Yusuf Ayat 5:
قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “O my son, do not relate your vision to your brothers or they will contrive against you a plan. Indeed Satan, to man, is a manifest enemy.
(MALAY)
Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.
قالَ يٰبُنَيَّ
Ayahnya berkata: “Wahai anakku,
Lihatlah kalimah yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ gunakan untuk memanggil anaknya: يا بُنَيَّ (wahai anakku yang tercinta). Ini adalah panggilan lembut seorang ayah kepada anaknya – panggilan manja. Maka begitulah kita juga kena gunakan kalimah yang lebih kurang sama dengan anak kita. Cakap dengan lembut, dengan penuh kasih sayang dengan mereka. Kalimah بُنَيَّ adalah dalam bentuk tasghir (perkecilan) maksudnya anak kecil. Macam kitab kecil dipanggil kutaib, kalau Umar yang kecil dipanggil Umair. Macam nama Abu Hurairah itu adalah gelaran yang Rasulullah ﷺ berikan kepada sahabat baginda yang terkenal itu dan Hurairah adalah ‘kucing kecil’ yang asalnya adalah hirrah.
Selalunya kita sebut nama seseorang apabila dia jauh. Akan tetapi apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut panggilan kepada anaknya itu walaupun anaknya itu dekat, menunjukkan kelembutan kepada anaknya itu. Sebelum ini kita telah sebutkan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ agak risau untuk memberitahu tentang mimpinya itu, maka sekarang kita lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan lembut untuk menenteramkan anaknya itu. Ada masa kita kena tegas dengan anak tetapi di waktu yang lain, hendaklah kita berlembut dengan mereka. Di rumah tidak perlu hendak kasar dan marah-marah dengan anak kerana nanti mereka menjadi takut dan otak tidak berkembang dengan baik.
Lihatlah apa kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam ayat ini. Kita selalunya tidak layan sangat mimpi budak-budak, bukan? Namun lihatlah bagaimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melayan dan mendengar apa yang disampaikan oleh anaknya itu. Nanti kita akan lihat mimpi raja disebut di dalam ayat 44 dan apabila raja bertanya kepada para penasihatnya, mereka hanya jawab:
قالوا أَضغاثُ أَحلامٍ
Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang kosong
Ini menunjukkan yang baginda adalah seorang ayah yang baik dan kita kena perhatikan dan cuba untuk menirunya dengan melayan anak-anak kita dengan sebaik mungkin. Ini penting kerana kalau dari waktu mereka kecil kita tidak layan mereka, nanti bila mereka sudah meningkat dewasa, jangan hairan dan mengeluh kalau mereka tidak mahu bercakap dengan kita lagi. Ini kerana semasa mereka memerlukan kita, kita tidak layan mereka sebaik-baiknya, maka balasannya nanti, apabila kita memerlukan mereka, mereka sudah tidak mahu melayan kita lagi. Ini kerana mereka berasa jauh sahaja dengan kita kerana semasa mereka kecil, kita tidak ambil perhatian dengan perasaan dan kehendak mereka. Ini adalah pengajaran yang amat penting untuk kita perhatikan.
Perhatikan juga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, baginda terus pergi kepada ayahnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku untuk mendapatkan nasihat baginda. Ini juga hebat kerana selalunya kalau kita lihat, perkara ini tidak berlaku sekarang. Selalunya seorang anak itu tidak mengadu kepada ayahnya kerana selalunya mereka akan pergi mengadu kepada ibu mereka. Kerana selalunya ayah garang dan tidak melayan anaknya, bukan? Ini menunjukkan kepada kita, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang pandai melayan anaknya sampai anaknya sendiri rasa senang dan selesa untuk berjumpa dan mengadu dengannya. Oleh itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah ‘model contoh’ seorang ayah. Kita kena belajar apa yang baginda lakukan dan cuba mencontohi baginda.
Maka dengan belajar begini, tidaklah seorang ayah mengeluh lagi kalau anak mengganggu kita – mungkin kita sedang bercakap waktu itu, sedang menyelesaikan pekerjaan penting, sedang kepenatan, sedang menonton TV, sedang kepeningan dengan entah apa masalah, – apa sahaja, tetaplah panggil anak kita dengan panggilan sayang dan kasih. Letak ke tepi dulu kerja kita dan layanlah mereka kerana bagi mereka, apa yang mereka katakan itu adalah penting walaupun ia tidak penting bagi kita. Jangan tengking dan marahkan mereka kerana mengganggu kita. Begitulah dengan anak kena bersabar sikit sebab akal mereka lain dengan kita. Mereka rasa apa yang mereka jumpa adalah perkara penting dan baru bagi mereka padahal semua perkara yang mereka ceritakan kita sudah tahu tetapi kenalah berlakon tidak tahu, barulah mereka suka.
Seorang anak menjadi orang dewasa yang hebat selalunya kerana hasil didikan ibubapa mereka. Kalau kita jumpa orang hebat dan bertanya mereka, mungkin mereka akan menceritakan bagaimana semasa mereka dahulu, didikan emak dan ayah merekalah yang menyebabkan mereka jadi begitu. Kita pun tentu sudah tahu bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi insan yang hebat dan akhirnya sampai menyelamatkan negeri Mesir. Jadi perhatikan didikan baginda bermula di sinilah, iaitu dengan layanan dan didikan ayahnya.
لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ
janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu,
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan beritahu saudara-saudaranya kerana mereka akan dengki. Walaupun mereka itu adik beradik sekali pun, jangan cerita kepada mereka. Sebab kalau mereka dengar mimpi itu pun mereka pun pasti faham apakah maksudnya. Tidak habis SPM pun boleh tahu yang 11 bintang itu merujuk kepada mereka dan matahari dan bulan pula merujuk kepada ibu dan bapa mereka. Nanti mereka akan buat rancangan yang akan menyusahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana mereka pun memang sudah ada sedikit dengki dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dapat pula mimpi ini pasti mereka akan lebih dengki dan dengki yang membawa mereka melakukan sesuatu buruk pula nanti.
Maknanya, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu sebelum adanya mimpi itu, abang-abangnya sudah mengganggu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tidak suka kepadanya. Kalau mereka tahu baginda dapat mimpi seperti itu, maka lagilah akan bertambah dengki lagi mereka itu dengan baginda. Tentu akan bertambah-tambah kebencian mereka terhadapnya. Ini mengajar kita supaya prihatin dengan cara berfikir anak-anak kita supaya kita boleh menangani mereka dengan sebaiknya. Perhatikan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ beritahu jangan beritahu kepada abang-abangnya sahaja, tidak sebut pun emak. Ini bermakna yang masalah hanya ada pada adik beradik sahaja.
Kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin yang mereka akan dengki dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana mereka semua tahu yang bapa, datuk dan moyang mereka adalah Nabi dan mereka juga sudah dapat agak yang pangkat kenabian akan jatuh kepada salah seorang di antara mereka. Mereka juga berharap yang merekalah yang diangkat menjadi Nabi menggantikan bapa mereka nanti. Namun sekiranya ia diberikan kepada adik mereka Yusuf, tentu mereka rasa jaki. Tambahan pula mereka sudah nampak ayah mereka melebihkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sahaja, maka bertambahlah kedengkian mereka nanti.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin tahu tentang kedengkian abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu melaluinwahyu atau baginda sendiri sudah kenal anak-anaknya itu. Mungkin baginda nampak yang mereka 10 orang itu banyak bersama sahaja dan tidak langsung mahu melibatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda mungkin boleh mengagak melalui cara mereka bercakap dengan baginda, cara mereka memandang, cara mereka berinteraksi sesama sendiri. Seorang ayah kena perhati anaknya betul-betul. Tentulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang bijak dan prihatin maka baginda tahu yang kedengkian itu bukan baru tetapi sudah lama sebenarnya.
Kita telah beritahu salah satu asbabun nuzul ayat ini adalah soalan daripada golongan Yahudi. Sekarang jawapan sedang diberikan kepada mereka. Di sini juga sudah Allah ﷻ perli mereka. Mereka itu sudah sekian lama menunggu-nunggu kedatangan Nabi Akhir Zaman dan mereka yakin ia pasti akan diberikan kepada Bani Israil juga. Mereka tidak sangka yang ia akan diberikan kepada Bani Ismail (orang Arab) dan kerana itulah mereka tidak boleh terima, juga kerana dengki. Maka sebagaimana abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengki, Allah ﷻ perli mereka: Kalian pun dengki juga, bukan? Kerana kalian Bani Israil dan Bani Ismail sebenarnya adik beradik sepupu sepapat juga kerana sama-sama daripada keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.
Secara umumnya, ramai menganggap Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih menyayangi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbanding adik beradiknya yang lain. Ada pendapat yang mengatakan kerana baginda kacak, baginda tidak ada ibu lagi, dan sebagainya. Beginilah juga fahaman abang-abangnya seperti disebut di dalam ayat 8 nanti:
إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا
(Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri
Namun itu hanyalah kata-kata mereka sahaja. Adakah patut seorang Nabi pilih kasih di antara anak-anaknya? Jadi satu lagi pendapat yang saya suka adalah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah pilih kasih. Begitu juga seorang ayah tidak patut pilih kasih kepada anak-anaknya melainkan kena sayang sama rata kerana semua adalah anaknya. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, tentulah kita memuji dan menegur anak-anak kita, bukan? Kalau mereka buat baik, maka kita puji; dan kalau mereka nakal, kita tegur. Ini biasalah. Ada kemungkinan juga, anak yang selalu ditegur akan rasa yang ayahnya lebih sayang kepada anak yang lain kerana ayah selalu memuji anak itu. Mereka tidak nampak pun yang ayah itu memuji kerana anak itu melakukan perkara baik. Sedangkan anak yang ditegur itu degil dan selalu melawan, maka memanglah patut ditegur. Sedangkan kalau anak yang degil itu berubah menjadi baik, dia pun akan dipuji juga. Jadi ada pengajaran kepada ayah dan anak di sini. Ayah jangan pilih kasih dan anak janganlah buat hal sampai asyik kena tegur. Takkan perangai kamu macam adik beradik setan tetapi kamu harap emak ayah akan puji pula?
