Baqarah Ayat 239: Suruhan menjaga solat ini bukan sahaja semasa aman, tetapi semasa perang juga. Semasa kita berperang dengan musuh yang zahir, jangan kita lupa untuk berperang dengan musuh yang batin juga, iaitu syaitan. Maka dalam keadaan perang pun kita masih disyari’atkan untuk solat. Dalam saat genting, maka lebih lagi kita mesti menjaga hubungan dengan Allah ﷻ iaitu dengan menjaga solat kita. Kalau perang pun kena jaga solat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman. Justeru, tidak ada alasan untuk meninggalkan solat.
Kalau dikaitkan dengan ayat sebelum ini tentang suruhan untuk khusyuk di dalam solat, mungkin ada yang menduga bahawa solat tidak wajib ketika dalam keadaan takut dan huru hara kerana waktu itu tentu susah untuk menjaga khusyuk. Untuk menghilangkan kekeliruan itu, maka ayat ini menjelaskan bahawa dalam keadaan takut pun kena solat juga.
فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا ۖ فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
And if you fear [an enemy, then pray] on foot or riding. But when you are secure, then remember Allah [in prayer], as He has taught you that which you did not [previously] know.
MALAY
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.
فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,
Di dalam ayat sebelum ini telah disebut keutamaan qiyam. Di sini disebut pengecualian kepada qiyam itu di dalam keadaan yang mendesak. Kalau kamu bimbang disebabkan oleh peperangan yang berlaku, maka ada keringanan yang diberikan kepada manusia dalam mengerjakan solat. Solat masih tetap wajib dilakukan tetapi diringankan iaitu boleh dilakukan semasa berjalan dan juga di atas kenderaan. Jelaslah ketakutan tidaklah menggugurkan kewajipan solat, namun boleh meninggalkan beberapa rukun jika perlu. Asalkan tetap solat.
Kalimah رِجَالاً adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘dalam keadaan berjalan’. Ia daripada kata dasar sama ر ج ل yang bermaksud berjalan kaki, diikat kaki, menyusukan anak, rambut kerinting, menyikat rambut, turun dengan tali, berjalan dengan semangat, kaki, askar, pemburu, lelaki, lelaki yang ada waris. Lelaki dipanggil رَجُلٌ dan jamaknya رِجَالٌ di dalam bahasa Arab kerana manusia adalah makhluk Allah ﷻ yang bergerak menggunakan kaki.
Jadi perhatikan di sini disebut yang boleh sahaja solat dalam keadaan berjalan. Mungkin pelik ilmu ini bagi orang kita kerana ramai tidak tahu (kerana jauh daripada wahyu Al-Qur’an). Mereka sangka tidak boleh berjalan langsung; atau kalau berjalan pun dua langkah sahaja. Sebab itu kita lihat ada orang kita yang hendak mengubah saf, jalan dua kali, henti, jalan dua kali, henti. Mereka mungkin tidak pernah mendengar hadith seperti hadith ini yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
“كَانَ النَّبِيُّ ﷺ يُصَلِّي فِي مَسْجِدِهِ، فَجَاءَ رَجُلٌ وَرَآهُ يُصَلِّي، فَطَلَبَ مِنْهُ أَنْ يَفْتَحَ لَهُ الْبَابَ، فَفَتَحَ لَهُ النَّبِيُّ ﷺ.”
“Nabi ﷺ sedang solat di masjidnya, lalu seorang lelaki datang dan melihat baginda sedang solat. Lelaki itu meminta Nabi ﷺ supaya membuka pintu untuknya, lalu Nabi ﷺ pun membuka pintu itu.”
— (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud)
Mungkin mereka tidak tahu hadith ini,
حَدَّثَنَا الأَزْرَقْ بْنُ قَيْسٍ . قال كُنَّا بِالأَهوَازِ نُقاتِلُ الحَروريَّةَ . فَبَينَا أَنَا على جُرُفِ نَهَرٍ إِذا رَجُلٌ يُصَلِّي . وإِذَا لِجَامَ دَابَّتِهِ بِيَدِهِ فَجَعَلَتِ الدَّبَّةُ تُنَازِعُهُ . وجعلَ يَتْبَعُهَا . قال شُعبةُ . هو أَبو بَرزَة الأَسلمِيُّ .فَجَعَلَ رجُلٌ من الحَوَارِجِ يَقُولُ اللهُمَّ افْعَلْ بهذا الشَيْحِ . فَلَمَّا انْصَرَفَ الشَّيْخُ إِنِّيْ سَمِعْتُ قَوْلَكُمْ . وَإِنِّي غَزَوْتُ مع رسول الله صلى الله عليه وسلم سِتَّ غَزَوَاتٍ أَوْ سَبْعَ َزَوَاتٍ وَثَمَانِيًا . وَشَهِدْتُ تَيْسِيْرُهُ . وَإِنِّي أَنْ كُنْتُ أَنْ أُرَاجِعَ مع دَبَّتِيْ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَدعَهَا تَرْجِعُ إلى مَأْلَفِهَا فَيَشُقَّ عَلَىَّ . رواه البخاري
Telah berkata al-Azraq bin Qais رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ katanya: “Abu Barzah Al-Aslami رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang berada di tepi sebatang sungai di Ahwaz (sebuah negeri di Iraq). Di sana beliau solat sambil memegang tali kudanya. Binatang itu bergerak-gerak mahu kembali ke tempat lain, maka Abu Barzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengundur mengikut gerakan kuda tersebut. Kebetulan seorang Khawarij berkata kepadanya : “Ya Allah! Celakalah orang ini, bagaimana dia solat?” Lalu sesudah selesai solat Abu Barzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab: “Aku mendengar kata-kata kamu tadi, ketahuilah aku telah bersama Rasulullah ﷺ dalam beberapa peperangan sampai enam, tujuh atau lapan kali. Jadi aku tahu akan keringanan-keringanan yang diajarkan Baginda ﷺ. Maka mengundur mengikuti binatang tersebut adalah lebih mudah daripada membiarkannya terlepas kerana ia pasti akan lebih menyusahkan aku.” Ketika itu Abu Barzah ﷺ sedang solat dua rakaat.”
(Sahih Bukhari No. 1221)
Ada sejenis solat yang dipanggil Solat Khauf. Inilah solat yang dilakukan ketika di dalam perang. Solat ini boleh dilakukan sambil memegang senjata, malah tanpa mengadap ke arah kiblat pun kalau perlu. Cara untuk melakukannya, hendaklah dirujuk dalam bab Fiqah. Ada beberapa cara ia dilakukan, antaranya seperti disebut di dalam Ayat Nisa’: 102
وَإِذا كُنتَ فيهِم فَأَقَمتَ لَهُمُ الصَّلوٰةَ فَلتَقُم طائِفَةٌ مِّنهُم مَّعَكَ وَليَأخُذوا أَسلِحَتَهُم فَإِذا سَجَدوا فَليَكونوا مِن وَرائِكُم وَلتَأتِ طائِفَةٌ أُخرىٰ لَم يُصَلّوا فَليُصَلّوا مَعَكَ وَليَأخُذوا حِذرَهُم وَأَسلِحَتَهُم ۗ وَدَّ الَّذينَ كَفَروا لَو تَغفُلونَ عَن أَسلِحَتِكُم وَأَمتِعَتِكُم فَيَميلونَ عَلَيكُم مَّيلَةً وٰحِدَةً ۚ وَلا جُناحَ عَلَيكُم إِن كانَ بِكُم أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَو كُنتُم مَّرضىٰ أَن تَضَعوا أَسلِحَتَكُم ۖ وَخُذوا حِذرَكُم ۗ إِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلكٰفِرينَ عَذابًا مُّهينًا
Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sebahagian daripada mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula sebahagian yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjemaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.
Selain dari itu, ada disebut seperti di dalam hadith ini,
كَانَ إِذَا سُئِلَ عَنْ صَلَاةِ الْخَوْفِ قَالَ يَتَقَدَّمُ الْإِمَامُ وَطَائِفَةٌ مِنْ النَّاسِ فَيُصَلِّي بِهِمْ الْإِمَامُ رَكْعَةً وَتَكُونُ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْعَدُوِّ لَمْ يُصَلُّوا فَإِذَا صَلَّى الَّذِينَ مَعَهُ رَكْعَةً اسْتَأْخَرُوا مَكَانَ الَّذِينَ لَمْ يُصَلُّوا وَلَا يُسَلِّمُونَ وَيَتَقَدَّمُ الَّذِينَ لَمْ يُصَلُّوا فَيُصَلُّونَ مَعَهُ رَكْعَةً ثُمَّ يَنْصَرِفُ الْإِمَامُ وَقَدْ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ فَيَقُومُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْ الطَّائِفَتَيْنِ فَيُصَلُّونَ لِأَنْفُسِهِمْ رَكْعَةً بَعْدَ أَنْ يَنْصَرِفَ الْإِمَامُ فَيَكُونُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْ الطَّائِفَتَيْنِ قَدْ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ فَإِنْ كَانَ خَوْفٌ هُوَ أَشَدَّ مِنْ ذَلِكَ صَلَّوْا رِجَالًا قِيَامًا عَلَى أَقْدَامِهِمْ أَوْ رُكْبَانًا مُسْتَقْبِلِي الْقِبْلَةِ أَوْ غَيْرَ مُسْتَقْبِلِيهَا قَالَ مَالِكٌ قَالَ نَافِعٌ لَا أُرَى عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ ذَكَرَ ذَلِكَ إِلَّا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Bahawa Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا apabila ditanya tentang solat khauf dia menjawab; “Seorang imam maju bersama sekelompok orang, lalu solat satu rakaat bersama mereka. Sedangkan sekelompok yang lain yang berada antara imam dengan musuh belum mengerjakan solat. Jika orang-orang yang solat bersama imam telah selesai, mereka mundur ke tempat orang-orang yang belum solat dan mereka belum salam. Kelompok yang belum solat maju dan solat bersama imam satu rakaat. Imam pergi dan dia telah solat dua rakaat. Maka semua daripada dua kelompok itu berdiri dan menyempurnakan solat mereka satu rakaat, satu rakaat, setelah perginya imam. Setiap kelompok itu telah menyempurnakan dua rakaat. Jika keadaan lebih menakutkan daripada itu, mereka solat dengan berjalan kaki atau dengan menunggangi tunggangan, baik menghadap qiblat atau tidak.” Malik berkata, Nafi’ berkata; “Saya tidak melihat Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menceritakannya melainkan daripada Rasulullah ﷺ.”
(Sahih Bukhari No. 4171)
Bukan sahaja ketakutan di dalam perang, malah jika dalam keadaan takut dalam hal lain pun boleh juga. Selain ketika perang, ia boleh dilakukan ketika ketakutan kepada gangguan musuh, bencana, atau situasi genting. Entah dikejar singa, mungkin kerana banjir atau apa-apa sahaja.
Maknanya solat boleh dilakukan di dalam berbagai keadaan. Semua keadaan kita boleh solat. Jadi kalau di dalam keadaan payah pun disuruh kita tetap menjaga solat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman? Begitulah pentingnya solat kalau dibandingkan dengan ibadah-ibadah yang lain. Sebagai contoh kalau puasa, boleh ditinggalkan jikalau di dalam perjalanan; kalau Haji itu hanya untuk orang yang mampu sahaja. Namun perhatikan solat, tidak ada pelepasan baginya melainkan mesti dilakukan pada setiap waktunya, cuma cara melakukannya yang berubah-ubah mengikut keadaan. Begitulah solat tetap kena solat juga. Jadi amat sedih sekali masyarakat sekarang sudah tidak pandai untuk solat. Mereka hanya boleh solat di rumah dan dengan sejadah mereka sahaja agaknya. Sampaikan kalau membeli belah sahaja sudah dilupakan solat. Kalau melancong dan tidak ada surau seperti di Malaysia pun tidak boleh solat. Kalau sakit dan kena masuk wad, seolah dapat lesen besar tidak perlu solat! Siapa beri lesen pun tidak tahu lah. Ini orang yang mungkin solat di dalam keadaan biasa; bagaimana pula yang memang aman atau tidak, senang atau sudah, langsung buat tidak tahu apabila waktu solat sudah masuk! Kerana itu ada hadith,
“يُدْرَسُ الإِسْلاَمُ كَمَا يُدْرَسُ وَشْيُ الثَّوْبِ، حَتَّى لاَ يُدْرَى مَا صِيَامٌ، وَلاَ صَلاَةٌ، وَلاَ نُسُكٌ، وَلاَ صَدَقَةٌ…”
“Islam akan luntur sebagaimana luntur corak pada pakaian. Sehingga tidak diketahui lagi apa itu puasa, apa itu solat, apa itu ibadah, dan apa itu sedekah…”
(Riwayat al-Darimi dalam Sunannya (1/79) — sanadnya hasan)
Jadi solat perlu dilakukan di dalam masanya. Kalau kita rasa tidak boleh, mungkin kerana kurangnya ilmu untuk memilih jenis solat yang boleh dilakukan. Ada yang mengerjakan Solat Hormat Waktu. Akan tetapi solat jenis ini tidak ada dalilnya. Kenapa perlu solat yang kemudian perlu diganti? Kalau solat itu sah, kenapa perlu diganti? Kalau tidak sah, kenapa solat pula? Cuma kita tidak nafikan yang ini adalah pendapat Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ iaitu mereka yang tidak mampu bersuci langsung atau lain-lain perkara yang menjadi syarat sah solat, maka mereka tetap perlu menunaikan kewajipan solat pada waktu itu, dan solat itu sah dan tidak perlu diulangi. Kita tidaklah memperleceh atau mengejek solat hormat waktu. Ini kerana solat hormat waktu adalah pendapat yang memang kuat di sisi mazhab Syafie juga. Jika sesiapa yang memilih untuk ulang kembali solat itu bila dia mampu, maka itu lebih berhati-hati dan selamat. Cuma kita katakan, ada banyak cara untuk menjadikan solat itu sah dan tidak perlu diulang dan tidak perlu pun melakukan ‘solat Hormat Waktu’.
Bagaimana pula dengan solat yang sengaja ditinggalkan? Mungkin dia sakit atau membeli belah dan dia fikir, nanti aku gantilah. Bolehkah ganti solat ini? Atau, orang yang memang berada di zaman jahiliyah dia, sudah tua bangka pun tidak solat lagi, tiba-tiba sampai umur 50 tahun, baru rasa baligh dan hendak solat. Perlukah digantikan semua solat yang dia sengaja tinggalkan itu? Ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama’. Pendapat yang kuat adalah tidak ada ganti bagi solat itu. Kerana dalil untuk mengqada’ solat hanya terhad kepada lupa, tertidur, pengsan, gila. Maknanya bukan sengaja ditinggalkan. Ini seperti disebut di dalam hadith,
قال رسول الله ﷺ: “مَنْ نَسِيَ صَلَاةً، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ”
“Barangsiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia ingat. Tiada kaffarah (tebusan) baginya kecuali dengan mengerjakannya (qadha).”
(Riwayat Bukhari No. 597 dan Muslim No. 681)
Yang lebih mengarut adalah amalan turun temurun orang jahiliyah kita yang membayar fidyah solat dengan beras! Bukan sahaja mereka reka amalan ini, ditambah lagi kegilaan itu dengan helah upacara tolak-tarik beras itu! Maknanya sedekah beras, kemudian dipulangkan balik dan kemudian disedekah lagi beras yang sama! Memang bodoh sekali rupanya.
فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم
kemudian apabila kamu telah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah, sebagaimana Allah telah ajar kamu
Keadaan yang menakutkan tentu tidak kekal lama. Maka dalam keadaan sudah aman, maka solatlah seperti biasa. Kalimah فَاذكُرُوا di dalam ayat ini bermaksud solat. Ini kerana zikir yang paling besar sekali adalah solat. Apabila dalam keadaan aman, kena ikut cara solat sebagaimana yang Allah ﷻ ajar kita untuk solat dalam keadaan biasa. Solatlah dengan cara yang sempurna. Ingatlah bahawa solatlah ibadat terbaik. Maka jangan kita lepaskan peluang ini.
Dalam ayat ini disebutkan bahawa kita kena ingat Allah ﷻ, maknanya ayat ini hendak memberitahu yang dalam solat itu, perkara yang paling penting kita kena lakukan adalah ingat kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Taha: 14
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.
Begitu juga ketika Allah ﷻ berbicara tentang solat di dalam Ankabut: 45, Allah ﷻ sambung dengan menyebut tentang ingat kepada Allah ﷻ,
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ
“Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Kitab, dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (zikrullah) itu lebih besar (darjatnya).”
Begitulah telah disebut di dalam hadith,
قال رسول الله ﷺ: “إذا قام أحدكم إلى الصلاة، فإنه يناجي ربه…”
“…فإن ذكر الله فيها، فهو خير له.”
“Apabila salah seorang kamu berdiri untuk solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhannya… maka zikrullah (ingat Allah) dalam solat itu adalah yang terbaik baginya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kerana itulah kena khusyuk dalam solat. Kalau tidak, hanya dijaga perbuatan solat sahaja tetapi hati tidak hadhir bersama. Maka ibadah solat ini bukan hanya perbuatan fizikal turun dan bangun sahaja akan tetapi ia melibatkan ibadah hati juga. Malah, pahala solat itu mengikut kadar khusyuk kita di dalam solat itu. Kalau separuh waktu sahaja kita khusyuk, maka separuh sahajalah pahalanya. Dalilnya,
إِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفُ وَمَا كُتِبَ لَهُ إِلَّا عُشْرُ صَلَاتِهِ، تُسْعُهَا، ثُمُنُهَا، سُبُعُهَا، سُدُسُهَا، خُمُسُهَا، رُبُعُهَا، ثُلُثُهَا، نِصْفُهَا
“Sesungguhnya seseorang itu selesai daripada solatnya, dan tidak dicatat baginya (pahala) kecuali sepersepuluhnya, atau sepersembilannya, atau seperdelapannya, atau sepertujuhnya, atau seperenamnya, atau seperlimanya, atau seperempatnya, atau sepertiganya, atau setengahnya.”
(Riwayat Abu Dawud (796), Ahmad, al-Nasa’i; dinilai sahih oleh al-Albani])
مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ
apa yang kamu dulu tidak mengetahuinya.
Sebelum ini kita tidak tahu pun cara-cara untuk solat tetapi Allah ﷻ telah ajarkan kita melalui Nabi-Nya. Begitu juga, kalau dulu tidak tahu berbagai jenis solat, sekarang sudah tahu. Kalau tidak tahu, belajarlah lagi. Janganlah hanya bergantung setakat ilmu solat yang belajar di sekolah rendah sahaja. Tiadalah diajar berbagai-bagai cara semasa di sekolah itu.
Kedua-dua ayat di atas adalah ayat Umur Muslihah. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ selang selikan antara ayat-ayat hubungan dengan masyarakat (Umur Munazimah) dengan ayat-ayat tentang hubungan dengan Allah ﷻ (Umur Muslihah). Allah ﷻ selang selikan kerana kedua-dua jenis ayat ini adalah amat berkaitan sekali.
Secara umum pula ayat ini mengajar kita yang kita ini asalnya jahil, tidak tahu apa-apa. Jadi tidak perlu hendak sombong kerana tidak ada sesiapa yang lahir-lahir sahaja sudah pandai. Kita belajar sedikit demi sedikit, dan pencapaian berdasarkan kepada kemampuan akal kita dan sumber yang kita dapat. Begitu juga di dalam manhaj Sunnah, kadangkala kita ini yang mula-mula sahaja yang kenal akan Sunnah. Namun bukanlah bermakna kita ini yang lebih pandai daripada orang lain pula. Bukan. Kadangkala kita yang mula belajar, tetapi ada orang yang belajar kemudian lebih pandai daripada kita. Jadi jangan kita sombong dan perasan kita pandai melangit walaupun kita yang mula kenal Sunnah.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya
Kemaskini: 17 Mei 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

