وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ
Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran
Selepas menyentuh tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi utama Bani Israil, Allah ﷻ sebut pula Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, iaitu Nabi yang Bani Israil tidak iktiraf. Ini mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Nabi pertama yang ditolak oleh mereka. Sebelum ini pun mereka sudah menolak seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan mukjizat-mukjizat dan juga telah diberikan dengan Kitab Injil. Kelahiran baginda sendiri adalah mukjizat yang besar seperti disebut di dalam Maryam: 21
قَالَ كَذٰلِكِۚ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌۚ وَلِنَجۡعَلَهٗۤ اٰيَةً لِّلنَّاسِ وَرَحۡمَةً مِّنَّاۚ وَكَانَ اَمۡرًا مَّقۡضِيًّا
“Dia (Jibril) berkata: ‘Demikianlah’. Tuhanmu berfirman: ‘Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat dari Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan’.”
Disebut juga di dalam Ali Imran: 49 beberapa mukjizat baginda,
وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ
serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus [Roh Suci] (Jibril)
Ruhul-Qudus yang dimaksudkan adalah Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bagaimana kita tahu? Ini seperti disebut di dalam Nahl: 102
قُل نَزَّلَهُ روحُ القُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِالحَقِّ لِيُثَبِّتَ الَّذينَ ءآمَنوا وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُسلِمينَ
Katakanlah: “Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Qur’an itu daripada Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang telah beriman, dan menjadi petunjuk serta khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.
Kenapa Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi gelaran itu? Kerana peranan utama Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah penyampai wahyu daripada Allah ﷻ kepada para Nabi dan Rasul, terutamanya Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Wahyu Allah itu adalah kalam yang suci, dan ia dibawa oleh utusan yang suci. Oleh itu, Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ digelar Ruhul Qudus kerana beliau membawa dan menurunkan firman Allah ﷻ yang suci, menjamin kemurnian dan keasliannya daripada sebarang campur tangan syaitan atau pencemaran.
Sokongan tambahan telah diberikan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana setiap kali baginda keluar berdakwah, baginda akan disokong oleh Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menunjukkan bahawa Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bukanlah anak Tuhan sampaikan baginda perlu diberi sokongan tambahan. Kalau baginda anak Tuhan, kenapa lagi perlu penolong? Baginda diberikan sokongan dengan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda tidak mempunyai ayah dan kedudukan baginda dalam masyarakatnya waktu itu adalah amat lemah.
Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga disebut kerana bukankah Bani Israil bermusuh dengan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Mereka suka Malaikat Mikail tetapi mereka tidak sukakan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini di dalam Baqarah: 97
قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِّجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Qur’an ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.
Kita kena ingat bahawa para ‘rasul’ terdiri daripada manusia dan juga malaikat. Ini kerana malaikat juga menyampaikan ‘risalah’ daripada Allah ﷻ. Rasul dalam kalangan malaikat pun kita terima juga semuanya, tidak seperti Bani Israil yang memilih milih mana yang mereka suka sahaja.
Maka telah disebut tiga Rasul (Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Muhammad ﷺ dan Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), yang menjadikan dasar kepada tiga agama utama di dunia ini (Yahudi, Islam dan Kristian).
وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم
Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan
Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan semua manusia ini di dalam satu agama sahaja, tidak ada Yahudi, Kristian, Hindu dan agama-agama lain. Lagi pun Allah ﷻ telah sebut di atas yang para Nabi itu semua bawa ajaran Allah ﷻ sahaja, jadi kenapa Allah ﷻ membenarkan manusia berlainan agama pula? Ini kerana mereka berbeza pendapat antara satu sama lain. Allah ﷻ berfirman di dalam Hud: 118
وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النّاسَ أُمَّةً وٰحِدَةً ۖ وَلا يَزالونَ مُختَلِفينَ
Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat,
Begitu juga Allah ﷻ boleh jadikan tidak ada peperangan langsung sesama manusia, hidup aman damai sahaja, tetapi Allah ﷻ jadikan juga jihad itu kerana ia adalah untuk kebaikan hamba-Nya juga. Ini kerana dengan jihad, umat Islam boleh menyampaikan Islam kepada umat manusia. Kalau dibiarkan sahaja manusia membuat pilihan sendiri dengan tidak diberikan dakwah kepada mereka, maka tentu lebih ramai lagi yang tidak masuk Islam. Jihad adalah salah satu daripada usaha dakwah yang umat Islam jalankan. Kerana kadangkala untuk sampaikan dakwah, laluan kepada dakwah itu perlu dibuka dengan jihad. Bukanlah jihad itu bermaksud umat Islam memaksa orang kafir itu masuk Islam, cuma dengan menguasai mereka, barulah kita boleh menyampaikan dakwah. Kerana kalau tidak, pemimpin kafir itu akan menahan dakwah Islam daripada sampai kepada kaum mereka.
Dengan ada jihad ini juga memberi peluang kepada para mujahideen mendapat mati syahid. Kalau tidak mati di jalan Allah, mereka boleh dapat pahala yang banyak. Jadi dengan adanya orang yang perlu diperangi, memberi peluang jihad kepada umat Islam. Begitu juga dengan ramainya orang yang belum masuk Islam, memberi peluang kepada kita dapat pahala dakwah. Begitu juga dengan ramainya orang yang jahil, ia memberi peluang kepada kita mengajar mereka. Bayangkan kalau semua pandai, apa yang kita hendak ajar? Maka pandanglah perbuatan Allah ﷻ dengan pandangan yang positif. Kalau semua sudah Muslim, sudah pandai, peluang kita untuk buat pahala akan berkurangan.
Kalimah اقتَتَلَ yang digunakan di dalam ayat ini asalnya bermaksud berbunuh-bunuhan tetapi ia juga boleh bererti bertengkar, mengutuk, berkelahi, dan membunuh. Berbunuh-bunuhan adalah puncak perselisihan mereka, namun ini tidak menutup kemungkinan bahawa sebahagian mereka saling bertengkar, kutuk mengutuk, dan berkelahi, sebagaimana yang kita boleh lihat di dalam umat yang beragama.
Jadi ini adalah ayat terakhir tentang jihad di dalam Surah Baqarah. Ringkasan ayat-ayat tersebut boleh dilihat di sini.
مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ
sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
Setelah datang kebenaran yang jelas البَيِّنٰتُ kita agak-agak manusia sepatutnya bersatulah. Kerana sama sahaja pegangan, lagi pun ia jelas. Begitulah kalau manusia berpegang dengan ilmu wahyu, manusia boleh bersatu. Namun begitu perpecahan tetap juga berlaku.
Di sini kita diberitahu yang mereka berpecah itu bukannya sebab tidak ada Nabi, tidak ada kitab daripada Allah ﷻ, tidak ada ilmu, akan tetapi ia berlaku selepas semua petunjuk telah datang kepada manusia. Mereka telah disampaikan dengan kebenaran, tetapi mereka yang tolak. Ini adalah kerana ramai manusia yang degil. Begitu jugalah dalam kalangan umat Islam yang mengamalkan bid’ah. Apabila kita tegur mereka, mereka bukannya tidak tahu yang amalan mereka itu tidak ada dalil, tetapi mereka tetap juga hendak buat. Mereka tidak nampak kesalahan pada amalan mereka kerana mereka tidak mahu memahaminya walaupun setelah disampaikan kepada mereka.
Dalil-dalil mereka putar-belitkan, atau tidak dipelajari dengan betul sampai disalah fahami, boleh jadi kerana rayuan nafsu dan dengki, atau oleh kerana bisikan syaitan yang menyesatkan mereka. Ada yang terlalu ghairah beragama sehingga menyalahkan pihak lain yang tidak sependapat dengannya, ada juga yang melihat kebenaran dalam satu bentuk sahaja (fahaman mereka), sehingga ijtihad atau pemahaman kelompok lain dianggapnya salah, bahkan sesat. Maka kerana itu kita lihat banyak takfiri (mengkafirkan) berlaku sewenang-wenangnya. Tulisan blog ini ada yang tuduh mengkafirkan orang. Setahu saya tidaklah ada perbuatan mengkafirkan mana-mana individu atau kelompok. Kalau ada mengkafirkan pun, itu mengkafirkan perbuatan dan ini kerana ia disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang sedang dibincangkan.
Ayat ini mengandungi peringatan kepada kaum muslimin agar jangan saling bermusuhan atau kafir mengkafirkan. Nabi ﷺ pun mengingatkan kaum muslimin jangan mengkafirkan orang lain.
“إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا، فَإِنْ كَانَ كَمَا قَالَ وَإِلَّا رَجَعَتْ عَلَيْهِ.”
“Apabila seorang lelaki berkata kepada saudaranya: ‘Wahai kafir!’ Maka sungguh salah seorang daripada keduanya telah kembali dengan (label kekafiran) itu. Jika memang dia (yang dituduh) itu kafir (seperti yang dikatakan), maka (betullah tuduhan itu). Jika tidak, maka ia (tuduhan kekafiran itu) akan kembali kepadanya (orang yang menuduh).”
(Sahih Bukhari No. 6104 dan Muslim No. 60)
Ini kerana bila dia menuduh demikian, maka dia telah menanamkan benih pertengkaran dan permusuhan sehingga wajar pula dia yang memikul dosanya. Peringatan ini baginda sampaikan berkali-kali, bahkan merupakan salah satu peringatan baginda pada Peristiwa Haji Wada’ (Haji Perpisahan). Kerana itu kita telah biasa nasihat, jangan bertindak seperti qadhi (yang menghukum) akan tetapi bertindaklah seperti da’ie (pendakwah). Kita bukan hendak label orang lain, tetapi hendak mereka kembali ke pangkal jalan.
وَلٰكِنِ اختَلَفوا
Tetapi mereka berselisih,
Ada yang berhujah, kalau agama Islam itu benar, kenapa ada perpecahan dalam kalangan penganutnya? Memang kita tidak nafikan pun, kerana kita biasa lihat pun bagaimana ulama’ ini kata begitu, ulama’ ini kata begini pula dan sebagainya. Boleh dikatakan perbalahan dan perpecahan fahaman dalam Islam ini menyeluruh dan tidak dapat disangkal lagi.
Jawabnya, bukan dalam agama Islam sahaja ada pertelingkahan, perbezaan pendapat, malah peperangan. Zaman dahulu pun sudah berlaku. Masalahnya bukan pada agama, tetapi pada manusia. Memang sifat manusia itu selalu berbeza, semua ada pendapat sendiri. Kadang-kadang mereka tidak tahu menangani perbezaan pendapat itu sampai boleh membawa kepada peperangan. Maka, jangan salahkan agama.
Adakah langsung tidak boleh ada perselisihan pendapat? Tentu sahaja akan ada perbezaan pendapat (ikhtilaf) di antara manusia. Dalam Islam, ikhtilaf adalah suatu yang pasti dan bahkan dalam beberapa konteks dianggap sebagai rahmat. Namun, penting untuk membezakan antara ikhtilaf yang dibenarkan (muktabar atau saigh) dan ikhtilaf yang tercela (ghayr saigh). Ikhtilaf yang dibenarkan adalah perbezaan pendapat yang berlaku di kalangan ulama yang berkelayakan (mujtahid) dalam permasalahan yang tidak mempunyai dalil qath’i (jelas dan pasti) atau dalilnya bersifat zhanni (bersifat sangkaan atau mempunyai pelbagai tafsiran). Kerana itulah kita ada banyak mazhab dan banyak pendapat. Maka dalam permasalahan ini, kita hormati pendapat yang ada hujah dan sandarannya kepada wahyu. Kalau langsung tidak ada sandaran, maka kita perlu berhati-hati. Ini memerlukan pembelajaran dan pemikiran yang tajam dan kritis. Jangan terima terus dan jangan tolak terus, kena perhatikan dahulu.
Kemudian kita ada ikhtilaf yang tercela. Ikhtilaf menjadi tercela apabila:
-
- Bertentangan dengan Dalil Qath’i: Perbezaan pendapat dalam perkara yang sudah ada nas yang jelas dan pasti (qath’i al-dalalah). Contoh: Seseorang mengatakan solat lima waktu tidak wajib.
- Berkenaan dengan Usuluddin (Akidah Asas): Ikhtilaf dalam rukun iman, rukun Islam, atau perkara-perkara dasar akidah.
- Berasal dari Hawa Nafsu: Perbezaan pendapat yang timbul bukan dari niat mencari kebenaran, tetapi daripada hawa nafsu, kebencian, iri hati, atau kepentingan peribadi.
- Menyebabkan Perpecahan Umat: Walaupun sesuatu ikhtilaf itu dibenarkan dari segi hukum, tetapi jika perdebatan mengenainya menyebabkan perpecahan teruk dalam masyarakat, ia perlu diuruskan dengan adab yang tinggi.
Maka umat Islam diajar untuk memahami bahawa ikhtilaf dalam masalah cabang adalah sesuatu yang semula jadi dan boleh diterima, asalkan ia dilakukan dengan adab, ilmu, dan rasa hormat antara satu sama lain, serta tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan.
Ayat ini juga mengajar kita bahawa apabila datangnya ilmu, manusia yang asalnya bersatu pun boleh berpecah. Sebagai contoh, golongan Yahudi itu bersatu untuk menerima kedatangan Nabi Akhir Zaman. Mereka kata nanti apabila Nabi itu dibangkitkan, mereka akan beriman dengannya dan akan bersatu di bawah pimpinan Nabi itu. Akan tetapi apabila telah datang pengetahuan bahawa Nabi itu namanya Muhammad ﷺ dan bangsa Arab, mereka berpecah. Ini adalah salah satu kesan penyampaian ilmu yang tidak dapat dielakkan.
Begitu juga dalam masyarakat kita. Semuanya dahulu bersatu beramal sama-sama seperti Yasinan Malam Jumaat, Tahlilan, Doa Selamatan dan sebagainya. Namun apabila sudah ada yang belajar agama dan tahu bahawa semua itu adalah bid’ah, maka masyarakat berpecah. Ada yang boleh menerima ilmu yang baru diketahui ini, dan ada yang tetap berdegil. Kesannya, masyarakat Islam kita berbeza pandangan dan boleh dikatakan berpecah juga. Akan tetapi, adakah kita perlu menahan ilmu daripada disampaikan hanya untuk menjaga kesatuan? Ini tidak mungkin kerana ilmu perlu disampaikan. Kesan daripadanya tidak dapat dielakkan dan kita sahajalah yang harus pandai menanganinya. Berbeza pendapat boleh sahaja, namun janganlah sampai berkelahi dan berperang pula. Apabila ilmu telah disampaikan dan tidak diterima, kita kena redha.
فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ
di antara mereka ada yang beriman,
Apabila ada perbezaan pendapat, manusia berpecah kepada dua bahagian: Ada manusia yang tetap di dalam akidah tauhid yang benar, terus mereka beriman dengan Allah ﷻ dan perkara-perkara yang wajib diimani. Ini adalah kerana mereka telah buka hati mereka untuk menerima Islam.
وَمِنهُم مَّن كَفَرَ
dan ada dalam kalangan mereka yang kafir.
Akan tetapi ramai yang tidak mahu menerima kebenaran. Selain daripada agama Islam, semua kafir tidak kiralah apa jenis agamanya. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 19
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Dan tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab, kecuali setelah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”
Ayat Baqarah ini adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ. Baginda kesedihan kerana ramai yang enggan untuk beriman. Maka Allah ﷻ beritahu para Nabi sebelum baginda pun telah menyampaikan dakwah Tauhid kepada umat mereka, tetapi bukan semua terima. Malah lebih ramai lagi yang terpedaya dengan bisikan syaitan dan mereka memilih jalan kekufuran. Mereka sangka mereka benar dan mereka sampai sanggup mengangkat senjata untuk menegakkannya. Ada yang membunuh orang lain atas nama agama, mereka sangka mereka melakukan kebenaran. Mereka telah membunuh kerana salah faham. Kerana itu Steven Weinberg pernah berkata: “With or without religion, good people can behave well and bad people can do evil; but for good people to do evil – that takes religion,”
Allah ﷻ telah kata Dia boleh menjadikan semua manusia atas satu agama, tidak berbeza pendapat, tidak berkelahi, tidak berbunuhan sesama sendiri. Namun kenapa Dia membenarkan terjadi semua perkara yang tidak elok itu? Kerana Allah ﷻ mahukan manusia dan jin beriman dengan kehendak hati sukarela, ikhlas. Bukan kerana terpaksa atau mereka tidak ada pilihan lain. Allah ﷻ mahu manusia melihat pilihan yang ada dan buat pilihan sendiri. Kerana itu Allah ﷻ berfirman di dalam Kahf: 29
وَقُلِ الحَقُّ مِن رَّبِّكُم ۖ فَمَن شاءَ فَليُؤمِن وَمَن شاءَ فَليَكفُر
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”.
وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا
Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;
Kalau Allah ﷻ hendak menjadikan umat manusia ini taat sahaja semuanya, Allah ﷻ boleh buat. Sebagaimana Allah ﷻ telah menjadikan para malaikat yang lebih ramai dan lebih kuat daripada kita itu, dan taat sahaja kepada Allah ﷻ. Akan tetapi Allah ﷻ biarkan manusia memilih jalan sendiri. Maka terjadilah perselisihan dan apabila ia berlaku, ia boleh membawa kepada peperangan. Kerana itulah banyak terjadi peperangan zaman berzaman antara agama, malah sesama dalam agama sendiri pun berperang dan berbunuhan. Namun ia bermula daripada perselisihan yang tidak berlandaskan kepada dalil yang sahih dan pemahaman agama yang sihat.
Malah di dalam agama Islam sendiri ada sejarah hitam ini. Semenjak para sahabat masih hidup lagi telah ada peperangan sesama Muslim seperti Perang Jamal dan Perang Siffin. Maka berterusanlah ada peperangan sesama kita, kadangkala kerana hendak menekankan fahaman yang dipegang kepada orang lain. Di dalam lipatan sejarah kita ada seorang manusia yang bernama Muhammad bin Tumart, (selalu disebut sebagai Ibn Tumart) pengasas Dinasti Muwahhidun (Almohad) di Maghribi pada abad ke-12, sememangnya dikaitkan dengan tindakan keras, bahkan pembunuhan, dalam usaha untuk memaksakan akidahnya ke atas umat Islam di wilayah tersebut. Dia adalah seorang tokoh kontroversi dalam sejarah Islam. Dia adalah seorang Berber daripada suku Masmuda di Pegunungan Atlas. Dia belajar di Timur Tengah (termasuk Baghdad dan Damsyik) dan dipengaruhi oleh pemikiran Ash’ari dan Mu’tazilah, khususnya dalam bidang teologi. Dia kembali ke Maghribi dengan misi reformasi yang kuat, menganggap pemerintah Murabithun pada masa itu telah menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar, terutamanya dalam aspek tauhid dan fiqh. Dia telah mengisytiharkan dirinya sebagai Al-Mahdi yang ditunggu-tunggu.
Ibn Tumart dan pengikutnya telah melakukan pemusnahan kitab-kitab yang mereka anggap tidak selari dengan akidah mereka. Ibn Tumart tidak ragu-ragu menggunakan kekerasan terhadap mereka yang tidak menerima akidahnya atau menentang ajarannya. Ini termasuk ulama-ulama yang tidak sependapat dengannya. Terdapat laporan mengenai hukuman mati yang dikenakan kepada mereka yang menentang atau didapati tidak selari dengan akidah dan pemahaman tauhid Almohad. Ini termasuk ulama terkemuka seperti Qadhi ‘Iyadh, walaupun perinciannya masih diperdebatkan oleh sejarawan. Sejumlah sumber menyebutkan ribuan, bahkan ada yang mencecah puluhan ribu umat Islam yang dibunuh atas nama reformasi akidah ini.
Ibn Tumart dikatakan melakukan ujian akidah kepada penduduk. Sesiapa yang gagal dalam ujian tersebut atau tidak dapat melafazkan akidahnya seperti yang dikehendaki, boleh dikenakan hukuman. Ini tidak jauh beza sahaja dengan pejabat agama zaman sekarang yang menahan tauliah daripada diberikan kepada asatizah yang tidak selari dengan mereka. Mereka tidak beri tauliah, tetapi apabila ustaz itu tetap mengajar juga, mereka akan ditangkap. Sebagaimana Ibn Tumart ini terpaksa melakukan perkara sebegini kerana akidah Asyairah yang dipegangnya itu kalau didakwah secara biasa, mungkin tidak ramai orang akan terima. Kerana ia bukannya selari dengan apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah ﷺ dan salafussoleh. Jadi terpaksalah guna kekerasan untuk paksa orang menerimanya.
وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ
tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.
Allah ﷻ boleh menjadikan semua manusia di dalam fikiran yang sama dan agama yang satu. Akan tetapi bukan begitu yang Allah ﷻ kehendaki kepada umat manusia. Ini semua adalah ujian kepada kita belaka. Kita tidak boleh mempersoalkan apa yang Dia hendak buat. Pastilah ada hikmah kenapa Allah ﷻ melakukan sebegitu. Antaranya adalah kerana Allah ﷻ mahu yang layak sahaja dimasukkan ke dalam syurga kerana syurga itu balasannya amatlah tinggi. Maka yang layak sahaja dapat masuk.
Sekian Ruku’ 33 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 16 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)