Apa yang dinasihatkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini memang bertepatan dengan hadith Nabi Muhammad ﷺ. Memang kita kena tahu apa yang kita perlu lakukan dengan mimpi dan jangan terus bercerita kepada orang. Ini telah diajar oleh Rasulullah ﷺ:
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ كَانَ أَبُو قَتَادَةَ يُحَدِّثُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ مِنَ اللَّهِ وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِذَا حَلَمَ أَحَدُكُمْ حُلُمًا يَخَافُهُ فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ وَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ، وَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا الْحَسَنَةَ فَلْيُبَشِّرْ بِهَا وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا إِلَّا مَنْ يُحِبُّ”
Daripada Abu Salamah, dia berkata, “Abu Qatadah menceritakan, dia mendengar Nabi ﷺ bersabda: ‘Mimpi yang baik itu datang daripada Allah, sedangkan mimpi yang buruk itu daripada syaitan. Jika salah seorang di antara kalian bermimpi sesuatu yang menakutkan, maka hendaklah dia meludah ke sebelah kirinya dan memohon perlindungan kepada Allah daripada keburukannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan memudaratkannya. Dan jika salah seorang di antara kalian melihat mimpi yang baik, maka hendaklah dia gembira dengannya, dan janganlah dia menceritakannya melainkan kepada orang yang dicintainya (orang yang dia percayai).'”
(Hadith riwayat Bukhari No. 6995 dan Muslim No. 2261)
Ini kerana hadith ini menjelaskan bahawa mimpi boleh mempunyai kesan realiti, terutamanya jika ia ditafsirkan. Disebut di dalam hadith yang lain,
عَنْ أَبِي رَزِينٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الرُّؤْيَا عَلَى رِجْلِ طَائِرٍ مَا لَمْ تُعَبَّرْ، فَإِذَا عُبِّرَتْ وَقَعَتْ. فَلَا تَقُصَّهَا إِلَّا عَلَى وَادٍّ أَوْ ذِي رَأْيٍ”
Daripada Abu Razin, dia berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Mimpi itu berada di kaki burung selama ia belum ditafsirkan. Apabila sudah ditafsirkan, ia akan berlaku.’ Maka janganlah kamu menceritakannya melainkan kepada orang yang penyayang (mencintai) atau orang yang berakal (berpendapat baik).”
(Hadith Riwayat Abu Daud No. 5022 dan Tirmidzi No. 2272)
Status: Sahih (Al-Albani)
Berdasarkan hadith-hadith di atas, ada adab menceritakan mimpi bergantung kepada jenis mimpi itu. Mimpi ada tiga jenis:
⊕ Mimpi yang Baik (Rukyah): Menceritakan mimpi yang baik adalah dibolehkan, tetapi hanya kepada orang yang anda cintai atau percayai, yang diyakini akan memberikan tafsiran yang baik. Jangan menceritakannya kepada orang yang mungkin iri hati atau akan memberikan tafsiran negatif.
Dalam Islam, mimpi yang baik seringkali datang dalam bentuk simbol, bukan secara literal. Kerana itulah mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini disebut bintang, matahari dan bulan. Mimpi jenis ini memerlukan tafsiran untuk memahami maknanya. Ini adalah salah satu keunikan mimpi yang datang daripada Allah ﷻ, yang berfungsi sebagai petunjuk atau berita gembira. Dalam Islam, tafsiran mimpi bukanlah satu perkara yang boleh dibuat sewenang-wenangnya. Ia memerlukan ilmu dan keperibadian yang baik.
-
- Hanya Tafsirkan Mimpi yang Baik: Kita hanya dibenarkan menafsirkan mimpi yang baik, dan bukan mimpi yang buruk.
- Rujuk kepada yang Berilmu: Tafsiran mimpi haruslah dibuat oleh orang yang berilmu, warak, dan berpegang teguh pada Al-Qur’an dan Sunnah.
- Tafsiran Perlu Positif: Seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad ﷺ, kita perlu memastikan tafsiran itu positif, untuk menguatkan semangat dan keyakinan, bukan sebaliknya.
Selain itu, mimpi para Nabi seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah wahyu. Ya walaupun baginda belum dilantik menjadi Nabi, mimpi itu adalah sebahagian daripada wahyu dan ia menjadi tanda yang baginda akan menjadi Nabi. Malah Nabi Muhammad ﷺ sebelum menerima wahyu di Gua Hira’ telah mendapat mimpi. Hadith ini diriwayatkan oleh Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, yang menceritakan permulaan wahyu kepada Rasulullah ﷺ.
كَانَ أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنَ الْوَحْىِ الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ فِي النَّوْمِ، فَكَانَ لاَ يَرَى رُؤْيَا إِلاَّ جَاءَتْ مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ
“Permulaan wahyu yang datang kepada Rasulullah ﷺ adalah mimpi yang benar ketika tidur. Tidak ada mimpi yang baginda lihat melainkan ia datang bagaikan cahaya subuh (iaitu menjadi kenyataan).”
(Sahih Bukhari No. 3 dan Muslim No. 160)
Manusia biasa juga boleh mendapat ilham atau isyarat yang benar daripada mimpi. Ini seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ dan diriwayatkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menyebut bahawa mimpi yang benar adalah sebahagian daripada kenabian.
عَنْ أَنَسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ”
“Daripada Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: ‘Mimpi yang baik adalah sebahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian.'”
