Tafsir Surah Baqarah Ayat 285 (Rukun Iman) Part 1

RUKUN-RUKUN IMAN

Baqarah Ayat 285: Dalam hadith ada disebut bahawa dua ayat terakhir Surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj bertemu Allah ‎ﷻ. Dalilnya adalah hadith,

عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ، قَالَ: لَمَّا أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْتُهِيَ بِهِ إِلَى سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَهِيَ فِي السَّمَاءِ السَّابِعَةِ، إِلَيْهَا يَنْتَهِي مَا يُهْبَطُ بِهِ مِنْ فَوْقِهَا، وَيُقْبَضُ مِنْ تَحْتِهَا… فَأُعْطِيَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثَلاَثًا: أُعْطِيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ، وَأُعْطِيَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ، وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا.
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Ketika Rasulullah ﷺ diperjalankan (Isra’), baginda sampai ke Sidratul Muntaha, dan ia (Sidratul Muntaha) berada di langit ketujuh. Kepadanya berhenti segala sesuatu yang diturunkan dari atasnya, dan kepadanya pula diambil apa yang dinaikkan dari bawahnya… Lalu Rasulullah ﷺ diberikan tiga perkara: Baginda diberikan solat lima waktu, baginda diberikan penutup (ayat-ayat terakhir) Surah Al-Baqarah, dan diampuni bagi umatnya yang tidak menyekutukan Allah sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 163)

Maka ia adalah ayat yang amat penting sekali sampaikan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah ‎ﷻ. Ayat ini adalah Ayat Tabshir. Ia adalah  tentang golongan yang Allah ‎ﷻ beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman yang bagaimana? Beriman dengan apa yang Allah ﷻ sebut nanti di dalam ayat ini.

Dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 285 dan 286, memiliki kelebihan dan keutamaan yang sangat besar dalam Islam. Ayat-ayat ini dikenal sebagai “penutup Al-Baqarah” (Khawatim Al-Baqarah) dan banyak disebutkan dalam hadith-hadith. Antaranya, diriwayatkan daripada Abu Mas’ud Al-Badri (Uqbah bin Amr Al-Anshari) رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ
“Barangsiapa membaca dua ayat terakhir daripada Surah Al-Baqarah pada suatu malam, nescaya keduanya akan mencukupinya.”
(Sahih Bukhari No. 5009 dan Muslim No. 808)

Penjelasan: Kalimah كَفَتَاهُ (mencukupinya) dalam hadis ini memiliki beberapa penafsiran dalam kalangan ulama, di antaranya:

    • Mencukupi daripada segala keburukan: Melindungi daripada gangguan syaitan, jin, manusia, musibah, dan segala hal yang tidak disukai pada malam itu.
    • Mencukupi daripada ibadah malam: Seolah-olah sudah cukup baginya daripada keperluan untuk solat malam (qiyamul lail) pada malam itu, kerana pahala membaca dua ayat ini sudah sangat besar.
    • Mencukupi daripada godaan: Melindungi daripada godaan nafsu atau dosa.

Maka hadith ini mendorong umat Islam untuk mengamalkan pembacaan dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah ini secara rutin setiap malam untuk mendapatkan keutamaan dan perlindungan daripada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi kenalah faham dahulu maksud dan tafsir ayat ini. Jangan jadi Melayu sangat yang setakat ‘baca’ kosong sahaja tanpa tahu dan ambil pengajaran daripada ayat ini.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

SAHIH INTERNATIONAL
The Messenger has believed in what was revealed to him from his Lord, and [so have] the believers. All of them have believed in Allah and His angels and His books and His messengers, [saying], “We make no distinction between any of His messengers.” And they say, “We hear and we obey. [We seek] Your forgiveness, our Lord, and to You is the [final] destination.”

MALAY
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasul-Nya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

 

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, 

Allah ‎ﷻ menyebut tentang kepentingan iman di sini. Di awal surah ini Allah ‎ﷻ telah menyebut tentang iman dan sekarang di hujung surah ini Allah ‎ﷻ mengulang tentangnya kembali. Di tengah-tengah surah ini telah banyak kita pelajari tentang hukum hakam tetapi semua itu tidak bermakna jikalau tidak ada iman. Iman itu hendaklah diikuti. Secara umum, definisi iman yang disepakati oleh majoriti ulama Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah:

“Pengakuan dengan hati (تَصْدِيْقٌ بِالْقَلْبِ), ucapan dengan lisan (قَوْلٌ بِاللِّسَانِ), dan pembuktian dengan anggota badan (عَمَلٌ بِالْأَرْكَانِ).”

Kalau setakat percaya sahaja tetapi tidak diikuti, tidaklah dikira iman itu. Kalau setakat percaya sahaja, Abu Talib bapa saudara Nabi Muhammad ﷺ pun percaya dengan apa yang dibawa oleh baginda, akan tetapi Abu Talib tidak beriman sepenuhnya.

Nabi Muhammad ﷺ sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Apakah wahyu itu? Tentulah Al-Qur’an yang menjadi kitab baginda dan untuk umat baginda. Maka ini mengajar kita untuk berpegang dengan Al-Qur’an. Bukan setakat terima sahaja tetapi hendaklah difahami dan diikuti. Bukan setakat baca sahaja seperti kebanyakan orang Melayu buat, tetapi hendaklah diamalkan.

Allah ‎ﷻ menekankan di sini bahawa Al-Qur’an itu مِن رَّبِّهِ (Daripada Tuhannya). Maka jangan main-main dengan Al-Qur’an. Sekiranya menerima surat daripada kekasih pun kita baca berkali-kali, takkan ‘surat’ daripada Allah ‎ﷻ kita tidak baca? Bukan hanya baca sahaja, tetapi hendaklah difahami. Kerana kalau baca tanpa faham, adakah itu dikira ‘baca’? Tentu tidak.

Wahyu itu pula أُنزِلَ (diturunkan). Kalau diturunkan, maka tentulah ia dari atas, bukan? Kenapakah ia diturunkan dari atas? Kerana Allah ‎ﷻ itu di atas, di langit! Maka ini adalah antara dalil daripada banyak-banyak dalil yang ada di dalam Al-Qur’an tentang keberadaan Allah ‎ﷻ di langit. Maka tidak perlu untuk dipanjangkan hal ini dan tidak perlu dibahaskan panjang lebar sebenarnya kerana ia sudah sangat jelas.

Di sini disebut الرَّسولُ sahaja yang merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tidak disebut nama baginda akan tetapi disebut pangkat baginda. Nabi ﷺ kenalah percaya terlebih dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain. Bagindalah orang pertama yang beriman dengan Al-Qur’an. Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tetapi bayangkan keadaan Nabi ﷺ pada waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat ketika itu sampaikan ramai yang menuduh baginda gila. Baginda pun begitu terkejut pada mulanya. Ingat kembali peristiwa bagaimana takutnya baginda sehingga menggigil kesejukan ketika pertama kali menerima wahyu. Tiba sahaja di rumah baginda perlu diselimutkan dan ditenangkan oleh isteri tercinta baginda, Khadijah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا.

Akan tetapi keimanan baginda telah dipelihara oleh Allah ‎ﷻ. Oleh kerana Nabi Muhammad ﷺ percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Sekiranya baginda tidak yakin, tentulah baginda tidak sanggup. Tentu tidaklah baginda akan sudi menderita, berkorban, terusir dari Thaif, berhijrah ke Madinah, berkali-kali memimpin sendiri peperangan melawan musuh, nyaris dibunuh di Mekah, nyaris dibunuh Yahudi Bani Nadhir di Madinah, nyaris termakan racun perempuan di Khaibar. Sampai ketika wafatnya, sesaat pun tidak pernah kendur keyakinannya bahawa memang dia adalah Rasulullah.

 

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman; 

Begitu juga para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang mukmin yang sempurna iman, mereka beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Ini kerana mereka percaya kepada bagindalah yang menyebabkan mereka sanggup berkorban bersama baginda, sanggup menghadapi tentangan dan seksaan ketika di Mekah, meninggalkan Mekah menuju ke Madinah, berperang bersama baginda dan ramai yang wafat kerana agama Islam ini. Semuanya kerana iman di dalam dada yang menyebabkan mereka sanggup melakukan segalanya.

Maka kerana mereka itu golongan yang terpilih di sisi Allah ‎ﷻ, maka kita pun kena ikut iman seperti iman mereka. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal‘, iaitu menerima belaka wahyu yang disampaikan. Jadi kita kena belajar apakah pegangan mereka dan apakah ibadah mereka supaya kita tidak reka fahaman sendiri pula. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Tawbah:100 akan dalil kita kena ikut para sahabat itu,

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.”

Perhatikan Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Tidaklah Allah ‎ﷻ khususkan kepada para sahabat Rasulullah ﷺ sahaja. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita ini adalah orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Allah ‎ﷻ.

Perhatikan juga susunan ayat ini: ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ dan bukannya ءآمَنَ الرَّسولُ وَالمُؤمِنونَ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ. Maknanya Allah ﷻ pisahkan iman Nabi Muhammad ﷺ dan orang mukmin yang lain. Kerana walaupun sama-sama beriman, akan tetapi tahap keimanan tidaklah sama. Takkan iman kita sama dengan para sahabat dan tidaklah iman para sahabat setaraf iman Rasulullah ﷺ pula. Yang perasan iman melambung tinggi adalah golongan sufi tarekat dan habaib sahaja. Iman para Rasul adalah hasil daripada wahyu yang dapat secara langsung daripada Allah ﷻ. Mereka menerima ilmu dan petunjuk secara langsung, tanpa keraguan. Keyakinan mereka kepada Allah,ﷻ  hari akhir, malaikat, kitab, dan takdir adalah mutlak dan sempurna, tidak pernah goyang oleh keraguan sedikit pun. Mereka melihat bukti-bukti kebesaran Allah ﷻ secara langsung (seperti Nabi Muhammad ﷺ yang melihat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam bentuk asal, atau Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berbicara langsung dengan Allah ﷻ).

Satu lagi maksud potongan المُؤمِنونَ ini adalah orang yang beriman itu beriman dengan apa yang Nabi Muhammad ﷺ beriman. Takkan kita yang kena ikut Nabi ﷺ ini berlainan pula dengan iman baginda. Maka kena tahulah iman baginda macam mana. Dalam hal akidah dan amalan, mesti ada contoh daripada Nabi ﷺ dan diikuti oleh para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ yang belajar terus daripada baginda. Ini sangatlah logik dan sangatlah mudah untuk diterima. Kenapa hendak dicari fahaman dan akidah yang lain pula?

 

كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ

semuanya beriman kepada Allah, 

Semua iaitu Rasulullah ﷺ dan orang beriman itu beriman dengan apa yang patut diimani. Sebelum ini telah disebut Iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu Rukun Iman yang perlu diimani. Daripada susunan ayat ini, kita boleh susun begini – Allah ‎ﷻ beri wahyu, disampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada Rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Ringkasan kepada Percaya kepada Allah ‎ﷻ mencakupi beberapa aspek penting:

  1. Iman kepada Rububiyah Allah: Ini bererti menyakini bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya Pencipta, Pemilik, Pengatur, dan Pemberi Rezeki bagi seluruh alam semesta. Tidak ada sekutu bagi-Nya dalam penciptaan, pengaturan, mahupun penguasaan. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, yang memberi manfaat dan mudarat.
  2. Iman kepada Uluhiyah Allah: Ini adalah keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ adalah satu-satunya Zat yang berhak disembah dan diibadahi. Tidak ada Tuhan selain Dia yang patut ditaati segala perintah dan larangan-Nya, serta dicintai melebihi segalanya. Bentuk-bentuk ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji, doa, tawakal, nazar, dan qurban hanya boleh dipersembahkan kepada-Nya semata. Bab Tauhid Uluhiyyah ini yang manusia termasuklah umat Islam sendiri pun ada masalah kerana kurang faham. Ramai yang melakukan ibadah kepada selain Allah. Sebagai contoh utama, doa sepatutnya diberikan kepada Allah ‎ﷻ sahaja (kerana doa adalah ibadah), akan tetapi ramai yang berdoa kepada selain Allah ‎ﷻ juga.
  3. Iman kepada Nama-nama dan Sifat-sifat Allah (Asmaul Husna wa Sifatul Ulya): Ini bererti menyakini bahawa Allah ‎ﷻ memiliki nama-nama yang indah dan sifat-sifat yang sempurna, yang telah Dia sebutkan sendiri dalam Al-Qur’an dan melalui lisan Rasul-Nya ﷺ dalam hadith-hadith sahih. Kita wajib menyakini nama dan sifat tersebut sesuai dengan apa yang ada tanpa mengubah makna, menolaknya, mempersamakannya dengan makhluk, atau mempertanyakan bagaimana (kaifiyah) sifat tersebut. Contohnya: Ar-Rahman (Maha Pengasih), Al-Qadim (Maha Dahulu), Al-Bashir (Maha Melihat), Al-‘Alim (Maha Mengetahui), dan sebagainya.

Keimanan yang benar kepada Allah ‎ﷻ adalah dasar utama seluruh ajaran Islam. Tanpa keyakinan ini, rukun iman lainnya dan rukun Islam tidak akan memiliki makna atau kekuatan. Ini memberikan arah hidup, ketenangan jiwa, dan motivasi untuk berbuat baik serta menjauhi larangan-Nya, dengan harapan meraih keredhaan dan syurga-Nya. Keyakinan ini juga membebaskan manusia dari perhambaan kepada sesama makhluk atau hawa nafsu, serta mengarahkan seluruh perhambaan hanya kepada Allah ‎ﷻ.

 

وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ

dan Malaikat-malaikat-Nya, 

Iman kepada malaikat adalah rukun iman yang kedua dalam Islam, setelah iman kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kepercayaan yang wajib diyakini oleh setiap Muslim, dan tanpanya, keimanan seseorang tidak sempurna. Setelah kita telah percaya dan beriman kepada Allah ‎ﷻ, bagaimana pula percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang Malaikat itu hanyalah hamba Allah ‎ﷻ, bukan wakil Allah ‎ﷻ. Oleh itu, tidak boleh puja Malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Beriman kepada malaikat bererti menyakini beberapa hal fundamental tentang mereka:

1. Malaikat Itu Ada dan Diciptakan daripada Cahaya: Kita wajib menyakini keberadaan malaikat sebagai makhluk ciptaan Allah ‎ﷻ. Mereka bukan makhluk khayalan atau personifikasi daripada kekuatan alam. Sebab ada juga yang kata dengan jahilnya yang para malaikat itu tidak ada tetapi hanyalah dalam energi.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « خُلِقَتِ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ ».
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyala api, dan Adam (manusia) diciptakan daripada apa yang telah disebutkan (ciri-cirinya) untuk kalian.”
(Sahih Muslim No. 2996)

2. Malaikat adalah Hamba Allah yang Patuh Sepenuhnya: Malaikat adalah makhluk yang diciptakan khusus untuk beribadah dan mentaati perintah Allah ‎ﷻ tanpa pernah membangkang atau derhaka. Mereka tidak memiliki syahwat seperti manusia dan jin. Allah ‎ﷻ berfirman dalam Anbiya’:19-20

وَلَهُ ۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ‌ۚ وَمَنۡ عِندَهُ ۥ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ عَنۡ عِبَادَتِهِۦ وَلَا يَسۡتَحۡسِرُونَ (١٩) يُسَبِّحُونَ ٱلَّيۡلَ وَٱلنَّہَارَ لَا يَفۡتُرُونَ (٢٠)
Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua dan malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepada-Nya dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. (19) Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti. (20)

Allah ‎ﷻ juga berfirman di dalam Tahreem:6

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

3. Jumlah Mereka Sangat Banyak: Hanya Allah ‎ﷻ yang mengetahui jumlah pasti malaikat. Kita hanya mengetahui bahawa jumlah mereka sangat banyak, jauh melebihi manusia dan jin. Ada yang terus-menerus bertasbih di Arsy, ada yang mengisi langit-langit, dan sebagainya. Di dalam hadith yang panjang tentang Isra’ Mi’raj, Rasulullah ﷺ bersabda (setelah melewati langit keenam dan bertemu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kemudian naik ke langit ketujuh dan bertemu Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ):

“…فَرُفِعَ لِيَ الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، فَسَأَلْتُ جِبْرِيلَ، فَقَالَ: هَذَا الْبَيْتُ الْمَعْمُورُ، يُصَلِّي فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ، إِذَا خَرَجُوا لَمْ يَعُودُوا إِلَيْهِ آخِرَ مَا عَلَيْهِمْ.”
“…Kemudian diangkatlah kepadaku Baitul Ma’mur. Lalu aku bertanya kepada Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau menjawab: ‘Ini adalah Baitul Ma’mur. Setiap hari tujuh puluh ribu malaikat solat di dalamnya. Apabila mereka keluar (dari Baitul Ma’mur setelah solat), mereka tidak akan kembali lagi kepadanya hingga hari terakhir mereka (Hari Kiamat/hingga tugas mereka selesai)’.”
(Sahih Bukhari No. 3207 dan Muslim No. 162)

4. Mereka Memiliki Tugas-Tugas Spesifik: Setiap malaikat memiliki tugas yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Beberapa yang dikenali dan tugasnya adalah:

    • Jibril: Menyampaikan wahyu kepada para nabi dan rasul.
    • Mikail: Mengatur hujan dan rezeki.
    • Israfil: Meniup sangkakala pada hari kiamat.
    • Malakul Maut: Mencabut nyawa.
    • Raqib dan Atid: Mencatat amal baik dan buruk manusia.
    • Munkar dan Nakir: Menyoal manusia di alam kubur.
    • Malik: Penjaga neraka.
    • Ridwan: Penjaga syurga.
    • Malaikat yang memikul Arasy, malaikat yang bertasbih, malaikat yang melindungi manusia, dan lain-lain.

5. Mereka Memiliki Bentuk dan Kekuatan yang Luar Biasa: Malaikat dapat memiliki sayap, bahkan hingga ribuan sayap, dan memiliki kekuatan yang besar. Namun, mereka juga dapat menjelma menjadi bentuk manusia atas izin Allah ‎ﷻ untuk menjalankan tugas tertentu, seperti Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang pernah menampakkan diri di hadapan Nabi ﷺ dalam wujud manusia. Telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, mengenai penglihatan Nabi Muhammad ﷺ terhadap Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam wujud aslinya.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم جِبْرِيلَ لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ.
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ melihat Jibril memiliki enam ratus sayap.”
(Sahih Bukhari No. 3232 dan Muslim No. 174)

Iman kepada malaikat memiliki kesan yang besar dalam kehidupan seorang Muslim:

  • Meningkatkan Ketaatan: Menyedari bahawa ada malaikat yang selalu mencatat setiap perbuatan dan perkataan akan mendorong seseorang untuk lebih berhati-hati dan taat kepada Allah ‎ﷻ.

  • Merasa Sentiasa Diawasi: Keyakinan akan keberadaan malaikat Raqib dan Atid menumbuhkan rasa muraqabah (merasa diawasi) oleh Allah ‎ﷻ, sehingga terhindar daripada maksiat.

  • Menambah Rasa Syukur: Dengan mengetahui ada malaikat yang mengurus rezeki dan hujan (Mikail), serta tugas-tugas kebaikan lainnya, akan menambah rasa syukur atas nikmat Allah ‎ﷻ.

  • Mengetahui Keagungan Allah ‎ﷻ: Keberadaan malaikat dan ketaatan mutlak mereka menunjukkan keagungan dan kekuasaan Allah ‎ﷻ yang mampu menciptakan makhluk yang begitu patuh dan sempurna dalam menjalankan perintah-Nya.

 

وَكُتُبِهِ

dan kitab-kitab-Nya, 

Iman kepada kitab-kitab Allah adalah rukun iman yang ketiga dalam Islam. Ini bererti seorang Muslim wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa Allah ‎ﷻ telah menurunkan kitab-kitab suci kepada para Nabi dan Rasul-Nya sebagai petunjuk bagi umat manusia. Kita percaya bahawa semua kitab itu daripada Allah ‎ﷻ tetapi yang mesti kita ikuti adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Beriman kepada kitab-kitab Allah mencakupi beberapa hal penting:

1. Semua Kitab Berasal daripada Allah ‎ﷻ: Kita wajib menyakini bahawa semua kitab suci, baik yang disebutkan namanya mahupun tidak, adalah firman Allah ‎ﷻ yang diwahyukan kepada para nabi dan rasul-Nya. Bukan karangan manusia atau hasil pemikiran para nabi.

2. Percaya kepada Nama-nama Kitab yang Disebutkan: Ada beberapa kitab yang namanya disebutkan secara spesifik dalam Al-Qur’an, dan kita wajib mempercayainya:

    • Taurat: Diturunkan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Zabur: Diturunkan kepada Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Injil: Diturunkan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Al-Qur’an: Diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ.
    • Kita juga menyakini adanya shuhuf (lembaran-lembaran) yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum Taurat.
    • Dan entah berapa banyak lagi kitab-kitab lain yang diberikan kepada para Nabi yang lain yang kita pun tidak tahu.

3. Membenarkan Kandungan Kitab-kitab Terdahulu (Secara Umum): Kita membenarkan ajaran dasar kitab-kitab terdahulu yang berisi perintah untuk mengesakan Allah ‎ﷻ (tauhid) dan dasar-dasar syariat. Namun, kita juga menyakini bahawa kitab-kitab selain Al-Qur’an telah mengalami perubahan (tahrif), baik penambahan, pengurangan, mahupun perubahan makna oleh tangan-tangan manusia sepanjang sejarah. Oleh kerana itu, kita tidak mengamalkan hukum-hukum spesifik dari kitab-kitab terdahulu yang tidak sesuai atau telah dimansukh oleh syariat Islam.

4. Al-Qur’an adalah Kitab Terakhir, Terlengkap, dan Terpelihara: Al-Qur’an adalah puncak dan penyempurna dari semua kitab suci sebelumnya. Ia adalah mukjizat Nabi Muhammad ﷺ yang paling agung dan terpelihara keasliannya hingga Hari Kiamat. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Hijr:9

إِنّا نَحنُ نَزَّلنَا الذِّكرَ وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.”

Al-Qur’an berfungsi sebagai hakim atas kitab-kitab sebelumnya.

5. Mengamalkan Isi Al-Qur’an: Iman kepada kitab-kitab Allah ‎ﷻ, khususnya Al-Qur’an, tidak hanya setakat pengakuan lisan atau keyakinan hati, tetapi harus diwujudkan dalam pengamalan isinya. Membaca, memahami, menghafal, mengkaji, dan yang terpenting, menerapkan hukum-hukum serta petunjuknya dalam kehidupan sehari-hari. Inilah yang tidak dilakukan oleh kebanyakan daripada umat Islam sekarang.

Pentingnya Iman kepada Kitab-kitab Allah ‎ﷻ:

  • Mengetahui Bimbingan Ilahi: Kitab-kitab Allah ‎ﷻ adalah petunjuk langsung daripada Sang Pencipta untuk membimbing manusia menuju jalan yang benar dan menyelamatkan mereka dari kesesatan.
  • Memahami Tujuan Hidup: Dengan petunjuk kitab suci, manusia memahami tujuan penciptaan mereka dan bagaimana menjalani hidup sesuai kehendak Allah ‎ﷻ.
  • Memperkuat Iman kepada Allah ‎ﷻ: Keyakinan akan adanya kitab-kitab ini memperkuat iman kepada Allah ‎ﷻ sebagai Tuhan yang Maha Bijaksana, Maha Tahu, dan Maha Pengasih yang tidak membiarkan hamba-Nya tanpa petunjuk.
  • Sumber Hukum dan Hikmah: Al-Qur’an khususnya, adalah sumber utama hukum Islam dan mengandung hikmah yang mendalam untuk setiap aspek kehidupan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment