MEMALSUKAN KEMATIAN NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Yusuf Ayat 16: Ini adalah kisah selepas mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang kita akan baca bagaimana mereka melakukan helah terhadap ayah mereka.
وَجَآءُوٓ أَبَاهُم عِشَآءً يَبكُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they came to their father at night, weeping.
(MALAY)
Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di malam hari sambil menangis.
وَجَآءُوٓ أَبَاهُم عِشَآءً
Dan mereka datang kepada ayah mereka di malam hari
Mereka pulang pada waktu malam berjumpa ayah mereka. Kebiasaannya mereka pulang pada waktu petang. Begitulah jikalau mereka kata pergi berkelah atau bermain pun, mestilah di siang hari, bukan? Akan tetapi mereka sengaja memilih untuk pulang pada waktu malam kerana takut jiran-jiran nampak tidak ada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan banyak pula persoalan yang timbul nanti. Lagi pun kalau orang berbuat jahat, mereka hendak menjaga air muka mereka juga supaya tidak nampak yang mereka sedang menipu. Mereka pun mungkin pertama kali buat benda jahat sebegini jadi mereka pun rasa malu juga. Mereka juga boleh membuat alasan seolah-olah mereka telah sibuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang hilang sampai mereka balik lewat. Lagi satu, kalau sudah malam, sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Katakanlah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendesak mereka untuk patah balik dan mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka boleh membuat alasan tidak boleh keluar lagi kerana susah untuk mencari di waktu malam.
يَبكونَ
sambil menangis
Mereka mengadap ayah mereka sambil konon-konon menangis. Dalam istilah dipanggil ‘crocodile tears’, menangis yang dibuat-buat. Mereka hanya berlakon menangis, bukan betul-betul pun kerana semua tahu apa yang terjadi. Mereka memperlihatkan seakan-akan mereka kecewa dan sedih atas nasib yang dialami oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka meminta maaf atas apa yang telah menimpa Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sesuai dengan rancangan yang mereka buat. Maka ini mengajar kita jangan percaya kepada tangisan orang sangat kerana tangisan itu boleh dibuat-buat. Manusia akan cuba menggunakan emosi untuk menipu kita kerana umumnya emosi memainkan peranan di dalam membuat keputusan. Kita pun selalunya kalau orang menangis di hadapan kita pun, kita akan gelabah, bukan? Jangan. Jangan percaya sangat tangisan orang kerana anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun menipu dengan cara menangis. Nanti kita akan baca nanti tangisan isteri al-Aziz juga digunakan untuk menipu.
Ini adalah dalil hujah bagi kita untuk jangan terus percaya orang yang menangis. Ini kerana menangis boleh dibuat-buat. Orang bersalah pun boleh juga menangis. Anak-anak kecil kita pun selalu juga menggunakan modal menangis bukan untuk minta barang permainan? Jangan terkesan dengan tangisan orang.
Ada juga pendapat yang mengatakan mereka memang menangis dengan ikhlas kerana menyesal perbuatan mereka terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya mereka ada juga maruah dan walaupun telah melakukan kesalahan, mereka selepas itu telah menyesal.
Begitulah penipuan mereka yang entah kali ke berapa kita baca di dalam kisah mereka ini. Begitulah kalau sudah mula menipu maka akan terus menipu kerana penipuan seterusnya perlu untuk menutup penipuan yang pertama. Maka ini mengajar kita janganlah mula menipu kerana akan jadi masalah bertambah besar.
Yusuf Ayat 17: Perhatikan kata-kata mereka yang mengandungi pengajaran kepada kita.
قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبنَا نَستَبِقُ وَتَرَڪنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَـٰعِنَا فَأَڪَلَهُ ٱلذِّئبُۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنَا وَلَو ڪُنَّا صَـٰدِقِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “O our father, indeed we went racing each other and left Joseph with our possessions, and a wolf ate him. But you would not believe us, even if we were truthful.”
(MALAY)
Mereka berkata: “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala; dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.
قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَآ
Mereka berkata: “Wahai ayah kami,
Sekarang kita akan baca alasan dan tipu helah mereka. Mereka membuat cerita tipu kepada ayah mereka. Mereka sedang merayu-rayu dalam lakonan mereka.
