Tafsir Surah Tawbah Ayat 120 – 121 (Kelebihan keluar berjihad)

BALASAN TERBAIK

Tawbah Ayat 120: Ayat ini adalah sebagai targhib (ajakan) kepada jihad. Melalui ayat ini, Allah ﷻ beritahu orang mukmin yang mereka tidak sepatutnya tinggalkan jihad kerana banyak sekali kelebihan di dalamnya.

ما كانَ لِأَهلِ المَدينَةِ وَمَن حَولَهُم مِّنَ الأَعرابِ أَن يَتَخَلَّفوا عَن رَّسولِ اللَّهِ وَلا يَرغَبوا بِأَنفُسِهِم عَن نَّفسِهِ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم لا يُصيبُهُم ظَمَأٌ وَلا نَصَبٌ وَلا مَخمَصَةٌ في سَبيلِ اللَّهِ وَلا يَطَئونَ مَوطِئًا يَغيظُ الكُفّارَ وَلا يَنالونَ مِن عَدُوٍّ نَّيلًا إِلّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صٰلِحٌ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It was not [proper] for the people of Madīnah and those surrounding them of the bedouins that they remain behind after [the departure of] the Messenger of Allāh or that they prefer themselves over his self.¹ That is because they are not afflicted by thirst or fatigue or hunger in the cause of Allāh, nor do they tread on any ground that enrages the disbelievers, nor do they inflict upon an enemy any infliction but that it is registered for them as a righteous deed. Indeed, Allāh does not allow to be lost the reward of the doers of good.

  • In times of hardship. Rather, they should have been willing to endure with the Prophet () whatever was necessary for Islām.

(MALAY)

Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi yang tinggal di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah (berperang) dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul. Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik,

 

ما كانَ لِأَهلِ المَدينَةِ وَمَن حَولَهُم مِّنَ الأَعرابِ

Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Arab Badwi yang tinggal di sekitar mereka,

Maksudnya, tidak patut bagi sesiapa pun dalam kalangan orang Muslim di mana-mana sahaja untuk tinggal di belakang Rasulullah ﷺ setelah baginda arahkan untuk pergi jihad. Dalam ayat ini dikatakan tidak patut bagi orang yang duduk di Madinah, dan orang yang sekitar Madinah dari golongan Arab Badwi. Kalau sekarang, bukanlah untuk mereka sahaja kerana sekarang Islam sudah merebak ke seluruh dunia. Cuma ayat ini pertama kalinya dikhitab (disampaikan) kepada mereka adalah kerana merekalah yang tinggal bersama dengan Rasulullah ﷺ.

 

أَن يَتَخَلَّفوا عَن رَّسولِ اللَّهِ

tidak turut menyertai Rasulullah

Iaitu tertinggal daripada menyertai jihad dengan Rasulullah ﷺ. Tidak patut mereka tidak menyertai Nabi Muhammad ﷺ dalam peperangan. Amat rugi sekali kerana mereka berpeluang berjuang bersama dengan baginda. Ini adalah peluang yang mereka sahaja ada kerana mereka hidup sezaman dengan baginda. Kita yang hidup pada zaman sekarang tidak ada langsung peluang ini. Tambahan pula arahan yang diberikan adalah arahan jihad yang wajib iaitu sesiapa sahaja yang mampu mesti menghadirkan diri.

 

وَلا يَرغَبوا بِأَنفُسِهِم عَن نَّفسِهِ

dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul.

Tidak patut mereka lebih mengutamakan diri mereka daripada diri Rasulullah ﷺ. Kalimah يَرغَبوا daripada katadasar ر غ ب yang bermaksud mendambakan, mengharap, menjadikan banyak, tunjuk keengganan, tidak suka, tidak bernafsu, melebihkan orang lain daripada diri kita, meminta, cinta, rindu. Maksud ayat ini menegur mereka kerana tidak patut mereka melebihkan urusan peribadi diri mereka daripada urusan dengan Nabi ﷺ. Tidak patut mereka lebih sayangkan diri mereka daripada sayang Rasulullah ﷺ. Sebagai seorang Muslim, hendaklah mencintai dan melebihkan Nabi ﷺ daripada diri kita sendiri.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ، حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ، عَنْ زُهْرَةَ بْنِ مَعْبَدٍ، عَنْ جَدِّهِ قَالَ: كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ: وَاللَّهِ لَأَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ نَفْسِهِ”. فَقَالَ عُمَرُ: فَأَنْتَ الْآنَ وَاللَّهِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: “الْآنَ يَا عُمَرُ”
Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Qutaibah ibnu Sa’id, telah menceritakan kepada kami Ibnu Luhai’ah, daripada Zahrah ibnu Ma bad, daripada datuknya yang mengatakan bahawa kami bersama Rasulullah ﷺ, pada saat itu baginda ﷺ sedang memegang tangan Umar ibnul Khattab رضي الله عنه. Umar ibnul Khattab رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku sukai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: Tidaklah beriman (dengan iman yang sempurna) seseorang di antara kalian sebelum aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri. Lalu Umar ibnul Khattab رضي الله عنه berkata, “Sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri.” Dan Rasulullah ﷺ bersabda, “Memang begitulah seharusnya, hai Umar.”
(Riwayat Ahmad (18193))
Sahih menurut Syu’aib al-Arnauth

Kenanglah kisah seorang sahabat bernama Khubaib رضي الله عنه. Khubaib رضي الله عنه sempat dipenjarakan oleh puak Quraisy, kemudian mereka bersepakat untuk membunuhnya. Mereka membawanya keluar dari Tanah Haram menuju ke Tan‘im (untuk dibunuh di tanah halal kerana merekat hormati Tanah Haram). Ketika mereka mahu menyalibnya, beliau berkata, “Tolong biarkan aku sebentar, agar aku dapat solat dua rakaat.” Mereka pun membiarkannya untuk solat dua rakaat. Setelah dia memberi salam, dia berkata, “Demi Allah, kalau kamu tidak menuduh aku takut, pasti akan kutambah solatku.” Selepas itu Abu Sufyan bertanya, “Adakah engkau gembira jika Muhammad ﷺ ada bersama kami untuk dipenggal lehernya, manakala engkau kami lepaskan pulang untuk hidup tenang bersama keluargamu?”

Beliau menjawab, “Tidak! Demi Allah, aku tidak pernah berasa gembira untuk tinggal bersama keluargaku, jika Muhammad berada di tempatnya sekarang ini dalam keadaan tertusuk duri.”

Lihatlah bagaimana kasihnya Khubaib رضي الله عنه kepada Rasulullah ﷺ. Jangan kata gantikan tempatnya (untuk dibunuh), kalau baginda terkena duri pun beliau tidak sanggup.

Maka apakah tanda yang kita cinta kepada Rasulullah ﷺ? Tentulah dengan mentaatinya, bukan? Kerana itulah ada penyair yang mengatakan:

إن المحب لمن يحب مطيع
Sesungguhnya seorang yang mencintai, kepada yang dicintainya dia taat.

Oleh itu kita mestilah ikuti Sunnah Rasulullah ﷺ dan cara hidup baginda. Bukannya tunjuk cinta dengan mengadakan majlis Mawlid Nabi pula. Itu adalah amalan bid’ah dan tidak pernah diamalkan oleh para sahabat. Lihatlah para sahabat yang paling sayang kepada Rasulullah ﷺ pun tidak pernah menyambut harijadi Nabi ﷺ. Jelas sekali perbuatan manusia yang menyambut Mawlid ini adalah karut semata-mata. Mereka hanya mendakwa mereka cintakan Rasulullah ﷺ tetapi tidak mengamalkan apa yang baginda ajar.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم لا يُصيبُهُم ظَمَأٌ وَلا نَصَبٌ

Yang demikian itu ialah kerana mereka tidaklah ditimpa kehausan, dan tidaklah keletihan

Sekarang masuk kepada ayat targhib (motivasi) kepada jihad. Mereka akan mendapat pahala yang banyak apabila pergi berjihad. Memanglah sesiapa yang terlibat dalam jihad akan mengalami kepayahan yang banyak. Kalau kita ambil contoh Perang Tabuk itu, mereka tentulah kehausan yang amat sangat kerana waktu itu musim panas dan perjalanan amat jauh. Sudahlah panas, perjalanan jauh, kenderaan pun tidak ada sampaikan kebanyakan daripada mereka berjalan kaki sejauh lebih 600 KM. Maka tentulah mereka amat-amat letih. Namun semua itu tidaklah percuma. Ia dibalas dengan ganjaran pahala.

Maka begitu jugalah bagi kita yang menjalankan kerja dakwah yang kadangkala mengalami kepayahan juga. Antaranya dalam menjalankan kerja dakwah itu, dalam perjalanan tentu akan bertemu dengan kehausan dan kepenatan. Cuma tidaklah seteruk mujahideen zaman Nabi itu kerana zaman sekarang banyak sahaja kemudahan seperti kedai menjual makanan dan minuman. Selalunya kalau kita bermusafir, lebih banyak makan berbanding semasa duduk di rumah, bukan?

Ini mengubah paradigma kita tentang pahala yang Allah ‎ﷻ berikan. Pahala bukan sahaja didapati daripada amalan yang kita buat seperti solat, zikir dan lain-lain. Pahala juga didapati jikalau kita menanggung kesusahan dan kepayahan dalam menjalankan ibadah. Ini seperti firman Allah ﷻ di dalam Yaasin: 12

إِنّا نَحنُ نُحى المَوتىٰ وَنَكتُبُ ما قَدَّموا وَءآثٰرَهُم ۚ وَكُلَّ شَيءٍ أَحصَينٰهُ في إِمامٍ مُّبينٍ
Sesungguhnya Kami menghidupkan yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab yang jelas nyata.

Ulama’ membahaskan apakah yang dimaksudkan dengan وَءآثٰرَهُم iaitu kesan-kesan yang mereka alami. Sekiranya ada kesusahan, belanja yang dikeluarkan dan perkara-perkara yang berkaitan di dalam melakukan ibadat, ia pasti dibalas dengan pahala juga.

Maka sekarang Allah ﷻ sebut satu persatu kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang berjihad terutama sekali di Perang Tabuk. Pertama disebut kehausan yang amat sangat dan kedua disebut keletihan yang amat sangat.

 

وَلا مَخمَصَةٌ في سَبيلِ اللَّهِ

dan kelaparan pada jalan Allah, 

Selain daripada mengalami dahaga dan penat semasa menjalankan jihad pada jalan Allah ﷻ, mereka juga akan mengalami kelaparan, kerana kadang-kadang dalam perjalanan itu tidak ada makanan. Begitulah yang dialami oleh mereka yang telah pergi ke Medan Tabuk. Sampaikan ada yang hampir mati kerana kehausan dan ada juga kisah dua orang sahabat yang berkongsi sebiji kurma sahaja.

 

وَلا يَطَئونَ مَوطِئًا يَغيظُ الكُفّارَ

dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang dipijak yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, 

Ada masanya pula mereka terpaksa memijak mana-mana tempat orang kafir yang tidak disukai oleh orang kafir itu kerana mereka tidak suka kita mengajak mereka masuk Islam, masuk kawasan mereka.

Atau, boleh juga bermaksud, yang menyebabkan orang kafir gentar dengan kedatangan umat Islam dalam dakwah dan perang.

Itulah yang dialami oleh para mujahideen di jalan Allah ﷻ. Begitu juga orang yang berdakwah. Kadangkala kalau kita pergi ke tempat yang orang tidak suka, hati kita pun tidak sedap, bukan? Akan tetapi usaha dakwah memang kena masuk kawasan mereka. Kadangkala ada juga orang tidak suka pendakwah Tauhid datang kerana kita menegur kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Ini semua bukanlah sesuatu yang senang namun tetap kita lakukan.

 

وَلا يَنالونَ مِن عَدُوٍّ نَّيلًا

dan tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh,

Ada masanya, umat Islam mesti berperang dengan orang kafir kerana mereka menentang kita menyampaikan dakwah Islam. Mereka tidak benarkan kita masuk ke negara mereka untuk berdakwah. Kalau mereka benarkan, tidak ada masalah. Apabila kita perangi mereka, mereka akan disakiti.

Tentunya semua perkara yang disebut di atas adalah perkara yang berat dan payah bagi mereka yang menjalankan kerja dakwah, terutama kalau terpaksa berperang dengan orang kafir. Namun kepayahan itu bukan percuma sahaja, kerana Allah ﷻ balas dengan kebaikan.

إِلّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صٰلِحٌ

melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. 

Semua perbuatan mereka itu, dan segala kesusahan yang mereka alami itu dikira sebagai amalan soleh. Setiap pergerakan mereka semua dikira amal soleh. Setiap langkah mereka akan diberikan dengan pahala. Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu yang Dia menghargai segala perbuatan baik hamba-Nya.

Malah, semakin susah tugas mereka dan dugaan yang mereka hadapi, semakin banyak tingkatan pahala. Maksudnya, pahala orang yang berdakwah dengan cara mudah dengan orang yang berdakwah dengan cara susah, tidak sama. Kalau kita yang berdakwah melalui FB sahaja tentulah tidak sama pahalanya dengan mereka yang terpaksa berdebat dengan orang lain di dunia luar. Tentunya tidak sama dengan pahala orang yang pergi ke kawasan pedalaman untuk berdakwah kepada orang di sana. Mereka lebih tinggi pahalanya kerana kepayahan yang mereka harus hadapi. Allah ﷻ balas segala kepayahan itu dengan pahala yang berlipat ganda.

 

إِنَّ اللَّهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik,

Allah ﷻ tidak akan menghampakan segala perbuatan baik hamba-Nya, dengan Dia akan memberi balasan kepada mereka yang mempunyai hati yang baik dan melakukan perbuatan yang baik. Allah ﷻ juga mahu berbuat baik kepada orang yang sanggup berjihad dan bersusah payah untuk kebaikan orang lain.

Bayangkan, kalaulah tiada orang-orang terdahulu berjuang untuk menyebarkan agama Islam ini, entah apa yang akan berlaku kepada kebanyakan negara yang sekarang ini sudah Islam seperti Iran, Iraq, Pakistan dan merata-rata tempat. Negara-negara itu dan negara-negara lain yang sudah Islam sekarang, bukanlah asalnya terus negara Islam, tetapi dibuka oleh para sahabat dan para pengikut mereka dalam kalangan tabien dan tabi’ tabein.

Hasilnya juga didapati oleh negara kita juga dan dengan itu adanya pendakwah yang datang ke negara ini dengan susah dan payah untuk menyampaikan agama Islam kepada penduduk asal negara ini. Maka, kita sekarang senang sahaja masuk Islam. Lahir-lahir sahaja sudah dalam keluarga Muslim dan negara yang mudah mengamalkan Islam. Memang mudah sangat untuk kita amalkan Islam di negara ini dan tidak ada alasan lagi bagi kita untuk tidak mengamalkannya.


 

Tawbah Ayat 121:

وَلا يُنفِقونَ نَفَقَةً صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً وَلا يَقطَعونَ وادِيًا إِلّا كُتِبَ لَهُم لِيَجزِيَهُمُ اللَّهُ أَحسَنَ ما كانوا يَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Nor do they spend an expenditure, small or large, or cross a valley but that it is registered for them that Allāh may reward them for the best of what they were doing.

(MALAY)

dan mereka tiada menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar dan tidak melintasi suatu lembah, melainkan dituliskan bagi mereka (amal saleh pula) kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

 

وَلا يُنفِقونَ نَفَقَةً صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً

dan mereka tiadalah menafkahkan suatu nafkah yang kecil dan tidak (pula) yang besar

Segala infak mereka akan dinilai dan diterima oleh Allah ﷻ, tidak kira sedikit atau banyak. Kadang-kadang kita segan hendak beri kerana sedikit sangat, namun Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ hargai juga walaupun sebanyak mana sedekah yang kita keluarkan.

Saidina Uthman ibn Affan رضي الله عنه telah membelanjakan banyak sekali dalam Perang Tabuk itu seperti disebutkan oleh Abdullah ibnu Imam Ahmad رحمه الله:

Ada hadith yang masyhur tentang Saidina Uthman رضي الله عنه yang menginfakkan 300 ekor unta untuk Perang Tabuk ini. Kita lihat hadithnya dahulu,

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ خَبَّابٍ قَالَ شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحُثُّ عَلَى جَيْشِ الْعُسْرَةِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَةُ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَتَا بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ ثَلَاثُ مِائَةِ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْزِلُ عَنْ الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَقُولُ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ
Daripada [Abdurrahman bin Khabbab رضي الله عنه] dia berkata; Aku melihat Nabi ﷺ ketika baginda memberi cadangan terhadap pasukan ‘Usrah (pasukan Tabuk). Lalu ‘Utsman bin ‘Affan رضي الله عنه berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.” Kemudian baginda memberi cadangan terhadap pasukan tersebut, maka Utsman bin ‘Affan رضي الله عنه berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, saya tambah dua ratus lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.” Kemudian baginda memberi cadangan terhadap tentera, maka Utsman bin ‘Affan رضي الله عنه berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di.jalan Allah.” Maka aku melihat Rasulullah ﷺ turun dari mimbar sambil bersabda: “Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Utsman رضي الله عنه setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Utsman رضي الله عنه setelah kebaikannya ini (dosa dan kesalahannya terampuni baik yang lalu dan akan datang -pent).”
(Sunan Tirmizi (3633))
Status: dhaif

Kita selalu dengar kisah Saidina Abu Bakar رضي الله عنه yang menginfakkan seluruh hartanya dan Saidina Umar رضي الله عنه yang hendak mengalahkan Abu Bakar رضي الله عنه tetapi hanya mampu memberi separuh hartanya. Malah banyak lagi kisah para sahabat lain yang miskin tetapi mereka memberi apa yang mereka mampu. Ada dalam kalangan mereka yang kaya yang boleh beri banyak dan ada yang miskin maka hanya mampu beri sedikit. Sedikit atau banyak itu semuanya diambil kira oleh Allah ﷻ dan akan diberi balasan kepada mereka yang memberi.

 

وَلا يَقطَعونَ وادِيًا

dan tidak melintasi suatu lembah, 

Setiap kali mereka melintasi mana-mana lembah dalam perjalanan mereka di dalam jihad mereka, mana-mana kawasan, malah setiap langkah mereka akan dinilai dan direkodkan untuk dibalas. Setiap langkah mereka akan dibalas dengan pahala.

 

إِلّا كُتِبَ لَهُم لِيَجزِيَهُمُ اللَّهُ أَحسَنَ ما كانوا يَعمَلونَ

melainkan dituliskan bagi mereka (amal saleh pula) kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.

Segala infak dan segala usaha mereka dalam dakwah dan jihad itu akan ditulis sebagai amalan soleh. Tidak kisah sama ada kecil ataupun besar.

Termasuk dalam perkara ini adalah dalam usaha kita menuntut ilmu kerana dalam menuntut ilmu, kita kena keluarkan belanja dan kena bergerak mengembara untuk mencari ilmu itu. Kena pergi ke kelas pengajian yang tentunya selalu bukan di rumah kita. Segala usaha itu akan ditulis oleh malaikat.

Tujuan direkodkan itu adalah kerana Allah ﷻ akan balas dengan sebaik-baik balasan lebih daripada apa yang mereka amalkan. Kita akan mendapat balasan berlipat kali ganda daripada usaha dan infak kita itu.

Satu lagi maksud ayat ini, Allah ﷻ akan balas berdasarkan kepada amalan kita yang paling baik. Kita tentu ada banyak amalan kebaikan. Ada yang kecil dan ada yang besar. Namun Allah ﷻ balas nanti mengikut markah amalan yang terbesar itu. Kalau amalan yang kecil pun Allah ﷻ balas mengikut markah amalan yang terbesar itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2023

Ringkasan Surah Tawbah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment