Tafsir Surah Baqarah Ayat 273 – 274 (Infak kepada ahli agama)

MEMBERI KEPADA MEREKA YANG MEMERLUKAN

Baqarah Ayat 273: Allah ‎ﷻ ajar kita untuk memilih tempat infak dengan terbaik. Infak yang elok adalah kepada fakir miskin seperti yang telah disebut. Namun yang terbaik adalah kepada fakir miskin yang sedang menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
[Charity is] for the poor who have been restricted for the cause of Allah , unable to move about in the land. An ignorant [person] would think them self-sufficient because of their restraint, but you will know them by their [characteristic] sign. They do not ask people persistently [or at all]. And whatever you spend of good – indeed, Allah is Knowing of it.

MALAY
Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

 

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ

Bagi orang-orang fakir miskin yang terikat pada jalan Allah

Infak terbaik yang boleh kita berikan adalah kepada fakir miskin yang terikat mereka itu di jalan Allah ‎ﷻ. Penggunaan kalimah أُحْصِرُوا membawa maksud “mereka yang terhalang, tersekat, atau terkepung”. Dalam bahasa Arab, perkataan al-hashru (الحَصْر) juga boleh membawa makna kepungan yang sempit. Penggunaan kata kerja pasif (أُحْصِرُوا – mereka dihalang/dikepung) dalam konteks ini menunjukkan satu pujian tersirat daripada Allah. Mereka bukanlah orang malas yang tidak mahu bekerja, tetapi mereka “memenjarakan” kebebasan peribadi dan keselesaan dunia mereka demi menjaga maslahat agama.

Mereka terhalang mencari rezeki seperti manusia yang lain kerana mereka telah meletakkan diri mereka pada jalan Allah. Sebab fakir miskin ada juga yang tidak baik, tidak beriman dan mungkin jadi fakir sebab mereka malas bekerja sahaja. Akan tetapi ada fakir miskin yang mengajar agama, berdakwah dan kerja-kerja lain dalam agama. Allah ﷻ berfirman di dalam Tawbah:122

وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi daripada tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

Mereka telah ‘mengikat’ diri mereka di jalan Allah ‎ﷻ sampai tidak ada masa mencari harta. Mungkin mereka telah mewakafkan diri mereka untuk mengajar Al-Qur’an kepada masyarakat atau mengajar hadith kepada manusia. Infak kepada mereka seperti ini adalah yang terbaik.

Begitulah pada zaman Nabi dahulu, ada golongan yang dikenali sebagai Ahlus Suffah. Mereka ini golongan yang dhaif yang tidak ada harta, malah tubuh badan pun tidak kuat untuk berjihad. Makan pun cukup asal tidak mati sahaja. Mereka ini duduk tinggal di serambi Masjid Nabawi dan mereka itu belajar agama. Bilangan mereka tidak disepakati boleh jadi antara 200 ke 400 orang. Mereka ini ada yang duduk seketika belajar dan kemudian kembali ke kampung asal mereka untuk mengajar agama di sana pula. Maka Allah ﷻ menganjurkan pada sahabat supaya jangan dilupai mereka ini. Bantulah mereka kerana mereka dhaif dan mereka ada keperluan belajar agama. Abu Hurairah adalah salah seorang dari mereka.

Kalau zaman sekarang, ada golongan agamawan yang mewakafkan diri mereka untuk belajar agama dan mengajar agama. Mereka mendalami agama lebih mendalam daripada orang kebanyakan supaya mereka boleh menjawab persoalan daripada masyarakat. Mereka menjadi pakar rujuk yang diperlukan oleh masyarakat. Kerana mereka fokus kepada belajar agama, maka mereka tidak bekerja. Kerana kalau bekerja, sudah terbahagi pula masa mereka dan tidaklah mereka boleh mendalami agama. Maka kepada golongan ini patutlah dibantu untuk kehidupan mereka.

 

لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ

mereka tidak berupaya berjalan di muka bumi (untuk mencari rezeki)

Mereka tidak sempat ke sana sini untuk mencari rezeki kerana sibuk belajar dan kemudian mengajar. Kalimah ضَربًا asalnya bermaksud ‘memukul’. Di sini ia membawa maksud mengembara kerana orang yang berjalan kaki (mengembara) itu kaki mereka memukul tanah, bukan? Mereka ini perlu dibantu untuk kelangsungan hidup mereka kerana kalau mereka sibuk cari pendapatan, mereka akan kurang kerja pada agama pula. Kita kena sedar yang mereka itu bukan malas bekerja, tetapi mereka rasa tugas mereka mengajar atau berdakwah itu lebih penting lagi untuk kepentingan masyarakat.

Ada juga guru agama yang ada kerja dan mereka mengajar separuh masa. Maka mereka seperti ini tidak memerlukan bantuan orang lain. Mereka lebih suka tidak mengambil apa-apa daripada anak murid. Namun ada guru agama yang memang sepenuh hidup mereka mengajar agama. Mereka tidak ada kerja lain. Maka kepada mereka yang sebegini, kenalah bantu mereka. Tidak perlu tunggu mereka meminta. Mereka ini sepatutnya dibayar gajinya oleh pihak kerajaan, akan tetapi ramai yang tidak sampai bantuan kepada mereka.

 

يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ

orang yang jahil menyangka mereka itu kaya kerana kerana mereka menahan diri daripada meminta.

Orang yang jahil tidak pandai melihat di sebalik perkara yang jelas, tentu akan menyangka mereka yang mengajar itu kaya raya sebab mereka itu tidak meminta-minta kerana mereka tahan diri mereka daripada meminta. Kalimah تَعَفُّفِ daripada kata dasar: ع ف ف yang bermaksud menahan diri daripada perkara yang salah, sederhana, pantang.

Maksud jahil di dalam ayat ini adalah tidak mengetahui tentang hal orang fakir itu. Mereka mungkin orang yang ada ilmu agama tetapi mungkin dia tidak ambil tahu tentang orang itu. Yang jahil menyangka, orang yang susah tentulah minta tolong, bukan? Akan tetapi guru-guru agama itu tidak meminta-minta tolong pun, relaks sahaja nampaknya. Jadi orang jahil sangka: Mereka tidak minta tolong, tentu mereka itu sudah cukup keperluan.

Inilah salah faham manusia dan bukan semua boleh nampak. Ingatlah yang mengajar itu tidak meminta-minta dengan orang, tetapi mereka akan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan bantu mereka kerana Allah ‎ﷻ sudah berjanji untuk beri jalan keluar kepada orang yang bertaqwa. Mereka ini ada iffah, iaitu tidaklah mereka meminta-minta kepada orang. Sebenarnya meminta itu tidak bagus sebenarnya.

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِي تَرُدُّهُ التَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ وَلَا اللُّقْمَةُ وَلَا اللُّقْمَتَانِ إِنَّمَا الْمِسْكِينُ الَّذِي يَتَعَفَّفُ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ يَعْنِي قَوْلَهُ { لَا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا }
Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Nabi ﷺ bersabda: “Orang yang miskin bukanlah orang yang merasa telah cukup dengan satu atau dua buah kurma, atau sesuap atau dua suap makanan. Tetapi orang miskin adalah orang yang tidak meminta-minta dan tidak menunjukkan kemiskinannya kepada orang lain. Jika kalian mahu, bacalah firman Allah: “Mereka tidak meminta-minta kepada orang lain.” (Al Baqarah:273).

(Sahih Bukhari No. 4175)

Apakah itu iffah? Dalam Islam, ‘Iffah (العِفَّة) adalah sebuah konsep akhlak yang sangat penting dan luas maknanya. Ia sering diterjemahkan sebagai menjaga kehormatan diri, kesucian, atau menahan diri daripada perkara-perkara yang haram atau tidak patut.

Secara lebih mendalam, ‘Iffah adalah:

1. Menahan Diri daripada Syahwat Haram: Ini adalah makna yang paling sering dikaitkan dengan ‘Iffah, terutamanya dalam konteks wanita. Ia merujuk kepada kemampuan seseorang untuk mengendalikan hawa nafsu dan syahwatnya daripada terjerumus ke dalam perbuatan zina, maksiat, atau perkara-perkara yang dilarang oleh syarak, terutamanya yang berkaitan dengan kehormatan diri dan seksualiti. Ia melibatkan menundukkan pandangan (ghaddul bashar), menjaga kemaluan, dan menjauhi pergaulan bebas.

2. Menjaga Maruah Diri daripada Perkara yang Merendahkan: ‘Iffah bukan hanya terbatas pada aspek seksual, tetapi juga merangkumi menjaga diri daripada segala bentuk kehinaan, kerendahan, atau perbuatan yang boleh mencemarkan maruah dan harga diri, sama ada dari sudut pandangan syarak mahupun pandangan masyarakat yang baik. Ini termasuk:

    • Menahan diri daripada meminta-minta: Orang yang memiliki ‘Iffah tidak akan mudah meminta-minta kepada orang lain walaupun dalam keadaan kesusahan, sebaliknya mereka akan berusaha mencari rezeki sendiri dan bersabar. Ini seperti firman Allah ‎ﷻ di dalam ayat Baqarah:273 ini.
    • Menjaga lisan: Tidak berkata-kata kotor, mencarut, mengumpat, atau membuka aib orang lain.
    • Menjaga tingkah laku: Berperi laku sopan, tidak sombong, tidak berlebihan dalam penampilan atau gaya hidup yang boleh mengundang fitnah atau pandangan negatif.
    • Menjaga harta: Tidak mengambil harta yang haram (seperti rasuah, mencuri, riba) dan mengelola harta dengan jujur.

3. Kesederhanaan dan Rasa Cukup (Qana’ah): ‘Iffah juga berkait rapat dengan sifat qana’ah, iaitu merasa cukup dengan apa yang dimiliki dan tidak tamak atau menginginkan apa yang ada di tangan orang lain secara tidak wajar. Ia adalah sikap puas dengan rezeki yang halal walaupun sedikit, dan tidak mengejar kemewahan dunia secara berlebihan.

4. Mengawal Diri: Pada intinya, ‘Iffah adalah kemampuan untuk mengawal dan menguasai hawa nafsu serta keinginan diri agar sentiasa selari dengan tuntutan syarak dan akal yang sihat. Ia adalah benteng pertahanan diri daripada godaan dunia dan syaitan.

Malah dalam hadith Rasulullah ﷺ, baginda sering berdoa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى، والتُّقَى، والعَفَافَ، والغِنَى
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, ‘afaf (iffah), dan kecukupan (kekayaan jiwa/qana’ah).”

(Sahih Muslim)

Maka amat penting mereka ini jangan dilupakan. Kita kena ingat ada orang yang meminta dan ada yang tidak meminta. Jangan kita beri kepada yang meminta sahaja kerana Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Ma’arij:24-25

وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ (24) لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ (25)
“Dan orang-orang (mukmin yang bertaqwa) yang di dalam harta mereka ada bahagian yang tertentu, (24) Iaitu bagi orang yang meminta dan orang yang tidak meminta.”

 

تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم

Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka 

Kamu yang mengaji agama dan gunakan mata sedikit akan kenal mereka yang memerlukan pertolongan dengan melihat cara hidup mereka. Ini kerana orang yang mengaji agama mereka akan dapat apa yang dinamakan firasat. Lihatlah bagaimana cara mereka pakai, bagaimana cara mereka makan dan sebagainya. Kadangkala kita boleh perhatikan seseorang itu bersih bajunya dan sihat mukanya dan mungkin tersenyum sahaja, namun pada pakaian itu ada tanda dijahit-jahit, maka tahulah kita yang dia adalah orang yang susah.

Maka kena sensitiflah sedikit dengan memerhatikan memek muka mereka, pakaian mereka, cara mereka bercakap yang mungkin mereka ada sebut keperluan mereka dengan amat berhalus. Dalam hal ini kena faham-fahamlah. Kena lebih banyak mendengar yang tersirat daripada yang tersurat.

 

لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا

mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. 

Mereka tidak suka meminta dan menahan diri mereka daripada meminta. Namun kalau pun mereka terdesak sangat dan terpaksa meminta, beginilah cara mereka. Mereka tidak meminta kepada manusia dengan cara bersungguh-sungguh atau mendesak-desak. Kalimah إِلحَافًا‌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘permintaan yang membosankan’. Ia dari kata dasar: ل ح ف yang bermaksud menutup dengan kain, berselimut, mendesak, meminta-minta dengan desakan, berterusan.

Maknanya mereka tidak minta dengan cara yang memalukan. Mereka tidak memalukan diri mereka dengan minta dengan cara yang kuat. Mungkin mereka beri isyarat sahaja dan kalau dia nampak kita macam berat hendak beri, dia dengan segera kata sebenarnya dia tidak perlukan pun. Mereka yang jahil, akan rasa kalau dia tidak minta bersungguh-sungguh, tentulah dia tidak perlu mana.

Namun Allah ‎ﷻ sudah beritahu sifat mereka – mereka tidak mendesak-desak. Mereka memang memerlukan, tetapi mereka tidak mendesak-desak seperti orang lain. Ini kerana pengharapan mereka telah letakkan pada Allah ‎ﷻ. Tambahan pula dalam kerja mengajar agama ini, takut orang salah faham. Ramai yang jahil menuduh orang yang mengajar agama kerana hendakkan duit masyarakat.

Dalam Islam, meminta-minta (التسول – at-tasawwul) atau mengemis, terutamanya jika dilakukan tanpa keperluan mendesak atau dijadikan profesion, adalah perbuatan yang sangat tidak digalakkan dan dianggap sebagai suatu keburukan. Islam menggalakkan umatnya untuk berusaha mencari rezeki yang halal dan menjaga kehormatan diri (`iffah). Perbuatan mengemis itu tidak baik seperti sabda Rasulullah ﷺ,

لاَ يَزَالُ الرَّجُلُ يَسْأَلُ حَتَّى يَأْتِيَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلَيْسَ فِي وَجْهِهِ مُزْعَةُ لَحْمٍ
“Seseorang itu sentiasa meminta-minta (mengemis) sehingga dia datang pada hari Kiamat dengan tidak ada sepotong daging pun di wajahnya.”

(Sahih Bukhari, No. Hadith: 1474; Sahih Muslim, No. Hadith: 1040)

Secara umumnya, agama Islam sangat menggalakkan umatnya untuk:

    • Bekerja keras mencari rezeki yang halal.
    • Menjaga kehormatan diri (`iffah) dan tidak menampakkan kehinaan.
    • Bersifat qana’ah (merasa cukup) dan bertawakal kepada Allah ‎ﷻ.
    • Bersabar dalam menghadapi kesusahan dan bergantung sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, meminta-minta adalah keburukan yang harus dijauhi, melainkan dalam keadaan darurat yang tidak ada pilihan lain. Para sahabat dididik oleh Rasulullah ﷺ supaya bergantung kepada Allah ‎ﷻ sahaja dan tidak bergantung dengan manusia. Sampaikan ada para sahabat yang berbaiah dengan Nabi Muhammad ﷺ supaya langsung tidak meminta tolong kepada manusia di dalam hal yang sebenarnya diperbolehkan. Ini untuk mendidik jiwa mereka supaya tidak berharap dengan manusia. Ini seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Auf bin Malik Al-Asyja’ie رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

عن عوف بن مالك الأشجعي رضي الله عنه قال: كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم تِسْعَةً أَوْ ثَمَانِيَةً أَوْ سَبْعَةً، فَقَالَ: “أَلاَ تُبَايِعُونَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم؟” فَبَسَطْنَا أَيْدِيَنَا، وَقُلْنَا: قَدْ بَايَعْنَاكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَقَالَ: “عَلَى أَنْ تَعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَالصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ، وَتُطِيعُوا – وَذَكَرَ كَلِمَةً خَفِيَةً – وَلاَ تَسْأَلُوا النَّاسَ شَيْئًا”. فَلَقَدْ رَأَيْتُ بَعْضَ أُولَئِكَ النَّفَرِ يَسْقُطُ سَوْطُ أَحَدِهِمْ فَمَا يَسْأَلُ أَحَدًا يُنَاوِلُهُ إِيَّاهُ
Daripada Auf bin Malik Al-Asyja’ie رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah ﷺ, sembilan atau lapan atau tujuh orang. Lalu Baginda bersabda: ‘Tidakkah kalian mahu berbai’ah kepada Rasulullah ﷺ?’ Maka kami menghulurkan tangan-tangan kami dan berkata: ‘Sungguh kami telah berbai’ah kepadamu wahai Rasulullah.’ Maka Baginda bersabda: ‘Di atas dasar kalian menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, menunaikan solat lima waktu, dan mentaati – Baginda menyebutkan perkataan yang perlahan (tidak jelas) – dan tidak akan meminta-minta kepada manusia sedikit pun.’ Maka sungguh aku melihat sebahagian daripada mereka (yang berbai’ah itu), jika cambuk salah seorang daripada mereka jatuh, dia tidak akan meminta sesiapa pun untuk mengambilkannya untuknya (dia akan turun sendiri dan mengambilnya).”

(Sahih Muslim, No. Hadith: 1043)

Ada sebuah hadith lagi tentang bagaimana Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kelaparan sangat. Beliau sebenarnya mengharap dijemput makan daripada para sahabat yang lain. Akan tetapi beliau tidaklah meminta dengan jelas namun berharap mereka tahu. Akhirnya yang menjemput beliau makan adalah Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: (وَاللَّهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ إِنْ كُنْتُ لأَلْصَقَ كَبِدِي بِالأَرْضِ مِنَ الجُوعِ، وَإِنْ كُنْتُ لأَشُدُّ الحَجَرَ عَلَى بَطْنِي مِنَ الجُوعِ، وَلَقَدْ قَعَدْتُ يَوْمًا فِي طَرِيقِهِمُ الَّذِي يَخْرُجُونَ مِنْهُ، فَمَرَّ أَبُو بَكْرٍ فَسَأَلْتُهُ عَنْ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِلَّا لِيُشْبِعَنِي، فَمَرَّ وَلَمْ يَفْعَلْ. ثُمَّ مَرَّ عُمَرُ فَسَأَلْتُهُ عَنْ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَا سَأَلْتُهُ إِلَّا لِيُشْبِعَنِي، فَمَرَّ وَلَمْ يَفْعَلْ. ثُمَّ مَرَّ أَبُو القَاسِمِ صلى الله عليه وسلم فَتَبَسَّمَ حِينَ رَآنِي وَعَرَفَ مَا فِي وَجْهِي وَمَا فِي نَفْسِي… إلخ).

Terjemahan (Ringkasan daripada riwayat panjang):

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sungguh aku pernah menekapkan perutku ke tanah kerana kelaparan, dan sungguh aku pernah mengikat batu di perutku kerana kelaparan. Suatu hari aku duduk di jalan yang biasa mereka (para sahabat) lalui. Maka Abu Bakar lalu, maka aku bertanya kepadanya tentang satu ayat daripada Kitabullah, tidaklah aku bertanya kepadanya melainkan agar dia memberiku makan. Namun dia berlalu dan tidak melakukannya. Kemudian Umar lalu, maka aku bertanya kepadanya tentang satu ayat daripada Kitabullah, tidaklah aku bertanya kepadanya melainkan agar dia memberiku makan. Namun dia berlalu dan tidak melakukannya. Kemudian Abu Al-Qasim (Nabi Muhammad ﷺ)  lalu, lalu baginda tersenyum ketika melihatku dan mengetahui apa yang ada di wajahku dan apa yang ada dalam diriku…”

Pada riwayat yang lebih panjang, Nabi memanggil Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan mengajaknya pulang ke rumah baginda.

“…Kemudian Nabi ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku di sini, wahai Rasulullah!’ Baginda berkata: ‘Pergilah dan panggillah Ahlus Suffah (orang-orang fakir yang tinggal di serambi Masjid Nabawi) ke mari.'”

Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ merasa berat hati kerana susu yang ada dalam bejana di rumah Nabi ﷺ kelihatan sedikit dan beliau sendiri sangat lapar, namun beliau tetap patuh. Beliau membawa Ahlus Suffah yang berjumlah sekitar 70 orang.

“…Kemudian Nabi ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah, ambil bejana ini dan berikan kepada mereka.’ Aku pun mengambil bejana itu dan memberikannya kepada seorang demi seorang, mereka minum sehingga kenyang. Aku terus memberikan kepada mereka sehingga semua Ahlus Suffah minum dan kenyang. Aku menyangkakan tiada apa yang akan tinggal untukku. Ketika semua selesai minum, aku menyerahkan bejana itu kepada Nabi ﷺ.”

“…Lalu Nabi ﷺ mengambil bejana itu, meletakkannya di tangan Baginda, memandang kepadaku dan tersenyum seraya bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku di sini, wahai Rasulullah!’ Baginda bersabda: ‘Sekarang tinggal aku dan kamu.’ Aku berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah!’ Baginda bersabda: ‘Duduklah dan minumlah.’ Aku pun duduk dan minum. Baginda terus berkata: ‘Minumlah!’ dan aku terus minum, sehingga aku berkata: ‘Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, aku sudah tidak ada ruang lagi (di perutku) untuk susu ini!’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu, berikan kepadaku.’ Maka aku berikan bejana itu kepada Baginda, lalu Baginda memuji Allah dan membaca basmalah, kemudian meminum sisa susu itu.”

(Sahih Bukhari, No. Hadith: 6452)

Maka ini mengajar kita jangan suka meminta-minta. Kalau terpaksa meminta pun, jangan mendesak. Yang penting, kalau tidak ada keperluan, jangan meminta. Ada ulama’ mengatakan ia adalah haram berdasarkan hadith ini,

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ، فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنَ النَّارِ
“Sesiapa yang meminta-minta kepada orang ramai padahal dia mempunyai sesuatu yang mencukupkannya, maka sesungguhnya dia memperbanyakkan (memakan) bara api (neraka).”

(Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Shahihnya, No. Hadith: 2368. Diriwayatkan juga oleh Imam Ahmad dan lainnya. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani)

Jadi bagaimana dengan orang kita yang asyik meminta daripada kerajaan, daripada BaitulMal, daripada kawan-kawan dia minta belanja? Kalau memang ada keperluan tidak mengapa, tetapi kalau segala keperluan cukup namun hanya hendak jimatkan duit sendiri, bagaimana? Tentulah tidak elok. Maka ingatlah sebuah hadith yang semua orang pernah dengar agaknya. Jangan menghinakan diri kita sendiri.

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى
“Tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (meminta).”

(Sahih Bukhari, No. Hadith: 1429; Sahih Muslim, No. Hadith: 1033)

Maka cubalah menahan diri kita daripada meminta. Lebih baik kita gunakan tulang empat kerat kita untuk mencari sendiri rezeki seperti sabda Rasulullah ﷺ,

لَأَنْ يَحْتَطِبَ أَحَدُكُمْ حُزْمَةً عَلَى ظَهْرِهِ، خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ أَحَدًا، فَيُعْطِيَهُ أَوْ يَمْنَعَهُ
“Sesungguhnya seseorang daripada kalian mengambil tali-talinya, lalu dia pergi ke gunung dan mencari seikat kayu bakar untuk dibawa di belakangnya lalu dijualnya, itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada manusia, sama ada diberi atau dihalau (tidak diberi).”

(Sahih Bukhari, No. Hadis: 1471; dan Sahih Muslim, No. Hadith: 1042)

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ beri lagi motivasi kepada kita untuk infak dan sedekah. Entah berapa kali Allah ‎ﷻ sudah beritahu. Maka kena ingatlah perkara ini. Pahala amat banyak bagi mereka yang infakkan harta mereka di jalan Allah.

Sekian Ruku’ 37 daripada 40 surah ini


 

Baqarah Ayat 274: Ini adalah ayat terakhir tentang infak. Sekarang Allah ﷻ beritahu bila infak itu diberikan dan cara untuk melakukannya.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Those who spend their wealth [in Allah ‘s way] by night and by day, secretly and publicly – they will have their reward with their Lord. And no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

MALAY
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

 

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) harta-harta mereka pada waktu malam dan siang, 

Allah ﷻ menggunakan kalimah يُنفِقونَ di dalam bentuk fi’il mudhari‘ yang memberi isyarat yang mereka itu bersedekah sentiasa, bukan sekali dua sahaja. Maksud malam dan siang itu adalah ‘sentiasa’. Maknanya memberi infak tidak kira masa sebenarnya, tidak ada masa khusus seperti sedekah subuh dan sebagainya. Ini mengajar kita bahawa infak itu perlu dilakukan berterusan. Perlu dilakukan setiap masa dan bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Bila ada peluang sahaja, kita jalankan infak kita. Mata kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain.

Disebut malam sebelum siang kerana kalau sedekah siang biasa sahaja, tetapi kalau sedekah waktu malam lebih hebat. Ini kerana mungkin ada orang yang waktu malam pula yang dia amat memerlukan dan kita kalau melayan orang pada waktu begini lebih hebat lagi. Disebut malam dahulu juga kerana sebelum ini telah disebut tentang kelebihan sedekah dengan secara rahsia. Maka malam-malam ada waktu yang amat sesuai untuk bersedekah secara rahsia.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ menggunakan kalimah أَموٰلَهُم (harta-harta mereka) sahaja tanpa kalimah من (sebahagian daripada). Maka tidak ada had untuk infak. Maka kerana itu ada kisah Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menginfak seluruh hartanya dan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menyedekahkan separuh hartanya. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dan lain-lain, terutamanya daripada Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, dari Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sendiri:

عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ قَالَ: سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رضي الله عنه يَقُولُ: “أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا أَنْ نَتَصَدَّقَ، فَوَافَقَ ذَلِكَ عِنْدِي مَالاً، فَقُلْتُ: الْيَوْمَ أَسْبِقُ أَبَا بَكْرٍ إِنْ سَبَقْتُهُ يَوْمًا، فَجِئْتُ بِنِصْفِ مَالِي، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ؟” قُلْتُ: أَبْقَيْتُ لَهُمْ مِثْلَهُ. قَالَ: وَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ بِكُلِّ مَا عِنْدَهُ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “مَا أَبْقَيْتَ لِأَهْلِكَ يَا أَبَا بَكْرٍ؟” فَقَالَ: “أَبْقَيْتُ لَهُمُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ”. قُلْتُ: لَا أُسَابِقُكَ إِلَى شَيْءٍ أَبَدًا”
Daripada Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, dia berkata: Aku mendengar Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Rasulullah ﷺ pada suatu hari memerintahkan kami untuk bersedekah. Kebetulan pada waktu itu aku mempunyai harta. Maka aku berkata dalam hati, ‘Hari ini aku akan mengalahkan Abu Bakar jika suatu hari aku mampu mengalahkannya.’ Maka aku pun datang dengan separuh hartaku. Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?’ Aku menjawab: ‘Aku tinggalkan untuk mereka separuh daripadanya (seperti yang kubawa ini).’ Kemudian Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dengan membawa seluruh hartanya. Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: ‘Apa yang kamu tinggalkan untuk keluargamu, wahai Abu Bakar?’ Maka Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: ‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.’ Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: ‘Demi Allah, aku tidak akan pernah dapat mengalahkanmu dalam apa pun selama-lamanya!'”

(Riwayat At-Tirmidzi, No. Hadith: 3675. At-Tirmidzi berkata: Hadith ini Hasan Sahih.)

 

سِرًّا وَعَلانِيَةً

dengan cara sulit atau terbuka, 

Kadang-kadang kita infak secara senyap dan tersembunyi سِرًّا dan kadang-kadang kita terpaksa infak di depan orang yang melihat kita عَلانِيَةً. Kalimah عَلانِيَةً daripada kata dasar ع ل ن yang bermaksud terbuka atau terzahir  kepada umum, diketahui. Kita bukannya sengaja hendak tunjuk tetapi waktu itu memang ada orang lain. Maknanya bila ada peluang sahaja, kita akan infakkan harta kita. Sama ada secara senyap atau tidak. Takkan kalau ada orang minta kita di khalayak ramai kita tidak terus beri, suruh dia datang senyap-senyap pula.

Di dalam Ali Imran:134 disebut dua lagi cara:

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah

 

Asbabun Nuzul (Sebab Turun) Ayat Al-Baqarah: 274

Ayat ini diturunkan untuk memuji dan menggalakkan amalan infak (bersedekah) secara berterusan dan dalam pelbagai keadaan, sama ada secara terang-terangan atau sembunyi-sembunyi. Meskipun ayat ini bersifat umum dan berlaku untuk semua orang yang berinfak seperti yang digambarkan, terdapat beberapa riwayat mengenai sebab turunnya yang mengaitkannya dengan individu atau kumpulan tertentu:

1. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا dan lain-lain (tentang Ali bin Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ): Riwayat yang paling masyhur menyebutkan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan Ali bin Abi Talib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Diceritakan bahawa beliau hanya memiliki empat dirham. Beliau menyedekahkan satu dirham pada waktu malam secara rahsia, satu dirham pada waktu siang secara rahsia, satu dirham pada waktu malam secara terang-terangan, dan satu dirham pada waktu siang secara terang-terangan. Setelah itu, ayat ini diturunkan. Ini adalah riwayat yang kuat dan sering disebut dalam kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibnu Katsir dan Al-Qurtubi. Ia menunjukkan bahawa Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah teladan dalam mengaplikasikan spektrum infak yang disebutkan dalam ayat ini.

2. Diriwayatkan daripada Al-Kalbi (tentang Abdul Rahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ): Ada juga riwayat yang menyebutkan ayat ini diturunkan berkaitan dengan Abdul Rahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Beliau bersedekah 40,000 dinar pada suatu malam, kemudian 40,000 dinar pada waktu siang, dan begitu seterusnya. Ini menunjukkan kemurahan hati beliau yang sangat besar dan berterusan.

3. Diriwayatkan daripada Al-Hasan Al-Basri (tentang umum para sahabat): Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa ayat ini turun untuk memuji mereka yang senantiasa berinfak (para sahabat), sama ada pada waktu malam atau siang, secara rahsia atau terang-terangan, dan tidak terikat kepada individu tertentu. Ia adalah gambaran umum tentang sifat orang Mukmin yang dermawan.

 

فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, 

Allah ‎ﷻ menjadikan pahala dari sisi-Nya. Kalau Allah ‎ﷻ kata ia dari Sisi-Nya, tentulah ia adalah amat besar sekali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana banyaknya pahala itu.

 

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Takut dan bimbang adalah untuk perkara yang akan datang (ia belum berlaku). Orang yang takut adalah orang yang takut harta mereka tidak cukup setelah diberi orang. Namun mereka yang ikhlas dan telah mengikuti syarat-syarat itu tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal. Allah ‎ﷻ akan beri kesenangan kepada mereka di akhirat kelak. Di akhirat nanti pahala infak itu semua akan menunggu mereka.

Kalau di dunia pula, mereka tidak takut harta mereka berkurang. Kerana mereka percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan gantikan dan cukupkan segala keperluannya. Begitulah pernah ada cakap dengan saya, orang Arab dalam memberi seolah-olah mereka tidak takut miskin kerana mereka senang sahaja memberi. Mungkin didikan daripada ayat-ayat Al-Qur’an agaknya.

Mereka yakin Allah ‎ﷻ akan ganti rezeki yang mereka telah infak itu. Kena ingat yang rezeki itu ada dua jenis: aktif dan pasif. Kalau dalam bentuk pasif itu kita senang nampak pada gajinya, hartanya, rumah dan keretanya. Akan tetapi ada satu jenis rezeki dalam bentuk pasif yang kita sukar nampak, iaitu terhindarnya daripada hal-hal yang memerlukan biaya. Ada orang gajinya besar tetapi ada banyak keperluan atau masalah hidupnya sampai gajinya yang besar itu habis untuk menyelesaikan masalahnya. Namun ada orang yang Allah ‎ﷻ tidak beri pendapatan yang besar tetapi Allah ‎ﷻ tidak kenakan dia dengan masalah yang memerlukan belanja sampaikan pendapatannya yang kecil itu nampak lebih banyak daripada orang yang gajinya lebih besar.

 

وَلا هُم يَحزَنونَ

serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Kalau kalimah خَوفٌ ia digunakan untuk masa hadapan, maka kalimah يَحزَنونَ untuk sesuatu yang telah berlaku. Orang yang infak dan tidak menyebut-nyebut pemberian itu tidak takut tentang masa hadapan dan tidak bersedih dengan apa yang telah berlalu. Orang yang bersedih itu adalah mereka yang fikir: habislah harta aku sudah berkurang. Namun mereka yang infak dengan ikhlas dan ikut syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah beri tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu di akhirat itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Di dunia dia tidak bersedih dengan pemberiannya kerana dia tahu bahawa apa yang dia lakukan itu adalah terbaik dan Allah ‎ﷻ akan balas dengan yang lebih baik. Maka tidaklah dia terkenang-kenang kepada harta yang telah diberikan.

Begitulah ayat-ayat tentang infak yang Allah ﷻ kumpulkan di dalam bahagian Surah Baqarah ini. Ada terdapat lagi ayat-ayat infak di tempat lain di dalam surah ini, tetapi yang menarik di dalam gugusan surah ini (Ayat 261 – 274), kita boleh nampak ada Komposisi Cincin. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini.

Penerangan:

[A7.1/A7.1’] – Di dalam Bahagian ini Allah ﷻ memberi motivasi dengan  menjanjikan ganjaran bagi mereka infak. Pertama dijanjikan balasan yang berganda-ganda banyak dan di hujung kedua-dua Bahagian ini diulang kalimat yang sama:  لَّهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ.

[A7.2/A7.2’/A7.3”] – Bahagian ini ada sedikit kelainan daripada komposisi cincin yang lain kerana Bahagian tengah adalah berkaitan dengan cincin yang lain. Ini kerana Allah ﷻ hendak mengajar kita tiga perkara: Cara Memberi, Apa yang Patut Diberi dan Kepada Siapa (How, What, Who).

[A7.3/A7.3’] – Setelah disebut ganjaran memberi dan Allah ﷻ mengajar cara, apa dan kepada siapa yang patut diberi, sekarang Allah ﷻ menekankan tentang keikhlasan dan menjaga niat di dalam memberi infak itu. Ini kerana kalau salah niat, infak itu menjadi sia-sia kerana pahalanya batal.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Asbabun Nuzul – Imam As Suyuthi

Heavenly Order

Tafsir Surah Baqarah Ayat 272 (Hukum Infak kepada Non-Muslim)

Baqarah Ayat 272: 

۞ لَيسَ عَلَيكَ هُدِىٰهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL
Not upon you, [O Muhammad], is [responsibility for] their guidance, but Allah guides whom He wills. And whatever good you [believers] spend is for yourselves, and you do not spend except seeking the countenance of Allah . And whatever you spend of good – it will be fully repaid to you, and you will not be wronged.

MALAY
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

 

لَيسَ عَلَيكَ هُدىٰهُم

Tidaklah ke atas engkau memberi hidayah kepada mereka

Tidak boleh berhenti daripada berbuat baik kalau apa yang kita hendak tidak menjadi. Contohnya, mungkin kita tolong orang supaya dia ikut kita belajar, tetapi dia tetap tidak mahu datang. Atau kita bantu dia kerana kita hendak nasihatkan dia menjadi orang yang baik, tetapi itu tidak terjadi. Atau, kita hanya infak kepada orang Islam atau orang beriman sahaja. Ini ditegur di dalam ayat ini. Kerana kadangkala kita mungkin rasa sia-sia sahaja kita infak dan bantu orang dan orang itu tidak jadi seperti yang kita harapkan. Maka Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang janganlah kita sampai berhenti daripada menolong orang kafir sekali pun. Kerana yang memberikan hidayah bukan atas kuasa kita. Kita tidak pilih kasih di dalam memberi dan mana tahu, dengan kita memberi itu, terbuka hatinya kepada iman. Ini kerana orang yang menerima pemberian orang lain, jadi lembut hatinya untuk menerima nasihat.

Zaman Nabi ﷺ pun jadi seperti itu. Sahabat ada yang tolong keluarga mereka yang kafir tetapi mereka tidak mahu juga masuk Islam. Mereka sampai satu ketika sudah tidak mahu hendak menolong keluarga mereka lagi. Jadi Allah ‎ﷻ tegur perbuatan mereka itu. Allah‎ ﷻ mengingatkan yang bukan kita yang beri hidayah kepada orang lain.

Maka pengajaran daripada ayat ini adalah boleh untuk memberi sedekah kepada non-Muslim. Mungkin ada yang sangka ayat-ayat tentang tentang infak sebelum ini maksudnya diberikan kepada Muslim sahaja, maka pandangan itu diluruskan oleh Allah ﷻ di dalam ayat ini. Tentunya yang dimaksudkan adalah sedekah sunat, bukannya zakat. Ini kerana zakat hanya boleh diberikan kepada umat Islam. Kecuali kalau kepada golongan Muallaf yang hendak dijinakkan hatinya kepada Islam. Sedekah sunat itu juga tidak boleh diberikan kepada Kafir Harbi, hanya Kafir Dzimmi sahaja.

Allah ﷻ sebut yang kita manusia tidak boleh memberi hidayah kepada manusia. Sebenarnya ada dua jenis hidayah iaitu Hidayah Al-Irsyad wal Dalalah (Petunjuk dan Penerangan) dan Hidayah At-Taufiq (Taufik).

1. Hidayah Al-Irsyad wal Dalalah (هداية الإرشاد والدلالة) – Petunjuk dan Penerangan

Jenis hidayah ini merujuk kepada petunjuk dalam bentuk penerangan, penjelasan, pengajaran, dakwah, dan penyampaian kebenaran. Ia adalah peranan para Nabi dan Rasul, ulama, pendakwah, dan juga ibu bapa atau guru untuk menunjukkan jalan yang benar kepada manusia. Ini adalah jenis hidayah yang boleh diberikan oleh manusia kepada manusia lain. Para nabi dan rasul adalah contoh terbaik pemberi hidayah jenis ini, kerana mereka diutuskan untuk membimbing umat manusia ke jalan yang lurus.

Contoh:

    • Seorang guru mengajar ilmu agama kepada muridnya.
    • Seorang pendakwah menjelaskan hukum-hakam Islam kepada masyarakat.
    • Ayah atau ibu menasihati anak-anak tentang kebaikan.
    • Al-Qur’an dan Sunnah adalah sumber utama hidayah jenis ini, kerana ia adalah petunjuk dan penerangan daripada Allah ﷻ kepada manusia.

2. Hidayah At-Taufiq (هداية التوفيق) – Taufik

Hidayah jenis ini adalah kurniaan istimewa daripada Allah ﷻ yang memampukan seseorang untuk menerima, memahami, dan mengamalkan petunjuk yang telah disampaikan kepadanya. Ia adalah pembukaan hati, kekuatan iman, dan kemahuan untuk mengikuti kebenaran. Tanpa hidayah taufik, seseorang tidak akan dapat beriman atau beramal soleh, walaupun telah menerima hidayah Al-Irsyad wal Dalalah.

Hidayah ini adalah hak mutlak Allah ﷻ semata-mata. Tiada siapa pun, termasuk para nabi, yang mampu memberikannya kepada orang lain. Manusia hanya mampu menyampaikan petunjuk (irsyad), tetapi kemampuan untuk menerima dan mengamalkannya (taufiq) datang daripada Allah ﷻ.

Contoh:

    • Seseorang mendengar dakwah tentang Islam, lalu hatinya terbuka dan dia memeluk Islam. Ini adalah hidayah taufik.
    • Seseorang mengetahui hukum wajib solat, dan Allah ﷻ memberinya kekuatan untuk bangun dan melaksanakannya dengan istiqamah.
    • Walaupun Firaun mendengar dakwah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dia tidak diberikan hidayah taufik untuk beriman.

Oleh itu, hidayah yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah hidayah taufik. Hidayah itu hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri. Ada pun hidayah irsyad, kita tetap boleh berikan iaitu sampaikan kepada manusia.

 

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ

akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya 

Kita hanya boleh sampaikan dakwah sahaja. Kita hanya boleh mengajak sahaja. Namun jangan jadikan sedekah kita untuk memaksa non-Muslim masuk Islam. Allah ‎ﷻ tidak perlukan orang masuk Islam yang bukan kerana keikhlasan hati. Bukan begitu cara kita hendak dakwah kepada manusia kerana kita tidak boleh beri hidayah kepada manusia. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri hidayah. Jadi jangan rasa bersalah kalau orang yang kita dakwah itu tidak mahu menerima dakwah itu kerana hidayah dan iman di dalam tangan Allah ‎ﷻ.

Mungkin kalimat اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ mengelirukan ramai orang. Seolah-olah Allah ﷻ pilih siapa yang patut dapat hidayah. Jadi kalau begitu, kalau ada yang tidak beriman, kerana Allah ‎ﷻ tidak pilihlah untuk dia beriman? Sebenarnya ini adalah salah faham. Allah ‎ﷻ beri hidayah kepada sesiapa yang mahu beriman. Jadi kalimah مَن itu boleh bermaksud ‘Allah’ dan boleh bermaksud ‘seseorang’. Apabila seseorang itu sendiri mahu beriman, Allah ‎ﷻ akan lorongkan dia kepada kebenaran.

Sedangkan kalau seseorang itu enggan beriman kerana degil, bagilah apa sahaja, dia tidak akan beriman. Kalau diberi beratus mukjizat pun, namun kalau Allah ﷻ tidak beri hidayah untuk masuk ke dalam hatinya, tidak akan beriman juga. Di dalam ayat lain disebutkan oleh firman-Nya:

وَلَو جاءَتهُم كُلُّ ءآيَةٍ حَتّىٰ يَرَوُا العَذابَ الأَليمَ
Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasul-Nya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
(Yunus:97)

وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ
Tidaklah bermanfaat tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman
(Yunus:101)

Akan tetapi kita jangan salah faham pula. Allah ﷻ sesatkan orang yang pasti sesat itu adalah kerana mereka tidak mengambil berbagai-bagai peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana mereka banyak menentang, maka baru Allah ﷻ buat keputusan untuk menutup hati mereka daripada menerima kebenaran. Inilah yang dinamakan Khatmul Qalbi seperti dalam perbincangan-perbincangan yang lepas.

Ini penting kerana ramai yang terkeliru. Mereka kata Allah ﷻ yang sesatkan mereka, Allah ﷻ tidak beri hidayah kepada mereka, maka bukan salah mereka, Allah ﷻ yang salah! Subhanallah! Ini amat jahil sekali kerana baca terjemahan tanpa belajar, dan baca satu ayat sahaja sudah buat keputusan yang melulu. Sedangkan Allah ﷻ bukan sewenang-wenangnya menyesatkan manusia. Yang Allah ﷻ sesatkan adalah kerana manusia itu sendiri yang pilih kesesatan. Ini disebut di dalam ayat-ayat lain. Sebab itulah kita kena belajar keseluruhan tafsir 30 juzuk supaya tidak keliru sebegini rupa! Allah ﷻ sebut di dalam Saf:5

فَلَمّا زاغوا أَزاغَ اللَّهُ قُلوبَهُم ۚ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الفٰسِقينَ
Maka tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran), Allah memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.

Maknanya Allah ﷻ sesatkan manusia yang telah berpaling daripada kebenaran. Mereka sendiri yang pilih untuk menjadi sesat, maka Allah ﷻ teruskan kehendak mereka itu. Ini kerana Allah ﷻ tidak paksa manusia untuk beriman. Manusia ada pilihan sendiri seperti yang Allah ﷻ sebut dalam Kahf:29

وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.

Manusia yang diberikan dengan hidayah adalah manusia yang mahukan kebenaran. Dia mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga orang beriman, tetapi mereka pilih untuk beriman dan membersihkan hati mereka daripada kesyirikan seperti disebut dalam Syams:8-10 maka mereka itulah yang beruntung.

فَأَلهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقوَٮٰهَا
serta Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَد أَفلَحَ مَن زَكَّٮٰهَا
sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَد خَابَ مَن دَسَّٮٰهَا
dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Di sini kita tahu bahawa keimanan itu terpulang kepada diri sendiri. Jangan memandai hendak salahkan Allah ﷻ pula. Jangan lagi keliru tentang perkara ini. Belajarlah tafsir Al-Qur’an sampai pandai.

 

Asbabun Nuzul (Sebab Turun) Ayat Al-Baqarah: 272

Ayat ini diturunkan untuk memberikan penjelasan dan ketenangan kepada para sahabat yang merasa bimbang atau ragu-ragu tentang hukum bersedekah kepada orang-orang bukan Islam (kafir). Pada awal Islam, sebahagian sahabat merasa keberatan untuk bersedekah kepada orang musyrik atau Ahli Kitab kerana mereka bimbang sedekah itu tidak akan mendapat pahala di sisi Allah, atau kerana mereka ingin memastikan sedekah hanya diberikan kepada sesama Muslim agar pahalanya tidak sia-sia.

Terdapat beberapa riwayat yang menjelaskan sebab turunnya ayat ini:

    1. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: Ayat ini diturunkan berkaitan dengan para sahabat yang enggan bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih musyrik, atau kepada jiran tetangga mereka yang bukan Muslim. Mereka bimbang amalan sedekah itu tidak akan diterima oleh Allah ‎ﷻ kerana penerimanya bukan Muslim, atau mereka merasa lebih utama untuk bersedekah hanya kepada saudara Muslim.

    2. Diriwayatkan daripada beberapa Mufassir: Sebahagian ulama tafsir menyebutkan bahawa ayat ini turun ketika Nabi Muhammad ﷺ memerintahkan para sahabat untuk bersedekah kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang miskin di Madinah. Para sahabat bertanya atau merasa ragu-ragu: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan bersedekah kepada mereka sedangkan mereka tidak beriman?” Lalu ayat ini turun untuk menjawab keraguan tersebut.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم

Dan apa jua harta yang halal yang kamu infakkan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri

Jangan berhenti daripada infak termasuk kepada orang yang tidak mengikut ajakan dakwah kita. Ini kerana kalau mereka masih tidak mahu beriman, tidak mahu datang belajar agama, kita masih juga dapat pahala infak itu. Maka tidaklah sia-sia perbuatan infak kita itu kerana pahala sudah tertulis.

Kalimah مِن خَيرٍ itu di dalam bentuk nakirah (umum) maka ia boleh jadi apa-apa sahaja infak sedekah. Sama harta, ilmu, malah senyuman sekali pun termasuk juga. Jangan tidak tahu yang senyum itu juga adalah sedekah seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dzar Al-Ghifari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ”
Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku: “Janganlah engkau meremehkan sedikit pun daripada perbuatan makruf (kebaikan), meskipun hanya bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (berseri-seri/senyum).”

(Hadith Riwayat Muslim, Kitab Al-Birr wa As-Silah wa Al-Adab, No. Hadith: 2626)

Semua infak memberi kebaikan kepada diri kita di akhirat kelak. Malah di dunia lagi kebaikan memberi infak kepada orang yang susah itu sudah memberi kebaikan kepada orang kaya. Ini kerana jurang perbezaan antara orang kaya dan miskin kalau terlalu jelas, ia menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan orang miskin; orang kaya pula memandang hina kepada orang miskin itu. Dalam keadaan ini, dua golongan ini tidak bertegur sapa dan benci membenci sesama sendiri. Maka apabila Islam menganjurkan membantu orang susah, maka ia membuka hati kepada orang kaya untuk sayang kepada orang miskin dan orang miskin akan rasa hormat dan sanjung kepada orang kaya yang memberi kepada mereka. Maka suasana masyarakat menjadi harmoni.

Perhatikan Allah ‎ﷻ mengingatkan فَلِأَنفُسِكُم. Maknanya walaupun kita berikan kepada orang, namun kesan kebaikannya kembali semula kepada kita. Walaupun Allah ‎ﷻ suruh kita infak, tetapi Allah ‎ﷻ tidak perlukan sedekah kita, maka kebaikannya kembali kepada diri kita sebenarnya.

 

وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ

dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah

Di sini digunakan frasa “وَجْهِ اللَّهِ” yang diterjemahkan sebagai “wajah Allah” atau boleh diterjemah“keredhaan Allah”, adalah sebuah konsep penting dalam tafsir Al-Qur’an. Ia mungkin menjadi isu kerana antara perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan adalah sama ada melihat secara literal atau ditakwilkan maksudnya? Ini kerana ada yang menolak Allah ‎ﷻ ada wajah kerana kalau Allah ‎ﷻ ada wajah, mereka mengatakan Allah ‎ﷻ sama seperti makhluk pula. Sepatutnya tidak ada masalah dalam hal ini kerana ia boleh ditangani dengan ilmu. Ia boleh ditafsirkan dalam dua-dua terjemahan:

 

1. Hakikat Wajah Allah (Sifat Dzat Allah)

Bagi kebanyakan ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah, “Wajah Allah” adalah salah satu sifat Dzat Allah (Sifat Khobariyyah) yang kita wajib imani sebagaimana Allah ‎ﷻ menyebutnya. Namun, kita mengimaninya tanpa menyerupakan dengan makhluk (bila kayf) dan tanpa mentafsirkan secara harfiah yang boleh membawa kepada tasybih (menyerupakan Allah ‎ﷻ dengan makhluk) atau tajsim (menggambarkan Allah ‎ﷻ memiliki jasad).

Ahli Hadith dan Salaf berpegang teguh pada teks Al-Qur’an dan Hadith, mengimani sifat-sifat Allah sebagaimana adanya tanpa takwil (penafsiran) atau ta’til (penolakan). Mereka menyakini Allah ‎ﷻ memiliki Wajah yang sesuai dengan keagungan dan kesempurnaan-Nya, dan kita tidak mengetahui hakikatnya melainkan Allah ‎ﷻ. Maka jika ditafsirkan sebagai sifat Dzat, maka maknanya adalah seseorang berinfak kerana Allah Dzat Yang Maha Suci itu sendiri, semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya dan balasan daripada-Nya.

Tidak ada masalah pun kalau kita berpegang dengan pendapat yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada wajah. Kerana memang di syurga nanti ahli syurga akan dapat melihat Allah ‎ﷻ termasuk dengan wajah-Nya sekali seperti disebut di dalam Qiyamah:22-23

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ (22) إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23)
“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri (indah), (kerana) memandang kepada Tuhan mereka.” 

 

2. Keredhaan Allah ‎ﷻ (Redha Allah)

Ini adalah tafsiran yang paling umum dan popular, terutama dalam konteks ayat-ayat seperti Al-Baqarah 272 yang berbicara tentang amalan infak atau sedekah. Dalam konteks ini, “Wajah Allah” ditafsirkan sebagai mencari keredhaan Allah ‎ﷻ, balasan daripada Allah ‎ﷻ, atau pahala daripada Allah ‎ﷻ. Mengapa ditafsirkan demikian?

    • Kesesuaian Konteks: Dalam ayat-ayat yang membicarakan amal ibadah, tujuan utama seorang mukmin adalah mencari keredhaan Allah ‎ﷻ dan balasan akhirat, bukan tujuan duniawi.
    • Penekanan Ikhlas: Tafsiran ini menekankan aspek keikhlasan (إخلاص) dalam beramal. Berinfak “kerana mencari wajah Allah” bermaksud berinfak dengan niat yang tulus semata-mata untuk Allah ‎ﷻ, tanpa mengharapkan pujian manusia, balasan dunia, atau tujuan-tujuan lain yang fana.
    • Makna Metafora (Majaz): Sebahagian ulama berpandangan bahawa “wajah” di sini adalah majaz (kiasan) kepada Dzat Allah itu sendiri, dan dengan mencari wajah-Nya, ia bermaksud mencari keredaan dan balasan daripada Dzat Allah. Ini kerana keredhaan dan kegembiraan selalunya nampak pada wajah.

Maka yang penting adalah pengajaran yang kita perlu ambil dari maksud ayat ini, bukannya hendak berbalah tentang wajah Allah pula. Di sini kita diajar hendaklah kita infak kerana mencari redha Allah ‎ﷻ. Bukannya kerana tujuan-tujuan lain. Inilah tujuan kita infak sebenarnya yang kena disematkan di dalam hati kita setiap kali kita infak. Maka kalau kita infak kerana hendak mengubah seseorang, kena ingat balik yang kita infak itu adalah untuk mencari redha Allah ‎ﷻ, bukannya kerana hendak ubah orang. Ubah orang ke arah kebaikan itu adalah bonus sahaja. Kalau kita berdakwah kepada orang dan dia tidak terima, kita tetap mendapat pahala. Kalau dia ikut, itu adalah bonus.

Ayat ini sebenarnya adalah ayat arahan daripada Allah ‎ﷻ walaupun ia dalam jumlah khabar (pemberitahuan). Nampaknya macam ayat beritahu, namun sebenarnya ia adalah ayat suruhan. Maksudnya jangan infak melainkan dengan ikhlas. Macam kita cakap kepada anak-anak kita: “Ingat yer… keluarga kita tidak ada kurang ajar dengan orang tua…” Ayat itu macam ayat beritahu (ayat khabar), tetapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan dan larangan supaya jangan kurang ajar dengan orang tua.

 

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم

dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu

Nescaya infak kita itu akan dibalas dengan baik di akhirat. Pahala infak tetap akan dapat. Ini adalah janji daripada Allah ‎ﷻ dan kalau Allah ‎ﷻ yang janji, tentu Allah ‎ﷻ akan tepati.

Ini mengajar kita bahawa harta kita yang sebenarnya dan kekal dengan kita adalah harta yang sedekahkan. Kalau harta yang kita simpan, ia akan rosak atau hilang begitu sahaja. Kalau kita mati, ia jadi harta orang lain. Sebaliknya apa yang kita sedekahkan itulah yang kekal dengan kita seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Asy-Syikhkhir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقْرَأُ ” أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ” قَالَ ‏”‏ يَقُولُ ابْنُ آدَمَ مَالِي مَالِي وَهَلْ لَكَ يَا ابْنَ آدَمَ مِنْ مَالِكَ إِلاَّ مَا أَكَلْتَ فَأَفْنَيْتَ أَوْ لَبِسْتَ فَأَبْلَيْتَ أَوْ تَصَدَّقْتَ فَأَمْضَيْتَ ‏”‏
Aku mendatangi Nabi ﷺ ketika baginda sedang membaca Surah At-Takathur (أَلْهَاكُمُ التَّكَاثُرُ). Baginda bersabda: “Anak Adam berkata, ‘Hartaku, hartaku.’ Padahal, adakah kamu mempunyai harta, wahai anak Adam, melainkan apa yang kamu makan lalu habis, atau apa yang kamu pakai lalu usang, atau apa yang kamu sedekahkan lalu kamu kekalkan (menjadi pahala)?”

(Riwayat Muslim, Kitab Az-Zuhd wa Ar-Raqaiq, No. Hadith: 2958)

Di dalam hadith lain, Rasulullah ﷺ mengajar Saidatina Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا tentang hal ini,

عن عائشة رضي الله عنها: أنهم ذبحوا شاة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: “مَا بَقِيَ مِنْهَا؟” قَالَتْ: مَا بَقِيَ مِنْهَا إِلاَّ كَتِفُهَا. قَالَ: “بَقِيَ كُلُّهَا إِلاَّ كَتِفُهَا”
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: Bahawa mereka telah menyembelih seekor kambing. Lalu Nabi ﷺ bertanya: “Apa yang tinggal daripadanya?” Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا menjawab: “Tidak tinggal daripadanya melainkan bahunya (atau seketul kecil).” Baginda bersabda: “(Bahkan) semuanya telah kekal melainkan bahunya itu.”

(Riwayat At-Tirmidzi, Kitab Sifat Al-Qiyamah, No. Hadith: 2470. Diriwayatkan juga dengan makna yang serupa dalam Musnad Ahmad dan beberapa kitab lain)

 

وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

dan kamu tidak akan dizalimi

Maksudnya tidak kurang pahala yang Allah ‎ﷻ balas daripada infak kita itu. Malah Allah ‎ﷻ beri berlebih-lebih kali ganda lagi. Contoh bagaimana Allah ‎ﷻ beri lebih lagi kepada kita: Kadang-kadang kita hendak beri kepada orang lain supaya ikut kita belajar, tetapi kadang-kadang Allah ‎ﷻ beri orang lain yang ikut kita. Maknanya Allah ‎ﷻ menggantikan dengan orang lain. Maka, yang kita infak itu, kita dapat pahala infak walaupun dia tidak ikut belajar dan yang ikut belajar itu pun kita dapat pahala dakwah pula.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Asbabun Nuzul – Imam As Suyuthi

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah