Tafsir Surah Yusuf Ayat 19 – 20 (Nabi Yusuf dijual)

NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DIJUAL SEBAGAI HAMBA

Yusuf Ayat 19: Ini adalah keadaan ke 4. Ia adalah berkenaan permulaan kepada perpindahan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke Mesir. Ayat 18 sebelum ini adalah kali terakhir Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berada di Kana’an, tempat kelahiran baginda. Sekarang kita di dalam babak di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang berada di dalam telaga dengan duduk di atas batu supaya tidak tenggelam. Kita akan baca bagaimana baginda akan dijumpai oleh kafilah dagang yang melalui kawasan itu. Dalam riwayat ada disebut yang adik beradik baginda masih ada berdekatan telaga itu. Mereka tetap tunggu untuk memerhatikan apa yang akan berlaku. Maknanya mereka bimbang juga – ada perasaan belas kepada adik mereka juga.

وَجآءَت سَيّارَةٌ فَأَرسَلوا وارِدَهُم فَأَدلىٰ دَلوَهُ ۖ قالَ يٰبُشرىٰ هٰذا غُلٰمٌ ۚ وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً ۚ وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there came a company of travelers; then they sent their water drawer, and he let down his bucket. He said, “Good news! Here is a boy.” And they concealed him, [taking him] as merchandise;¹ and Allāh was Knowing of what they did.

  • To be sold as a slave.

(MALAY)

Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir, lalu mereka menyuruh seorang pengambil air, maka dia menurunkan timbanya, dia berkata: “Oh; khabar gembira, ini seorang anak muda!” Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

 

وَجآءَت سَيّارَةٌ

Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir,

Sekarang lensa kisah ini (kalau kita bayangkan kisah ini seolah filem dalam fikiran kita) berubah ke dalam telaga pula. Harf و dalam وَجاءَت ini sebagai tanda permulaan episod yang baru. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang berada di dalam telaga itu dalam kegelapan dan tentu dalam kesejukan (berkemungkinan besar tidak berbaju juga kerana telah diambil oleh abang-abangnya dijadikan sebagai bukti kepada bapa mereka). Baginda tidak tahu apa yang terjadi selepas itu. Maka datanglah satu kelompok musafir pedagang setelah berapa hari pun kita tidak tahu. Beberapa ahli tafsir dan sejarawan Islam, berdasarkan riwayat-riwayat lain, menyebutkan bahawa kafilah ini berasal daripada kaum Madyan atau kaum Bani Ismail (Orang Arab). Mereka adalah pedagang-pedagang yang sering berdagang di laluan antara Syam (Palestin) dan Mesir.

Kalimah سَيّارَةٌ dalam ayat ini bukanlah kereta seperti yang digunakan dalam bahasa Arab moden, tetapi kafilah iaitu rombongan pedagang. Ia adalah rombongan perniagaan yang bermusafir dalam perdagangan yang bergerak dari satu tempat ke satu. Dalam perjalanan mereka, tentunya mereka mencari kawasan yang ada telaga yang dapat mereka mendapat bekalan air.

Mereka mungkin sudah tahu di kawasan itu ada satu telaga buta. Atau, ada juga pendapat yang mengatakan mereka tersesat sebenarnya dan setelah jalan punya jalan, terjumpalah telaga itu ketika mencari air. Adakah ia kebetulan? Mana ada kebetulan kerana semuanya di dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Seperti kata Albert Einstein: “God does not play dice with the universe”. Semua ini adalah perancangan halus Allah ‎ﷻ yang merancang kisah yang kita baca ini. Kita baca kisah ini setelah ia terjadi, bukan? Namun yang merancangnya adalah Allah ‎ﷻ untuk memberi pengajaran kepada kita. Allah ‎ﷻ lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki seperti firman Allah ‎ﷻ dalam Burooj:16

فَعّالٌ لِّما يُريدُ
Dia berbuat apa yang dikehendaki-Nya.

 

فَأَرسَلوا وارِدَهُم فَأَدلىٰ دَلوَهُ

lalu mereka mengutus pengambil air, maka dia menurunkan timbanya,

Mereka telah menghantar seseorang yang tugasnya mencari air untuk mencari air atau melihat-lihat kawasan itu. Kalimah وارِدَ daripada kata dasar و ر د yang mempunyai banyak makna. Antaranya berkaitan tempat air minum, orang yang mengambil air, yang sampai, yang memimpin. Kadang-kadang kita dengar ustaz cakap: “Telah warid kepada kita” maknanya telah sampai dalil kepada kita sama ada ayat Al-Qur’an, hadis atau riwayat. Jadi وارِدَ itu adalah orang yang berjalan di hadapan kafilah yang menjaga keperluan kafilah itu, antaranya untuk mendapatkan air. Apabila dia menemui perigi itu, maka dia turunkan timbanya. Dikatakan دَلوَهُ ‘timbanya’ kerana tidak ada timba di tempat itu kerana seperti kita telah sebut, telaga itu adalah telaga di perjalanan yang tidak ramai orang datang. Maka kena bawa timba sendiri.

Kalimah أَدلىٰ dalam ayat ini boleh ditafsirkan sebagai “menurunkan dengan perlahan” kerana makna linguistiknya merujuk kepada satu perbuatan yang memerlukan ketelitian dan kawalan. Perkataan أَدلىٰ berasal daripada kata (دَلْوٌ), yang bermaksud tali dan timba (baldi) yang digunakan untuk mengambil air dari perigi atau telaga. Apabila seseorang hendak mengambil air dari telaga yang dalam, mereka tidak akan menjatuhkan timba tersebut secara mendadak. Sebaliknya, mereka akan menurunkan timba itu dengan berhati-hati dan terkawal menggunakan tali, agar timba tidak pecah atau tersangkut, dan dapat mencedok air dengan sempurna di permukaan air. Oleh itu, kalimah أَدلىٰ secara linguistik menggambarkan seluruh proses yang teliti ini—iaitu perbuatan menurunkan timba ke dalam telaga secara perlahan dan terkawal, bukan sekadar menjatuhkannya. Penggunaan kalimah ini adalah bukti keindahan dan ketepatan bahasa Al-Quran. Allah ‎ﷻ tidak menggunakan perkataan lain seperti رَمَىٰ yang bermaksud “melemparkan” atau “mencampak”. Sekiranya kalimah itu digunakan, ia akan membawa makna yang kasar dan tidak teratur. Jadi jangan bayangkan timba itu dilemparkan ke dalam telaga sampai boleh menyebabkan terkena kepala Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula.

Apabila timba itu turun, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bergantung pada timba itu, dan ini mungkin atas arahan abang-abang baginda juga. Mereka sudah ajar baginda awal-awal lagi apa perlu dibuat kalau orang datang ke situ. Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ redha sahaja dengan apa yang terjadi dengannya kerana Allah ‎ﷻ sudah ilhamkan kepada baginda yang akhirnya nanti baginda akan mendapat kesenangan. Lagipun kalau baginda hendak lari pun, bagaimana dan ke mana? Sekiranya baginda berjumpa dengan orang yang kenal dengan baginda, tentu ini akan memalukan keluarga baginda juga. Oleh itu baginda sudah terima hakikat yang baginda memang tidak boleh pulang ke rumah. Bagaimana hendak pulang ke rumah lagi, sedangkan adik beradik sendiri tidak suka?

 

قالَ يٰبُشرىٰ هٰذا غُلٰمٌ

dia berkata: “Wah alangkah gembiranya, ini seorang anak muda!”

Orang yang menaikkan timba itu berkata: يا بُشرىٰ bermaksud dia terkejut dalam kegembiraan kerana bukan air yang naik tetapi seorang budak. Dia gembira kerana budak yang dia angkat dengan timba itu nampak elok benar. Memang tidak perlu diberitahu lagi yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah fseorang yang diberikan keindahan rupa bentuk. Jadi mungkin dia nampak peluang untuk menjual budak yang comel itu sebagai hamba.

Kalimah غُلٰمٌ merujuk kepada anak muda yang berusia antara 10 – 20 tahun. Memang ada pendapat yang mengatakan ketika kejadian ini baginda berusia 17 tahun. Akan tetapi ia tidak dapat dipastikan dengan dalil. Namun kalau berumur 17 tahun, sudah agak berusia dan takkanlah hanya disuruh menjaga barangan sahaja dan ditakuti dimakan serigala seperti disebut di dalam ayat yang lepas-lepas. Maka kerana itu Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ mengagak usia baginda ketika itu adalah 14 tahun. Kerana selepas peringkat غُلٰمٌ berlalu, digunakan istilah فتى bagi yang lebih berumur daripada غُلٰمٌ dan akhirnya setelah benar dewasa, digunakan istilah رجل bagi lelaki dewasa.

 

وَأَسَرّوهُ بِضٰعَةً

Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan. 

Kalimah أَسَرّوهُ bermaksud mereka cepat-cepat menyembunyikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana takut orang lain ambil. Ini seperti orang yang sorok barang curi, atau terjumpa barang bernilai kepunyaan orang lain. Mereka akan cepat-cepat sorok supaya orang lain tidak nampak mereka ambil barang itu. Mereka juga takut kalau-kalau ahli keluarga budak itu akan datang mencari atau tuannya datang (kerana mereka mungkin telah menganggap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai hamba kerana tidak berbaju).

Mereka menganggap baginda sebagai ضاعَةً (barang dagangan). Sampai 6 kali kalimah ini digunakan di dalam surah ini nanti. Maknanya zaman dahulu lagi sudah ada ‘perdagangan manusia’. Sekarang kita tahu dari dahulu lagi sudah ada aktiviti ini. Itu adalah kebiasaan pada zaman itu. Kalau ada dijumpai budak yang jauh daripada keluarganya, mereka akan tangkap dan jual. Pemerdagangan manusia memang telah lama dilakukan dan sampai sekarang pun masih berlaku. Bak kata dalam filem P. Ramlee,

Akan tetapi siapakah yang menyembunyikan? Adakah keseluruhan kafilah itu? Apabila digunakan kalimah وارِدَهُم, ia mungkin merujuk kepada pembantu kepada kafilah itu. وارِدَهُم itu adalah pekerja bawahan yang ditugaskan antaranya mencari air. Mereka bukanlah seorang sahaja menunjukkan bukanlah sebahagian daripada kafilah perdagangan itu tetapi hanya sebagai pekerja dan pembantu sahaja. Jadi mereka bukanlah orang yang kaya. Kerana itu di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ tambah kalimah وارِدَهُم sebagai satu karektor di dalam kisah ini kerana mereka itu penting di dalam jalan cerita. Jadi apabila mereka jumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka nampak peluang mereka untuk buat duit. Oleh itu, merekalah yang menyembunyikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada majikan mereka.

Lihat penggunaan kalimah ضٰعَةً yang digunakan. Ia daripada kata dasar ب ض ع yang kita telah sebut sebagai barang dagangan. Akan tetapi ia juga bermaksud bahagian yang dipotong daripada bahagian yang besar. Maka mereka ini mengambil bahagian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sebagai barang mereka, dan bukan daripada keseluruhan barang dagangan kafilah itu. Menariknya kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah dipisahkan (dipotong) daripada keluarga baginda juga dan kali ini dipisahkan lagi. Begitulah yang berlaku apabila sudah hilang sifat belas kasihan kepada manusia. Mereka bukannya hendak cari siapa ibubapa budak itu tetapi terus fikir cara bagaimana hendak buat duit sahaja.

