Tafsir Surah Yusuf Ayat 27 – 29 (Penyekatan Maklumat)

Yusuf Ayat 27: Sambung hujah lelaki ini yang menjadi bukti jelas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah.

وَإِن كَانَ قَمِيصُهُ ۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ فَكَذَبَت وَهُوَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if his shirt is torn from the back, then she has lied, and he is of the truthful.”

(MALAY)

Dan jika bajunya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar”.

 

وَإِن كَانَ قَمِيصُهُ ۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ فَكَذَبَت

Dan jika bajunya dikoyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta,

Sebaliknya, jikalau baju itu koyak di bahagian belakang, maka wanita itu yang berdusta – kerana ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lari dan wanita itu yang mengejar baginda dari arah belakang dan dialah yang menarik baju itu sampai terkoyak.

 

وَهُوَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ

dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang benar”.

Lihat semula bahagian baju yang terkoyak itu. Kalau benar koyak dari belakang, maka yang benar adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau perasan, hujung dua ayat ini tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sama ada baginda مِنَ الكٰذِبينَ atau مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ. Sekiranya baju koyak di hadapan, baginda مِنَ الكٰذِبينَ; jikalau baju koyak di belakang, مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ. Tidak disebut pun tentang perempuan itu menipu atau benar. Ini adalah kerana baginda yang sedang dihakimi sekarang, jadi penilaian adalah tentang baginda.

Daripada kata-kata lelaki ini, maka nampak jelaslah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah. Begitulah cara keadilan ditegakkan dengan bukti dan pemikiran yang kritis. Maka bagi pihak berwajib seperti polis dan mahkamah, eloklah mengambil tauladan ini supaya dapat meningkatkan penyiasatan dan penghakiman. Gunakanlah apa cara sahaja untuk mencari kebenaran dalam mana-mana kes, terutama sekali sekarang sudah ada banyak kemajuan dalam ilmu sains jenayah. Jangan hanya percayakan kata-kata manusia sahaja yang dengan mudah menuduh. Tuduhan palsu dari zaman dahulu lagi sudah ada seperti yang kita sedang perhatikan daripada wanita isteri Al-Aziz ini.

Perhatikan lelaki yang menjadi saksi di dalam ayat ini memberikan bukti jenis aqli (rasional) dan pemikiran, bukan pandangan saksi. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa qarinah (atau bukti keadaan – circumstantial evidence) boleh digunakan dalam mahkamah, termasuk di Mahkamah Syariah di Malaysia. Konsep qarinah ini diiktiraf dalam sistem perundangan Islam dan telah diterapkan dalam perundangan di Malaysia. Dalam sistem kehakiman, bukti terbahagi kepada dua jenis utama:

  1. Bukti Langsung (Syahadah atau Iqrar): Ini adalah bukti yang secara langsung menunjukkan suatu fakta, seperti pengakuan (iqrar) atau kesaksian mata (syahadah).
  2. Bukti Keadaan (Qarinah): Ini adalah bukti tidak langsung, di mana suatu fakta disimpulkan melalui keadaan sekeliling yang berkaitan. Ia adalah tanda-tanda atau petunjuk yang logik dan kuat.

Para ulama Islam sering menggunakan qarinah dalam membuat keputusan. Contohnya, hukuman rejam yang dijatuhkan ke atas wanita yang hamil tanpa suami dianggap sebagai qarinah yang kuat bahawa dia telah melakukan zina, walaupun tanpa saksi mata.

Walaupun qarinah diterima, para ulama berbeza pendapat tentang sejauh mana ia boleh digunakan, terutamanya dalam kes-kes hudud dan qisas yang melibatkan hukuman berat.

  • Perbezaan Pandangan: Ada ulama yang berpendapat qarinah tidak boleh digunakan untuk menjatuhkan hukuman hudud kerana ia memerlukan bukti yang sangat pasti (yaqin). Walau bagaimanapun, pendapat lain menyatakan bahawa jika qarinah itu sangat kuat dan meyakinkan sehingga mencapai tahap yaqin (keyakinan mutlak), ia boleh digunakan.
  • Penggunaan Dalam Kes Ta’zir: Majoriti ulama bersetuju bahawa qarinah boleh digunakan sepenuhnya dalam kes ta’zir (hukuman yang tidak ditetapkan secara spesifik oleh syarak) dan kes-kes sivil.


