PERUMPAMAAN: SEDEKAH YANG DITERIMA
Baqarah Ayat 265: Masih lagi membicarakan tentang syarat-syarat dalam mengeluarkan infak.
وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And the example of those who spend their wealth seeking means to the approval of Allah and assuring [reward for] themselves is like a garden on high ground which is hit by a downpour – so it yields its fruits in double. And [even] if it is not hit by a downpour, then a drizzle [is sufficient]. And Allah , of what you do, is Seeing.
MALAY
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
وَمَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُمُ ابتِغاءَ مَرضاتِ اللَّهِ
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan harta-hartanya kerana mencari keredhaan Allah
Masih lagi di dalam bab infak. Banyak Allah ﷻ berikan anjuran tentang infak dan syarat-syarat di dalam infak kerana ia adalah satu ibadah yang sukar dilakukan. Ini kerana kalau ibadah badan, ia tidak memerlukan modal seperti solat sunat, puasa sunat dan sebagainya. Akan tetapi kalau infak, kita kena beri harta kita yang kita selalu anggap sebagai hasil usaha kita.
Allah ﷻ hendak memberitahu perumpamaan mereka yang infak itu. Daripada ayat ini, kita tahu yang infak itu mesti kerana hendak mencari redha ilahi. Maksudnya tujuan infak itu antara lain adalah untuk menggembirakan Allah ﷻ. Mendapatkan redha Allah ﷻ adalah puncak segala tujuan dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sekadar konsep keagamaan, tetapi intipati kejayaan sebenar di dunia dan akhirat. Kepentingannya sangat besar sehingga ia menjadi motivasi utama setiap ibadah dan perbuatan baik.
Kerana perlu cari redha Allah ﷻ? Redha Allah ﷻ adalah sumber kebahagiaan yang hakiki. Di dunia, orang yang diredhai Allah ﷻ akan merasa ketenangan jiwa, kepuasan hati, dan keberkatan dalam setiap aspek kehidupannya, meskipun menghadapi ujian. Hatinya tidak akan bergantung pada material atau pujian manusia, sebaliknya sentiasa bersandar sepenuhnya pada Allah ﷻ.
Di akhirat pula, redha Allah ﷻ adalah tiket utama untuk memasuki Syurga, tempat kenikmatan abadi yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar telinga, dan tidak pernah terlintas di hati manusia. Allah ﷻ berfirman dalam Surah Fajr:27-30:
“يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً فَادْخُلِي فِي عِبَادِي وَادْخُلِي جَنَّتِي”
“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.”
Jadi redha Allah ﷻ itu amat-amat penting maka kita kena ada keinginan untuk mendapatnya. Ini termasuk di dalam perkara niat. Oleh itu, niat semasa mengeluarkan infak itu kenalah betul. Ia mesti ikhlas kerana Allah ﷻ. Jangan sebab hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain dan niat-niat lain yang salah.
وَتَثبيتًا مِّن أَنفُسِهِم
dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka,
Di sini kita diberitahu yang infak itu boleh meneguhkan hati. Orang yang mengeluarkan infak itu adalah kerana mereka yakin yang akhirat itu ada dan mereka yakin yang infak mereka itu akan dapat balasannya di akhirat kelak. Maka mereka mendapat latihan hati setiap kali mereka infak. Setiap kali mereka infak, mereka yakin yang Allah ﷻ akan balas dan lama kelamaan keyakinan ini semakin jitu dan mereka akan tetap yakin dengannya dan hati mereka menjadi mantap dengan Allah ﷻ. Orang yang tetap hatinya akan mudah untuk melakukan ibadah dan imannya akan tetap kuat dan tidak mudah disesatkan.
Apabila telah teguh hati pemberi infak itu dengan janji Allah ﷻ, maka dia dengan senang hati akan senang untuk infakkan hartanya. Tidaklah dia fikir-fikirkan lagi tentang wang yang telah dibelanjakan. Tidaklah dia rasa menyesal walaupun selepas itu timbul keperluan yang mendesak kepada dirinya. Tidaklah dia cakap: “Ish, kalaulah aku tak bagi kat orang itu hari itu!”. Tidak, seorang yang sudah teguh hatinya tidak akan berkata begitu.
Jadi kena latih diri kita untuk dapat keyakinan ini. Mungkin pada awalnya, kita tidak dapat rasa begitu. Namun lama kelamaan, kita terus infak, perasaan itu akan datang. Mungkin kita mulakan dengan infak yang sedikit, dan Allah ﷻ akan kuatkan jiwa kita. Lama kelamaan kita akan biasa untuk infak yang besar-besar.
Apabila kita yakin yang kita akan dapat balasan di akhirat kelak, maka kesannya, kita akan rasa senang hati untuk mengeluarkan infak. Oleh itu, kesimpulannya, kita keluarkan infak itu supaya hati teguh dengan agama. Dengan sebab infak, Allah ﷻ akan kuatkan jiwa kita atas agama.
كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبوَةٍ أَصابَها وابِلٌ
adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,
Perumpamaan yang Allah ﷻ beri: bayangkan sebidang tanah kebun yang berada di kawasan tanah tinggi. Jadi sifat pertama yang disebut adalah بِرَبوَةٍ iaitu tanah yang tinggi. Ia daripada kata dasar: ر ب و yang bermaksud bertambah, transaksi riba, berlebihan, menjadi tinggi, bengkak, tercungap-cungap, memutuskan. Tanah tinggi selalunya subur untuk pertanian atas beberapa sebab utama yang berkaitan dengan ciri-ciri geografi, iklim, dan geologi. Faktor-faktor ini bergabung untuk menghasilkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan tanaman tertentu.
Apabila ia tinggi, ia tidak ditenggelami air kerana banjir hanya terjadi di tanah rendah sahaja. Kerana itu ia akan selamat. Kalau kita perhatikan, selalunya tumbuhan yang baik-baik datang dari tempat-tempat yang tinggi seperti Cameron Highlands itu. Ketinggian meningkatkan altitud, yang secara amnya menyebabkan suhu lebih rendah berbanding tanah rendah. Suhu yang lebih sejuk ini sangat sesuai untuk tanaman yang tidak tahan panas melampau, seperti teh, kopi, strawberi, dan beberapa jenis sayur-sayuran berdaun. Perbezaan suhu yang ketara antara siang dan malam di tanah tinggi (siang panas, malam sejuk) membantu dalam perkembangan aroma dan rasa yang lebih kaya pada buah-buahan dan sayur-sayuran. Suhu yang lebih sejuk di tanah tinggi tidak sesuai untuk pembiakan dan kelangsungan hidup banyak jenis perosak dan serangga pembawa penyakit tanaman. Ini mengurangkan keperluan penggunaan racun perosak, membolehkan pertanian yang lebih lestari dan sihat. Sesetengah penyakit kulat juga kurang merebak dalam keadaan suhu yang lebih sejuk.
Di tanah tinggi juga akan mendapat cahaya matahari yang terus tanpa dihalang oleh benda-benda lain seperti bukit. Ia juga akan mendapat peredaran udara yang berterusan kerana tidak dihalang. Maka pendebungaan dapat berjalan dengan banyak di kawasan itu kerana banyak angin yang membawa benih. Di kawasan hutan tanah tinggi yang masih asli, lapisan atas tanah (topsoil) yang kaya dengan bahan organik cenderung lebih terpelihara daripada hakisan berbanding kawasan tanah rendah yang lebih terdedah kepada aktiviti manusia dan air larian permukaan yang kuat.
Maka ia adalah tanah yang sudah sedia subur, dan Allah ﷻ beri pula hujan lebat وابِلٌ yang akan menyuburkan tanah itu lagi. Tanaman memang memerlukan air dan walaupun dapat hujan yang lebat, ia tidak membahayakan kerana air yang berlebihan akan turun ke bawah. Jadi tidak ada banjir atau air berlebihan yang boleh merosakkan tanaman itu. Tanah tinggi yang tidak kontang dan sentiasa dilimpahkan dengan hujan lebat memang menjadi tanah yang sangat subur.

فَآتَت أُكُلَها ضِعفَينِ
lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda
Tanah itu kerana amat subur, akan mengeluarkan hasil yang berganda kerana tanahnya subur dan memperolehi air hujan yang banyak. Begitulah Allah ﷻ menggunakan perumpamaan tanaman untuk kita bayangkan kesuburan infak dan ini meneruskan perumpamaan tumbuhan di dalam Baqarah:261
مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
فَإِن لَّم يُصِبها وابِلٌ فَطَلٌّ
Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun cukup
Kalau tidak dapat hujan lebat pun, cukup dengan hujan renyai-renyai kerana tanah memang sudah subur. Kalimah طَلٌّ bermaksud ‘hujan renyai’ dan ia daripada kata dasar: ط ل ل yang bermaksud embun, basah yang ringan, pancutan.
Tidaklah dapat tuaian yang berganda, tetapi tetap ada juga. Maknanya kalau amalan dibuat kerana Allah ﷻ dan hati gembira semasa melakukannya, infak sedikit pun sudah dapat pahala yang banyak dan kalau buat lebih banyak, lebih-lebih lagi. Maka jangan kita pandang rendah infak yang sedikit.
وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ
Dan Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.
Ayat ini diakhiri dengan lafaz تَعْمَلُونَ dahulu. Selalu تَعْمَلُونَ digandingkan dengan kalimah بَصِيرٌ. Akan tetapi susunannya berubah-ubah. Kadang-kadang Allah ﷻ dahulukan lafaz بَصِيرٌ sebelum lafaz تَعْمَلُونَ. Apabila kita kaji, kita nampak apabila ayat itu berkenaan dengan amal perbuatan manusia, potongan ayat itu akan dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ (yang kamu perbuat) kerana perbuatan itu adalah amalan fizikal. Macam ayat ini, ia adalah tentang infak, dan infak adalah perbuatan fizikal, maka dimulakan dengan perkataan تَعْمَلُونَ.
Akan tetapi jikalau ayat itu adalah tentang amalan hati, Allah ﷻ akan mulakan dengan perkataan بَصِيرٌ sebelum تَعْمَلُونَ kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa Dia nampak apakah niat hati kita dahulu. Ma sha Allah…. Senang bila tahu untuk kita hafal Al-Qur’an. Sebab kadang-kadang bertukar dan kalau tidak tahu formula ini, kalau sedang membaca Al-Qur’an daripada hafalan, ada masa akan tersangkut kerana kita terlupa susunan. Dengan tahu formula ini, kalau ayat itu sedang memperkatakan amalan fizikal, maka kita tahu susunannya seperti susunan dalam ayat ini.
SEDEKAH YANG TIDAK DITERIMA
Baqarah Ayat 266: Ini pula keterbalikan daripada orang sebelum ini. Sekali lagi Allah ﷻ berikan perumpamaan. Allah ﷻ hendak menceritakan jenis orang yang tidak ada ikhlas semasa melakukan infak. Ini juga adalah ayat perumpamaan.
أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Would one of you like to have a garden of palm trees and grapevines underneath which rivers flow in which he has from every fruit? But he is afflicted with old age and has weak offspring, and it is hit by a whirlwind containing fire and is burned. Thus does Allah make clear to you [His] verses that you might give thought.
MALAY
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang dia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
أَيَوَدُّ أَحَدُكُم أَن تَكونَ لَهُ جَنَّةٌ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok-pokok tamar (kurma) dan buah anggur-anggur,
Allah ﷻ beri perumpamaan lagi. Bayangkan seseorang yang mempunyai kebun kurma dan juga kebun anggur. Allah ﷻ beri contoh tamar dan anggur dalam ayat ini kerana itu adalah tanaman yang biasa dikenali di tanah Arab. Kalau Allah ﷻ sebut rambutan, tentulah susah untuk terangkan tentang rambutan pula kepada mereka. Namun kenapa kurma dan anggur?
Kurma – adalah sumber makanan bangsa Arab yang utama.
Anggur – adalah contoh makanan yang mewah. Kalau sebut kebun tamar, itu biasa sahaja kerana tamar adalah makanan ruji mereka. Namun apabila disebut kebun anggur, itu dikira sebagai hebat. Allah ﷻ suruh kita bayangkan seorang lelaki yang mempunyai kebun tamar dan anggur. Bukan satu kebun, tetapi dua kebun dia ada.
Maknanya, Allah ﷻ bukan sahaja menumbuhkan tanaman sebagai sumber tanaman tetapi juga makanan yang mewah kepada manusia. Kurma adalah makan ruji bagi orang Arab pada waktu itu kerana ia bukan sahaja buah akan tetapi ia merupakan makanan yang boleh mengenyangkan dan mengandungi zat yang banyak. Kurma mengandungi karbohidrat, serat, vitamin (seperti B6, K), dan bahan galian seperti kalium, magnesium, dan zat besi. Ia boleh memberi tenaga segera kerana kandungan gula semula jadi yang tinggi (glukosa, fruktosa). Oleh itu kurma adalah sumber tenaga cepat yang bagus untuk mengembalikan stamina, terutama selepas berpuasa. Salah satu haditg yang paling masyhur mengenai perkara ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ
“Adalah Rasulullah ﷺ berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah (rutab). Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan beberapa biji kurma kering (tamr). Dan sekiranya tidak ada kurma kering, maka Baginda meneguk beberapa teguk air.”
(Riwayat At-Tirmizi, Abu Daud, dan Ahmad. At-Tirmizi menyatakan hadith ini Hasan Gharib.)
Malah ada kelebihan lain bagi kurma ajwa,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةٍ لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ وَلَا سِحْرٌ.”
“Barangsiapa yang memulai paginya dengan memakan tujuh butir kurma ajwa, maka pada hari itu tidak akan membahayakannya racun mahupun sihir.”
(Riwayat Bukhari No. 5440, Muslim No. 2049)
Anggur juga sering disebut di dalam Al-Qur’an. Walaupun Al-Qur’an bukan kitab sains, fakta kesihatan moden membuktikan anggur kaya dengan antioksidan, terutamanya resveratrol yang baik untuk jantung. Ia juga mengandungi vitamin C, K, dan serat yang baik untuk pencernaan dan imun. Air anggur juga bermanfaat sebagai penambah tenaga. Dalam Al-Qur’an, buah anggur disebut dalam konteks kurniaan rezeki dan pertanian. Ia menggambarkan hasil bumi yang subur dan kehidupan yang makmur. Anggur disebut dalam al-Qur’an sebagai lambang nikmat Allah ﷻ di dunia dan akhirat, mengingatkan manusia akan keindahan ciptaan-Nya, dan mendorong kita untuk bersyukur dan mengambil manfaat daripadanya.

Kurma dan anggur selalu disebutkan bergandingan kerana ada persamaan antara keduanya. Kedua-duanya boleh dimakan dalam keadaan basah dan kering. Kedua-duanya boleh dimakan tanpa perlu proses, tanpa perlu dikopek pun kulit seperti pisang dan durian. Boleh petik dan terus makan sahaja. Kalau dikeringkan, ia boleh disimpan lama. Kalau dibandingkan dengan epal contohnya, tidak boleh dikeringkan dan disimpan sebegitu. Tambahan pula kedua-dua buahan ini senang dipetik kerana pokoknya rendah sahaja. Macam kurma itu ada tiga peringkat (بَلَح – masih mentah dan belum manis, رُطَب – Kurma mulai lembut, basah, dan sangat manis dan تَمْر – telah kering secara semula jadi, menjadi lebih kecil dan gelap). Ketiga-tiga peringkat ini boleh dimakan dengan khasiat yang tersendiri. Memang banyaklah kalau hendak diceritakan tentang kurma ini tetapi takut orang kata kita jadi promoter untuk Yusuf Taiyob pula.
Akhir sekali, perhatikan penggunaan kalimah di dalam ayat ini. Kalau نَّخيلٍ sebenarnya adalah merujuk kepada pokok-pokok kurma. Tapi bila disebut anggur, digunakan kalimah أَعنابٍ yang merujuk kepada buahnya sahaja. Kenapa disebut pokok kurma? Ia bukan sekadar tanaman, tetapi menjadi tulang belakang kehidupan, ekonomi, dan budaya di rantau gurun. Ia tidak sama dengan anggur kerana anggur hanya dimakan buahnya sahaja. Namun sebaliknya hampir setiap bahagian pokok kurma boleh digunakan:
-
- Batang Pokok: Kayu daripada batang pokok kurma, walaupun agak ringan dan tidak setahan kayu balak lain, ia boleh digunakan untuk membina rumah, pondok, jambatan kecil, dan struktur lain terutamanya di kawasan oasis. Ia juga boleh digunakan sebagai bahan bakar.
- Pelepah Daun: Pelepah kurma yang kuat digunakan untuk membuat perabot, peti, pagar, dan alat-alat pertanian.
- Daun: Daun-daunnya yang panjang dan liat dianyam menjadi tikar, bakul, kipas, payung, dan pelbagai jenis kraf tangan. Ia juga digunakan untuk membuat atap dan dinding teratak atau pondok.
- Serat Pelepah/Batang: Serat ini boleh dijadikan tali, jaring, dan bahan pengikat.
تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
Kebun itu ada anak sungai pula yang boleh beri air kepada kebun itu. Ini adalah sesuatu yang amat hebat kerana ayat ini mula diturunkan di Tanah Arab yang bukan mudah untuk mendapatkan air. Namun kebun yang disebut dalam ayat ini ada sistem pengairannya yang tersendiri. Jadi ini bukan kebun biasa-biasa. Inilah idaman dan cita-cita orang di sana.
لَهُ فيها مِن كُلِّ الثَّمَرٰتِ
dia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan,
Selain kurma dan anggur, ada pula tanaman buah-buahan lain. Itu adalah tanaman sampingan yang boleh tambah pendapatan kepada tuan punya kebun itu. Jadi, secara ringkasnya, hebatlah kebun itu.
Itulah perumpamaan kepada infak yang kita telah keluarkan. Ia adalah sesuatu yang amat hebat, yang akan memberi hasil kepada kita di masa kita tua nanti. Balasan dan hasil berganda-ganda.
وَأَصابَهُ الكِبَرُ وَلَهُ ذُرِّيَّةٌ ضُعَفاءُ
sedang dia sudah tua dan mempunyai zuriat yang masih kecil,
Sekarang bayangkan apabila telah sampai masa tuanya, dan dia ada anak tetapi mereka masih lagi kecil-kecil. Dia sudah lama mengusahakan kebunnya itu. Sekarang dia sudah tua dan anak-anaknya tidak dapat diharapkan lagi kerana masih kecil. Mereka pun belum besar lagi jadi mereka bergantung kepadanya. Inilah sahaja peninggalan untuk anak cucunya nanti. Jadi dia memang amat mengharapkan hasil daripada kebunnya itu untuk kelangsungan hidupnya dan zuriatnya. Jadi ada tiga hal yang disebut di sini yang menekankan kepentingan kebun itu kepada lelaki itu:
1. Orang itu sendiri sudah tua. Kalau dia muda, dia boleh lagi mengusahakan kebun lain.
2. Dia ada anak pinak. Kalau tidak anak, dia pun tidak kisah mana sebab kalau hidup seorang diri, tidaklah banyak mana pun keperluan untuk hidup.
3. Bukan sahaja ada anak, tetapi anak-anak itu masih kecil. Kalau ada anak yang sudah dewasa, pandai-pandailah mereka cari punca kehidupan sendiri, bukan?
فَأَصابَها إِعصارٌ فيهِ نارٌ فَاحتَرَقَت
lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia
Jadi apabila ada tiga kondisi yang disebut di atas, lelaki ini sangat memerlukan hasil daripada kebunnya itu. Tiba-tiba kebun itu ditimpa taufan. Ia adalah angin kuat yang ada api yang dipanggil Taufan Belati. Habis semuanya dilanggar dan dihancurkan kalau ia datang. Ini bukan sekadar puting beliung biasa atau api biasa, tetapi gabungan dua elemen pemusnah yang paling dahsyat: angin kencang yang memusnahkan struktur dan api yang membakar habis segalanya. Ia melambangkan kemusnahan yang menyeluruh, pantas, dan tidak meninggalkan apa-apa, dalam sekelip mata. Sama ada puting beliung itu ada api di dalamnya, atau ia panas seolah-olah berapi, atau ia angin sahaja tetapi apabila sudah ada api di kebun itu, ia akan memarakkan lagi api itu.
Maka hasil kebun lelaki yang dijadikan perumpamaan ini, kebun yang hebat itu sudah tiada lagi. Tanah pun sudah hancur kiranya. Dia pula sudah tua dan tidak mampu hendak bercucuk tanam lagi seperti semasa dia muda-muda dahulu. Dia sangka dia boleh makan hasil kebun dia di masa tua, tetapi sekarang sudah habis semuanya. Apa yang dibayangkan oleh Allah ﷻ ini boleh sahaja terjadi apabila datang musim kering. Selalu kita dengar kebakaran hutan yang melanda di kawasan yang besar sampaikan musnah habis segala tanaman. Hendak dibendung sangatlah sukar kerana kawasan yang tersangat luas.
Begitulah perumpamaan keadaan pahala infaknya di akhirat nanti. Segala infaknya di dunia itu tidak ada nilai, kerana sudah batal. Dia sangka dia infak sudah banyak dan boleh banyak pahala menantinya di akhirat, namun tidak ada langsung.
Ayat ini juga sebagai isyarat bahawa kalau harta dunia tidak pasti akan kekal selama-lamanya, tetapi infak kita akan kekal di akhirat. Maka jangan harap sangat kepada harta dunia. Jangan sangka apa yang kita ada itu akan kekal. Jangan berharap sangat dengan dunia, kerana Allah ﷻ boleh tarik bila-bila masa sahaja.
Ayat ini telah pernah ditafsirkan oleh Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,
عَنْ عُبَيْدِ بْنِ عُمَيْرٍ قَالَ قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمًا لِأَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَ تَرَوْنَ هَذِهِ الْآيَةَ نَزَلَتْ { أَيَوَدُّ أَحَدُكُمْ أَنْ تَكُونَ لَهُ جَنَّةٌ } قَالُوا اللَّهُ أَعْلَمُ فَغَضِبَ عُمَرُ فَقَالَ قُولُوا نَعْلَمُ أَوْ لَا نَعْلَمُ فَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ فِي نَفْسِي مِنْهَا شَيْءٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ عُمَرُ يَا ابْنَ أَخِي قُلْ وَلَا تَحْقِرْ نَفْسَكَ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ ضُرِبَتْ مَثَلًا لِعَمَلٍ قَالَ عُمَرُ أَيُّ عَمَلٍ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ لِعَمَلٍ قَالَ عُمَرُ لِرَجُلٍ غَنِيٍّ يَعْمَلُ بِطَاعَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ بَعَثَ اللَّهُ لَهُ الشَّيْطَانَ فَعَمِلَ بِالْمَعَاصِي حَتَّى أَغْرَقَ أَعْمَالَهُ
Daripada Ubaid bin Umair رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Pada suatu hari Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata kepada para sahabat Nabi ﷺ; Menurut kalian berkenaan dengan apakah ayat ini; “Adakah salah seorang daripada kalian yang ingin memiliki kebun…. (Baqarah:266). Para sahabat menjawab; ‘Allahu a’lam.’ Maka Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun marah, seraya berkata; “Katakan kami tahu atau kami tidak tahu”. Kemudian Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; ‘aku mengerti sedikit tentang ayat itu ya Amirul Mukminin. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Wahai anak saudaraku, katakanlah! Jangan kamu cela dirimu sendiri. Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; ayat itu membuat sebuah perumpamaan tentang suatu amalan. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Amalan apakah? Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menjawab; tentang suatu amalan. Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ melanjutkan; iaitu tentang seorang laki-laki yang kaya, lalu dia beramal dengan mentaati Allah Azza Wa Jalla. Kemudian Allah mengutus syaitan kepadanya. Maka dia pun melakukan maksiat hingga dia tenggelamkan amalan kebaikan yang telah dilakukannya.
(Sahih Bukhari No. 4174)
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir
Allah ﷻ beri contoh bandingan yang mudah difahami dan mudah dibayang-bayangkan oleh akal, supaya manusia boleh faham. Semoga manusia boleh berfikir apakah jenis infak yang Allah ﷻ hendak daripada kita supaya kita senang ambil pengajaran dan didik hati kita ke arah kebaikan.
Allah ﷻ menggunakan kalimah تَتَفَكَّرونَ supaya kita menggunakan akal kita. Dalam agama ini memang kena fikir, bukannya pakai ambil muat sahaja. Ini penting kerana banyak orang Islam hanya menerima sahaja apa yang disampaikan oleh para ustaz walaupun ia mengarut kalau difikirkan. Banyak penceramah agama membawakan kisah-kisah pelik tentang guru mereka, wali mereka dan sebagainya. Kisah itu tidak masuk akal pun, tetapi ramai ternganga mulut percaya kerana mereka tidak menggunakan akal yang logik. Kerana itu penting ilmu agama disampaikan dari mula lagi kepada anak-anak. Paling penting untuk diingatkan kepada orang awam supaya gunakanlah akal itu sedikit, takkan kisah kartun pun hendak terima begitu sahaja? Pentingnya ilmu untuk memahami agama seperti memahami perumpamaan yang Allah ﷻ banyak beri termasuk di dalam ayat ini. Allah ﷻ berfirman di dalam Ankabut:43
وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.
Jadi apakah ringkasan bagi ayat-ayat yang kita telah baca ini? Untuk sesuatu infak atau sedekah atau derma itu diterima, ia mestilah memenuhi beberapa syarat:
1. Mestilah daripada harta yang halal.
2. Diberikan ikut cara yang sunnah (cara yang baik). Contohnya jadi mengabaikan keperluan keluarga dan diri sendiri. Janganlah diinfakkan kesemua harta sampaikan diri sendiri habis kena meminta kepada orang lain pula.
3. Diberikan kepada tempat yang sesuai. Contohnya jangan beri kepada madrasah yang ajar amalan bid’ah dan khurafat; jangan bagi kepada orang yang akan gunakan pemberian itu kepada perkara yang lagha dan sia-sia.
4. Jangan diungkit pemberian itu.
5. Jangan menghina atau menyakitkan hati penerima.
6. Diberikan dengan ikhlas.
Sekian Ruku’ 36 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 10 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)