 

وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Allah ‎ﷻ tahu apa yang mereka lakukan, dan Allah ‎ﷻ akan tanya mereka tentang penculikan mereka itu. Begitulah kita semua akan ditanya nanti dengan apa yang kita lakukan. Mereka itu semua bersalah kerana mereka sama-sama bersubahat. Walaupun yang angkat itu seorang sahaja, tetapi yang lain bersetuju hendak buat apa yang mereka telah buat.

Ia juga merujuk kembali kepada perbuatan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ‎ﷻ juga Maha Tahu perbuatan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka telah melakukan satu perbuatan yang amat buruk sekali. Mereka sanggup membuang adik mereka sendiri untuk diambil oleh orang lain. Mereka buat itu hanya kerana hendak mendapatkan kasih ayah mereka.

Kisah apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi pujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ. Ketika surah ini diturunkan, mereka mendapat tentangan dan tekanan yang amat teruk daripada Musyrikin Mekah. Sudah semestinya mereka merasa amat hiba dan takut dengan apa yang sedang berlaku. Akan tetapi sekarang Allah ‎ﷻ beritahu bahawa apa sahaja yang terjadi kepada mereka itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ, bukannya Allah ‎ﷻ tidak tahu. Sebaliknya ia adalah sebagai ujian dan kelak sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan berada di atas, mereka juga akan berada di atas juga nanti. Orang lemah tidak semestinya sentiasa lemah sebagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menjadi hamba yang akhirnya menjadi menteri kesayangan raja.

Mereka tidak sedar apa yang mereka sedang lakukan ini adalah rantaian peristiwa yang memberi kesan yang besar akhirnya nanti. Iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi orang yang menyelamatkan Mesir daripada kemarau dan membawa keseluruhan Bani Israil ke Mesir. Namu di sinilah permulaannya. Kalau kita bandingkan dengan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kisah baginda bermula dengan Firaun yang membuat keputusan membunuh anak-anak lelaki keturunan Bani Israil dan rantaian dari telah menyebabkan baginda dibawa terus ke istananya. Begitulah perancangan Allah ‎ﷻ.


 

Yusuf Ayat 20:

وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ وَڪَانُواْ فِيهِ مِنَ ٱلزّٰهِدِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they sold him for a reduced price – a few dirhams – and they were, concerning him, of those content with little.

(MALAY)

Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja, dan mereka merasa cukup dalam hal ini.

 

وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ

Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham yang boleh dikira,

Kalimah بَخسٍ bermaksud ‘sangat-sangat murah’. Murah sampaikan boleh dikatakan beri percuma sahaja. Macam barang bernilai RM10,000 tetapi dijual dengan harga RM100 sahaja. Contohnya kalau barang curi, orang yang curi itu tidak jual dengan mahal pun kerana dia hendakkan duit cepat dan dia tidak mahu orang banyak tanya. Orang kita kata ‘barang panas’. Ini juga kerana mereka tidak tahu kedudukan baginda dan kenabian baginda dan nilai baginda. Maka kerana itu mereka jual cepat-cepat.

Maksud دَراهِمَ مَعدودَةٍ adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijual dengan harga 20 dirham sahaja (menurut Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan juga dalam Bible). Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, orang Arab apabila berdagang dengan barang yang banyak, mereka akan timbang beratnya. Jikalau sedikit, mereka akan menggunakan cara kiraan. Oleh itu apabila disebut مَعدودَةٍ, ia bermaksud mereka menggunakan cara kiraan dan cara ini digunakan bagi nilai yang kurang daripada nilai 40. Jadi harga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika itu kurang daripada 40 dirham sahaja. Adakah bilangan ini sedikit? Tidaklah sedikit sangat kerana 20 dirham itu adalah hasil yang hanya didapati oleh para petani setelah bekerja dua tiga tahun. Jadi tidaklah sikit sangat akan tetapi kalau dibandingkan dengan harga sebenar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentulah tidak terbanding.

Jadi yang menjadi isu perbincangan adalah bagaimana manusia yang pentingkan wang, melihat segala-galanya sebagai komoditi untuk menambahkan kekayaan diri mereka. Mereka tidak fikir lagi tentang keselamatan manusia, kesusahan manusia. Yang menjual Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukannya hendak menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi hendak buat duit. Big Pharma pula membuat ubat bukannya hendak selamatkan manusia tetapi hendak buat duit di atas kesusahan orang. Mereka buat ubat itu murah sahaja tetapi mereka jual dengan mahal untuk buat keuntungan berganda-ganda. Mereka bukannya fikirkan orang yang sakit itu mampu beli atau tidak, yang penting boleh buat duit. Pembuat makanan pula, tidak kisahkan bahan yang mereka gunakan di dalam makanan segera itu sihat atau tidak, asalkan ia sedap di tekak manusia dan mereka buat untung. Jadi ini adalah isu kemanusiaan sebenarnya yang telah berlangsung turun temurun.

 

وَكانوا فيهِ مِنَ الزّٰهِدينَ

dan adalah mereka dalam hal ini termasuk orang-orang yang tidak berminat.

Kalimah الزّاهِدينَ bermaksud ambil sesuatu setakat ada sahaja. Ia daripada kata dasar yang sama juga datang kalimah ‘zuhud’ dan Zahid Hamidi iaitu ز ه د. Ia bermaksud melepaskan, mengelak, tidak mendambakan, kadar, bilangan, tidak berminat kerana nilai yang rendah, menilaikan sesuatu sebagai sedikit, tidak suka kepada sesuatu, bilangan yang sedikit, lembah yang hanya ada air yang sedikit. Kalau zuhud di dalam agama Islam, ia bermaksud seseorang yang yang tidak berminat dengan dunia, banyak berzikir kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan hanya berminat kepada agama dan akhirat.

Apabila digunakan kalimah الزّاهِدينَ bagi mereka, ia bermaksud mereka tidak berminat dengan nilai yang mereka dapat dalam menjual Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya, mereka tidak kisah berapa harga mereka dapat kerana pada mereka, baginda tidak bernilai sangat bagi mereka. Nampak macam mereka tidak kisah dengan harta pula (dan bukankah sifat zuhud adalah sifat yang baik, bukan?). Namun sebenarnya, Allah ‎ﷻ perli mereka dalam ayat ini. Mereka menjual dengan murah itu kerana hendak cepat sahaja sebab mereka takut ditangkap sebenarnya, bukan kerana mereka pemurah. Mereka juga tidak tahu nilai sebenar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana itu mereka jual mur-mur sahaja.

Ada juga yang kata, abang-abang baginda yang jual dengan harga murah. Ini adalah pendapat Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Kisahnya, setelah mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam telaga, mereka tidak pergi terus tetapi terus berada di tempat yang berdekatan sambil mengendap untuk melihat apa yang terjadi. Apabila mereka nampak ada orang mengangkat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari telaga itu, mereka cepat-cepat datang dan kata itu adalah hamba mereka yang selalu sahaja lari daripada mereka. Mereka sudah tidak mahu hendak simpan dia lagi dan mereka hendak jual sahaja dia dan kerana sudah tidak suka, mereka hendak menjualnya dengan harga yang murah sahaja. Ini kerana mereka kata malas hendak jaga lagi kerana selalu sahaja lari.

Maka mereka menjual dengan harga sangat murah kerana waktu itu mereka bukan berminat pada duit tetapi mereka berhajat untuk menghilangkan sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka. Mereka kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah hamba mereka kerana mereka tahu yang orang tidak akan beli orang merdeka. Dengan menjual harga murah begitu, maka hajat mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada pandangan ayah mereka tercapai. Tujuan mereka menghilangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah kerana mereka mahukan ayah mereka sayang kepada mereka, namun itu tidak berjaya. Nanti ayah mereka lebih benci terhadap mereka malah masih tetap sayang dan teringat-ingat kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun kisah ini tidak selari dengan kisah yang disebut di dalam Al-Qur’an. Di dalam Al-Qur’an, setelah mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam telaga, mereka terus pergi kepada bapa mereka. Bagi mereka yang hendak jamakkan (gabungkan) dengan sumber Israiliyyat itu, mereka beri pendapat setelah mereka menipu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka buat alasan untuk pergi semula ke kawasan telaga itu. Sejujurnya kisah daripada Al-Qur’an lebih menenangkan hati. Lagi pun itulah tujuan Allah ‎ﷻ menceritakan kisah ini semula di dalam Al-Qur’an untuk memberi naratif yang sebenarnya.

Membaca kisah apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memang menyayat hati kita; bagaimana seorang Nabi diperlakukan sedemikian rupa. Namun begitu tahukah anda yang kisah ini masih berjalan lagi? Berapa ramai kanak-kanak yang diculik daripada ibu bapa mereka setiap hari dan dipaksa menjadi hamba, diperah tenaga mereka di dalam berbagai pekerjaan (termasuk pelacuran) atau diambil organ mereka? Allah ‎ﷻ pilih seorang Nabi-Nya untuk mengalami kesusahan ini supaya kita menjadi cakna dengan isu ini dan melakukan apa yang kita boleh untuk mengelaknya daripada berlaku.

Sekian Ruku’ 2 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

Kuiz (Soalan Pendek)

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Bagaimana keadaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digambarkan di dalam telaga sebelum ditemui oleh kafilah?
  2. Siapakah “pengambil air” (وارِدَهُم) yang disebut dalam ayat 19, dan apakah tugas utamanya?
  3. Mengapakah kalimah “أَدلىٰ” (menurunkan dengan perlahan) digunakan untuk menggambarkan perbuatan menurunkan timba, dan bukan perkataan lain seperti “رَمَىٰ”?
  4. Apakah reaksi pengambil air apabila menemui Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam timba?
  5. Apakah yang dimaksudkan dengan “غُلٰمٌ” dalam konteks ayat ini, dan apakah anggaran usia Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu?
  6. Mengapa kafilah itu menyembunyikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai “barang dagangan” (بِضٰعَةً)?
  7. Apakah kepentingan frasa “وَاللهُ عَليمٌ بِما يَعمَلونَ” (Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan) dalam konteks ayat 19?
  8. Terangkan maksud “بِثَمَنٍ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدودَةٍ” berkaitan dengan penjualan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  9. Bagaimanakah istilah “الزّٰهِدينَ” (orang-orang yang tidak berminat) digunakan dalam ayat 20, dan apakah maknanya dalam konteks penjualan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  10. Apakah kaitan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini dengan keadaan Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat pada waktu Surah Yusuf diturunkan?

 

Glosari Istilah Utama

  • Kana’an: Tempat kelahiran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sebuah wilayah purba di Timur Tengah.
  • Mesir: Negara tempat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipindahkan dan akhirnya menjadi menteri.
  • Kafilah: Rombongan pedagang atau musafir yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada kumpulan pedagang yang menemui Nabi Yusuf di telaga.
  • يا بُشرىٰ (Ya Bushra): Ungkapan kegembiraan atau “Oh, khabar gembira!”.
  • غُلٰمٌ (Ghulam): Anak muda atau remaja, biasanya berusia antara 10 hingga 20 tahun.
  • بِضٰعَةً (Bidha’ah): Barang dagangan atau komoditi yang diniagakan. Dalam kisah ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dianggap sebagai barang dagangan.
  • الزّٰهِدينَ (Az-Zaahideen): Orang-orang yang tidak berminat, yang melepaskan, atau tidak mendambakan sesuatu. Dalam konteks ini, ia bermaksud mereka yang tidak kisah dengan harga murah yang diterima, bukan kerana zuhud tetapi kerana ingin cepat menyingkirkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau takut ditangkap.
  • Zuhud: Konsep dalam Islam yang merujuk kepada sikap tidak berminat terhadap dunia atau harta benda, dan lebih fokus kepada akhirat. Dalam ayat ini, penggunaannya adalah perli.
  • Ruku’: Pembahagian surah dalam Al-Qur’an yang selalunya menandakan satu unit makna atau tema.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 17 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 19 – 20 (Nabi Yusuf dijual)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Nabi Yusuf a.s. digambarkan berada di dalam telaga dalam kegelapan dan kesejukan, tidak mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya. Beliau duduk di atas batu untuk mengelakkan diri dari tenggelam.
    2. Pengambil air (وارِدَهُم) adalah pekerja bawahan dalam kafilah yang ditugaskan untuk mencari air dan menjaga keperluan kafilah. Mereka bukanlah sebahagian daripada pedagang kaya, tetapi nampak peluang untuk membuat wang apabila menemui Nabi Yusuf.
    3. Kalimah “أَدلىٰ” digunakan untuk menggambarkan tindakan menurunkan timba secara berhati-hati dan terkawal, bukan sekadar menjatuhkannya. Ini kerana mengambil air dari telaga memerlukan ketelitian agar timba tidak rosak dan dapat mencedok air dengan sempurna.
    4. Pengambil air terkejut dalam kegembiraan apabila menemui seorang budak lelaki yang tampan di dalam timba. Dia melihat peluang untuk menjual budak yang comel itu sebagai hamba, berbanding hanya mendapatkan air.
    5. “غُلٰمٌ” merujuk kepada anak muda berusia antara 10-20 tahun. Menurut Sayyid Quthub, usia Nabi Yusuf a.s. pada waktu itu dianggarkan sekitar 14 tahun, kerana beliau masih dalam peringkat ‘ghulam’ dan belum ‘fata’ atau ‘rajul’.
    6. Mereka menyembunyikan Nabi Yusuf a.s. sebagai barang dagangan kerana takut orang lain mengambilnya atau keluarga budak itu datang mencari. Mereka menganggap baginda sebagai barang bernilai yang boleh dijual, sama seperti barang curi yang disorok.
    7. Frasa ini menegaskan bahawa Allah Maha Mengetahui segala perbuatan yang dilakukan oleh kafilah dan abang-abang Nabi Yusuf. Ia memberi peringatan bahawa setiap tindakan akan dipertanggungjawabkan dan menjadi pujukan bagi mereka yang teraniaya bahawa Allah mengetahui nasib mereka.
    8. Ini bermaksud Nabi Yusuf a.s. dijual dengan harga yang sangat murah, hampir percuma, iaitu beberapa dirham sahaja yang boleh dikira. Harga yang disebut ialah sekitar 20 dirham, yang walaupun bukan terlalu sedikit untuk petani pada masa itu, sangat rendah berbanding nilai sebenar seorang manusia, apatah lagi seorang Nabi.
    9. Kalimah “الزّٰهِدينَ” di sini merujuk kepada orang yang tidak berminat atau tidak kisah dengan nilai yang mereka dapat dari penjualan Nabi Yusuf. Ia adalah sindiran Allah kerana mereka menjual murah bukan kerana pemurah, tetapi kerana ingin cepat menghilangkan baginda dan takut ditangkap, serta tidak mengetahui nilai sebenar baginda.
    10. Kisah ini menjadi pujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat yang menghadapi tekanan dari Musyrikin Mekah. Ia memberi pengajaran bahawa kesusahan yang dialami adalah dalam perancangan Allah, dan sebagaimana Nabi Yusuf dari hamba menjadi menteri, mereka juga akan mencapai kemenangan dan kedudukan tinggi akhirnya.

    Like

Leave a comment