Tafsir Surah Yusuf Ayat 36 (Bergaul dengan banduan)

MIMPI DUA ORANG BANDUAN

Yusuf Ayat 36: Ini adalah keadaan ke 7 – kisah di dalam penjara pula. Dugaan dan ujian yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berterusan dan belum berakhir lagi nampaknya. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk penjara dengan tidak mengetahui bilakah baginda akan keluar. Ia tidak sama dengan keputusan penjara zaman sekarang yang hakim telah tentukan tempoh duduk dalam penjara. Maka kita akan jumpa kisah ta’bir mimpi yang kedua (yang pertama adalah mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri di awal surah).

وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجنَ فَتَيَانِ‌ۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَعصِرُ خَمرًا‌ۖ وَقَالَ ٱلأَخَرُ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَحمِلُ فَوقَ رَأسِى خُبزًا تَأكُلُ ٱلطَّيرُ مِنهُ‌ۖ نَبِّئنَا بِتَأوِيلِهِۦۤ‌ۖ إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there entered the prison with him two young men. One of them said, “Indeed, I have seen myself [in a dream] pressing wine.” The other said, “Indeed, I have seen myself carrying upon my head [some] bread, from which the birds were eating. Inform us of its interpretation; indeed, we see you to be of those who do good.”

(MALAY)

Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memeras anggur”. Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku membawa roti di atas kepalaku, sebahagiannya dimakan burung”. Berikanlah kepada kami ta’birnya; sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang pandai (mena’birkan mimpi).

 

وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجنَ فَتَيانِ

Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. 

Ini adalah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam penjara. Ada dua orang pemuda yang dimasukkan sekali bersama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita tahu mereka itu orang muda kerana kalimah فَتَيانِ yang digunakan. Apa kepentingan dua pemuda ini? Ar-Razi memberi pendapat bahawa mereka berdua ini dimasukkan bersekali dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya ia tidak menjadi isu apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja pemuda yang masuk penjara. Kalau baginda sahaja yang dimasukkan, jadi mungkin ia menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai. Maka mereka yang bertanggungjawab memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara telah mencari orang lain untuk dimasukkan sekali dengan baginda. Kedua-dua banduan ini pula memang ada isu yang boleh dijadikan alasan untuk dimasukkan ke dalam penjara.

Namun begitu di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tidak sebut ‘dua orang penjenayah’ tetapi ‘dua orang pemuda’. Allah ‎ﷻ tidak beritahu pun sama ada mereka itu bersalah atau tidak. Nanti kita akan baca pendapat tentang kisah mereka, akan tetapi itu tidak disebut secara pasti di dalam nas Al-Qur’an atau hadith yang sahih. Jadi ia mengajar kita yang ada orang yang dimasukkan ke dalam penjara, tetapi mereka tidak bersalah pun. Masuk ke dalam penjara bukanlah sesuatu yang menghinakan kerana mungkin masuk itu kerana salahfaham atau dimasukkan oleh pemerintah yang zalim.

Semasa proses dimasukkan ke dalam penjara atau setelah masuk ke dalam penjara, mereka dapat berkenalan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila digunakan kalimah مَعَهُ ia memberi isyarat bahawa mereka masuk lebih kurang sama waktunya. Memang ramai orang lain lagi di dalam penjara itu, tetapi mereka menjadi rapat kerana masuk sekali atau duduk berdekatan di dalam penjara. Oleh kerana mereka telah berkenalan, maka mereka nampak bagaimana akhlak dan sifat baginda. Mereka tahu yang baginda lain daripada yang lain.

Latar belakang dua lelaki ini: Seorang adalah tukang bawa minuman raja dan seorang lagi adalah tukang pembuat roti raja. Raja itu ada yang tidak suka dan mereka telah merancang untuk membunuh Raja Mesir. Yang merancang telah memujuk dua orang yang rapat dengan raja ini untuk melakukan pembunuhan itu. Jadi ada dua percubaan di sini – dengan menggunakan racun pada makanan dan racun dalam minuman raja. Namun akhirnya tukang bawa minuman itu menjadi takut atau berubah hati dan tidak jadi melakukannya. Lalu dia telah beritahu raja akan hal itu supaya jangan makan makanan itu. Apabila ditanya, tukang pembuat roti itu kata dia tidak meletakkan racun ke dalam makanan raja itu tetapi telah memasukkan racun ke dalam air minuman. Maka raja suruh mereka makan dan minum makanan yang dikatakan ada racun itu. Tiada apa yang berlaku kepada tukang bawa minuman sedangkan tukang pembuat roti tentulah tidak berani memakannya. Setelah diberikan kepada binatang, ternyata binatang itu mati. Namun begitu, oleh kerana mereka telah terlibat dalam perancangan pembunuhan tersebut, maka kedua-dua mereka dimasukkan ke dalam penjara sementara menunggu siasatan.

 

قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَعصِرُ خَمرًا‌

Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku memeras arak”. 

Ini adalah kata-kata daripada si tukang pembawa minuman yang tidak jadi meletakkan racun pada minuman raja. Dia telah dimasukkan ke dalam penjara kerana dia ada terlibat juga dalam percubaan membunuh raja itu. Setelah mengenali Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam penjara, tidak lama kemudian dia boleh nampak bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu seorang yang ada kelebihan, maka dia minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpinya. Jadi tidaklah dia bertanya terus apabila masuk penjara itu. Dia memberitahu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dia telah bermimpi yang dia memeras anggur untuk dijadikan wain. Apabila digunakan kalimah أَراني, bermakna dia selalu melihatnya – mimpi berkali-kali benda yang sama. Ini adalah tanda bahawa mimpi itu ada sesuatu maklumat yang Allah ‎ﷻ hendak sampaikan. Kalau mimpi sekali sahaja, itu tidak ada apa sangat.

Ikrimah رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa salah seorang daripada keduanya berkata kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, “Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku menanam biji buah anggur, lalu tanaman itu tumbuh dan mengeluarkan buah anggur yang sangat banyak, lalu aku memerahnya dan memberikan perahan itu kepada raja.

Ayat ini menyebut أَعصِرُ خَمرًا yang dari segi harfiah bermaksud perah arak. Akan tetapi orang bukannya perah arak tetapi perah buah seperti anggur untuk dijadikan arak. Maka ini adalah ayat yang diringkaskan.

Ayat ini hanya menggambarkan bahawa arak wujud dan diminum oleh masyarakat pada zaman itu, iaitu masyarakat Mesir kuno. Al-Qur’an tidak memberikan hukum (halal atau haram) terhadap arak dalam konteks kisah ini. Setiap nabi memiliki syariat (hukum) tersendiri yang mungkin berbeza dengan syariat nabi lain. Hukum arak pada syariat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak diceritakan dalam Al-Qur’an, maka kita tidak dapat memastikannya. Malah pada zaman kenabian Nabi Muhammad ﷺ pun, arak hanya diharamkan setelah sekian lama di Madinah dan bukan dari awal. Kesimpulannya, perbuatan meminum arak pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah satu fakta sejarah yang diceritakan dalam Al-Qur’an, tetapi hukumnya pada zaman itu tidak diketahui. Namun, bagi umat Islam pada hari ini, hukumnya adalah jelas: arak adalah haram berdasarkan dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah yang terang.

 

وَقَالَ ٱلأَخَرُ إِنِّىٓ أَرَٮٰنِىٓ أَحمِلُ فَوقَ رَأسِى خُبزًا

Dan yang lainnya berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi, bahawa aku menjunjung roti di atas kepalaku,

Ini pula adalah mimpi seorang lagi lelaki. Dia adalah lelaki yang meletakkan racun pada makanan raja kerana dia adalah tukang masak jadi dia telah direkrut oleh penentang raja untuk membunuh raja. Dia juga turut bermimpi dan di dalam mimpinya itu, dia menjunjung roti di atas kepalanya. Sebenarnya tidaklah pelik sangat sebab memang dia tukang masak dan tentu selalu buat roti.

 

تَأكُلُ الطَّيرُ مِنهُ

sebahagiannya dimakan burung-burung”.

Kerana roti itu berada di atas kepalanya, ada burung yang mematuk dan memakan roti di atas kepalanya itu. Menarik apabila Allah ‎ﷻ menggunakan burung untuk menyampaikan maklumat. Burung memang selalu digunakan di dalam Al-Qur’an berkaitan dengan kehidupan dan kematian. Sebagai contoh, disebut di dalam Hajj:31 yang memakan bangkai mayat

وَمَن يُشرِك بِاللهِ فَكَأَنَّما خَرَّ مِنَ السَّماءِ فَتَخطَفُهُ الطَّيرُ أَو تَهوي بِهِ الرّيحُ في مَكانٍ سَحيقٍ
Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah dia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.

Contoh tentang kehidupan seperti disebut di dalam Ali Imran:49 tentang mukjizat Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menghidupkan burung,

أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ
“Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah;

Juga di dalam Baqarah:260, Allah ‎ﷻ mengajar Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang kebangkitan semula dengan menggunakan burung,

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Maka di dalam ayat تَأكُلُ الطَّيرُ مِنهُ mengandungi isyarat kepada kematian juga kerana tukang masak ini akhirnya nanti akan dihukum bunuh.

 

نَبِّئنَا بِتَأوِيلِهِۦۤ‌

Beritahulah kepada kami takwilnya; 

Setelah berkenalan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka nampak kelebihan yang ada pada baginda. Jadi mereka berharap supaya baginda dapat menta’bir mimpi mereka itu. Ini kerana mereka rasa tentu ada makna yang hendak disampaikan kerana mereka berkali-kali mimpi perkara yang sama.

 

إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ

sesungguhnya kami memandang engkau termasuk orang-orang yang suka buat baik

Mereka berharap sangat kepada baginda kerana mereka nampak yang baginda adalah orang yang baik, yang hebat, seorang yang muhsin. Di dalam penjara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikenali sebagai orang yang sopan, mesra, dermawan, dapat dipercayai, jujur bicaranya, berakhlak baik, dan banyak ibadahnya. Baginda sentiasa menolong orang yang susah sehingga baginda dikenali sebagai orang yang baik.  Mereka kira sebagai seorang yang ٱلمُحسِنِينَ maka kerana kesucian hati baginda, maka mereka kira baginda boleh mengetahui perkara yang orang lain tidak tahu. Melihat kebaikan dan keikhlasan ini, mereka berdua secara naluriah percaya bahawa orang yang memiliki akhlak semulia itu pasti mempunyai ilmu dan kebolehan yang istimewa. Ringkasnya, kemampuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mentafsir mimpi bukanlah diketahui daripada penghebahan, tetapi melalui aura keimanan dan kebaikan yang terpancar daripada setiap perbuatan baginda, sehingga membuat orang di sekelilingnya percaya dan menghormati baginda.

Selain dikenali mempunyai pengetahuan tentang ta’bir mimpi, baginda selalu memberi semangat kepada penduduk penjara itu, gemar melawat mereka yang sakit, dan selalu memenuhi hak-hak mereka. Tambahan pula rupa paras baginda yang tidak perlu disebut lagi. Baginda memenuhi masa lapang baginda dengan melakukan ibadah. Semua penduduk penjara suka dan rapat dengan baginda sampaikan warden penjara pun sayangkan baginda. Memang di dalam ayat 22 Allah ‎ﷻ telah mengatakan yang baginda adalah seorang yang muhsin,

وَلَمَّا بَلَغَ أَشُدَّهُ ۥۤ ءَاتَينَـٰهُ حُكمًا وَعِلمًا‌ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِى ٱلمُحسِنِينَ
Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Maknanya memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang ٱلمُحسِنِ dan sekarang manusia lain pun boleh nampak. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu sebut pun tetapi Allah ‎ﷻ yang campakkan ke dalam hati mereka bahawa baginda itu baik orangnya. Ada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan dicatat dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim.

“إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ الْعَبْدَ نَادَى جِبْرِيلَ إِنِّي أُحِبُّ فُلاَنًا فَأَحِبَّهُ، فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ، ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ فَيَقُولُ: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلاَنًا فَأَحِبُّوهُ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ، ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ”
“Apabila Allah mencintai seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seraya berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Lantas Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun mencintainya. Kemudian Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyeru kepada penduduk langit (para malaikat), ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia!’ Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian diletakkan baginya penerimaan (rasa cinta) di muka bumi.”

(Sahih Bukhari No. 3209 dan Muslim No. 2637)

Kita telah sebutkan contoh bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sifatnya yang ihsan. Pengajaran bagi kita adalah hendaklah kita menjadi orang yang baik. Apa salahnya tolong orang, cakap dengan baik, senyum dengan orang, cakap baik-baik dengan mereka dan tolong mereka kalau mampu? Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk menjadi orang baik antaranya disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبي هُرَيرةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – : (( كُلُّ سُلامَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقةٌ ، كُلَّ يَوْمٍ تَطلُعُ فِيْهِ الشَّمْسُ : تَعدِلُ بَينَ الاِثْنَيْنِ صَدَقَةٌ ، وَتُعِيْنُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ، فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا ، أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقةٌ ، والكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقةٌ ، وبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمشِيْهَا إِلَى الصَّلاَةِ صَدَقةٌ ، وتُمِيْطُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيْقِ صَدَقَةٌ )) . رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ.
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Setiap persendian manusia diwajibkan untuk bersedekah setiap harinya mulai matahari terbit. Memisahkan (menyelesaikan perkara) antara dua orang (yang berselisih) adalah sedekah. Menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah. Berkata yang baik juga termasuk sedekah. Begitu pula setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah. Serta menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sedekah.”

(Sahih Bukhari No. 2989 dan Muslim No. 1009)

Akan tetapi, bukanlah semua orang akan berlaku baik dengan orang yang baik. Ada orang yang tetap jahat akan terus juga buat onar dengan orang yang baik-baik. Kita telah lihat bagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini benci kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda orang yang baik. Sebab baginda baik dan disayangi oleh bapa mereka, mereka jadi benci pula. Oleh itu, menjadi orang baik ini tidaklah menjamin semua orang akan suka, kerana akan ada juga orang yang akan benci.

Selepas ini kita akan baca kata-kata dakwah daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada dua orang banduan dalam penjara. Tentulah bukan dua orang itu sahaja baginda dakwah. Tentu semua orang baginda telah dakwah, bukan? Agaknya jikalau baginda buat sentap, buat hal sendiri, buat keras dan segala apa benda buruk, adakah orang akan dengar dakwah baginda? Begitu jugalah dengan kita, kalau hendak dakwah, kena jadi orang baik dulu. Kena periksa muka kita jangan ketat, suara jangan garang, bahasa sangat buruk. Kalau semua buruk, apa kita cakap pun orang takkan dengar kerana mereka benci kepada kita. Ingatlah yang kadang orang hendak ikut kita bukan dengan kata-kata kita, tetapi dengan akhlak kita.

Inilah Dakwah bil hal yang lebih baik daripada Dakwah bil Lisan. Dakwah bil hal bermaksud berdakwah melalui perbuatan dan contoh teladan yang baik, bukan sekadar kata-kata. Ia merupakan salah satu bentuk dakwah yang paling berkesan dan praktikal dalam menyebarkan ajaran Islam.

  • Dakwah bil lisan adalah dakwah dengan lisan, seperti ceramah, khutbah, atau nasihat. Ia penting untuk menyampaikan ilmu dan hukum.
  • Dakwah bil hal adalah dakwah dengan perbuatan. Ia lebih kepada menunjukkan keindahan Islam melalui akhlak, tingkah laku, dan kualiti peribadi.

Contoh Hidup: Dakwah bil hal menjadikan individu Muslim itu sendiri sebagai “contoh hidup” bagi ajaran Islam. Apabila seseorang melihat seorang Muslim yang jujur, amanah, prihatin, dan berakhlak mulia, ia akan menimbulkan rasa kagum dan tertarik kepada Islam, tanpa perlu disuruh.

 

Kepentingan Dakwah Bil Hal:

  1. Lebih Berkesan dan Menyentuh: Orang ramai lebih mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka dengar. Perbuatan yang baik mampu menembusi hati dan fikiran, menjadikan mesej Islam lebih mudah diterima.
  2. Membetulkan Persepsi Negatif: Pada masa kini, Islam sering disalahfahami. Dengan menunjukkan akhlak Islam yang sebenar, dakwah bil hal dapat membetulkan persepsi negatif dan menunjukkan Islam sebagai agama yang indah, damai, dan penuh kasih sayang.
  3. Memenuhi Sifat Semulajadi Manusia: Manusia cenderung meniru perbuatan yang mereka lihat baik. Apabila dakwah disampaikan melalui teladan, ia merangsang naluri manusia untuk mencontohi kebaikan.

Contoh-contoh Dakwah Bil Hal dalam Kehidupan Seharian:

  • Bersikap Jujur: Seorang peniaga Muslim yang jujur dalam timbangan, tidak menipu, dan sentiasa menepati janji, akan membuat pelanggannya menghormati Islam.
  • Menjaga Kebersihan: Menjaga kebersihan diri, rumah, dan kawasan awam mencerminkan ajaran Islam yang mementingkan kebersihan. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam adalah agama yang indah.
  • Beradab dan Berbudi Bahasa: Berinteraksi dengan orang lain tanpa mengira latar belakang dengan sopan, menghormati orang tua, dan membantu yang memerlukan adalah contoh dakwah bil hal yang sangat kuat.
  • Menepati Masa: Menepati janji temu atau komitmen menunjukkan disiplin dan integriti, yang merupakan nilai-nilai Islam.

Dakwah bil hal bukanlah pilihan, tetapi merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Ia adalah amalan yang mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja, dan pada bila-bila masa. Ia membuktikan bahawa Islam tidak hanya teori, tetapi sebuah cara hidup yang sempurna.

Kita perhatikan ramai yang lagaknya seolah-olah tidak sesuai jadi pendakwah. Dengan bahasa yang kasar, perli, memekik, menghina dan sebagainya, memang tidak patut langsung hendak berdakwah kepada orang. Sedangkan di dalam Al-Qur’an banyak diajar cara-cara dakwah. Antaranya dengan bahasa yang lembut seperti disebut di dalam Isra’:53

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُواْ ٱلَّتِى هِىَ أَحسَنُ‌ۚ إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ يَنزَغُ بَينَہُم إِنَّ ٱلشَّيطَـٰنَ كَانَ لِلإِنسَـٰنِ عَدُوًّا مُّبِينًا
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

 

Kuiz Pemahaman

Arahan: Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Jelaskan mengapa kehadiran dua pemuda lain bersama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di penjara adalah penting menurut tafsiran.
  2. Huraikan secara ringkas mimpi pertama yang diceritakan oleh salah seorang pemuda kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  3. Apakah maksud kalimah فَتَيانِ yang digunakan untuk merujuk kepada dua banduan tersebut dan apa implikasinya?
  4. Nyatakan dua ciri keperibadian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menyebabkan banduan lain mempercayai dan meminta baginda mentafsir mimpi mereka.
  5. Bagaimana Al-Qur’an menggunakan simbol burung dalam konteks lain untuk menyampaikan maklumat berkaitan kehidupan dan kematian?
  6. Terangkan mengapa teks menegaskan bahawa hukum arak pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sama dengan hukum arak dalam Islam hari ini.
  7. Apakah konsep “Dakwah bil Hal” dan mengapa ia dianggap lebih berkesan daripada “Dakwah bil Lisan”?
  8. Berikan dua contoh bagaimana Dakwah bil Hal boleh diamalkan dalam kehidupan seharian seorang Muslim.
  9. Mengapakah penting untuk berdakwah dengan bahasa yang lembut dan perkataan yang baik, seperti yang disebut dalam Surah Isra’:53?
  10. Berdasarkan teks, adakah kebaikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjamin semua orang akan menyukainya? Jelaskan.

Glosari Kata Kunci

  • Ta’bir Mimpi: Mentafsirkan atau menjelaskan makna di sebalik mimpi. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianugerahkan kebolehan ini.
  • Dakwah bil Hal: Berdakwah melalui perbuatan, akhlak, dan teladan yang baik, tanpa perlu banyak berkata-kata.
  • Dakwah bil Lisan: Berdakwah melalui kata-kata, ceramah, nasihat, atau ucapan.
  • Allahu a’lam: “Allah lebih mengetahui” – frasa yang sering digunakan untuk menyatakan kerendahan hati dalam pengetahuan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 18 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 36 (Bergaul dengan banduan)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Kehadiran dua pemuda lain bersama Nabi Yusuf AS penting kerana ia mengelakkan persoalan jika Nabi Yusuf sahaja dipenjarakan. Ia juga menunjukkan bahawa tidak semua yang dipenjarakan bersalah, dan masuk penjara bukanlah satu penghinaan.
    2. Mimpi pertama yang diceritakan ialah pemuda itu melihat dirinya memeras anggur untuk dijadikan arak. Mimpi ini sering berulang, menunjukkan bahawa ia membawa maklumat penting yang Allah ingin sampaikan.
    3. Kalimah فَتَيانِ merujuk kepada “dua orang pemuda,” bukan “penjenayah.” Ini mengajar kita bahawa ada orang yang dipenjarakan walaupun tidak bersalah, mungkin kerana salah faham atau oleh pemerintah yang zalim.
    4. Dua ciri keperibadian Nabi Yusuf AS adalah baginda dikenali sebagai orang yang sopan, mesra, dermawan, dapat dipercayai, jujur bicaranya, berakhlak baik, dan banyak ibadahnya. Baginda sentiasa menolong orang yang susah sehingga baginda dikenali sebagai orang yang baik.
    5. Al-Quran mengaitkan burung dengan kehidupan dan kematian melalui contoh seperti burung yang memakan bangkai (Hajj:31) sebagai simbol kematian, dan mukjizat Nabi Isa yang menghidupkan burung (Ali Imran:49) serta pengajaran Allah kepada Nabi Ibrahim tentang kebangkitan semula menggunakan burung (Baqarah:260).
    6. Teks menegaskan hukum arak pada zaman Nabi Yusuf AS tidak diceritakan dalam Al-Quran, dan syariat nabi-nabi mungkin berbeza. Bagi umat Islam hari ini, arak adalah haram secara jelas berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah, yang diharamkan setelah sekian lama di Madinah.
    7. Dakwah bil Hal adalah berdakwah melalui perbuatan dan contoh teladan yang baik, bukan sekadar kata-kata. Ia dianggap lebih berkesan kerana orang ramai lebih mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat daripada apa yang mereka dengar, dan ia mampu menembusi hati dan fikiran.
    8. Dua contoh Dakwah bil Hal adalah bersikap jujur dalam perniagaan (timbangan, janji) yang akan membuat pelanggan menghormati Islam, dan menjaga kebersihan diri serta kawasan awam yang mencerminkan ajaran Islam yang mementingkan kebersihan.
    9. Penting untuk berdakwah dengan bahasa yang lembut dan perkataan yang baik kerana syaitan suka menimbulkan perselisihan antara manusia, seperti yang disebut dalam Surah Isra’:53. Bahasa yang kasar, perli, atau menghina akan menyebabkan orang tidak mahu mendengar dakwah kita.
    10. Tidak, kebaikan Nabi Yusuf AS tidak menjamin semua orang akan menyukainya. Teks menyebutkan bahawa abang-abang Nabi Yusuf membenci baginda walaupun baginda orang yang baik, menunjukkan bahawa akan selalu ada orang yang tetap jahat atau benci terhadap orang yang berbuat baik.

    Like

Leave a comment