(Sahih Bukhari No. 6987 dan Muslim No. 2263)
Bukanlah bermakna mimpi benar itu menjadi Nabi pula; maksudnya Nabi sudah tidak ada lagi dan sudah tidak ada wahyu lagi, tetapi Allah ﷻ meneruskan memberikan ilham kepada sesiapa yang layak. Ia dikira 1/46 kenabian kerana begini: Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasul selama 23 tahun. Sebelum baginda menjadi Rasul, baginda telah diberikan mimpi yang benar selama 6 bulan. 6 bulan daripada 23 tahun adalah 1/46.
Namun kita kenalah berhati-hati dengan mimpi. Kalau mimpi manusia selain Nabi, ia ada kemungkinan boleh tersalah dan diganggu oleh syaitan. Oleh kerana itu kalau mimpi Habib, ulama’ dan orang selain Nabi, ia tidak semestinya benar dan ia tidak boleh dijadikan hujah. Kerana itu kita tidak memandang hujah-hujah yang datang daripada mimpi manusia kerana ia belum tentu benar. Semua mimpi perlu dinilai dengan dalil yang ada dan perlu diperiksa, jangan terus dipercayai. Malangnya ramai yang menggunakan mimpi mereka untuk mengeluarkan syariat yang baru atau sebagai tanda yang mereka itu kononnya wali, dapat arahan daripada Allah ﷻ dan berbagai-bagai lagi dakwaan yang salah.
Kita juga boleh mengambil panduan daripada mimpi kita kerana Allah ﷻ memberi panduan peribadi kepada kita di dalam mimpi. Akan tetapi untuk mendapat mimpi yang baik dan jauh daripada gangguan syaitan, kita kenalah menjadi orang yang baik dahulu. Rasulullah ﷺ telah bersabda,
“أَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا”
“Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar percakapannya.”
(Sahih Muslim No. 2263)
Syarah: Ini bermakna mimpi orang yang jujur dan benar dalam percakapannya akan lebih cenderung menjadi kenyataan atau mengandungi makna yang jelas dan bermanfaat. Ibnul Qayyim رَحِمَهُ اللَّهُ menulis: “Dan barangsiapa yang ingin mimpinya itu benar, hendaklah dia melatih dirinya dalam kejujuran, berkata benar, jangan campur bohong, dan hendaklah memakan harta yang halal, dan selalu menjaga perintah dan larangan Allah ﷻ. Maka kalau hendak tidur, hendaklah dia berwudhu’ terlebih dahulu dengan sempurna, lalu berbaring dengan menghadap Kiblat, dan ingat akan Allah ﷻ (zikir) sampai matanya tertidur. Kalau dia lakukan demikian, maka mimpinya tidaklah akan buruk. Mimpi yang paling benar, ialah mimpi di waktu sahur, kerana waktu sahur itulah waktu turunnya Ilahi ke langit dunia, dan rahmat di waktu itu jadi dekat, dan ampunan Ilahi pun hampir dan syaitan sedang tidak sibuk.”
Maka inilah yang dinamakan al-Mubasy-syiraat seperti yang disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menjelaskan perkara ini dengan lebih terang.
عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا الْمُبَشِّرَاتُ” قَالُوا: وَمَا الْمُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: “الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ”
Daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Tidak ada lagi yang tinggal daripada kenabian melainkan al-Mubasy-syiraat.” Para sahabat bertanya: “Apakah itu al-Mubasy-syiraat?” Baginda menjawab: “Mimpi yang benar.”
(Sahih Al-Bukhari No. 6990)
Syarah: Al-Mubasy-syiraat berasal daripada akar kata Arab yang bermaksud “berita gembira” atau “khabar gembira.” Dalam konteks hadith ini, ia merujuk kepada mimpi yang benar (ar-ru’ya as-solihah) yang berfungsi sebagai khabar gembira daripada Allah ﷻ untuk hamba-Nya. Walaupun wahyu kenabian telah terputus, Allah ﷻ masih memberikan mimpi yang benar kepada orang-orang soleh sebagai penghibur, petunjuk, atau peringatan. Mimpi ini berfungsi untuk menguatkan iman mereka dan memberi motivasi dalam menjalani kehidupan.
Paling penting, hadith ini tidak bermaksud bahawa mimpi boleh dijadikan sumber hukum atau dalil untuk mencipta ajaran baru dalam Islam. Tafsiran ini sering disalahgunakan oleh golongan yang ingin menjustifikasikan amalan yang tidak bersumber daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepakat bahawa mimpi yang benar hanya bersifat peribadi dan tidak boleh digunakan untuk mengubah syariat yang telah sempurna.
⊕ Mimpi yang Buruk (Hulm): Jangan sekali-kali menceritakan mimpi yang buruk kepada sesiapa pun. Ini kerana ia akan terus menakutkan kita. Sebaliknya buat tidak tahu sahaja dan lupakan sahaja. Kalau diceritakan kepada orang, akan menyusahkan kita nanti kalau ia dijadikan sebagai realiti.