 

Yusuf Ayat 28:

فَلَمَّا رَءَا قَمِيصَهُ ۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ ۥ مِن ڪَيدِكُنَّ‌ۖ إِنَّ كَيدَكُنَّ عَظِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when he [i.e., her husband] saw his shirt torn from the back, he said, “Indeed, it is of your [i.e., women’s] plan. Indeed, your plan is great [i.e., vehement].

(MALAY)

Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: “Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”.

 

فَلَمَّا رَءَا قَمِيصَهُ ۥ قُدَّ مِن دُبُرٍ

Maka tatkala suami wanita itu melihat baju Yusuf koyak di belakang,

Dan memang ternyata apabila dilihat pada baju, ia koyak di bahagian belakang. Juga kalimah رَءَا boleh juga digunakan oleh pandangan hati dan akal. Ia bermaksud menteri itu akhirnya faham situasi sebenar setelah diberikan hujah oleh lelaki yang daripada keluarga isterinya itu. Maka tahulah menteri itu, siapakah yang bersalah. Akan tetapi yang menghairankan, apabila dia sudah tahu, dia tidak menghukum isterinya pula. Jadi kita cuba kupas agaknya apa yang bermain di dalam fikirannya.

 

قالَ إِنَّهُ مِن كَيدِكُنَّ

Dia berkata: “Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kamu,

Ayat yang kita sedang bincangkan ini mungkin agak sensitif terutama sekali kepada orang perempuan. Namun begitu, kita perlu jujur dalam menyampaikan ilmu. Kalau ada perbincangan yang telah ada tentang sesuatu ayat itu relevan dengan kehendak kita untuk faham ayat-ayat Allah, maka kita kena sampaikan. Di dalam ayat ini disebut yang menteri itu cuma menegur sifat perempuan yang memang selalu buat begitu. Tiada nada ragu dan marah di dalam kata-katanya ini. Jadi mungkin dia ini jenis suami yang tidak ada rasa cemburu dengan isterinya, mungkin dia tidak kisah, tidak ada rasa sayang sangat kepada isterinya itu. Atau, mungkin juga dia adalah seorang yang sangat pemaaf, mungkin juga.

Atau, dia seorang ahli politik, lebih mementingkan pandangan orang awam terhadap dirinya. Malulah dia kalau berita itu tersebar merata. Contohnya orang boleh kritik dia: Bagaimana orang hendak percaya kalau dia menjadi Menteri Kewangan, rumah sendiri pun tidak boleh diurus? Maknanya sebagai ahli politik, dia lebih mementingkan statusnya di mata manusia berbanding kes isterinya yang suka kepada lelaki lain. Itu semua tolak tepi janji pilihanraya nanti, aku diundi lagi. Begitu bukan, ahli politik zaman sekarang pun? Mereka bukan kisah susah payah orang lain, asalkan mereka tetap terpilih lagi. Mereka tidak kisah menjatuhkan nama baik orang lain, asalkan nama mereka suci murni dan dipandang tinggi. Bermacam-macam taktik ahli politik akan buat supaya mereka dipandang orang baik, orang warak. Pernah sekali saya hendak solat Jumaat dan kebetulan ada ahli parlimen sekali di saf hadapan. Saya perhatikan dengan pelik pekerjanya yang sibuk mengambil gambar tuannya si ahli parlimen itu sedang solat Jumaat bermula dengan angkat takbir! Tentu untuk dimasukkan ke media sosial mereka. Betapa pentingnya untuk dipamerkan kepada masyarakat: Tengoklah waraknya ahli parlimen ini wahai manusia!

Maka akhirnya dia cuma kata perempuan memang selalu membuat rancangan. Akan tetapi apakah yang dimaksudkan dengan dhomir ه di dalam إِنَّهُ ini? Mungkin ia merujuk kepada rancangan wanita itu yang menggunakan drama dan tangisan untuk menyelamatkan dirinya. Dalam kes isterinya itu, walaupun telah ‘terkantoi’ di muka pintu, akan tetapi cepat sahaja dia menyalahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ada sahaja akalnya. Maka ini mengajar kita supaya jangan terus senang percaya kepada orang perempuan. Juga mengajar orang perempuan supaya jangan ambil kesempatan.

Namun perhatikan, dia bukan khusus bercakap tentang isterinya itu sahaja tetapi ditujukan kepada semua wanita kerana kalimah yang digunakan adalah كَيدِكُنَّ (kalian wanita). Maknanya perkara ini adalah satu perkara yang umum yang telah diketahui selalu dilakukan oleh para wanita. Jadi nampaknya dia hendak meringankan kesalahan isterinya itu. Kerana kalau ramai orang buat, tidaklah teruk sangat isterinya itu.

 

إِنَّ كَيدَكُنَّ عَظيمٌ

sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar”.

Menteri itu kata, semua perempuan macam itu. Ada sahaja hal dengan mereka yang menyusahkan orang lain. Ada sahaja tipu daya mereka untuk menyelamatkan diri sendiri dan dapat untung. Tindakan mereka dan kata-kata mereka sukar untuk difahami. Mereka juga berselindung di sebalik rupa yang lemah dan lembut sampaikan orang boleh tertipu. Begitulah oleh kerana mereka tidak ada kekuatan tubuh badan, maka mereka menggunakan tangisan dan pujuk rayu.

Juga perhatikan kata-katanya ini yang dinaqalkan oleh Allah ‎ﷻ. Kalimah yang digunakan adalah kalimah عَظيمٌ (besar, hebat) dan sekarang bandingkan dengan tipu daya syaitan pula seperti disebut di dalam Nisa:76

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah

Perhatikan tipu daya syaitan yang kita sangka sudah hebat itu pun dikatakan ضَعِيفًا (lemah) sedangkan tipu daya orang perempuan dikatakan عَظيمٌ! Begitulah besarnya kerosakan dalam dunia ini disebabkan oleh wanita. Ada keluarga porak peranda, ada syarikat runtuh begitu sahaja dan ada negara berperang kerana perempuan! Kerana itu kalau perempuan bermaharajalelawati (saya reka istilah baru), habislah!

Wah, kalau wanita yang sedang membaca tafsiran ini, tentu rasa tidak selesa, bukan? Tentu rasa tidak mahu teruskan membaca kerana keras sangat tafsirannya. Sabar dahulu kerana walaupun pendapat ini ada di dalam kitab tafsiran ulama’, akan tetapi ia dikritik. Perhatikan siapa yang berkata di dalam dua ayat ini. Kalau ayat Nisa’:76 itu adalah kata-kata Allah sedangkan kata-kata dalam ayat Surah Yusuf ini (إِنَّ كَيدَكُنَّ عَظيمٌ) adalah kata-kata Al-Aziz itu sahaja dan bukannya kalam Allah. Allah ‎ﷻ cuma naqalkan kata dia sahaja dan tidak semestinya benar semuanya. Takkanlah semua wanita buruk sedangkan kalau wanita itu solehah, maka itulah nikmat yang besar seperti sabda Rasulullah ﷺ. Hadith ini diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

عَن عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
“Daripada Abdullah bin ‘Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.'”

(Riwayat Muslim No. 1467)

Jadi bukanlah semua wanita mempunyai tipu daya yang merbahaya. Kalau wanita itu jujur, maka janganlah terasa pula. Tambahan pula Al-Aziz ini kata كَيدَكُنَّ yang merujuk kepada wanita, tetapi wanita yang mana? Adakah semua wanita? Kalimah كُنَّ merujuk kepada kumpulan wanita yang spesifik kerana dia tidak kata كَيدَ النسأ. Jadi kita boleh katakan yang dia sebenarnya merujuk kepada wanita-wanita elit di negerinya itu. Mereka itu yang sama sahaja dan ada sahaja hal dengan mereka. Kerja mereka adalah merancang bagaimana mereka akan dapat apa yang mereka inginkan, tidak kira apa kesannya terhadap orang lain.

Kata-kata suaminya ini agak menghairankan; sudah terang-terang isterinya bersalah akan tetapi seolah-olah dilepaskan begitu sahaja. Kalau suami lain yang menghadapi perkara ini, tentu mereka sudah marah habis. Perhatikan dia tujukan semua perempuan begitu dan tidak khusus kepada isterinya itu. Seolah-olah ia sebagai satu pembenaran, iaitu perempuan itu buat begitu kerana memang semua perempuan pun begitu juga. Jadi tidak salah kalau kita tertanya: kenapa dia begitu? Berkemungkinan, kerana dia seorang ahli politik dan dia juga ada kesalahan dia sendiri (seperti tidak mengendahkan isterinya itu selama ini). Atau entah dia sendiri juga ada rahsia yang isteri dia simpan, jadi dia sendiri takut dengan isterinya itu. Oleh kerana dia seorang pemimpin dan dikenali dalam masyarakat, dia takut namanya terpalit dengan skandal dan dia jadi bahan ejekan dalam masyarakat pula. Maka dia hendak senyapkan sahaja perkara ini supaya habis di sini sahaja.

Atau, kemungkinan juga dia terlalu cintakan isterinya itu, sampai kesalahan isterinya itu dimaafkan atau ditoleransi asalkan isterinya tidak meninggalkannya. Atau, dia mungkin juga takut dengan isterinya itu. Maka al-Aziz itu boleh dianggap sebagai dayus kerana tidak menghukum isterinya. Keadaan di Mesir pada masa itu adalah para isteri menguasai suami. Keadaan zaman sekarang, bagaimana agaknya? Itulah orang kata Geng Takut Bini (GTB). Kalau dia tidak kisah akan apa yang terjadi dengan isterinya itu, dia adalah seorang yang dayus dan dayus tidak akan masuk syurga. Perhatikan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:

ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَنْظُرُ اللَّهُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الْعَاقُّ بِوَالِدَيْهِ، وَالْمَرْأَةُ الْمُتَرَجِّلَةُ، وَالدَّيُّوثُ، وَثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ: الْمُدْمِنُ الْخَمْرِ، وَالْعَاقُّ بِوَالِدَيْهِ، وَالدَّيُّوثُ
“Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga, dan Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat: Anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, wanita yang menyerupai lelaki, dan dayus. Dan tiga golongan yang tidak akan masuk syurga: Peminum arak, anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, dan dayus.”

Riwayat An-Nasa’i No. 2562. Status: Hadith ini dinilai sebagai hasan (baik) oleh sebahagian ulama hadith.

Beberapa riwayat lain juga menyebutkan maksud dayus, seperti yang disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:

قَالَوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الدَّيُّوثُ؟ قَالَ: “الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخَلَ عَلَى أَهْلِهِ”
“Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah maksud dayus?’ Baginda menjawab: ‘Iaitu seorang lelaki yang tidak mengambil berat (tidak kisah) siapa yang masuk (bergaul) dengan ahli keluarganya.'”

(Musnad Ahmad No. 5372) Status: Sahih (Al-Albani)

Syarah: Hadith-hadith ini jelas menunjukkan bahawa sifat dayus adalah satu dosa besar yang boleh menghalang seseorang daripada masuk syurga, dan ia merujuk kepada sikap seorang lelaki yang membiarkan ahli keluarganya terjebak dalam maksiat tanpa rasa cemburu atau ambil peduli. Berdasarkan hadith ini dan penjelasan para ulama, istilah dayus membawa beberapa maksud penting:

    1. Tidak Mempunyai Sikap Cemburu (Ghirah): Cemburu yang dimaksudkan di sini adalah cemburu yang terpuji dalam menjaga kehormatan diri, isteri, dan ahli keluarga daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah ‎ﷻ.
    2. Membelakangkan Maksiat: Seorang dayus adalah lelaki yang tidak kisah apabila melihat ahli keluarganya (isteri, anak perempuan, ibu, atau adik-beradik perempuan) melakukan maksiat atau perbuatan haram.
    3. Membiarkan Aurat Terbuka: Dia membiarkan ahli keluarganya mendedahkan aurat, bergaul bebas dengan lelaki bukan mahram, atau terlibat dalam pergaulan yang boleh menimbulkan fitnah.

 

Yusuf Ayat 29:

يُوسُفُ أَعرِض عَن هَـٰذَا‌ۚ وَٱستَغفِرِى لِذَنۢبِكِ‌ۖ إِنَّكِ ڪُنتِ مِنَ ٱلخَاطِـِٔينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Joseph, ignore this.¹ And, [my wife], ask forgiveness for your sin. Indeed, you were of the sinful.”

  • i.e., conceal it and act as if it had not taken place.

(MALAY)

(Hai) Yusuf: “Berpalinglah daripada ini, dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah”.

 

يُوسُفُ أَعرِض عَن هَـٰذَا‌

(Hai) Yusuf: “Berpalinglah daripada ini,

Sekarang menteri itu berpaling dan bercakap dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perhatikan di sini dia sebut nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidaklah dia gunakan panggilan ‘budak’, ‘hamba’ dan sebagainya. Ia memberi isyarat kedekatannya dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah tidak ada kalimah يا (wahai) yang hanya menjauhkan antara dia dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka dia terus sebut nama sahaja. Dia nampaknya hendak memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dia cakap dengan lembut dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan suruh baginda lupakan, maknanya dia hendak mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah dengannya kerana bukanlah salah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Buat-buat tidak tahu, buat macam biasa sahaja selepas ini seolah-olah tidak apa-apa berlaku.

Kalimah أَعرِض bermaksud berpaling. Dalam ayat ini bermaksud, tutup matalah sahaja, tidak payah kecoh-kecoh, buat senyap sahaja. Maka menteri itu hendak senyapkan keadaan. Jangan sampai isu ini jadi viral pula, jadi habiskan di sini sahaja. Tidak perlu bising-bising dan kecoh-kecoh. Dia pun serba salah juga untuk buat keputusan dalam hal ini. Ini kerana kalau dia ikut nasihat isterinya untuk menangkap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, nanti kisah itu akan tersebar dan pasti ada skandal yang melibatkan isi rumahnya. Namun, pada masa yang sama, dia tidak berani hendak menghukum isterinya kerana takut dengan isterinya itu jadi dia minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ buat senyap sahaja, lupakan sahaja apa yang terjadi. Biar habis di sini sahaja, tidak perlu untuk dipanjang-panjangkan lagi.

Melalui ayat ini juga kita boleh kenal yang Al-Aziz ini juga ada masalah. Isterinya tidak baik, dia juga tidak baik kerana dia hendak menutup kebenaran. Begitulah dari dulu lagi ada sahaja orang yang hendak menutup sesuatu isu daripada tersebar kerana hendak menjaga nama, menjaga orang tertentu, tidak mahu rakyat tahu kerana takut rakyat memberontak. Malah yang selalu buat perkara ini adalah orang yang mempunyai kuasa dan wang kerana mereka sahaja yang mampu diamkan pemberita, pekerja dan malah polis juga. Sebagai contoh, banyak kes buli berlaku di sekolah semenjak dulu sampai sekarang dan pihak sekolah selalunya akan berbincang dengan ibu bapa untuk senyapkan sahaja perkara itu. Hasilnya amat buruk sekali kerana kes buli akan berleluasa malah mengakibatkan budak-budak hingusan yang membuli itu selamat dan mereka tidak takut untuk membuli lagi. Budak-budak jahat di sekolah lain pun tidak takut kerana mereka tidak dengar pun pembuli ditangkap dan dihadapkan di mahkamah. Sepatutnya kita mesti jadikan pembuli yang ditangkap sebagai berita utama supaya pembuli takut untuk membuli dan budak yang dibuli berani mendedahkan dia dibuli. Namun begitulah, selagi pembuli diselamatkan dengan tidak didedahkan kisah mereka, selagi itu pembuli akan terus bermaharajalela. Kerana budak-budak akan tetapi menjadi budak-budak dan akan ada sahaja yang hormonnya hendak membuli.

Sekolah dan pendirinya pula takut untuk mendedahkan kes buli yang terjadi kerana mereka mahu mengekalkan rekod sekolah mereka suci murni, seolah-olah tidak ada kes buli. Mereka ini juga jadi ‘enabler’ kepada pembuli juga. Mereka bukannya hendak tegakkan kebenaran, tetapi mahukan nama suci dan tidak dipanggil oleh Jabatan Pendidikan dan menjelaskan kenapa buli boleh berlaku. Kementerian Pendidikan pun dengan tidak bijaknya menawarkan imbuhan kalau seolah sifar buli. Ini akan menyebabkan Cobra effect yang akan menyebabkan pihak sekolah semakin bertekad akan menyembunyikan kes buli di sekolah kerana inginkan imbuhan itu.

Walaupun niatnya untuk senyapkan perkara ini, tetapi bukankah di rumah itu ada ramai lagi yang tahu? Termasuklah pembantu-pembantu rumah yang lain. Bolehkah dia hendak menutup mulut semua orang? Seperti yang kita tahu, skandal memang susah hendak dijaga. Orang memang suka bercerita tentang perkara ini.

 

وَٱستَغفِرِى لِذَنۢبِكِ‌

dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu,

Sekarang dia berpaling bercakap kembali kepada isterinya itu. Perhatikan dia sebelum ini menegur isterinya (mengatakan itu semua adalah tipu helah wanita) dan kemudian dia bercakap dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang dia kembali menoleh kepada isterinya dan menegurnya kembali. Oleh kerana dia sedar yang isterinya yang bersalah dalam perkara ini, dia suruh isterinya itu bertaubat dan minta maaf kepada Yusuf  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana memang dia yang bersalah. Dia juga perlu minta maaf kepada suaminya.

Kalau kalimah ٱستَغفِرِ, selalunya kita istighfar kepada Allah ‎ﷻ, bukan? Adakah mereka ini beriman? Adakah mereka kenal Allah ‎ﷻ? Ini pun diperbincangkan. Ia tidak mustahil kerana ada sahaja manusia yang kenal Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan akan tetapi mereka masih melakukan syirik juga. Lagi pun kita telah lihat di dalam ayat 23 sebelum ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan wanita itu kepada Allah ‎ﷻ dengan kalimah قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ‌?

 

إِنَّكِ ڪُنتِ مِنَ ٱلخَاطِـِٔينَ

kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah”.

Kalimah الخاطِئينَ daripada خطأ (silap). Dalam bahasa Arab, terdapat perbezaan ketara antara dua kata yang membawa maksud “bersalah” atau “berdosa”. Kalimah الْخَاطِئُونَ (al-khāṭi’ūn) yang digunakan ini merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan atau dosa dengan sengaja dan sedar dan ia telah dirancang sebelum itu (ada mala fide). Ia menunjukkan niat yang buruk dan kejahatan yang terancang. Ia berbeza kalau digunakan kalimah الْمُصِيبُونَ (al-muṣībūn) yang merujuk kepada orang yang melakukan kesalahan secara tidak sengaja atau tidak disengajakan. Kesalahan itu berlaku tanpa niat yang jahat.

Akan tetapi dia tidaklah mengatakan isterinya bersalah namun sebahagian daripada orang yang bersalah. Maknanya, dia tidak mahu menyalahkan isterinya sahaja. Ramai lagi orang yang buat salah, bukan isterinya sahaja. Maknanya, dia sedang bermain politik kerana dia takut hendak bagi isterinya marah. Memang takut isteri juga dia ini.

Habis Ruku’ 3 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Bagaimana koyakan pada baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi bukti penting dalam kes ini?
  2. Apakah perbezaan utama antara bukti langsung (syahadah/iqrar) dan bukti keadaan (qarinah) menurut tafsiran ini?
  3. Berikan satu contoh bagaimana qarinah digunakan dalam perundangan Islam, seperti yang disebutkan di atas.
  4. Mengapa Al-Aziz menyamakan kejadian itu dengan “tipu daya kamu” dan ditujukan kepada “kamu (wanita)” secara umum, bukan hanya isterinya?
  5. Apakah perbandingan yang menarik dibuat antara “tipu daya wanita” dengan “tipu daya syaitan” dalam tafsiran ini?
  6. Sebutkan dua kemungkinan motif yang disebut dalam tafsiran mengapa Al-Aziz tidak menghukum isterinya walaupun jelas bersalah.
  7. Menurut hadis, apakah maksud utama sifat dayus?
  8. Apakah implikasi sifat dayus terhadap seseorang di akhirat?
  9. Mengapakah Al-Aziz menyuruh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk “berpalinglah daripada ini” (melupakan kejadian itu)?
  10. Apakah perbezaan antara kalimah الْخَاطِئُونَ (al-khāṭi’ūn) dan الْمُصِيبُونَ (al-muṣībūn) seperti yang dijelaskan dalam tafsiran?

Glosari Istilah Utama

  • Al-Aziz (العزيز): Gelaran yang bermaksud “Yang Maha Mulia” atau “Yang Berkuasa”; dalam konteks kisah Yusuf, ia merujuk kepada menteri kewangan Mesir atau pembesar istana.
  • Qamiş (قميص): Kemeja atau baju.
  • Aqli (عقلي): Rasional, berdasarkan akal atau pemikiran.
  • Qarinah (قرينة): Bukti keadaan (circumstantial evidence); tanda-tanda atau petunjuk logik yang kuat yang digunakan untuk membuat kesimpulan tentang suatu fakta.
  • Syahadah (شهادة): Kesaksian mata.
  • Iqrar (إقرار): Pengakuan.
  • Hudud (حدود): Hukuman-hukuman yang telah ditetapkan secara spesifik oleh Syarak (undang-undang Islam) untuk jenayah tertentu.
  • Qisas (قصاص): Hukuman pembalasan yang setimpal dalam kes jenayah yang melibatkan nyawa atau anggota badan.
  • Ta’zir (تعزير): Hukuman yang tidak ditetapkan secara spesifik oleh Syarak, yang mana kadarnya ditentukan oleh hakim mengikut budi bicara.
  • Dhomir (ضمير): Kata ganti nama.
  • Dhomir ه (hu): Kata ganti nama merujuk kepada sesuatu yang tunggal.
  • Dayus (ديوث): Seorang lelaki yang tidak mempunyai sifat cemburu (ghirah) dan tidak mengambil berat apabila ahli keluarganya (isteri, anak perempuan, dll.) melakukan maksiat atau perbuatan haram.
  • Ghirah (غيرة): Sikap cemburu yang terpuji dalam menjaga kehormatan diri dan ahli keluarga.
  • Mala fide: Niat buruk.
  • Cobra effect: Kesan yang tidak diingini atau bertentangan dengan niat asal sesuatu insentif, menyebabkan masalah menjadi lebih teruk.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 September 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 27 – 29 (Penyekatan Maklumat)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Koyakan pada kemeja di bahagian belakang menunjukkan Nabi Yusuf AS melarikan diri dan wanita itu mengejarnya dari belakang lalu menarik bajunya. Ini membuktikan Nabi Yusuf AS tidak bersalah dan wanita itu berdusta.
    2. Bukti langsung (syahadah/iqrar) secara langsung menunjukkan fakta (pengakuan/kesaksian mata), manakala bukti keadaan (qarinah) adalah bukti tidak langsung di mana fakta disimpulkan melalui petunjuk logik di sekeliling.
    3. Contohnya, hukuman rejam ke atas wanita hamil tanpa suami dianggap sebagai qarinah kuat bahawa dia telah melakukan zina, walaupun tanpa saksi mata langsung.
    4. Al-Aziz menggunakan kalimah umum “kalian wanita” (kaydikkunna) untuk meringankan kesalahan isterinya, seolah-olah perbuatan itu adalah sifat umum wanita. Ini menunjukkan dia ingin menormalisasikan perbuatan isterinya.
    5. Tipu daya wanita disebut “besar” (‘azīm) oleh Al-Aziz, berbanding tipu daya syaitan yang disebut “lemah” (ḍa’īfā) dalam Surah An-Nisa’:76. Namun, tafsiran menekankan bahawa kata-kata Al-Aziz ini bukan Kalam Allah dan perlu dikritik.
    6. Dua kemungkinan motif adalah: dia mungkin seorang ahli politik yang mementingkan statusnya di mata awam dan takut skandal, atau dia mungkin sangat takut kepada isterinya.
    7. Maksud utama dayus adalah seorang lelaki yang tidak mengambil berat atau tidak kisah apabila ahli keluarganya (isteri, anak perempuan, dll.) melakukan maksiat atau terlibat dalam pergaulan yang haram.
    8. Sifat dayus adalah dosa besar yang boleh menghalang seseorang daripada masuk syurga dan Allah tidak akan memandang mereka pada Hari Kiamat.
    9. Al-Aziz menyuruh Nabi Yusuf AS melupakan kejadian itu untuk menyenyapkan keadaan, mengelak isu itu menjadi viral atau skandal yang mencemarkan nama baiknya sebagai ahli politik.
    10. الْخَاطِئُونَ (al-khāṭi’ūn) merujuk kepada kesalahan yang dilakukan dengan sengaja dan sedar (niat buruk), manakala الْمُصِيبُونَ (al-muṣībūn) merujuk kepada kesalahan yang tidak disengajakan atau tanpa niat jahat.

    Like

Leave a comment