إِنّا ذَهَبنا نَستَبِقُ
sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba
Mereka kata mereka berlumba lari sesama mereka. Atau lumba memanah dan ini tidaklah salah. Malah ulama’ di sini membincangkan hukum berlumba lari. Ia dibenarkan kerana ia bagus untuk kesihatan. Malah Rasulullah ﷺ sendiri berlumba lari dengan isterinya A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: “خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ، وَأَنَا جَارِيَةٌ لَمْ أَحْمِلْ اللَّحْمَ وَلَمْ أَبْدُنْ، فَقَالَ لِأَصْحَابِهِ: تَقَدَّمُوا، فَتَقَدَّمُوا، ثُمَّ قَالَ لِي: تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ، فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ، فَسَكَتَ عَنِّي. حَتَّى إِذَا حَمَلْتُ اللَّحْمَ وَبَدُنْتُ خَرَجْتُ مَعَهُ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ، فَقَالَ لِأَصْحَابِهِ: تَقَدَّمُوا، فَتَقَدَّمُوا، ثُمَّ قَالَ لِي: تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ، فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقَنِي، فَضَرَبَ عَلَى مَنْكِبِي، وَقَالَ: هَذِهِ بِتِلْكَ السَّبْقَةِ”
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: “Aku keluar bersama Nabi ﷺ dalam sebahagian perjalanannya. Pada ketika itu, aku masih seorang gadis yang belum berbadan berisi. Baginda berkata kepada para sahabat: ‘Berjalanlah di hadapan.’ Lalu mereka pun berjalan di hadapan. Kemudian baginda berkata kepadaku: ‘Mari, aku mahu berlumba lari denganmu.’ Maka aku pun berlumba lari dengannya dan aku berjaya mengalahkannya. Baginda diam sahaja mengenainya. Sehinggalah apabila aku sudah berbadan berisi, aku keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian perjalanannya. Baginda berkata kepada para sahabat: ‘Berjalanlah di hadapan.’ Lalu mereka pun berjalan di hadapan. Kemudian baginda berkata kepadaku: ‘Mari, aku mahu berlumba lari denganmu.’ Maka aku pun berlumba lari dengannya, tetapi kali ini baginda mengalahkanku. Baginda lalu menepuk bahuku dan berkata: ‘Ini pembalasan bagi yang dahulu (kemenanganmu yang lalu).'”
Sunan Abu Dawud, hadith ini bernombor 2578. Para ulama hadith, termasuk Imam Al-Nawawi, Syeikh Syu’aib Al-Arna’ut, dan lain-lain, menilai hadith ini sebagai sahih
Jadi umumnya bersukan dan berlumba dibenarkan di dalam Islam, iaitu jika ia ada kebaikan. Asalkan tidak bertaruh kerana itu akan menjadi judi.
Atau, ayat ini juga boleh bermaksud mereka berlumba bekerja untuk melihat siapakah yang paling banyak dapat hasil.
وَتَرَكنا يوسُفَ عِندَ مَتٰعِنا
dan kami tinggalkan Yusuf di tempat barang-barang kami,
Semasa berlumba itu mereka meninggalkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan barang mereka, mungkin untuk menjaganya. Mereka kata kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlalu muda, maka tidak ikut sekali berlumba atau ikut serta bekerja.
فَأَكَلَهُ الذِّئبُ
lalu dia dimakan serigala;
Mereka kata baginda dimakan dengan serigala yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga yang cakap sebelum ini. Ini kerana sebelum ini ayah mereka telah menyuarakan kebimbangan takut-takut Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dimakan oleh serigala. Maka mereka menggunakan hujah yang sama juga. Malah ada pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara tidak sengaja telah mengajar anak-anaknya itu menipu kerana sebut serigala sebelum ini.
Ini pun cerita yang tidak masuk akal sebenarnya. Kalau digunakan kalimah أَكَلَ ia bermaksud makan sampai habis. Kebiasaan serigala, ia tidak makan mangsa mereka sampai habis kerana memang tidak mampu pun mereka lakukan. Mungkin ini yang menyebabkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya dengan kisah mereka.
Oleh kerana penggunaan kalimah فَأَكَلَهُ الذِّئبُ sememangnya tidak sesuai disebut oleh mereka, sebaliknya yang sesuai adalah فَإفتَرَسَهُ الذِئبُ (serigala telah menerkamnya). Kerana selalunya serigala akan terkam dahulu, dan kemudian tarik mangsa itu ke tempat mereka dan mereka akan makan sikit-sikit. Ada yang mengatakan, sengaja Al-Qur’an menggunakan kalimah فَأَكَلَهُ الذِّئبُ yang juga kata-kata abang-abang itu kerana hendak menutup penipuan mereka. Mereka hendak kata memang serigala itu makan habis أَكَلَ dan bukan sahaja menerkam.
وَمَآ أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنَا
dan engkau sekali-kali tidak akan percaya kepada kami,
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya mendengar sahaja apa kisah tipu mereka itu. Mereka sendiri cakap yang baginda tidak percaya dengan kisah mereka. Mereka sendiri sudah ada rasa bersalah di dalam hati mereka. Mereka terus kata ayah mereka tentu tidak percaya. Mereka sendiri tahu yang kisah mereka itu tidak masuk akal. Mereka juga telah bersangka buruk dengan ayah mereka itu.
وَلَو كُنّا صٰدِقينَ
sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.
Mereka kata ayah mereka tidak akan percaya walaupun mereka cakap perkara yang benar. Lihat mereka gunakan لَو (jika) – bukan إنَّ (sesungguhnya). Memberi isyarat yang mereka memang menipu pun.
Ini adalah cara berhujah yang kotor. Cara ini dinamakan Poisoning the Well (Meracun Perigi). Ini adalah taktik di mana seseorang menyerang reputasi atau kredibiliti lawan terlebih dahulu sebelum perbincangan bermula. Dengan mengatakan, “Kamu bukan percaya pun,” pembicara sudah meletakkan pendengar dalam posisi yang tidak adil dan menjadikan apa sahaja yang akan dikatakan selepas itu tidak bermakna.
Atau ia boleh jadi hujah jenis Ad Hominem (Serangan Peribadi). Walaupun bukan serangan peribadi secara langsung, ayat tersebut masih termasuk dalam kategori ini kerana ia menyerang watak atau sikap pendengar (“kamu takkan percaya”) dan bukannya hujah yang bakal dibentangkan.
Jadi kalimah وَما أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنا وَلَو كُنّا صٰدِقينَ terlalu awak dikeluarkan oleh mereka. Ia menunjukkan yang mereka risau adalah tentang ayah mereka percaya atau tidak kepada mereka, bukannya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mereka kata telah dimakan serigala itu. Jadi kata-kata seperti ini memberi isyarat akan orang yang menipu kerana orang menipu itu beriya-iya mahukan orang percaya kepada mereka kerana itu yang mereka risaukan. Orang yang bercakap benar, dia tidak risau orang percaya atau tidak kerana mereka sudah cakap perkara yang betul jadi kebenaran pasti akan terserlah juga nanti.
Yusuf Ayat 18: Inilah kesilapan dalam rancangan mereka. Sebelum ini mereka berkata sahaja, sekarang diberikan bukti.
قَمِيصِهِۦ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they brought upon his shirt false blood.¹ [Jacob] said, “Rather, your souls have enticed you to something, so patience is most fitting. And Allāh is the one sought for help against that which you describe.”
- They had stained Joseph’s shirt with the blood of a lamb but had forgotten to tear it, thereby arousing their father’s suspicion.
(MALAY)
Mereka datang membawa baju gamisnya (yang berlumuran) dengan darah palsu. Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan”.
وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍ كَذِبٍ
Mereka datang membawa bajunya (yang berlumuran) dengan darah palsu.
Untuk membuktikan yang memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diserang dan dibunuh oleh serigala. Kalimah جاء asalnya bermaksud ‘datang’ akan tetapi apabila ada harf بِ yang mengikutinya, maka membawa maksud ‘bawa’. Mereka bawa baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak ada idea lain melainkan menggunakan semula kata-kata bapa mereka yang bimbang anaknya dibaham serigala. Jadi mereka guna sahaja hujah itu dan sebagai bukti, mereka bawakan baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berlumuran darah. Ini adalah kali pertama baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut dalam surah ini dan akan disebut lagi nanti. Kesemuanya terdapat tiga kali kisah baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebutkan di dalam surah ini. Tidaklah kita tahu jenama apa baju baginda itu.
Melalui susunan bahasa yang digunakan, ia lebih tepat diterjemahkan: ‘mereka bawa darah yang diletakkan di atas baju’. Ini kerana harf بِ diletakkan pada darah itu بِدَمٍ. Jadi mereka bawa darah atau mereka baju sebenarnya? Mereka bawa darah sebenarnya akan tetapi di dalam ayat ini, disebut baju dahulu dan bukannya darah. Jadi ini adalah hujah mereka apabila ayah mereka tidak percaya kepada mereka. Tadi telah mereka katakan ayah tentu tidak percaya, jadi sekarang nah lihat baju ini, ada darah. Mereka yang mengusungkan baju itu sebagai bukti, bukannya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta. Kerana yang masuk akal adalah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mesti akan tanya di manakah jenazah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukan?
Akan tetapi baju itu disebut dahulu menunjukkan kepentingannya pada kisah ini. Kerana itu ia diletakkan di awal ayat. Mana mereka dapat baju itu kalau tidak bukan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri? Maknanya mereka telah meninggalkan baginda tanpa baju! Sudahlah mereka buat apa yang mereka itu, ditambah pula dengan memalukan baginda pula. Bayangkan baginda tentu seorang yang sopan santun dan menjaga maruah dirinya di hadapan orang dan diambil baju! Orang yang ada maruah diri tidak berjalan atau menayang tubuh badan mereka. Itulah mereka yang telah hilang akal sekarang kerana manusia senang sahaja tidak berbaju di khalayak ramai seperti di pantai. Mereka bukan seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang pemalu orangnya dan menjaga maruah dirinya namun malang sekali apabila abang-abangnya sendiri yang sepatutnya melindunginya telah mencarik maruah baginda.
Kalimah كَذِبٍ ini bukan pada darah itu sahaja akan tetapi pada keseluruhan kisah mereka dan perbuatan mereka. Mereka telah melakukan penipuan yang banyak tanpa segan silu lagi. Mereka tipu dan terus menipu lagi bertalu-talu. Begitulah apabila sudah mula menipu. Mereka terpaksa terus menipu kerana sudah mula menipu dari mula.
Kalimat بِدَمٍ كَذِبٍ (dengan darah tipu) inilah kesilapan dalam kisah mereka. Kalaulah benar serigala menyerang dan memakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentulah baju itu koyak, bukan? Namun tidak disebut dalam ayat ini yang baju itu koyak, cuma ada ‘darah tipu’. Maknanya, mereka mengambil darah binatang lain dan mereka lumurkan darah binatang pada baju itu. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak keadaan baju itu dan baginda sudah tahu apa yang telah terjadi. Abang-abang itu buat kerja tidak kemas, orang kata. Takkan serigala larikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sempat pula membuka baju baginda pula.
Maka ayat ini menjadi dalil dan hujah bagi para Qadi untuk pandai melihat dan meneliti bukti-bukti yang ada di dalam menentukan kes-kes yang sampai kepada mereka. Ini kerana ia boleh membantu untuk mencari kebenaran.
Menurut riwayat yang diceritakan oleh Mujahid, As-Saddi, serta lain-lainnya yang bukan hanya seorang, malah saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menangkap seekor kambing muda, lalu mereka sembelih, dan darahnya mereka lumurkan ke baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai bukti bahawa inilah baju Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang telah dimangsa oleh serigala, dan padanya terdapat bekas-bekas darahnya. Akan tetapi, mereka lupa merobek baju itu. Kerana itulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya kepada bukti yang diajukan kepadanya itu. Bahkan baginda menyindir mereka yang telah menipunya seperti disebut di dalam potongan ayat selepas ini.
Walaupun banyak tafsir yang menyebut abang-abang itu terlupa mengoyakkan baju itu sebelum dilumur dengan darah, akan tetapi Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ tidak bersetuju dengan pendapat ini. Memang tidak disebut pun di dalam ayat Al-Qur’an kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempercayai dakwaan dan helah abang-abang itu. Tidak ada disebut apakah benda yang menyebabkan baginda tidak percaya akan tetapi bagi Ibn Asyur رَحِمَهُ اللَّهُ, ia bukanlah kerana tidak dikoyak baju itu dahulu. Kerana sukar diterima akal yang abang-abangnya yang 10 orang itu tidak terfikir untuk mengoyak baju itu dahulu. Mungkin ada perkara lain yang kita tidak dapat pastikan disebabkan penipuan amat sukar dilakukan kerana semua kena tutup. Kalau kita lihat rancangan TV tentang penyiasatan pun, kita boleh lihat sehebat mana sekalipun penjenayah cuba menutup bukti akan tetapi ada sahaja hero yang boleh nampak benda-benda kecil macam rambut, pasir tanah, benang dan sebagainya. Jadi mungkin ada perkara yang menyebabkan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pasti ada sesuatu yang tidak sepatutnya dan itulah yang meyakinkan baginda.
Jadi kalau kita hendak senaraikan beberapa kemungkinan kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya kepada dakwaan mereka itu adalah:
1. Bukti yang bercanggah dan tidak kemas.
2. Baginda sudah tahu mereka itu tidak sukakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang boleh menyebabkan mereka melakukan sesuatu yang buruk terhadap baginda.
3. Mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang baginda telah ceritakan di permulaan kisah ini. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mentafsir mimpi itu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan dipilih menjadi Nabi dan akan mendapat penghujung yang istimewa. Takkan mimpi itu tidak benar pula? Apabila janji Allah ﷻ telah diberikan dan kalau dibandingkan dengan dakwaan anak-anaknya itu, baginda lebih memilih janji Allah ﷻ yang pasti Allah ﷻ akan tunaikan.
Maka kita mestilah menjadi seperti Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang percaya kepada janji Allah ﷻ. Kalau Allah ﷻ berfirman yang Dia akan bantu orang Mukmin, maka kita kenalah percaya kerana bantuan itu pasti datang, kalau tidak cepat, lambat. Kalau Allah ﷻ berjanji memberi jalan keluar daripada masalah kepada orang Mukmin, percayalah juga. Malah banyak lagi keyakinan kepada janji-janji Allah ﷻ yang kita kena tanam dalam diri kita. Orang mungkin bercakap macam-macam, tetapi jangan hiraukan kata-kata manusia. Sebagai contoh, mungkin ada orang yang pujuk kita terima rasuah untuk hidup senang. Namun kita tahu ia adalah berdosa dan kita pun yakin dengan janji Allah ﷻ memberi rezeki kepada manusia, maka jangan kita hiraukan dan termakan pujukan sebegitu.
قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا
Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu;
Maka terbukalah sudah rahsia mereka. Adakah baginda percaya kata-kata abang-abang itu? Tidak dan ia terletak pada kalimah بَل yang bermaksud ‘tidaklah’… Di sini kita boleh lihat kawalan emosi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dipandu oleh kedudukan nubuwwat. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak melenting tetapi baginda kata yang nafsu mereka telah membisikkan kepada mereka untuk membuat rancangan yang tidak baik dan menampakkan ia baik pada pandangan mereka.
Kalimah سَوَّلَت daripada س و ل yang bermaksud ditipu, diajak, dipujuk. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka yang diri mereka telah mengajak dan memujuk mereka melakukan perkara yang terkutuk itu. Mereka telah termakan dengan pujukan nafsu mereka sendiri dan tentunya dibantu dengan bisikan syaitan.
Satu lagi maksud سَوَّلَت adalah memandang ringan perbuatan mereka itu sedangkan ia adalah besar sekali! Oleh itu, perbuatan taswil adalah menganggap sesuatu itu ringan sahaja, tidak kisah sangat kalau dilakukan. Macam kadang-kadang apabila kita sangka dosa itu kecil, kita tidak kisah untuk melakukannya. Ini adalah kerana syaitan telah menjadikan benda yang berat nampak ringan sahaja. Begitulah alasan yang biasa digunakan oleh pembuat dosa sebagai penyedap hati mereka – “Alaa, bukan teruk sangat pun….orang lain buat lagi teruk…” Begitulah juga hujah ahli bid’ah yang mengatakan amalan mereka baik. Ini kerana ia telah dinampakkan baik oleh syaitan. Begitulah apabila tidak dipandu oleh ilmu wahyu sampaikan manusia sanggup melakukan perkara ikut nafsu.
Kalimat ini digunakan sekali lagi di dalam ayat 83, iaitu apabila Bunyamin ditahan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mesir nanti dan abang-abangnya memberitahu kepada baginda akan hal itu.
قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا ۖ فَصَبرٌ جَميلٌ ۖ عَسَى اللهُ أَن يَأتِيَني بِهِم جَميعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ العَليمُ الحَكيمُ
Ya’qub berkata: “Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Perhatikan penggunaan kalimat بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا yang disebut oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di dalam kedua-dua insiden ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengagak sahaja. Di dalam ayat 18 ini, baginda benar akan tetapi di dalam ayat 83, memang anak-anaknya itu berkata benar tetapi baginda gunakan kalimat yang sama juga. Ini mengajar kita yang agakan kita mungkin salah, kerana kita lihatlah seorang Nabi pun boleh tersilap agak kerana ia adalah pendapat peribadi, berdasarkan penilaian sendiri yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Kadangkala kita yakin sungguh penilaian kita benar, bukan? Namun janganlah kita yakin 100% kerana tidak mungkin kita akan tahu segalanya dan boleh buat andaian yang tepat setiap kali. Jadi jangan kita taksub sangat dengan pendapat dan pegangan kita, tetapi bukalah hati kita kepada kebarangkalian orang lain pun benar dan kita tersilap.
فَصَبرٌ جَميلٌ
maka kesabaranlah yang baik
Allah ﷻ berikan wahyu kepada baginda, sekadar itu sahaja perlu baginda respon, selebihnya kena bersabar. Sememangnya baginda telah bersabar sungguh kerana baginda tidak bertanya pun mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beginilah pendapat sesetengah ahli tafsir. Ini kerana baginda sedar yang baginda kena terima sahaja yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah hilang. Tidak ada gunanya marah mereka dan minta mereka membawa pulang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka apa yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh buat adalah bersabar sahaja. Tidak guna bercakap dengan mereka lagi.
Akan tetapi agar sukar menerima pendapat ini. Kerana takkan baginda biarkan begitu sahaja tanpa bertanya. Jadi kita boleh sahaja terima pendapat yang mengatakan baginda bersabar ini setelah melakukan usaha untuk mendapatkan kebenaran dan menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Cuma setelah tidak berjaya, barulah baginda bersabar.
Maksud صَبرٌ جَميلٌ adalah kesabaran tanpa rungutan kepada selain Allah ﷻ. Perbezaan utama antara صَبرٌ جَميلٌ (sabr jamil) dan sabar yang biasa terletak pada ketiadaan keluhan dan ketenangan hati yang penuh tawakal. Sabar yang biasa adalah peringkat pertama kesabaran. Ia adalah keupayaan untuk menahan diri daripada mengeluh, marah, atau panik ketika berhadapan dengan musibah atau kesulitan. Seseorang yang sabar menahan emosinya dan tidak melakukan perkara yang dilarang seperti meratap, merosakkan barang, atau menyalahkan takdir. Namun, صَبرٌ جَميلٌ (Sabar yang Indah) adalah tahap kesabaran yang lebih tinggi dan lebih sempurna. Ia bukan sekadar menahan diri, tetapi ia adalah kesabaran tanpa sebarang keluhan sama sekali. Seseorang yang mempunyai sabrun jamil tidak hanya menahan diri daripada mengeluh di hadapan orang ramai, tetapi juga tidak mengeluh kepada dirinya sendiri atau kepada sesiapa pun selain daripada Allah ﷻ. Jadi kalau sabar tetapi masih lagi memuatnaik status di FB dan Thread, ia bukanlah sabar jenis ini.
Apa yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah perkara yang mengejutkan sekali kerana bukan senang bersabar dalam perkara seperti ini. Ini menunjukkan kebijaksanaan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai seorang Nabi kerana baginda tahu tidak ada gunanya marah mereka pada waktu itu – semuanya ada dalam takdir dan baginda kena bersabar sahaja. Memang berat perkara yang terjadi itu, kerana penculikan dan buang adik sendiri bukan perkara kecil, namun baginda bersabar sahaja.
Perlu diingatkan yang marah adalah sifat semulajadi. Ia datang dan pergi dengan sendiri setelah sesuatu berlaku ke atas kita. Kita tidak boleh kawal perkara itu. Cuma, bagi orang mukmin, mereka boleh kawal marah mereka. Marah itu datang sahaja, mereka cepat-cepat sedar dan bersabar dan tidak meneruskan kemarahan itu. Ini adalah salah satu daripada nasihat Rasulullah ﷺ seperti disusun di dalam Hadith 40 Imam Nawawi,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَبْ
رَوَاهُ البُخَارِي
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ, “Berilah aku wasiat.” Baginda menjawab, “Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulang-ulang permintaannya, (namun) Nabi ﷺ (terus) menjawab, “Janganlah engkau marah.”
(HR. Bukhari No. 6116)
Kata ar-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam kitab tafsirnya tentang maksud صَبرٌ جَميلٌ:
“Rintihan jiwa kerana beratnya cubaan dapat sahaja menyebabkan keluarnya rintihan, kerana tak tahan. Tetapi rohani yang lebih dalam selalu mengajak dan memberi ingat supaya sabar dan rela menerima. Hal yang demikian menyebabkan di antara nafsu dengan roh terjadi perselisihan ataupun perang dalam batin. Kalau rintihan jiwa itu dapat diatasi, sehingga roh yang terlatih itu yang menang, selamatlah diri; kalau tidak, diri boleh hancur. Oleh sebab itu Allahlah yang akan sanggup menolong dalam hal yang seperti itu.”
Menurut ar-Razi رَحِمَهُ اللَّهُ, untuk mendapat صَبرٌ جَميلٌ adalah dengan cara:
1. Sedar bahawa apa sahaja yang terjadi adalah dengan kehendak Allah ﷻ, maka hati kena serahkan urusan kepada Allah ﷻ.
2. Yang kita serahkan urusan itu (Allah ﷻ) adalah lebih baik daripada kita. Allah ﷻ lebih pandai, lebih sayang, lebih adil dalam segala hal. Kita mungkin ada sifat-sifat itu tetapi tidak setinggi Allah ﷻ.
3. Sedar bahawa sabar jenis ini boleh membawa kepada pengakhiran yang baik dengan izin Allah ﷻ.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar yang indah kerana hendak menjaga iman baginda. Kalau kita hilang sabar, kita sebenarnya hilang iman ketika itu. Memang ketika itu baginda berhadapan dengan perkara yang buruk tetapi baginda ada janji yang indah daripada Allah ﷻ seperti disebut di dalam ayat 6,
وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰٓ آلِ يَعقوبَ
dan akan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub
Kalau ada صَبرٌ جَميلٌ, tentu juga ada صَبرٌ yang tidak جَميلٌ. Ini adalah orang yang nampak bersabar pada luarannya, tidak melakukan apa-apa, tetapi di dalam hatinya menyimpan dendam kesumat dan segala emosi yang buruk-buruk. Begitulah kalau ayah lain sudah mengamuk gila agaknya. Di negara kita pun ada banyak kejadian ini (culik dari rumah, dari pusat beli belah). Kita pun tidak dapat membayangkan kalau terjadi pada diri kita sendiri, kalau anak kita sendiri yang diculik – bayangkan kalau kita dengar maklumat NURIN alert tu, kita sudah risau sangat dan terbayang perasaan kita kalau anak kita sendiri jadi begitu. Memang menakutkan sekali, bukan? Kita amat takut membaca kisah-kisah culik sebegini kerana kita pun tahu ramai kanak-kanak itu dijadikan sebagai hamba, hamba seks, diambil organ mereka dan sebagainya. Sampaikan kita tidak sanggup hendak membaca berita pun kalau ada kisah itu kerana budak itu tidak bersalah, bukan? Samalah juga kisahnya di sini, bukankah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dijual sebagai hamba?
Namun sekarang kita belajar bagaimana seorang Nabi yang kehilangan anaknya dapat bersabar. Adakah baginda tidak rasa apa-apa? Tentu ada! Akan tetapi baginda dipandu oleh صَبرٌ جَميلٌ. Oleh itu, kalimat فَصَبرٌ جَميلٌ bermaksud sabar yang tidak ada rungutan. Ini kerana kalau merungut, itu bukan sabar namanya. Begitulah tindakan kita kena dipandu oleh iman dan redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Jangan hilang sabar kerana sememangnya hilang sabar adalah bahaya kerana ada manusia yang boleh tergelincir akidah mereka apabila ditimpa musibah yang besar-besar begini. Sampai yang ada tertanya: “Kenapa Allah jadikan ini?” Ini amat bahaya sekali kerana akidah kita pun boleh tergugat kerana mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan.
Dengan kata lain, baginda akan bersabar dengan kesabaran yang baik atas musibah ini yang anak-anaknya telah sepakat untuk menimpakannya kepada baginda, sehingga Allah ﷻ memberikan jalan keluar di hujung nanti berkat pertolongan dan kasih sayang-Nya. Baginda tidak tahu di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sama ada hidup atau sudah tiada kerana ia bukanlah pengetahuan yang diberikan kepada baginda. Ini adalah hujah untuk Dakwa Pertama surah ini: kesabaran Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengetahui akan perkara ghaib.
Adakah sabar ini satu sifat yang lemah? Mungkin ada orang kata seseorang itu sabar kerana tidak boleh buat apa-apa kerana lemah. Tidak sama sekali. Orang bersabarlah orang yang kuat. Kerana mereka kuat sampai dapat mengawal emosi mereka yang bukan semua orang boleh lakukan.
وَاللهُ المُستَعانُ عَلىٰ ما تَصِفونَ
Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu sifatkan itu”.
Kalimat اللَّهُ المُستَعانُ bermaksud Allah ﷻlah sahaja tempat kita mendapatkan pertolongan dan tempat kita berharap. Mungkin ada pernah dengar orang selalu cakap: Allahu musta’an. Kalimah المُستَعانُ ini sama sahaja kata dasarnya dengan ayat yang semua orang tahu daripada Fatihah:5,
وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Ia daripada kata dasar ع و ن yang bermaksud membantu, menolong. Akan tetapi penggunaannya adalah apabila seseorang meminta tolong, dia usaha dulu. Dia telah melakukan apa yang dia boleh. Sebagai contoh, kalau kereta saya tayar pancit, maka saya akan cuba dulu untuk buat sendiri. Apabila tidak boleh, barulah saya minta tolong orang lain. Namun apabila sudah minta tolong pun, tidaklah saya duduk dalam kereta sahaja tetapi saya pun buat sama-sama. Maka di sini ada isyarat yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah melakukan apa sahaja yang baginda boleh buat. Mungkin baginda sendiri sudah keluar mencari, baginda pun sudah memaksa anak-anaknya itu beritahu di mana tempat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mereka tinggalkan, dan macam-macam lagi. Tidak disebut di dalam ayat yang ringkas ini tetapi kita boleh agak daripada kalimah المُستَعانُ yang baginda gunakan.
Akhirnya setelah anak-anaknya tetap tegar memberi berbagai-bagai hujah dan helah, barulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersabar sahaja dan serahkan kepada Allah ﷻ untuk memberi kebaikan. Ini kerana apa-apa yang terjadi itu ada hikmah yang Allah ﷻ hendak berikan, tetapi kita sahaja yang tidak nampak. Baginda hanya dapat berharap sahaja. Sekarang baginda serahkan urusan itu kepada Allah ﷻ kerana baginda sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Sehubungan dengan hal ini Imam Bukhari رَحِمَهُ اللَّهُ telah meriwayatkan hadith A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا dalam kisah tuduhan palsu yang ditujukan terhadap dirinya,
…قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “أَمَّا بَعْدُ يَا عَائِشَةُ، فَإِنَّهُ قَدْ بَلَغَنِي عَنْكِ كَذَا وَكَذَا، فَإِنْ كُنْتِ بَرِيئَةً فَسَيُبَرِّئُكِ اللَّهُ، وَإِنْ كُنْتِ أَلْمَمْتِ بِذَنْبٍ فَاسْتَغْفِرِي اللَّهَ وَتُوبِي إِلَيْهِ، فَإِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ، تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ.” قَالَتْ: فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَقَالَتَهُ، قَلَصَ دَمْعِي حَتَّى مَا أُحِسُّ مِنْهُ قَطْرَةً، فَقُلْتُ لِأَبِي: “أَجِبْ عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيمَا قَالَ.” قَالَ: “وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.” فَقُلْتُ لِأُمِّي: “أَجِيبِي عَنِّي رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.” قَالَتْ: “وَاللَّهِ مَا أَدْرِي مَا أَقُولُ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.” فَقُلْتُ أَنَا: “وَاللَّهِ لَقَدْ عَلِمْتُ لَقَدْ سَمِعْتُمْ هَذَا الْحَدِيثَ حَتَّى اسْتَقَرَّ فِي أَنْفُسِكُمْ وَصَدَّقْتُمْ بِهِ، وَلَئِنْ قُلْتُ لَكُمْ إِنِّي بَرِيئَةٌ لَا تُصَدِّقُونِي، وَلَئِنِ اعْتَرَفْتُ لَكُمْ بِأَمْرٍ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَنِّي مِنْهُ بَرِيئَةٌ لَتُصَدِّقُنِي، فَوَاللَّهِ لَا أَجِدُ لَكُمْ مَثَلاً إِلاَّ أَبَا يُوسُفَ حِينَ قَالَ: فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ.”
Rasulullah ﷺ bersabda: “Amma ba’du, wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentangmu seperti ini dan ini. Jika engkau suci, Allah akan membersihkanmu. Dan jika engkau melakukan dosa, maka mintalah ampun kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya, kerana seorang hamba apabila mengakui dosanya lalu bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.” Aisyah berkata: “Ketika Rasulullah ﷺ selesai berbicara, air mataku kering hingga aku tidak merasakan setitik pun air mata. Aku berkata kepada ayahku (Abu Bakar): ‘Jawablah Rasulullah ﷺ bagiku tentang apa yang beliau katakan.’ Ayahku berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada Rasulullah ﷺ.’ Lalu aku berkata kepada ibuku: ‘Jawablah Rasulullah ﷺ bagiku.’ Ibuku berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan kepada Rasulullah ﷺ.’ “Lalu aku berkata (sendiri): ‘Demi Allah, aku tahu bahawa kalian telah mendengar berita ini sehingga ia telah berbekas di hati kalian dan kalian telah membenarkannya. Jika aku katakan bahawa aku suci, kalian tidak akan percaya kepadaku. Dan jika aku mengakui sesuatu yang Allah tahu bahawa aku suci daripadanya, nescaya kalian akan mempercayaiku. Maka, demi Allah aku tidak mendapati perumpamaan yang lebih sesuai bagi kalian melainkan seperti kata-kata ayah Yusuf ketika dia berkata: “Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaran yang terbaik). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan (Yusuf:18).”“
Sahih al-Bukhari Nombor Hadith: 4141, 4142, 4143, 4144, 4145, 4146. Sahih Muslim Nombor Hadith: 2770.
Kalimah تَصِفونَ daripada kata dasar و ص ف yang bermaksud huraikan, menekankan sesuatu sebagai fakta, menganggap, nyatakan. Ia bermaksud menjelaskan sesuatu akan tetapi di dalam Al-Qur’an ia bermaksud menipu dan reka sesuatu dengan terperinci. Sebagai contoh digunakan di dalam Zukhruf:82
سُبحٰنَ رَبِّ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ رَبِّ العَرشِ عَمّا يَصِفونَ
Maha Suci Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, – Tuhan yang mempunyai Arasy (yang melambangkan kebesarannya), – (Maha Sucilah Dia) daripada apa yang mereka katakan itu.
Ayat ini menyebut tentang golongan musyrikin yang apabila mereka reka ilah-ilah mereka, mereka buat bermacam-macam sifat dan cerita. Macam tuhan Yunani dan tuhan-tuhan Hindu. Kalau kita baca tentang sejarah dan siapa tuhan-tuhan mereka itu, bermacam-macam kisah tentang keluarga, sejarah mereka, apa terjadi dengan mereka, kuasa mereka, mereka berperang dengan siapa dan bermacam-macam lagi. Semua itu rekaan sahaja, bukan betul tetapi punyalah rajin mereka reka benda itu. Maka begitulah apa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cakap tentang rekaan cerita abang-abang itu tentang apa yang telah terjadi dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itu rekaan terperinci mereka sahaja.
Sekian bahagian yang menceritakan pertelingkahan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan anak-anaknya. Jangan kita sangka yang ia adalah pendek seperti dalam ayat ini sahaja. Berkemungkinan ia berlarutan berjam-jam lamanya di mana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaksa mereka memberitahu kejadian yang sebenar. Akan tetapi mereka tetap juga tidak berganjak dan berterusan menipu ayah mereka. Mereka kena buat begitu kerana mereka hendak menunjukkan mereka budak baik, bukan? Bukankah mereka hendak ayah mereka sayang mereka? Jadi takkan mereka akan mengaku punya kerana kalau mengaku, mereka nampak buruklah.
Namun begitu bagaimanakah hubungan baginda dengan anak-anaknya selepas itu? Adakah baginda menghalau mereka, atau tidak bercakap lagi dengan mereka? Tentu tidak kerana baginda ada صَبرٌ جَميلٌ. Sebagaimana seorang petani kena bersabar dengan tanamannya dan seorang guru kena bersabar dengan anak muridnya, maka seorang ayah kenalah bersabar dengan karenah anak-anaknya. Mereka itu masih anak-anaknya, bukan? Takkan hendak tinggalkan begitu sahaja. Sekiranya baginda menghalau mereka, tentu mereka akan menjadi lebih teruk lagi. Sepertimana ada ramai bapa yang menghalau anak keluar rumah, berkawan pula dengan penjenayah dan keadaan menjadi lebih teruk. Kita yang sedang baca kisah ini setakat ini pasti akan mengagak yang anak-anak itu tidak akan berjaya dan tidak akan menjadi baik. Namun di hujung nanti (spoiler alert) mereka menyesali kesalahan mereka dan menjadi orang yang benar-benar beriman.
Adakah mereka layak mendapat perlakuan seperti itu? Tentu tidak! Namun baginda didik mereka bukan kerana mereka baik, tetapi kerana itulah perkara yang sepatutnya dilakukan. Jadi kita kena faham perkara ini. Sebagai contoh, kita buat baik kepada ibu bapa kita walaupun mereka itu zalim, kerana ia adalah arahan daripada Allah ﷻ. Begitu juga kita berbaik dengan adik beradik kita pun begitu juga. Kerana Allah ﷻ suruh kita menjaga silaturrahim dengan ahli keluarga. Kalau ada pekerja kita buat salah pun, mungkin kita potong gaji dia tetapi tidaklah kita sampai memburukkan dia atau pukul dia, kerana itu adalah salah. Jangan ada mentaliti: ‘Oleh kerana kamu telah buat salah kepada aku, maka aku akan buat salah kepada kamu juga.’ Bagaikan kata pepatah: “Tidak perlu menjadi ular untuk selamat daripada gigitan ular.” Maka ada banyak perkara yang kita boleh belajar dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.
Glosari Istilah Penting
- Crocodile tears (Tangisan Buatan): Ungkapan yang merujuk kepada tangisan palsu, yang dibuat-buat tanpa perasaan sedih yang sebenar, selalunya untuk tujuan manipulasi.
- Poisoning the Well (Meracun Perigi): Taktik retorik di mana seseorang menyerang reputasi atau kredibiliti lawan terlebih dahulu sebelum perbincangan bermula, dengan tujuan untuk menyebabkan pendengar menolak hujah lawan.
- Ad Hominem (Serangan Peribadi): Taktik di mana seseorang menyerang watak, motif, atau atribut peribadi lawan dan bukannya hujah yang dibentangkan.
- بَل (Bal): Kata hubung bahasa Arab yang bermaksud “tidaklah”, “sebaliknya”, atau “tetapi”. Menunjukkan penolakan terhadap kenyataan sebelumnya.
- Taswil: Perbuatan menganggap sesuatu (terutama dosa) itu ringan sahaja atau memperlihatkannya sebagai baik, sedangkan ia adalah perkara buruk.
- نبووت (Nubuwwat): Kenabian; merujuk kepada sifat seorang Nabi.
- تَوَكَّل (Tawakkal): Bergantung sepenuhnya kepada Allah ﷻ, menyerahkan segala urusan kepada-Nya.
- Silaturrahim: Hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dalam Islam, yang perlu dijaga dan diperkukuh.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Ogos 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

