Tafsir Surah al-Maidah Ayat 39 – 41 (Golongan Munafik dan Yahudi)

Maidah Ayat 39:

فَمَن تابَ مِن بَعدِ ظُلمِهِ وَأَصلَحَ فَإِنَّ اللهَ يَتوبُ عَلَيهِ ۗ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But whoever repents after his wrongdoing and reforms, indeed, Allāh will turn to him in forgiveness. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

(MALAY)

Maka barangsiapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

فَمَن تابَ مِن بَعدِ ظُلمِهِ وَأَصلَحَ

Maka barangsiapa bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri,

Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ memberitahu Dia Maha Bijaksana, yang bermaksud Dia menangguhkan hukuman azab kepada hamba-Nya. Ini memberi peluang untuk manusia yang telah tersasar jauh untuk bertaubat.

Ini peluang yang terbuka kepada yang mahu bertaubat dan memperbaiki diri mereka. Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat mereka. Namun harus diingatkan, penangguhan ini adalah sebelum ditangkap. Kalau sudah ditangkap, maka, masih lagi dikenakan hukuman potong tangan mereka. Ada pendapat lain yang akan disebut nanti.

‘Memperbaiki diri’ itu maksudnya hendaklah dipulangkan semula barang yang mereka curi dan meminta maaf kepada orang yang mereka curi itu. Kalau barang yang dicuri itu telah rosak, atau telah digunakan, maka hendaklah digantikan. Dan orang yang dicuri itu hendaklah bersedia untuk memaafkan.

 

فَإِنَّ اللهَ يَتوبُ عَلَيهِ

maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.

Allah ‎ﷻ sanggup untuk menerima taubat hamba yang ikhlas dalam taubatnya. Dan kalau Allah ‎ﷻ sudah menerima taubat mereka, kita pun kena terima juga, janganlah kita kutuk mereka. Kadang-kadang kita suka memandang serong orang lain. Kalau ada orang yang sudah memasuki penjara, memang sampai bila-bila orang ramai tidak percaya mereka, sedangkan mereka telah bertaubat. Akibatnya mereka hendak mencari kerja pun susah. Habis apa yang mereka akan buat?

Apabila sudah tidak ada kerja yang halal, maka akhirnya mereka akan kembali semula kepada perbuatan mencuri, sebab itu yang paling senang dan itu yang mereka sudah biasa dan pandai buat. Kenapa jadi begini? Ia terjadi kerana kita memandang serong terhadap golongan ini. Ingatlah bahawa semua orang ada membuat salah, dan semua orang ada peluang untuk memulakan hidup yang baru, maka terimalah mereka.

Apakah maksud Allah ‎ﷻ menerima taubat pencuri dalam ayat ini? Adakah hukuman potong tangan tidak dijalankan? Ada ahli fiqh yang mengatakan bahawa hukuman potong tangan tetap dijalankan kerana yang dimaksudkan pengampunan adalah di akhirat sahaja, bukannya di dunia.

Ini berlainan dengan hukuman samun di dalam ayat 34 sebelum ini: إِلَّا الَّذينَ تابوا مِن قَبلِ أَن تَقدِروا عَلَيهِم (kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka). Jadi kalau mencuri, tetap dikenakan hukuman potong tangan juga. Cuma di akhirat, mereka telah diampunkan oleh Allah ﷻ. Jadi jangan sesekali kita panjang tangan kerana hukum yang berat dikenakan kepada kita.

Maknanya, Allah ﷻ hendak beri motivasi kepada penyamun untuk bertaubat dan menyerah diri. Walaupun mereka tidak dikenakan dengan hukum Hudud, mereka tetap boleh dikenakan dengan hukuman ta’zir (apakah hukumannya boleh ditentukan oleh pemerintah).

 

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah ‎ﷻ sanggup menerima taubat makhluk-Nya kerana Dia bersifat Maha Pengampun. Dia itu Maha Pengampun kerana Dia amat penyayang kepada hamba dan makhluk-Nya. Maka ini mengajar kita supaya kita pun kenalah cuba mengikut sifat Allah ‎ﷻ ini. Cubalah untuk menjadi seorang yang pemaaf kepada kesilapan orang lain. Kerana kita pun ada juga salah dan silap, bukan?


 

Maidah Ayat 40: Ayat ini berkait dengan ayat-ayat sebelum ini tentang hukum yang telah diberikan-Nya kepada kita. Ramai manusia mungkin tidak nampak hukum-hukum hudud itu semua sebagai adil, mungkin ada yang rasa ia tidak sesuai untuk manusia zaman ini. Namun Allah ‎ﷻ hendak menekankan yang Dia yang memiliki alam ini, maka hukum adalah daripada Dia juga. Dia yang menentukan hukum. Dia juga yang menghukum dan memaafkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do you not know that to Allāh belongs the dominion of the heavens and the earth? He punishes whom He wills and forgives whom He wills, and Allāh is over all things competent.

(MALAY)

Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah-lah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi, diseksa-Nya siapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

أَلَم تَعلَم أَنَّ اللهَ لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah-lah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi,

Tidakkah kamu tahu – maknanya: tidakkah kamu yakin? Tentang apa? Yang Allah ‎ﷻlah pemilik alam langit dan bumi. Allah ‎ﷻ yang memilikinya, bukan Nabi Isa عليه السلام dan bukan juga ibunya Maryam رضي الله عنها. Mereka itu hamba yang taat, bukannya tuhan.

Maka apabila alam ini milik Dia, maka layaklah Dia menentukan hukum buat kita. Hukuman Hudud pun tidak banyak sebenarnya. Ringkasnya:

1. Jenayah merompak dipotong tangan kanan dan kaki kiri

2. Jenayah curi dipotong tangan kanan

3. Zina dikenakan dengan seratus kali sebatan (dan rejam bagi yang muhsan [telah pernah bernikah])

4. Menuduh zina tanpa bukti adalah 80 kali sebatan

5. Minum arak akan dikenakan dengan 80 kali sebatan dan ini adalah atas ijmak para sahabat.

Jadi jika dilihat dari sini memang tidak banyak hukuman yang telah ditetapkan sebenarnya. Selain daripada itu telah diberikan ruang ta’zir bagi para hakim dan penggubal undang-undang untuk menentukan hukuman yang sesuai. Di samping itu juga, syarat-syarat untuk mengenakan hukum hudud itu amatlah ketat, sehinggakan ada kemungkinan ia tidak dikenakan langsung (maka, boleh dikenakan hukum ta’zir ke atas penjenayah).

Bagi negara yang mengamalkan undang-undang Syariah ini pun jarang dilakukan hukuman hudud ke atas penjenayah. Namun kita boleh lihat amannya negara itu daripada gangguan penjenayah. Kalau di Mekah dan Madinah, kita boleh lihat peniaga boleh tinggalkan sahaja barangan jualan mereka untuk pergi salat, dan tidak ada sesiapa pun yang akan mencurinya.

Bolehkah kita lihat perkara ini berlaku di negara Barat yang mengutuk undang-undang Syariah? Pelik sebenarnya mereka itu: hendak sangat menjaga hak-hak penjenayah, sampaikan hak-hak pemilik harta tidak pula hendak dijaga. Ini sudah terbalik sampaikan penjenayah pun tidak berasa takut hendak mencuri! Pernah terjadi, seorang pencuri masuk ke rumah untuk mencuri. Di dalam rumah itu dia tergelincir. Dia telah saman tuan rumah itu, dan menang!

Dari segi perlaksanaan, undang-undang Islam lebih ketat dan lebih banyak memberi peluang kepada yang tertuduh. Lebih baik melepaskan sahaja yang tertuduh kalau tidak ada bukti yang cukup dan kukuh. Jadi, di mana kejamnya hukum Islam ini? Hanya bagi mereka yang tidak tahu tentang adilnya hukum Allah ‎ﷻ ini sahaja yang tidak nampak keberkatan yang ada di dalamnya.

Marilah kita sampaikan keindahan hukum Allah ‎ﷻ ini. Pertamanya, kena sampaikan kepada umat Islam terlebih dahulu. Ini kerana yang Muslim pun tidak tahu undang-undang yang adil di dalam agamanya sendiri! Bagi mereka, agama ini pada bab-bab ibadah sahaja. Ini amat menyedihkan.

 

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

diseksa-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diampuni-Nya bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

Kuasa mutlak adalah milik Allah ‎ﷻ. Terpulang kepada Dia, siapa yang Dia hendak ampunkan dan siapa yang hendak diazab-Nya. Kuasa itu tidak ada pada Nabi Isa عليه السلام dan bonda baginda.

 

وَاللهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ‎ﷻ yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ hendak buat apa-apa, kita tidak boleh halang, malah kita tidak boleh mempersoalkannya. Sebagai contoh, kalau Allah ‎ﷻ hendak jadikan Hari Kiamat esok, tidak ada apa yang kita boleh lakukan dan tidak ada apa yang boleh kita persoalkan. Kuasa itu ada pada Allah ‎ﷻ dan bukan pada Nabi Isa عليه السلام dan bondanya.

Kuasa Allah ‎ﷻ itulah yang menyebabkan Dia boleh menetapkan hukum apa sahaja dan kita sebagai hamba-Nya kenalah taat kepada hukum itu. Kita hanya terima salah dan kena redha dengan perkara ini. Kalau ada masalah, maka itu hanya kerana ada masalah dalam hati.

Antaranya orang Atheist itu tidak mahu percaya adanya Tuhan, kerana mereka tidak redha untuk menjadi hamba yang taat. Mereka hendak berbuat apa sahaja yang mereka mahu mengikut nafsu mereka. Ini amat bahaya kalau ada dalam hati kita.


 

Maidah Ayat 41: Ayat Zajrun (teguran) kepada golongan munafik dan ahli kitab dan tasliah (pujukan) kepada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ dinasihatkan supaya jangan bersedih dengan kedegilan Ahli Kitab itu.

Sekarang perbincangan kembali kepada topik Ahli Kitab. Asbabun Nuzul ayat ini adalah kejadian yang berlaku dalam kalangan golongan Yahudi yang tinggal di Madinah pada zaman itu. Terdapat dua kes yang dibincangkan iaitu satu kes tentang pembunuhan dan satu lagi tentang zina.

۞ يٰأَيُّهَا الرَّسولُ لا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسٰرِعونَ فِي الكُفرِ مِنَ الَّذينَ قالوا ءآمَنّا بِأَفوٰهِهِم وَلَم تُؤمِن قُلوبُهُم ۛ وَمِنَ الَّذينَ هادوا ۛ سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ سَمّٰعونَ لِقَومٍ ءآخَرينَ لَم يَأتوكَ ۖ يُحَرِّفونَ الكَلِمَ مِن بَعدِ مَواضِعِهِ ۖ يَقولونَ إِن أوتيتُم هٰذا فَخُذوهُ وَإِن لَّم تُؤتَوهُ فَاحذَروا ۚ وَمَن يُرِدِ اللهُ فِتنَتَهُ فَلَن تَملِكَ لَهُ مِنَ اللهِ شَيئًا ۚ أُولٰئِكَ الَّذينَ لَم يُرِدِ اللهُ أَن يُطَهِّرَ قُلوبَهُم ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ ۖ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Messenger, let them not grieve you who hasten into disbelief of those who say, “We believe” with their mouths, but their hearts believe not, and from among the Jews. [They are] avid listeners to falsehood, listening to another people who have not come to you.¹ They distort words beyond their [proper] places [i.e., usages], saying, “If you are given this,² take it; but if you are not given it, then beware.” But he for whom Allāh intends fitnah³ – never will you possess [power to do] for him a thing against Allāh. Those are the ones for whom Allāh does not intend to purify their hearts. For them in this world is disgrace, and for them in the Hereafter is a great punishment.

  • ¹They had not attended the Prophet’s gatherings or heard his words.
  • ²The legal ruling desired by them.
  • ³The meaning here is misbelief, misconception, or self-delusion as a result of one’s own refusal of truth.

(MELAYU)

Hai Rasul, janganlah hendaknya kamu disedihkan oleh orang-orang yang bersegera (memperlihatkan) kekafirannya, iaitu orang-orang yang mengatakan dengan mulut mereka: “Kami telah beriman”, padahal hati mereka belum beriman; dan (juga) di antara orang-orang Yahudi. (Orang-orang Yahudi itu) amat suka mendengar (berita-berita) bohong dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu; mereka merubah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya. Mereka mengatakan: “Jika diberikan ini (yang sudah diubah oleh mereka) kepada kamu, maka terimalah, dan jika kamu diberi yang bukan ini maka hati-hatilah”. Barangsiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatupun (yang datang) daripada Allah. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah tidak hendak mensucikan hati mereka. Mereka beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar.

 

يٰأَيُّهَا الرَّسولُ لا يَحزُنكَ الَّذينَ يُسٰرِعونَ فِي الكُفرِ

Hai Rasul, janganlah hendaknya kamu disedihkan oleh orang-orang yang bersegera (memperlihatkan) kekafirannya,

Allah ‎ﷻ beritahu Nabi ﷺ supaya jangan bersedih apabila melihat sifat mereka yang bersegera ke arah kekufuran. Setelah berkali-kali didakwah dan diajak kepada tauhid, mereka masih lagi mengamalkan kufur. Tentunya Nabi ﷺ berasa sedih kerana baginda mahu umatnya selamat dunia dan akhirat.

Allah ‎ﷻ tahu yang Nabi ﷺ sedih, oleh itu Allah ‎ﷻ mengingatkan baginda supaya jangan begitu, jangan hiraukan sangat mereka itu. Ini kerana kalau tidak, baginda sendiri akan susah hati dan membahayakan diri baginda. Baginda diingatkan supaya tidak perlu menyusahkan diri baginda dengan memikirkan kedegilan mereka sangat.

Siapakah mereka itu? Ada dua golongan yang akan disebut:

 

مِنَ الَّذينَ قالوا ءآمَنّا بِأَفوٰهِهِم

iaitu orang-orang yang mengatakan dengan mulut mereka: “Kami telah beriman”,

Golongan pertama adalah mereka yang berkata mereka Muslim dengan mulut mereka sendiri. Mereka mengakui mereka Muslim dan mereka pun bercampur gaul dengan orang Islam yang lain.

 

وَلَم تُؤمِن قُلوبُهُم

padahal hati mereka belum beriman;

Mereka berkata mereka Muslim itu dengan lidah sahaja tetapi tidak dengan hati mereka. Mereka sebenarnya tidak beriman pun. Jadi ini adalah ayat tentang orang munafik. Dari segi luaran, mereka itu nampak seperti orang Muslim tetapi dalam hati, mereka tidak beriman sebenarnya dan mereka itu amat berminat kepada kekufuran.

Mereka itu mudah minat kepada orang kafir. Kalau kita ajak mereka ke masjid dan belajar agama, susah sungguh; tetapi kalau ikut orang kafir ke sana sini senang sangat. Di zaman Nabi ﷺ juga sudah ada masalah ini, iaitu golongan munafik itu rapat sangat dengan golongan Yahudi. Keadaan ini amat menyedihkan Nabi ﷺ.

 

وَمِنَ الَّذينَ هادوا

dan (juga) di antara orang-orang Yahudi.

Golongan yang kedua yang disebut dalam ayat ini adalah golongan Yahudi yang datang belajar dengan Nabi ﷺ. Memang ada orang Yahudi yang datang-datang ke majlis Nabi ﷺ sambil mendengar apa yang Nabi ﷺ ajar.

Ini adalah jenis orang Yahudi kelas bawahan yang kadangkala duduk dengan golongan agamawan Yahudi dan kadangkala duduk dengan Nabi ﷺ. Mereka yang dari kalangan pendita memang tidak akan datang berjumpa Nabi ﷺ dan duduk dalam kelas pengajian baginda, tetapi golongan bawahan ada juga yang datang kerana hendak dengar-dengar apa yang disampaikan oleh baginda.

Ini pun golongan munafik juga. Mereka nampak sudah berjinak dengan Islam tetapi dalam hati mereka tidak beriman. Bila mereka datang, seperti tunjuk mereka sudah jinak kepada Islam, namun hati mereka tidak beriman sebenarnya.

 

سَمّٰعونَ لِلكَذِبِ

mereka amat suka mendengar (berita-berita) bohong

Mereka suka mendengar kepada perkara yang di dalamnya ada pendustaan tentang agama. Cerita yang tidak benar yang mereka suka dengar. Apabila mereka dengar, mereka senang pula untuk percaya. Orang munafik itu masih suka mendengar lagi kisah-kisah yang disampaikan daripada Yahudi.

Kita kena ingat kembali bahawa sebelum Nabi Muhammad ﷺ datang ke Madinah, puak Arab di situ sudah lama berkawan dengan orang-orang Yahudi. Mereka berkawan, bekerja, menjadi kuli orang Yahudi, malah mereka merujuk hal agama dengan orang-orang Yahudi itu kerana mereka rasa orang Yahudi itu pandai tentang agama kerana mereka ada kitab.

Berita-berita bohong ini amat bahaya. Kalau zaman sekarang, mereka itu adalah jenis yang suka mendengar hadith-hadith yang palsu. Atau kisah-kisah yang karut daripada mulut penceramah. Hadith yang sahih mereka tidak mahu dengar, tidak mahu belajar. Yang hadith belum tentu punca juga yang mereka baca dan sampaikan kepada orang lain.

Lagi satu, mereka itu suka mendengar kisah-kisah khurafat. Kisah khurafat adalah kisah-kisah yang tidak ada dalil. Banyak berlegar dalam kalangan kita sekarang. Kisah seperti virus Covid berhubung dengan Habib, kisah ada Nabi yang turun di Gunung Jerai, kisah Habib mengislamkan orang yang sudah mati dan macam-macam kisah kartun yang sampai kepada kita.

Malangnya ramai pula yang percaya. Itulah sifat munafik dari dulu sampailah sekarang memang telah ada dalam masyarakat kita. Mereka inilah yang percaya kepada perkara yang tidak tsabit daripada wahyu tetapi dikatakan daripada wahyu pula. Ini kerana senang sangat percaya kepada orang yang nampak seolah-olah bijak pandai, bawa perawakan lembut, ada janggut dan memakai serban. Ramai yang kalah dengan penampilan manusia.

 

سَمّٰعونَ لِقَومٍ ءآخَرينَ لَم يَأتوكَ

dan amat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang kepadamu;

Golongan munafik itu suka mendengar kata-kata daripada golongan sesat Yahudi itu. Yahudi itu pula tidak datang pun bertemu dengan Nabi ﷺ dan duduk dalam majlis Nabi ﷺ. Mereka juga suka menyampaikan berita kepada ulama’ mereka yang dalam kalangan Yahudi yang tidak datang kepada Nabi ﷺ.

Mereka membawakan berita dari Madinah kepada ulama’ mereka. Golongan yang tidak datang kepada Nabi ﷺ itu kerana terlalu tinggi ego mereka. Mereka mempunyai kedudukan dalam masyarakat mereka, mungkin sebagai pendita, dan sebagainya. Dahulu mereka yang menjadi tempat rujukan puak-puak Arab ini, jadi mereka rasa mereka merendahkan diri mereka pula kalau duduk belajar dengan Nabi Muhammad ﷺ.

Begitulah juga yang terjadi dalam masyarakat kita. Banyak ustaz-ustaz yang telah lama belajar dengan cara ajaran yang salah yang tidak mengikut sunnah. Mereka itu sudah lama menjadi imam, tok siak, mengetuai bacaan di Majlis Tahlil, doa selamat dan sebagainya. Mereka yang menjadi tempat rujukan masyarakat sebelum ini.

Mereka dahulu tidaklah belajar tinggi mana sangat, mungkin belajar di pondok-pondok dan kelas agama yang ada di masjid-masjid. Dengan modal sedikit itu, mereka sudah dipandang tinggi dalam masyarakat (kerana masyarakat lagi lah tidak tahu apa-apa). Namun sekarang, apabila pembelajaran sunnah sudah bercambah di negara kita, mereka rasa malu hendak datang belajar dengan ustaz-ustaz yang sunnah.

Mereka lebih rela terus duduk dalam kejahilan dan kesesatan daripada duduk mengadap guru sunnah yang mengajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Dan mereka menakut-nakutkan anak murid mereka daripada datang belajar dengan guru yang Sunnah. Mereka kata: “jaga-jaga, dengan ustaz itu dan ini…. itu Wahabi belaka tu!” Kesannya, masyarakat terus jahil dan terus menuduh orang lain sebagai Wahabi.

 

يُحَرِّفونَ الكَلِمَ مِن بَعدِ مَواضِعِهِ

mereka merubah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya. 

Puak Yahudi daripada golongan ulama’ itu telah mengubahsuai kalimah dalam kitab Taurat daripada maknanya yang sebenar. Ada bahagian daripada Kitab Taurat yang mereka sorok daripada masyarakat dan mereka tidak menyampaikannya kepada mereka. Mereka akan tafsir ikut apa yang mereka kehendaki, sesuai mengikut nafsu mereka sahaja.

Sebagai contoh, dalam Taurat memang ada ayat rejam kepada penzina yang telah berkahwin. Namun kalau orang yang kaya datang kepada mereka meminta hukum, mereka telah menukar daripada maknanya yang asal, dan mereka kata hukuman kepada penzina itu adalah dihitamkan muka mereka dan dimalukan di khalayak sahaja.

Namun begitu apabila puak yang miskin pula yang membuat zina, mereka kata hukuman rejam pula mesti dikenakan. Oleh kerana ada “double standard” ini, maka puak miskin telah memberontak. Akhirnya, mereka mengubah semua sekali daripada Taurat itu sampai mereka kata, ayat rejam memang tidak ada.

Kalau golongan agamawan negara ini yang bukan Sunnah dan tidak mahir tentang agama pula, mereka ubah fahaman agama daripada yang sepatutnya. Mereka tafsir maksud ayat-ayat Al-Qur’an mengikut fahaman syirik dan bid’ah mereka. Ini banyak sekali terjadi dan menyebabkan masyarakat menjadi keliru dan pecah belah.

Asbabun Nuzul tentang perkara ini adalah tentang kejadian yang berlaku di antara Bani Nadhir dan Bani Quraizah. Ini seperti yang dapat dilihat di dalam Musnah Ahmad dan juga Sunan Abu Dawud.

Bani Nadhir lebih kaya dan lebih kuat daripada Bani Quraizah. Dan kerana itu mereka menekan Bani Quraizah sehingga ada perjanjian berat sebelah di antara mereka. Mereka tidak mengamalkan hukum qisas seperti yang sepatutnya ada di dalam Taurat. Jika seseorang daripada Bani Nadhir membunuh salah seorang daripada Bani Quraizah, mereka tidak boleh mendapat qisas, sebaliknya hanya mendapat 70 wasaq kurma sahaja dalam bentuk diyat. Sebaliknya jika daripada Bani Quraizah yang membunuh seseorang daripada Bani Nadhir, hukum qisas (balas bunuh) akan dijalankan dan diyat pun mereka kena bayar juga. Malah kena bayar dua kali ganda.

Jika wanita Bani Nadhir yang dibunuh, lelaki daripada Bani Quraizah yang menjadi galang gantinya.
Jika lelaki Bani Nadhir yang dibunuh, dua lelaki daripada Bani Quraizah yang akan dibunuh balik.
Jika hamba Bani Nadhir yang dibunuh, orang merdeka daripada Bani Quraizah yang akan dibunuh balik.
Dan ada beberapa lagi perkara yang tidak adil di dalam perjanjian itu.

 

يَقولونَ إِن أوتيتُم هٰذا فَخُذوهُ

Mereka mengatakan: “Jika diberikan ini kepada kamu, maka terimalah,

Ada satu kes di mana seorang lelaki daripada Bani Quraizah telah membunuh seorang lelaki daripada Bani Nadhir. Maka mereka mahukan balasan nyawa dan dua diyat dua kali ganda seperti yang telah disebut di atas. Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ dianggap sebagai ketua di Madinah, Bani Quraizah berniat untuk mendapatkan keputusan daripada baginda. Tambahan pula mereka pun sebenarnya sudah tahu yang baginda sebenarnya adalah benar seorang Nabi dan tentunya baginda akan berlaku adil.

Bani Nadhir pun terpaksa turut mengikut serta, walaupun mereka amat marah sehingga hendak menyerang Bani Quraizah. Akan tetapi mereka telah menghantar wakil mereka terlebih dahulu untuk berjumpa Nabi ﷺ. Wakil mereka itu kononnya telah masuk Islam tetapi sebenarnya munafik. Mereka telah berpesan kepada wakil itu, kalau keputusan Nabi Muhammad ﷺ itu sama seperti kehendak mereka, maka ikut; kalau tidak sama, jangan bersetuju.

Juga ada dikatakan bahawa ini adalah berkenaan orang-orang Yahudi yang meminta hukum kepada Nabi ﷺ tentang penzinaan. Telah berlaku zina akan tetapi yang berzina itu adalah orang yang berpengaruh, maka seperti biasa mereka hendak mengubah hukum untuk memberikan keringanan kepada pelaku zina itu.

Maka, mereka pergi mendapatkan keputusan hukum daripada Nabi Muhammad ﷺ. Mereka pun berharap semoga baginda akan memberikan hukum yang ringan juga kerana pada mereka, tentu Islam lebih ringan lagi hukumnya. Namun mereka telah berkata wakil mereka, kalau Nabi ﷺ memberi hukuman seperti yang mereka mahu, iaitu diconteng muka dan dimalukan di khalayak ramai, maka terimalah.

Jibril عليه السلام telah turun menemui Nabi ﷺ dan memberitahu bahawa hukuman rejam hingga mati yang mesti dijalankan. Mereka terkejut dan tidak mahu menerima hukuman itu. Maka Jibril عليه السلام suruh dipanggil seorang yang dihormati dalam kalangan mereka yang mahir tentang Taurat.

Daripada Imam Bukhari رحمه الله, disebutkan bahawa Nabi ﷺ bertanya kepada orang-orang Yahudi:

فَقَالَ لِلْيَهُودِ: مَا تَصْنَعُونَ بِهِمَا؟ ” قَالُوا: نُسخّم وُجُوهَهُمَا ونُخْزِيهما. قَالَ: {فَأْتُوا بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ} [آلِ عِمْرَانَ:93] فَجَاءُوا، فَقَالُوا لِرَجُلٍ مِنْهُمْ مِمَّنْ يَرْضَوْنَ أعورَ: اقْرَأْ، فَقَرَأَ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَوْضِعٍ مِنْهَا فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ، قَالَ: ارْفَعْ يَدَكَ. فَرَفَعَ، فَإِذَا آيَةُ الرَّجْمِ تَلُوحُ، قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، إِنَّ فِيهَا آيَةَ الرَّجْمِ، وَلَكِنَّا نَتَكَاتَمَهُ بَيْنَنَا. فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجما.

Apakah yang akan kalian lakukan terhadap keduanya? Mereka menjawab, “Kami akan mencoreng muka mereka dengan arang dan mencaci makinya.” Nabi ﷺ bersabda membacakan firman-Nya: Maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kalian orang-orang yang benar. (Ali Imran: 93) Lalu mereka mendatangkannya dan berkata kepada seorang lelaki di antara mereka yang mereka percayai, tetapi dia bermata juling, “Bacalah!” Lalu lelaki itu membacanya hingga sampai pada suatu bahagian, lalu dia meletakkan tangannya pada bahagian itu. Maka Nabi ﷺ bersabda, “Angkatlah tanganmu!” Lalu lelaki itu mengangkat tangan­nya, dan ternyata tampak jelas adanya ayat hukum rejam. Kemudian lelaki itu berkata, “Hai Muhammad, sesungguhnya di dalam kitab Taurat memang ada hukum rejam, tetapi kami menyembunyikannya di antara kami.” Maka Nabi ﷺ memerintahkan agar keduanya dihukum rejam, lalu keduanya direjam.

Jadi mereka itu sanggup mengubah hukum daripada Allah ‎ﷻ dengan selamba sahaja. Agama menjadi mainan bagi mereka. Mereka tidak kisah pun apa yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ, malah mereka sanggup menukar hukum untuk kepentingan mereka. Maka ini adalah sifat Yahudi yang kita kena jaga supaya jangan terjadi kepada diri kita.

Oleh itu, dari segi umum pula, ini adalah tentang pemuka agama yang menyembunyikan kebenaran daripada orang bawahan mereka. Mereka berkata kepada orang bawahan mereka: “Kalau kamu dapat ilmu sebegini, kamu kena terima.” Padahal itu adalah versi agama yang mereka telah ubah. Mereka suruh ikut versi mereka sahaja.

Malangnya ada golongan agamawan negara ini pun begitu jugalah, seperti ulama’ Yahudi juga. Mereka pesan kepada masyarakat, kalau ada guru yang ajar seperti yang mereka ajar, bolehlah digunakan dan boleh belajar. Padahal yang benar adalah yang bertepatan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, bukannya mengikut ajaran mereka sahaja. Dan kalau tidak sama dengan apa yang mereka ajar, jangan ikut kerana itu adalah ‘wahabi’.

Begitulah keadaan sekarang. Kalau belajar tafsir Al-Qur’an, akan tahu bahawa apa yang mereka ajar itu tidak sama dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Namun malangnya masyarakat kita ramai yang tidak tahu tentang tafsir Al-Qur’an jadi mereka tidak tahu apakah kayu ukur yang benar. Oleh itu mereka senang ditipu oleh guru-guru yang juga jahil dengan wahyu.

Oleh kerana masyarakat pun jahil juga, dan telah diberi pesan sebegitu oleh guru mereka, mereka cuma mengikut guru mereka sahaja dan mereka tidak dapat membandingkan dengan apa yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka hanya mengambil sahaja bulat-bulat fahaman yang diberitahu oleh guru mereka, Syeikh mereka.

Sedangkan ini bukan cara mengambil ilmu agama dalam Islam. Kita kena pastikan dari mana kita mengambil fahaman agama kita kerana perkara ini amat penting – menentukan syurga atau neraka. Mereka yang jahil itu hanya ambil sahaja entah dari mana ilmu mereka. Kalau ada dalam kitab pula, banyak yang tidak ada bibliografi, jadi tidak tahu datang dari mana maklumat itu datang.

Sebagaimana berlegar dalam masyarakat kita sekarang, kalau ada mesej Whatsapp atau Facebook, mereka cuma tulis ‘Hadith Nabi’ sedangkan belum pasti adakah hadith tersebut sahih ataupun tidak. Kalau ia adalah sahih, kenalah diberitahu daripada Kitab mana diambil hadith itu, supaya boleh diperiksa sama ada benar ataupun tidak. Namun malangnya, perkara ini amat berleluasa sekali di luar sana dan kerana itu banyak amalan-amalan pelik yang diamalkan oleh manusia.

 

وَإِن لَم تُؤتَوهُ فَاحذَروا

dan jika kamu diberi yang bukan ini maka hati-hatilah”. 

Berbalik kepada masalah golongan Yahudi ini. Dan ini ada kaitan dengan ayat-ayat hukum sebelum ini. Golongan Yahudi sudah mula perasan yang hukum yang dibawa oleh Al-Qur’an itu lebih lembut daripada hukum yang di dalam Taurat. Jadi mereka nampak peluang untuk memudahkan hidup mereka. Kalau dahulu, mereka ubah sendiri hukum Taurat, tetapi sekarang mereka nampak ada peluang cerah.

Mereka ada peluang untuk berhukum dengan hukuman yang lebih ringan dengan menggunakan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad ‎ﷻ. Tetapi masalahnya, mereka hendak tunggu dan lihat. Kalau hukum yang Nabi ‎ﷻ beri itu kena dengan kehendak mereka, mereka akan menggunakannya; tetapi kalau tidak, mereka akan menolaknya.

Maka ini adalah perangai Yahudi: hanya mengamalkan hukum yang boleh diterima oleh tekak sendiri sahaja. Kalau tidak sesuai, jangan amal.

Dan ini lagi satu fahaman bahaya golongan agama. Mereka hanya memberikan anak murid mereka menggunakan ajaran agama, yang sesuai dengan apa yang mereka ajar. Kalau ada guru agama memberikan ajaran lain, walaupun ajaran itu daripada Al-Qur’an dan Sunnah, jangan diamalkan. Mereka tetap hendak mempertahankan ajaran agama mereka, padahal ajaran mereka itu tidak benar. Dengan beri nasihat buruk ini, mereka menutup jalan daripada anak murid mereka belajar benda yang benar.

Seperti zaman sekarang, ramai yang mengajar menggunakan hadith palsu dan dhaif. Kemudian mereka ajar anak murid menggunakan ajaran mereka sahaja, jangan gunakan ajaran orang lain. Mereka kata, “Entah-entah wahabi dari mana tak tahu…” Inilah fahaman Yahudi yang sampai kepada kita.

Suka benar menggunakan benda yang tidak tsabit daripada nas dan tidak jelas. Dapat pula anak murid yang tidak berapa pandai, jadi mereka mengikut sahaja apa kata ustaz dan guru mereka. Maka teruslah mereka duduk dalam kesalahan agama, dalam kejahilan. Mereka pula terlalu hormat kepada para ustaz, sampai tidak berani untuk mempersoalkan apa sahaja yang diajar oleh para ustaz. Jangan begitu… janganlah taksub dengan guru dan ustaz. Kita kena taksub dengan Sunnah, dengan Nabi, bukannya dengan ustaz. Ustaz itu hanya menyampaikan ajaran agama sahaja, dan kalau ajaran itu salah, janganlah diamalkan.

 

وَمَن يُرِدِ اللهُ فِتنَتَهُ فَلَن تَملِكَ لَهُ مِنَ اللهِ شَيئًا

Barangsiapa yang Allah menghendaki kesesatannya, maka sekali-kali kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun (yang datang) daripada Allah.

Ini adalah ayat jenis idkhal illahi (pencelahan daripada Tuhan). Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita kenapa mereka boleh jadi sampai teruk begini. Ini adalah kerana hati mereka telah rosak. Dan kerana itu Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk mengunci mati hati mereka daripada menerima hidayah langsung. Dan sesiapa yang Allah ‎ﷻ telah membuat keputusan untuk sesatkan, maka tidak ada kuasa langsung untuk sesiapa memberikan hidayat kepada mereka.

Allah ‎ﷻ menafikan Nabi Muhammad ﷺ mempunyai kuasa untuk mengubah mereka. Kalau Nabi ﷺ pun tidak ada kuasa, kita lagilah tidak akan mampu, sekali kali tidak akan mampu.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ لَم يُرِدِ اللَهُ أَن يُطَهِّرَ قُلوبَهُم

Mereka itu adalah orang-orang yang Allah tidak hendak mensucikan hati mereka.

Mereka yang disebut dalam ayat ini: golongan munafik dan ahli kitab itu adalah jenis yang Allah ‎ﷻ tidak ingin bersihkan hati mereka dengan hidayat. Maka mereka akan terus bersikap begitu. Semoga kita terselamat daripada menjadi seperti mereka. Semoga ahli keluarga kita dan orang-orang yang rapat dengan kita pun tidak begitu. Kita kena berusaha untuk menyampaikan ajaran yang sunnah kepada mereka.

 

لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ

Mereka beroleh kehinaan di dunia

Di dunia lagi mereka mendapat kehinaan kerana tidak ada agama. Orang yang munafik itu tidak ada yang percaya kepada mereka, sama ada yang Islam ataupun yang Yahudi kerana tidak tetap pendirian mereka, jadi tidak ada sesiapa yang percayakan mereka sepenuhnya.

Memang kadang-kadang nampak kedudukan mereka di dunia ini tinggi, tetapi mereka hanya faham tentang kepentingan dunia dan kerana itu mereka merasakan mereka mulia. Namun dari segi agama mereka tidak dapat taufiq dan kerana itu mereka tidak ada pegangan agama.

 

وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ

dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar.

Bila tidak menghayati agama, ada dunia sahaja, maka di akhirat mereka akan mendapat azab yang besar. Ini kerana mereka membuat kesalahan di dunia ini, dan tidak membuat persediaan untuk menghadapi akhirat. Maka mereka akan menerima nasib yang amat malang nanti. Seksaan yang akan dikenakan kepada mereka amat hebat dan tidak tertanggung.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

6 thoughts on “Tafsir Surah al-Maidah Ayat 39 – 41 (Golongan Munafik dan Yahudi)”

  1. Salam tuan,

    Merujuk kepada penerangan sebahagian dari ayat 39 :
    “Ini berlainan dengan hukuman samun di dalam ayat 34 sebelum ini: “, adakah ayat 39 mengatakan jika penyamun bertaubat sebelum ditangkap tidak akan dikenakan hukuman (dari 4 hukuman) keatasnya manakala dalam ayat 39 pencuri masih tetap akan dipotong tangan walaupun telah bertaubat?

    Mohon pencerahan diatas kelainan antara hukum samun dan curi ini.

    TK

    Like

    1. ya betul. itu adalah salah satu pendapat. nampak lebih ringan hukuman yang diberikan kepada penyamun. ini adalah kerana Allah hendak memberi motivasi kepada mereka untuk bertaubat dan menyerah diri. Akan tetapi mereka tetap boleh dikenakan dengan hukuman ta’zir.

      Like

  2. Tuan,

    Merujuk kpd ayat ini : “Jika seseorang daripada Bani Quraizah membunuh salah seorang daripada Bani Nadhir, mereka tidak boleh mendapat qisas, sebaliknya hanya mendapat 70 wasaq kurma sahaja dalam bentuk diyat. ”

    Saya kira pernyataan ini adalah jika Bani Nadhir membunuh seseorang dari Bani Quraizah, bukan begitu? Maaf kalau pemahaman saya tentang ayat ini salah.

    Like

  3. salam. cadangan saya untuk setiap hadith yg dipaparkan, contohnya: “Daripada Imam Bukhari رحمه الله, disebutkan bahawa Nabi ﷺ bertanya kepada orang-orang Yahudi:…………”
    bolehkah tuan berikan nombor rujukan penuh agar dapat pembaca mencari hadith tersebut dalam https://sigir.uitm.edu.my/webhadis/
    begitu juga untuk kesemua hadith2 lain dlm Celik Tafsir ini. Semoga Allah memberkati segala usaha2 tuan.
    wassalam.

    Like

Leave a Reply to Norm Araya Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s