Tafsir Surah Anfal Ayat 33 – 36 (Tepuk dan siulan)

Anfal Ayat 33: Ini adalah jawab syikayah di dalam ayat sebelum ini. Setelah mereka (atau An-Nadhr) doa sebegitu, adakah Allah ‎ﷻ terus menurunkan azab kepada mereka? Tidak, Allah ‎ﷻ tidak turunkan terus azab kepada mereka. Allah ‎ﷻ jelaskan kenapa begitu sedangkan mereka sudah beri cabaran.

وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم ۚ وَما كانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُم وَهُم يَستَغفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But Allāh would not punish them while you, [O Muḥammad], are among them, and Allāh would not punish them while they seek forgiveness.

(MALAY)

Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun

 

وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم

Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. 

Allah ‎ﷻ beritahu yang Allah ‎ﷻ mendengar doa mereka itu tetapi Allah ‎ﷻ jelaskan yang Dia tidak akan mengazab mereka selagi Nabi Muhammad ﷺ ada bersama mereka. Ini kerana kalau Allah ‎ﷻ turunkan azab pada waktu itu, Nabi ﷺ pun akan terkena azab itu sekali dan Allah ‎ﷻ tidak mahu begitu. Allah ‎ﷻ ada kaedah penentuan segala sesuatu. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ melakukan sesuatu.

Maknanya, memang mereka layak dihujani dengan batu segala batu pun, akan tetapi mereka tidak terus dikenakan dengan azab sebegitu kerana Nabi Muhammad ﷺ sedang ada bersama mereka. Begitulah Allah ‎ﷻ akan selamatkan para Nabi. Kalau mana-mana azab yang dikenakan kepada para Nabi terdahulu, Allah ‎ﷻ akan suruh mereka keluar dahulu sebelum kaum mereka dikenakan azab itu.

Contohnya lihatlah arahan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Luth عليه السلام dan keluarganya dalam [ Hijr: 65 ]

فَأَسرِ بِأَهلِكَ بِقِطعٍ مِنَ اللَّيلِ وَاتَّبِع أَدبارَهُم وَلا يَلتَفِت مِنكُم أَحَدٌ وَامضوا حَيثُ تُؤمَرونَ

Maka pergilah kamu di akhir malam dengan membawa keluargamu, dan ikutlah mereka dari belakang dan janganlah seorang pun di antara kamu menoleh ke belakang dan teruskanlah perjalanan ke tempat yang diperintahkan kepadamu”.

Oleh sebab itu, selagi ada Nabi Muhammad ﷺ di Mekah, azab tidak diturunkan kepada penduduk Mekah itu. Dan ada satu lagi sebab yang akan disebut.

 

وَما كانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُم وَهُم يَستَغفِرونَ

Dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun

Ini satu lagi sebab kenapa Allah ‎ﷻ tidak terus mengazab puak Musyrikin Mekah itu. Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab mereka selagi mereka istighfar kepada Allah ‎ﷻ. Soalan: siapa pula yang istighfar?

Itulah umat Islam yang lemah, yang tidak boleh berhijrah. Allah ‎ﷻ tidak mahu mereka terkena azab sama dengan orang Mekah yang musyrik. Mereka itu berdoa supaya Allah ‎ﷻ jangan azab mereka. Akan tetapi Allah  akan mengazab juga orang-orang kafir yang menentang Nabi Muhammad ﷺ itu. Hanya caranya Allah ‎ﷻ bawa mereka keluar dan dimatikan di luar Mekah iaitu dalam peperangan.

Ada juga yang mengatakan yang meminta ampun itu adalah golongan Musyrikin Mekah sendirikerana walaupun mereka musyrik, tetapi mereka ada juga meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ:

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami ayahku telah menceritakan kepada kami Abu Huzaifah Musa ibnu Mas’ud, telah menceritakan kepada kami Ikrimah ibnu Ammar, daripada Abu Zamil Sammak Al-Hanafi, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa orang-orang musyrik bertawaf di Baitullah seraya mengatakan, “Kami penuhi panggilan-Mu, ya Allah. Kami penuhi panggilan-Mu, kami penuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.” Maka Nabi ﷺ bersabda, “Ya, ya.” Mereka mengatakan pula, “Kami penuhi panggilan-Mu, ya Allah. Kami penuhi panggilan-Mu, kami penuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, kecuali sekutu yang menjadi milik-Mu. Engkau memilikinya, sedangkan dia tidak memiliki.” Lalu mengatakan pula, “Ampunan-Mu, ampunan-Mu.” Maka Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedangkan engkau berada di antara mereka. (Al-Anfal: 33), hingga akhir ayat.

Ibnu Abbasرضي الله عنهما mengatakan bahawa dalam kalangan mereka (orang-orang musyrik Mekah) terdapat dua keamanan yang menyelamatkan mereka daripada azab Allah ‎ﷻ, iaitu diri Nabi ﷺ dan permohonan ampun. Setelah Nabi ﷺ tiada, maka yang tertinggal hanyalah permohonan ampun (istighfar).

Istighfar mereka itu memberi kesan. Walaupun ia dilakukan oleh golongan musyrik, tetapi oleh kerana ia baik, Allah ‎ﷻ tetap balas agar nanti mereka tidak boleh tuntut di akhirat. Sebab itulah kalau orang bukan Islam banyak melakukan kebaikan seperti banyak derma, Allah ‎ﷻ akan balas, iaitu Allah ‎ﷻ balas di dunia lagi. Mereka akan mendapat harta yang lebih banyak daripada yang mereka derma itu. Akan tetapi mereka tidak boleh menuntut balasan baik di akhirat kelak kerana Allah ‎ﷻ cakap yang Dia telah beri balasan di dunia lagi.

Ayat ini juga mengajar kita kalau kita tidak mahu dikenakan bala, hendaklah istighfar banyak-banyak. Allah ‎ﷻ akan selamatkan sesiapa sahaja daripada bala kalau ada yang istighfar. Ini sepertimana yang telah diberitahu oleh Rasulullah ﷺ:

حدثنا سفيان بن وكيع حدثنا ابن نمير عن إسمعيل بن إبراهيم بن مهاجر عن عباد بن يوسف عن أبي بردة بن أبي موسى عن أبيه قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أنزل الله علي أمانين لأمتي
{ وما كان الله ليعذبهم وأنت فيهم وما كان الله معذبهم وهم يستغفرون }
فإذا مضيت تركت فيهم الاستغفار إلى يوم القيامة
هذا حديث غريب وإسمعيل بن مهاجر يضعف في الحديث

Telah menceritakan kepada kami Sufyan bin Waki’, telah menceritakan kepada kami Ibnu Numair daripada Ismail bin Ibrahim bin Muhajir daripada Abbad bin Yusuf daripada Abu Burdah bin Abu Musa daripada ayahnya berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Allah ‎ﷻ menurunkan dua jaminan keamanan padaku untuk umatku: ‘Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka, sedang kamu (Muhammad) berada di antara mereka. dan tidaklah (pula) Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun.” (Al-Anfal: 33) dan bila aku meninggal, aku meninggalkan istighfar untuk mereka hingga hari kiamat.”

Hadith ini gharib.

Nota: Syeikh Albani رحمه الله mengatakan sanad hadith ini dhaif kerana Ismail bin Muhajir dilemahkan. Akan tetapi maksudnya benar.

Namun, perlu ditambah bahawa azab yang tidak dikenakan ini adalah azab yang menyeluruh sehingga hancur seluruh umat. Untuk azab yang bersifat individu atau kumpulan kecil, itu tetap Allah ‎ﷻ boleh berikan. Contohnya satu-satu kawasan dikenakan dengan azab kerana menentang Allah ‎ﷻ atau melakukan perkara syirik.

Balaghah: Dalam ayat ini ada digunakan perkataan mengazab tetapi dalam dua bentuk yang berbeza dari segi nahu iaitu kalimah لِيُعَذِّبَهُم dan kalimah مُعَذِّبَهُم. Keduanya bermaksud ‘mengazab mereka’. Tetapi kalimah يُعَذِّبَ dalam bentuk “present tense” sedangkan kalimah مُعَذِّبَهُم dalam bentuk katanama pula (“noun”). Apakah bezanya?

Dari segi balaghah, apabila dalam bentuk katanama, ia bermaksud kekal dan kalau dalam bentuk katakerja, ia adalah tidak kekal.

Oleh itu, apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah لِيُعَذِّبَهُم yang berbentuk katakerja, ia bermaksud yang Allah ‎ﷻ tidak mengazab Musyrikin Mekah selagi Nabi Muhammad ﷺ bersama mereka. Dan keberadaan baginda tidak kekal di situ kerana memang baginda telah ditakdirkan akan berhijrah ke Madinah.

Selepas itu Allah ‎ﷻ gunakan kalimah مُعَذِّبَهُم dalam bentuk katanama untuk mengatakan yang Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab mereka kalau mereka melakukan istighfar. Ia tidak tertakluk kepada masa. Asalkan mereka meminta ampun kepada-Nya, Allah ‎ﷻ tidak akan mengazab mereka.

Yang lebih menarik lagi, kemudian Allah ‎ﷻ kembali menggunakan kalimah يَستَغفِرونَ yang dalam bentuk katakerja, bukan katanama. Ia menunjukkan tidaklah mereka kena sentiasa meminta ampun kepada-Nya. Kalau dalam keadaan sentiasa meminta ampun, maka kalimah dalam bentuk katanama yang akan digunakan. Namun begitu apabila Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah dalam bentuk katakerja, ia bermakna, kalau sekali sekala mereka minta ampun pun, sudah cukup.


 

Anfal Ayat 34:

وَما لَهُم أَلّا يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُم يَصُدّونَ عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ وَما كانوا أَولِياءَهُ ۚ إِن أَولِياؤُهُ إِلَّا المُتَّقونَ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But why should Allāh not punish them while they obstruct [people] from al-Masjid al-Ḥarām and they were not [fit to be] its guardians? Its [true] guardians are not but the righteous, but most of them do not know.

(MALAY)

Kenapa Allah tidak mengazab mereka padahal mereka menghalangi orang untuk (mendatangi) Masjidilharam, dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya? Orang-orang yang berhak menguasai(nya) hanyalah orang-orang yang bertakwa. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

 

وَما لَهُم أَلّا يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ

Kenapa Allah tidak mengazab mereka

Kenapa pula Allah ‎ﷻ tidak boleh azab Musyrikin Mekah itu? Apa pula salah Allah ‎ﷻ kalau azab mereka? Allah ‎ﷻ sebutkan lagi kenapa golongan Musyrikin Mekah itu patut diperangi.

 

وَهُم يَصُدّونَ عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ

padahal mereka menghalangi orang dari Masjidilharam,

Sebenarnya sudah ada alamat yang Allah ‎ﷻ akan mengazab mereka kerana mereka menghalang orang Islam daripada menggunakan Masjidilharam. Orang Islam tidak dapat beribadat di sana. Sekiranya para sahabat ingin beribadat di situ, mereka akan dipukul. Pernah Nabiﷺ  salat di Ka’bah dan pemuka Quraisy meletakkan isi perut unta di belakang baginda.

Ketika umat Islam dari Madinah datang ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pada tahun 6 Hijrah, mereka juga dihalang. Kemudian pada tahun 8 Hijrah, Allah ‎ﷻ telah memenangkan umat Islam ke atas Mekah dan Mekah jatuh ke tangan umat Islam.

Maka jelaslah di sini yang mereka ini adalah penjaga Ka’bah yang paling teruk. Menghalang manusia daripada mengerjakan amal ibadat kepada Allah ‎ﷻ di dalam masjid adalah salah satu daripada perbuatan paling zalim. Allah ‎ﷻ sebut di dalam [ Al-Baqarah: 114 ]

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها ۚ أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

Ayat ini tentang Musyrikin Mekah Jahiliyyah. Akan tetapi bagaimana dengan pemuka-pemuka masjid, surau dan jabatan agama yang menghalang ustaz-ustaz Sunnah daripada mengajar di dalam masjid dan surau? Kita hendak sampaikan ilmu yang benar kepada masyarakat tidak dibenarkan. Sebaliknya mereka yang memberi ajaran karut dibenarkan pula? Mereka nanti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak dengan keputusan mereka ini.

 

وَما كانوا أَولِياءَهُ

dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menjaganya

Sedangkan mereka bukan layak pun untuk menjaga Masjidilharam kerana mereka musyrik dan tidak menyembah Allah ‎ﷻ semata-mata. Mereka sembah Allah ‎ﷻ tetapi ada sembahan kepada selain Allah ‎ﷻ. Malah, mereka telah meletakkan banyak berhala di Kaabah itu, mencemarkan kesucian Kaabah. Sudahlah mereka tidak layak, mereka larang pula orang yang hendak menyembah Allah ‎ﷻ sahaja. Mereka sangka, kedudukan mereka sebagai ‘penjaga’ Ka’bah melayakkan mereka untuk menapis siapa yang patut melakukan di ibadah atau tidak.

Musyrikin Mekah itu perasan yang mereka itu orang pilihan Allah ‎ﷻ kerana mereka itu ‘penjaga’ Ka’bah. Mereka yang membersihkannya, menguruskan urusan tawaf padanya, memberi minum orang yang datang kepadanya dan lain-lain lagi. Kerana itulah mereka perasan mereka sudah terselamat. Namun di sini Allah‎ ﷻ beritahu yang mereka itu tidak layak pun kerana mereka bukan buat kerja yang sepatutnya pun. Malah mereka merosakkan agama dan nama Allah ‎ﷻ.

Itu adalah tentang MasjidilHaram. Namun bagaimana dengan masjid-masjid yang lain? Bagaimana dengan AJK-AJK mereka? Adakah mereka yang layak? Bagaimana kita kata mereka layak sedangkan mereka tidak menjalankan kerja yang sepatutnya? Sepatutnya mereka menjadikan rumah-rumah Allah ‎ﷻ itu sebagai tempat ibadat yang menyembah Allah ‎ﷻ dengan sebenarnya. Mereka sepatutnya memberi ilmu kepada masyarakat, dengan ilmu yang benar. Namun sekarang bagaimana?

Bukankah sekarang ini masjid dan surau hanya boleh diajari oleh puak ahli bid’ah sahaja? Sedangkan asatizah Sunnah disekat daripada mengajar dan menyampaikan ajaran Al-Qur’an dan Sunnah kepada masyarakat. Malangnya yang diajak mengajar ramainya daripada kumpulan yang memberi ajaran karut kepada masyarakat. Kadangkala hadith-hadith yang disampaikan bukanlah hadith yang sahih malah ada yang palsu.

Ini kerana mereka bukanlah kumpulan yang cakna tentang kesahihan wahyu. Mereka ramainya hanya tukang cerita sahaja atau mereka ajar bukannya ilmu daripada wahyu, tetapi apa yang mereka dapat daripada guru-guru mereka sahaja yang bukannya daripada Sunnah.

 

إِن أَولِياؤُهُ إِلَّا المُتَّقونَ

Orang-orang yang berhak menguasai(nya) hanyalah orang-orang yang bertaqwa. 

Allah ‎ﷻ memberitahu yang berhak dan layak menjaga Masjidilharam itu hanya orang bertaqwa sahaja. Itulah orang mukmin yang beriman dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana orang Mukmin akan buat amal ibadat seperti yang sepatutnya, iaitu dengan salat, tawaf dan hanya menyebut nama Allah ‎ﷻ sahaja.

Seperti juga yang disebutkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat yang lain melalui firman-Nya:

{مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ}

Tidaklah patut orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah, sedangkan mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir. Itulah orang-orang yang sia-sia pekerjaannya, dan mereka kekal di dalam neraka. Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah; maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk 

[ At-Taubah: 17-18 ]

Maka urusan menjaga MasjidilHaram dan juga mana-mana masjid hendaklah diberikan kepada orang yang layak. Sebagaimana masjid kita sekarang, kadangkala yang dilantik sebagai AJK itu adalah orang yang ada kedudukan atau harta. Mereka bukannya selalu ke masjid/surau pun tetapi mereka dilantik kerana kedudukan mereka dan kerana berharap pertolongan kewangan daripada mereka sahaja.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Akan tetapi ramai manusia yang tidak memahami siapakah golongan tidak layak untuk menjaga dan meraikan Kaabah itu. Oleh kerana perangai dan kesalahan yang mereka lakukan itu, maka layaklah mereka diganti dengan orang mukmin. Kerana itulah orang Islam di Madinah mestilah memerangi puak kafir Musyrikin di Mekah itu dan mengambil alih Mekah dan Kaabah.


 

Anfal Ayat 35: Ini satu lagi alamat yang Allah ‎ﷻ patut sudah mengazab pun mereka itu.

وَما كانَ صَلاتُهُم عِندَ البَيتِ إِلّا مُكاءً وَتَصدِيَةً ۚ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And their prayer at the House [i.e., the Ka‘bah] was not except whistling and handclapping. So taste the punishment for what you disbelieved [i.e., practiced of deviations].

(MALAY)

Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.

 

وَما كانَ صَلاتُهُم عِندَ البَيتِ إِلّا مُكاءً وَتَصدِيَةً

Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. 

Mereka kononnya sembahyang juga di Kaabah itu tetapi sembahyang mereka adalah nyanyian dan joget dan bertepuk tangan dan siulan. Itu semua adalah amalan yang mereka reka sendiri. Sama macam qasidah dan joget golongan Habib sekarang yang semakin popular, sampai terkinja-kinja orang kita.

Akan tetapi tidaklah kita tahu bagaimana cara mereka salat itu. Ada juga pendapat yang mengatakan bukanlah cara mereka salat begitu, tetapi mereka bersiul dan bertepuk tangan itu kerana hendak mengganggu orang mukmin yang sedang salat.

Sudahlah waktu itu golongan musyrikin tawaf Kaabah dalam keadaan bertelanjang bogel. Bayangkan teruk sekali apa yang mereka lakukan dalam kawasan Kaabah itu. Memang sudah sepatutnya Allah ‎ﷻ sudah menghukum mereka, tetapi Allah ‎ﷻ belum hukum lagi mereka kerana ada yang melakukan istighfar di Mekah itu seperti yang telah disebut sebelum ini.

As-Saddi mengatakan, مُكاءً ertinya siulan; dikatakan demikian kerana bunyinya sama dengan suara burung Muka, sejenis burung yang berbulu putih dari tanah Hijaz.

Mereka menggunakan segala bentuk nyanyian dan alat muzik dalam amalan ‘sembahyang’ mereka itu. Memang ini banyak pun dilakukan oleh agama yang bukan agama Islam. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana penganut Kristian menyanyi dan berjoget dalam gereja mereka. Padahal ini tidak ada pun dalam ajaran Kristian pun tetapi direka oleh golongan mereka sebagai alat penarik orang datang ke gereja. Kerana mereka lihat sudah tidak ramai yang datang ke gereja lagi, maka mereka mengadakan hiburan untuk menarik minat manusia datang ke gereja.

Malangnya, yang beragama Islam pun nak buat begitu juga. Lihatlah bagaimana ada yang berqasidah di stadium, di masjid, di tempat-tempat awam. Yang paling terbaru adalah apa yang dibawa oleh puak Habib yang tidak lain tidak bukan adalah penyanyi-penyanyi sahaja.

Maka berjogetlah dan bernyanyi terkinja-kinja orang kita yang jahil yang senang percaya dengan mereka yang kononnya keturunan Nabi dan memakai jubah dan serban. Orang yang jahil sahaja yang boleh tertipu, malangnya ramai yang jahil agama dalam kalangan kita pun. Nama sahaja beragama Islam semenjak kecil tetapi tidak tahu tentang agama dan tidak tahu tentang Al-Qur’an.

Islam tidak memerlukan hiburan yang sebegitu kerana kita sudah ada Al-Qur’an. Itulah hiburan buat kita. Kalau kita belajar tajwid, dan membaca Al-Qur’an dengan betul, dengan tartil, maka itu adalah hiburan yang terbaik buat kita. Bukanlah nasyid, qasidah dan sebagainya. Malah bukanlah nasyid. Nasyid itu tidak ada kena mengena dengan agama. Itu adalah cara-cara yang salah dalam beribadah dan beragama.

Inilah juga ayat yang dijadikan sebagai dalil untuk melarang umat Islam daripada bersiul dan bertepuk tangan. Ia bukan cara kita. Tidak boleh bertepuk tangan kecuali semasa salat sahaja (itu pun bagi makmum wanita) ketika hendak membetulkan imam yang melakukan kesalahan.

Lalu bagaimana kalau kita hendak menyatakan kegembiraan kita atau memberi semangat? Kita dianjurkan untuk takbir (bukanlah cara takbir satu parti politik itu pula) atau mengucap tasbih.

 

فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu.

Perbuatan mereka itu adalah perbuatan kufur kerana mereka melakukan perkara yang salah. Maka rasailah azab dengan sebab amal kufur mereka itu. Memang layak mereka dikenakan dengan azab kekalahan di tangan puak Islam.


 

Anfal Ayat 36: Ayat takhwif ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنفِقونَ أَموٰلَهُم لِيَصُدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقونَها ثُمَّ تَكونُ عَلَيهِم حَسرَةً ثُمَّ يُغلَبونَ ۗ وَالَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ يُحشَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, those who disbelieve spend their wealth to avert [people] from the way of Allāh. So they will spend it; then it will be for them a regret; then they will be overcome. And those who have disbelieved – unto Hell they will be gathered.

(MALAY)

Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Jahannamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan,

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنفِقونَ أَموٰلَهُم

Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka

Ini adalah ayat menceritakan orang Mekah yang mengeluarkan duit untuk melawan Nabi ﷺ. Apabila Musyrikin Mekah membuat keputusan untuk menyerang puak Islam, Abu Jahal telah mengumpulkan harta daripada mereka semua. Pada waktu itu, orang Mekah yang kafir sanggup mengeluarkan longgokan harta mereka. Maknanya, orang kafir pun infaq juga.

Ada juga riwayat yang menyebut bahawa tanggungan kewangan Perang Badr itu ditanggung oleh 12 orang pemuka Quraisy pada waktu itu, antaranya Abu Jahal, Utbah, Shaybah dan lain-lain lagi. Tentunya kos amat tinggi kerana hendak menanggung perjalanan dan makanan seribu orang amatlah tinggi. Dikatakan mereka menyembelih 10 ekor unta setiap hari. Dan perjalanan pergi sahaja sudah mengambil masa 2 minggu!

Ada juga pendapat yang mengatakan selepas kekalahan Perang Badr dan kematian yang ramai dalam kalangan mereka, waris-waris yang mati itu telah berjumpa dengan Abu Sufyan. Mereka meminta Abu Sufyan dan rombongan perniagaannya itu menanggung kos untuk menyerang kembali Madinah. Dan Abu Sufyan bersetuju dan memberikan wang yang amat banyak. Itulah terjadinya Perang Uhud.

Sebenarnya kalimah ‘infaq’ bermaksud mengeluarkan harta. Ia boleh jadi untuk kebaikan atau untuk keburukan. Kalau keluar belanja beli belah pun dikira sebagai infak juga, bukan? Kerana itulah selalunya disebut infaq fi sabilillah untuk menekankan yang terbaik adalah infaq di atas jalan agama.

Musyrikin Mekah telah mengeluarkan harta mereka untuk melawan umat Islam. Namun kalau kita lihat kalimah يُنفِقونَ itu di dalam bentuk fi’il mudhari’ (“present tense”) maka ia bukan hanya berkenaan mereka sahaja. Ia bermaksud orang kafir akan sentiasa mengeluarkan harta mereka untuk cuba menjatuhkan Islam.

Atau mereka akan mengeluarkan harta mereka untuk menyebarkan agama mereka. Contohnya kita lihat cara orang Kristian yang menabur wang mereka di serata dunia untuk mengajak orang masuk agama mereka.

 

لِيَصُدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ

untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah.

Mereka tidaklah menginfaqkan harta mereka untuk kebaikan, tetapi untuk menghalang manusia daripada menyertai agama Islam. Dalam asbabun nuzul ayat ini, mereka mengeluarkan duit mereka untuk persediaan ketenteraan menentang Islam kerana persediaan peperangan memerlukan wang yang banyak.

Sebenarnya orang-orang kafir ini amat sayangkan harta mereka. Itulah sahaja matlamat hidup mereka, bukan? Akan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu yang mereka itu sanggup keluarkan harta mereka kerana mereka lebih benci kepada Islam daripada sayang harta mereka.

Ini juga memberi pengajaran kepada kita, bahawa memang akan ada sahaja orang kafir yang akan membelanjakan harta mereka untuk perancangan menggagalkan dan menjatuhkan dakwah islamiah. Maka kalau mereka infaq ke arah keburukan, takkan kita tidak mahu infak ke arah kebaikan pula? Adakah kita menyumbang ke arah usaha untuk menyebarkan agama Islam? Tidakkah kita tahu mana-mana kumpulan dakwah yang memerlukan dana untuk mereka bergerak? Kalau ya, maka apa ditunggu lagi?

 

فَسَيُنفِقونَها ثُمَّ تَكونُ عَلَيهِم حَسرَةً

Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, 

Mereka tidak akan berhenti, mereka akan terus infaq untuk menentang jalan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan beri peluang kepada mereka untuk beri lebih banyak lagi. Allah ‎ﷻ akan beri harta yang banyak untuk mereka, dan peluang untuk infaq harta mereka untuk menentang Islam.

Namun mereka akan menyesal nanti kerana mereka tetap kalah juga. Kelak di akhirat esok, harta benda yang mereka infaqkan itu akan menjadi penyesalan yang besar untuk mereka. Infaq harta mereka itu akan bertukar menjadi neraka. Semakin banyak mereka infaq, semakin banyak mereka akan dikenakan azab.

Sebenarnya ada lagi kalimah lain bagi penyesalan iaitu ندامة. Akan tetapi Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah حَسرَةً kerana ia lebih besar lagi daripada ندامة. Oleh kerana Allah ‎ﷻ mahu mereka dikenakan azab lagi, maka Allah ‎ﷻ beri peluang kepada mereka untuk infaq lebih banyak lagi agar penyesalan mereka akan lebih besar.

 

ثُمَّ يُغلَبونَ

kemudian mereka akan dikalahkan.

Walau bagaimanapun akhirnya mereka akan kalah juga. Mereka sudah menginfaq harta dengan banyak, namun kalah juga akhirnya. Ini kerana Allah ‎ﷻ tidak akan memberikan kemenangan kepada mereka. Dalam asbabun nuzul ayat ini, puak kafir Mekah telah dikalahkan oleh puak Islam dalam Perang Badr itu.

Kita hendaklah tawakal dengan Allah ‎ﷻ dalam hal ini. Memang kita sudah tahu yang orang kafir yang jahat akan mengeluarkan harta mereka untuk memadamkan api Islam, tetapi percayalah yang mereka tidak akan berjaya kerana Allah ‎ﷻ akan menjaga agama ini. Asalkan kita menjaga agama ini, maka Allah ‎ﷻ akan menjaga dan menyelamatkan kita dan agama-Nya.

Bukan infaq orang kafir sahaja yang tidak diterima, malah infaq orang munafik pun seperti disebut di dalam [ Tawbah: 53-54 ]

قُل أَنفِقوا طَوعًا أَو كَرهًا لَن يُتَقَبَّلَ مِنكُم ۖ إِنَّكُم كُنتُم قَومًا فاسِقينَ

Katakanlah: “Nafkahkanlah hartamu, baik dengan sukarela ataupun dengan terpaksa, namun nafkah itu sekali-kali tidak akan diterima daripada kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik.

وَما مَنَعَهُم أَن تُقبَلَ مِنهُم نَفَقاتُهُم إِلّا أَنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَبِرَسولِهِ وَلا يَأتونَ الصَّلاةَ إِلّا وَهُم كُسالىٰ وَلا يُنفِقونَ إِلّا وَهُم كارِهونَ

Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima daripada mereka nafkah-nafkahnya melainkan kerana mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.

Ayat daripada surah Tawbah ini amat menakutkan kita. Kerana kita takut infaq-infaq kita semuanya tidak diterima oleh Allah ‎ﷻ, kerana entah-entah kita ini ada sifat munafik! Ini kerana infaq ini hanya diterima daripada orang-orang beriman sahaja. Untuk diterima infaq itu pula ada syarat-syaratnya. Antaranya mesti ikhlas, tidak boleh mengungkit, harta yang baik dan banyak lagi yang disebut di dalam beberapa ayat Al-Qur’an.

Bagaimanakah pula kalau orang Islam yang mengeluarkan duit tetapi bukan ke arah kebaikan? Ini pun akan menjadi sia-sia juga kerana tidak menghasilkan pahala. Contohnya kalau dikeluarkan wang untuk perkara buruk, lagha dan tidak bermanfaat. Maka ini mengajar kita supaya berhati-hati dengan pengeluaran dan belanja wang kita. Jangan sia-siakannya. Kena fikir apakah ini ke arah kebaikan atau tidak?

 

وَالَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ يُحشَرونَ

Dan ke dalam Jahannamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan,

Di dunia, orang kafir itu akan dikalahkan dan di akhirat nanti, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam sebagai tempat tinggal mereka yang kekal abadi. Mereka akan diazab dengan seteruk-teruknya. Allah ‎ﷻ berikan peluang kepada mereka untuk infaq harta bagi melawan Islam, dan mereka akan memakan umpan yang Allah ‎ﷻ berikan itu, dan mereka akan semakin teruk diseksa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 November 2022

Ringkasan Surah Anfal


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment