkali engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Qur’an ini.

Begitulah kata-kata abang-abang Nabi Yusuf yang seakan-akan marah benar dengan bapa mereka. Namun, kemarahan yang meluap-luap ini bukanlah sekadar luahan rasa jengkel. Secara psikologi, apa yang kita saksikan ialah satu contoh klasik mekanisme pertahanan diri. Kemarahan mereka adalah topeng yang menyembunyikan sesuatu yang jauh lebih dalam: rasa bersalah yang tidak tertanggung dan ketakutan untuk berhadapan dengannya. Mereka tidak sanggup menghadapi betapa dahsyatnya perbuatan kejam mereka terhadap Yusuf puluhan tahun dahulu kerana jika mereka berhenti seketika dan memikirkannya, mereka mungkin akan mengalami kehancuran jiwa. Ketakutan inilah yang menghalang mereka daripada bertaubat.

Apabila Nabi Ya’qub menyebut nama Yusuf, ia seperti cermin yang memantulkan kembali dosa besar mereka. Daripada insaf, mereka memilih untuk ‘membalikkan skrip’. Mereka mengambil langkah menyerang bapa mereka, seolah-olah bapalah yang bersalah kerana membuat mereka berasa tidak selesa. Dinamika ini menukar status mereka daripada pelaku jenayah kepada mangsa keadaan. Ia umpama seorang pencuri yang ditangkap menjerit kepada polis, “Kenapa kamu tangkap saya?”. Dosa yang telah mereka lakukan seolah-olah terpadam, dan mereka telah meyakinkan diri bahawa kini merekalah mangsanya. Mereka menjadi mangsa hanya kerana nama Yusuf disebut.” Ini apa yang budak-budak sekarang pun pandai sebut: ‘play victim’. 

Salah satu pengajaran paling mengejutkan ialah hakikat bahawa Allah memilih untuk merakam perbualan peribadi yang penuh emosi ini di dalam Al-Qur’an, sebuah kitab suci yang akan dibaca sehingga Hari Kiamat. Fikirkan sejenak, ia hanyalah satu pertengkaran dalam sebuah rumah, tanpa saksi, tanpa kamera, tanpa sebarang rakaman. Namun, di sisi Allah, ia adalah satu peristiwa yang amat penting. Ini menunjukkan betapa beratnya timbangan kata-kata kita. Allah menganggap kata-kata kesat yang diluahkan kepada seorang bapa yang sedang bersedih itu sebagai satu jenayah yang perlu dijadikan pengajaran abadi untuk seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman. Perkara yang mungkin kita anggap remeh atau “biasalah hal dalam keluarga” boleh jadi merupakan satu kesalahan yang amat besar di sisi-Nya. Allah memutuskan yang ini adalah satu jenayah yang perlu disebut untuk menjadi pengajaran kepada kita semua. Dan ini mengajar kita bahawa kadangkala, kata-kata adalah jenayah yang sangat serius, yang berlaku tanpa sebarang hukuman di dunia. Dan pengajaran bahawa ada perkara yang kita sangka remeh, tetapi ia sama sekali tidak remeh. Maka ia mengajar kita supaya berhati-hati dengan apa yang keluarkan dari mulut kita ini. 

Pernah Rasulullah mengajar Mu’adz bin Jabal. Setelah baginda menerangkan rukun Islam, baginda bersabda:

Kemudian Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Mahukah kujelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga itu semua?’ Aku menjawab, ‘Mahu, wahai Rasulullah!’ Baginda shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab lalu memegang lidah baginda dan bersabda, ‘Jagalah ini (lisan)!’ Kutanyakan, ‘Wahai Nabi Allah, apakah kita akan diseksa dengan sebab perkataan kita?’ Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab, ‘Semoga ibumu kehilanganmu! (kalimat ini maksudnya adalah untuk memperhatikan ucapan selanjutnya). Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka.’”

[HR. Tirmidzi, no. 2616 dan Ibnu Majah, no. 3973. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan hadits ini hasan]

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan maklumat daripada teks tafsir yang diberikan.

1. Apakah kepentingan penggunaan kalimah تَاللَّهِ oleh anak-anak Nabi Ya’qub apabila bercakap dengan bapa mereka?

2. Nyatakan dua tafsiran yang berbeza mengenai nada dan niat di sebalik kata-kata anak-anak Nabi Ya’qub dalam ayat ini.

3. Menurut teks, tafsiran manakah yang lebih kuat—kemarahan atau kebimbangan—dan apakah bukti yang menyokongnya?

4. Terangkan konsep “mekanisme pertahanan diri” seperti yang diaplikasikan kepada abang-abang Nabi Yusuf dalam situasi ini.

5. Apakah pengajaran utama mengenai adab terhadap ibu bapa yang ditekankan dalam tafsir ini, dengan merujuk kepada Surah al-Isra’ ayat 23?

6. Apakah maksud perkataan حَرَضًا dan bagaimana ia menggambarkan keadaan Nabi Ya’qub?

7. Bagaimanakah teks tafsir ini menjelaskan percanggahan antara sebutan nama Allah di bibir abang-abang Yusuf dan keadaan hati mereka yang dipenuhi kemarahan?

8. Mengapakah Allah memilih untuk merakamkan perbualan keluarga yang peribadi ini di dalam Al-Qur’an, dan apakah pengajaran besar di sebaliknya?

9. Bagaimanakah penderitaan fizikal Nabi Ya’qub yang hampir membawa penyakit berat dilihat sebagai bukti kesabaran yang mulia (Ṣabrun Jamīl) dan bukan tanda kelemahan?

10. Apakah matlamat asal abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka membuangnya, dan bagaimana ingatan berterusan Nabi Ya’qub terhadap Yusuf menunjukkan kegagalan rancangan mereka?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
تَاللَّهِ
Bentuk sumpah dalam Bahasa Arab yang jarang digunakan dan menandakan emosi yang meluap-luap, seperti kejutan atau kemarahan yang amat sangat. Ia lebih kuat daripada sumpah biasa (وَللهِ).
تَفتَؤُاْ
Kalimah yang jarang digunakan bermaksud “berhenti”, “lupa”, atau “menahan”. Penggunaannya dalam ayat ini menunjukkan betapa terkejutnya anak-anak Nabi Ya’qub kerana bapa mereka masih tidak berhenti mengingati Yusuf.
حَرَضًا
Satu keadaan yang hampir musnah, kerosakan, atau hampir mati akibat penyakit yang teruk, kesedihan, atau keletihan yang melampau. Ia merujuk kepada penyakit yang berpunca daripada tekanan mental dan emosi yang boleh membawa maut.
ٱلهَـٰلِكِينَ (الهالِكينَ)
Orang-orang yang binasa atau mati, khususnya dengan cara yang susah atau tragis.
Mekanisme Pertahanan Diri
Konsep psikologi di mana kemarahan seseorang menjadi topeng untuk menyembunyikan perasaan yang lebih dalam dan tidak tertanggung, seperti rasa bersalah dan ketakutan.
Play Victim
Satu keadaan di mana pelaku jenayah atau kesalahan memposisikan diri mereka sebagai mangsa untuk mengelak daripada rasa bersalah dan tanggungjawab atas perbuatan mereka.
Ṣabrun Jamīl
Kesabaran yang paling mulia. Ia merujuk kepada kemampuan seseorang untuk menanggung penderitaan yang amat besar untuk tempoh yang lama tanpa mengeluh kepada manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 85 (Anak memarahi ayah)”

  1. Kunci Jawapan
    1. Penggunaan kalimah تَاللَّهِ adalah penting kerana ia bukan sumpah biasa seperti وَللهِ. Ia menandakan emosi yang meluap-luap, menunjukkan bahawa anak-anak Nabi Ya’qub sangat terkejut dan kehairanan, dan berkemungkinan besar sedang menjerit atau bercakap dengan nada yang amat keras kepada bapa mereka.
    2. Dua tafsiran tersebut ialah: pertama, kata-kata mereka adalah luahan kebimbangan anak-anak yang risau melihat bapa mereka akan jatuh sakit teruk atau meninggal dunia jika terus bersedih. Kedua, ia adalah satu ledakan kemarahan yang berpunca daripada rasa cemburu yang tidak pernah padam terhadap Nabi Yusuf.
    3. Tafsiran yang lebih kuat adalah ledakan kemarahan. Bukti yang menyokongnya ialah penggunaan sumpah تَاللَّهِ yang menunjukkan emosi yang meluap-luap, serta jawapan Nabi Ya’qub dalam Ayat 86 di mana baginda seolah-olah membela diri dengan menjelaskan bahawa baginda hanya mengadu kesedihannya kepada Allah.
    4. “Mekanisme pertahanan diri” merujuk kepada tindakan abang-abang Yusuf yang menggunakan kemarahan sebagai topeng untuk menyembunyikan rasa bersalah yang tidak tertanggung. Daripada menghadapi dosa mereka, mereka menyerang bapa mereka, seolah-olah bapalah yang bersalah kerana membuat mereka berasa tidak selesa, sekali gus menukar status mereka daripada pelaku jenayah kepada mangsa keadaan.
    5. Pengajaran utama ialah kewajipan untuk sentiasa berbuat baik, berlembut, dan bercakap dengan perkataan yang mulia kepada ibu bapa, walaupun dalam keadaan emosi. Surah al-Isra’ ayat 23 melarang sama sekali mengatakan “ah” atau membentak mereka, menekankan betapa pentingnya menjaga hati mereka.
    6. Kalimah حَرَضًا merujuk kepada keadaan yang hampir musnah, kerosakan, atau hampir mati akibat penyakit yang teruk, kesedihan yang melampau, atau keletihan. Ia menggambarkan keadaan Nabi Ya’qub yang sakit tenat dari segi fizikal dan mental akibat kesedihan yang mendalam dan berpanjangan.
    7. Teks menjelaskan bahawa sebutan nama Allah oleh mereka hanyalah di bibir dan tidak sampai ke hati. Ini adalah cerminan hubungan yang terputus antara lidah (ucapan) dan hati (iman), di mana nama Allah digunakan sebagai alat untuk meluahkan kemarahan dan bukannya sebagai penawar yang menenangkan hati.
    8. Allah merakamkan perbualan ini untuk menunjukkan betapa beratnya timbangan kata-kata kita di sisi-Nya dan untuk menjadikan ia pengajaran abadi bagi seluruh umat manusia. Ia mengajar kita bahawa kata-kata kesat yang diluahkan kepada ibu bapa adalah satu jenayah serius, dan perkara yang kita anggap remeh boleh menjadi kesalahan yang amat besar.
    9. Penderitaan fizikal Nabi Ya’qub adalah kesan semula jadi akibat menekan kesedihan yang amat mendalam selama bertahun-tahun demi menjaga kesabaran. Kemampuannya menanggung penderitaan sebegitu lama tanpa mengeluh kepada manusia adalah bukti kesabaran yang paling mulia (Ṣabrun Jamīl), bukan tanda kurangnya kesabaran.
    10. Matlamat asal mereka, seperti disebut dalam Ayat 9, adalah untuk membuang Nabi Yusuf supaya perhatian dan kasih sayang bapa mereka tertumpah sepenuhnya kepada mereka. Ingatan berterusan Nabi Ya’qub terhadap Yusuf membuktikan bahawa rancangan mereka untuk memenangi hati bapa mereka telah gagal sepenuhnya.

    Like

Leave a reply to CelikTafsir Cancel reply