Dalam ajaran Islam, syaitan boleh mengganggu dan mempengaruhi mimpi manusia. Ini adalah kerana syaitan boleh membisikkan kepada manusia tanpa manusia sedar. Bisikan itu menyebabkan manusia itu asyik memikirkannya sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi jenis ini dikenal sebagai al-hulm (الحُلم), yang merupakan salah satu daripada tiga jenis mimpi yang dijelaskan oleh Rasulullah ﷺ. Tujuan utama syaitan mengganggu mimpi adalah untuk menakut-nakutkan, menyedihkan, dan membuat seseorang merasa resah gelisah. Syaitan tidak dapat memberikan petunjuk atau wahyu, kerana itu adalah kekuasaan Allah ﷻ semata-mata. Sebaliknya, syaitan hanya boleh memanipulasi minda dan emosi seseorang. Gangguan syaitan dalam mimpi boleh mengambil beberapa bentuk:
-
- Mimpi yang Menakutkan: Ini adalah mimpi di mana seseorang dikejar, diserang, atau berada dalam keadaan bahaya. Tujuannya adalah untuk menimbulkan ketakutan dan kekacauan emosi.
- Mimpi yang Menyedihkan: Mimpi ini mungkin menunjukkan kejadian yang tidak menyenangkan, seperti kehilangan orang yang disayangi atau kegagalan yang menyedihkan, yang menyebabkan seseorang bangun dengan perasaan sedih atau kecewa.
- Mimpi yang Mengandungi Gangguan: Ini termasuk mimpi-mimpi yang mengandungi unsur-unsur haram, syahwat, atau perkara-perkara yang dilarang dalam Islam, sebagai cubaan untuk mengganggu ketenangan dan keimanan seseorang.
⊕ Ada satu lagi mimpi yang dinamakan Mimpi Kosong (Adghath al-Ahlam). Istilah ini nanti kita akan lihat apabila masuk cerita mimpi raja Mesir. Mimpi ini datang daripada bisikan hati atau fikiran sendiri. Ia adalah hasil daripada aktiviti mental dan emosi yang dialami seseorang sepanjang hari. Mimpi ini tidak mempunyai makna atau petunjuk yang perlu diberi perhatian. Contoh: Memimpikan pekerjaan atau masalah yang anda hadapi, atau memimpikan hal-hal yang tidak masuk akal dan bercampur aduk. Mimpi jenis ini tidak mempunyai makna yang perlu ditafsirkan dan ia tidak perlu diberi perhatian atau diceritakan kepada orang lain.
Itulah tiga jenis mimpi seperti disebut oleh Rasulullah ﷺ di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
الرُّؤْيَا ثَلاَثَةٌ: فَالرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ بُشْرَى مِنَ اللَّهِ، وَالْحُلُمُ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَأَضْغَاثُ أَحْلاَمٍ مِنَ الَّذِي يُحَدِّثُ بِهَا الرَّجُلُ نَفْسَهُ
“Mimpi itu ada tiga: Mimpi yang baik adalah berita gembira daripada Allah, mimpi yang buruk adalah daripada syaitan, dan mimpi kosong adalah daripada apa yang dibisikkan oleh diri seseorang sendiri.”
(Riwayat Ibnu Majah No. 3907)
Status: Sahih (Al-Albani)
فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا
maka mereka merancang rancangan terhadapmu.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat yakin dengan kecemburuan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan baginda tidak berkata: “Aku takut mereka akan membuat tipu daya” melainkan baginda dengan yakin berkata: “Mereka akan merancang tipu daya”. Kalimah كَيدًا adalah di dalam bentuk maf’ul mutlak sebagai penekanan yang mereka pasti akan lakukan. Maknanya baginda kenal sangat dengan anak-anak baginda.
Perhatikan di dalam masa yang sama, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yakin yang anaknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu suci hatinya, lapang dadanya dan baik hati sehinggakan maklumat yang diberikan itu tidaklah akan menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ marah kepada abangnya pula dan mengeruhkan keadaan. Jadi baginda boleh beritahu hal itu kepada anaknya.
Allah ﷻ menggunakan ‘كيد’ dalam ayat ini dan bukan ‘مكر’. Kedua-duanya digunakan dalam bahasa Arab sebagai ‘rancangan’, tetapi tidak sama di antara keduanya. Kalimah مكر adalah rancangan jahat untuk merosakkan seseorang. Untuk كيد pula, ia boleh digunakan mungkin rancangan untuk kebaikan ataupun untuk kejahatan. Kalimah كيد merujuk kepada rancangan yang banyak langkah, bukan datang dengan tiba-tiba. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pasti apa yang abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu akan buat. Cuma baginda suruh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjaga-jaga sahaja. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda.
Apakah tafsir mimpi itu? Mimpi itu bererti bahawa kelak semua saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan tunduk dan menghormatinya dengan penghormatan yang sangat besar; mereka akan bersujud kepadanya demi menghormati, mengagungkan, dan memuliakannya. Maka Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merasa khuatir jika Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya, kerana mereka pasti akan merasa dengki terhadapnya, lalu mereka akan membuat tipu daya untuk membinasakannya.
Di sini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu ada kemungkinan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan melakukan sesuatu jikalau mereka tahu tentang mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Secara tidak langsung, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memburukkan mereka, bukan? Tidakkah ini ghibah? Tidak sama sekali kerana memberitahu tentang rancangan jahat seseorang bukanlah ghibah yang haram itu.
Di sini juga mengajar kita bahawa bukan semua perkara kita kena cerita dengan orang. Kenalah gunakan kebijaksanaan melihat reaksi dan perangai orang itu bagaimana. Takkan kita hendak cerita semuanya kepada kaki bawang? Kalau kita rasa orang tidak suka dengan kejayaan dan nikmat yang kita dapat kerana ditakuti mereka jadi dengki, maka kita kena rahsiakan. Ini juga ada diajar oleh Rasulullah ﷺ,
اسْتَعِينُوا عَلَى إِنْجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ، فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
“Mintalah pertolongan untuk kejayaan hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya, kerana sesungguhnya setiap orang yang memiliki nikmat itu akan didengki.”
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa sumber utama, namun ia seringkali diklasifikasikan dengan status yang berbeza-beza oleh para ulama hadith:
- Imam Al-Baihaqi dalam kitabnya Syu’ab al-Iman.
- Imam Abu Nu’aim dalam Hilyat al-Auliya’.
- Imam Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir dan Al-Mu’jam Al-Ausat.
Meskipun demikian, terdapat perbincangan di kalangan ulama mengenai sanad (rangkaian perawi) hadith ini:
-
Beberapa ulama menganggapnya dha’if (lemah) kerana ada masalah pada sanadnya, seperti adanya perawi yang tidak dikenali atau sanad yang terputus.
-
Namun, majoriti ulama, termasuk Syeikh Al-Albani, menganggap matan (isi) hadith ini sahih atau hasan (baik) kerana ia disokong oleh banyak riwayat lain dan selari dengan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah yang lain.
Ini juga mengajar kita bahawa dengki dalam kalangan adik beradik itu biasa berlaku. Kalau anak-anak para Nabi pun boleh berlaku, apatah lagi dengan anak-anak kita? Maka kita sahaja kena prihatin dengan perkara ini dan cuba mendidik mereka supaya menjaga hati jangan dengki dengan orang lain. Walau bagaimanapun kita boleh nasihat dan ajar sahaja namun tidaklah boleh kita hendak mengubah hati manusia.
Ia menunjukkan yang baginda sedar dengan realiti semasa. Baginda sedar yang tidak semestinya anak-anaknya itu walaupun anak seorang Nabi, mereka itu semuanya baik sahaja. Ini mengajar kita yang kalau kita sudah cuba mendidik anak kita dengan ajaran baik pun, tidak semestinya mereka akan menjadi baik. Jadi kalau anak ustaz tidak baik, jangan salahkan ustaz itu kerana mungkin ustaz itu sudah jalankan tanggungjawab mengajar dan mendidik anaknya, cuma anaknya itu sahaja yang degil. Lihatlah contoh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini – baginda adalah seorang Nabi namun anak baginda ada yang tidak baik. Begitu juga Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang ada anak yang tidak mahu ikut baginda.
Disebabkan tidak sedar tentang perkara inilah yang menyebabkan ramai ibubapa marah kalau guru di sekolah marahkan anak mereka. Mereka kata anak mereka baik, di rumah senyap sahaja, tidak mungkin di sekolah berperangai buruk pula? Itu adalah perasaan dan anggapan mereka sahaja. Mereka bukannya tahu anak mereka sebenarnya macam mana bila di luar rumah dan di belakang mereka.
Ini juga mengajar bahawa kita tidak boleh mengawal orang lain dan kita kenalah bersabar sahaja dengan mereka. Memang kita tidak dapat mengawal segala apa yang orang di bawah kita lakukan, bukan? Masa anak kita kecil, bolehlah kalau kita hukum mereka, tahan mereka, paksa mereka, tetapi kalau mereka sudah besar sedikit, bagaimana? Nanti apabila mereka sudah besar, kita akan sedar yang kita hanya boleh nasihatkan mereka sahaja dan berikan ajaran sebaik mungkin, tetapi hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu menjaga mereka dan berikan hidayah kepada mereka, bukan kita. Maka terimalah hakikat yang kita memang tidak boleh kawal mereka dan ini kadang-kadang susah untuk kita terima.
Ayat ini ada kaitan dengan dugaan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda juga diganggu oleh kaum keluarga baginda semasa berdakwah di Mekah. Ini kerana yang menentang baginda termasuk ahli keluarga baginda sendiri. Maka adalah perkara biasa sahaja kalau adik beradik dan ahli keluarga kita sendiri tidak bersama dengan kita dan tidak suka dengan dakwah kita. Ini adalah dugaan. Sebagai contoh, Muhammad bin Abdul Wahhab, adalah seorang ulama dari Najd yang selalu dikaitkan dengan gerakan Wahabisme. Beliau mempunyai seorang abang bernama Sulaiman bin Abdul Wahhab. Sulaiman juga seorang ulama. Pada awalnya, beliau tidak sependapat dengan pandangan-pandangan saudaranya, Muhammad bin Abdul Wahhab, terutamanya mengenai isu takfir (mengkafirkan orang Islam) dan interpretasi yang keras terhadap beberapa amalan agama.
إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ
Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang syaitan akan mengambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Ini kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat ke dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan melepaskan peluang kerana ia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan berbuat apa sahaja untuk menyesatkan manusia.
Ayat ini mengajar kita yang syaitan adalah punca kepada yang buruk. Seorang manusia mungkin asalnya baik tetapi dek kerana bisikan syaitan menyebabkan dia menjadi jahat. Begitulah sifat iblis yang telah menipu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari dahulu lagi. Semasa Allah ﷻ hendak melantik Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai khalifah, iblis senyap sahaja tidak berkata apa-apa tetapi senyap-senyap dia menyimpan dendam terhadap Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka begitulah juga dengan adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka tidak cakap apa-apa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mereka simpan di dalam diri mereka, menunggu masa untuk meletup sahaja. Tidak tahu bila mereka akan mengambil tindakan. Kerana itu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ risau kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menceritakan mimpinya itu kerana mungkin itulah insiden yang akan menyebabkan abang-abangnya itu bertindak. Selama hari ini mereka simpan dalam hati sahaja.
Maka ini mengajar kita supaya jangan simpan rasa benci dan dendam dalam hati. Jangan biarkan syaitan membisikkan perasaan dengki ke dalam hati itu. Perkara itu akan digunakan oleh syaitan untuk merosakkan kita. Kejayaan sesiapa sahaja adalah pemberian daripada Allah ﷻ, bukan hak kita untuk mempersoalkan. Kalau seseorang mendapat nikmat, itu mungkin kerana usaha dia, mungkin kerana Allah ﷻ beri pada waktu itu dan pada waktu lain Allah ﷻ tarik. Siapa kita untuk mempersoalkan tindakan Allah ﷻ? Jangan hiraukan bisikan syaitan itu. Kita kena sedar yang syaitan sentiasa membisikkan benda-benda yang buruk ke dalam hati kita. Kalau kita sudah ada ilmu, maka kita senang perasan: “Ini bisikan syaitanlah ni… jangan layan!”.
Ia mengajar kita yang adik beradik kita tidak semestinya baik belaka. Mereka itu adalah dugaan daripada Allah ﷻ kepada kita kerana kita bukannya boleh pilih adik beradik sepertimana kita pilih kawan-kawan. Sebagaimana mereka itu ujian bagi kita, jangan lupa kita juga ujian bagi mereka. Jangan perasan kita baik sangat. Kalau ada kekurangan pada mereka, biarlah dan bersabarlah kerana mungkin mereka sedang ditipu oleh syaitan. Kita doakan yang baik-baik sahaja. Bayangkan anak beranak Nabi pun boleh ditipu syaitan, apatah lagi kita? Tidak ada sesiapa yang selamat daripada diganggu syaitan. Ini adalah dalil anak-anak Nabi tidak maksum. Jadi kalau ada keturunan Habib sangka mereka maksum, itu adalah pemahaman yang sangat salah.
Begitulah jangan kita perasan ahli keluarga kita baik-baik belaka. Jangan kita pertahankan anak-anak kita kalau mereka telah melakukan kesalahan. Banyak kali bukan kita dengar kisah ibubapa dipanggil ke sekolah dan apabila guru kata anak mereka buat itu dan ini, emaknya akan pertahankan dengan kata: “Eh anak saya ni baik cikgu…. dia tak pandai buat salah!” Janganlah naif sangat kerana walaupun anda tidak ajar mereka buat jahat, syaitan ada untuk ajar mereka. Begitulah juga kalau seorang adik itu baik, tidak semestinya abangnya pun baik kerana sifat masing-masing. Belajarlah daripada kisah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang kenal anak-anaknya dan tidak naif.
Musuh yang nyata
Kenapa syaitan dikatakan musuh yang nyata sedangkan mereka itu ghaib pada pandangan kita? Dalam ayat 1 telah disebut ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ dan sekarang syaitan pula yang مُبينِ? Jadi kena faham bahawa bukanlah sifat syaitan sama macam Al-Qur’an pula. Maksud مُبينِ bagi syaitan itu adalah permusuhan mereka yang jelas, bukannya mereka yang jelas.
1. Kerana mereka tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap anak Adam. Kalau musuh kita dalam kalangan manusia, kadangkala kita tidak tahu pun mereka musuh kerana mereka menyembunyikannya dan tidak mengaku. Akan tetapi iblis telah berjanji di hadapan Allah ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka syaitan tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti.
2. Manusia pertama iaitu Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun iblis sudah cuba sesatkan dan berjaya menyebabkan baginda diturunkan dari syurga. Jadi bukan calang-calang penipuan mereka kerana Nabi yang bijak pun boleh tertipu.
3. Maknanya mereka tidak buang masa menipu manusia, malah bermula dengan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi mereka telah menipu. Jadi adakah anda sangka mereka akan berhenti?
4. Mereka pula lebih banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita. Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Oleh kerana ramainya mereka, kita pun tentu susah hendak melawan syaitan yang ramai.
5. Kalau bermusuhan dengan manusia, ada yang lama-lama tidak bermusuhan lagi dan malah ada yang jadi kawan pula. Namun tidak sama sekali dengan syaitan; dengan mereka bukannya boleh bawa bincang.
6. Kalau musuh dalam kalangan manusia, mereka pun tidaklah sentiasa bermusuhan dengan kita. Mereka juga perlu kerja, makan dan sebagainya. Akan tetapi syaitan tidak ada masa rehat untuk mereka menipu dan menyesatkan kita kerana mereka bukannya ada kerja menjadi cikgu, jurutera dan peguam. Memang kerja sepenuh masa mereka adalah menipu manusia.
7. Kalau musuh manusia yang zahir, senanglah kita lawan mereka dan mengelak daripada mereka. Akan tetapi kalau daripada syaitan bangsa jin yang kita tidak nampak, bagaimana kita hendak perasan mereka sedang menipu kita?
8. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.
Bunyi macam hebat pula puak-puak syaitan ini, bukan? Maka bolehkah kita selamat daripada mereka? Dengan izin Allah ﷻ, boleh. Kita kena belajar agama untuk kita kawal diri kita supaya tidak terus terjebak dengan bisikan syaitan. Jangan kita anggap mereka kuat kerana Allah ﷻ telah beritahu yang tipudaya mereka lemah seperti disebut di dalam Nisa’:76
إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطٰنِ كَانَ ضَعِيفًا
sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Maka soalan yang lebih patut ditanya adalah bagaimana hendak mengelak daripada ditipu oleh syaitan? Allah ﷻ ajar di dalam Baqarah:208,
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءَامَنُواْ ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً وَلا تَتَّبِعوا خُطُوٰتِ ٱلشَّيطَـٰنِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Di dalam ayat ini mengandungi juga kalimat إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُّبينٌ dan sebelum itu Allah ﷻ sebut tentang ادخُلوا فِي السِّلمِ كافَّةً. Maka amalkan keseluruhan agama Islam tanpa tinggalkan satu pun. Jangan solat tetapi tidak puasa, jangan belajar tentang Tauhid tetapi tidak belajar tentang adab, jangan amalkan suruhan dalam Al-Qur’an tetapi tidak belajar sunnah. Ini kerana kalau kita tidak belajar keseluruhan agama Islam dan mengamalkannya, maka syaitan akan ada peluang untuk menipu kita di bahagian yang kita tidak belajar dan amalkan.
Setelah mendengar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak memberitahu hal itu kepada abang-abangnya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semakin berhati-hati menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan tidak meninggalkannya siang atau malam. Akan tetapi itu hanyalah usaha baginda sahaja dan kita akan lihat nanti baginda tidak dapat menyelamatkan pun anaknya Yusuf itu. Begitulah kadang-kadang jaga macam mana pun, namun takdir Allah ﷻ mendahului. Bandingkan dengan ibu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berusaha menjaga keselamatan anaknya dari dibunuh, dan berjaya pula. Semuanya di dalam takdir Allah ﷻ.
Soalan Kuiz
Arahan: Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.
- Apakah panggilan yang digunakan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan apakah maknanya?
- Mengapakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menasihati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk tidak menceritakan mimpinya kepada saudara-saudaranya?
- Bagaimanakah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diketahui sebagai seorang ayah yang “model contoh”?
- Apakah perbezaan antara “كيد” (kaid) dan “مكر” (makr) dalam konteks tafsiran ini?
- Apakah maksud hadis Nabi Muhammad ﷺ yang menyarankan untuk “meminta pertolongan untuk kejayaan hajat-hajat kamu dengan menyembunyikannya”?
- Sebutkan tiga jenis mimpi yang dijelaskan dalam hadith Nabi Muhammad ﷺ.
- Mengapakah mimpi para Nabi dianggap sebagai wahyu?
- Bagaimanakah syaitan mengganggu mimpi manusia? Berikan satu contoh.
- Walaupun syaitan tidak kelihatan, mengapa ia disebut sebagai “musuh yang nyata” bagi manusia?
- Bagaimanakah seseorang dapat mengelak daripada ditipu oleh syaitan menurut Surah Al-Baqarah ayat 208?
Glosari Istilah Penting
- Tashghir: Bentuk perkecilan dalam bahasa Arab yang digunakan untuk menunjukkan kelembutan, kasih sayang, atau merujuk kepada sesuatu yang kecil.
- Asbabun Nuzul: Sebab-sebab atau peristiwa yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat Al-Quran.
- Ghibah: Mengumpat atau membicarakan keburukan orang lain di belakang mereka, yang diharamkan dalam Islam melainkan dalam keadaan tertentu.
- Dengki (Hasad): Perasaan iri hati atau benci terhadap nikmat yang diperoleh orang lain, dengan keinginan agar nikmat itu hilang daripada mereka.
- Wahyu: Petunjuk atau ilham daripada Allah yang disampaikan kepada para Nabi.
- Sanad: Rangkaian perawi hadith yang menyampaikan riwayat dari sumber asalnya hingga kepada penulis hadith.
- Dha’if: Status hadith yang lemah disebabkan terdapat masalah pada sanadnya atau perawinya.
- Sahih: Status hadith yang kukuh dan dipercayai kesahihannya, memenuhi kriteria yang ketat.
- Hasan: Status hadith yang baik, sedikit kurang dari sahih tetapi masih boleh diterima sebagai hujah.
- Maksum: Bebas daripada dosa atau kesalahan, biasanya dikaitkan dengan para Nabi dan Rasul dalam Islam.
- كَيد (Kaid): Rancangan atau tipu daya, boleh jadi untuk kebaikan atau kejahatan, dan seringkali melibatkan banyak langkah.
- مكر (Makr): Rancangan jahat atau tipu daya khusus untuk merosakkan seseorang.
- Al-Albani: Ulama hadith kontemporari yang terkenal dengan penilaian hadithnya.
- Bani Israil: Keturunan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, merujuk kepada bangsa Yahudi.
- Bani Ismail: Keturunan Nabi Ismail, عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ merujuk kepada bangsa Arab, termasuk Nabi Muhammad ﷺ.
- Takfir: Mengkafirkan atau menuduh seseorang sebagai kafir.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 Ogos 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kunci Jawapan Kuiz
LikeLike