Tafsir Surah Baqarah Ayat 263 – 264 (Jangan batalkan pahala infak)

Baqarah Ayat 263: Kalau tidak boleh beri, apakah yang sekurang-kurangnya kita boleh lakukan?

۞ قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى ۗ وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
Kind speech and forgiveness are better than charity followed by injury. And Allah is Free of need and Forbearing.

MALAY
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

 

قَولٌ مَّعروفٌ وَمَغفِرَةٌ خَيرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتبَعُها أَذًى

Perkataan yang baik dan kemaafan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. 

Berkata baik قَولٌ مَّعروفٌ lebih baik daripada beri infak tetapi diiringi dengan kata-kata nista yang menghina kepada orang yang meminta. Walaupun di dalam ayat ini hanya disebut أَذًى sahaja tetapi ia juga termasuk dengan مَنَّ. Ada orang yang tidak ada duit hendak beri. Mungkin dia tiada langsung barang untuk diberikan. Dia sendiri pun sedang di dalam kesusahan, mungkin. Maka sekurang-kurangnya beri ucapan baik yang boleh mendatangkan pahala. Kalimah قَولٌ مَّعروفٌ juga termasuklah juga mendoakan orang yang kita minta itu kerana doa juga termasuk قَولٌ مَّعروفٌ. Doakanlah Allah ‎ﷻ tambah rezeki orang itu dan mudahkan urusan dia.

Atau dia katakan sebegini: ‘Minta maaf sebab saya tak boleh beri sekarang, nanti kalau ada, saya beri yer…. Saya doakan supaya masalah awak selesai segera…. Cuba awak minta kepada si fulan di rumah itu… entah-entah dia boleh tolong sebab dia pun suka tolong orang.” Maknanya yang diminta itu pula yang kena minta maaf (مَغفِرَةٌ) kepada yang meminta. Katakan dengan perkataan sebegitu dan yang sebagainya. Orang yang terdesak itu pun sejuk hati sedikit mendengarnya walaupun tidak dapat apa yang dia perlukan daripada kita. Maknanya, kita kena minta maaf kepada orang yang kita tidak dapat beri itu, walaupun dia yang datang kepada kita untuk meminta. Sesetengah orang mungkin rasa orang meminta itu menyusahkan, namun janganlah begitu.

Satu lagi maksud مَغفِرَةٌ adalah kalau yang meminta itu meminta dengan cara yang menyebabkan kita rasa marah, maka lebih baik memaafkan orang itu daripada memberi tetapi dengan rasa marah dan mengeluarkan kata-kata yang menghina orang itu. Ada bukan orang yang meminta itu mendesak-desak atau merengek dalam meminta. Ada juga orang yang setelah dapat, ucap terima kasih pun tidak. Maka maafkanlah dan tidak perlu sebut: “Eh eh eh dia ni… ucap terima kasih pun tidak?!!” Lagi pun kita apabila memberi jangan berharap pun dengan balasan dan ucapan terima kasih sekali pun. Ini seperti disebut di dalam Insan:8-9

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan, (Sambil berkata): ‘Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kamu hanyalah kerana mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; kami tidak menghendaki balasan daripada kamu dan tidak pula ucapan terima kasih.’

Maka di sini Allah ‎ﷻ ajar supaya jangan marah atau sakiti hati orang yang meminta. Ada bukan orang yang marah? Mungkin dia berkata: “Apa mintak-minta? Kau tak tahu ke aku pun tengah susah jugak!? Engkau ni kan… dari dulu lagi asyik nak menyusahkan orang jer… kerja tak mahu, asyik nak mintak jer!” Inilah kata-kata yang menyakitkan hati, bayangkan orang yang datang meminta itu entah berapa kali dia menimbang untuk minta atau tidak kepada awak. Setelah dia kuatkan hatinya tetapi awak buat begitu pula kepadanya?

Kepada siapa kita kena jaga perkara ini? Terhadap semua orang termasuk keluarga kita sendiri pun. Sama ada isteri, anak-anak, ibu bapa atau keluarga kita. Ini kita kena ingatkan kerana mereka ini rapat dengan kita dan kadangkala kita tidak jaga sangat kata-kata kita dengan orang yang dekat dengan kita. Bayangkan kalau kita ungkit dengan isteri kita, segala pahala pemberian kita dari kita mula menikah dengan dia itu hilang begitu sahaja! Allahu Akbar! Kadang-kadang dengan kawan-kawan kita pun kita tidak menjaga perkara ini. Mungkin ada kawan minta kita belanja dan dengan tidak berfikir dahulu kita pun cakap: “Eh asyik aku jer kena belanja ni… korang bila lagi nak belanja aku pulak!?” Dengan tidak sengaja kita telah mengungkit pemberian kita yang dahulu.

Maka begitulah adab yang diajar kepada kita termasuk ketika bersedekah. Memang Islam mengajar kita berbaik dengan orang lain adalah termasuk akhlak yang baik dan perlu dijaga. Ini kerana kata-kata yang kasar dan kesan mengganggu hati orang lain dan menyebabkan kemarahan. Apabila marah, maka sudah tidak harmoni lagi. Kerana itu salah satu sifat orang Mukmin adalah orang lain selamat daripada lidahnya, seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الإِسْلاَمِ أَفْضَلُ قَالَ ‏”‏ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ ‏”‏
Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, Islam yang manakah yang paling utama?” Beliau menjawab, “Orang yang kaum Muslimin selamat daripada (gangguan) lidahnya dan tangannya.”
(Sahih Al-Bukhari No. 10 dan Muslim No. 40)

Satu lagi, jangan kita sibuk canangkan kepada orang lain pula. Kerana mungkin orang yang meminta itu segan dan malu kalau orang lain tahu. Dia mungkin tidak kisah kita tahu sebab dia kenal kita dan tahu kita tidak memalukan dia. Namun belum tentu orang lain begitu juga kerana ada orang yang memandang rendah terhadap orang lain yang susah dan meminta tolong kepada orang lain.

Bagaimanakah caranya kita dapat beradab dengan orang yang meminta? Iaitu kita kena ubah paradigma kita. Jangan kita anggap kita lebih baik daripada dia, malah kita kena anggap dia telah membantu kita sebenarnya. Dengan dia datang meminta dengan kita, memberi peluang kepada kita untuk infak kepada orang yang betul-betul memerlukan. Ia membuka peluang kepada kita untuk dapat pahala berganda. Ia juga dapat membersihkan diri dan harta kita seperti disebut di dalam Tawbah:103

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا 
“Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan menyucikan mereka,”

Memanglah ada hadith yang mengatakan tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima,

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى، وَالْيَدُ الْعُلْيَا هِيَ الْمُنْفِقَةُ، وَالسُّفْلَى هِيَ السَّائِلَةُ”
Daripada Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, daripada Nabi ﷺ bersabda:”Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas ialah tangan yang memberi nafkah (memberi), manakala tangan di bawah ialah tangan yang meminta.”

: Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya (Kitab Zakat, Bab: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, no. Hadith 1429) dan juga oleh Imam Muslim dalam Sahihnya (Kitab Zakat, Bab: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, no. Hadith 1033). Memang hadith ini sahih namun tidaklah ia bermaksud kita boleh menghina mereka yang meminta daripada kita. Hadith ini sebagai galakan untuk kita memberi dan tidak menganjurkan kita meminta-minta.

Islam mengajar kita untuk berbaik dengan semua orang. Kalau bercakap, cakaplah dengan baik; kalau memandang orang, pandanglah dengan pandangan rahmah. Muka kena ada selalu senyum kepada semua orang, tidak perlu pun buat muka bengis sangat. Kalau memberi nasihat adalah kerana kita sayang dan prihatin kepada orang yang kita nasihati, bukannya kerana kita lebih pandai dan lebih baik. Ingatlah hadith,

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ، ارْحَمُوا مَنْ فِي الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ.”
Daripada Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah Yang Maha Pengasih). Sayangilah makhluk-makhluk yang ada di bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh yang berada di langit.”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dalam Sunannya (Kitab Al-Birr wa As-Silah, no. Hadis 1924) dan beliau mengatakannya sebagai Hadith Hasan Sahih. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan lain-lain.

 

وَاللَّهُ غَنِيٌّ حَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

Penutup ayat dengan sifat Allah “غَنِيٌّ حَلِيمٌ” adalah sangat mendalam dan penuh hikmah, mengandungi beberapa isyarat penting:

1. وَاللَّهُ غَنِيٌّ (Dan Allah Maha Kaya)

Sifat “Al-Ghaniy” (Maha Kaya) di sini mengisyaratkan:

    • Allah ‎ﷻ Tidak Memerlukan Sedekah Kita: Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sedekah dan pemberian kita. Dia Maha Kaya daripada segala sesuatu, termasuk amal ibadah dan infak hamba-hamba-Nya. Jika kita bersedekah, itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri, bukan untuk menambah kekayaan atau kemuliaan Allah ‎ﷻ.
    • Keikhlasan Adalah Kunci: Oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak memerlukan apa-apa daripada kita, maka yang paling penting bagi-Nya adalah niat yang ikhlas dan kualiti perbuatan. Sedekah yang diikuti dengan menyakitkan hati penerima menunjukkan kekurangan ikhlas atau adab, yang tidak bernilai di sisi Allah yang Maha Kaya. Allah ‎ﷻ lebih melihat kebersihan hati dan niat, bukan hanya jumlah harta yang diberikan.
    • Amaran kepada Pemberi Sedekah: Ini adalah peringatan bagi orang yang bersedekah agar tidak merasa sombong, mengungkit-ungkit, atau menyakiti perasaan penerima. Jika dia berbuat demikian, sedekahnya tidak akan diterima oleh Allah ‎ﷻ yang Maha Kaya dan tidak memerlukan perbuatan yang tidak ikhlas.

2. حَلِيمٌ (Maha Penyantun / Maha Sabar / Maha Lembut)

Sifat “Al-Halim” (Maha Penyantun/Maha Sabar/Maha Lembut) di sini pula mengandungi makna:

    • Tidak Segera Mengazab: Allah ‎ﷻ tidak segera menghukum orang yang bersedekah tetapi menyakiti hati penerimanya. Dia Maha Penyantun, memberikan peluang kepada hamba-Nya untuk bertaubat, memperbaiki niat, dan mengubah sikap. Ini adalah rahmat daripada Allah ‎ﷻ.
    • Memberi Peluang Bertaubat: Walaupun perbuatan mengungkit-ungkit itu buruk, Allah ‎ﷻ dengan sifat Al-Halim-Nya tidak terus-menerus menahan rezeki atau mengazab mereka yang melakukan hal itu. Allah ‎ﷻ memberi mereka kesempatan untuk sedar dan kembali kepada adab yang baik dalam bersedekah.
    • Mengajar Kesabaran dan Kelembutan: Sifat Al-Halim ini juga mengajar kita untuk bersabar dan berlembut hati, terutamanya dalam berinteraksi dengan orang yang memerlukan. Jika Allah ‎ﷻ yang Maha Berkuasa pun bersifat Halim, apatah lagi kita sebagai manusia yang lemah, perlu berlapang dada dan berlemah lembut.
    • Menjaga Maruah Manusia: Sifat Halim Allah ‎ﷻ juga tercermin dalam syariat-Nya yang menganjurkan kita menjaga maruah orang lain, terutamanya orang miskin. Apabila sedekah diberikan dengan perkataan yang baik dan kemaafan (jika ada kesalahan dari penerima), ini adalah manifestasi sifat Halim yang diajarkan oleh Allah ‎ﷻ kepada hamba-Nya.

Gabungan kedua-dua sifat “Al-Ghaniy” dan “Al-Halim” di akhir ayat ini adalah penutup yang sempurna bagi arahan tentang adab bersedekah. Ia mengingatkan kita:

    1. Sedekah yang bernilai di sisi Allah ‎ﷻ adalah sedekah yang ikhlas dan beradab. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan sedekah fizikal kita, tetapi Dia memerlukan hati yang bersih dan niat yang luhur.
    2. Allah ‎ﷻ itu Maha Pemurah dan Pemaaf, bahkan kepada mereka yang lalai atau melakukan kesalahan dalam beramal. Dia tidak tergesa-gesa menghukum, malah memberi peluang untuk memperbaiki diri.
    3. Kita harus mencontohi sifat Allah: Jika Allah ‎ﷻ Maha Kaya dan Maha Penyantun, kita juga perlu bersedekah dengan kemurahan hati (seperti orang kaya) dan dengan penuh kesabaran serta kelembutan (seperti orang yang penyantun), tanpa menyakiti perasaan penerima.

Ini adalah ajaran yang mendalam tentang bagaimana amalan ibadah perlu diiringi dengan akhlak yang mulia. Ada pepatah Arab yang mengatakan:

آدَابُ المَرْءِ خَيْرٌ مِنْ ذَهَبِهِ
Adab seseorang itu lebih baik (lebih berharga) daripada emasnya.


 

PERUMPAMAAN SEDEKAH YANG BATAL

Baqarah Ayat 264: Sekarang disebut syarat kena beriman dan jangan riak.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ ۖ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا ۖ لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا ۗ وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

SAHIH INTERNATIONAL
O you who have believed, do not invalidate your charities with reminders or injury as does one who spends his wealth [only] to be seen by the people and does not believe in Allah and the Last Day. His example is like that of a [large] smooth stone upon which is dust and is hit by a downpour that leaves it bare. They are unable [to keep] anything of what they have earned. And Allah does not guide the disbelieving people.

MALAY
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

 

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Apabila Allah ‎ﷻ menyeru orang-orang beriman, maka ada beberapa perkara: Pertama, ia adalah sebagai kebanggaan kerana Allah ‎ﷻ panggil dan hendak bercakap dengan orang beriman. Maka bertuahlah kalau kita termasuk di dalam golongan ini. Kedua, ia tentunya sesuatu yang penting kerana Allah ‎ﷻ mulakan dengan menyeru orang beriman. Tentu ada arahan sama ada untuk kita buat atau kita tinggalkan. Ketiga, kena dengar baik-baik kalau kita anggap diri kita orang yang beriman dan kalau hendak jadi orang yang benar-benar beriman. Kena dengar sekarang syarat lain untuk infak diterima.

 

لا تُبطِلوا صَدَقٰتِكُم بِالمَنِّ وَالأَذىٰ

Jangan batalkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit dan (kelakuan yang) menyakiti,

Jangan batalkan pahala sedekah kamu dengan mengungkit dan perbuatan yang boleh menyakitkan hati seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Batal itu bermaksud tidak ada pahala; tidak dikira lagi ia sebagai sedekah dan rugilah kita. Duit pun habis, pahala pun tidak dapat. Dapat puas hati sahaja kerana dipandang orang dan dapat menyakiti hati orang lain. Namun untuk apa?

Maka mengungkit pemberian adalah sangat buruk sekali sampaikan ada hadith yang Allah ‎ﷻ tidak akan bercakap dengan mereka yang mengungkit ini,

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ، وَلَا يُزَكِّيهِمْ، وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.” قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: الْمَنَّانُ الَّذِي لَا يُعْطِي شَيْئًا إِلَّا مَنَّهُ، وَالْمُسْبِلُ إِزَارَهُ، وَالْمُنْفِقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِب
Daripada Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ bersabda: “Ada tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara dengan mereka pada hari Kiamat, tidak akan melihat mereka, tidak akan membersihkan (dosa) mereka, dan bagi mereka azab yang pedih.” Abu Dzar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: “Mereka sungguh rugi dan celaka, siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya (sedekahnya), orang yang melabuhkan pakaiannya (isbal), dan orang yang menjual barang dagangannya dengan sumpah palsu.”
(Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 106)

 

كَالَّذي يُنفِقُ مالَهُ رِئَاءَ النّاسِ

seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak)

Sekarang Allah ‎ﷻ tunjukkan perbandingan iaitu kalau kita ungkit dan sakiti hati orang yang diberi infak itu, ia adalah sama dengan riak menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Iaitu kalau apabila beri sedekah, ia dibuat supaya orang lain nampak apa yang kita beri dan berapa banyak yang kita beri. Riak adalah termasuk dalam jenis syirik kecil (syirik asghar). Walaupun ia adalah kategori syirik kecil, tetapi ia adalah dosa besar, jangan kita sangka ia dosa kecil pula. Begitulah kadang-kadang kita boleh lihat sikit punya besar cek replika yang ditayangkan, sudah lebih besar daripada skrin TV lagi. Memang hebatlah di mata manusia namun tidak ada nilai di mata Allah ﷻ. Kalau riak, pahala tidak sampai kerana ia bukan dilakukan kerana hendak membantu dan kerana Allah ﷻ tetapi kerana hendak mendapat nama dan kedudukan sahaja; maka begitulah juga kalau ungkit dan menyakiti pun tidak sampai pahala kepada orang yang memberi.

Maka orang sebegini telah ditipu oleh syaitan. Dalam hal infak sedekah ini, tugas syaitan ada tiga peringkat:

1. Mulanya syaitan akan hasut supaya kita tidak infak. Ia akan bagi kita takut hendak sedekah kerana takut miskin, nanti nak makan apa, ekonomi zaman Madani sekarang sudah tenat jadi kena simpan jangan bagi orang, sia-sia bagi orang itu bukan dia boleh bantu engkau pun, dan macam-macam lagi. Ini memang langsung tidak pahala sebab tidak bagi apa-apa.

2. Kalau yang dihasut itu boleh melawan bisikan syaitan dan juga hawa nafsu dia, maka syaitan akan bisikkan supaya diwar-warkan pemberian itu menjadi riya’. Syaitan kata buat apa bagi senyap-senyap, orang tidak tahu dan nama engkau tidak naik di mata manusia. Maka syaitan hasut supaya bolehlah bagi, tetapi bagi kosong sahaja, mestilah dapat pujian daripada manusia. Pemberian sebegini tidak ada pahala pun kerana tidak cukup syarat atau ia telah rosak kerana ada niat yang lain.

3. Kalau yang dihasut itu berjaya memberi dengan ikhlas, dengan senyap tanpa mengharap apa-apa balasan, maka adalah pahala buatnya. Akan tetapi jangan gembira lagi kerana pahala itu tergantung-gantung lagi. Ia terus menjadi pahala kalau tidak batal atau dirosakkan. Mungkin ketika memberi si pemberi ikhlas dan tidak menyakiti hati penerima tetapi entah berapa tahun di hadapan kelak, tiba-tiba dia sebut pula, atau dia sakiti pula hati penerima, maka pahala yang asalnya ada tadi, hilang lenyap begitu sahaja.

 

وَلا يُؤمِنُ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ

dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Kalau orang yang beri infak itu pun ada amalan dan fahaman syirik pun, pahala infak dan sedekah dia tidak ada. Itulah sebabnya kalau orang kafir banyak sedekah, ia tidak memberi pahala kepada mereka di akhirat kelak. Di akhirat mereka mencari-carilah kebaikan yang mereka lakukan semasa di dunia dahulu, namun malang sekali tidak akan berjumpa kerana memang tidak cukup syarat menjadi pahala. Ini kerana syarat utama adalah mestilah seorang Muslim yang beriman.

Memang kita pun tahu yang ramai orang kafir yang baik-baik dan mereka banyak menderma ke arah kebaikan. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan baik mereka itu di dunia lagi, tetapi mereka tidak ada bahagian di akhirat. Nanti di akhirat kalau mereka tanya manakah pahala infak dan sedekah mereka, Allah ‎ﷻ akan beritahu yang Dia telah balas semuanya di dunia lagi. Sebab itulah kalau kita lihat orang kafir yang banyak derma, mereka akan mendapat banyak lagi rezeki. Semakin banyak mereka derma dan tolong orang, semakin banyak rezeki mereka. Ini kerana Allah ‎ﷻ balas terus derma mereka semasa di dunia lagi. Maka mereka terus menderma kerana mereka perasan, lagi banyak mereka beri, lagi banyak keuntungan mereka dapat.

Memang infak orang kafir tidak ada pahala. Namun kalaulah mereka masuk Islam di kemudian hari, sedekah mereka yang terdahulu itu akan diangkat menjadi sedekah dan mereka akan terus mendapat pahala yang selayaknya bagi mereka. Jadi ia tidaklah hilang begitu sahaja. Ini jelas disebut di dalam hadith,

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ أُمُورًا كُنْتُ أَتَحَنَّثُ بِهَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ، هَلْ لِي فِيهَا مِنْ أَجْرٍ؟ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَسْلَمْتَ عَلَى مَا سَلَفَ مِنْ خَيْرٍ»
Daripada Hakim bin Hizam رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pandanganmu tentang beberapa perkara yang aku lakukan untuk beribadah di masa Jahiliyah (sebelum Islam), seperti bersedekah, membebaskan hamba, dan menyambung silaturahim. Adakah bagiku pahala di dalamnya?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda kepadanya: ‘Engkau telah masuk Islam bersama (dicatatkan bagimu) kebaikan-kebaikan yang telah lalu.'”
(Sahih Al-Bukhari: No. 1436 (Kitab Az-Zakah), 2220 (Kitab Al-Itq), 2538 (Kitab Al-Itq), 5992 (Kitab Al-Adab), Sahih Muslim: No. 123 (Kitab Al-Iman))

 

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفوانٍ عَلَيهِ تُرابٌ

Maka bandingan orang itu ialah seperti batu besar yang licin yang ada tanah di atasnya, 

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan batu besar yang licin. Atas batu itu pula ada pasir. Apabila batu itu licin, mudah pasir itu hendak hilang. Begitulah pahala orang yang infak tetapi tidak cukup syarat. Pahala mereka akan hilang begitu sahaja. Kalau batu itu ada retak, bolehlah sedikit tanah duduk di situ, tetapi kalau licin langsung, sedikit pun tidak dapat menanggung tanah.

Allah ﷻ beri perumpamaan di dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an untuk beri pemahaman kepada manusia. Sebab kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa pahala itu maka Allah ﷻ beri sedikit gambaran supaya kita dapat bayangkan dan faham. Kita kena belajar untuk faham perumpamaan yang Allah ﷻ berikan kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Kadang-kadang perumpamaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Akan tetapi walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah ﷻ itu, namun dia tetap terima bahawa itu adalah daripada Allah ﷻ. Dia akan terima seadanya.

Inilah permulaan kepada kefahaman (kena terima dahulu). Kemudian kenalah berusaha untuk memahaminya. Ia bermula dengan terima yang Allah ﷻ pasti tidak akan melakukan sesuatu secara sia-sia seperti disebut di dalam Ali Imran:191

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia,

Memang sedih dan bahaya kalau tidak tahu misalan yang Allah ﷻ berikan dalam Al-Qur’an. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut:43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

 

فَأَصابَهُ وابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلدًا

kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin

Sudahlah batu itu licin dan senang pasir itu untuk hilang, hujan lebat pula menimpa batu itu. Maka akan kosonglah batu itu. Ini kerana apabila di atas batu yang licin itu tanah sahaja, maka tanah itu tidak melekat kepada batu itu. Tidak ada akar yang dapat masuk ke dalam batu maka kerana itu ia senang diterbangkan angin atau dibawa air.

Allah ‎ﷻ berikan perumpamaan dengan mudah supaya manusia boleh faham. Tidak ada langsung pahala untuk orang yang tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah‎ ﷻ seperti yang telah disebut sebelum ini. Orang lain nampak banyak dia infak, tetapi sebenarnya sudah hilang segala pahala.

 

لّا يَقدِرونَ عَلىٰ شَيءٍ مِّمّا كَسَبوا

mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. 

Mereka tidak mampu ambil balasan kerana semuanya telah batal. Kalau dia derma lagi, dan dia buat lagi perangai yang sama dan hilang lagi pahalanya itu. Maka tidak sempat hendak buat apa-apa kalau tanah yang sebegitu. Dia tidak akan mampu untuk ambil pahala balik pahala yang telah hilang itu.

 

وَاللَّهُ لا يَهدِي القَومَ الكٰفِرينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

Mereka tidak akan mendapat hidayah (petunjuk) daripada Allah ﷻ. Hidayah ada dua jenis iaitu Hidayah Ilmu (Irsyad) atau Hidayah Amal (Taufiq). Hidayah yang tidak diberi kepada orang kafir di sini adalah Hidayah Amal atau Taufiq itu. Ini kerana Hidayah Ilmu selalunya ramai orang ada. Cuma mereka tidak ada kekuatan untuk beramal dengannya. Jadi orang-orang sebegini walaupun mereka ada pengetahuan, tetapi mereka tidak ikut apa yang mereka tahu.

Di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ beri isyarat bahawa perbuatan mereka yang mengungkit dan menyakiti di dalam infak ini adalah kufur. Walaupun mereka infak tetapi mereka tidak mengikut syarat yang Allah ‎ﷻ berikan. Mereka sebenarnya menidakkan Allah ‎ﷻ yang berikan rezeki kepada mereka. Kerana itulah mereka dikatakan kufur.

Kita kena sedar yang ‘kufur’ adalah satu sifat sebenarnya. Walaupun seseorang itu mengaku Muslim, tetapi kalau buat sesuatu tidak mengikut syarat, menidakkan kehendak Allah ‎ﷻ, maka itu adalah perbuatan kufur. Tidaklah dia terus kafir, tetapi dia telah melakukan perbuatan kufur.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

10 thoughts on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 263 – 264 (Jangan batalkan pahala infak)”

  1. orang yang tahu dosa riba terus amalkan makan riba akan Allah masukkan dalam neraka.

    Adakah peminjam yang dipaksa atau terpaksa pinjam dari sistem pemakan riba juga akan dimasukkan olih Allah dalam neraka?

    mengikut ayat itu Allah bagi amaran pada pengamal pemakan riba saja tak kiralah orang beriman pun

    Like

    1. Bagaimana maksud anda terpaksa itu? Kalau tak pinjam, kena bunuh atau dicederakan kah? Rasanya tidaklah begitu. Rasanya awak maksudkan pinjam untuk beli kereta dan rumah, contohnya kot. Adakah itu terpaksa? Kalau tidak boleh beli kereta sistem riba, boleh sahaja naik motor atau kenderaan awam, bukan? Kalau tidak mampu beli rumah, boleh sahaja sewa, bukan? Jadi istilah terpaksa bagi awak mungkin tidak tepat pada pandangan Allah.

      Like

      1. sejak bila pula Allah mungkin tak tepat. Pokoknya dalam ayat tu Allah bagi amaran pada pemberi hutang

        bukan peminjam. Sama sama lah tunggu apa yang diperselihkan ini

        Like

      2. saya bukan kata Allah tak tepat. saya kata awak.

        kalau tidak ada peminjam riba, agaknya ada tak pemberi hutang riba? Jadi saya katakan yang pemberi riba dan penerimanya juga bersalah.

        Like

      3. dalam ayat tu Allah bagi amaran kat pemberi hutang bukan peminjam dalam ayat lain Allah suruh pemberi hutang jangan kutip lagi baki riba

        Allah tak sebut peminjam jangan terus bayar hutang

        pokoknya Allah larang pemberi hutang menyusahkan peminjam

        Like

Leave a comment