Tafsir Surah Ali Imran Ayat 22 – 26 (Jangan jadikan orang kafir teman rapat)

Ayat 22:

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ وَما لَهُم مِّن نّاصِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL

They are the ones whose deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and for them there will be no helpers.

MALAY

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

 

أُولٰئِكَ الَّذينَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ

Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat,

Gugur amalan mereka kerana kekufuran yang mereka telah lakukan. Dan ada banyak kekufuran yang manusia boleh lakukan. Salah satu cabang kufur adalah syirik dan ini adalah kufur terbesar dan dosa terbesar. Ia sampai boleh menggugurkan iman sedangkan kalau buat dosa besar lain pun masih tak gugur iman lagi.

Bukan sahaja iman gugur, tapi amalan baik yang pernah dibuat dulu pun akan jadi kosong. Ini kerana dosa syirik ini amat besar dan amat bahaya sekali. Malang sekali kalau amal baik kita banyak, tapi kita ada pula fahaman syirik. Nauzubillah!

Sedangkan kita perlu pahala dari amalan-amalan baik kita itu. Amalan yang baik ada kesannya di dunia lagi dan akan dibalas lagi di akhirat. Sebagai contoh, solat yang baik akan menenangkan hati kita; infak yang dikeluarkan akan menambah rezeki kita. Itu semua adalah contoh kebaikan yang Allah beri semasa di dunia lagi. Tetapi orang yang melakukan syirik langsung tidak dapat kebaikan di dunia dan di akhirat pun tidak ada pahala buat dijadikan bekal.

Musyrikin Mekah sangka mereka tentunya dapat banyak kebaikan kerana mereka menjaga Ka’bah. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang mereka langsung tidak akan dapat apa-apa kebaikan.

وَما لَهُم مِّن نّاصِرينَ

dan mereka tidak akan memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

Di akhirat nanti tidak akan ada pembantu untuk mereka. Puak Kristian sangka yang Nabi Isa yang mereka puja dan sembah itu akan membantu mereka. Tapi Allah jawab jangan harap.


MENOLAK KEPUTUSAN ALLAH

Ayat 23: Ini adalah ayat teguran kepada Ahli Kitab. Mereka sudah ada kitab wahyu di tangan mereka, tapi perangai mereka tidak seperti yang sepatutnya. Sepatutnya apabila sudah ada kitab wahyu di tangan, maka kitab itu hendaklah menjadi panduan kepada mereka. Tapi itu tidak terjadi.

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

SAHIH INTERNATIONAL

Do you not consider, [O Muhammad], those who were given a portion of the Scripture? They are invited to the Scripture of Allah that it should arbitrate between them; then a party of them turns away, and they are refusing.

MALAY

Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).

أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ أوتوا نَصيبًا مِّنَ الكِتٰبِ

Tidakkah engkau pelik memikirkan terhadap sikap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab,

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Ahli Kitab yang diberi sedikit sebanyak maklumat tentang wahyu Allah. Mereka sudah ada Kitab Taurat dan mereka tahu serba sedikit ilmu darinya.

Perkataan نَصيبًا (sebahagian) bermaksud bahagian yang boleh diambil manfaat darinya. Memang ada banyak pengajaran di dalam Kitab Taurat itu Allah memberi isyarat dalam ayat ini yang mereka telah diberikan nikmat yang amat besar.

يُدعَونَ إِلىٰ كِتٰبِ اللَّهِ لِيَحكُمَ بَينَهُم

mereka diseru kepada Kitab Allah supaya Kitab itu dijadikan hakim di antara mereka. 

Patutnya apabila mereka sudah tahu serba sedikit tentang kitab, maka lembut sikitlah hati mereka untuk menerima kebenaran sepatutnya. Patutnya apabila mereka diajak untuk belajar kitab Al-Qur’an pula, biar sempurna ilmu mereka dan supaya hukum agama tertegak, mereka ikutlah. Merekalah yang sepatutnya beriya-iya untuk belajar dan belajar sampai habis.

Mereka sepatutnya menggunakan kitab itu untuk berhukum sesama mereka supaya menegakkan keadilan. Sekali lagi tentang keadilan disebut.

ثُمَّ يَتَوَلّىٰ فَريقٌ مِّنهُم وَهُم مُّعرِضونَ

satu puak dari mereka berpaling ingkar terus menerus menolak

Tapi ada yang degil berpaling. Kalimah فَريقٌ bermaksud ada puak yang buat pecahan yang baru dan buat kumpulan baru. Kalau dalam parti politik, ini mereka yang buat parti serpihan.

Mereka terus menerus degil tak mahu ikut seluruh syariat. Mereka tahu tapi tak mahu ikut (hanya kerana degil sahaja). Ini sama seperti orang kita yang sudah tahu tentang kepentingan Al-Qur’an. Dan memang mereka sayang pun kepada Al-Qur’an dan kerana itu mereka selalu baca setiap hari, mahal ada yang hafal pun.

Tapi malangnya mereka tidak jadikan Al-Qur’an sebagai sumber hukum dalam kehidupan mereka. Kalau kita beritahu yang perbuatan mereka berlawanan dengan Al-Qur’an, mereka  tidak terima. Ini kerana mereka hanya baca sahaja Al-Qur’an itu, tidak memahaminya.


Ayat 24: Allah beritahu kenapa mereka berdegil tidak mahu terima kebenaran yang telah disampaikan kepada mereka. Inilah punca kenapa golongan ahli kitab itu berani menolak kebenaran. .

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ ۖ وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

SAHIH INTERNATIONAL

That is because they say, “Never will the Fire touch us except for [a few] numbered days,” and [because] they were deluded in their religion by what they were inventing.

MALAY

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”. Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا لَن تَمَسَّنَا النّارُ إِلّا أَيّامًا مَّعدودٰتٍ

Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan) berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung”.

Ini akidah Puak Yahudi dan Nasara. Mereka sangka (perasan) yang mereka akan masuk neraka paling lama pun selama 40 hari sahaja. Sebab itu mereka berani buat apa sahaja kerana mereka sangka mereka kalau masuk neraka pun tidak lama.

Oleh kerana ada akidah ini, jadi mereka sampaikan tidak takut menipu dalam hal agama. Mereka tahu ada neraka, tahu mereka mungkin akan masuk tapi mereka sangka kalau masuk pun sekejap sahaja. Kerana mereka sangka mereka itu umat terpilih. Macam ayah, takkan nak hendak hukum lama sangat anak kesayangan dia, bukan?

Dalam ayat ini digunakan lafaz مَعدوداتٍ. Ianya bermaksud jumlah yang banyak tapi tidak banyak sangat. Ini adalah salah satu dari ilmu nahwu bahasa Arab. Dalam Surah Baqarah, dalam ayat 80, digunakan lafaz مَعدودَةً. Oleh kerana kalimah yang digunakan berlainan, ia bermaksud jumlah yang lebih banyak.

Oleh itu, مَعدوداتٍ adalah bilangan yang kurang daripada مَعدودَةً. Kenapa digunakan kalimah yang berbeza (tapi bila diterjemahkan sama sahaja)? Ini adalah kerana dalam Surah Ali Imran ini, tidak banyak diberitahu dosa-dosa mereka. Sedangkan dalam Surah Baqarah, lafaz مَعدودَةً itu keluar selepas banyak dosa-dosa puak Yahudi disebut.

وَغَرَّهُم في دينِهِم مّا كانوا يَفتَرونَ

Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

Mereka diperdaya oleh fahaman sesat mereka. Mereka sendiri yang reka fahaman sesat itu. Pendeta dan ulama’ agama mereka telah memutar-belit agama dan mereka terus percaya (tanpa usul periksa lagi). Mereka tidak periksa sama sekali sama ada yang disampaikan itu ada dalil atau tidak. Ini macam masyarakat kita juga, kalau ustaz cakap begini dan begitu, masyarakat yang jahil akan terima bulat-bulat sahaja. Macam mereka tidak ada akal untuk periksa sendiri.

Begitulah akidah sesat golongan ahli kitab. Padahal tiada dalil sahih yang kata mereka akan kena azab sekejap sahaja. Inilah bahaya propaganda. Mungkin pada mulanya ada yang cakap satu idea yang tiada asas. Tapi apabila sudah ramai yang terima, ramai yang cakap benda yang sama, ia sudah jadi macam fakta, padahal asalnya tidak.

Masyarakat kita pun ada fahaman sesat ini. Mereka kata “kalau masuk neraka, orang Muslim akhirnya akan masuk syurga juga, bukan?” Tentu anda pernah dengar kata-kata sebegini. Maka fahaman itu menyebabkan ramai Muslim yang rasa selamba sahaja, macam tak takut kalau buat dosa. Yakin benar mereka yang mereka akan masuk sekejap sahaja dan akhirnya akan masuk syurga akhirnya.

Siapa yang ada bagi janji kepada mereka, begitu? Apa mereka sangka neraka itu macam kena tahan di penjara dunia sahajakah? Amat malang sekali kepada mereka yang ada fahaman sebegitu.


Ayat 25:

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

SAHIH INTERNATIONAL

So how will it be when We assemble them for a Day about which there is no doubt? And each soul will be compensated [in full for] what it earned, and they will not be wronged.

MALAY

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

فَكَيفَ إِذا جَمَعنٰهُم لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ

Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak padanya; 

Bagaimana agaknya mereka pada Hari Kiamat itu? Bahasa yang digunakan menunjukkan ketakjuban. Hari itu pasti datang dan mereka akan mendapat balasan mereka. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan mereka lalui nanti. Tidakkah mereka pernah terfikir? Tidakkah mereka takut?

Maka kita pun kena ingat selalu perkara ini. Kena kenang apalah balasan untuk kita di akhirat kelak. Jangan fikir hal dunia sahaja tapi fikirkan juga hal-hal akhirat yang pasti datang. Mahu fikir atau tidak, ia tetap datang (kerana ia tidak syak lagi, pasti akan datang).

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan,

Manusia akan dapat balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya di dunia. Kalau dia pernah melakukan kesalahan akidah sesat, maka dia akan kekal dalam neraka (bukan sementara sahaja).

Apa sahaja yang Allah lakukan, ianya pasti adil. Apa sahaja balasan yang Allah berikan, memang ia patut diberikan kepada orang yang menerimanya.

Ayat ini juga dalil bahawa kita hanya mendapat hasil dari usaha kita sahaja. Maka, kalau sedekah atau hadiah pahala tidak sampai. Maka jangan berharap subsidi pahala dari anak beranak. Kena usahakan sendiri.

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

Mereka tidak akan diberikan azab melainkan apa yang mereka buat sahaja. Tidaklah macam di dunia, kadang-kadang mahkamah kenakan hukuman kepada orang yang tidak bersalah. Allah tidak zalim dan tidak pernah tersilap. Apa-apa sahaja yang Allah lakukan, tidak pernah dan tidak akan zalim.


KUASA MUTLAK ALLAH

Ayat 26: Ini adalah natijah dari fahaman yang tauhid, maka doa pun dalam bentuk tauhid juga. Ayat ini mengajar kita untuk minta kepada Allah sahaja. Kalau minta kepada wali dan Nabi, itu tanda orang yang ada masalah dengan tauhid.

Ini adalah salah satu daripada doa yang masyhur dalam masyarakat kita. Ayat ini selalu dibaca dalam Majlis Tahlil. Adakah mereka yang membacanya tahu maksud ayat ini agaknya? Mereka mungkin tidak tahu kerana  mereka masih mengamalkan amalan bidaah (Majlis Tahlil). Mereka hanya ikut-ikut sahaja amalan tok nenek dahulu tanpa melihat kepada dalil.

Jadi ayat ini adalah doa yang bagus untuk kita amalkan. Kalau kita lihat di dalam Al-Qur’an terdapat dua jenis doa yang disebut:

1. Ada jenis doa yang Allah pulangkan kembali kata-kata manusia untuk dijadikan sebagai contoh doa kepada kita. Maknanya kita boleh minta dengan cara kita sendiri.

2. Tetapi ada doa yang Allah sendiri ajarkan pada kita untuk menyebutnya seperti yang Allah gunakan di dalam ayat ini. Allah sendiri suruh kita sebut dengan cara seperti yang tertulis kerana ada perkataanقل ‏  (katakanlah) di awal ayat ini.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ ۖ بِيَدِكَ الخَيرُ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL

Say, “O Allah , Owner of Sovereignty, You give sovereignty to whom You will and You take sovereignty away from whom You will. You honor whom You will and You humble whom You will. In Your hand is [all] good. Indeed, You are over all things competent.

MALAY

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

قُلِ اللَّهُمَّ مٰلِكَ المُلكِ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! 

Maksud اللَّهُمَّ adalah cara panggilan kepada Allah. Ia diterjemahkan: “ya Allah!”. Doa Nabi selalu menggunakan اللَّهُمَّ. Maka, elok kalau kita guna cara begitu.

Dialah Allah dan Dia sahaja yang memiliki kerajaan yang sebenar. Maksud المُلكِ adalah kerajaan yang besar.

Ada perbezaan antara maksud مالِكَ dan المُلكِ walaupun bunyinya seakan-akan sama. Maksud مالِكَ adalah ‘memiliki’. ‘Memiliki’ maksudnya ada benda yang menjadi hak kita. Macam kita miliki rumah atau pen.

Tapi kalimah المُلكِ bermaksud kerajaan besar yang selalunya ditadbir oleh seorang Raja. Tapi walaupun dia Raja, tidaklah dia memiliki semuanya seperti rumah dan pen. Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan المُلكِ dan مالِكَ ini, maksudnya Allah memiliki kerajaan yang besar dan apa-apa sahaja yang kecil-kecil. Allah memiliki yang makro dan mikro.

تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah yang beri kuasa kerajaan di dunia. Ini adalah antara perkara yang tidak dapat dijangka. Ada orang yang tidak pernah sangka akan menjadi raja, akhirnya menjadi raja.

Sebagai contoh, dalam kerajaan Melayu dahulu, keturunan Raja-raja telah ditetapkan. Tetapi apabila Kerajaan British campurtangan, mereka telah menukar Sultan yang tidak mahu mengikut telunjuk mereka dengan orang lain. Orang yang tidak sepatutnya menjadi raja, dia pula yang dinaikkan jadi Sultan.

Begitulah juga, Nabi Muhammad bukanlah berdakwah mengajar agama kerana hendakkan kuasa pemerintahan. Tetapi kuasa memerintah diberikan juga kepada baginda untuk menegakkan hukum agama. Ini kerana apabila hendak menegakkan undang-undang agama Islam, maka kenalah ada kerajaan dan kuasa dahulu.

وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ

dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh ambil balik kerajaan yang telah diberikanNya. Ada kerajaan yang besar yang tak sangka boleh diambil. Macam Allah ambil kekuasaan Hosni Mubarak di Mesir tidak lama dahulu. Kerajaan di Malaysia pun begitu juga. Ada kerajaan yang sudah lama memerintah, tapi akhirnya jatuh juga. Itu memang tidak disangka.

Kalau beberapa tahun sebelum itu ditanya adalah Hosni Mubarak akan kehilangan kuasa dia, orang yang pandang kita dan kata: “Engkau dah gila?”. Tapi segala-galanya dalam kekuasaan Allah. Allah boleh beri dan Allah boleh tarik. Kalau kita sedang berada di tampuk pemerintah tertinggi mana pun, ingatlah yang kita tidak selama-lamanya ada di situ.

Ibnu Abbas ada menafsirkan lafaz al-Mulk dalam ayat ini adalah an-nubuwwah. Kerana ada kekuasaan kepemimpinan dalam nubuwwah juga. Maksudnya Allah boleh memberi dan menarik nubuwwah dari golongan mana-mana sahaja dan diberikan kepada mereka yang lain. Sebagaimana dulu Allah beri wahyu kepada Bani Israil, tapi kemudian Allah telah tarik dan beri kepada Bani Ismail iaitu Nabi Muhammad dari Bani Ismail – bangsa Arab.

وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ

Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki,

Allah boleh muliakan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Kita pun kadang-kadang boleh lihat dalam masyarakat kita, orang yang tidak pernah dikenali sebelum itu, tiba-tiba jadi terkenal dan tersohor dalam masyarakat. Ada orang yang tidak ada harta tapi mulia di mata orang.

Sebagai contoh, dalam sejarah banyak kali kita dengar, bagaimana ulama’ yang tinggi ilmu agama mereka, dan besar jiwa mereka dihormati oleh manusia walaupun mereka tidak ada kuasa pemerintahan. Sebagai contoh, Imam Malik amat dihormati oleh Khalifah. Dan banyak lagi kisah yang kita biasa dengar.

وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ

dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.

Dan Allah boleh malukan sesiapa sahaja yang dikehendakiNya. Orang yang dipandang tinggi selama hari ini, tiba-tiba ada rahsia dia yang keluar dalam berita sampaikan menghinakan orang itu. Dari pemimpin negara yang besar, boleh jatuh sampai jadi sampah masyarakat.

بِيَدِكَ الخَيرُ

di tanganMu kebaikan

Segala kebaikan adalah pada Allah. Maksudnya, segala apa sahaja yang Allah buat adalah baik belaka. Jangan kita pertikai apa yang Allah telah lakukan. Kena redha dengan apa yang Allah telah rancang dan jalankan. Jangan kita gunakan akal kita yang lemah ini untuk menilai baik dan buruk apa yang Allah lakukan.

إِنَّكَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah boleh lakukan apa sahaja yang Allah mahu. Keputusan Allah tidak tertakluk dengan apa-apa sebab pun. Sebab? Sebab Dia Tuhan. Siapa kita untuk mempertikaikan apakah yang Allah hendak lakukan?

Allah hendak  memberitahu yang sebelum ini tampuk agama adalah pada Bani Israil, banyak Nabi dari kalangan mereka. Tapi sekarang Allah sudah buat keputusan untuk memberi tampuk itu kepada orang lain – Nabi Muhammad dari bangsa Arab. Dari Tanah Arab yang kering kontang itu, telah mengubah dunia.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Ogos 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar Dr Hamka

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment