Tafsir Surah Baqarah Ayat 221 (Memilih pasangan hidup)

MENIKAHI ORANG BERIMAN

Baqarah Ayat 221: Dalam ayat-ayat sebelum ini, telah disebut tentang tiga perkara yang mempunyai kesan dua hala (boleh jadi baik dan boleh jadi buruk) – Arak dan Judi, berapa yang perlu diinfakkan dan ketiga, tentang penjagaan anak yatim.

Ini pula adalah ayat tentang institusi perkahwinan. Ia amat penting dalam masyarakat Islam. Ia diturunkan pada  ketika komuniti Islam di Madinah sedang mula baru berkembang. Institusi keluarga yang baik akan menyebabkan masyarakat dalam keadaan baik. Bila masyarakat baik, maka dakwah senang untuk bergerak dan dikembangkan. Persoalan yang ditimbulkan dalam ayat ini adalah: siapakah yang boleh dikahwini?

Perkahwinan campur di Malaysia.

Ini penting diajar kerana teman hidup itu bukan untuk sehari dua tetapi untuk sepanjang hidup. Biarlah pasangan hidup itu yang membawa ke syurga. Biarlah suasana rumahtangga dan anak pinak dididik dengan ajaran Islam supaya menjadi anak yang soleh dan solehah.

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم ۗ وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا ۚ وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم ۗ أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ ۖ وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

SAHIH INTERNATIONAL
And do not marry polytheistic women until they believe. And a believing slave woman is better than a polytheist, even though she might please you. And do not marry polytheistic men [to your women] until they believe. And a believing slave is better than a polytheist, even though he might please you. Those invite [you] to the Fire, but Allah invites to Paradise and to forgiveness, by His permission. And He makes clear His verses to the people that perhaps they may remember.

MALAY
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).

 

وَلا تَنكِحُوا المُشرِكٰتِ حَتّىٰ يُؤمِنَّ

Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan musyrik sebelum mereka beriman

Masalah yang mempunyai situasi ‘dua hala’ yang ke-empat adalah tentang perkahwinan. Ada wanita yang mempunyai rupa paras yang elok, budi bahasa yang baik dan daripada keluarga yang baik dan kaya pula, tetapi mereka tidak beriman. Dari satu sudut, memang mereka itu menarik untuk dikahwini tetapi bagaimana pula dengan iman mereka?

Allah ‎ﷻ memberitahu dalam ayat ini supaya jangan berkahwin dengan mereka itu walaupun mereka mempunyai kelebihan-kelebihan yang banyak kerana kita mahu menjaga agama kita. Amat bahaya jika mengahwini mereka kerana kita boleh terjebak dengan kesyirikan yang mereka lakukan. Ini kerana walaupun kita tidaklah mengikut mereka 100 peratus dalam fahaman mereka, tetapi kalau sudah berkahwin dengan mereka, tentulah akan ada sedikit sebanyak yang kita ikut mereka kerana mereka isteri kita dan tentunya kita rapat dengan mereka. Kita takut perkara yang kita ikut itu adalah dalam perkara syirik. Jadi apabila ada pilihan antara dunia dan agama, maka hendaklah kita memilih untuk memelihara agama kita.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ sebut ‘musyrikin’. Jumhur ulama’ mengatakan yang ahli kitab tidak termasuk dalam ayat ini dan kerana itu hukum mengahwini perempuan daripada ahli kitab dibenarkan. Ini jelas disebut di dalam Maidah: 5

وَالْمُحْصَنٰتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ مِن قَبْلِكُمْ
(Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu

Cuma ada yang kata termasuk sekali kerana tentulah ahli kitab itu ada juga melakukan syirik juga. Akan tetapi pendapat jumhur tidak begitu kerana nampak seperti Allah ‎ﷻ membezakan antara Musyrikin dan Ahli Kitab. Memang Ahli Kitab pun ada juga yang melakukan syirik, tetapi daripada dalil yang ada, Allah ‎ﷻ membezakan Musyrikin dan Ahli Kitab dan tidak meletakkan mereka di dalam golongan yang sama. Mereka ada kedudukan yang istimewa. Ini kerana asal agama mereka mengakui Tuhan yang satu.

Kemudian ada pula yang kata itu dulu, sekarang tidak lagi. Ini pun tidak benar kerana hukum ini masih berjalan lagi. Ia bukannya terhad pada zaman Nabi ﷺ sahaja. Khalifah Uthman رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pernah menikahi seorang wanita Ahli Kitab, begitu juga sahabat Thalhah dan Zubair رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا. Cuma kalau pengetahuan agama lelaki Muslim itu gitu-gitu sahaja, janganlah berangan hendak menikahi wanita Ahli Kitab. Nanti dia pula yang kena kawal dan ikut isterinya. Walaupun dibenarkan di dalam syariat, perkahwinan campur ini bukanlah digalakkan. Kerana itu pernah Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengharamkan pernikahan lelaki Muslim dengan Ahli Kitab kerana melihat tidak baiknya hal ini ketika itu. Kalau ketika itu tidak baik,  maka waktu sekarang pun begitulah juga. Namun kita tidaklah berani mengharamkan, cuma kita katakan ia tidaklah digalakkan.

Janganlah mengahwini golongan Musyrikin sehinggalah mereka masuk Islam. Apabila mereka sudah benar-benar menjadi Muslim, maka jangan kata buruk tentang mereka. Kalau dahulu mereka kafir, itu hal terdahulu. Kadang-kadang kita selalu pandang serong kepada mereka yang sudah masuk Islam. Kita rasa mereka masuk Islam kerana sebab-sebab tertentu – antaranya kerana hendak kahwin dengan orang Islam.

Walaupun jika benar mereka memeluk Islam hanya kerana hendak berkahwin pun, bukan hak kita untuk mempersoalkan keislaman mereka. Walaupun kita nampak macam cara masuk Islam itu macam tidak kena, namun kita hanya boleh menilai manusia dari sudut zahir sahaja. Ingatlah kisah Usamah bin Zaid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang telah membunuh musuh yang mengucap syahadah di medan perang. Beliau hampir membunuh lelaki itu, tetapi semasa beliau hendak bunuh sahaja, lelaki itu telah mengucap syahadah. Pada beliau, tentulah lelaki itu mengucap syahadah kerana hendak menyelamatkan dirinya sahaja. Jadi, beliau terus membunuh lelaki tersebut. Namun apabila diketahui oleh Nabi ﷺ, baginda telah memarahi Usamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan teruk sekali – Nabi ﷺ tanya: “Adakah kamu telah membelah dadanya sehingga kamu tahu isi hatinya?”

Oleh itu, janganlah sangsi terhadap mereka yang masuk Islam walau apa cara pun. Daripada pengalaman, kita boleh ketahui yang kadang-kadang ada orang yang masuk Islam kerana hendak berkahwin tetapi lama-kelamaan mereka telah mengamalkan Islam dengan sebenar kerana mereka telah dekat dengan Islam. Kadangkala mereka lebih baik daripada pasangan yang mereka kahwini itu.

Asbabun nuzul ayat ini diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir, Ibnu Abi Hatim, dan Al-Wahidi, daripada Muqatil berkata, “Ayat ini turun pada Ibnu Abi Al-Martsad Al-Ghanawi ﷺ, beliau meminta izin kepada Rasulullah ﷺ untuk menikahi wanita yang bernama Inaq, wanita tersebut adalah orang musyrik, dan dia juga wanita cantik dan kaya. Maka turunlah ayat ini”

Ibnu Abi Al-Martsad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ telah diutus oleh Rasulullah ﷺ untuk berbincang dengan Quraisy Mekah tentang beberapa umat Islam yang telah mereka tawan. Setelah kewajipannya hampir selesai dan akan kembali ke Madinah, bertemulah beliau dengan seorang perempuan bernama Inaq, bekas kekasih lamanya, bekas kecintaannya. Perempuan itu merayu-rayu mengajak menyambung cinta yang lama. Akan tetapi dengan terus terang Ibnu Abi Al-Martsad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengatakan bahawa hidupnya telah berubah. Seorang kalau telah Islam tidak boleh lagi melakukan hubungan di luar nikah. Namun sekiranya Inaq mahu masuk lslam, mudahlah hendak bawa bicara.  Sekarang Inaq masih menganut fahaman musyrik. Sungguhpun begitu Ibnu Abi Al-Martsad رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berjanji akan menyampaikan hal itu kepada Rasulullah ﷺ apa bolehkah dia mengahwini Inaq yang masih musyrik. Inaq memang cantik orangnya.

 

وَلَأَمَةٌ مُّؤمِنَةٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكَةٍ وَلَو أَعجَبَتكُم

dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. 

Kalimah أَمَةٌ daripada kata dasar: أ م و yang bermaksud perempuan yang dijadikan sebagai hamba, menjerit, meniru.

Kalimah أَعجَبَت daripada kata dasar ع ج ب yang bermaksud keajaiban, terpesona, terkejut, kagum, menggembirakan, menyenangkan, kagumi, mengejutkan.

Islam mementingkan keislaman dan keimanan seseorang itu. Tidak kira walaupun perempuan itu adalah seorang hamba. Untuk seorang hamba, tentulah kedudukan dia adalah rendah dalam masyarakat. Namun pada sisi Allah ‎ﷻ, bukan kedudukan dalam masyarakat yang penting, tetapi iman mereka.

Asbabun nuzul ayat ini diriwayatkan oleh Al-Wahidi dari jalur As-Suddi daripada Abu Malik, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا yang berkata, “Ayat ini turun pada Abdullah bin Rawahah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau mempunyai budak (hamba) wanita yang hitam, dan beliau sedang memarahi budak tersebut dan menamparnya, kemudian beliau takut dengan apa yang telah beliau lakukan, maka beliau datang kepada Nabi ﷺ dan menceritakan hal tersebut dan kemudian berkata, “Aku akan memerdekakannya dan menikahinya,” dan beliau benar-benar telah melakukannya. Beberapa orang Muslim mengejeknya dengan berkata, “Dia menikahi seorang budak,” maka Allah ‎ﷻ menurunkan ayat ini”

Meskipun hambanya itu kulitnya hitam, akan tetapi beliau seorang yang solehah. Niatnya Abdullah bin Rawahah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ untuk mengahwini wanita itu disenangi oleh Rasulullah ﷺ. Namun biasalah kaki pembawang pun ada juga rupanya zaman itu, sibuk mereka hendak komen pasangan hidup Abdullah bin Rawahah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.

 

وَلا تُنكِحُوا المُشرِكينَ حَتّىٰ يُؤمِنوا

Dan janganlah kamu menikahkan (perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka (lelaki-lelaki itu) beriman

Ayat yang pertama adalah larangan kepada lelaki Muslim untuk mengahwini perempuan yang musyrik. Dalam ayat ini, khitabnya bukan kepada perempuan, tetapi kepada wali perempuan itu. Ada penggunaan sorof yang berbeza (antara تَنكِحُوا dan تُنكِحُوا) dalam ayat ini kerana mereka yang bertanggungjawab menentukan siapakah yang boleh dikahwini oleh perempuan di bawah jagaannya.

Dari sini juga kita dapat tahu bahawa seorang wali bagi perempuan mempunyai peranan yang amat besar di dalam menentukan siapakah pasangan wanita yang di bawah jagaannya. Ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam bab fiqh. Kerana itulah wanita tidak boleh menikah tanpa kehadiran walinya.

Allah ‎ﷻ melarang wali seseorang perempuan itu untuk mengahwinkan perempuan Muslim mereka kepada lelaki musyrik. Maka mereka mestilah selidik sama ada lelaki yang akan dikahwini itu Muslim ataupun tidak.

Kalau lelaki Muslim boleh menikah dengan wanita Ahli Kitab, perempuan Muslim tidaklah boleh menikah dengan ahli kitab. Jangan kata sama pula kerana tidak sama. Ini kerana di dalam sesuatu keluarga, ketua adalah lelaki (suami). Jadi kalau suaminya Ahli Kitab, tidaklah sama kalau ketua keluarga seorang lelaki Muslim. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Mumtahanah: 10

لا هُنَّ حِلٌّ لَّهُم وَلا هُم يَحِلّونَ لَهُنَّ
Mereka (wanita-wanita Muslimah) tiada halal bagi orang-orang kafir itu dan orang-orang kafir itu tiada halal pula bagi mereka.

 

وَلَعَبدٌ مُّؤمِنٌ خَيرٌ مِّن مُّشرِكٍ وَلَو أَعجَبَكُم

dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu.

Hamba lelaki yang rendah kedudukan mereka di dalam masyarakat itu lebih baik daripada lelaki yang hebat tetapi tidak beriman.

 

أُولٰئِكَ يَدعونَ إِلَى النّارِ

Mereka itu mengajak ke neraka

Kenapa Allah ‎ﷻ larang? Kerana hendak menjaga agama kita. Kerana apabila kita sudah bersama dengan mereka, tentulah sedikit sebanyak kita akan terikut dengan cara-cara mereka. Kehidupan dan fahaman mereka mengajak kepada neraka. Maka hendaklah kita menyelamatkan diri kita daripada mereka.

 

وَاللَّهُ يَدعو إِلَى الجَنَّةِ وَالمَغفِرَةِ بِإِذنِهِ

sedangkan Allah mengajak ke Syurga dan keampunan dengan izin-Nya.

Sedangkan Allah ‎ﷻ hendak kita masuk ke syurga. Kita kena kejar akhirat yang lebih utama. Maka janganlah dilihat akan keindahan dunia semata.

Ayat ini mengingatkan kita yang kita hanya boleh masuk ke dalam syurga dengan dua syarat:

1. Allah ‎ﷻ ampunkan semua dosa kita.

2. Dengan izin atau dengan rahmat-Nya sahaja.

 

وَيُبَيِّنُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran.

Allah ‎ﷻ telah menjelaskan ayat-ayat Al-Qur’an kepada kita sebagai panduan hidup. Perhatikan kalimah yang Allah ‎ﷻ gunakan adalah يُبَيِّنُ yang bermaksud ‘menjelaskan’. Jadi ayat-ayat Al-Qur’an ini sebenarnya jelas, bukannya berbelit-belit sampai tidak difahami. Asalkan mahu belajar, kita akan dapat faham. Mak bukanlah tidak boleh belajar tafsir Al-Qur’an ini seperti yang dikatakan oleh sesetengah agamawan. Mereka memang takut seandainya umat belajar tafsir Al-Qur’an kerana kalau umat sudah pandai, maka akan terbongkarlah ajaran mereka selama ini salah. Jadi mereka kata hanya sesetengah orang sahaja boleh faham Al-Qur’an, kita hanya setakat baca sahaja kata mereka. Jadi tidak tahulah siapa yang layak belajar tafsir Al-Qur’an kerana mereka sendiri tidak belajar. Sebab tidak belajarlah yang menyebabkan ajaran sesetengah ustaz itu pelik kerana tidak selari dengan Al-Qur’an.

Allah ‎ﷻ suruh kita يَتَذَكَّرونَ (mengambil pengajaran) daripada Al-Qur’an. Akan tetapi cuba fikirkan, bagaimana hendak mengambil pengajaran daripada Al-Qur’an jikalau kita tidak faham? Oleh itu, yang penting kena faham dahulu ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini. Jikalau kita hendak menjadi orang yang bijak dalam agama, hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an kerana orang bijak sahaja yang ambil pengajaran daripadanya seperti disebut di dalam Sad: 29

كِتٰبٌ أَنزَلنٰهُ إِلَيكَ مُبٰرَكٌ لِّيَدَّبَّروا ءآيٰتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الأَلبٰبِ
Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

Allah ‎ﷻ mengajar kita cara mencari pasangan hidup dalam ayat ini. Hendaklah kita mengambil perhatian dan ambil peringatan tentang perkara ini kerana lafaz zikr juga bermaksud ‘ingat’. Memang sekarang seperti tidak kena dengan kita, tetapi apabila perlu, ia akan berguna, maka kita kena ingat tentang hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang macam tidak kena dengan kita sebab kita tidak amalkan arak, berjudi dan sebagainya. Namun begitu akan sampai masa di mana kita memerlukan ilmu tentang perkara-perkara itu.

Sekian Ruku’ 27 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment