HUKUM ILA’
Baqarah Ayat 226: Setelah menyebut tentang sumpah dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ sekarang menyebut tentang salah satu kebiasaan orang Arab dalam bersumpah. Ia kembali menyebut tentang hubungan suami isteri dan sekarang melibatkan persumpahan yang dilakukan terhadap isteri. Ini adalah antara sumpah yang tidak bagus diamalkan.
لِّلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِّسائِهِم تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ ۖ فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
For those who swear not to have sexual relations with their wives is a waiting time of four months, but if they return [to normal relations] – then indeed, Allah is Forgiving and Merciful.
MALAY
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
لِّلَّذينَ يُؤلونَ مِن نِّسائِهِم
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka,
Kalimah يُؤلُونَ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ jamak dan ia bermaksud ‘sumpah ila’. Ia daripada kata dasar: أ ل و yang bermaksud tidak lengkap melakukan sesuatu, perlahan, lemah, tidak meninggalkan, sumpah, pemilik, yang menjaga. Umumnya dari segi bahasa ia bermaksud sumpah. Dari segi istilah syara’, ila’ (الإِيْلاَءُ) bermaksud sumpah seorang suami untuk tidak mencampuri (melakukan hubungan seksual) isterinya selama lebih daripada empat bulan atau tanpa batasan waktu. Ia adalah amalan Arab Jahiliyah yang sebut: “Demi Allah, aku tidak akan jimak dengan kamu lagi..” atau seumpamanya.
Maka ayat ini adalah teguran tentang kebiasaan lelaki Arab jahiliyah yang biasa bersumpah atas nama Allah untuk tidak menyetubuhi isterinya. Lelaki Arab pada waktu itu melakukan begitu apabila mereka marah terhadap isteri mereka. Isteri itu secara efektif terpisah daripadanya (tetapi tidak diceraikan). Mereka pula mempunyai ramai isteri maka tidak ada masalah kepada mereka kalau mereka menahan diri daripada bersetubuh dengan isterinya yang satu itu, kerana mereka ada isteri kedua, ketiga dan seterusnya. Akan tetapi isteri-isteri mereka yang merana kerana dibiarkan begitu sahaja dan mereka tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain kerana mereka masih lagi berstatus isteri kepada suaminya. Mereka seolah-olah ‘digantung tak bertali’ sampai mati.
Ini adalah perbuatan zalim kepada wanita, maka Allah ﷻ menurunkan ayat ini untuk memperbetulkan kezaliman ini. Begitulah Islam membawa rahmat kepada semua orang dan perhatikan bagaimana Allah ﷻ menjaga kedudukan wanita dalam hal ini. Ternyata sangatlah jahil kalau ada yang mengatakan agama Islam menindas wanita kerana sebenarnya Islamlah yang menjaga hak-hak wanita di kala masyarakat lain menindas wanita.
تَرَبُّصُ أَربَعَةِ أَشهُرٍ
diberikan tempoh empat bulan.
Masalah dengan sumpah ila‘ ini adalah tidak ada cara untuk membatalkannya di dalam fahaman dan undang-undang Arab Jahiliyyah. Apabila tidak ada, maka ia menjadi satu kezaliman kepada kaum isteri. Mereka tidak diceraikan dan di dalam masa yang sama tidak diberi hak mereka. Maka Islam tidak membatalkan perbuatan sumpah itu tetapi yang diubah adalah sistem tersebut. Islam cuma mengaturkan. Yang memang dilarang adalah dhirar, iaitu terus tidak pulang kepada isteri, tidak beri nafkah dan tidak diceraikan.
Agama Islam meletakkan had masa. Masa yang ditetapkan di dalam Islam adalah empat bulan. Jadi sudah ada had yang ditetapkan, tidaklah sampai bila-bila. Maknanya, seorang isteri itu tahulah yang ada masa maksima yang dia perlu tunggu dan tidak lebih daripada itu. Kalimah تَرَبُّصُ daripada kata dasar: ر ب ص yang bermaksud menunggu, kayu, menunggu peluang, menahan diri, orang yang menunggu. Kalau menunggu ada kalimah lain lagi iaitu إنتظار jadi kalimah تَرَبُّصُ ini sebenarnya menunggu dengan sabar. Perhatikan kata dasar ر ب ص itu kalau dieja terbalik, menjadi صبر (sabar).
Kenapa 4 bulan? Penantian empat bulan yang dituntut daripada suami ini, seimbang dengan masa tunggu yang diwajibkan kepada para isteri yang suaminya meninggal, yang bilangannya juga empat bulan sepuluh hari. (Rujuk Baqarah: 234). Sesetengah ulama’ menilai, masa empat bulan itu sebagai masa yang wajar bagi seorang isteri atau suami yang normal untuk tidak berhubungan seks.
Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ turut prihatin tentang hal ini. Sebagaimana dikisahkan dalam kitab Fatwa dan Ijtihad Umar bin Khathab karangan al-Halawi. Zaid bin Aslam pernah menceritakan bahawa suatu malam ketika Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang ronda, beliau melalui di hadapan sebuah rumah seseorang. Dari dalam rumah tersebut, terdengar suara seorang wanita yang lirih sedang bersenandung untaian syair: “Malam ini terasa panjang, sunyi senyap hitam kelam; Lama aku tiada kekasih, yang kucumbu dan kurayu.“ Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ lantas menanyakan kepada orang yang juga kebetulan lalu di tempat itu, siapa gerangan wanita itu. Beliau diberitahu bahawa wanita tersebut adalah isteri seorang perajurit Islam yang sedang berjuang di medan jihad. Keesokan harinya, Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengirimkan surat kepada komandan di lapangan agar suami fulanah tersebut segera pulang ke rumahnya. Tidak berhenti di situ, Sayyidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga berusaha mencari maklumat, sebenarnya berapa lama waktu bagi seorang isteri dapat menahan kerinduan akan suaminya. Untuk menjawab rasa ingin tahunya itu lalu beliau mengunjungi rumah puteri kandungnya, Hafshah رضي الله عنها. Beliau bertanya: “Wahai, puteriku. Berapa lamakah seorang wanita mampu menahan (sabar) ditinggal pergi suaminya?” Tanya Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ setelah berbasa-basi. Awalnya, Hafshah رضي الله عنها terkejut dan tersipu malu mendengar pertanyaan yang tidak disangka daripada ayahnya itu. “Subhanallah. Orang seperti ayah bertanya kepada saya tentang soalan ini?” Setelah mendapatkan pengertian, Hafshah رضي الله عنها menjawab bahawa rentang waktu kesabaran seorang isteri untuk menunggu suaminya pulang ialah sekitar lima atau enam bulan. Semenjak itu, Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menetapkan waktu bertugas bagi seluruh perajurit Muslim di medan perang tidak melebihi enam bulan. Rinciannya, satu bulan merupakan perjalanan pergi ke gelanggang jihad, empat bulan lamanya di lapangan, kemudian satu bulan untuk perjalanan pulang.
Rukun Ila’: Menurut jumhur ulama’, rukun ila’ terdiri daripada:
-
- Suami: Orang yang mengucapkan sumpah dan merupakan pihak yang berhak melakukan talak. Suami itu juga hendaklah masih berkemampuan mengadakan hubungan seks. Kalau sudah tidak mampu, tidak timbul tajuk ila’.
- Isteri: Wanita yang sah menjadi isterinya.
- Sumpah: Ucapan suami yang menggunakan nama Allah atau sifat-Nya untuk tidak mencampuri isterinya. Jadi kalau dia cakap pada dirinya sendiri sahaja tanpa menyebut nama Allah, maka ia bukanlah ila’.
-
Jangka Waktu: Sumpah tersebut memiliki batasan waktu melebihi empat bulan atau tidak ada batasan waktu sama sekali. Jika sumpah untuk tidak mencampuri kurang daripada empat bulan, maka tidak termasuk ila’.
Kerana itu apabila Rasulullah ﷺ mengasingkan diri daripada para isteri baginda selama sebulan, ia tidak disebut sebagai ila’.
“Ketika isteri-isteri Nabi ﷺ berkumpul kerana cemburu (dan meminta lebih), aku berkata kepada mereka: ‘Mudah-mudahan Tuhannya, jika baginda menceraikan kalian, akan menggantikan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian.’ Maka Nabi ﷺ mengasingkan diri daripada mereka selama sebulan atau 29 hari. Kemudian turunlah Ayat al-Takhyir (ayat pilihan), lalu baginda memulakan dengan Aisyah رضي الله عنها (untuk membuat pilihan).”
(HR. Bukhari No. 402, Muslim No. 2399)
-
Hukum Ila’: Ila’ hukumnya haram jika tujuannya untuk menyakiti atau menggantung isteri tanpa alasan yang dibenarkan syariat. Namun, secara hukum, ila’ yang telah terjadi akan menimbulkan konsekuensi hukum yang harus diselesaikan.
-
Hikmah Disyariatkan Ila’: Meskipun pada dasarnya tidak disukai, ila’ disyariatkan sebagai mekanisme untuk memberikan kesempatan kepada suami yang sedang marah atau memiliki masalah dengan isterinya untuk merenung dan menyelesaikan masalah secara baik-baik, tanpa terburu-buru menjatuhkan talak dalam keadaan emosi. Batas waktu empat bulan diberikan sebagai waktu yang cukup untuk suami mempertimbangkan keputusannya. Ia juga mekanisme untuk menegur isteri dan mereka sepatutnya mengambil masa itu untuk berfikir.
-
Konsekuensi Hukum Ila’: Setelah suami melakukan ila’, syariat memberikan beberapa pilihan baginya setelah melewati waktu empat bulan:
-
Ruju’ (Kembali): Suami menarik balik sumpahnya dan kembali melakukan hubungan intim dengan isterinya. Kenalah jimak dan tidak cukup dengan cakap mulut sahaja. Dengan ruju’, maka ila’ batal dan suami wajib membayar kafarah sumpah (sesuai dengan ketentuan kafarah sumpah dalam Islam).
-
Talak (Cerai): Jika suami tetap pada sumpahnya dan tidak mahu kembali mencampuri isterinya setelah empat bulan, maka dia dipaksa untuk memilih antara ruju’ atau menjatuhkan talak. Jika dia tetap menolak keduanya, maka hakim (qadhi) berhak untuk memaksanya menjatuhkan talak demi mencegah terjadinya kemudaratan yang lebih besar pada isteri yang terkatung-katung tanpa kejelasan status.
-
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya:
إِذَا آلَى الرَّجُلُ مِنِ امْرَأَتِهِ لَمْ يَقَعْ عَلَيْهِ طَلاَقٌ وَإِنْ مَضَتِ الأَرْبَعَةُ الأَشْهُرِ حَتَّى يُوقَفَ فَإِمَّا أَنْ يُطَلِّقَ وَإِمَّا أَنْ يَفِيءَ
“Apabila suami melakukan ila’ kepada isterinya, tidak jatuh talak walaupun telah berlalu empat bulan sehinggalah suami membuat keputusan sama ada menceraikannya ataupun menggauli isterinya semula.”
(Riwayat Malik dalam kitabnya al-Muwatta’ (2/556))
Jikalau dia bersetubuh dengan isterinya sebelum empat bulan, maka dia dikira sudah membatalkan sumpahnya itu dan dia mestilah membayar dam kerana telah membatalkan sumpah. Oleh itu, si suami boleh meng-ila’ isterinya hanya beberapa lama sahaja, tetapi tidak boleh lebih daripada empat bulan. Itu adalah had maksima. Suami itu akan berkata: “Aku ila’ engkau selama sebulan”, atau “Aku ila’ engkau selama empat bulan”, dan sebagainya. Apabila dia telah bersumpah dan menetapkan masa, dia hendaklah menunggu masa itu sampai habis tempohnya. Maka para suami diberi masa untuk memikirkan tindakannya dan apa yang dia hendak buat.
Jikalau telah cukup empat bulan dan dia tidak melakukan apa-apa, isterinya boleh pergi mengadu hal ini ke mahkamah dan qadhi boleh mengeluarkan keputusan untuk menceraikan mereka. Ia akan menjadi talaq bain (talak yang tidak boleh diruju’). Cerai Bain tidak boleh ruju’ dan kalau hendak bersama kembali, pasangan itu dikehendaki menikah semula, bayar mahr semula dan sebagainya. Maka wanita itu mempunyai pilihan sama ada hendak bersama kembali dengan bekas suaminya ataupun tidak.
Dalam Mazhab Syafi’iy, isteri itu hendaklah mengadu ke mahkamah, tetapi dalam Mazhab Hanafi, pasangan itu telah bercerai secara automatik apabila telah cukup tempoh empat bulan.
Sememangnya sumpah untuk meng-ila’ para isteri adalah termasuk dalam dosa-dosa besar yang perlu dijauhi oleh semua suami. Sekiranya si suami telah bersumpah ila’ terhadap isterinya, suami itu perlu membayar kafarah bagi menebus semula sumpah yang telah dilafazkannya. Ini telah disebut di dalam Maidah : 89:
فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ
“Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.”
Penjelasan: Kafarah sumpah ini ada tiga pilihan:
1. Beri makan 10 orang miskin, atau
2. Beri pakaian kepada 10 orang miskin, atau
3. Memerdekakan seorang hamba
Boleh pilih antara 3 pilihan di atas. Hanya apabila tidak mampu melakukan salah satu daripada 3 pilihan di atas, barulah diganti dengan puasa 3 hari. Jadi puasa 3 hari ini hanya dilakukan apabila tidak mampu melakukan salah satu daripada 3 pilihan di atas dahulu.
Kalau suami telah meng-ila’ isteri dan ingin kembali kepada isteri sebelum waktu yang dia telah sebutkan, pasti dia kena bayar kaffarah sumpah. Akan tetapi jikalau mengikut masa yang telah disebut, ulama’ khilaf dalam hal ini. Adakah dia mesti membayar kaffarah sumpah sedangkan dia tidak melanggarnya? Atau adakah dia kena juga bayar kaffarah sumpah itu kerana telah melakukan ila’?
فَإِن فاءوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ
Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Kalimah فَآءُو adalah dalam bentuk fi’il madhi jamak dan ia bermaksud ‘mereka kembali’. Ia daripada kata dasar: ف ي أ yang bermaksud kembali, balik, letak bawah penguasaan, tukar tempat, harta rampasan perang, tawanan perang. Suami boleh rujuk semula dengan menyetubuhi isterinya itu. Jikalau mereka kembali, maka Allah ﷻ akan mengampunkan kesalahan mereka sebelum itu dan kalau Allah ﷻ sudah ampunkan, Dia tidak akan mengazab hamba-Nya itu.
Dua sifat ini amat penting bagi kita. Kita memang mempunyai banyak dosa, maka kita memerlukan sifat Allah ﷻ yang غَفُورٌ kerana kalau tidak, kita pasti akan masuk ke dalam neraka untuk mencuci dosa kita. Kemudian kita tentu mahu masuk ke dalam syurga-Nya, maka ini memerlukan sifat Allah ﷻ yang رَحِيمٌ kerana kita tidak akan dapat masuk syurga melainkan dengan rahmat-Nya.
Kenapakah disebut sifat pengampun Allah ﷻ di sini? Kerana apabila melakukan ila’ atau mengasingkan diri daripada isteri, tentu ada terasa hati pada si isteri. Maka Allah ﷻ mengampunkan kesalahan itu apabila mendekati mereka semula.
Selepas Allah ﷻ sebut sifatnya yang mengampunkan (غَفُورٌ) Allah ﷻ selalu sebut sifat رَحِيمٌ. Ini sebenarnya memberi motivasi kepada kita untuk segera bertaubat. Apabila kita bertaubat, Allah ﷻ akan memasukkan kita ke dalam rahmah-Nya. Untuk segera mendapat rahmah, maka bersegeralah meminta ampun. Perumpamaannya begini, katakanlah kita ada berbuat salah dengan seorang yang kaya. Kemudian dia kata kalau kita meminta maaf kepadanya, bukan sahaja dia akan maafkan kita, tetapi dia juga akan hadiahkan kita sebuah kereta BMW baru! Apa kita akan buat kalau begitu? Tentulah kita akan segera meminta maaf, bukan?
Disebut juga sifat رَحِيمٌ di sini untuk mengingatkan kita kepada sifat ini. Suami isteri adalah hubungan yang indah dan memerlukan duduk rapat-rapat. Jadi kenapa duduk berjauhan? Kenapa berpisah mengucil lama? Maka setelah ila’ itu berlaku, maka tautkan kembali rasa kasih sayang itu semula dan penuhilah rasa rindu dengan sifat kasih belas kasihan. Rasulullah ﷺ sendiri pernah menyendiri daripada para isteri baginda selama sebulan, tetapi ia bukanlah ila’. Ini ada disebut di dalam sebuah hadith,
و حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ إِسْحَقَ حَدَّثَنَا أَبُو الزُّبَيْرِ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ يَسْتَأْذِنُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَجَدَ النَّاسَ جُلُوسًا بِبَابِهِ لَمْ يُؤْذَنْ لِأَحَدٍ مِنْهُمْ قَالَ فَأُذِنَ لِأَبِي بَكْرٍ فَدَخَلَ ثُمَّ أَقْبَلَ عُمَرُ فَاسْتَأْذَنَ فَأُذِنَ لَهُ فَوَجَدَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا حَوْلَهُ نِسَاؤُهُ وَاجِمًا سَاكِتًا قَالَ فَقَالَ لَأَقُولَنَّ شَيْئًا أُضْحِكُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ رَأَيْتَ بِنْتَ خَارِجَةَ سَأَلَتْنِي النَّفَقَةَ فَقُمْتُ إِلَيْهَا فَوَجَأْتُ عُنُقَهَا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ هُنَّ حَوْلِي كَمَا تَرَى يَسْأَلْنَنِي النَّفَقَةَ فَقَامَ أَبُو بَكْرٍ إِلَى عَائِشَةَ يَجَأُ عُنُقَهَا فَقَامَ عُمَرُ إِلَى حَفْصَةَ يَجَأُ عُنُقَهَا كِلَاهُمَا يَقُولُ تَسْأَلْنَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا لَيْسَ عِنْدَهُ فَقُلْنَ وَاللَّهِ لَا نَسْأَلُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَيْئًا أَبَدًا لَيْسَ عِنْدَهُ ثُمَّ اعْتَزَلَهُنَّ شَهْرًا أَوْ تِسْعًا وَعِشْرِينَ ثُمَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِ هَذِهِ الْآيَةُ { يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ حَتَّى بَلَغَ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا } قَالَ فَبَدَأَ بِعَائِشَةَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَعْرِضَ عَلَيْكِ أَمْرًا أُحِبُّ أَنْ لَا تَعْجَلِي فِيهِ حَتَّى تَسْتَشِيرِي أَبَوَيْكِ قَالَتْ وَمَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَتَلَا عَلَيْهَا الْآيَةَ قَالَتْ أَفِيكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَسْتَشِيرُ أَبَوَيَّ بَلْ أَخْتَارُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآخِرَةَ وَأَسْأَلُكَ أَنْ لَا تُخْبِرَ امْرَأَةً مِنْ نِسَائِكَ بِالَّذِي قُلْتُ قَالَ لَا تَسْأَلُنِي امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ إِلَّا أَخْبَرْتُهَا إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْنِي مُعَنِّتًا وَلَا مُتَعَنِّتًا وَلَكِنْ بَعَثَنِي مُعَلِّمًا مُيَسِّرًا
Daripada Jabir bin Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, beliau berkata; Suatu ketika Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah meminta izin kepada Rasulullah ﷺ untuk memasuki rumah baginda dan beliau mendapati beberapa orang sedang duduk di hadapan pintu rumah baginda dan tidak satu pun daripada mereka yang diizinkan masuk. Beliau berkata: Lalu Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun diizinkan masuk, maka beliau pun masuk ke rumah baginda. Setelah itu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang dan meminta izin, dan beliau pun diizinkan masuk. Di dalam rumah, Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mendapati Nabi ﷺ sedang duduk, dan di sekeliling baginda nampak isteri-isteri baginda sedang terdiam dan bersedih. Beliau berkata: Lalu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Sungguh saya akan mengucapkan satu perkataan yang dapat membuat Nabi ﷺ tertawa. Beliau berkata: Wahai Rasulullah, jika engkau melihat anak perempuan Khorijah meminta nafkah (berlebihan) kepadaku nescaya akan saya hadapi dia dan saya pukul tengkuknya. Maka Rasulullah ﷺ pun tertawa seraya berkata: Mereka semua ada di sekelilingku, seperti yang kau lihat mereka semua sedang meminta nafkah (lebih) daripadaku. Maka Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun segera berdiri menghampiri ‘Aisyah رضي الله عنها dan memukulnya. Demikian juga dengan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berdiri menghampiri Hafshah رضي الله عنها dan memukulnya. Lantas keduanya berkata: Mengapa kalian meminta kepada Rasulullah ﷺ sesuatu yang tidak dimilikinya? Lalu keduanya menjawab: Demi Allah, kami tidak akan meminta kepada Rasulullah ﷺ sesuatu yang tidak dimilikinya. Lalu baginda ber’uzlah daripada mereka selama sebulan atau selama dua puluh sembilan hari. Kemudian turunlah ayat: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, -sampai Firman-Nya- Bagi orang-orang yang baik di antara kalian pahala yang besar” [al-Ahzab 33: 28-29]. Beliau berkata: Baginda memulainya dengan ‘Aisyah رضي الله عنها, baginda berkata kepadanya: “Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya saya hendak menawarkan suatu perkara kepadamu, dan saya harap kamu tidak tergesa-gesa dalam memutuskannya hingga kamu meminta persetujuan daripada kedua orang tuamu.” Aisyah رضي الله عنها berkata: Apa itu wahai Rasulullah? Maka baginda pun membacakan ayat tersebut di atas kepadanya. Aisyah berkata: Apakah terhadap anda, saya mesti meminta persetujuan kepada orang tuaku?! Tidak, bahkan saya lebih memilih Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhir, dan saya mohon kepada anda untuk tidak memberitahukan pernyataanku ini kepada isteri-isterimu yang lain. Baginda menjawab: “Tidaklah salah seorang di antara mereka meminta hal itu kepadaku kecuali saya pasti memberitahukan hal ini kepadanya. Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak mengutusku untuk memaksa orang atau menjerumuskannya, akan tetapi Dia mengutusku sebagai seorang pengajar dan orang memudahkan urusan”.
(Sahih Muslim No. 2703)
Jadi ini adalah kesimpulan hukum ila’. Apabila seseorang suami telah melafazkan ila’, maka berlakulah beberapa kesan terhadap dirinya sendiri, isterinya dan juga perkahwinannya, iaitu seperti berikut:
-
- Suami berdosa di sisi Allah ﷻ kerana perbuatan ila’ adalah haram dan menimbulkan mudarat terhadap isteri.
- Isteri yang diila’ tidak tertalak dengan serta merta tetapi dia wajib menunggu selama empat bulan yang tidak disetubuhi oleh suaminya atau sehingga suaminya menyetubuhinya sebelum tamat tempoh empat bulan.
- Dalam tempoh ila’, suami masih wajib memberi nafkah kepada isteri kecuali isteri itu berlaku nusyuz.
- Suami juga harus menyetubuhi isterinya yang di-ila’ pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh empat bulan.
- Suami diwajibkan membayar kifarat apabila dia telah menyetubuhi isterinya yang diila’.
- Jika suami tidak menyetubuhi isterinya dalam tempoh empat bulan, maka isteri itu berhak meminta suami menyetubuhinya tanpa melalui proses kehakiman.
- Jika selepas tamat tempoh empat bulan, suami masih tidak menyetubuhi isteri, maka isteri diberi pilihan untuk menuntut supaya suaminya melakukan persetubuhan atau menuntut talak melalui proses kehakiman. (Rujuk al-Bujairimi, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, hlm. 348. Ini dijadikan pendapat yang muktamad dalam Mazhab Syafi’e.)
- Jika suami masih enggan melakukan persetubuhan atau mentalakkan isteri yang di-ila’, Hakim Syar’ie boleh mentalakkan dengan satu talaq raj’ie (al-azhar al-jadid). (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 446) Ini kerana suami tidak harus berterusan memudaratkan isterinya tanpa disetubuhi. Memandangkan tiada jalan untuk memaksa suami melakukan persetubuhan, maka ternyatalah perceraian sahaja yang boleh menamatkan kemudaratan terhadap isteri. Jika suami tidak menceraikan isterinya dengan sukarela, maka hakim berhak mengambil tempatnya.
- Jika isteri itu ditalakkan sama ada oleh suami sendiri atau oleh hakim, lalu suami meruju’ isterinya dalam tempoh iddah, maka hukum ila’ kembali semula kepada suami. Justeru, perkiraan tempoh ila’ bermula semula dari waktu ruju’ sehingga tamat 4 bulan yang berikutnya. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 443) Jika selepas ruju’, suami masih tidak menyetubuhi isterinya sehingga tamat tempoh empat bulan yang baru, maka isteri berhak membuat tuntutan talak yang kedua. Begitulah seterusnya hingga sampai kepada talak tiga yang tidak boleh diruju’.
- Jika isteri yang di-ila’ diceraikan oleh suaminya sehingga tamat iddah tanpa diruju’, ataupun dia diceraikan terus secara talaq ba’in, maka terbatallah hukum ila’ kerana kemudaratan terhadap isteri telah tamat dengan perceraian yang ba’in. Namun jika suami itu menikahinya semula dengan akad nikah yang baru, maka hukum sumpah yamin yang terdahulu akan kembali semula. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 445) Justeru, suami diwajibkan kifarat yamin jika dia menyetubuhi isterinya dalam akad nikah yang baru itu. Jika tidak disetubuhinya melebihi empat bulan, isteri tidak berhak membuat tuntutan talak kerana hukum ila’ telah terhapus.
- Jika suami menyetubuhi isteri yang di-ila’ kerana terlupa, dipaksa atau ketika dalam keadaan gila, maka dia tidak dikira melanggar sumpah kerana ketika itu dia bukan seorang mukallaf. Oleh itu, dia tidak dikenakan kifarat. Akan tetapi hukum tempoh ila’ dikira terputus kerana isteri telah mendapat haknya dengan persetubuhan tersebut. Manakala hukum sumpah yamin dan ila’ tersebut masih berkekalan selagi tidak berlaku pelanggaran sumpah dan kifarat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 445)
- Bagi ila’ yang ditetapkan masa tertentu seperti setahun, maka hukumnya akan tamat apabila berlalu tempoh tersebut. Dalam hal ini, isteri hendaklah menuntut persetubuhan atau talak selepas berlalu empat bulan dan sebelum tamat satu tahun. Jika isteri terlewat membuat tuntutan, iaitu selepas berlalu tempoh setahun, maka hilanglah hak isteri untuk menuntut talak kerana tempoh ila’ telah tamat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, hlm. 445)
Justeru, kami menasihati pasangan suami isteri agar mengelakkan daripada menggunakan kalimah atau perbuatan yang boleh membawa kepada ila’. Binalah kehidupan rumahtangga dengan penuh harmoni dan kasih sayang bagi mencapai mahabbah, mawaddah dan sakinah sehingga terjadinya rumah tangga seperti baiti jannati. Wallahua’lam.
Baqarah Ayat 227:
وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ فَإِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And if they decide on divorce – then indeed, Allah is Hearing and Knowing.
MALAY
Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
وَإِن عَزَمُوا الطَّلٰقَ
Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak
Ini kalau suami itu berazam juga untuk bercerai. Apabila sudah melepasi tempoh empat bulan pun tetapi masih lagi marah dan tidak dapat hendak berbaik kembali. Dalam keadaan ini, hendaklah membiarkan wanita itu bebas supaya dia boleh berkahwin lain. Jangan lagi gantung mereka tanpa tali. Berlapang dadalah dan biarlah dia menjalani kehidupannya yang baru.
Ayat ini menguatkan pendapat yang mengatakan bahawa selepas empat bulan, perhubungan suami isteri itu tidak terus terputus. Keputusan mesti dibuat sama ada untuk bercerai atau tidak.
فَإِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ
maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
Allah ﷻ mendengar apa isi hati kita. Allah ﷻ mengetahui apa yang kita mahu dan apa yang kita lakukan. Allah ﷻ tahu apa yang di dalam hati para suami ketika mentalak isterinya. Walaupun talak dibenarkan di dalam Islam, tetapi janganlah ia dilakukan sambil lewa, dilakukan kerana hendak menghukum dan menyusahkan isteri itu. Seorang suami tetap berdosa jikalau menceraikan isteri kerana hendak memudaratkan isterinya itu. Sebaiknya masa selama 4 bulan itu digunakan untuk berfikir panjang dan mencuba rasa tanpa duduk dengan si dia. Jangan nanti menyesal pula sampai orang kata gila talak. Buruk rupa orang lelaki bila sudah gila talak.
Penutup ayat ini mengajar kita bahawa isi hati seseorang atau ucapan-ucapan suami yang menyakitkan hati isteri, didengar dan diketahui oleh Allah ﷻ, maka para suami hendaknya berhati-hatilah. Jangan cakap main sedap mulut sahaja, ambil tindakan tanpa berfikir. Segala perbuatan kita ada kesannya dan kita kena sedar hal itu.
Oleh itu, berkenaan perkara ila’ ini ada empat jenis keadaan:
-
- ila’ tanpa masa yang ditetapkan
- ila’ empat bulan telah dilafazkan oleh suami
- ila’ lebih daripada empat bulan telah dilafazkan
- ila’ kurang daripada empat bulan telah dilafazkan
Kalau si suami mendatangi isteri (menjimak) sebelum masa yang ditetapkan, maka secara automatik, ila’ itu terputus. Akan tetapi suami itu mestilah membayar kaffarah sumpah kerana dia telah melanggar sumpahnya. Situasi ke 3 itu tidak dibenarkan kerana lebih daripada empat bulan.
Dalam situasi lain, tidaklah terus cerai sekiranya berpisah selama empat bulan. Seandainya suami dan isteri terpisah lebih daripada empat bulan, itu tidaklah termasuk dalam ila’ lagi. Ini kerana mungkin mereka terpisah buat sementara waktu kerana tinggal berjauhan disebabkan tuntutan kerja dan sebagainya.
Ataupun ada suami isteri yang tidak berjimak lebih daripada empat bulan kerana keadaan kesihatan salah seorang daripada mereka tidak mengizinkan. Ini pun tidak termasuk ila’. Kita sebutkan kerana ada fahaman salah dalam kalangan masyarakat, kalau tidak berhubungan lebih daripada empat bulan, terus terbatal perkahwinan itu. Ini tidak benar. Ya lah kalau umur suami sudah 75 tahun, apa lagi yang dia boleh buat?
Perhatikan hujung ayat 226 dan hujung ayat 227. Di dalam ayat 226, digunakan kalimat فَإِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَّحيمٌ. Sedangkan di dalam ayat 227 digunakan kalimat فَإِنَّ اللهَ سَميعٌ عَليمٌ. Ini menjadi isyarat yang talak itu kurang baik kalau dibandingkan dengan kembali pulang kepada isteri walaupun ia dibolehkan. Ini kerana berdamai lebih baik daripada berpisah. Ketika menikah tempohari satu kampung diundang untuk datang kenduri dan bergembira sakan, malulah kalau bercerai pula setelah beberapa ketika. Namun, kalau memang tidak boleh didamaikan, maka bercerailah. Jangan pegang isteri itu hanya kerana malu dengan kata orang-orang kampung. Orang kampung bukan tahu apa-apa pun, jadi kalau mereka kata apa-apa pun, biarkanlah sahaja. Bukannya mereka yang mengadap masalah kita. Mereka bukannya ada kerja berfaedah pun melainkan gossip dan membawang di kedai kopi sahaja kerja mereka. Konsep dia begini: Kalau orang itu nasihat dia pun kita tak hingin nak minta, jadi apa-apa sahaja yang dia kata, bukannya ada makna kepada kita.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 April 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

